Sunday, 12 November 2017

AKU, DEWI KAMALA (PART 2) - Cik Edot


AKU, DEWI KAMALA - PART 2
Nukilan : @Dee Edot (Cik Edot)

Nota Kaki : Penceritaan berdasarkan kisah benar. Nama watak sahaja ditukar sebagai tanda menghormati peribadi dan aib si pencerita. Dan, saya peminat kumpulan Khalifah!
Tahun 2001
Bermula dari peristiwa kain kuning dan periuk tanah tersebut, hidup aku pun berubah. Sedar? Tidak! Aku sendiri tidak sedar akan perubahan aku. Sementelah, perubahan ketara diriku hanya dapat dikesan oleh sahabatku, Rosiah.
Mengikut cerita dari mulut Rosiah. Aku, tatkala berada di kilang akan menjadi seorang yang sangat pendiam. Sedangkan sebelum ini, aku seorang yang agak peramah dan suka dibawa bicara. Paling ketara, kata Rosiah aku seperti orang bodoh tika berhadapan dengan Suresh.
Aku, mengikut saja tatkala Suresh mengajakku ke kantin. Makan minum Suresh menjadi tanggunganku. Rosiah sendiri melihat dengan mata kepalanya, aku menyerahkan beberapa keping not kertas kepada Suresh. Untuk apa tujuan aku memberi, Rosiah tidak pasti. Kerana apabila ditanya pada aku, aku sendiri tidak sedar bila aku melakukannya. Blur!
Pokoknya, aku berada dalam keadaan tidak sedar dan dungu saat berada disisi Suresh. Maka, kerana menyedari akan sikap aku yang semakin berubah dan tidak terkawal, Rosiah memastikan dirinya sentiasa berada disisi aku. Dia sentiasa menjadi batu penghalang untuk Suresh mendekati aku. Syukur. Terima kasih Rosiah.
04.01.2002
Hari ini, aku dan Rosiah ditukarkan ke satu bahagian lain, iaitu Main Store. Syukur. Kata Rosiah, Tuhan sayangkan aku. Kini, aku sudah dapat melepaskan diri dari Suresh. Dia masih kekal di bahagian Store Auto Insertion. Entah kenapa, aku rasa lebih selesa berada disisi Rosiah. Aku rasa dilindungi.
Di kilang, kami diberi pakaian seragam yang wajib dipakai. Tetapi, kelonggaran diberi kepada pekerja wanita. Dimana, kami dibenarkan memakai baju biasa di bahagian dalam, diikuti pakaian seragam yang disarung di bahagian luar. Kenapa aku beritahu tentang ini? Ya, ada asbabnya! Asbab yang berkait rapat dengan maruah diri aku.
23.08.2002
"Dewi, aku nak pergi office sekejap. HR panggil aku. Tak tahu pasal apa."
"Baiklah."
...................
Dari sudut cerita Rosiah.
(Aku, dalam ni adalah Rosiah)
Setengah jam berlalu.
Aku menapak keluar dari pejabat. Entah kenapa, hatiku rasa debar. Pelik. Mustahil ada kaitan perihal cuti aku. Semuanya sudah selesai. Surat tunjuk sebab pun sudah aku serahkan kepada pihak HR. Jadi, apakah yang membelenggu pundak hatiku?
Sejenak, aku berfikir. Lama, sebelum satu nama ini berlegar diminda.
Dewi??
Ya. Hati yang debar bertukar resah. Langkah kaki, aku cepatkan. Laju!
Aku tiba di bahagian stor utama. Sunyi. Tidak riuh seperti kebiasaan. Mataku melorot ke atas meja. Radio mini berwarna hitam yang sering dimainkan Dewi, terletak elok. Senyap tanpa bunyi.
Lantas, aku beralih kepada bahagian rak. Aku mencari-cari kelibat Dewi. Dari lorong rak pertama hingga ke rak terakhir. Tiada. Aduh, mana pula dia ni?
Arghhhhh. Aku ni paranoid sangat lah! Entah - entah, Dewi pergi ke tandas barangkali. Aku je yang fikir lebih. Monologku sendiri, menyedapkan hati.
"Bamm!!"
Terhenjut bahuku. Bunyi itu menyentak cuping telinga. Ia datang dari bilik stor mini, tempat dimana kami meletakkan kepingan kotak dan peralatan lain.
"Ehh, bunyi apa pula tu?"
Aku bingkas mendapatkan tombol pintu. Ehh, berkunci? Pelik. Bilik ni tak pernah berkunci. Nah, aku yakin pasti ada orang di dalam. Aku kembali ke meja, membuka laci dan mengambil kunci stor mini. Cepat-cepat, aku masukkan mata kunci ke dalam tombol pintu.
"Ketakkk"
Aku pulas tombol, daun pintu kukuak luas. Terang. Mataku melorot di setiap penjuru. Dan, bebola mataku terhenti di satu sudut ruang. Pegun. Geram. Tanganku menggigil.
"Sureshh!!! Sial! Kau buat apa dengan Dewi ha setan?"
Suresh pantas melepaskan pautan tangannya di kedua-dua bahu Dewi. Dia yang dalam keadaan tidak berbaju, kelihatan menggelabah. Lantas, dia mengambil bajunya yang terletak di atas kotak, kemudian meluru keluar dari pintu. Celaka! Dia rempuh badan aku?
Sebelum berlalu, Suresh sempat berpaling. Dia berhenti. Berdiri tegak memandangku. Dia meletakkan jari telunjuk dibibirnya. Kemudian tangannya jatuh melorot ke batang leher. Dia melalukan tangannya dari kanan leher membawa ke kiri. Dia senyum sinis sebelum kabur. Aku faham isyaratnya. Diam atau habis. Dia ugut aku!
Aku meluru mendapatkan Dewi. Alhamdulillah. Tubuh Dewi masih bersarung baju. Hanya pakaian seragamnya sahaja sempat dilucutkan.
"Dewi!!"
Diam.
"Dewi!!"
Tiada jawapan.
Mata Dewi terbuka. Tapi dia kaku. Panggilanku tak berjawab. Dia seolah-olah sedang khayal. Tidak sedar. Aku yakin, dia dipukau. Aku goncang tubuhnya. Berulang kali. Masih tiada reaksi tindak balas. Lantas, aku membaca basmallah lalu menampar pipinya. Kuat.
"Herkkkkksss"
Satu nafas panjang terhela dari bibirnya.
"Dewi, kau dah sedar?"
"Rosiah?"
Dewi pandang keliling. Wajahnya, hairan.
"Ehh, baju kerja aku. Kenapa aku buka baju ni? Aku tengah buat kerja kat luar tadi. Kenapa tiba-tiba aku ada kat sini?"
"Kau tak ingat apa-apa ke Dewi?"
"Ingat? Maksud kau?"
Diam. Aku tak mampu untuk membalas pertanyaan Dewi. Lantas, tubuhnya aku raih dalam pelukan. Mengalir airmataku. Syukur, aku cepat. Allah yang menggerakkan hati aku. Kalau aku terlewat sedikit, pasti Dewi sudah menjadi mangsa si keparat tu.
15.10.2002
Ura-ura bahawa pihak syarikat akan membuang pekerja, akhirnya menjadi kenyataan. Hari ini, ramai pekerja menerima surat pemberhentian kerja. Walaupun dibayar 3 bulan gaji dan 2 bulan bonus, namun wajah mereka mempamerkan rasa sedih. Aku faham. Ada diantara mereka yang sudah lama berkhidmat. Pasti sukar untuk menerimanya.
Aku? Masih dikekalkan untuk meneruskan khidmat. Suresh pun masih berpeluang. Termasuk Peng! Rosiah? Ya, Rosiah tersenarai dalam kelompok itu. Sedihnya hatiku bukan kepalang. Aku bakal kehilangan seorang sahabat dan juga pelindung aku selama in. Kasihan aku melihat Rosiah. Bukan dia sahaja diberhentikan kerja, malah suaminya turut terpalit. Tabahlah, wahai sahabatku.
Suresh senyum. Mengejek.
20.10.2002
Hari ini merupakan hari ketiga suamiku pulang bercuti. Kebetulan, kesihatanku tidak berapa baik. Aku keracunan makanan. Perutku memulas dan kerap kali ke tandas. Tubuhku jadi tidak bermaya.
Kerana kondisiku ini, aku menolak beberapa kali hajat suamiku untuk bersama. Mungkin kerana perihal ini, dia menjadi berang. Tidak menegur aku. Malah, dia mengunci pintu bilik dari dalam. Dari luar bilik, aku dengar bunyi pintu almari dibuka tutup. Dihempas kasar.
Bila aku masuk ke bilik, keadaan berselerak. Aku tahu dia menggeledah barang. Baju yang berlipat, sudah berterabur. Pokoknya, banyak barang yang tersusun, berubah tempat. Waimah bag tangan dan bag duitku juga diselongkar. Mengamuk ke?
22.10.2002
"Kringgggg!"
Yavin angkat telefon. Pemanggilnya diam. Gagang telefon diletakkan.
"Kringgggg!!"
Sekali lagi. Masih senyap. Lantas, Yavin menghempas gagang lalu naik ke bilik tidur kami di tingkat atas. Aku masih berada di ruang tamu. Sengaja mengasingkan diri. Yavin, masih dingin denganku.
"Kringgggg!!!"
Panggilan kali ketiga. Kali ini, aku yang angkat.
"Hello. Siapa tu?"
"Hello. Saya Suresh. Dewi, kenapa awak dah 3 hari tak datang kerja?"
"Saya tak sihat. Maaf, saya kena letak telefon. Suami saya ada. Jangan telefon saya lagi, faham."
Rupa-rupanya, suamiku mendengar perbualan kami melalui telefon pendua yang berada di dalam bilik.
Yavin menuruni anak tangga.
"Dewi, awak dah siap? Kata nak saya hantarkan ke stesen bas? Cepatlah. Saya nak balik ke Pahang lagi. Nanti lewat!"
"Sudah. Saya tunggu awak dari tadi lagi."
"Huhhh!"
Masam mencuka wajah Yavin.
Dingin. Ya, suamiku sangat dingin denganku. Aku minta dia hantar aku ke stesen bas. Aku ingin pulang ke Alor Setar. Walaupun aku masih tidak sihat. Aku terlalu rindu pada anakku.
Tiba di stesen bas, kami berdua sarapan bersama. Diam. Tanpa bicara. Yavin tunggu aku sehingga aku naik bas 516, kemudian dia beredar.
Dalam perjalanan, fikiranku seakan kosong. Tidak serabut seperti mana awal tadi. Sedih? Tidak. Susah hati juga tidak. Kosong. Entahlah, aku sendiri tidak faham.
Aku perhati ke luar tingkap. Bas yang aku naiki sudah tiba di Bedong. Satu-satunya jalan ketika itu untuk ke Lembah Bujang. Lantas, aku bangun dari duduk tatkala bas berhenti di lampu isyarat. Dan aku turun di situ. Ya, aku turun dari bas. Bila saja bas sudah bergerak, baru aku tersedar. Kenapa aku berhenti disini? Bingung.
Aku hairan dengan tindakanku. Arghhh. Saat-saat genting ini lah, perutku buat hal. Aku melirik pada deretan kedai. Aku nampak ada sebuah klinik. Lalu aku melajukan langkah. Niatku hanya satu. Tumpang tandas.
Selesai sahaja aku melepas hajat, aku meluru keluar dari klinik. Saat ini, aku terpempan. Suresh?
"Apa awak buat di sini?"
"Saya hantar kawan."
"Jangan tipu. Awak ikut saya ya?"
"Hahah. Bukan saya yang ikut awak. Tapi suami awak yang ikut awak dari stesen bas sampai ke sini. Saya nampak dia berdiri di bawah pokok sana."
"Haa? Betul ke?"
Suresh dengan pantas menaiki motorsikalnya. Dia ghaib dari pandangan. Aku memandang keliling. Mencari-cari kelibat dibawah pokok. Dan, ya! Aku nampak kelibat seseorang yang aku kenal. Ternyata, itu suamiku. Terus aku berjalan ke arahnya. Hairan.
"Abang, apa awak buat disini? Bukan kata nak balik Pahang ke?"
"Kau tanya apa aku buat di sini? Dari tadi aku ekori kau. Aku nak tengok perangai buruk kau! Betul tekaan aku. Kau ada simpan jantan lain."
"Sumpah bang. Saya tak buat semua tu."
"Jangan tipu aku Dewi. Kau bagitahu aku, kenapa kau berhenti di Bedong? Bukan Alor Setar? Jantan tu dah tunggu kau dekat sini kan? Nak check in hotel?"
"Tak bang, tak. Saya...saya sendiri tak tahu kenapa saya berhenti dekat sini."
"Tak tahu? Kau jangan nak bodohkan aku Dewi. Aku bukan budak-budak! Kalau bukan check in hotel, kau nak gugurkan kandungan kan?"
"Sumpah bang. Saya tak buat semua tu."
"Kau, jangan ingat aku tak nampak kau masuk dalam klinik tadi. Jantan yang kau bawa bercakap tadi, itu ke jantan yang kau dah bawa tidur?"
Aku menekup mulutku. Sedih. Hiba. Itu yang aku rasakan saat ini. Sudahlah aku binggung kenapa aku turun di sini. Sekarang, suamiku pula menuduh aku yang bukan-bukan. Perkara yang langsung tak pernah terfikir untuk aku lakukan. Tersedu-sedu aku menahan tangis.
"Kau jangan menangis perempuan sundal! Dasar perempuan murahan! Sini, ikut aku. Aku nak jumpa dengan doktor yang gugurkan kandungan kau."
Tanganku direntap kasar. Aku membiarkan Yavin menarik tanganku hingga ke klinik. Biarlah. Asalkan dia puas. Aku tidak bersalah.
Setelah puas Yavin berperang mulut dengan jururawat serta doktor di klinik berkenaan, akhirnya dia terpaksa akur. Aku tahu. Walaupun pihak klinik sudah menjelaskan perkara sebenar, dia tetap ego.
Tetap mengatakan bahawa aku selingkuh di belakangnya. Dia tetap menuduh aku perempuan jalang. Sudah bersenggama dengan lelaki lain. Sampai hatimu bang.
Dari perasaan kasih menjadi benci. Begitu jijik dan hina aku dimatanya. Dia menarik aku masuk ke dalam kereta. Katanya, dia mahu menghantar aku terus ke rumah orang tuaku. Tidak perlu lagi kembali. Ya. Aku faham maksudnya. Dia mahukan perpisahan.
Sepanjang perjalanan, Yavin tidak henti- henti menghinaku. Pelbagai kata hinaan terungkap dari bibirnya. Kata-kata yang tidak pernah aku sangka akan lahir dari mulut suamiku. Puas sudah aku menafikan, namun usahaku sia-sia.
Kerana tidak tahan dengan tohmahannya yang bertubi-tubi, aku minta dia turunkan aku di simpang jalan. Ya. Dia turunkan aku disitu. Tanpa pujukan dan rasa sesal. Aku dibiarkan sendirian. Aku hubungi kakak untuk menjemputku.
Setibanya di rumah, ahli keluargaku pelik melihatkan keadaanku. Mata bengkak. Sedu tangisanku masih bersisa. Lantas mereka bertanya, dan aku perihalkan semuanya tanpa berselindung.
Sedang rancak, aku dan ahli keluargaku berborak. Tiba-tiba, terdengar suara yang memanggil namaku di luar rumah. Awalnya, aku menyangka bahawa itu adalah suamiku. Mungkin saja dia datang untuk memujuk aku.
Aku bingkas bangun, berlari membuka pintu. Nah. Sangkaanku meleset!
Suresh??
Buntu aku. Kenapa dia ada disini?
"Apa awak nak?"
"Saya datang nak jumpa awak. Boleh saya masuk?"
"Siapa tu?" Tanya kakak sulongku.
"Saya Suresh. Kawan Dewi."
"Masuklah." pelawa kakakku.
"Jangan! Saya tak mahu kalau Yavin fikir yang bukan-bukan lagi tentang saya. Cakap di luar saja. Apa awak nak?"
"Errr.... Dewi, ke mari. Dekat dengan saya."
Aku seolah-olah terbuai dengan pujukannya. Aku melangkah, perlahan-lahan. Sudah semakin hampir dengan Suresh yang berdiri di luar pagar.
"Dewi!"
Aku tersentak. Aku berpaling. Ibu?
Dan, aku kembali tersedar. Tidak lagi terkhayal dek pujukan Suresh.
"Pergi awak dari sini. Jangan ganggu saya."
"Dewi. Saya sayangkan awak. Jom ikut saya. Saya dah booking hotel. Saya temankan awak malam ni."
Aku mengalih pandangan. Tidak mahu menatap mata Suresh. Geram.
"Awak jangan berperangai orang gila macam ni. Saya difitnah suami kerana awak. Kalau awak tidak beredar, saya hubungi polis! Pergi!!"
Aku berlari, masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Suresh yang tidak henti-henti memanggil namaku.
"Dewi. Dewi. Dewi. Dewi."
*****
Bagaimana kesudahan hubungan aku dengan Yavin? Kegilaan Suresh? Sihir? Ilmu Siam beradu dengan Ilmu Orang Asli? Atau Tok Sami?
*****

Nantikan sambungan kisah Aku, Dewi Kamala Part Akhir jam 8.00 malam esok!

Gambar : Nil kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: