ONCALL
Entah kenapa aku malas untuk pergi kerja hari ini. Mungkin kerana bebanan kerja yang tinggi dan kebodohanku dalam bidang ini, membuatkan aku rasa tertekan.
Mahu tidak mahu, aku harus meredah dugaan ini kerana ini sudah menjadi tanggungjawabku yang diamanahkan oleh pihak yang mengambilku bekerja.
Tidak ada apa yang aneh. Seperti hari-hari sebelumnya, aku masuk bekerja pada pukul 7 petang hingga 12 tengah hari keesokan harinya jika bekerja atas-panggilan.
Kegelapan di waktu senja ini, membuatkan aku lebih tidak bersemangat. Dengan hati kaku dan layu, aku mula membuat pekerjaanku.
Walau hatiku begitu, aku tetp melemparkan senyuman paling manis ketika berdepan pesakitku. Orang kata dengan senyuman sudah mampu menyembuhkan.
*****
"Doktor, doktor." Jururawat memanggilku.
"Ye." Aku menoleh ke arahnya.
"Boleh ambikkan darah untuk pesakit yang dekat dalam unit kebakaran tu tak?"
"Boleh, kejap lagi saya ke sana. Nak darah apa je?"
"FBC (full blood count) je. Dia baru lepas tranfuse darah doktor."
"Ok!" Sambil melempar senyuman paling manis.
Aku melihat jam dinding. 3 pagi. Mataku sudah memberat dan badanku sudah keletihan.
*****
"Nurse, mana patient yang nak kena amik FBC tadi?"
"Dalam bilik tu doktor. Bilik 6." Sambil menunjukkan ke arah biliknya.
Unit kebakaran biasanya meletakkan hanya seorang pesakit di dalam satu bilik. Unit ini juga kekal sejuk kerana berpenghawa dingin.
Aku mula menyiapkan alat-alat yang diperlukan untuk mengambil darah seperti picargari, jarum, kapas beralkohol dan tourniquet.
Aku membawa ke semua peralatan tadi di dalam bekas besi yang berbentuk seperti kacang gajus ke bilik pesakit tadi.
Aku lihat dia berbalut hampir setengah dari badannya. Kulitnya melepuh disebabkan air panas yang dicurahkan kepadanya.
Tergamak sekali pelaku melakukan demikian hanya kerana meminta sedekah. Mungkin dia kelihatan agak tidak terurus, tetapi tidak pula dia harus dilayan sebegitu.
"Maaf ye cik saya ganggu pepagi buta ni. Saya nak ambil darah sikit ya."
"Hari-hari pun angkat darah ke?" Kata wanita berbangsa India itu.
"Maaf ye. Saya nak tengok darah cik dah cukup belum. Tadi kan baru lepas tranfuse darah."
"Kalau asik amik je, mane nak cukup." Jawabnya sedikit kesal.
"Maaf ye. Sikit je." Aku cuba merayu
"Ok." Dia setuju.
Aku pun membuka langkah. Jurus-jurus mengambil darah dimulakan. Aku tunduk sedikit dan mula menusuk picagari berjarum ke kulitnya.
Aku menolak picagari berjarum lebih dalam. Darah mula mengisi. Sedang aku cuba menarik lebih banyak, tangannya mula bergerak mengalihkan tangannya.
"Cik jangan goyang ye. Sikit je lagi. Nanti takut tak cukup, kena cucuk balik."
"Doktor, itu itu." Suara seperti tergagap.
"Sikit je lagi." Aku masih menunggu dia untuk tidak bergoyang.
"Doktor, itu kat belakang."
Belakang? Apa yang belakang? Rasanya hanya kami berdua di sini. Aku kaku. Aku melihat ke arahnya. Matanya memberi isyarat seperti ada sesuatu dibelakangku.
"Tak apa cik jangan goyang. Sikit je lagi." Aku cuba menggagahkan diriku walaupun suara terketar.
Tiba-tiba, dia yang dari baring terus berundur ke kepala katil sampai berkeadaan duduk. Aku cuba mengekori tangannya kerana jarum masih tertusuk.
"Itu belakang, sudah kat bawah. Ha, kat bawah."
Ah sudah. Jantungku berdegup laju. Apa pula yang sudah di bawah katilnya.
"Nurse! Tolong saya kejap. Pesakit ni geraklah."
"Pesakit tu memang susah sikitlah doktor. Dia ada masalah sikit. Jap saya datang." kedengaran suara jururawat itu sedikit menjerit dari luar.
Kedengaran tapak kaki dari langkah jururawat tadi berjalan ke arah bilik itu.
"Argh!!!!!!" Jururawat yang baru muncul di pintu bilik itu menjerit dan jatuh pengsan.
Kenapa pula ini? Aku masih terkaku di situ.
Tiba-tiba...
"Aku nak darah dia..." kedengaran suara garau dari bawah katil.
Bilik yang sejuk itu terasa panas kerana jantungku berdebar kencang. Peluh mula mengalir dipipiku. Seribu satu doa yang boleh aku baca, terkumat kamit dibibirku.
"Aku nak darah yang kau ambik tu...!"
"Jangan kacau aku. Darah ni bukan kau punya." Aku mengagahkan diri.
"Kenapa kau boleh. Aku tidak?" Sepertinya dia mula marah.
"Aku nak tolong dia. Bukan macam kau."
Aku menarik nafas dalam dan menarik picagari tadi. Picagari itu aku letak di dalam bekas.
"Apa kau nak!"
Aku tunduk ke bawah katil untuk bersemuka dan pada waktu yang sama, azan Subuh berkumandang.
Tiada apa di situ. Kosong. Aku lega. Aku kembali bangun dan duduk disebelah pesakit. Pesakit tadi juga sudah tidak sedarkan diri.
Aku membangun pesakit tadi, posisikan dia baik-baik agar dia boleh beristirahat. Dia yang masih separuh sedar, kembali tidur.
"Kak bangun!" Aku cuba membangunkan jururawat tadi.
"Ehh...mmmm...doktor." jururawat yang baru sedar tadi terus berlari ke luar unit kebakaran.
Aku hanya mengikutnya dari belakang. Sampai sahaja diluar unit itu,.
"Doktor, doktor. Benda apa tadi tu? Saya tak nak masuk balik. Saya takut..."
"Saya pun tak tahu. Saya tak nampak, saya dengar suara je. Awak nampak?"
"Tak tahu nak cakap macam mana, yang penting besar gelap dan nampak mulut bertaring macam serigala."
"Yang penting, masa saya keluar tadi, benda tu tak ada dah. Kalau awak takut, awak minta tolong staff dari unit lain teman awak sampai cerah. Takkan nak biar pesakit sorang-sorang macam tu je.Dah, saya pergi solat jap."
"Ok doktor." Jawabnya.
Aku meluru ke surau dan berwuduk. Terasa pedih di ibu jari kaki kananku. Kelihatan kesan gigitan besar dan sedikit darah keluar mengalir.
"Terima kasih." Suara garau itu lagi.
-Tamat-
Admin,
*Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com
Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment