SERU
Karya : Nur Kasih
============================
Aku sememangnya agak gemar untuk duduk mengambil angin di beranda rumah ibu dan ayahku, tenang rasanya disini. Suasana kampung yang sangat mendamaikan. Disusuli dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut bersama haruman bunga yang sangat memukau perasaanku. Bau haruman bunga kemboja.
Tapi seringkali juga aku terasa seakan ada yang memerhatikan aku, sama ada manusia ataupun makhluk Allah yang tidak bisa ku lihat dengan mata kasar. Tapi boleh jadi itu hanyalah khayalan ku semata-mata.
"Luqman, masuk cepat dah nak maghrib ni... tutup pintu tu" kedengaran suara ibu memanggilku.
"Baik ibu." aku melangkah masuk kedalam seraya menutup pintu.
Usai solat maghrib aku terus mencapai telefon bimbitku yang terletak diatas katil. Segera aku log masuk ke akaun 'Muka Buku'. Terdapat beberapa makluman yang ku terima, termasuklah jemputan dari seorang sahabatku iaitu Nur Kasih untuk menyukai satu page yang kian meningkat naik dan semakin disukai ramai pengguna muka buku kerana banyak perkongsian kisah-kisah seram.
'ARKIB ANGKER NEGARA'
"Bunyi macam menarik... okey aku cuba."
Setelah membaca beberapa kisah seram, terdetik pula hatiku untuk berkongsi sebuah cerita iaitu kisah yang benar-benar aku alami. Tanpa membuang masa jari jemariku kian rancak menari diatas papan kekunci komputer milikku. Ku taip bait-bait ayat yang sesuai aku gunakan didalam penceritaanku.
-Pontianak berbaju kebaya-
Karya Luqman
Kisah ni berlaku 1tahun yang lalu, saat aku baru saja pulang dari bermain futsal di hujung kampung ku. Namun, jaraknya hanya memakan masa 20minit jika berjalan kaki.
Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki, ini kerana jarak yang tidak terlalu jauh. Sekurang-kurangnya dapat juga aku bersenam, badan sihat minyak kereta pun jimat. Harga minyak kan selalu saja naik.
Petang itu, semasa aku sedang berjalan kaki aku dapat rasakan seseorang sedang menghampiriku dari arah belakang, namun sebaik saja aku menoleh kebelakang, tiada sesiapa dibelakangku.
“Macam ada orang ikut aku tadi. Ahh, tak ada apalah.” Aku merungut kerana rasa tidak selesa diekori.
Tak lama selepas itu, bauan haruman bunga yang kian kuat menusuk kerongga hidungku, aku meneruskan perjalanan. Jauh di hadapan ku jelas terlihat seorang gadis berpakaian kebaya sedang berjalan mendahului aku.
"Dari mana pula awek ni muncul... tiba-tiba ada kat depan" aku berteka-teki sendiri.
Aku terus mengatur langkah tanpa memikirkan lagi tentang gadis yang berada di hadapan ku. Semakin lama aku semakin hampir, jarak ku dengan gadis berkebaya itu hanya beberapa langkah saja lagi. Aku memperlahankan langkahku, namun semakin lama gadis itu kian mematikan langkahnya.
Dia berhenti tepat dihadapan rumahku, aku meneruskan saja langkah. Barangkali gadis itu sedang menunggu seseorang.
Sebaik saja aku lalu dihadapan 'si gadis berkebaya' terasa tanganku di sentuh lembut.
"Saya tunggu awak..." ujarnya lembut.
_________________________________
Tokk! Tokk! Tokk!
Tingkap bilikku diketuk. Aku memberhentikan penulisanku. Suasana bilikku menjadi agak dingin, aku mematikan kipas namun kedinginan kian bertambah. Seakan berpenghawa dingin, aku mula rasa tak sedap hati. Bulu roma pula kian menegak. Seakan ada sesuatu yang tidak kena, tapi aku cuba abaikan dan ingin meneruskan penulisan ku.
Papan kekunci komputer aku capai semula, baru sahaja aku ingin memulakan penulisan aku terasa telinga ku di tiup lembut. Bau haruman bunga kemboja kian memenuhi ruangan kamar tidurku.
Tokk! Tokk! Tokk!
Pintu bilikku ku di ketuk.
"Luqman..." ibu memanggilku
"Ada apa ibu?"
"Buka pintu ni...ibu nak masuk."
"Masuklah, pintu tak kunci." ujarku.
Senyap
"Ibu...."
Masih senyap
"Ibu....masuklah."
Suara ibu tidak pula kedengaran. Aku segera membuka pintu.
Kosong.
"Ibu.........."
Aku keluar mencari ibu.
"Ibu......ooo....ibu...." di dapur tak ada.
"Ibu.......ibu.......engkau lah ratu hatiku......"
aku kemudian pergi ke ruangan hadapan.
"Apa hal dengan kamu ni Luqman?" Ayah yang sedari tadi duduk di sofa dekat ruang hadapan kemudian menyapa ku.
"Ni...Luqman cari ibu…tadi ibu...."
"Ibu kamu kan pergi ke rumah makcik Tijah kamu sejak dari petang tadi..." terang ayah.
Ibu ke rumah makcik Tijah?
"Ibu pergi dengan sape?" Soalku kemudian ingin kembali ke bilik tidurku.
"Dengan ayah!" Balas ayah lagi.
Terhenti serta merta langkah kaki ku. Segera aku menoleh kearah sofa tempat ayah aku duduk.
Ayah tak ada.
Aku pun dengan seribu langkah berlari masuk kebilik. Pintu aku kunci dan segera melompat keatas katil. Aku pun tak sedar sejak bila aku tertidur, sedar-sedar je hari dah pagi.
Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari dalam bilik. Aku harap ni bukan mimpi macam kat dalam filem seram, bangun pagi jumpa hantu tapi rupanya mimpi. Minta di jauhkan!
Aku cubit pipi kanan ku. Aduhhh! Sakit! Ok, nasib baik bukan mimpi.
"Luqman, buat apa tercegat kat situ? Jom sarapan" aku lihat ibu sedang menyediakan sarapan pagi.
Dengan lemahnya aku melangkah menghampiri meja makan. Ayah pula memang dah sedia ada kat meja makan. Aku tenung wajah ayah agak lama. Takkan ayah nak perdajalkan aku semalam?
"Kamu tenung wajah ayah, boleh kenyang ke?" Perli ayah.
"Ada apa ni Luqman? Asyik termenung je." soal ibu pula. Mungkin ibu menyedari sikap ku yang agak pelik pagi ni.
"Tak ada apa ibu." aku kemudian menjamah makanan ku. Agak hilang selera ku untuk makan.
=====================================
"Malam ni aku kena siapkan cerita seram aku. Kalau si Nur Kasih tu boleh share cerita seram dia tu, takkan lah aku pula tak boleh. Cerita dia tu tak lah seram mana.'Tandas Angker' lah sangat.”
Jari jemari aku dah sedia kat atas papan kekunci komputer aku, kisah 'Pontianak Berbaju Kebaya' mesti aku siapkan.
"Assalamualaikum awak......." kedengaran suara halus singgah di cuping telinga ku, agak sayup tapi sangat jelas.
Tiba-tiba suasana kamar tidurku terasa dingin, peristiwa beberapa malam yang sudah kembali menerjah di kotak fikiran ku. Aku mengambil keputusan untuk tidur saja malam tu dan terus mematikan hasratku untuk meneruskan penulisan ku.
Malam itu, semasa aku sedang tidur. Aku bermimpi di datangi seorang wanita berkebaya hitam, wangian bunga kemboja kian memenuhi ruangan bilik tidur ku. Perlahan-lahan dia menghampiriku,
"Siapa?" Soalku.
"Aku... Kemboja." ujarnya lembut. Sungguh gemersik sekali suaranya.
"Macam mana kau boleh masuk kat bilik aku?" Soalku lagi yang kebingungan.
"Kau yang seru aku....lalu aku datang menemui mu." Kemboja tersenyum memandangku.
"A…aku...aku tak seru kau. Aku tak kenal kaulah." terasa kaku tubuhku bagaikan terkunci.
"Itu.........." dia menghalakan jarinya kearah komputerku. Terpapar pada skrin cerita seram yang aku tulis. Cerita yang hanya 40% yang sempat aku tulis.
Aku memandangnya dengan seribu persoalan. Mengharap penjelasan yang lebih terperinci.
"Kau sedang menulis cerita tentang aku bukan?"
"Maka....apabila kau menulis sesuatu tentang aku......"
"Aku akan segera hadir...."
"Apabila kau hanya memikirkan tentang aku...."
"Aku akan segera menemui mu..."
"Kau yang seru aku... selagi kau tidak menghantar ku pulang... maka aku akan sentiasa berada di sini."
Aku kaget mendengar penjelasan Kemboja. Ada ke patut, aku menulis cerita tentang pontianak dia kata aku seru dia.
"Kau silap, aku tak pernah seru kau!" Aku cuba untuk bangkit, tapi gagal.
"Hantar aku pulang.........tolong......" perlahan-lahan wajah Kemboja yang tadinya cantik berubah menjadi pucat. Kulitnya yang tadinya mulus berubah menjadi menggerutu. Kulit wajahnya bagaikan di siat-siat. Hancur lalu mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Hilang segala haruman bunga kemboja.
"Luqman... tolong hantar Kemboja pulang...huuuhuuhuuu" aku terdengar tangisan sayu Kemboja sekaligus membuatkan bulu roma ku semakin meremang.
"Tolong Luqman...hihihihihi... " tangisan tadi bertukar menjadi hilaian.
"Luqman... hihihihihi... " kedua tangan Kemboja kini berada diatas leherku. Tangannya yang mencengkam kuat hingga menyebabkan aku kian sukar untuk bernafas.
“Ya Allah.... bantulah aku.” hanya batinku yang mampu menjerit.
Nafasku kian tipis. Aku hanya mampu meronta. Kedua kaki ku bagaikan menendang angin.
Panggg!!
Aduhh! Sakit bukan kepalang di pipi kananku. Terasa semua bebanan tadi hilang dan di ganti dengan rasa perit di pipiku.
"Haaa... tu Kemboja kamu!"
Aku menggosok kedua belah mata ku. Bayangan wajah ayah semakin jelas di mataku.
"Ayah?" Soalku.
"Ayah kejutkan kamu...tapi kamu taknak bangun..." ayah berdiri di tepi katil bujang aku.
"Luqman mimpilah ayah... mimpi pontianak." jelasku pada ayah.
"Ayah tampar Luqman ke?" Masih perit lagi rasanya di pipiku.
"Dah kamu susah sangat nak bangun...hehehe."
"Cepat bangun, kita solat subuh berjemaah." ayah kemudian berlalu keluar.
Aku bingkas bangun untuk mandi. Namun langkah ku terhenti.
“Semalam aku dah matikan suis dan komputer aku kan?”
Perlahan-lahan aku menghampiri meja tulis ku. Cerita yang aku taip semua hilang. Mana perginya??
Tingg!
'1 mesej baru'
Nur Kasih online
Segera aku buka whatsapp
“Assalamualaikum, Luq...”
“Apa benda yang kau hantar kat inbox Facebook aku tu? Seram gila. Masa aku tengah baca tu, aku kena ganggu tau tak? Tak berani aku baca sampai habis.”
“Dah kenapa dengan dia ni? Bila masa pula aku hantar cerita seram?” aku berbisik sendirian.
Aku abaikan mesej dari Nur Kasih. Segera berlari kebilik air bila terdengar suara garang ayah memanggilku.
Pagi tu, aku segera buka akaun Facebook milikku. Banyak makluman serta inbox yang aku terima. Semua menyatakan hal yang sama. Kisah seram yang aku taip kini berada di peti mesej semua senarai rakan Facebook ku. Tapi aku tak hantar pun. Bahkan cerita tu pun aku tak siapkan lagi. Pelik!
Aku terpaksa mengambil keputusan untuk nyahaktif akaun Facebook ku. Mungkin dengan cara tu kawan-kawan aku tak lagi di ganggu.
Nyahaktif. Selesai.
Tapi sangkaanku ternyata meleset. Cerita itu kini semakin tersebar, aku sendiri tak tahu siapa yang sebarkan. Sesiapa saja yang membacanya pasti akan mendapat pelbagai gangguan.
Malam kian menjelma. Sekali lagi aku terhidu haruman bunga kemboja diruangan bilik tidur ku. Skrin komputer ku menyala secara tiba-tiba. Kedengaran bunyi papan kekunci komputer milikku seakan ditekan seolah-olah seseorang sedang menaip.
Jelas terpapar di skrin;
'SELAGI NAMAKU KAU SERU DI SETIAP KISAH MU...AKU TIDAK AKAN BERHENTI MENGHANTUI MU!'
-tamat-
Nota: jika anda menerima kisah/cerita seram pada inbox anda. Sila padam serta merta. Kerana mungkin anda adalah salah seorang mangsa seperti kami!
==========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment