Friday, 3 November 2017

SUICIDE - Suzie Aziz


SUICIDE

7:20 p.m- Damansara
Dia berdiri di atas tembok balkoni di tingkat 25. Pipinya basah oleh air mata. Dia tidak tahu kenapa dia terlalu sedih. Kenapa hatinya terasa sangat sakit. Terasa seperti dipermainkan. Mentari merah di ufuk barat terasa seperti lahar api yang membakar wajahnya. Dia menjadi benci dan marah secara tiba-tiba.

“Bib”
Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya. Perlahan-lahan telefon dikeluarkan dari poket seluar. Segera dibuka pesanan yang masuk. Dibacanya sepintas lalu sebelum wajahnya bertukar riak gembira. Dipusingkan badannya mengadap pintu gelangsar. Telefon pintar didekatkan ke wajah selepas mode video diaktifkan. Dia merakam saat-saat yang dianggap seperti momen terindah dalam hidupnya untuk seseorang.
“I’ll be there.”
Badannya dicondongkan ke belakang. 
Bagai seekor burung dia melayang ke bawah sebelum terhempas di atas sebuah kereta. Remuk bumbung kereta milik penghuni apartment itu ditimpa tujahan tubuhnya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menjerit ketakutan. Mereka kemudiannya mengerumuni mayat yang terperosok dalam keadaan kaki terpusing dan kepala terkulai. Lehernya patah. Sungguh aneh. Walaupun dalam keadaan yang sangat mengerikan, wajah itu tetap tersenyum bahagia. Tidak jauh dari situ kelihatan seseorang sedang mengutip sesuatu yang terpelanting daripada mayat yang malang itu.

7.25 p.m - Ipoh
Dia mencapai empat bilah pisau dari dapur. Perlahan-lahan dia mendaki tangga ke biliknya. Tiada sesiapa di rumah ketika ini. Dia mengunci pintu bilik dan menyendalnya dengan kerusi. Wajahnya murung. Matanya merah kesan tangisan yang lama. Dia melihat-lihat sekitar bilik tidurnya yang bernuansa gelap dan suram. Rasa benci dan sakit hati datang secara tiba-tiba. Terasa diri sangat tidak dihargai.
“Bib”
Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya. Dia mengesat air mata yang masih bersisa di pipi sebelum mencapai telefon di atas katil. Segera dibuka pesanan yang masuk. Dibacanya berulangkali dengan hati yang berbunga-bunga. Empat bilah pisau disusun menegak di atas lantai menggunakan gelas kaca. Mata pisau berkilau dipanah cahaya lampu tidur. Sebuah kerusi ditarik dan diletakkan mengadap katil. Telefon pintar disandarkan di atas kerusi itu. Mode video diaktifkan. Senyuman bahagia menguntum di bibir ketika kakinya memanjat katil. Badannya dihadapkan ke arah pisau yang terpacak tajam.
“I’ll be there.” Badannya dicondongkan ke hadapan. Bagai dijangka, tubuhnya melayang menimpa mata pisau. Terasa ngilu bila melihat empat bilah pisau menusuk mata, leher, dada dan perutnya hingga tembus ke belakang. Bunyi kaca yang pecah berderai memancung kesunyian bilik yang suram itu. Kelihatan darah mula membanjiri bawah badannya. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, dia memusingkan badan dan terlentang mengadap siling. Empat bilah pisau dan serpihan kaca berceracak di tubuhnya yang dibasahi darah. Biarpun kecederaannya sangat parah, diwajahnya senyum tetap terukir bahagia.
Di sebalik kegelapan bilik tidur itu, kelihatan sebelah tangan mencapai telefon bimbit yang terletak di atas kerusi.
7:30 p.m - Karak
Dia berdiri di tepi lebuhraya. Motosikalnya ditinggalkan sejauh satu kilometer. Dia melihat kenderaan-kenderaan yang dipandu laju dengan hati yang sangat hiba. Airmatanya mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Dia tidak tahu kenapa hatinya terlalu sayu. Bahunya terhingguk-hingguk akibat kesedihan yang melampau. Dia merasa sangat tidak berguna. Bunyi bising enjin kenderaan yang melintas di hadapannya menimbulkan rasa marah secara tiba-tiba.
“Bib”
Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya. Dengan susah payah dikeluarkan telefon dari poket seluar jeans yang ketat. Segera dibuka pesanan yang masuk. Dalam kegelapan malam, wajahnya yang muram bertukar ceria. Go Pro yang dipasang pada topi keledarnya dihidupkan. Kakinya dibuka dan menantikan saat yang tepat. Dia melihat sorot lampu kenderaan menghampiri tempatnya berdiri.
“I’ll be there.” Dia melompat ke tengah lebuhraya. Sebuah kereta tidak sempat membrek lalu merempuhnya. Tubuh itu melayang ke belakang dan tergeletak di situ. Sebuah pacuan empat roda yang tidak perasan sekujur tubuh yang terguling di atas asfalt melanyak kakinya sebelum sebuah treller membawa muatan balak menggilis tubuhnya hingga hancur. Cebisan daging dan tulang berserakan di atas jalan. Kepalanya yang masih berhelmet terpelanting ke tepi lebuhraya dan bergolek di kaki seseorang yang kemudiannya mencabut Go Pro yang masih melekat. Segera ditinggalkan kepala yang masih terhias senyuman ceria.
7.35 p.m - Ayer Keroh
Dia berdiri di pinggir kandang buaya. Kelihatan di sisinya sebuah bakul besar berisi daging ayam sebagai makan malam buat buaya-buaya yang dijaganya. Beberapa kali dia mengesat mata dengan kolar baju. Teresak-esak dia menangis. Kesedihan yang dialami tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Hatinya bagai ditikam dengan ribuan pisau. Matanya merenung buaya-buaya yang kelaparan di bawah. Entah kenapa dia merasa sangat benci melihat buaya-buaya yang sedang membuat bising sambil melibas-libaskan ekor.
“Bib”
Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya. Segera dikluarkan telefon dari saku baju kerja. Dibaca pesanan ringkas yang dihantar. Amarah yang meraja di hatinya sebentar tadi segera terpadam berganti rasa bahagia yang mengasyikkan. Telefon dipasang pada pemegang telefon sebelum dikepit pada pagar kandang. Kamera telefon dihalakan ke arah buaya-buaya di bawah. Mode video diaktifkan.
“I’ll be there.” Dia melompat ke dalam kandang buaya. Buaya-buaya yang kelaparan segera mengerumuninya. Seekor buaya membenamkan giginya yang tajam ke perut sebelum dirobek hingga terburai. Kolam buaya bertukar merah. Bau darah membuatkan buaya-buaya itu semakin mengganas. Dia membiarkan sahaja apabila buaya-buaya itu mula berebut-rebut merobek tubuh badannya. Biarpun tangan dan kakinya direntap hingga terputus dan tubuhnya hancur dimamah sang bedal namun senyuman manis tetap terukir di bibirnya.
Seseorang berdiri di pinggir kolam. Telefon bimbit beserta pemegangnya diambil. Sebelum berlalu meninggalkan kolam itu, daging ayam yang sepatutnya menjadi makan malam sang buaya dicurah ke bawah.

7.40 p.m Johor Baharu
Dia bersendirian di balai. Rakan-rakannya berada di luar mengikut tugasan yang diberikan. Sedari tadi balainya sepi dari dikunjungi orang awam. Kebiasaannya waktu-waktu begini ada juga seorang dua yang datang membuat laporan. Dia terpunduk merenung lantai. Kedua tapak tangannya memekup muka. Dia sedang berusaha menahan tangis. Hatinya remuk rendam. Kenapa dia mesti diperlakukan sebegini. Di mana harga dirinya. Bunyi putaran kipas siling mengganggu deria pendengarannya. Dia merasa jengkel. Merah matanya merenung kipas yang berputar ligat.
“Bib.”
Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya. Dia mencapai telefon yang terletak di atas meja. Mesej yang diterima dibaca dengan hati yang gembira. Senyuman terukir pada wajahnya yang muram sebentar tadi. Sepucuk pistol dikeluarkan dari sarungnya. Dia bangun dari kerusi lalu menuju ke bilik tahanan sementara. Terdapat tiga orang tahanan reman sedang duduk berteleku di atas lantai. Mereka kelihatan cemas bila melihat dia berdiri di hadapan jeriji besi bersama-sama pistol di tangan. Telefon bimbit yang mempunyai pelekat bermagnet dilekatkan pada jeriji besi. Mode video diaktifkan.
“I’ll be there.” Dia menutup mata. Muncung pistol dihalakan ke kepala di sebelah kanan sebelum satu das tembakan dilepaskan. Otaknya tersembur bersama-sama peluru yang menembusi tengkoraknya. Tubuhnya yang sedikit berisi tumbang ke belakang. Tiga orang tahanan reman menggigil ketakutan melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Salah seorang dari mereka merangkak menghampiri jeriji besi. Rasa takut bertukar aneh apabila melihat senyuman manis pada wajah mayat itu.
Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Tidak sampai lima saat lampu kembali menyala. Seorang tahanan reman yang agak berusia merenung jeriji yang tadinya terlekat sebuah telefon tetapi telah hilang.
-Sebulan yang lalu-
Zamri melayari sebuah blog yang ditemui secara tidak sengaja ketika hatinya sangat terluka. Dia telah di friendzone oleh gadis yang sangat digilainya. Dia sedar dia tidak memenuhi ciri-ciri lelaki idaman gadis itu. Rupa-rupanya gadis itu menjadikannya batu loncatan untuk mencapai cita-cita menjadi seorang model disebabkan tugasnya sebagai seorang jurugambar.
Zamri membaca coretan yang dirasakan ditulis oleh seorang gadis. Zamri menyukai setiap coretan di laman blog itu. Setiap hari dia akan menunggu update terbaru si gadis sehinggalah satu hari si gadis menulis sesuatu yang menarik perhatiannya.
“YOU’RE NOT ALONE”
“CALL ME”
“AND I’LL MAKE YOU SMILE AGAIN.”
019-356****
Hati Zamri melonjak gembira namun dia teragak-agak. Bimbang jika empunya nombor bukanlah seorang gadis seperti yang diharapkan. Ah, persetan. Dicapainya telefon lalu dikuatkan hatinya untuk menghubungi nombor yang diberikan. Jantung Zamri berdegup laju apabila panggilannya disambut. Terdengar bunyi petikan piano.
“Hello”
Zamri menunggu jawapan balas. Namun hanya bunyi petikan piano yang kedengaran. Zamri seperti pernah mendengar melodi itu.
Another day has gone
I'm still all alone
How could this be
You're not here with me
You never said goodbye
Someone tell me why
Did you have to go
And leave my world so cold
…..

Suara merdu seorang gadis menyanyikan lagu Michael Jackson ‘You’re Not Alone’ menyapa telinganya. Zamri terbuai mendengar kelunakan suara si gadis. Sejak hari itu setiap hari Zamri akan mendail nombor si gadis dan menikmati suaranya menyanyikan lagu ‘You’re Not Alone’. Dia mula ketagihan. Kerja-kerjanya terabai. Hatinya resah jika tidak mendengar suara si gadis. Dia dirasuk kerinduan pada suara tidak berjasad. Hampir setiap jam dia akan mendail nombor si gadis. Menghayati bait-bait lagu yang dinyanyikan seolah-olah si gadis sedang bercakap denganya. Memahami hatinya yang sering dilukai wanita. Hinggalah satu hari, panggilannya tidak bersambut.
Hampir gila Zamri jadinya. Dia menangis, meratap hiba di biliknya. Sudah hampir sebulan dia begitu. Dia rasa seperti sampah yang tidak berguna. Didail nombor si gadis berulangkali namun gagal. Hanya suara operator yang setia memberitahunya 
“nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan.”
Sehinggalah malam tadi Zamri menerima satu pesanan ringkas dari gadis yang sangat dirinduinya.

“Whisper three words and I'll come runnin”
-reply please
Zamri segera membalas.
“And girl you know that I'll be there
I'll be there”

-send
7.45 p.m - Kuala Lumpur
Zamri membaca arahan yang diberikan. Dia turun ke tingkat bawah lalu menuju ke bilik air. Dia melihat pemanas air yang tergantung di bilik air. Tukul besi yang dibawanya bersama digunakan untuk mengetuk alat tersebut. Kelihatan beberapa percikan api. Tukul dicampakkan ke lantai. Airmata mengalir laju di pipi. Rasa sayu menghiris hatinya. Dia merasa tidak disayangi. Matanya tertancap pada cermin yang memantulkan wajahnya yang berjerawat batu. Wajah itu dipandangnya penuh kebencian.
“Bib.”
Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya. Dia segera membuka pesanan tersebut.
“Wash yourself
And show me your Smile 
Whisper three words and I'll come runnin”

Kebencian yang berapi dihatinya menjadi dingin. Zamri meletakkan telefonnya di atas meja console yang mengadap pintu bilik air lalu mengaktifkan mode video.
“I’ll be there.”
Bagai dipukau dia berpatah balik ke bilik air. Dia mengadap telefonnya sebelum membuka pancuran mandi. Air pancuran laju membasahi tubuhnya.. Alat pemanas yang telah dirosakkannya sebentar tadi mula memercikkan api dan satu renjatan elektrik yang dahsyat membuatkan tubuh Zamri bergoncang hebat sebelum rebah terlentang. Tubuhnya berasap dan sebahagian badannya melecur kesan terbakar. Di saat ajalnya semakin hampir, Zamri dapat melihat seorang gadis jelita tersenyum padanya sambil menghulurkan tangan. Zamri menyambut huluran gadis itu dan tersenyum bahagia.
Seseorang menyelinap ke dalam rumah Zamri lalu mengambil telefon miliknya. Seperti angin si penceroboh menghilang di sebalik kegelapan.

***************
Satu siri video menjadi viral dan dikongsi hampir di seluruh dunia. Enam video yang memaparkan aksi bunuh diri enam orang pemuda dengan cara yang sangat mengerikan. Dipercayai video tersebut dirakam sendiri oleh mangsa dan berlaku di Malaysia. Yang lebih mengerikan lagi, lagu yang mengiringi paparan video-video tersebut telah dikenalpasti dinyanyikan seorang gadis yang mati membunuh diri lima tahun yang lalu. Pihak polis cuba mengenalpasti siapa dalang yang memuat naik video-video tersebut namun masih gagal. Netizen percaya, siri video tersebut adalah permulaan untuk satu jenayah terancang yang berselindung di sebalik perbuatan SUICIDE.
You are not alone
I am here with you
Though we're far apart
You're always in my heart
you are not alone

Whisper three words and I'll come runnin’.
***************
Karya: Suzie Aziz
Suntingan: Kucing Kelabu
Gambar: Pinterest, edit oleh Gongpal Topek

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: