Sunday, 26 November 2017

KAMPUNG DURIAN DAUN - Kalillah Khairul Anuar


KAMPUNG DURIAN DAUN

======
Laila bukan nama sebenarku. Aku adalah anak jati Selangor yang dijodohkan Allah dengan dua pupu ku yang berasal dari Melaka. Lebih tepat lagi, orang Kampung Durian Daun Masjid Tanah Melaka. Kami menetap di Tanjung Bidara dan sering berulang alik ke rumah mertuaku yang terletak di Kampung Durian Daun.
Keadaan kampung ini tidak seperti kampung-kampung tipikal yang selalu aku tonton dalam drama. Riuh dan kecoh. Kampung ini sangat sunyi walaupun di siang hari disebabkan banyak rumah-rumah kampung disini tidak berpenghuni. Rumah-rumah ini hanya bernyawa pada hari-hari cuti atau hari raya. Bilangan rumah berpenghuni boleh dikira dengan jari dan penghuninya kebanyakkan adalah warga emas.

Aku suka dengan kedamaian kampung ini kerana aku dilahirkan di bandar yang sibuk. Kampung ini dikelilingi kawasan hutan kecil, fauna seperti monyet, babi hutan dan makhluk halus.

Pada satu malam, aku, suamiku dan dua orang anak kecilku bermalam dirumah nenek mereka. Malam itu terasa sangat sunyi. Aku sering melepak di beranda luar rumah menikmati keindahan malam walaupun ibu mertuaku selalu mengingatkanku tentang adanya makhluk halus ini. Bukan aku tidak mempercayai, tapi aku tidak dikurniakan Allah kebolehan melihat makhluk halus ini. Aku Cuma mendengar cerita2 dari suamiku yang gemar memburu hantu di masa mudanya.
Tiba-tiba aku terdengar bunyi dari hutan kecil dihadapan rumah mertuaku. Aku agak, mungkin babi hutan atau biawak.
Spontan, aku memandang ‘sliding door’ yang hitam legap.
Aku terpana melihat refleksi susuk putih disitu, dan ia berada betul-betul diluar pagar rumah mertuaku. Aku berpaling melihat pagar tapi aku tidak nampak apa-apa disitu. Bulu roma tengkukku tiba-tiba meremang, diikuti lolongan anjing yang panjang.

Aku terus masuk kedalam rumah.

“Ibu, tu cape?” Sampuk anakku, Hannah.
“Eh? Takde sape Nana. Jom, ibu nak tengok TV jom.”
“Ibu, iye nak macok umah Nanny, Ibu ukak la pintu. Cian iye.” Ujar anakku pelat, sambil matanya tertancap pada entah siapa di hadapan rumah mertuaku.
Bulu tengkukku merinding. Lantas, aku segera mendukung anakku ke ruang tengah rumah dimana suamiku dan ibu bapa mertuaku sedang menonton TV.

“Yang, kenapa sejuk nau tangan ni?” tanya suamiku. Aku hanya diam sambil menonton TV tapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Aku terimbas kembali kejadian aneh sewaktu kakak iparku berpantang disini.

Malam itu,aku sedang tidur bersama anak-anakku dibilik belakang. Manakala kakak iparku, anak pertamanya dan si kecil Umar, tidur di ruang tengah hadapan TV.
Pukul 2 pagi itu, abang iparku (abang kepada suamiku) pulang setelah berjumpa sahabatnya. Tiba-tiba Umar menangis kuat sekali. Matanya terbeliak dan seperti dalam keadaan ketakutan. Kakak iparku yang seharian berjaga menyusukan Umar terkejut.
Dia mengesyaki ada sesuatu mengikut abang iparku masuk ke rumah dan menganggu Umar. Suara kakak menjerit-jerit membuatkan aku terjaga dan suamiku terjun dari katil untuk melihat anak buahnya. Puas semua orang memujuknya tapi Umar hanya menangis dengan matanya tertancap pada sesuatu diluar melalui tingkap rumah.
Ibu mertuaku membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan melaungkan azan, keadaan masih tidak berubah. Setelah azan Subuh berkumandang, baru tangisan Umar terhenti. Umar demam keesokkanya.
“Yang, kenapa termenung ni? Mari tolong abang angkat anak masuk bilik. Diorang dah tertidur depan TV.” tegur suamiku.
Aku tersedar dari lamunan dan mengangkat anak bongsuku kedalam bilik. Semasa melalui pintu sliding hadapan, ekor mataku tidak lepas melihat kalau-kalau lembaga itu masih disitu.
Malam itu, lebih kurang pukul lima pagi, aku dikejutkan dengan lolongan sayu anjing. Aku perlu bangun bersiap-siap ke tempat kerja, tapi hajat itu tergendala bila lolongan itu kedengaran sayup-sayup.
Semakin lama, lolongan itu semakin dekat dan mendekat. Peluh dingin mula merecik dan aku menekupkan kepalaku dengan bantal. Ayat-ayat Qursi ku baca dalam hati dan berharap ‘sesuatu’ itu segera pergi. Lolongan itu tiba betul-betul disebelah luar tingkap bilikku.
Tiba-tiba, aku terlihat bayangan hitam diluar jendela. Segera, aku menekupkan mukaku dengan bantal.
Sambil membaca ayat Kursi, aku bermonolog sendiri.
“Aku tak kacau kau, kau janganlah kacau aku dan anak-anak aku. Pergilah balik dari mana kau datang!”
Lolongan sayu anjing itu terus terhenti serentak berkumandangnya azan Subuh. Hatiku lega bukan kepalang.
Kembalinya aku dari pejabat, Ibu mertuaku bercerita yang dia juga mendengar lolongan anjing sepertiku malam tadi. Dia juga mendengan suara berbisik-bisik di jendela rumahnya. Ibu mertuaku mengakui di kampung itu ada bermacam makhluk halus yang berkongsi tempat dengan manusia disitu. Katanya, rumah ini dipagar, maka makhluk-makhluk itu hanya dapat menyakat dari luar pagar rumah.
Bermacam pengalaman seram masih aku rasakan hingga kini, tapi Kampung Durian Daun tetap menjadi tempat persinggahan kami sekeluarga setiap hari memandangkan hanya anak-anakku cucu paling rapat dengan mereka. Apakah lembaga itu dan mengapa ia gemar menyakat keluarga kami kekal misteri hingga kini. Padaku, selagi ia tidak menganggu kami sekeluarga, aku redha kerana kita berkongsi tanah kampung yang sama.
Kisah benarku.
-TAMAT-

No comments: