Tuesday, 14 November 2017

AKU, DEWI KAMALA - PART AKHIR! - Cik Edot


AKU, DEWI KAMALA - PART AKHIR!
Nukilan : Dee Edot (Cik edot)


Nota Kaki : Penceritaan berdasarkan kisah benar. Nama watak sahaja ditukar sebagai tanda menghormati peribadi dan aib si pencerita. Dan, saya peminat kumpulan Khalifah!
23.10.2002
Rabu, malam. Hari ke 2 aku di rumah mak di Alor Setar. Hari ni aku culas kerja. Masalah kesihatan bukanlah lagi puncanya. Aku sudah pulih dari keracunan makanan. Tapi kini, masalah aku dan suami menjadi asbab utama. Ya, aku emosi.
Aku sedih dan terkilan dengan apa yang terjadi. Selama ini, tidak pernah aku dan Yavin bergaduh. Apatah lagi hingga membawa kepada niat untuk berpisah. Jujur, aku terluka dengan kata-kata yang dilemparkannya. Tapi, dalam hati masih wujud perasaan sayang.
Aku menunduk pandangan. Menguis-nguis kaki pada lantai simen. Wajah Nandini aku tatap, sayu.
"Dewi. Kawan kau semalam datang lagi. Dia ada diluar pagar." tegur kakak ketigaku.
"Haa? Apa dia nak."
"Entah. Manalah aku tahu. Kau keluar, pergi tanya sendiri."
Bungkam. Aku bangun dari dudukku. Anak yang sedang aku dukung, aku serahkan pada Ibu.
Di halaman, dalam pagar rumah.
"Apa yang awak nak lagi, Suresh?"
"Saya datang nak jumpa awak. Jom ikut saya. Kita pergi pekan."
"Buat apa?"
"Saya dah tempah hotel di Jalan Putra. Jom lah. Saya hanya nak temankan awak. Saya akan layan awak sebaik mungkin. Saya sayangkan awak Dewi. Saya tahu, awak sekarang ada masalah dengan suami kan?"
Terkedu. Aku memandang Suresh. Tiada kata balas dariku. Aku melangkah, perlahan. Mendekatinya. Dia berdiri di luar pagar bercat putih, yang tingginya hanya separas dada. Berkunci.
Makin dekat. Ya, cukup dekat aku menghampirinya. Dan.....
"Panggg!!"
Terteleng wajah Suresh. Si kerang busuk yang tersengih sedari tadi. Sakit hati aku. Padan muka kau! Lantas, dia memalingkan wajahnya seraya merenungku. Tajam. Suresh mengusap-usap pipi kirinya.
"Berani awak lempang saya Dewi!"
"Ya! Sebab awak kurang ajar. Awak ingat saya ni pelacur ke? Senang-senang awak nak heret masuk hotel. Mana letaknya otak awak? Saya ni isteri orang. Saya ada anak. Faham tak!"
Suresh diam. Malah, dia mengukir senyuman. Mengejek. Aku melihat bibirnya terkumat kamit. Tiada suara. Hanya bisikan halus yang menari-nari di cuping telinga.
Zaappp!
Sekejapan, angin lembut menyapa tubuh. Sejuk hingga menggigit tulang belulang. Spontan, aku memeluk tubuh. Batang tengkukku terasa panas. Fikiranku mulai kosong.
"Hei budak! Pergi dari rumah aku. Jangan ganggu anak aku!"
Tubuhku diraih ibu dari belakang. Bagaikan tersedar, aku terpinga-pinga.
"Masuk dalam Dewi!"
Aku angguk. Kabur ke dalam rumah.
"Letchumy!!"
"Ya ibu!"
"Ambil penyapu! Aku nak besit budak jantan ni. Cepat!!"
"Ibu, saya telefon polis ya?" tanya Letchumy.
Penyapu jerami bertukar tangan.
"Lagi baik! Telefon cepat."
Suresh diam. Wajahnya mencuka. Dia pergi terkocoh-kocoh. Meninggalkan rumah kami. Huh. Tahu takut!
Aku yakin, mungkin bacaan manteranya tidak sempat dibaca hingga selesai. Dia gagal membawaku pergi. Syukur, nasib baik ibu ada.
25.10.2002
Dari penceritaan semula oleh Suamiku.

(Aku dalam ini adalah Yavin )

Lokasi: Pusat Peranginan, Pahang.
"Woi jantan dayus! Kau jangan jadi bodohlah! Aku dah pakai Dewi banyak kali. Seluruh tubuhnya dah aku noda. Takkan kau nak lagi perempuan yang jadi bekas aku?"
"Apa yang kau nak sebenarnya?"
"Dewi. Aku nak Dewi! Lepaskan dia!"
"Kalau aku tak nak?"
"Anak kau jadi mangsa!"
Klikk!
Panggilan telefon dimatikan.
Sial!
"Bamm!"
Aku menumbuk meja. Celaka punya jantan. Mesti dia dah komplot dengan Dewi! Dadaku berombak, menahan marah.
"Yavin. Kau kenapa?"
Aku kenal suara itu. Kawan baikku sejak mula aku berkhidmat disini. Namanya, Katty. Anak jati Pahang. Ibunya, orang asli. Bapanya, seorang lelaki berbangsa cina.
"Katty. Aku...aku ada masalah."
"Ceritalah dengan aku. Mana tahu aku boleh tolong. Kau ingat aku tak perasan ke perubahan kau. Dah 2 hari kau kerja tak ada mood. Layan customer pun nak tak nak. Time makan, kau termenung. Kau apasal ni Yavin?"
"Betul ke kau nak dengar?"
"Ya. Ceritalah!"
"Baiklah. Begini ceritanya......"
Tanpa segan silu, aku meluahkan semua rasa dan masalah yang terpendam. Pokoknya, tiada satu pun yang aku selindungkan hingga selesai. Dan, aku menanti pandangan dari Katty.
"Ermmm. Berat juga masalah kau ni. Tapi Yavin, aku tak setuju satu perkara tentang pandangan buruk kau pada Dewi."
"Maksud kau?"
"Dari cerita kau, Dewi dah kenal dengan lelaki tu dulu sebelum dia kenal kau. Kalau betul dia cintakan lelaki tu, dia takkan terima lamaran kau. Buat apa dia nak kahwin dengan kau? Dan kau tuduh dia tidur dengan lelaki tu. Kau ada bukti?"
"Habis tu, kau rasa Dewi tak salah?"
"Ya. Macam yang kau cakap. Masa kau selongkar dompet dia, kau jumpa gambar dia berdua dengan lelaki tu. Yavin, kalau fikir logik. Mana ada isteri yang curang, akan simpan gambar skandal dia dalam dompet. Itu cari nahas! Tapi, bila kau kata kau jumpa satu benda berbalut kain kuning, aku dah rasa lain macam."
"Apa yang kau rasa Katty?"
"Aku rasa, benda tu adalah tangkal. Semua yang berlaku, ada kaitan dengan sihir."
"Sihir? Kau biar betul?"
"Ya. Aku yakin. Aku bercakap dari apa yang aku tahu Yavin. Benda-benda macam ni dah biasa dalam suku kaum aku. Beginilah. Aku akan call bapa aku. Dia kenal rapat dengan Tok Pawang di kampung aku. Nanti, aku suruh bapa aku bawa kau jumpa dia. Setuju?"
"Aku...aku, tak pastilah Katty."
"Yavin. Kau tak sayangkan rumahtangga kau ke? Anak kau? Kalau betullah Dewi tu mangsa sihir, kau tak menyesal?"
Aku terdiam sejenak. Ada benarnya kata-kata Katty. Aku tidak mahu menyesal di kemudian hari. Nekad.
"Ya. Baiklah Katty. Aku setuju."
*****
26.10.2002
Sabtu. Tengahari. Aku dan ahli keluargaku berkumpul. Masih berbincang dengan isu yang sama. Perihal hubungan aku dan Yavin.
"Dewi. Kau masih cintakan Yavin?"
Angguk.
"Ibu rasa, kita perlu pergi berubat. Untuk jernihkan kembali hubungan kau, suami isteri. Ibu tak mahu Nandini membesar tanpa kasih sayang seorang ayah."
"Dewi faham. Ibu, jom kita pergi jumpa Ustaz Soleh. Minta tolong dia."
"Ibu dah pergi tanya semalam. Ustaz Soleh tak ada Dewi. Dia pergi umrah."
"Kalau macam tu, kita cari Ustaz lainlah ibu."
"Tak perlu, Dewi. Aku dah jumpa orang yang boleh tolong kau." Celah Letchumy.
"Siapa?"
"Tok Sami Devan. Tak jauh manapun dia tinggal. Di Alor Setar juga."
"Mana kau tahu pasal Tok Sami ni?"
"Aku tahu dari kawan. Depa cakap, Tok Sami ni ada sakti. Dia lumpuh separuh badan. Jalan pun mengesot. Tapi dia boleh ubat orang. Ramai yang sembuh lepas jumpa dia. Jom lah!"
"Baiklah. Bila nak pergi?"
"Petang ni. Aku dah buat temujanji. Kalau lewat, nanti ramai orang."
Diam. Tak apalah. Aku faham kalau ahli keluargaku bersungguh dalam hal ini. Mereka sayangkan aku. Aku nekad. Kalau usaha ini gagal, biarlah aku menjanda. Asalkan, Nandini dalam jagaan aku.
5.00 petang.
Kami tiba dirumah Tok Sami Devan. Ya. Aku lihat ada beberapa orang sudah sedia menanti. Barangkali, benar kata Letchumy. Tok Sami ini handal. Itu sebab ramai yang mahu dapatkan pertolongannya.
Setengah jam menanti, akhirnya tiba giliran aku.
"Tok. Kami datang ada hajat. Pasal adik saya, Dewi. Dia ada masalah rumahtangga."
"Hahhaha. Tak perlu kau jelaskan. Aku sudah tahu dari awal aku tengok wajahnya."
Aku pegun. Wah, handal! Belum beritahu, dah tahu?
Tok Sami menaburkan kemenyan di atas tepak bara. Lalu, asap berkepul-kepul naik ke udara. Dia melagukan bait-bait mantera. Memuji-muji Dewa. Kemudian, dia berhenti.
"Malang nasibmu Dewi. Kau bersuamikan lelaki keparat. Dia umpama syaitan!"
Semua mata yang ada, melirik pada Tok Sami. Mulut juga ikut tercengang. Syaitan? Melopong.
"Apa maksud Tok Sami?" Tanya Letchumy.
"Suami adik kau bukan sahaja kaki judi, tapi dia seorang kaki botol. Kuat mabuk. Malah dia juga kaki perempuan. Dia sedang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita siam. Dewi selalu menjadi mangsa pukul! Kejam!"
Terbeliak mataku memandang Tok Sami. Erkkkk!
"Haa? Betulkah Dewi? Ibu tak sangka. Menyesal ibu kahwinkan kau dengan Yavin. Maafkan ibu, Dewi." Menggugu tangisan ibuku. Dia memelukku erat. Aku serba salah.
"Tok Sami yang sakti. Bantulah adik saya Tok." Pinta Letchumy.
Aku menjeling.
"Boleh. Boleh. Tak jadi masalah. Nanti aku jampikan mantera pada beras, gula dan garam ini. Campurkan dalam masakan. Biar suaminya dan seluruh keluarga mertua tunduk pada adik kau. Tapi semuanya ada pengeras. Kalau tak dibayar, tak menjadi."
"Boleh Tok. Tak jadi masalah. Kami akan bayar berapa pun." Balas Letchumy.
Aku tersenyum sinis sambil menggeleng - gelengkan kepala. Beberapa kali. Aku jijik melihatkan lakonan manusia yang kononnya sakti di hadapanku! Puihhh! Dasar penipu besar!
Ingin sahaja aku menyangkal semua kata-katanya. Biar dia tahu malu! Tetapi, aku tidak sampai hati. Apatah lagi mahu mengaibkan orang. Lagian, dia adalah Tok Sami yang dihormati.
Yavin, suamiku. Aku lebih kenal dia dari orang lain.
Seorang lelaki yang sangat baik dimataku. Selama hidup dengannya, jangan kata nak sentuh alkohol, rokok pun dia tidak hisap.
Kaki perempuan? Dia sangat pemalu. Bukan jenis berfoya-foya. Hidupnya, hanya bekerja untuk menyara keluarga.
Yang ini aku rasa paling kelakar. Aku mangsa pukul? Ingin sahaja aku menghamburkan gelak tawa. Jangankan meninggi suara, menjentik aku pun Yavin tidak pernah!
Nah. Ternyata, dihadapanku bukanlah Tok Sami sakti. Tetapi dia penghisap darah. Menipu semata-mata mahukan wang. Dasar syaitan bertopengkan manusia!
27.10.2002
Aku, mengambil keputusan untuk pulang ke Padang Temusu. Bertemu emak dan bapa mertuaku. Ingin menjernihkan keadaan.
Tetapi.....
"Buat apa kau pulang ke rumah ini? Kau perempuan jalang. Perempuan hina. Jangan kau kotorkan rumah kami yang suci ini. Aku akan suruh Yavin bercerai dengan kau. Pergi!!"
Ya. Itulah kata-kata yang dihamburkan oleh kedua orang tua Yavin. Sedih. Pilu. Aku dilayan tak ubah seperti anjing kurap. Sampai hati mereka.
Sebelum pergi. Aku naik ke tingkat atas, menuju ke bilik tidur kami. Mengambil baju dan barang kemas kepunyaanku. Yang mana merupakan hadiah pemberian Yavin dan mertua, aku tinggalkan.
Aku pergi bersama hati yang berselubung duka.
Beras, gula dan garam pemberian dari Tok Sami penipu itu, sudah aku lemparkan di tepi jalan!
28.10.2002
Dari penceritaan semula oleh Suamiku.

(Aku dalam ini adalah Yavin )

Lokasi : Kampung Orang Asli, Pahang.
Mahu atau tidak, terpaksa aku ponteng kerja selama dua hari. Aku ambil cuti sakit. Kebetulan, aku kurang sihat akibat culas makan beberapa hari. Perut jadi sebu, masuk angin barangkali. Satu kebetulan yang sangat membantu aku meneruskan rancangan.
Hari ini. Aku dibawa bapa Katty, Uncle Ah Lok bertemu dengan Pawang yang terkenal di kampungnya. Nama Pawang itu, Tok Kalui. Mengikut kata Ah Lok, Tok Kalui punya ilmu yang cukup ampuh. Bukan sahaja boleh merawat pesakit, malah dia juga handal mengenakan musuh dengan sihir.
Gulpp!
"Tok, saya Yavin. Saya datang kemari ada hajat. Saya mohon pertolongan Tok."
"Aku tahu. Apa jua masalahmu, aku sudah sedia maklum. Ini perihal isterimu bukan?"
Terkesima.
"Berikan nama penuh kamu dan isterimu. Lagi satu, ada kau bawa tangkal dan gambar yang kau jumpa tu?"
Ehh. Tok Kalui tahu? Memang magika. Aku belum perihalkan apa-apa lagi padanya!
"Nah Tok. Ini dia barangnya."
Barang bertukar tangan. Tok Kalui aku lihat begitu ralit menilik gambar dan tangkal itu.
"Hahahha. Ini mudah saja. Ilmunya hanya di celah gigi! Budak bodoh! Ilmu baru panjang sejengkal, lautan dalam hendak diduga. Mahu berlagak jadi dukun ya. Hahahhaha!!"
Aku tak faham. Siam?
Tangkal dan gambar itu, diletak ketepi.
Tok Kalui mengambil semangkuk air dan meletakkannya di hadapanku. Lalu, dia mengambil 3 batang jarum.
"Ini, jarum yang mewakilkan dirimu."
Mantera dibaca. Aku dengar, tetapi tidak faham apa yang dituturnya.
Plupp!
Jarum pertama dicampakkan ke dalam mangkuk berisi air. Nah, jarumnya tidak sempat mencecah dasar, terus timbul di permukaan.
"Ini, jarum yang mewakilkan lelaki itu!"
Plupp!
Jarum dicampak. Tidak berganjak. Terletak elok didasar mangkuk.
Aku hairan.
"Ini pula, jarum yang mewakilkan isterimu "
Plupp!
Jarum dicampak. Jarum itu terletak didasar. Kemudian naik perlahan-lahan. Terapung-apung. Lalu, timbul di permukaan dan bergerak mendekati jarum milik aku.
Aku hanya melihat. Tidak faham.
"Tok..."
"Nanti dahulu. Biar aku lakukan proses ini 3 kali. Kau lihatlah. Adakah ia sama atau berlainan hasilnya. Kemudian, tanyalah apa jua. Akan aku terangkan segalanya. Boleh?"
"Baiklah Tok. Boleh..boleh."
Maka, Tok Kalui melakukan proses itu hingga lengkap 3 kali. Hasilnya, kedudukan jarum tetap sama. Tiada perubahan.
"Dari tilikan aku, isteri kau sudah terkena sihir. Lelaki ini tergila-gilakan isteri kau. Tetapi, ilmu yang dia tuntut dari budak Siam itu hanya sihir biasa. Tetapi ,jangan dipandang remeh kerana ia mujarab. Sebab dia menambah sihirnya hari demi hari. Cukup untuk memberi kesan mudarat kepada isterimu."
"Jadi, gambar dan tangkal yang saya jumpa dalam dompet Dewi, memang kerja lelaki itu ke?"
"Iya. Lelaki itu letak barang-barang tersebut tanpa disedari isteri kau. Bila mereka dekat, lelaki itu dengan mudah memukau isterimu. Isteri kau jadi bodoh. Mengikut sahaja."
"Kalau begitu, memang sah lah mereka dah tidur bersama!"
Aku menelah. Bungkam.
"Tidak! Jangan jadi bodoh! Isteri kau seorang wanita yang baik. Dia tidak pernah menduakan kau. Kau patut bersyukur. Jangan ikut hati menuduh dia."
Aku terdiam. Benarkah? Jadi, benarlah kata Dewi. Dia tidak selingkuh. Sesal. Itu perasaanku kala ini.
"Kau jangan risau. Aku akan hantar khadam aku si kuntilanak, untuk menjaga isteri, anak dan rumah. Sementara itu, kau mesti bawa aku ke rumahmu, mertuamu dan kakak iparmu. Ada urusan yang perlu aku selesaikan disana."
"Baiklah Tok. Tanggal 3 haribulan malam, saya akan pulang ke sana. Tok boleh ikut saya."
"Baik. Aku setuju."
29.10.2002
Lokasi: Rumah ibuku, Alor Setar.

Malam hari.

"Kringg...Kringg."
Aku memandang telefon yang berbunyi di ruang tamu. Dengan langkah perlahan, aku mendekatinya. Gagang diangkat.
"Hello. Dewi ada?"
Aku kenal suara ini. Cukup kenal.
"Iya, saya."
"Sayang. Abang, ni. Dewi apa khabar? Nandini sihat?"
"Kami berdua khabar baik."
"Abang, rindu kamu berdua."
Aku buat - buat tidak dengar.
"Awak dah jumpa peguam? Nanti kalau ada apa-apa, beritahu saja saya."
"Dewi.. maafkan abang. Abang tahu kesalahan abang. Kata-kata abang pada Dewi tempohari. Abang tak sengaja."
Diam.
Spontan, kelopak mataku tertutup. Ada butir jernih mula terbit. Mengalir perlahan. Hiba.
"Dewi... Abang sudah tahu kebenarannya. Abang akan pulang Deepavali nanti. Abang bawa tetamu. Dia akan tolong kita. Dewi, abang sayangkan awak. Abang mahu kita hidup bersama hingga akhir hayat."
Aku masih diam. Perasaanku bercampur baur.
"Baiklah."
Aku letak gagang. Tidak sanggup lagi meneruskan perbualan.
04.11.2002
Dari penceritaan semula oleh Suamiku.

(Aku dalam ini adalah Yavin )

Jam 2.00 pagi.
Aku dan Tok Kalui tiba di Sungai Petani, rumah kakak iparku yang kedua. Disinilah tempatnya isteriku berteduh, berulang alik ke tempat kerjanya.
Saat kami tiba, rumahnya tiada penghuni. Aku tahu, tatkala ini pasti mereka semua sudah berkumpul di rumah mertuaku di Alor Setar. Aku juga tidak sabar untuk bertemu mereka. Lebih-lebih lagi, isteriku Dewi dan anakku Nandini. Arghh, rindunya!
Aku hanya memerhati. Tok Kalui seperti sedang berbicara dengan sesuatu yang aku tidak nampak. Mungkin sahaja khadamnya. Dia mengangguk-ngangguk sendirian.
"Yavin, kau cangkul di bahagian sana. Sebelah pokok bunga melur tu."
"Baiklah." aku mengikut arahan.
"Bakk! Bakk! Bakk!"
Mata cangkul bertemu tanah.
"Cukup!"
Cangkulanku terhenti.
"Suluh lubang tu!"
Aku suluh. Dari biasan cahaya, aku nampak ada bungkusan. Kain kuning yang sudah diselaputi tanah.
Tok Kalui bingkas mengambil bungkusan tersebut. Aku masih memegang lampu suluh. Aku halakan pada Tok Kalui. Biasan cahaya, cukup untuk aku lihat wajahnya dan bungkusan kain yang dipegangnya.
Bibirnya terkumat kamit membaca mentera. Sejurus bacaannya tamat, dia meletakkan semula bungkusan itu diatas tanah. Dan, papp!!! Aku lihat ada asap hitam yang berkepul-kepul, keluar dari bungkusan itu. Ia tidak dibakar, tetapi mengapa berasap?
Aku seram sejuk. Diam.
"Sudah selesai disini. Mari kita ke rumah mertuamu."
Jam 5.00 pagi.
Lokasi : Rumah mertuaku, Alor Setar.
Kami tiba di perkarangan rumah. Aku lihat, lampu sudah terpasang. Pasti mereka sudah bangun seawal pagi. Maklumlah, hari ini merupakan perayaan Deepavali. Usai aku membuat panggilan telefon, menyatakan keberadaanku di hadapan rumah, kami dijemput masuk.
Kedatanganku diraikan, walaupun Dewi masih diam membisu. Aku memohon mereka semua duduk. Aku melutut dan memeberi tunduk hormat. Menyembah setiap orang dari mereka. Aku memohon kemaafan diatas khilafku pada Dewi. Suasana hiba menyelubungi aku dan keluarga mertuaku di subuh hari.
Aku dimandikan minyak dan serbuk sintok di kepala. Sebagai tanda untuk menyucikan diri, bermandian di pagi hari Deepavali. Walaupun Dewi masih diam, tetapi aku dapat melihat airmatanya gugur. Dia mencuri-curi memandangku.
Usai makan, Tok Kalui memanggil aku, Dewi dan ahli keluarganya ke halaman rumah. Seperti sebelum ini, aku diminta untuk mencangkul tanah ditempat yang ditunjuk oleh Tok Kalui. Kali ini, aku perlu mencangkul tanah di tepi pagar.
"Bakkk! Bakkk! Bakkk!"
"Ktinggg!!"
Mata cangkul berlaga dengan sesuatu.
"Cukup!"
Tok Kalui menunduk. Dia menguis-nguis tanah. Bungkusan kali ini berganda besarnya dari bungkusan yang tertanam di depan rumah kakak iparku.
Tok Kalui mengeluarkan bungkusan. Ikatan yang bersimpul tiga, dileraikan. Nah, terlihat isinya.
"Ehh, saya macam pernah lihat periuk tanah dan kain kuning ini!"
Semua mata melihat Dewi. Termasuk aku.
"Iya. Tok pasti kau pernah melihatnya Dewi. Malah, kau sendiri yang menghamparkan kain kuning ini bukan. Tak mengapalah, kau tidak sedar saat itu. Kau sudah dipukau. Sihir yang mula-mula meresap pada kau, melalui sentuhanmu pada barang ini lah. "
Aku merenung wajah Dewi. Kasihan melihatnya. Pasti Dewi bingung.
"Tok, kertas yang berlipat dalam periuk tu apa?"
Tok Kalui mencapainya. Lipatan kertas itu dibuka. Nah, gambar Dewi dan Suresh!
"Ehh, bila masa kami ambil gambar ni. Saya...saya tak ingat Tok."
"Tak mengapa Dewi. Kau tidak sedar. Jahat lelaki ni!"
Tok Kalui memohon kami diam. Dia membaca bait-bait mantera.
"Arghhhhhhhh!!!!!"
Bingit.
Satu jeritan nyaring terhasil dari bungkusan itu. Masing-masing terpinga. Ada yang menutup cuping telinga. Tidak tahan!
Dan, ada kepulan asap hitam keluar dari bungkusan. Dengan pantas, Tok kalui menangkap asap itu lalu memasukkannya ke dalam sebuah botol kecil. Jernih.
Kepulan asap tadi berlegar-legar didalam botol. Membentuk satu bentuk jasad yang tidak berupa.
"Ini aku ambil untuk dibawa pulang. Akan aku pelihara menjadi khadamku."
"Apa benda tu Tok?" Tanya suami kepada kakak iparku yang sulong.
"Ini, roh wanita mati beranak yang dipuja."
Gulpp!
Masing-masing diam.
05.11.2002
Lokasi: Rumah mertuaku, Padang Temusu.
Yavin membawa aku, anakku dan seisi keluargaku ke rumah orang tuanya. Tok Kalui juga ada. Katanya, ini adalah lokasi terakhir untuknya membuang barang yang tertanam.
Bapa mertuaku, memelukku erat. Dia berualang kali memohon maaf padaku atas keceluparannya menghina dan menghalauku tempohari. Tetapi, lain pula ulahnya emak mertuaku. Dia langsung tidak memandang wajahku. Seolah-olah kebenciannya tidak mampu terpadam walaupun dia sudah tahu kebenarannya. Ego.
Seperti di dua lokasi sebelumnya. Yavin diminta untuk menyangkul tanah dibahagian yang diarah Tok Kalui. Kali ini, di dua tempat. Kiri dan kanan luar pagar. Usai tanah dicangkul, Tok Kalui mengeluarkan dua bungkusan.
Disaksikan semua yang ada, Tok Kalui melagukan manteranya. Nah, dua-dua bungkusan itu terbakar dengan sendiri. Tanpa disua bahan api. Kepulan asap hitam naik ke udara, lantas hilang begitu sahaja.
"Yavin, Dewi. Aku sudah hapuskan segala sihir yang mengena atas kau. Jadi, ingin aku tanyakan pada kalian. Mahukah kalian, kalau aku membalas sihir yang lebih dahsyat kepada lelaki itu?"
"Tidak!"
"Tidak!!"
Aku dan Yavin berpandangan. Spontan kami memberikan jawapan yang sama.
"Aku tanyakan sekali lagi. Mahukah kalian jika aku membalas perbuatan lelaki itu?"
"Tidak perlu Tok. Saya yakin, Tuhan pasti membalasnya." Balas Yavin.
"Saya setuju, Tok." aku mencelah.
Yang lain, hanya diam. Tidak ikut campur.
"Baiklah. Kalau itu mahu kalian. Beruntung lelaki itu. Kalian punya hati yang baik. Kalau ikutkan aku, cukup 3 malam dia pasti MATI!! "
Kami senyum.
13.10.2017
Lokasi: Taman Sri Muda, Shah Alam.
"Jadi, memang Dewi dan suami tak balas balik sihir tu?"
"Tidak Dee. Saya tidak mahu dapat dosa. Tuhan pasti marah kalau saya balas."
"Takpe Dewi. Saya faham. Islam juga mengajar kami agar tidak membalas perbuatan jahat orang. Allah swt sebaik-baik Pelindung. Hanya kepadaNya kami bergantung harap."
Dewi senyum. Mengangguk.
"Ohh, lupa pula. Selepas Tok Kalui dah buang semua sihir tu, awak sakit lagi tak selepas tu?"
"Tidak. Saya sihat sepenuhnya. Tok Kalui minta saya berhenti kerja dan bepindah ke tempat lain. Ibu dan ayah saya pindah ke rumah kakak ketiga di Pendang. Manakala, saya dan Yavin pindah ke sini. Sebulan kami pindah masuk rumah ni, bapa mertua saya meninggal. Tinggal kami berlima sahaja. Selepas Nandini, Vijay dan Kalaivani pula lahir."
"Syukur Dewi. Semuanya dah berlalu kan. Tapi, hubungan dengan emak mertua awak macam mana?"
Dewi menunduk. Lama.
"15 tahun berlalu. Dia masih menganggap saya perempuan jalang. Perempuan kotor. Tak apalah Dee. Saya dah lama redha. Hanya pada dia sahaja saya menumpang kasih. Ibu saya dah 7 tahun meninggal dunia. Doakan kebahagian saya ya Dee."
"Baik Dewi. Saya sentiasa doakan awak. Suresh macam mana? Awak ada dengar pasal dia?"
"Ada. Kata kakak saya, ada juga dia tanyakan hal saya. Siap minta no telefon lagi. Gila! Tapi kakak saya tak mahu layan .Bila kakak saya beritahu dia yang kami semua tahu pasal perbuatan sihir dia pada saya, Suresh nampak takut."
"Bengong. Masih nak cari awak lagi? Suruh Tok Kalui hilangkan anu dia, baru ada akal!"
Terkekek kekek kami gelak.
"Ehh, Dee. Saya nak beritahu awak sesuatu."
"Apa dia?"
"Nandini. Dia boleh nampak benda ghaib. Maksud saya, makhluk halus!"
Gulpp!!
**************

Gambar: Nil Kuhaku

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: