Wednesday, 1 November 2017

AYAM PANGGANG - Xander Xavier


AYAM PANGGANG
karya oleh Xander Xavier

=====================

“Ayam panggang Wak Nor ! Ayam panggang Wak Nor ! Ayam panggang Wak Nor !” Rosyam cuba menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang lalu-lalang di hadapan gerainya.
Inilah rutin Rosyam setiap kali dia cuti pada hari sabtu. Sebenarnya dia bekerja sebagai jururawat bahagian diabetik di klinik kesihatan dan hanya berniaga ayam panggang sebagai satu-satunya penerus legasi keluarga. Senang kata, Rosyam berniaga hanya sekadar ‘suka-suka’. Namun apabila ekonomi mulai meleset dan harga barang semakin naik, Rosyam mempunyai hasrat untuk meluaskan lagi perniagaannya ini.
Satu demi satu ayamnya dibeli oleh pelanggan. Hanya tinggal beberapa ketul saja lagi yang masih tercucuk dengan besi di atas api. Rosyam duduk di bangku sambil merenung nasibnya. Dia memikirkan anak-anak yang masih bersekolah. Si sulung yang bakal menduduki SPM dan bayi yang akan dilahirkan oleh isteri tercintanya tak lama lagi. Pasti banyak belanja yang akan dikeluarkan.
“Bang ! Bang !” Rosyam tersedar daripada lamunannya. Dia melihat gadis muda yang kurus kering dan tinggi lampai berdiri dihadapan gerainya.
“Ye dik. Adik nak beli ayam panggang ke ?” Rosyam bertanya kepada gadis itu.
“Ha’ah bang. Takkan nak sidai kain pulak dekat kedai abang ni. Saya nak semua boleh ?” gadis manis itu berseloroh.
“Eh, boleh,” Rosyam membungkuskan ayam panggang yang berbaki 5 ketul tadi dan memberikannya kepada si gadis yang sedia menunggu.
Baru sahaja Rosyam menghulurkan plastik berisi ayam panggang, gadis itu segera merampas dan makan dengan lahap dalam keadaan berdiri. Gelojoh, tidak kena dengan mukanya yang ayu. Malah orang yang lalu-lalang juga sempat menoleh ke arahnya. Segala tulang-temulang juga digigit dan diratah.
“Dik, pelan-pelan nanti tercekik. Semua sekali RM 10.00,” risau juga dia kalau-kalau gadis itu tidak bayar ayam yang telah dimakannya tadi.
“Ok bang. Bang, saya ada satu idea. Apa kata abang berniaga dekat Taman Melati,” gadis tadi menghulurkan not RM 10.00.
“Taman Melati yang banyak pokok besar-besar tu ? Tak nak lah… Situ dah ramai orang berniaga ayam panggang macam abang. Nanti tak lakulah ayam abang,” Rosyam memikirkan faktor persaingan yang mungkin akan berlaku.
“Eh… Abang dengar dulu saya cerita ni. Walaupun dekat situ ramai orang jual ayam panggang macam abang, tapi ayam panggang diorang semua habis, bang. Tak pernah tak habis. Kalau abang nak cuba, datanglah khamis malam jumaat. Mesti habis punya ! Kalau abang nak saya boleh tolong. Ni nombor telefon saya,” gadis itu menambah lagi. Dia menghulurkan sekeping kertas yang sudah tertulis nombor telefonnya.
“Yelah… Nanti abang fikir-fikirkan ye…,” Rosyam menyambut huluran kertas terbabit. Ukasha nama gadis itu rupanya.
Semasa memandu pulang ke rumah, Rosyam berfikir panjang tentang perniagaannya dan perkara yang diperkatakan oleh gadis tadi. Memikirkan nasib anak-anaknya, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berniaga di Taman Melati. Rosyam menelefon Ukasha bagi memberitahu keputusan yang telah dibuat dan Ukasha sedia memberikan pertolongan untuk mencari tapak perniagaan untuknya. Dia perlu berusaha keras demi menanggung keluarga. Dia adalah ketua keluarga. Dia tidak mahu anak-anaknya meminta-minta. Semangat harus dicekalkan demi anak-anak.
Petang khamis itu, Rosyam bergerak seawal jam 6 petang. Walaupun dia baru pulang dari klinik jam 5.30 petang tadi, namun dia gagahkan juga. Segala persiapan ayam yang telah diperap, arang, rempah-ratus dan peralatan-peralatan lain diangkut masuk ke dalam van putih yang hanya dikhaskan untuk kegiatan perniagaan. Van ini peninggalan ayah Rosyam sebenarnya.
Dia hanya sempat solat dan tukar pakaian sahaja tadi. Dia harus segera, takut- takut tempat yang telah ditetapkan dengan gadis hari itu diambil orang pula.
Sesampainya Rosyam di Taman Melati, dia melihat ramai peniaga ayam panggang yang lain sudah mula menpersiapkan barang dagangan mereka malah sudah ada yang berjual-beli pun. Rosyam memberhentikan van yang dipandunya apabila terlihat Ukasha di bawah sebatang pohon besar yang tegak berdiri. Rosyam keluar daripada van.
“Assalamualaikum, lama tunggu? Ni ke tempat abang meniaga nanti?” Rosyam memulakan bicara.
“Iye… Inilah tempat yang akan menebalkan poket abang. Okeylah, dah nak maghrib ni. Saya balik dulu ye…,” Ukasha berlalu.
“Tempat ni nak bayar berapa ringgit ?!” Rosyam menjerit ke arah Ukasha yang semakin menjauh.
“Free of charge!” Ukashah menjerit kembali.
Rosyam merasa hairan. Selama ini kalau dia berniaga di tepi jalan sekali pun, pasti akan dikenakan bayaran tapak takut juga disita nanti tapi dia peduli apa, percuma itukan lebih baik. Dia tersenyum sendiri.
Lamunannya terhenti apabila azan maghrib berkumandang. Rosyam segera mendirikan payung dan memasang kain rentang ‘Ayam Panggang Wak Nor’ yang wajib ada di mana sahaja dia berniaga.
Setelah mendirikan solat maghrib di sebelah van, dia memulakan sesi perniagaan. Pada mulanya hanya sedikit sahaja pelanggan yang datang membeli. Dia mulai bimbang. Adakah dia mengambil keputusan yang salah. Rosyam menjenguk ke kedai lain. Kelihatan lebih kurang sama sepertinya juga. Dia menghampiri peniaga di sebelah gerainya.
“Assalamualaikum, bang,” Rosyam mengucapkan kalimah suci sebagai pembuka bicara.
“Waalaikumusalam, ye kenapa ? Kau dah tahu ke ?” Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pertanyaan yang pelik.
“Tahu apa bang ? Saya Rosyam, peniaga baru. Saya nak tanya sesuatu boleh ?” Rosyam pelik namun dia teruskan niatnya untuk bertanyakan sesuatu.
“Ooo… Kau tak tahu rupanya. Ingatkan kau dah tahu. Aku nampak kau solat tadi, aku ingat kau nampak. Aku dengan member aku tak solat, sebab tu kami tak nampak atau kena kacau. Kami pun dah sama jahat macam benda tu. Hahahaha! Nama aku Jufri. Panggil aku Jup. Nak tanya apa ni ? Cepat sikitlah,” kedengaran sedikit kasar di telinga Rosyam akan perkataan yang dilontarkan Jup itu. Galak pula gelak ketawanya tadi.
“ Astaghfirullah… Mana boleh macam tu, bang. Kita orang Islam kena solat. Saya nak tanya pelanggan memang macam ni ke tiap-tiap malam ? Sikit je,” Rosyam cuba menahan sabarnya.
“Ha’ah. Tapi malam nanti banyaklah. Kau tunggu dalam pukul 11 sampai 3. Aku nak ingatkan kau kalau nak dapat duit dan bukannya daun, kau contohilah kita yang ada dekat sini dan jangan campur urusan aku. Kubur masing-masing,” Jup yang tadinya duduk bangkit berdiri menghampiri Rosyam dengan mata yang terbuntang.
“Pasal kau budak baru, aku maafkan kau dan aku bagi kau satu klu. Kita dekat bawah pokok kekabu, jangan tengok atas,” Jup menambah lagi.
Rosyam berundur dan kembali ke gerainya. Hatinya mengerutu. Bukan sahaja kerana tidak faham dengan perkara yang cuba disampaikan oleh Jup tetapi juga kerana keadaan peniaga-peniaga yang tidak solat.
“Memanglah kubur masing-masing. Tapi tanggungjawab aku untuk tegur kau. Manusia oh manusia,” Rosyam mengomel sendiri. Dia terpandang satu susuk tubuh orang tegak berdiri di hadapan gerainya.
“Eh… sorry sorry. Terberangan pula tadi. Adik nak apa?” Soal Rosyam dengan muka yang manis bagai disimbah gula.
“Bang…. Ayam 5, bang…,” gadis dihadapannya meminta.
Entah kenapa suara itu kedengaran seram di telinga Rosyam. Terus mati senyuman di bibir Rosyam. Tambahan pula dengan wajah gadis itu yang pucat dan bibirnya yang terlebih merah daripada manusia biasa, menambah keseraman. Rosyam cuba bersangka baik walaupun bulu romanya mencacak naik. Mungkin gadis itu memakai gincu Izara Aishah kot. Rosyam menghulurkan bungkusan 5 ketul ayam. Gadis itu kembali menghulurkan not RM 10.00.
“Terima ka…,” gadis tadi sudah hilang saat Rosyam memasukkan duit tadi ke dalam beg di pinggangnya.
Memang betul seperti yang disampaikan oleh Jup, pelanggan mula ramai dan semakin ramai pada lewat malam. Tapi, kesangsian Rosyam semakin membuak-buak apabila pelanggan yang datang itu perangainya hampir sama dengan yang pertama tadi dan ada juga yang datang berkali-kali. Adakah kerana ayam panggang Wak Nor yang terlalu sedap atau memang ada yang tidak kena?
Malam itu, Rosyam amat gembira ayamnya habis dijual. Itupun masih ramai yang datang nak membeli. Dia merancang untuk menambah jumlah ketulan ayam minggu hadapan. Dia balik dengan gembiranya sehingga ditegur oleh isterinya. Dia berhasrat memberi isterinya duit untuk beli bedak muka seperti yang dihajatkan. Namun bila dia mengeluarkan duit daripada beg pinggangnya dia terkejut.
"Eh, mana duit banyak-banyak tadi?" Rosyam terkebil-kebil mengeluarkan daun-daun kering dari beg pinggangnya. Hanya beberapa keping duit sebenar saja yang ada. Itupun tak sampai seratus ringgit.
"Mustahil, masa abang ambil duit tadi, memang betul duit ke abang kena pukau? Tak mungkin juga," bebel Rosyam di hadapan isterinya yang sedikit kecewa.
Dia tak puas hati, minggu seterusnya dia kembali. Kali ini dia akan berhati-hati agar tidak dipukau lagi. Ayamnya laku keras masakan dia lepaskan peluang rezekinya di sini. Dia cuba bertanyakan hal ini kepada Jup, namun jawapannya masih sama seperti pesanannya pertama kali mereka berjumpa. Rosyam tidak tergamak meninggalkan solat semata-mata untuk wang. Lagi pula apa kena-mengena duit yang bertukar jadi daun dengan solat? Solat itu tiang agama. Perkara pertama yang akan dihisab di alam yang satu lagi nanti. Dia hanya mampu berdoa agar Jup diberikan hidayah.
Seperti minggu lepas, minggu ini pun gerainya meriah. Tak cukup tangan dia melayan pelanggan. Tiada perkara pelik yang berlaku sepanjang meniaga malam itu namun setibanya di rumah, bila duit dikira Rosyam menerima hasil yang sama iaitu daun-daun yang kering.
Perkara ini merugikan Rosyam kerana peniagaan malam ini dia mengeluarkan modal dua kali ganda atas permintaan laris ayam panggangnya. Kini Rosyam semakin kusut, dia ada menghubungi Ukasha? Taliannya juga sudah ditamatkan. Hilang tanpa dapat dikesan. Rosyam pernah terlintas untuk membuat eksperimen, betul ke yang diperkatakan oleh Jup mengenai tidak solat itu? Arghhhh bisikan syaitan.
Rosyam membuat keputusan untuk mencuba lagi kali ketiga. Malam jumaat itu lebih meriah dari dua minggu lepas namun malam ini lain macam sedikit. Lebih kurang dalam jam 1 pagi entah mengapa angin bertiup kuat lain daripada biasa, mungkin hendak ribut. Pelanggannya masih berkunjung tidak berhenti dari tadi. Setelah habis pelanggan terakhirnya, dia duduk di belakang van. Semput. Penat. Ayamnya sudah habis terjual. Dia segera berkemas.
Saat dia membongkok untuk memasukkan peralatan-peralatan ke dalam van, Rosyam merasakan ada sesuatu yang jatuh hampir di belakangnya. Dia menoleh ke belakang, tiada apa pun yang pelik. Rosyam kembali mengemas. Kali ini sesuatu mengenai belakang badannya. Dia berdiri dan menguis-nguis belakangnya sambil memusingkan arah badannya. Saat diperhatikan betul-betul dia terperanjat. Tulang? Dari mana datangnya tulang-tulang ini?
Rosyam tidak pernah buang tulang ayam merata-rata kerana dia tahu tulang adalah makanan jin. Terngiang-ngiang di telinganya pesanan Jup.
‘Kita bawah pokok kabu. Jangan tengok atas’
Hatinya memberontak, matanya gatal untuk memandang juga ke atas. Perlahan-lahan dia mendongakkan kepalanya. Dia melihat beberapa kain putih tergantung di beberapa dahan pokok. Dia mengecilkan kelopak matanya. Lama diperhatikan kain itu tiba-tiba dia melihat sesuatu berwarna merah yang kelihatan seperti mata.
“Allahu Akhbar!” Rosyam tahu itu bukanlah kain biasa. Itu PONTIANAK!
Rosyam segera melipat payungnya dan mencampakkan segala peralatan yang lain ke dalam van. Saat dia menghidupkan enjin van, kedengaran suara perempuan mengilai daripada tingkap di sebelahnya. Dia menoleh ke sisi.
Ukasha?!
Namun wajah Ukasha amat mengerikan. Rambutnya mengerbang, giginya bertaring panjang, mata yang semerah biji saga!
Mulut Rosyam tidak henti-henti membaca doa termasuklah doa makan dan doa sebelum tidur dia tersasul. Dengan segera dia menekan pedal minyak dan meninggalkan kawasan tersebut. Tak cukup dengan itu juga, sesekali dia memandang ke sermin sisinya pontianak itu masih mengejar van Rosyam dan dia terus menekan punat pemain cakera padatnya yang mempunyai CD bacaan yaasin. Dia juga melaungkan azan dengan kuat separa menjerit kerana takut dikejar sehingga ke rumahnya. Syukur sebaik sahaja dia sampai kelibat pontianak itu tidak lagi mengekorinya. Pucat lesi wajah Rosyam disambut oleh isterinya.
Esoknya baru diceritakan pada isterinya. Dalam bertahun-tahun dia meniaga ini kali pertama dia menghadapi perkara seram sebegini. Trauma, fobia sehingga beberapa hari dia demam panas.
Seminggu kemudian, Rosyam berada di klinik sedang mengemas rekod-rekod pesakit. Telinganya menangkap perbualan antara dua orang jururawat wanita.
“Ifa kau nak tahu tak ? Dulu kan ada orang jual ayam panggang dekat Taman Melati yang macam pesta tu kan? Sekarang dah tinggal sikit tau. Yang sedap semua dah takde,” kata jururawat itu kepada sahabatnya.
“Ha’ah lah. Aku ada dengar juga tau. Tapi yang aku dengarlah, ramai yang berhenti berniaga dekat situ sebab kena kacau dengan Pontianak. Yang peliknya, kenapa sepupu aku Jup dengan dua tiga orang kawan dia masih bertahan?” Pertanyaan itu dibiarkan misteri.
Rosyam yang kantoi mencuri-curi dengar perbualan itu tersenyum kelat. Dia segera lari dari jururawat itu. Pengalamannya dengan pontianak itu cukup membuatkan dia serik untuk meniaga di situ lagi. Biarlah dia berniaga di pasar-pasar malam sahaja daripada berniaga di tempat begitu. Lagi pula, dia lebih sayangkan solatnya. Sungguh dia lebih sayangkan imannya daripada wang.
P/S : Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kena-mengena dengan Rosyam Nor mahupun Ifa Raziah. Hehehe ! Pesanan saya ialah solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Walaupun nampak klise, tapi inilah yang utama. Wang bukan segalanya. Janganlah kerana wang kita jadi gelap mata dan gelap hati. Akhir sekali, ambillah yang jernih dan buang yang keruh daripada karya ini. Sekian… -XX
========================

Suntingan : #kamenrider
Gambar: Xander Xavier

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: