INDAH 2: FATIMAH
Link bagi INDAH 1
Indah puas ibunya menjadi galang ganti di atas perjanjian bersama makhluk itu. Meskipun Indah dipanggil untuk sesi soal siasat kes kematian ibunya, Indah tidak gentar. Tenang bagaikan tiada apa-apa yang terjadi.
Indah terasa bebas daripada kongkongan dan penderaan ibunya itu. Selama ini dia tidak pernah dilayan dengan baik. Acapkali tubuh badannya menjadi pelantar libasan. Penyangkut baju, batang penyapu dan dilempar pelbagai barangan menjadi santapan amarah ibunya yang bernama Fatimah itu.
Indah menjadi pendendam dan terpaksa akur dengan rentak ibunya. Fatimah tidak sedar segala perbuatannya dihitung satu persatu oleh Indah. Dia tidak pernah menyayangi Indah.
Indah bukanlah anak sah taraf. Hadirnya Indah bukan dari kerelaan Fatimah tetapi dia diperkosa oleh bapa saudara sendiri. Atas insiden itu, bapa saudara Fatimah meringkuk di dalam penjara. Fatimah pula membawa diri dari kampung asalnya.
***
Keperitan dan kesusahan yang Fatimah alami, dia tanggung sendiri. Tiada siapa yang sudi membantu dirinya. Sudahlah anak yatim, piatu pula. Tiada ada adik beradik yang lain. Ibunya meninggal dunia sebaik sahaja Fatimah dilahirkan. Mati beranak sulung. Ayahnya kemurungan yang berpanjangan dan telah menggantung diri.
Akhirnya Fatimah dibela oleh neneknya sebelah ibunya. Adik ibunya yakni bapa saudaranya sendiri membuat onar. Bertahun dirinya dicabul dan apabila dia meningkat dewasa, dirogol pula oleh manusia durjana itu.
Neneknya sendiri membuat laporan polis. Akibat tidak tahan dicaci dan dihina, Fatimah keluar dari kampung dengan perut yang sudah terisi. Permulaan agak payah buat Fatimah mendapat pekerjaan kerana kondisinya ketika itu. Mujur dia diterima bekerja di dobi tempat dia berkhidmat sekarang.
Berbulan lamanya Fatimah hidup bersendirian. Dia mengalami kemurungan dan depresi yang teruk. Fatimah hampir-hampir membunuh kandungannya. Kandungan yang tidak direlai. Baginya kandungan ini membawa bala dalam hidup. Selama sembilan bulan Fatimah berperang dengan perasaan benci dan dendam yang senantiasa berlegar.
Cukup sembilan bulan lima hari, Fatimah melahirkan seorang bayi perempuan bersendirian di rumah. Majikannya yang bernama Muzammir, kelam kabut membantu sekadar yang mampu.
Puas Muzammir memujuk supaya menerima lamarannya tetapi Fatimah enggan. Majikannya duda anak satu itu sudi mengambil Fatimah sebagai pengganti arwah isterinya. Tetapi Fatimah tidak mahu termakan budi.
“Fatimah, awak bertahan. Saya sudah hubungi ambulan. Kondisi awak agak teruk ni.”
Muzammir yang kebetulan datang ke rumah Fatimah, jatuh kasihan dengan Fatimah yang tidak larat untuk membeli barang keperluan. Makan minum sekadar apa yang ada. Muzammir membeli sedikit barang dapur dan ingin diserahkan kepada Fatimah.
Sesampai sahaja depan pintu, Muzammir terdengar Fatimah menjerit mengerang kesakitan. Disusuli pula dengan tangisan bayi yang kuat. Muzammir merempuh sahaja pintu yang tidak berkunci.
Dia berlari mencari Fatimah. Menuju ke bilik belakang, Fatimah berada di situ. Darah melimpah di atas katil. Keadaan Fatimah yang darurat, aurat seorang wanita terbias. Cepat-cepat Muzammir mengambil selimut menutup kaki Fatimah.
Bayi perempuan itu Muzammir kendong dan bersihkan. Ralit Muzammir membelek bayi itu. Cantik warna anak matanya.
Usai dibersihkan, Muzammir membalut bayi itu dengan kain tuala yang bersih. Tidak lama kemudian ambulans sampai. Fatimah hampir tidak sedarkan diri dan perlu dihantar secepat mungkin ke hospital.
“Tuan... saya... saya tak nak anak ni. Boleh tuan serahkan di mana-mana rumah anak yatim atau kebajikan masyarakat?”
Fatimah bersuara lemah.
“Fatimah, nanti kita bincang kemudian ya.”
Ujar Muzammir seakan memujuk.
***
“Anak sial! Kenapa kau tak mampus sahaja!”
Fatimah memaki hamun bayi yang tidak berdosa itu. Menjerit-jerit si kecil meminta susu. Fatimah biarkan sahaja dan ada ketikanya, Fatimah cuba mencekik anaknya sendiri.
‘Fatimah!’
Satu suara menjerit ke arahnya. Fatimah berpaling mencari suara itu. Sudah agak lama suara itu tidak kedengaran. Tanpa Fatimah sedari, semenjak bayi itu berada dalam kandungannya, makhluk itu sudah mula mendampinginya. Berdamping kerana zuriat yang hidup di dalam rahimnya.
Tuan baharunya!
Fatimah mengigil ketakutan apabila makhluk itu muncul di sisi bayinya. Fatimah perlahan-lahan menjauhi bayinya itu. Dia tidak menyangka bahawa makhluk itu tidak pernah jauh dan senantiasa mengekorinya.
Apabila Fatimah cuba menggugurkan kandungannya, makhluk itu pasti akan muncul menghalang dengan menakut-nakutkan Fatimah.
Disebabkan itu Fatimah menyuruh majikannya supaya anak itu dihantar ke rumah anak-anak yatim atau kebajikan masyarakat. Makhluk pendamping itu selalu menganggu tidur malamnya. Dia selalu terasa usapan lembut di perutnya hampir setiap malam. Lebih-lebih lagi apabila kandungannya semakin sarat.
Pernah sekali dua mata Fatimah terbeliak apabila ada tapak tangan bayi muncul di perutnya bagikan bertepuk tampar dengan seseorang. Fatimah semakin tertekan dan kemurungan. Ada sahaja kelibat yang muncul di dalam rumahnya.
***
“Fatimah, kamu kena kuat dan tabah dalam mengharungi hidup ini. Jikalau awak sudi, biarlah anak awak itu jadi anak angkat saya juga. Kebetulan anak saya tiada kawan, isteri saya juga sudah lama meninggal dunia. Saya ajak awak bernikah, awak enggan. Saya tak mahu memaksa awak tentang perkara ini.”
Fatimah sekadar mendengar kata-kata majikannya. Indah Zulaikha sudah pun berumur hampir 12 bulan. Nama Indah diilhamkan oleh Muzammir apabila dia yang menolong Fatimah menguruskan pendaftaran kelahiran bayi kecil itu.
Fatimah keseorangan dan Muzammir tidak mengetahui asal usulnya. Fatimah terlalu berahsia perihal dirinya. Tiada seorang kenalan Fatimah yang Muzammir ketahui.
“Saya serahkan sahaja apa yang Encik Muzammir nak buat. Saya tak nak ambil tahu. Janji budak ni jangan dekat dengan saya.”
Muzammir menggeleng, begitu keras hati Fatimah untuk tidak menerima kehadiran Indah Zulaikha. Akhirnya Muzammir mengheret juga Fatimah dalam urusan pengambilan anak angkat. Mujur segalanya baik-baik sahaja meskipun pada permulaannya terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah.
***
Indah sudah meningkat dewasa, tidur malamnya senantiasa diperhatikan oleh makhluk itu. Belum cukup matang, maka dia tidak dapat muncul secara terang di hadapan Indah. Itu perjanjiannya dengan arwah datuk Indah.
Peralihan saka akan berlaku apabila keturunannya mengandungkan anak perempuan yang pertama. Indah merupakan cucu perempuan yang pertama dan tunggal.
Setiap kali Fatimah menguncikan Indah di dalam bilik stor kecil itu, ‘dia’ sering mendengar rintihan daripada Indah. ‘Dia’ tidak dapat menolong selagi Indah belum akil baligh. Ya, itulah makhluk yang setia menunggu tuannya.
Pernah sekali Indah dipukul bertalu-talu oleh Fatimah, ‘dia’ melemparkan barang-barang yang ada di dalam rumah tanda protes dengan perbuatan Fatimah. Tersedar akan perihal itu, Fatimah tidak lagi memukul Indah tetapi sebaliknya Indah dikurung di dalam stor sekiranya ada perkara yang menyakitkan hatinya.
“Ibu... kenapa ibu benci sangat dengan Indah?”
Itulah rintihan yang sering diluahkan oleh Indah. Dia tidak mengerti dan ibunya tidak pernah berkongsi rahsia. Pak Cik Muzammir selalu memujuk dirinya. Pak Cik kata ibunya tidak berapa sihat dan maafkanlah segala perilaku ibu. Indah menangis dan memberontak.
Dendamnya semakin lama semakin menebal dan kekal bersarang di dalam hati. Agak sukar untuk dia maafkan meskipun Fatimah itu merupakan ibu kandungnya.
Muzammir memeluk anak gadis yang tidak berdosa itu. Perilaku Muzammir menimbulkan cemburu di hati Kaisara, anak tunggal Muzammir. Ayahnya itu kalau pasal Indah, laju sahaja dia menolong. Mentang-mentang Indah itu anak angkat ayahnya.
Kaisara terasa dirinya tidak lagi disayangi seperti selalu. Maka Kaisara membenci Indah dan kehadirannya membuatkan keluarga Kaisara porak peranda. Sudahlah neneknya pergi dahulu, meninggal akibat sakit jantung. Hilanglah tempat Kaisara untuk bermanja.
Kaisara mendengus di dalam kereta. Dia tidak pernah menjejakkan kaki di rumah Indah.
“Indah! Indah! Indah! Itu sahaja yang ayah ungkapkan. Aku ini, ayah tak mengambil berat langsung! Padahal aku ini anak kandung ayah! Bukan si Indah bodoh tu!”
Skrettttt...
Cermin tingkap belakang tiba-tiba bagaikan di cakar sesuatu. Kaisara terkedu apabila melihat kesan cakaran terbias dan tiada sesiapa di situ. Kaisara menelefon ayahnya minta beredar dari rumah yang berpuaka ini.
Semenjak ayahnya mengambil Indah sebagai anak angkat, hidup Kaisra tidak keruan. Bagaikan ada yang memerhatinya dengan renungan yang tajam. Kaisara tidak betah menunggu lama-lama sendirian di dalam kereta.
Tidak lama kemudian, kelibat ayahnya muncul. Kaisara cepat-cepat melambai ayahnya supaya lekas pulang. Ada sesuatu yang menghantui rumah sewa milik ibu Indah ini.
***
Fatimah membuka juga bilik stor kecil itu meskipun sudah dilarang oleh Indah. Fatimah tertanya-tanya mengapa pagi ini Indah kelihatan sangat berlainan daripada sebelumnya. Wajahnya tampak lebih berseri dan tidak seperti selalu, pasti akan menangis sehingga bengkak matanya. Kini, Indah bukanlah lagi diri Indah yang lama.
Fatimah masuk ke dalam stor itu dan apabila lampu dipasangkan, alangkah terkejutnya Fatimah terlihat ada makhluk yang hitam tubuh badannya, seolah-olah sedang menunggu dirinya masuk ke bilik ini. Makhluk yang sudah lama Fatimah tidak nampak.
Fatimah ingin berlari keluar namun tiba-tiba pintu stor kecil itu tertutup dan terkunci. Pintu itu dikunci dari luar. Indah yang mengunci pintu stor itu. Rupanya Indah masih belum bergerak menuju ke sekolah.
“Jangan bunuh aku! Jangan bunuh aku!”
Makhluk itu semakin menghampiri. Kukunya yang tajam mencakar muka Fatimah tanpa belas kasihan. Fatimah menjerit kesakitan apabila diperlakukan sebegitu.
“Indah! Indah! Buka pintu ni! Anak tak guna!”
Fatimah masih berterusan menyakiti hati Indah meskipun dia terperangkap dalam bilik kecil itu. Tiada langsung ingin berubah. Pintu kecil itu dipukul bertalu-talu. Begitulah keadaan apabila Indah dikurungkan di situ pada sebelum ini.
Kemudian belakang Fatimah pula dicakar-cakar. Terkoyak kulit dan terkeluar isi dagingnya. Darah likat mula memancut di sekitar bilik stor itu. Dengan sisa tenaga yang masih ada, Fatimah cuba melawan namun itu hanya perkara sia-sia. Kekuatan Fatimah sebagai seorang wanita agak lemah dan terbatas.
“Pergi kau setan! Makhluk durjana! Kau khianat dengan aku! Aku ini dulu tuanmu!”
Fatimah meronta-ronta. Mahkluk itu ketawa sahaja. Fatimah bukan lagi tuannya apabila Indah sudah wujud dalam rahim Fatimah. Indah merupakan tuannya yang baharu. Perjanjian terbaharu termeterai sewaktu Indah sudah akil baligh.
Semakin lama pandangan Fatimah semakin kelam. Nyawanya sudah berada di hujung tanduk. Sekali libasan, nyawa Fatimah melayang. Kepala dan badan terputus dua.
‘Kau bukan tuan aku lagi!’
***
SEBELUM KEJADIAN
“Indah... seru aku Indah. Aku akan laksanakan apa sahaja permintaanmu. Kau sebut sahaja siapa mangsa yang harus aku kerjakan.”
Suara halus itu berbisik. Indah berhenti dari menangis. Dia ketakutan. Bisikan halus suara itu sering menemani lena malamnya. Dia tidak pernah tidur, senantiasa menjaga Indah meskipun Indah tidak sedar.
“Indah... serulah aku. Serulah aku. Aku akan temankan mu sampai akhir nafasmu.”
Begitulah pujukan yang sama sewaktu Fatimah masih muda remaja. Namun Fatimah tidak pernah mengambil endah. Buat tidak tahu akan kehadiran suara bisikan halus itu.
“Siapa kau! Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku!” Indah menjerit. Makhluk itu sudah berada di hadapannya. Seorang wanita cantik. Bermata bundar dan berambut ikal mayang.
Itu hanyalah manifestasi di hadapan mata Indah sahaja. Sedangkan hakikatnya, makhluk itu hitam, matanya merah dengan kuku yang panjang dan mengerikan.
“Aku pendampingmu. Aku senantiasa berada di sisimu. Cuma sekarang baru aku dapat munculkan diri apabila kau sudah matang. Serulah aku jika kau perlukan pertolongan. Akan aku turuti tanpa bantah. Siapa yang ingin kau mahukan untuk aku tamatkan riwayatnya?”
Indah masih mengigil ketakutan. Dia tidak dapat berfikir dengan waras ketika ini. Lama dia diam sebegitu. Makhluk itu mula membelai wajah Indah. Pada saat wajahnya dibelai, Indah bagaikan terpukau dan terpesona. Indah mula tersenyum dan tidak ketakutan lagi. Indah membetulkan duduknya.
“Betul kau boleh tunaikan permintaan aku? Boleh ke aku percayakan kau? Kau tak takut Tuhan?”
Tiba-tiba entah dari mana keberanian Indah datang dan menyoal kebolehan makhluk itu.
“Ha ha ha... Engkau tidak percaya akan kemampuan aku? Katakan sahaja siapa yang ingin aku hapuskan, dalam sekelip mata akan aku laksana. Urusan aku dan Tuhan itu soal lain Indah.
Sekarang ini yang penting adalah permintaanmu. Aku tahu dendam amarahmu itu sudah bersarang sekian lama. Aku ni seorang yang setia, aku ini yang layak menjadi kawanmu berbanding mereka yang selalu menyakitimu. Ibumu, tidak pernah merelakan kehadiranmu. Untuk itu kau boleh terus bergantung denganku.”
Tidak putus-putus makhluk itu memujuk dan memperdayakan Indah. Jin dan syaitan tidak akan pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Lebih-lebih lagi syaitan, itu adalah permintaannya sewaktu dia dilaknat. Sebelum tibanya akhir zaman, syaitan akan kekal terus menyesatkan anak-anak Adam.
Hanya bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa serta menyerah kepada Allah SWT semata-mata, akan gagallah rancangan syaitan untuk memperdaya dan menyesatkan mereka. Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar beriman kepada yang Maha Esa.
Indah, jiwanya rapuh dan senantiasa dirundung kecewa. Istilah kesedihan dan kemurungan menjadi satu watak sinonim dalam diri Indah.
“Kalau begitu, kau bunuh ibu ku! Dia antara manusia yang tidak pernah menyayangi aku. Dia manusia yang paling aku benci. Dendam aku masih bersisa!”
“Ha ha ha... bagus. Akan aku laksanakan hari ini. Kau dan aku akan bersatu, perjanjian kita harus dimeterai dengan darah dari jari manismu. Aku, kawanmu yang sejati, Indah.”
Indah tersenyum meleret. Jarinya disuakan pada makhluk tersebut untuk mengikat perjanjian mereka. Dia terdengar pintu stor kecil itu dibuka dari luar. Sudah pasti ibunya yang membuka.
Riwayat ibunya akan tamat sebentar nanti. Masih ada senarai nama yang menjadi siulan Indah.
Berjaga-jagalah kepada mereka yang pernah menyakiti hati Indah.
-TAMAT-
Karya : Daliana Zainal Abidin
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment