Sunday, 26 November 2017

NOSTRADAMUS - Nil Kuhaku


NOSTRADAMUS
KARYA: Nil Kuhaku
==============
-Julai, 1999-
Wanita itu menggeliat. Membuka mata.
Dia disapa sekuntum bunga ros merah, yang diikat reben merah. Dia bingkas bangun, menggonyoh matanya.
Ros itu dicapai.
“Happy Second Anniversary, Sarah.” Dia membaca nota yang disertakan di ros merah itu. Perlahan, gadis itu tersenyum. Dia mencium sedalam-dalamnya bau bunga ros yang wangi – mekar, memerah. 
Gadis itu bangun. Menjenguk sekeliling bilik. Bau sesuatu yang menyelerakan menerjah rongga hidung. Ya, ini bau kopi. Bau kepingan daging digoreng. Bau telur hancur.

Lantas, dia menolak selimut. Tersengih-sengih dalam malap cahaya matahari. Dia berlari menuju ke pintu, menguaknya laju.
Bunyi daging berdesir di minyak kuali membangkitkan selera. Dia menjenguk ke dapur.
Susuk seorang lelaki memakai t-shirt kelabu, berseluar pendek membelakangkannya. Sedang sibuk memasak.
Gadis itu tersenyum. Lantas, dia merangkul lelaki itu dari belakang. Erat. Terperanjat, lelaki itu berpusing ke belakang.
“Hey… not fair. I thought you’re not awake yet.” Ujarnya sedih. Gadis itu ketawa kecil.
“Apa ini? Breakfast in bed ke?” Ujar gadis itu, masih merangkul erat suaminya. Dagu disangkut ke bahu, menjenguk kepingan nipis turkey bacon yang berdesir. Mengancam selera.
“Mm.” Lelaki itu mengangguk. Tersenyum.
“Well, you have done enough. Mari, sayang sambung masak.”
“But this is my surprise to you!”
“Habis tu? Nak sayang pura-pura tidur balik ke?”
Lelaki itu tersengih.
“Sayang duduklah. Tak apa. Abang masak.”
Gadis itu menurut. Duduk di dapur, memerhati suaminya yang sedang membalikkan daging. Jag kopi dicapai, dituang ke dalam cawan. Telur hancur dan kepingan turkey bacon disusun kedalam pinggan.
“Here. Bon appétit!”
Gadis itu tergelak. Sempat dia menghulurkan tangan, menggosok nakal rambut suaminya yang tidak terurus. Lelaki itu senyum. Menarik kerusi, duduk bersama.
“Hari ini, sayang kena ikut abang keluar jalan-jalan.”
“Oh? Pergi mana?”
“Adalah. Mana boleh cakap.”
Gadis itu tersenyum. Menatap suaminya yang sedang seronok makan. Cepat-cepat, lelaki itu menghabiskan makanannya.
“Abang nak mandi dahulu!” Ujarnya. Berlari ke bilik air.
“Eleh, nak berak la tu!” Laung gadis itu, tertawa lucu. Dia mengangkat pinggan mangkuk ke sinki. Dicucinya, sebelum disusun.
Gadis itu masuk ke dalam bilik tidur. Mahu memilih baju.
Dia tergamam, apabila melihat sehelai ‘dress’ cantik berwarna merah, bercorak polka dot putih digantung kemas. Dress itu – dress kasual. Bukan dress formal. Ada satu nota dilekat di penyangkut baju.
“Please wear this today. Love, Abang”
Dia menekup mulut. Matanya bergenang, cepat-cepat diseka. Patutlah dia beriya mahu mandi awal.
Ini tahun kedua perkahwinan mereka. Sampai sekarang, mereka tidak dikurniai zuriat. Tetapi suaminya tidak kisah. Mereka bahagia. Masih bahagia. Dia mencapai dress comel separas lutut itu, menggayakannya seronok di hadapan cermin. Lama betul pakcik ni mandi.
Sarah menyanyi-nyanyi kecil. Mengemas bilik tidur. Selimut dilipat, tingkap dibuka. Dia menyusun buku-buku suaminya. Beliau merupakan penulis novel.
Sesuatu jatuh. Sekeping kertas.
Dia mengutip.
Keningnya terangkat. Itu merupakan lukisan wanita zaman Renaissance – yang berwajahkan dirinya, duduk diam di kerusi. Tersenyum manis ke arah pelukis.
“Even in death, our love goes on.”
Itu tulisan suaminya. Dia tersenyum. Biar betul. Sampai upah pelukis.
“Hey. Dah, pergi mandi.” Suaminya melangkah keluar, menggosok kain tuala di rambut yang basah.
Sarah tersenyum.

“Rajinnya abang, sampai upah pelukis.”
“Huh? Maksud sayang?”
“Ni. So sweet of you. Bersemut!” Sengih gadis itu.
Muka Adam pucat seketika. hanya seketika. Kemudian, air wajahnya berubah mesra.
“Yeah. Pergila mandi. Busy day today!” Adam menolak Sarah nakal ke bilik air. Sarah tertawa.
Sebaik sahaja Sarah masuk ke dalam bilik air, lelaki itu merenung gambar tersebut. Disisipnya kembali ke rak buku.
Dia menyebak rambut, tertekan.
==========================
“Where are we going?” ujar Sarah sewaktu kereta mereka mula bergerak.
“Adalah. Mana boleh beritahu. Rahsia.” Adam tersengih. Sarah mencucuk pinggang suaminya geram.
“Eh, janganlah. Geli. Nak drive ni.”
“Apa yang rahsia sangat? Cakap. Cakap. Cakap.” Sarah mencucuk pinggang suaminya bertubi-tubi.
“Yalah yalah! Kita nak pergi Petting Zoo.” Adam mengalah dalam ketawa. Dia pantang digeletek. Geli!
“Petting Zoo??!!!” Jerit Sarah teruja.
Adam mengangguk.
“Aww. You knows.” Sarah mengucup lembut pipi suaminya yang sedang memandu kereta. Adam tersengih.
“Ya. Abang perasan sayang berbual dengan Nina di telefon.”
Sarah tersenyum. Mencapai tangan suaminya, mengenggam erat.
Sampai di Petting Zoo, kereta sudah hampir penuh. Maklumlah, hujung minggu. Adam terlebih dahulu ke gerai-gerai yang menjual pelbagai cenderahati. Sarah membeli tiket.
“Abang. Dah. Jom masuk. Tiket dah beli.”
Adam tersenyum nakal sebelum menyarungkan topi bertelinga arnab ke kepala Sarah.
“Hei!”
“Ala, jangan buang. Comel kot.”
Sarah membetulkan topi bertelinga arnab putih itu sambil tergelak.
“Mana abang punya?”
Adam menyarungkan topi bertelinga kucing. Hitam. Sarah tertawa lucu. Mereka berpimpin tangan, menuju ke dalam Petting Zoo.
“Sarah, pernah dengar mengenai Nostradamus?”
“Peramal tu?” Ujar Sarah, menyuap anak kambing yang melompat seronok. “Ya, pernah dengar. Kenapa dengan dia?”
Adam mengangkat bahu. Dia menggosok lembut kepala anak kambing yang galak.
“Tak ada apa-apa. Dia pernah ramal pasal kemusnahan dunia, ingat?”
“Ya. Tapi itu ‘hoax’ semata.” Sarah merenung Adam.
Adam diam sebentar, mengangguk.
“Kena pula dia ramalkan, bahawa pada bulan ketujuh pada tahun 1999, tahun ini - akan berlaku kemusnahan dunia. Kan? Birthday sayang.” Senyum Adam.
Sarah menumbuk lengan Adam nakal.
“The only world I’ll destroy is yours.” Sarah mengusik. Adam masih tersenyum. Pinggang isterinya dirangkul, erat. Sarah membalas, menggosok lembut belakang suaminya.
“Jom, kita tengok bunny!” Ujar Sarah teruja. Adam mengangguk. Merenung Sarah sedih, yang berlari anak ke Taman Arnab.
Adam mendekati. Sarah sedang seronok merangkul arnab putih. Dia menarik nafas.
“Honey. I… I have something to tell.”
“Apa?” Ujar Sarah acuh tidak acuh, masih seronok mencium-cium arnab yang manja. Hidungnya berdenyut-denyut merenung kedua pasangan manusia itu.
“Gambar tadi. Itu bukan sayang.”
Sarah terdiam. Dia berpaling ke arah Adam yang sedang berdiri merenungnya sedih.
“Mak… maksud abang? Tapi, itu. Itu ada muka sayang di gambar.”
“Abang tahu, tapi. Tapi… itu bukan sayang. Dan itu juga sayang. Abang tak tahu nak terangkan macam mana.”
Sarah bangun perlahan. Bibirnya terketar.
“Abang… abang ada perempuan lain?”
“Bukan, bukan macam tu. Sarah, selama ini, abang cuma sayangkan Sarah.”
Sarah menggeleng kepala. Merenung Adam yang melihatnya sedih. Arnab berkejaran di kaki mereka, tidak hirau akan adegan sedih di tengah-tengah Taman Arnab itu.
“Habis itu, kenapa abang cakap macam ini?”
Adam menunduk.
“Abang.” Sarah mendekati, memegang lembut pipi suaminya. “Beritahu Sarah.”
Adam menarik nafas. Pinggang Sarah dirangkul, erat. Sarah turut memeluk suaminya, hairan.
Haiwan-haiwan seakan histeria. Arnab-arnab mengorek tanah. Ada yang cuba melompat keluar dari pagar berduri, kakinya berdarah-darah. Kuda-kuda kecil berteriak tidak senang. Berlari ke sana sini.
“Abang…?” ujar Sarah. Dia mendengar Adam menahan esakan.
“…At forty-five degrees, the sky will burn…” Bisik Adam. Bumi bergegar. Jerit-pekik manusia kedengaran.
“Fire approaches the great new city…” Sambung Adam, masih merangkul Sarah. Langit tiba-tiba memerah. Panas.
“Immediately a huge, scattered flame leaps up,
When they want to have verification from the Norman…”

Dari jauh, di ufuk langit, berbalam-balam kelihatan, hampir puluhan ribu batu-batu dari angkasa menghampiri mereka.
“Abang, itu…” Bisik Sarah.
Meteor!
Suasana bising. Bumi bergegar kian hebat. Binatang lari ke sana kemari. Manusia lari, lari merempuh sama sendiri.
Adam merangkul Sarah erat.
“Abang. Kita lari. Cepat!”
Adam masih diam. Masih enggan melepaskan pelukan.
“Abang!” Jerit Sarah.
“Sarah. Abang sayangkan Sarah. Please, never forget how much I love you.” Bisiknya.
Adam melepaskan pelukan perlahan. Matanya bengkak memerah. Menangis. Adam sedang memegang sebilah pisau.
“Abang…?”
Pisau itu terpacak ke jantung Sarah. Sarah termengkelan, sebelum jatuh ke rangkulan Adam.
“Ke… kenapa…?”
“Maafkan abang. Sarah… Sarah kunci semua ini. Nama Abang sebenar bukan Adam. Nama abang Nostradamus. Abang minta maaf. Sejak ratusan tahun dahulu, Abang hidup. Mencari Sarah. Tiap kali Sarah muncul, akan berlaku satu kecelakaan pada bumi. Dan tiap kali Sarah ‘muncul’, abang terpaksa bunuh Sarah.”
Sarah cuba menarik nafas. Di ambang sakaratul maut.
“Tiap kali. Tiap kali Abang cuba hentikan malapetaka… tiap kali itu, Abang jatuh cinta.”
Gadis itu tersenyum dalam lemah. Perlahan, dia menutup mata.

Hiruk pikuk masih kedengaran. Bunyi gegak gempita bumi ditimpa meteor bergema, dasyat!

Waktu gadis itu menghembuskan nafas terakhir, satu cahaya gemilang – terpancar dari ufuk langit, memancar seketika.
Dan, apabila cahaya itu menghilang,
Semua kembali seperti biasa. Tiada meteor. Tiada kekecohan. Tiada gegar bumi yang menggila.
Yang kelihatan lain, hanyalah susuk seorang lelaki, menangis teresak-esak di tengah-tengah Taman Arnab. Tiada sesiapa dirangkulannya. Yang ada, cumalah satu topi arnab putih, tergeletak sunyi di ribanya.
Inilah harganya. Harganya, untuk hidup abadi.
-TAMAT-
======================
Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: