MALAM ITU,IPOH HUJAN
KARYA: THE FLASH
===================================
Ini adalah kisah benar yang terjadi dalam tahun 2004. Sewaktu itu aku dalam Tingkatan 6 .
Malam ini,Ipoh dilimpahi rahmat Tuhan Yang Maha Esa. Hujan lebat! Syukur.Sudah dua minggu Ipoh 'kering kontang'.
Mujur bagi aku dan budak asrama yang lain, indeks basuhan kain kami mencecah 100% la.Jemur la apa pun,mesti kering.Selamat juga aku dah siap-siap arahkan junior untuk angkat kain baju aku yang kering.Kalau tak,jenuh nak basuh balik,sebab hujan malam tu maha lebat dan tiupan angin kuat.
Aku merenung luar tingkap.Kasihan melihatkan beberapa pelajar Politeknik Ungku Omar yang berlari lari anak menyelamatkan diri dari terkena hujan.
"Lari tak guna cik kak.Tadah je la air hujan tu." getus aku dalam hati - yang masih tak faham apa signifikan, kalau hujan baru mula kena lari,kan bahaya. Biar je la kena hujan,lainlah kalau kau tu kambing.
Aku cuba melelapkan mata malam itu.Esok hari Sabtu,’outing’ untuk pelajar asrama lelaki. Bukan main seronok. Aku dah rangka plan,aku nak ke Kompleks Yik Foong dan singgah di Melody untuk beli kaset muzik.
Aku kerling jam tangan. Jam 8.40 pm.Yang aku tahu,aku terlelap. Sedar sedar aku terjaga jam 1.23 pagi. Aduh. Lapar.Menyesal tak tapau lauk tadi petang masa di dewan makan.Aku turun dari katil,suasana Dorm Saidina Ali ketika itu sunyi. Yang ada pun bunyi dengkuran.
Aku ke loker dan mengambil sebungkus terakhir Maggi Asam Laksa. Mujur ada!
Aku capai bekas makanan dan turun ke tingkat dua. Menuju ke watercooler.
Inilah je sumber air sejuk dan panas untuk budak asrama ketika itu. Ipoh masih lagi hujan. Aku buka bungkusan Maggi,renyukkan dan letak dalam bekas. Semasa aku menarik tombol air panas,aku mula menghamburkan kata-kata kesat.
"Celaka.Mana perencah dia? Babun betul la!" maki aku seorang diri.
Mana tak marah.Dah la lapar,perencah Maggi takda.Masuk ni dah 2 kali aku terkena.Kilang lupa nak masukkan perencah! ( korang pernah terkena tak?)
Aku gagahkan diri membawa bekas makanan ke bilik TV. Duduk la aku di depan TV. Berbekalkan Maggi kosong!
Siaran TV ketika itu kurang baik.Gamaknya sebab hujan.Usai makan,aku bersandar di sofa.Suasana bilik TV gelap.Suis lampu tak boleh nak ON.Mesti ada suis di fusebox yang terjatuh.Sebab kilat dan petir agak kuat malam tu.
Aku duduk.Bengang tak habis lagi.Tiba tiba mata aku terarah di pintu masuk bilik TV.
Ada lembaga putih berdiri.Di tangannya memegang sesuatu.Aku berdiri.Ketika itu,hati aku mula rasa tak sedap.Bayangkan,bilik itu gelap,cahaya yang ada cuma dari set TV.
“Hahahahaha...heeee...heeee…”
Ah bedebah! Lembaga putih itu mengilai!
Walaupun bunyi air hujan menghempas atap asrama,bunyi hilaian itu memenuhi ruang bilik tv!
Seraya itu,lembaga itu melemparkan objek yang ada di tangannya ke arah aku.
Tindakan spontan aku,aku 'tersambut' objek yang dilempar.
Tergamam aku!
Di tangan aku ,ada kepala wanita berambut kerinting dan kusut,mengilai serentak dengan lembaga itu.
“Heeeeee…. haaaahaahah…!”
Tangan aku terasa panas. Aku jadi kaget.
Kepala itu masih di tangan aku.Matanya buntang melihat aku,giginya bertaring dan lama kelamaan aku lihat lidahnya mula keluar menjulur! Dan suara hilaian itu tak putus putus dari mulut kepala itu!
Sejujurnya,aku rasa hendak lari,tapi kaki aku seperti disimen. Hampir seminit kejadian itu berlaku.
Tapp! Bahu aku di tepuk dan sepantas mungkin aku menoleh.
Ada sebatang tubuh tidak berkepala berdiri di tepi kanan aku!
“Allahuakbar!”Itu yang keluar dari mulut aku.
Di hadapan aku,masih ada lagi lembaga putih itu.Sudahlah pintu keluar dari bilik TV itu je lah satu! Pintu belakang kunci!
Aku mengucapkan kalimah Allahuakbar berulang kali.Makin kuat aku ucapkan,makin kuat bedebah yang dua ekor ni mengilai! Bahu aku di tepuk beberapa kali!
'Dia' nak kepala dia la ni!
Aku dapat rasakan kaki aku seperti terlepas dari 'rantai',aku buka langkah seribu dan aku lempar kepala di tangan aku itu ke lantai! Aku tekad.Aku berlari menuju ke pintu keluar,dan aku rempuh lembaga itu.
Peliknya,aku hanya semacam merempuh kabus pagi. Tindakan aku itu menyebabkan aku tersembam di kaki lima, dek kerana licin tempias hujan.
Cepat cepat aku bangun.Menuju ke tangga.Tiba di tingkat tiga,langkah aku terhenti. Di depan aku, dua lembaga berdiri tegak. Jujur aku cakap,rupa bentuknya sama macam cerita Sundel Bolong.Badan besar,berkain putih,berambut panjang,mukanya pucat dan kusam serta seperti di toreh pisau!
Belum sempat aku berbuat apa apa, lembaga itu terbang meluru ke arah aku.
"Argghhh!!!!" aku menjerit sambil memejamkan mata.
Sejurus aku buka mata,aku dapati diri aku berada di atas sofa di bilik TV! Di tangan aku ada bekas Maggi.
Belum sempat aku cuba merungkai persoalan itu,tiba tiba saja ada lembaga putih muncul di pintu bilik TV.Di tangannya ada sesuatu.
Ah! Mana mungkin? Paradoks? Aku terus berlari keluar merempuh 'lembaga' itu.Dan ironinya,aku jatuh tersembam! Sekali lagi!
Kali ini aku berlari ke arah tangga hujung.Aku meminta tolong sepanjang aku berlari.Tapi entahlah.Mungkin hujan yang lebat,buat suara aku tak di dengari,tambahan pula,mesti budak asrama yang lain tengah syok tidur!
Aku naik tangga sampai ke atas.Asrama aku bila naik tangga hujung,akan jumpa tandas. (Rasanya memang camtukan design asrama?)
Aku berhenti melutut mengambil nafas.Penat dan takut! Aku tarik nafas dan sewaktu aku hendak berlari,langkah aku terhenti.
Ada susuk tubuh keluar dari tandas!
Dia memandang aku, seraya menyoal garang.
"Kau siapa ha?"
Saat itu,aku sudah mula rasakan kepala aku semakin berat dan mata aku mula berpinar-pinar.
Mana taknya, susuk tubuh yang keluar dari tandas itu wajahnya dan tubuh badannya menyerupai aku. Saling tak tumpah!
Aku pengsan.Yang pelik,esok pagi jam 7. 30 am - aku terjaga di katil aku sendiri,dan sejurus aku bangun,aku rasa pedih di bahagia lutut dan siku.
Ah! Ini kesan jatuh malam tadi!
Aku turun dari katil,buka loker dan aku lihat,ada sebungkus Maggi Asam Laksa.
Cepat-cepat aku capai dan aku buka. Perencahnya tiada!
Aku terduduk di depan loker,cuba mengingati apa yang jadi malam tadi.
Sleep walking? Mimpi? Entahlah!
Yang penting,malamnya selepas kejadian itu, ada kawan aku ,Ali, dia cakap, dia mimpi aku dikejar hantu! Dan apa yang Ali cakap,situasi dan kejadian itu sama sebijik macam aku kena.
Mungkin hujan malam itu di Ipoh,hujan paradoks?
TAMAT
====================================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment