Showing posts with label FateStayNite. Show all posts
Showing posts with label FateStayNite. Show all posts

Monday, 23 April 2018

DAERAH MAHTI Part 2 - FateStayNite



DAERAH MAHTI (bahagian 2)

Karya: Penulis MrHuzaifah



================================

Sedang aku menanti jawapan dari mulut Saiful, tiba-tiba muncul seorang gadis cantik. Wajahnya lembut, rambutnya kekuningan paras bahu. Gadis itu memakai pakaian seperti kebaya, tetapi dia memegang busur.


"Adakah ini puak Anjika?" Aku bertanya, untuk mendapatkan kepastian. Kerana aku teringat sewaktu dikejar Borigowo. Panah yang hadir dalam kegelapan itu dikatakan milik puak Anjika yang memburu Borigowo.

"Benar!" balas Saiful.

Gadis dari puak itu melemparkan senyuman, sungguh manis dan memikat. Tetapi dengan pantas Saiful merenjiskan air ke muka aku.

"Eh, kenapa?" tanya aku pelik, dan hidung aku terhidu sesuatu wangian.

"Demi keselamatan kamu!" Balas Saiful ringkas.

Aku mengelap muka aku yang terkena air itu dengan tangan. Baru aku tahu, wangian itu datang dari air yang direnjis oleh Saiful. Wangian ini seperti pernah aku hidu. Tapi aku terlupa.

"Air apa ini?" Aku bertanya sambil memandang Saiful.

"Air untuk mengelakkan kamu gila,” balas Saiful tenang.

"Maksud kau?" Aku mula curiga.

Soalan aku tidak dijawab, malah Saiful terus berdiri dan kedua-dua orang kerdil itu turut berdiri mengikut lagak Saiful. Gadis dari puak Anjika pula hanya berdiri dalam keadaan bersiap siaga.

"Aku tahu macam mana hendak bawa kamu pulang!" Ujar Saiful sambil melihat ke langit.

"Bagaimana?" Aku mula bersemangat dan berharap dapat kembali ke dunia aku.

"Di hujung daerah ini terdapat sebuah rumah besar. Di sana kita boleh membuka pintu alam. Tetapi, kawasan itu dikuasai oleh puak Borigowo," Saiful menerangkan.

"Aku sanggup!" Jawabku penuh semangat.

"Bukan sanggup menjadi ukuran, tetapi kekuatan kita untuk melepasinya," balas Saiful tenang.

"Siapa mahu ikut?” Tanya Saiful lagi, sambil melihat ke arah dua orang kerdil tadi.

Dua orang kerdil itu melonjak-lonjak sambil mengangkat-angkat tangan mereka, manakala gadis dari puak Anjika itu mengangguk tanda setuju. Sepertinya semua bersetuju untuk ikut bersama.

"Ini soal hidup dan mati kalian. Aku tidak memaksa,” kata Saiful lagi.

Namun mereka semua diam membisu. Dari raut wajah mereka kelihatan mereka turut bersedia.

"Matikk kami untuk TUHAN!" si kerdil yang bersenjata menjawab.

"Iyaaaa! Kan Saiful ajar, mati kerana Tuhan. Aku berkorban untuk kehidupan manusia ini," balas si kerdil satu lagi.

"Selepas solat subuh, kita bergerak!" Kata Saiful penuh semangat.

Selesai solat subuh, aku, Saiful, dua orang kerdil dan seorang dari puak Anjika memulakan perjalanan menuju ke hujung daerah, yang dikuasai oleh puak Borigowo iaitu antara puak dari dunia kegelapan. Mereka hanya mempunyai sifat membunuh. Namun bersama Saiful dan aku ada pahlawan yang ditakuti oleh puak Borigowo iaitu puak Anjika. Puak Anjika turut serta dalam pengembaraan pendek ini. Mereka sebenarnya ramai dan mahir dalam bergerak secara diam dan memanah. Puak orang kerdil pula hanya ada dua orang yang bersama saiful. Itu sudah cukup membuatkan aku rasa berani dan bersemangat.

Dari satu lembah ke satu lembah, sehinggalah tiba di satu kawasan yang agak lapang. Saiful memberhentikan langkahnya lalu melihat jauh ke arah seberang kawasan lapang itu. Aku juga turut memberhentikan langkah.

"Kita sudah tidak jauh lagi. Di seberang sanalah tempat terletaknya hujung daerah ini," beritahu Saiful sambil menunjuk ke arah seberang kawasan lapang itu.

"Kita sudah sampai?" Tanya aku dengan nada gembira.

"Hampir," balas Saiful, membetulkan tanggapan aku.

Hampir 20 minit Saiful hanya berdiri melihat kawasan lapang itu. Dia seperti teringatkan sesuatu. Renungan matanya jelas melambangkan kesedihan.


Zupppp....zupppp...zuppppppp, beberapa anak panah tepat kena di kepala Agoro, lalu mati lenyap bagaikan kepulan asap, kelihatan seorang berbaju labuh menutup segala tubuhnya dengan pakaian seperti jubah keluar dari belukar dan menghampiri rumah agam besar itu, perlahan-lahan tangannya membuka tombol pintu dan akhirnya terbuka.


"Balkiss?!” Saiful bertanya, tetapi terhenti apabila melihat tiada sesiapa di situ, hanya kelihatan rantai Balkis di tanah, lalu Saiful mengambil sambil dan melihat penuh tanda tanya pada rantai itu. Dia tidak tahu mengapa Balkis tiada di situ dan siapa yang telah membuka pintu rumah agam itu. 
Dian berlari keluar, namun langkahnya juga terhenti apabila melihat sekeliling dipenuhi belukar hitam kegelapan,dan tanah yang berbau busuk hanyir.

"Dian, lari ke sana! Kita kena keluar melalui cahaya tu!" Saiful menjerit sambil menunjuk ke arah cahaya yang semakin mengecil. Cahaya itu agak jauh, dalam lingkungan 100 meter.

Saiful berlari menarik tangan Dian. Dian hanya terpaku mengikut bagai dipukau. sampai sahaja di cahaya itu Saiful mengarahkan Dian masuk ke dalam cahaya itu kerana cahaya itu dalah pintu kembali ke alam nyata.

"Kamu..?!" Dian bertanya kepada Saiful apabila melihat Saiful masih tercegat melihat ke belakang.
"Saya nak cari Balkis,” kata Saiful sambil mengenggam erat rantai Balkis.

Dian melangkah melalui cahaya itu. Namun baru separuh badannya masuk ke dalam cahaya itu, terdengar saiful menjerit memanggil namanya, sambil melontarkan rantai itu kepada Dian. "Jaga rantai ni baik-baik!" Jerit Saiful mengingatkan Dian.


Air mata Saiful mengalir perlahan membasahi pipinya. Kenangan silam yang tidak akan dilupakannya. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa lama dia berada di daerah Mahti itu.


"Kamu menangis?" Tiba-tiba satu tuara yang sangat merdu dan lembut menyapa Saiful.

Aku turut tergamam mendengar suara itu, pantas aku menoleh ke belakang. Puak Anjika sedang turut menangis. Dan suara itu adalah miliknya.

"Mengapa kau menangis?" Tanya aku kepada Puak Anjika.

"Kerana Saiful sedang menangis," balasnya lembut. Suara gadis puak Anjika itu sangat menawan, sehingga membuatkan aku jatuh cinta.

Aku menjadi bingung. Apakah hubungan gadis itu dengan Saiful? Mengapa Saiful menangis? Semua itu hanya menjadi persoalan yang tidak berjawapan. 

"Sampai bila kita mahu berdiri sahaja di sini?" Aku semakin tidak sabar untuk pulang ke dunia nyata.
"Kita kena bersiap sedia. Di seberang sana mempunyai satu puak kegelapan yang digelar Agoro,” Saiful memberitahu risiko yang sedang menanti mereka.

Mendengar nama Agoro, dua orang kerdil tadi berlari ke belakang kaki Saiful. Gadis Anjika itu pula tenang dengan busurnya, kelihatan dia sudah bersiap sedia untuk bertempur atau dikuburkan.

Mulut Saiful terkumat-kamit membaca sesuatu, lalu tangannya diletakkan ke permukaan tanah. Hampir tiga minit dia merasa permukaan tanah itu, barulahkakinya melangkah masuk ke kawasan lapang. Jika dilihat dari tempat mereka berdiri, kawasan seberang itu sama sahaja tiada beza pun dengan kawasan mereka berada sebelum ini.

Setelah makin hampir dengan hujung daerah itu, kelihatan suasana semakin suram. Aku melihat ke arah belakang. Terang! Berbeza dengan apa yang berada di hadapan aku dan paling pelik, tadi aku lihat kawasan ini sama sahaja. Kini semakin hampir semakin suram dan gelap. Bau udara di kawasan itu juga berbeza. Seperti bau hanyir bangkai.

Suasana sangat berbeza dengan kawasan mereka tinggal sebelum ini. Keadaan hutan di situ gelap seperti suasana maghrib. Aku lihat Saiful melangkah tenang menuju ke suatu arah yang aku sendiri tidak tahu. Setiap langkahnya penuh berhati-hati. Dua orang kerdil itu duduk di atas bahu Saiful. Sebenarnya mereka takut.

Kini di hadapan aku terdapat sebuah rumah agam besar. Rumah itu tampak suram dan menyeramkan.
"Kena tunggu di sini. Pada waktu pertukaran siang dan malam, Pintu alam akan terbuka sekejap. Waktu itu kau hanya perlu lari ke arah cahaya yang muncul di situ," kata Saiful sambil menunjuk ke satu kawasan yang tidak jauh dari aku dan mereka berdiri.

"Tapi… sebelum sampai waktu itu kita kena bersembunyi. Kerana Agoro sangat banyak berkeliaran di kawasan ini,” ujar Saiful lagi.

Saat yang ditunggu-tunggu pun tiba. Saiful menjeling ke arah aku. Dia memberikan isyarat mata untuk bersedia. Sedikit cahaya telah muncul. Puak Anjika dan dua orang kerdil pula masing-masing hanya berdiam diri di tempat persembunyian.

Apabila melihat cahaya itu sudah besar, aku terus berlari keluar dari tempat persembunyian dan menuju kearah cahaya itu. Waktu yang sama juga, aku dengar dengusan Agoro dan derapan tapak kaki makhluk itu menghampiri aku. Sedikit pun aku tidak menoleh, kerana dalam perancangan Saiful aku hanya terus berlari dan mereka akan bantu menghalang Agoro dari menyerang aku.

Baru sahaja kaki aku melangkah ke cahaya itu, tiba-tiba kaki sebelah aku telah diterkam Agoro. Namun dengan pantas beberapa batang anak panah melayah menembusi kepala Agoro. Pertama kali itulah aku melihat makhluk bernama Agoro dengan lebih jelas dan dekat.

"Cepaatttt!!" Jerit Saiful.

Aku menoleh ke belakang. Kelihatan Saiful sedang bertungkus-lumus berlawan dengan Agoro. Si dua orang kerdil yang bersenjata sedang memanjat badan Agoro dan menikam kepala Agoro. Gadis Puak Anjika pula tidak kelihatan, tetapi hanya anak panah bertaburan menyerang mangsa-mangsanya. Si kerdil lagi satu aku lihat sudah berada di dalam cengkaman Agoro. Sewaktu aku melihat kali terakhir itu, kepala si kerdil itu dikokak rakus oleh Agoro. Darah bersemburan ke atas tanah Daerah Mahti. 

"Cepaaat!” Saiful menjerit sekali lagi apabila melihat aku masih terhenti di pintu alam itu.

Aku melihat semuanya bergerak dalam keadaan perlahan. Saat-saat akhir mereka dengan aku itu bagaikan memori yang sangat indah. Kami kenal tidak lama, tetapi mereka sanggup bekorban untuk aku. Aku melangkah perlahan dan terdengar sayup-sayup suara Saiful menjerit, "jangan lupa!” Lalu semuanya menjadi putih dan akhirnya mata aku terbuka. Aku berada di hospital? Tapi ini di mana?! Siapa aku? Semua yang mengelilingi aku menjadi keliru apabila aku mengatakan aku tidak kenal siapa diri aku sendiri. Dalam pemeriksaan doktor, aku disahkan sihat dan normal. Doktor menyatakan mungkin disebabkan kesan dari koma. Aku dikatakan koma selama seminggu dan dikatakan hanya keajaiban yang mampu mengubah nasib aku. Tetapi mereka tidak tahu, ada keajaiban lain yang lebih indah di luar sana. Ia ada bersama.


Tamat
==========================

Suntingan Karya: Ahmad Rusydi

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

Monday, 16 April 2018

DAERAH MAHTI Part 1 - FateStayNite


Tajuk : Daerah Mahti (Part 1)
Penulis : Penulis MrHuzaifah
=======================

Rasa itu semakin menjadi-jadi. Gelap. Sunyi! Aku di mana? Suasana ini seperti pernah aku lalui, seperti pernah aku alami. Praaappp! Tiba-tiba bunyi ranting patah seperti dipijak seseorang. Aku menoleh ke arah belakang dengan pantas. Kosong! Tiada sesiapa.

"Mungkin perasaan aku sahaja," hati kecil aku berbisik, sambil meneruskan langkah.


Semakin jauh aku melangkah, semakin aku rasa hilang arah. Tiada tanda-tanda atau bunyi air sungai berdekatan aku. Orang cakap jika sesat, carilah anak sungai, tapi jangankan anak sungai, lopak air pun aku tidak jumpa. Cuaca semakin gelap, aku harus mencari tempat berehat dan berlindung.

Tidak jauh dari tempat aku berdiri, kelihatan sepohon pokok yang rendang beserta daun dan cabang ranting yang lebat. "Aku berehat di sini dahululah, sebelum malam menjelma." kata hati kecilku.


Aku memanjat pokok itu dengan berhati-hati. Bimbang jika ada haiwan berbisa sedang berteduh juga.Mana ranting yang mampu aku patahkan mengunakan sisa kuderat yang masih ada, aku patah untuk membentuk tempat yang lebih selesa.

Malam sudah pun melabuhkan tirainya. Aku hanya turun untuk solat sahaja, itu pun aku mengunakan arah mengikut petunjuk matahari dan keadaan serta suasana. Allahhh Hu Akhbarr! Aku menganggkat takbir memulakan solat isyak. Sejujurnya aku memang tidak kusyuk ketika itu. Nyamuk, semut, serangga dan bunyi haiwan yang sangat pelik membuatkan aku semakin tidak kusyuk. Namun tiada alasan untuk solat. Itu adalah rukun Islam yang menunjukkan aku seorang beragama islam.

“ Rabbighfirli, " Baru sahaja bacaan duduk antara dua sujud itu aku lafazkan. Kedengaran satu suara dari belakang.

"Ehh..! ureng ituk buat apa"

"Entah tak tahuk!" Balas satu lagi suara.


Aku masih meneruskan solat dan berserah kepada Allah sehabisnya. Dengan berada di tempat yang asing. Aku mungkin tidak mampu berlawan dan melarikan diri jika diancam bahaya. Selepas aku memberi salam terakhir, aku terus memusingkan kepala ke belakang. Tiada sesiapa! Mungkin syaitan sengaja menganggu aku. Terus pantas aku memusingkan kembali kepala kehadapan.

“ALLAHHHH!”

Dengan seiring kalimah itu juga aku terensot kebelakang. Dua orang yang bertubuh kedil kini berdiri di hadapan aku. Badannya gempal, ditangannya tergenggam sebuah senjata seakan kapak yang diperbuat dari kayu dan mungkin batu. Suasana gelap sukar untuk aku melihat dengan lebih teliti.

"Siapa kamu!" Tanya lelaki kerdil yang memegang kapak itu.

"Aku Sharil," balas aku sambil bersedia untuk lari.

"Darik manak?" Si lelaki kerdil lagi satu bertanya.


"Dari......" aku tidak mampu menjawab, ingin menjawab nama tempat tapi khuatir mereka tidak tahu. Hendak menjawab bumi, khuatir mereka rasa aku memperbodohkan mereka.

"Dari?" Lelaki kerdil bersenjata itu mempersoalkan kembali.

"Tidak tahu. Aku sesat." balas aku sambil memandang mereka berdua.

Kemudian lelaki kerdil itu berbincang perlahan, aku cuba memasang telinga untuk mengetahui apakah rancangan mereka. Aku terbayang mereka akan mengikat aku lalu meratah tubuh aku.Arghhhh! otak ini asik berfikiran negatif sahaja. Aku yakin Allah pasti bantu aku.

"Marikk!" lelaki yang memegang senjata itu memanggil aku, sambil dia berjalan kehadapan.

Aku tiada pilihan, jika aku lari ketika itu nescaya aku akan dikejar dan mereka pasti hebat dengan selok belok hutan ini. "Baik aku ikut sahaja" hati kecil aku memberi cadangan, seakan menyerah diri kepada musuh.

Setelah hampir 3kilometer aku berjalan, akhirnya lelaki kerdil itu berhenti. Aku juga turut ikut berhenti. Lelaki kerdil yang tidak memegang senjata tiba-tiba sujud tetapi telinganya diletakkan kebumi. "Ayuhhhh!! pantas!" lalu mereka berlari, dan aku turut berlari. Tinggi mereka hanya paras lutut aku sahaja.

Sedang aku berlari itu tiba-tiba terdengar bunyi dengusan nafas kuat di belakang. Aku sempat menoleh dan melihat mengunakan anak mata. Hanya mata merah menyala kelihatan dibelakang aku dan jaraknya tidak jauh.

"Apa itu!" Soal aku sambil berlari dan termengah-mengah.

"Borigowo!!!" Jerit silelaki kerdil sambil berlari.

Gedebukkkkk! Seorang lelaki kerdil yang memegang senjata tadi jatuh tergolek. Rakannya terus memberhentikan larian sambil menjerit ke arah aku "Larriiiiiiii!" BErmakna dia suruh aku meneruskan larian. Tetapi aku tidak tahu kemana aku ingin lari dan apa itu Borigowo.

Tanpa berfikir panjang aku terus mencapai kedua-dua tangan lelaki kerdil itu lalu menarik ke atas badan aku. Lelaki kerdil yang jatuh itu aku pautkan di bahu aku. Lalu berlari tanpa arah.

"Bilokkkk kanan!" Arah lelaki kerdil yang dibahu.

Aku mengikut sahaja sehinggalah kelihatan seakan cahaya api tidak jauh dari aku.

"Pergiii sanaaaa!" Jerit lelaki kerdil itu lagi sambil menunjukkan kearah api.

Semakin dekat dengan cahaya api itu, semakin aku rasa selamat. Tetapi aku tidak tahu apakah yang sedang menunggu aku di sana. Adakah bahaya atau tidak.

Bunyi derapan kaki makhluk yang mengejar kami semakin hampir. Aku pula semakin penat, namun aku harus menyelamatkan dua orang kerdil ini.

Zrrruuussssssss...

Tiba-tiba bunyi sesuatu yang sangat pantas dan laju membelah angin. Bunyi itu kedengaran beberapa kali sehinggalah terdengar satu suara ngauman yang sangat kuat dibelaknag aku. Derapan kaki makhluk itu juga terhenti seiring dengan bunyi ngauman itu.

"Puak Anjika!" Teriak lelaki

"Siapa mereka? Bahayakah?" Tanya aku, mula bimbang kerana seakan puak itu lebih hebat.

"Tidak. Mereka pemburu Borigowo" terang sikerdil

"Huhhhhh." aku menarik nafas lega, terasa sedikit selamat.

Sampai sahaja aku di ungun api, kelihatan tiada apa-apa melainkan hanya satu ungun api. Aku turunkan dua lelaki kerdil itu ketanah kemudian aku terbaring kepenatan. "Apakah nama tempat ini?" hati aku berbisik.

"Daerah Mahti!" Tiba-tiba pertanyaan aku dibalas oleh satu suara yang hadir dari rimbunan semak samun.

Aku pantas duduk dan bersedia melarikan diri kembali.

"Jangan takut, aku juga seperti kamu manusia!"Balas suara itu lagi.

"Siapa?" sambil aku memegang kedua-dua lelaki kerdil untuk bersedia membawa mereka lari dari ancaman.

Lalu keluar seorang lelaki remaja. Bertubuh tinggi seperti aku, dia memang benar-benar manusia. Lelaki kerdil dua orang tadi terus bangun lalu menghampiri silelaki yang baru muncul dari semak samun itu. Mereka nampak seperti sudah saling kenal.

"Siapa kamu," tanya silelaki itu kepada aku.

"Aku Sharil, dan siapa pula kamu?" Balas aku.

"Aku Saiful." Silelaki itu berjalan menghampiri aku. Tubuhnya bau sangat harum dan bau itu adalah bau dari bunga-bungaan. Lalu tangannya dihulurkan untuk bersalaman dan aku membalasnya tanpa rasa curiga.

"Bagaimana kamu boleh sampai kesini? tanya Saiful kepada aku.

"Aku tidak tahu, aku lupa segalanya. Hanya sedar aku sudah ditengah hutan ini." aku cuba mengingat kembali. Namun otak aku tidak ingat langsung apa-apa.

"Agak aneh!" balas Saiful sambil cuba berfikir.

"Tadik kami nampak dia bangun tunduk macam Saiful." adu silelaki kerdil bersenjata itu kepada Saiful.

"Solat?" Jawab Saiful sambil memandang lelaki kerdil itu.

"Yaaaa. " balas seorang lagi.

Aku hanya memandang Saiful dengan penuh tanda tanya, bagaimana lelaki ini boleh hidup ditengah hutan dan bersama lelaki kerdil ini. Apakah Daerah Mahti ini? Semua itu menjadi persoalan didalam akal fikiran aku. Tetapi lelaki kerdil tadi menyebut tentang solat yang dilakukan oleh Saiful, bermakna ia lelaki yang baik dan selamat.

"Errrrr.. Tapi bagaimana kamu boleh ada di sini?" Soal aku kepada Saiful.

"Kerana seorang wanita." Balas Saiful ringkas.

"Oh, kerana cinta? " balas aku.

"Bukan cinta. Tak mengapa, abaikan sahaja. Tidak baik diungkit." Saiful cuba menutup kata-katanya.
Aku kembali terbaring, pandangan aku terus kelangit. Walaupun dihalang oleh rimbunan pokok, namun aku masih dapat melihat bintang. "Adakah aku bakal mati disini?" hati aku kembali bermonolog.

"Tidak semudah itu untuk kau mati di sini." ujar Saiful tenang.

"Kamu dapat membaca hati aku?"

"Tidak! Aku hanya mendengar bisikan hatimu" balas Saiful kembali.

Kedua orang kerdil itu aku lihat sudah berdengkur, mungkin kepenatan lari bersama aku tadi.

"Jika kamu lapar, ambil makanan itu. Makanlah. Ia halal." Saiful menunjukkan kearah satu sudut, terdapat rimbunan daun.

"Terima kasih, tetapi aku haus." balas aku cuba mengadu.

"Nah. Minum lah" Saiful menghulurkan sebekas air yang diperbuat dari buluh.

Aku menerimanya tanpa memikirkan bahaya. Selepas minum, aku hanya menghabiskan masa dengan termenung. Manakala aku lihat Saiful hanya duduk berzikir sambil duduk tenang.

Waaarrgghhhhhh!!

Tiba-tiba tempat kami duduk berrehat diserang. Aku terus bangun dari baring sambil berlari kearah satu pohon dan memanjat pohon itu tanpa memikirkan bahaya. Saiful dan dua orang lelaki kerdil itu masih tidak bergerak diam dalam tidur.

"Bangunnnn!!! Lari!!" Jerit aku kepada mereka. Namun mereka masih lagi tidak bergerak.

Aku jelas dapat melihat makhluk yang dikatakan Borogiwo itu, wajah mereka seakan serigala dan angjing. Adakala seperti beruk. Tubuh mereka berbulu lebat. Mempunyai mata yang merah menyala.

Dengan rakus mereka memcarik-carik tubuh Saiful dan lelaki kerdil tadi. Kawasan itu kini semerbak bau hanyir darah. Aku hanya mampu memerhati dan tiba-tiba salah seekor dari makhluk itu terlihat aku. Matanya yang kecil tadi menjadi besar seakan terbeliak apabila terlihat aku.

Arrgggggggg!! Makhluk itu menjerit kearah aku, pantas semua yang lain melihat kearah aku.

Ya Allah aku memohon perlindungan dari mu Ya Allah. Aku berdoa. Salah seekor dari mereka memanjat pokok yang sama dengan aku. Jantung aku berdegup kencang. Aku harap kali ini Allah hantarkan tenteraNYA walaupun ia Puak Anjika.

Arrrrrhhh!
Debukkkkk!

Aku tersembam jatuh kebumi. Makhluk tadi mengelilingi aku, wajah mereka nampak masih lapar. Tiba-tiba kaki aku terasa panas dan apabila dilihat seekor dari mereka sedang mengigit betis aku. WAktu itu kesakitan yang aku lalui seiring dengan ketakutan. Ngilu, sakit semuanya bercampur baur. Kaki dan tangan aku direntap oleh mereka. Aku mampu melihat lengan aku terlerai dari tubuh, terasa kebas di kepala dan pemandangan aku mula dipenuhi kelip-kelip cahaya. Sakit, sakit dan sakit itu yang mampu aku rasa saat itu. Tubuh aku mengeletik kesakitan. Darah aku membasahi tanah Daerah Mathi itu.

"Allah Hu Akhbarrr! Allah Hu AKhbarr!" terdengar sayup suara orang melaungkan kalimah Agung itu. Aku melihat mengunakan anak mata ke tepi aku. Dan aku lihat kepala Saiful sedang melazkan Kalimah Agong itu. Lalu gelappp!

Pappp!

Pipi aku ditampar perlahan, mata aku dibuka dan aku lihat Saiful serta lelaki kerdil sedang duduk melihat ke arah aku.

"Bangun, kamu sedang dikuasainya" ujar Saiful tenang,

"Maksud kamu?" Aku keliru. Aku masih hidup dan mereka juga.

"Di Daerah ini jika kamu tidur melebihi waktu, pasti kamu akan dikuasai mimpi ngeri. Jika kamu gagal lawan maka kamu akan mati" terang Saiful kepadku.

"Maknanya aku tidak boleh tidur terlalu lama?" Tanya aku pelik.

"Iyaa. "balas Saiful tenang.

"Sekarang kita fikirkan bagaimana untuk membawa kau pulang kembali." kata Saiful.

Semua memandang kearah Saiful, berharap dia mempunyai cara.

"Ingat, ini Daerah Mahti, dimana kamu boleh mati dan kamu harus berlawan dengan diri sendiri. " Terang Saiful lagi.

Aku hanya diam mendengar, dan aku lihat suasana seakan sudah subuh. Unggun api juga semakin malap. Aku masih terperangkap didunia ini. iaitu Daerah Mahti. Siapa Saiful sebenarnya, siapa Puak Anjika dan apa sebenarnya Borigowo. Semuanya menjadi tanda tanya. Dan Adakah aku mampu kembali ke dunia nyata.

Bersambung.
=====================
Gambar: Mr Huzaifah 

Suntingan: NIL

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Monday, 26 March 2018

MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR II - FateStayNite



MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR II

============================

Hari ini adalah hari kedua aku bekerja, dan aku berharap semangat aku masih kuat untuk mengharungi segala cerita yang sedang bermain di minda aku. Kejadian semalam aku jadikan iktibar, dan aku beranggapan itu hanyalah ilusi atau sebuah karya ghaib yang dicipta oleh minda aku sendiri. Mana mungkin semudah itu untuk aku melihat mereka.

Seperti semalam, aku masuk kerja seperti biasa. Menulis report dan menghidupkan api, begitulah rutin harian yang bakal aku lalui setiap hari.

"Hasrul, kau rasa semalam yang kita nampak tu apa?" Aku membuka peristiwa semalam.

"Hurmm, entahlah. Kenapa?"

"Tak ada apalah, aku macam tak percayalah." Ujar aku sambil melabuhkan punggung di kerusi kayu yang terdapat di dalam pondok.

"Tak payah percayalah! Kita buat je kerja kita..." balas Hasrul sambil menulis report.

Aku termenung melihat semak samun di hadapan pondok. Kadang-kadang aku terfikir juga tentang haiwan berbisa yang mungkin boleh merbahayakan kami di pondok kawalan.

Waktu rondaan pertama dan kedua, kami dapat lakukan dengan baik. Pada rondaan waktu ketiga yang akan menjadi masalah kerana pada waktu itu adalah jam 12:00 pagi. Dan waktu itu sangat sinonim dengan kemunculan-kemunculan makhluk ghaib.

Detik yang dinanti-nantikan pun tiba. Motor dihidupkan, mulut aku terkumat kamit membaca surah yang aku hafal. Bersedia menghadapi segala kemungkinan, atau aku bakal meletakkan jawatan aku pada esok harinya.

Kerja yang nampak mudah sebelum ini, kini aku rasa begitu susah. Bukan kerja itu berat tetapi keadaan yang menjadikan kerja itu susah. Bunyi engin motor memecah kesunyian, aku memandu perlahan motorku sesekali mata aku mengerling ke arah semak samun dan paling aku takut adalah ular tedung. Kehadiran makhluk berbisa itu sangat aku takuti, walaupun belum pernah lagi aku terserempak.

Sepanjang perjalanan sehingga habis di bahagian tangki air atas bukit, suasana nampak tenang. Tiada langsung aku diganggu oleh makhluk-makhluk halus. Sampai sahaja di pondok kawalan, aku menulis laporan seperti biasa.

"Wei, kau nak tahu satu cerita tak?" Tiba-tiba Hasrul memulakan perbualan.

"Cerita apa?" Tanyaku sambil menulis laporan.

Bunyi cengkerik dan burung cabak saling berlawan, Hasrul membakar rokok sambil duduk bersandar menghadap unggun api. "Ceritanya macam ni!" Hasrul memulakan cerita sambil menghembuskan asap rokok.

Hasrul menceritakan bahawa kawasan tempat pondok kami duduk itu adalah kawasan jin, dan pondok kami memang dibina betul-betul di bawah pokok besar dan rendang. Lihat pada pokok pun sudah menyeramkan, tetapi makhluk situ dikatakan tidak menganggu manusia.

"Dah-dah, kau tak payah nak merepek!" Sengaja aku memotong cerita Hasrul. Bukan aku takut, cuma aku malas nak mendengar, aku lebih suka jika aku melihatnya sendiri macam yang aku lalui semalam.

Jam sudah menunjukkan pukul 2:00 pagi, aku mencapai kunci motor lalu menghidupkan engin untuk melakukan rondaan, Hasrul terus mencapai barang-barang untuk clocking. Angin malam itu terasa sangat sejuk, mungkin disebabkan bercampur dengan embun. Hasrul nampak tenang sahaja, manakala aku mengigil kesejukan.

Sedang aku memandu itu tiba-tiba mata aku ditegur dengan satu lembaga seakan berbungkus disebalik semak samun, "Astagfirullah..." bisik hatiku. Aku yakin Hasrul tidak menyedarinya, dan aku menganggap itu hanyalah biasan cahaya pada batang pokok.

Sedang aku melalui kawasan chek point pertama iaitu di hujung kawasan pembinaan, tiba-tiba bunyi hentakkan pintu kuat kedengaran. Yelah rumah belum siap, bila bunyi pintu ditutup kuat mesti bergema. Bunyi hentakkan itu serba sedikit membuatkan semangat aku terperanjat. Jantung aku berdegup kencang. Kalimah Allah terus bermain di bibirku.

"Wei Hasrul cepatlah!" Jerit aku kepada Hasrul yang sedang mengunci. Wahal jarak kami hanya beberapa meter sahaja.

"Kejaplah!" Balas Hasrul.

Selesai dia melakukan Clocking aku terus memulas minyak motor dan selepas itulah, "dummmmmmm, duummmmmmm.." bunyi pintu dihentak kuat mengikut setiap rumah yang kami lalui.


"Hasrul, kau okay?" Aku cuba berbual, untuk menghilangkan sedikit rasa takut.

"Okay je, jalan je..." jawab Hasrul, dia tahu apa yang aku maksudkan.

Aku meneruskan kerja dengan tenang, walaupun perasaan takut mula bermain di dalam jiwa aku. Sampai sahaja di bangunan tadika, aku memberhentikan motor. Hasrul pantas menuju ke arah peti clocking, baru sahaja tangannya memegang kunci, tiba-tiba "Krreeeeeuuuuukkkkkkk~~, Kreeeukkkkk~" bunyi buai berayun. "Allah Hu Akhbarrrr!" kalimah suci itu aku lafazkan.

Hasrul memandang aku dengan 1001 persoalan, dan aku memandangnya. Kami ada dua pilihan, lari atau meneruskan clocking. Tetapi aku lihat Hasrul masih meneruskan clocking. Mata aku melilau ke kiri dan kanan, bulu roma aku mula berdiri.

"Arghh, dia dah datang!" Bisik hati aku.

"Weehhh Hasrul, cepatlah!" Aku mula rasa tidak sedap hati.

"Kejap, sangkut pula kunci ni!" Balas Hasrul, nada suaranya aku tahu dia juga seperti aku dalam kebimbangan.

Setelah direntap beberapa kali, akhirnya dapat juga dibuka. Hasrul dan aku terus menuju ke point seterusnya, alhamdulillah di tangki air kami tidak diganggu. Namun di point terakhir iaitu di kolam renang, aku memberhentikan motor dan kami terpaksa berjalan sedikit ke arah kunci. Di dalam hati aku sentiasa berdoa semoga tiadalah gangguan yang menganggu kami.

"Blussssshhhhhhhh!" Bunyi air seakan orang terjun ke dalam kolam, aku memandang ke arah kolam. Airnya tenang tiada berkocak, aku memandang ke arah Hasrul. Namun Hasrul meneruskan langkah, dan aku juga mengikut.

"Blusshhhhhh!" Lagi sekali bunyi orang terjun ke dalam kolam, membuatkan jantung aku berdegup kencang.


Hasrul mula menghentikan langkah, manakala aku dari tadi langkah sudah terhenti. Mata aku tajam melihat ke arah kolam, kosong dan tenang airnya. 

Tanpa aku sedari Hasrul sudahpun melakukan clocking, baru sahaja kaki kami ingin melangkah ke motor, tiba-tiba suara bayi menangis memecah kesunyian waktu itu. Aku terus melihat ke arah kolam dan waktu itulah aku nampak satu tubuh berbaju putih sedang berdiri di atas papan anjal kolam. Tanpa berfikir panjang aku terus berlari ke arah motor. Hasrul pula sudah lebih awal sampai di motor.


Aku memulas minyak sehabisnya, suara sayup bayi menangis masih bermain di telinga aku!

"Weiiiii! dia ada atas kita!" Hasrul menjerit kuat. Aku melihat mengunakan anak mata sambil memandang keatas sedikit, kelihatan kain putih mengibas-ngibas di atas.

"Allahhh Hu Akhbarrrr...." aku menjerit, tetapi seakan tidak kedengaran suara aku.

Segala lubang, segala kayu dan segala batu habis semua aku langgar. Aku tidak fikir tentang keselamatan ketika itu, tetapi aku hanya memikirkan tentang makhluk yang sedang ikut kami. Sehinggalah sampai di pondok kawalan, makhluk itu sudah tiada. Aku menarik nafas lega walaupun sebenarnya aku seperti sudah tidak bernafas.

Hasrul terduduk di kerusi, wajahnya pucat begitu juga aku.

"Haaa! sekarang kau percaya?" Tanya Hasrul seakan marah.

"Percaya!" tapi!.
"Tapi apa lagi?"


"Hahaha tak ada apalah, ko tengok rim motor tu..." balas aku sambil mejuir bibir ke arah motor.

"Wahahahaahahahha..." kami gelak bersama apabila melihat rim sudah bengkok. Ketakutan tadi hilang seketika.

Aku ambil jam loceng yang memang sudah sedia ada di atas meja, lalu menguncinya pada pukul 4:00am.

"Hasrul, aku nak lelapkan mata kejap..." pesan aku pada Hasrul.
"Eh aku pun sama, kunci la jam!" Ujar Hasrul pula.
"Dah!" jawab aku ringkas. Lalu kami melelapkan mata seketika.


==========================

Ktinggggg, ktinggggg ... bunyi pagar besar yang diperbuat daripada besi itu diketuk kuat. Aku terjaga dari tidur lalu melihat ke arah pagar hanya ada satu lubang kecil untuk melihat tetamu di luar. Tanpa berfikir panjang atau mungkin sebenarnya aku sedang mamai. Aku bangun lalu menghampiri pagar, dan melihat disebalik lubang seorang wanita umur lebih kurang 20an sedang berdiri di luar dan meminta kebenaran untuk masuk. Aku bagaikan dipukau, tanpa banyak bicara aku terus ke pondok untuk mengambil kunci pagar kemudian membuka untuk gadis itu masuk.

"Terima kasih bang~" kata gadis itu apabila sudah masuk, dia memaki baju kebaya dan kain batik menutup kepalannya.

"Eh!" Dia nak kemana? Tiba-tiba aku mula sedar bahawa dia seorang wanita dan pada waktu begini dia hendak kemana.

Pantas aku memusingkan badan untuk melihat gadis itu, namun dia sudah tiada. Aku berlari ke arah pondok dan mengejutkan Hasrul dari tidur.

Aku menceritakan kepada Hasrul apa yang aku lihat, namun cerita aku tidak diendahkan. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 3:50am, "siapa gadis tadi?" Hati aku berbisik sendirian. Aku masih tertanya-tanya bagaimana aku boleh membenarkan dia masuk dan lebih membuatkan aku tertanya adalah tentang pakaiannya. Tetapi kisah itu hanya aku dan Hasrul sahaja yang tahu, kerana Hasrul sedar ketika aku bangun buka pagar.

Pada keesokan harinya aku ceritakan kepada Pak Ahat, namun cerita aku hanya dibalas dengan senyuman. Baru aku faham perasaan jika kita menceritakan sesuatu itu tetapi orang hanya tersenyum tanpa memberikan apa-apa reaksi.

Kisah yang aku ceritakan ini baru secebis pengalaman aku. Selepas beberapa bulan aku bekerja akhirnya tambah lagi seorang pekerja. Tetapi malang baginya apabila tidak lama dia bekerja dia telah diganggu dengan kehadiran makhluk tidak berkepala sedang berjalan di tangki air. Selepas itu pekerja itu ditukar kepada shif siang.

Dan sebulan selepas itu kami dapat seorang lagi pekerja. Dia agak lurus bendul, bagus budaknya kerana mendengar setiap kata-kata. Tetapi sayangnya dia ditukarkan kepada pos lain juga setelah dia lari meninggalkan Hasrul di bangunan tadika.

Waktu itu mereka diganggu dengan hilaian tawa wanita. Kerana takut dan terkejut pekerja baru itu lari mengunakan motor meninggalkan Hasrul seorang diri. Kejadian-kejadian aneh itu berlarutan sehinggalah akhirnya aku menjadi salah seorang sahabat mereka. Sehinggalah aku tahu tempat-tempat makhluk itu duduk. Dan di mana tempat mereka. Sememangnya tidak semua Jin itu Jahat dan kita harus berhati-hati dengan tipu daya iblis dan syaitan serta jin.

Yang turut bekerja sehingga habis kontrak disitu adalah Aszuan, Syarafuddin , Hasrul manakala Khairul pula berhenti atas sebab menyambung pelajarannya.

Maaf jika cerita saya ada meyinggung perasaan mana-mana pihak, Kejadian ini berlaku sewaktu perumahan untuk anggota di Maktab PDRM dibina. Dan aku salah seorang yang bertugas menjaga kawasan sana sehinggalah kontrak kami tamat. Sehingga kini aku masih mendengar kisah di kolam dan beberapa tempat yang aku pernah lalui.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang pernah terlibat Aszuan, Syarafuddin , Hasrul, Kahirul, Pak din, Tulang, Pak Ahat.

===========================

Suntingan & gambar: Nadey
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Monday, 19 March 2018

MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR - FateStayNite


MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR

=========================

Bila sebut sahaja Maktab Teknik PDRM, yang terletak di Bakri Muar Johor. Pastinya ramai penduduk di situ sedia maklum tentang kisah-kisah mistik dan misteri yang terjadi di kawasan itu. Aku antara salah seorang yang merasai sendiri pengalaman disana, tetapi aku menganggap ia sebagai kenangan manis.

Pada tahun 2010 aku telah dipelawa oleh Hasrul iaitu sahabat baikku, untuk bekerja dengannya. Pada mulanya aku cuba menolak kerana aku sudah sedia mempunyai pekerjaan. Tetapi apabila dipujuk dan Hasrul mengatakan, "kalau kau kerja dengan aku dekat tempat ni, mesti kau akan tercabar!" Membuatkan aku tertarik.

"Eh, apa kau kata? Mencabar? Maksud kau?" Bertubi-tubi persoalan aku lemparkan.

"A'ah kerja tempat aku ni mencabar!" Ujar Hasrul dengan muka penuh semangat.

"Apa yang mencabarnya?" Aku mula berminat. Pada fikiran aku, mungkin mencabar dari segi mental dan fizikal.

"Tempat ni mistik!" Jawab Hasrul sambil melemparkan senyuman muslihat, dia cuba menarik jiwa aku yang sudah hampir sekian lama aku kurung.

"Wakakakakah, kau ingat aku percaya ke? Kah..kah..kah..." aku tertawa besar, sememangnya aku tidak mempercayai cerita-cerita sebegini, kerana setiap bulan aku naik ke Gunung Ledang untuk mencari perkara mistik. Tetapi tidak pernah aku jumpa.

"Kau jangan gelak dulu, kerja dulu baru kau tahu nanti!" Hasrul seakan bengang kerana aku memperlekehkan ceritanya.

Memang tidak dinafikan, pelbagai cerita yang aku dengar terjadi di dalam Maktab PDRM itu. Pernah juga satu ketika aku melihat di pintu besar masuk Maktab terdapat satu kepala yang diukir dari batu, saiznya seperti saiz kepala manusia. Ada yang mengatakan itu adalah peninggalan orang asli. Kesahihannya tidak aku pasti, seperti yang aku katakan tadi. Aku sangat tidak mempercayai benda-benda yang tidak jelas di mata.

"Okay, bila aku boleh kerja?"

"Haa petang ni pukul 2:00pm kau datang dekat pos kawalan 1 yang dekat kolam tu..." Hasrul tersenyum apabila aku menerima tawarannya.

Seperti yang dijanjikan. Aku hadir berjumpa Hasrul pada jam 2:00pm di pos kawalan 1, kehadiran aku disambut baik oleh Pak Ahat pegawai bertugas dan Encik Bidin pula adalah bos. Kehadiran aku bukan untuk ditemuramah, tetapi adalah untuk terus dimaklumkan bahawa aku perlu bekerja untuk shif malam dari pukul 7:00pm hingga jam 7:00am.

Tanpa berfikir panjang aku terus menerima tawaran dengan gaji yang disebutkan. Bagi aku gaji itu bukan utama yang aku fikir, tetapi cabaran yang dikatakan hasrul itulah yang membuatkan aku tertarik. Selepas mengisi borang dan mendengar serba sedikit cara dan waktu kerja, aku pulang ke rumah untuk memberitahu kepada kedua orang tuaku, bahawa mulai hari itu aku akan bekerja pada waktu malam sebagai pengawal keselamatan.

6:30pm (hari pertama)
Hasrul sudah terpacak menunggu di hadapan rumah aku, Dengan beg galasnya yang berisi air mineral dan baju sweater untuk kegunaan sewaktu meronda. Itu yang diberitahu kepada aku oleh Pak Ahat dan Encik Bidin tentang tugas aku, iaitu membuat rondaan dan tempat aku lapor diri adalah di pos kawalan 3.


Kedudukan pos 3 tidak aku tahu di mana yang aku tahu Hasrul adalah rakan sekerja aku. Jadi agak mudahlah kerja aku untuk meminta tunjuk ajar.

Motor kami membelah kesunyian semak-samun dan kebun terbiar, Aku sekadar mengekori Hasrul menuju ke pos 3. Memang agak mencabar untuk sampai ke pos 3, dari jalan utama aku perlu melalui kawasan hutan dan semak lebih kurang 10 minit dan apa yang memeranjatkan aku adalah di pos 3 tiada bekalan elektrik, bermakna kami hanya mengunakan pelita dan ugun api.

"Wei, serius seronoklah wei!" Aku meluahkan isi hati apabila tiba di lokasi, kerana suasana pos yang terpincil dan dikelilingi hutan kecil.

"Haaa, aku cakap kau tak percaya"

"Tak sangka pula aku, yang dekat sini seronok macam ni," ujar aku sambil mata masih melihat sekeliling.

Hasrul tidak menghiraukan aku yang sedang teruja dengan suasana nyaman, seakan aku balik ke zaman silam. Aku lihat Hasrul mengambil buku kawalan, dan membersihkan pos kawalan serba sedikit. Tanpa disuruh aku pun ikut apa yang Hasrul lakukan, menulis laporan, membersihkan pos kawalan dan membantu menghidupkan ungun api.

Selesai semua tugas asas itu, aku dan Hasrul duduk berhadapan dan ungun api berada di antara kami. Bunyi riang-riang dan burung cabak mengindahkan malam itu. Aku masih menanti kehadiran makhluk-makhluk mistik, dan aku tahu tempat terletaknya pos kawalan ini dan tempat bakal aku ronda adalah tempat yang dikatakan makhluk mistik suka munculkan diri. Sememangnya itu yang ingin aku lihat.


8:00pm
Hasrul menghidupkan engin motor, tugas utama bakal bermula. Aku akan ronda dan membuat clocking di beberapa chek point yang akan ditunjukkan oleh Hasrul. Sebelum sampai ke kawasan pembinaan, aku perlu melalui jalan yang hanya seluas sebuah kereta dan jalan tanah merah yang berlubang-lubang. Di kiri kanan aku ditutupi oleh semak setinggi aku. Suasana jalan sangat gelap walaupun waktu itu jam menunjukkan baru pukul 8:00 malam.


Sepanjang perjalanan Hasrul memberitahu tempat-tempat yang dikatakan keras, antaranya adalah simpang pertama sebelum masuk ke kawasan pembinaan. Iaitu ada satu pokok rendang tapi agak lebat daun dan rantingnya.

Tempat kedua terletak di hujung kawasan pembinaan (perumahan anggota), kawasan ini agak lebih menyeramkan kerana terpencil dan terlalu gelap.

Seterusnya di kawasan pembinaan tadika serta kawasan sukan iaitu kolam renang. Dan yang terakhir adalah di kawasan perumahan pegawai iaitu berdekatan dengan tangki air. Tempat-tempat ini sangat terkenal dengan gangguan mistik. Namun aku bukanlah seorang manusia yang mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ini sebelum melihat dengan biji mata aku sendiri.

Sepanjang rondaan pertama dan kedua, aku tidak melalui apa-apa perkara pelik atau menakutkan. Mungkin disebabkan aku ronda berdua, jadi makhluk-makhluk ini tidak menganggu. Atau mungkin semua itu hanya sebuah cerita!.


11:45pm
"Wei hasrul, dah boleh ronda untuk pukul 12:00 tak?" Aku bertanya penuh teruja.


"Kejap lagilah. Awal lagi, nanti waktu clocking lari..." ujar Hasrul sambil menambah kayu api ke bara.

Aku akur sahaja, kerana aku masih belajar dan tidak tahu waktu-waktu clocking. Aku menarik kerusi yang diperbuat dari kayu berdekatan dengan ungun api, lalu duduk menghadap bara api.

"Hasrul, cuba kau cerita sedikit apa yang pernah kau lalui selama kerja dekat pos 3 ni?" Aku memulakan perbicaraan, sebenarnya aku mula rasa mengantuk. Beberapa kerusi kayu aku susunkan lagi bersebelahan aku, kemudian baring menghadap langit. Indah ciptaan Allah.

"Aku tak pernah kerja dekat pos 3 lagi, sebab pos ni bila malam tak ada orang nak jaga. Jadi bila kau kerja, aku dengan kaulah yang kene jaga sini, hehehehe..." balas Hasrul sambil tersengeh.

"Tapi..." belum sempat Hasrul memulakan cerita, tiba-tiba segerombolan gagak berpusing-pusing di ruang atas mereka sambil menguak bising. Dari baring aku terus duduk mendongak kelangit, cuba mencari sesuatu yang mungkin menjadi punca gagak itu hadir secara tiba-tiba.

"Dah jomlah ronda!" Tiba-tiba Hasrul mengajak, mungkin dia rasa tidak sedap hati.

"Kejap," sambil aku bersiul-siul seakan memanggil seekor burung. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku melakukan perkara begitu. Hasrul melihat aku bersiul sambil melihat langit, terus menghidupkan enjin motor.

Aku tanpa berlengah terus berlari anak ke motor, tetapi kali ini aku yang menunggang. Kerana aku ingin ingat jalan dan tempat. Bunyi engin memecah kesunyian malam. Baru sahaja sampai di pokok rendang itu tiba-tiba lubang hidung aku disajikan dengan bauan yang sangat aku kenali. Bau ini sangat sinonim dengan kematian, "ini bau setanggi!" Hati aku berkata sendiri.

Hasrul yang duduk di belakang hanya mendiamkan diri, aku tidak pasti sama ada dia dapat menghidu bau setangi itu atau tidak. Semakin lama bau itu semakin kuat dan akhirnya bau itu seakan melekat dekat tekak aku.

"Hasrul, kau ada bau tak?" Sengaja aku bertanya untuk memastikan yang bukan aku seorang sahaja menghidu bau itu.

"Subhanallah, subahanallah......" terdengar suara Hasrul memuji Yang ESA.

Persoalan aku tidak dijawab, lalu aku melihat cermin sisi motor. "Allah!" Terpacul kalimah Allah dari mulut aku, jelas di mata aku kelihatan satu makhluk sedang duduk bertengek di bahu Hasrul. Helmet Hasrul yang putih kini gelap diselaputi rambut makhluk itu.

"Allah....Allah...." hanya itu kalimah yang aku mampu sebut, tidak terlintas difikiran aku surah ayatul Kursi dan sebagainya. Aku memulas minyak sehabisnya, tetapi motor aku seakan tidak mampu bergerak laju atau lebih tepatnya berat!

"Jangan tengok belakang, kau bawa je moto!" Jerit Hasrul bimbang jika kami ditimpa kecelakaan.

Aku hanya diam tidak membalas kata-kata Hasrul, sebenarnya aku sendiri tidak tahu ke mana hendak dituju pada waktu ini. Yang ada di dalam fikiran aku ialah lari!

Lebih kurang 100 meter lagi aku akan melalui kawasan hujung pembinaan. Antara kawasan yang dikatakan keras. "Ya Allah lindungilah aku dari gangguan iblis dan syaitan..." hati aku merintih memohon perlindungan.

Baru sahaja motor aku memasuki kawasan hujung pembinaan itu, aku dikejutkan pula dengan kehadiran satu lembaga hitam sedang duduk di atas salah satu tembok tiang, dari hujung kepala sampai hujung kakinya serba serbi hitam. Rambutnya terjuntai ke bawah, tidak bergerak mahupun bersuara. Jantung aku bagaikan terhenti seketika dan aku yakin Hasrul juga melihat makhluk itu.

Aku tidak memberhentikan motor untuk clocking di chekpoint itu. Malah aku terus memecut laju sehingga kekawasan kantin perumahan, di situ ada beberapa rumah kongsi.

Sampai sahaja di kantin aku memberhentikan motor. Hasrul tidak berkata apa-apa, hanya turun dan terus terbaring di kerusi panjang kantin. Aku juga begitu jantung aku masih pantas berdegup. Bau setanggi masih lekat di tekak. Aku dan Hasrul akhirnya duduk di kantin itu sehingga ke pagi. Clocking pada malam itu tidak dapat kami sempurnakan.

Pada keesokan harinya, peristiwa itu aku dan Hasrul ceritakan kepada Pak Ahat. Namun hanya dibalas dengan gelak tawa Pak Ahat.

"Haishh muda-muda pun takut ke? Kata tak percaya hantu! Baru nampak mcm tu dah nak demam?" Kata Pak Ahat, membuatkan aku rasa tercabar.

"Okay Pak Ahat, Malam ni saya akan ronda bagi habis!" Balas ku penuh yakin, dan bersiap sedia untuk menempuhi hari-hari yang akan datang.

"Aku nak tengok sejauh mana keberanian kau orang, korang belum lalu lagi dekat kawasan kolam dan tadika, dan akhir sekali di kawasan pembinaan rumah pegawai." Pak Ahat mengingatkan bahawa yang aku tempuh itu baru di hadapan, sepertinya di bahagian yang disebutkan itu lebih menakutkan.

Kata-kata Pak ahat seakan mencabar aku, aku bertekad dengan Hasrul untuk membongkar segala kejadian aneh di dalam Maktab PDRM Muar itu. Selagi tidak aku melaluinya dengan mata kasar aku, selagi itu aku tidak akan mempercayai cerita-cerita orang.

*Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar, dan setiap yang dilalui adalah benar. Hasrul sekarang sudah berkhidmat dalam Jabatan Imigresen Malaysia di Johor.

Semoga cerita ini dapat mengingatkan beliau kembali kepada saat pahit manis kehidupan. Sehingga kini peristiwa-peristiwa selama menjadi Pengawal Keselamatan Maktab PDRM tidak pernah hilang.

Dan sehingga kini juga aku masih mendengar kisah-kisah misteri di sana. jika kelapangan akan aku ceritakan pula sambungan hari berikutnya yang aku lalui bersama dengan Hasrul. Pastinya makhluk itu sudah menunggu kehadiran kami di setiap hari!


===============
Suntingan & Gambar: nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan