MAKTAB TEKNIK PDRM MUAR
=========================
Bila sebut sahaja Maktab Teknik PDRM, yang terletak di Bakri Muar Johor. Pastinya ramai penduduk di situ sedia maklum tentang kisah-kisah mistik dan misteri yang terjadi di kawasan itu. Aku antara salah seorang yang merasai sendiri pengalaman disana, tetapi aku menganggap ia sebagai kenangan manis.
Pada tahun 2010 aku telah dipelawa oleh Hasrul iaitu sahabat baikku, untuk bekerja dengannya. Pada mulanya aku cuba menolak kerana aku sudah sedia mempunyai pekerjaan. Tetapi apabila dipujuk dan Hasrul mengatakan, "kalau kau kerja dengan aku dekat tempat ni, mesti kau akan tercabar!" Membuatkan aku tertarik.
"Eh, apa kau kata? Mencabar? Maksud kau?" Bertubi-tubi persoalan aku lemparkan.
"A'ah kerja tempat aku ni mencabar!" Ujar Hasrul dengan muka penuh semangat.
"Apa yang mencabarnya?" Aku mula berminat. Pada fikiran aku, mungkin mencabar dari segi mental dan fizikal.
"Tempat ni mistik!" Jawab Hasrul sambil melemparkan senyuman muslihat, dia cuba menarik jiwa aku yang sudah hampir sekian lama aku kurung.
"Wakakakakah, kau ingat aku percaya ke? Kah..kah..kah..." aku tertawa besar, sememangnya aku tidak mempercayai cerita-cerita sebegini, kerana setiap bulan aku naik ke Gunung Ledang untuk mencari perkara mistik. Tetapi tidak pernah aku jumpa.
"Kau jangan gelak dulu, kerja dulu baru kau tahu nanti!" Hasrul seakan bengang kerana aku memperlekehkan ceritanya.
Memang tidak dinafikan, pelbagai cerita yang aku dengar terjadi di dalam Maktab PDRM itu. Pernah juga satu ketika aku melihat di pintu besar masuk Maktab terdapat satu kepala yang diukir dari batu, saiznya seperti saiz kepala manusia. Ada yang mengatakan itu adalah peninggalan orang asli. Kesahihannya tidak aku pasti, seperti yang aku katakan tadi. Aku sangat tidak mempercayai benda-benda yang tidak jelas di mata.
"Okay, bila aku boleh kerja?"
"Haa petang ni pukul 2:00pm kau datang dekat pos kawalan 1 yang dekat kolam tu..." Hasrul tersenyum apabila aku menerima tawarannya.
Seperti yang dijanjikan. Aku hadir berjumpa Hasrul pada jam 2:00pm di pos kawalan 1, kehadiran aku disambut baik oleh Pak Ahat pegawai bertugas dan Encik Bidin pula adalah bos. Kehadiran aku bukan untuk ditemuramah, tetapi adalah untuk terus dimaklumkan bahawa aku perlu bekerja untuk shif malam dari pukul 7:00pm hingga jam 7:00am.
Tanpa berfikir panjang aku terus menerima tawaran dengan gaji yang disebutkan. Bagi aku gaji itu bukan utama yang aku fikir, tetapi cabaran yang dikatakan hasrul itulah yang membuatkan aku tertarik. Selepas mengisi borang dan mendengar serba sedikit cara dan waktu kerja, aku pulang ke rumah untuk memberitahu kepada kedua orang tuaku, bahawa mulai hari itu aku akan bekerja pada waktu malam sebagai pengawal keselamatan.
6:30pm (hari pertama)
Hasrul sudah terpacak menunggu di hadapan rumah aku, Dengan beg galasnya yang berisi air mineral dan baju sweater untuk kegunaan sewaktu meronda. Itu yang diberitahu kepada aku oleh Pak Ahat dan Encik Bidin tentang tugas aku, iaitu membuat rondaan dan tempat aku lapor diri adalah di pos kawalan 3.
Kedudukan pos 3 tidak aku tahu di mana yang aku tahu Hasrul adalah rakan sekerja aku. Jadi agak mudahlah kerja aku untuk meminta tunjuk ajar.
Motor kami membelah kesunyian semak-samun dan kebun terbiar, Aku sekadar mengekori Hasrul menuju ke pos 3. Memang agak mencabar untuk sampai ke pos 3, dari jalan utama aku perlu melalui kawasan hutan dan semak lebih kurang 10 minit dan apa yang memeranjatkan aku adalah di pos 3 tiada bekalan elektrik, bermakna kami hanya mengunakan pelita dan ugun api.
"Wei, serius seronoklah wei!" Aku meluahkan isi hati apabila tiba di lokasi, kerana suasana pos yang terpincil dan dikelilingi hutan kecil.
"Haaa, aku cakap kau tak percaya"
"Tak sangka pula aku, yang dekat sini seronok macam ni," ujar aku sambil mata masih melihat sekeliling.
Hasrul tidak menghiraukan aku yang sedang teruja dengan suasana nyaman, seakan aku balik ke zaman silam. Aku lihat Hasrul mengambil buku kawalan, dan membersihkan pos kawalan serba sedikit. Tanpa disuruh aku pun ikut apa yang Hasrul lakukan, menulis laporan, membersihkan pos kawalan dan membantu menghidupkan ungun api.
Selesai semua tugas asas itu, aku dan Hasrul duduk berhadapan dan ungun api berada di antara kami. Bunyi riang-riang dan burung cabak mengindahkan malam itu. Aku masih menanti kehadiran makhluk-makhluk mistik, dan aku tahu tempat terletaknya pos kawalan ini dan tempat bakal aku ronda adalah tempat yang dikatakan makhluk mistik suka munculkan diri. Sememangnya itu yang ingin aku lihat.
8:00pm
Hasrul menghidupkan engin motor, tugas utama bakal bermula. Aku akan ronda dan membuat clocking di beberapa chek point yang akan ditunjukkan oleh Hasrul. Sebelum sampai ke kawasan pembinaan, aku perlu melalui jalan yang hanya seluas sebuah kereta dan jalan tanah merah yang berlubang-lubang. Di kiri kanan aku ditutupi oleh semak setinggi aku. Suasana jalan sangat gelap walaupun waktu itu jam menunjukkan baru pukul 8:00 malam.
Sepanjang perjalanan Hasrul memberitahu tempat-tempat yang dikatakan keras, antaranya adalah simpang pertama sebelum masuk ke kawasan pembinaan. Iaitu ada satu pokok rendang tapi agak lebat daun dan rantingnya.
Tempat kedua terletak di hujung kawasan pembinaan (perumahan anggota), kawasan ini agak lebih menyeramkan kerana terpencil dan terlalu gelap.
Seterusnya di kawasan pembinaan tadika serta kawasan sukan iaitu kolam renang. Dan yang terakhir adalah di kawasan perumahan pegawai iaitu berdekatan dengan tangki air. Tempat-tempat ini sangat terkenal dengan gangguan mistik. Namun aku bukanlah seorang manusia yang mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ini sebelum melihat dengan biji mata aku sendiri.
Sepanjang rondaan pertama dan kedua, aku tidak melalui apa-apa perkara pelik atau menakutkan. Mungkin disebabkan aku ronda berdua, jadi makhluk-makhluk ini tidak menganggu. Atau mungkin semua itu hanya sebuah cerita!.
11:45pm
"Wei hasrul, dah boleh ronda untuk pukul 12:00 tak?" Aku bertanya penuh teruja.
"Kejap lagilah. Awal lagi, nanti waktu clocking lari..." ujar Hasrul sambil menambah kayu api ke bara.
Aku akur sahaja, kerana aku masih belajar dan tidak tahu waktu-waktu clocking. Aku menarik kerusi yang diperbuat dari kayu berdekatan dengan ungun api, lalu duduk menghadap bara api.
"Hasrul, cuba kau cerita sedikit apa yang pernah kau lalui selama kerja dekat pos 3 ni?" Aku memulakan perbicaraan, sebenarnya aku mula rasa mengantuk. Beberapa kerusi kayu aku susunkan lagi bersebelahan aku, kemudian baring menghadap langit. Indah ciptaan Allah.
"Aku tak pernah kerja dekat pos 3 lagi, sebab pos ni bila malam tak ada orang nak jaga. Jadi bila kau kerja, aku dengan kaulah yang kene jaga sini, hehehehe..." balas Hasrul sambil tersengeh.
"Tapi..." belum sempat Hasrul memulakan cerita, tiba-tiba segerombolan gagak berpusing-pusing di ruang atas mereka sambil menguak bising. Dari baring aku terus duduk mendongak kelangit, cuba mencari sesuatu yang mungkin menjadi punca gagak itu hadir secara tiba-tiba.
"Dah jomlah ronda!" Tiba-tiba Hasrul mengajak, mungkin dia rasa tidak sedap hati.
"Kejap," sambil aku bersiul-siul seakan memanggil seekor burung. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku melakukan perkara begitu. Hasrul melihat aku bersiul sambil melihat langit, terus menghidupkan enjin motor.
Aku tanpa berlengah terus berlari anak ke motor, tetapi kali ini aku yang menunggang. Kerana aku ingin ingat jalan dan tempat. Bunyi engin memecah kesunyian malam. Baru sahaja sampai di pokok rendang itu tiba-tiba lubang hidung aku disajikan dengan bauan yang sangat aku kenali. Bau ini sangat sinonim dengan kematian, "ini bau setanggi!" Hati aku berkata sendiri.
Hasrul yang duduk di belakang hanya mendiamkan diri, aku tidak pasti sama ada dia dapat menghidu bau setangi itu atau tidak. Semakin lama bau itu semakin kuat dan akhirnya bau itu seakan melekat dekat tekak aku.
"Hasrul, kau ada bau tak?" Sengaja aku bertanya untuk memastikan yang bukan aku seorang sahaja menghidu bau itu.
"Subhanallah, subahanallah......" terdengar suara Hasrul memuji Yang ESA.
Persoalan aku tidak dijawab, lalu aku melihat cermin sisi motor. "Allah!" Terpacul kalimah Allah dari mulut aku, jelas di mata aku kelihatan satu makhluk sedang duduk bertengek di bahu Hasrul. Helmet Hasrul yang putih kini gelap diselaputi rambut makhluk itu.
"Allah....Allah...." hanya itu kalimah yang aku mampu sebut, tidak terlintas difikiran aku surah ayatul Kursi dan sebagainya. Aku memulas minyak sehabisnya, tetapi motor aku seakan tidak mampu bergerak laju atau lebih tepatnya berat!
"Jangan tengok belakang, kau bawa je moto!" Jerit Hasrul bimbang jika kami ditimpa kecelakaan.
Aku hanya diam tidak membalas kata-kata Hasrul, sebenarnya aku sendiri tidak tahu ke mana hendak dituju pada waktu ini. Yang ada di dalam fikiran aku ialah lari!
Lebih kurang 100 meter lagi aku akan melalui kawasan hujung pembinaan. Antara kawasan yang dikatakan keras. "Ya Allah lindungilah aku dari gangguan iblis dan syaitan..." hati aku merintih memohon perlindungan.
Baru sahaja motor aku memasuki kawasan hujung pembinaan itu, aku dikejutkan pula dengan kehadiran satu lembaga hitam sedang duduk di atas salah satu tembok tiang, dari hujung kepala sampai hujung kakinya serba serbi hitam. Rambutnya terjuntai ke bawah, tidak bergerak mahupun bersuara. Jantung aku bagaikan terhenti seketika dan aku yakin Hasrul juga melihat makhluk itu.
Aku tidak memberhentikan motor untuk clocking di chekpoint itu. Malah aku terus memecut laju sehingga kekawasan kantin perumahan, di situ ada beberapa rumah kongsi.
Sampai sahaja di kantin aku memberhentikan motor. Hasrul tidak berkata apa-apa, hanya turun dan terus terbaring di kerusi panjang kantin. Aku juga begitu jantung aku masih pantas berdegup. Bau setanggi masih lekat di tekak. Aku dan Hasrul akhirnya duduk di kantin itu sehingga ke pagi. Clocking pada malam itu tidak dapat kami sempurnakan.
Pada keesokan harinya, peristiwa itu aku dan Hasrul ceritakan kepada Pak Ahat. Namun hanya dibalas dengan gelak tawa Pak Ahat.
"Haishh muda-muda pun takut ke? Kata tak percaya hantu! Baru nampak mcm tu dah nak demam?" Kata Pak Ahat, membuatkan aku rasa tercabar.
"Okay Pak Ahat, Malam ni saya akan ronda bagi habis!" Balas ku penuh yakin, dan bersiap sedia untuk menempuhi hari-hari yang akan datang.
"Aku nak tengok sejauh mana keberanian kau orang, korang belum lalu lagi dekat kawasan kolam dan tadika, dan akhir sekali di kawasan pembinaan rumah pegawai." Pak Ahat mengingatkan bahawa yang aku tempuh itu baru di hadapan, sepertinya di bahagian yang disebutkan itu lebih menakutkan.
Kata-kata Pak ahat seakan mencabar aku, aku bertekad dengan Hasrul untuk membongkar segala kejadian aneh di dalam Maktab PDRM Muar itu. Selagi tidak aku melaluinya dengan mata kasar aku, selagi itu aku tidak akan mempercayai cerita-cerita orang.
*Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar, dan setiap yang dilalui adalah benar. Hasrul sekarang sudah berkhidmat dalam Jabatan Imigresen Malaysia di Johor.
Semoga cerita ini dapat mengingatkan beliau kembali kepada saat pahit manis kehidupan. Sehingga kini peristiwa-peristiwa selama menjadi Pengawal Keselamatan Maktab PDRM tidak pernah hilang.
Dan sehingga kini juga aku masih mendengar kisah-kisah misteri di sana. jika kelapangan akan aku ceritakan pula sambungan hari berikutnya yang aku lalui bersama dengan Hasrul. Pastinya makhluk itu sudah menunggu kehadiran kami di setiap hari!
===============
Suntingan & Gambar: nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment