ORANG PENSIL
Karya: Nadey.K
======================================
Nizam: Kau percaya kat aku tak?
Nadey: Tetiba kau! Kenapa?
Nizam: Pernah dengar tentang orang pensil?
Nadey: What?!
=======================================
Kau tahu tak tentang kewujudan orang pensil? Jangan tanya aku bab agama dan hadis soheh, serius aku tak ada info tepat tentang itu. Tapi aku nak cerita kat kau macam mana aku boleh terjumpa mereka.
22 April 2015,
Mungkin Allah nak uji, aku sesat dalam hutan hari tu. Pelik, walhal bukan sekali dua aku lalu jalan tu. Aku memang biasa naik turun gunung tu, segala pelusuk ekar peta dalam hutan gunung itu dalam genggaman. Pengalaman aku pada jalan hutan ini hampir enam tahun bukan digunakan setahun sekali tapi hampir setiap minggu.
Hari itu, aku berniat untuk mencari lubuk kelah, lebih gian apabila aku baru sahaja membeli satu set joran yang baru. Bila ditanya semua kawan, semua sibuk. Kenduri kahwin la, dating dengan awek la makanya aku membuat keputusan untuk pergi seorang sahaja. Tak jadi hal sebab aku sudah biasa sendirian.
Tapi hari tu pelik sangat, aku tak cam laluan aku seperti kebiasaannya. Rasanya laluan yang bertanda selama ini hilang. Aku keluarkan telefon bimbit, tiada signal entah lah semuanya serba-serbi pelik, walhal line celcom dalam hutan ini biasanya kuat.
Kalau ikutkan pengalaman aku, rasanya aku macam jauh lagi nak jumpa dengan anak sungai. Bunyi riang-riang memecah kesunyian, bising tapi bagi aku itu kesunyian yang teramat. Keseorangan sesat di dalam hutan. Mujur jam aku mempunyai aplikasi kompas. Aku teruskan perjalanan sehingga aku perasan yang aku sudah melalui kawasan yang sama berkali-kali. Argh! Sah! Ada la yang tutup jalan keluar ni.
2 jam aku mundar-mandir di kawasan yang sama. Beberapa kali aku azan pun tak jalan. Memang Allah uji betul-betul kali ni. Aku keluarkan parang takek-takek pokok membuat petanda.Tengok matahari dah hampir tergelincir, suasana hutan tebal itu bagaikan mempercepatkan lagi suasana kelam petang itu.
Rasanya beberapa minit lagi akan gelap sepenuhnya. Cepat-cepat aku mengumpulkan ranting-ranting kayu dan membuat unggun api. Akhirnya matahari terbenam.
Mujur beg galas aku lengkap dengan lampu suluh semua, aku periksa bekalan makanan masih ada tapi air. Sini tiada sebarang sumber air boleh didapati, aku agak risau kerana bibir pun dah menggelupas kering, apatah lagi kondisi anak tekak, perit untuk menelan air liur sekalipun. Akhirnya sisa air itu aku terpaksa habiskan malam itu juga.
Dalam keadaan lemah dehidrasi, aku menjamah roti bilis perlahan-lahan. Aku dapat rasakan setiap cebisan roti yang aku kunyah mengandungi air. Aku menikmati rezeki itu dengan penuh kesyukuran.
Fikir aku, mungkin malam sedikit aku boleh dapatkan embun dari daun-daun untuk basahkan ruangan mulut. Aku dapat rasakan waktu ini aku dah mula berhalusinasi. Akhirnya aku tersadai terlentang beralaskan akar kayu sebagai pengganti bantal. Aku betul-betul dah tak larat. Aku berharap tiada binatang buas akan menjadikan aku sebagai santapan. Mata aku tertancap memandang pada tarian unggun api yang menjadi hiburan malam itu sehinggakan aku terlelap.
Esoknya aku terjaga apabila aku mendengar bunyi segerombolan babi hutan yang sedang mencari makanan. Mujur bukan babi tunggal. Kelam-kabut aku bangun dan terus melakukan solat subuh dengan hanya bertayamum. Selepas itu aku cuba dengan seluruh kederat untuk teruskan perjalanan. Beberapa ketika lepas tu aku dah tak ingat apa yang berlaku.
“Woi! Bangun!” Aku terdengar suara mengejutkan aku, halus di telinga kanan. Aku cuba untuk buka mata tapi tak berjaya. Mata aku pedih, macam kena gam! Suara halus itu kedengaran lagi. “Bangun!” Aku memberi signal untuk gerakkan badan tapi malangnya aku tiada tenaga untuk berbuat sedemikian.
Aku perasan ada sesuatu seperti serangga merayap di atas muka dan badan aku. Bukan seekor malah banyak! Semuanya kini berkumpul di bahagian mulut aku. Bibir aku ditarik dan…. Air! Aku dapat rasakan air mencurah-curah ke lohong tekak yang kering ini.
Ada serangga yang berada tepat di atas halkum aku. Sambil aku menelan air, halkum bergerak berirama membawa ‘serangga’ itu bersama. Aku dapat rasakan. Setelah aku minum sejumlah air, kemudian serangga itu mencurahkan air pada mata dan akhirnya ke dalam hidung. Aku tersedak, terus terbuka mata dan bangun dari pembaringan.
‘Serangga’ tadi tergolek jatuh di atas peha dan ada juga jatuh di atas lantai tanah. Terpisat-pisat, berkali-kali aku tampar muka untuk sedar dari mimpi. Yang aku anggap sebagai ‘serangga’ itu adalah manusia! Sumpah aku tak tipu, figura sesempurna aku! Sesempurna kita!
Tiada yang cacat, wajahnya juga tak pelik memang manusia namun saiznya agak kecil, lebih kurang sebesar batang pencil. Masa ini aku syak aku masih dalam kondisi berhalusinasi. Mungkin terlalu dehidrasi, mungkin juga tak lama lagi ajal nak menjemput aku.
Tapi yang peliknya, beberapa minit dalam keadaan terpinga-pinga itu, aku berasa sungguh segar. Macam tenaga pulih serta-merta. Aku pandang orang pensil terkebil-terkebil kaget membalas pandangan aku. “Terima kasih!” Itu saja yang mampu aku katakan waktu itu.
“Kau sesat bukan? Ayuh, ikut aku jalan sini!” Orang kecil dan beberapa pengikutnya mendahulu berjalan. Aku bangun dan mengikut sahaja. Aku perasan kesan pokok yang aku takek-takek. Tak ingat macam mana lurus sahaja laluan yang mereka bawa aku.
Akhirnya aku mendengar bunyi anak sungai. Aku masih bingung, sama ada aku masih berhalusinasi ke bagaimana? Setelah meredah anak sungai akhirnya aku sampai di satu kawasan, yang pastinya aku tak cam langsung kawasan ni. Ia merupakan sebuah perkampungan orang-orang pensil ini.
Sebiji macam perkampungan orang asli, cuma semuanya kecil. Baik dari orangnya, rumah-rumah mereka dan yang paling yang aku terperanjatkan adalah, aku melihat seekor gajah! Ya, yang berada di situ semuanya kerdil sehinggakan haiwan-haiwan juga kerdil.
Bayangkan, gajah itu sebesar tapak tangan aku sahaja. Aku ada simpan gambar tapak kaki gajah tu. Tak boleh kongsi dengan kau sebab aku dah berjanji dengan mereka. Ini aku cerita pada kau pun kira macam aku mungkir janji juga. Aku cerita selingannya saja ya.
Disebabkan mereka kecil, aku terpaksa tunduk merapati tanah untuk mendengar perbualan mereka. Sempat juga aku meninjau suasana kampung kecil mereka tu. Mereka pun ada keris tau! Iras dengan reka bentuk keris kita cumanya keris mereka itu bersaiz kecil, separuh dari saiz pemetik api. Memang perlakuan mereka semua normal, macam kita. Sebab tu aku pelik, apa yang aku nampak ni kesan dari halusinasi atau betul-betul berlaku.
Tiba-tiba ada seorang orang pensil ini cucuk aku dengan kayu, “boleh aku tukar tembakau kau dengan herba aku?” Aku agak terkejut. Aku meniarap untuk mendengarkan suaranya yang halus itu. “Kenapa tembakau?” Orang pensil itu tak menjawab. Sebaliknya dia masuk ke rumah dan mengeluarkan satu bungkusan agak besar, bagi mereka sebesar guni. Bagi kita, hanya sebesar separuh dari tapak tangan.
“Aku bagi kau gambir…” aku tergelak terbahak-bahak sehinggakan kesemua orang pensil di situ memandang aku. Aku kembali serius, “pelik juga tak pernah aku terima gambir dari orang. Dan selama ini aku ingatkan gambir popular di Sarawak je. Mana kau dapat ini?” Agak pelik, pertama kali aku melihat herba gambir ini dalam bentuk serbuk yang ditumbuk lumat.
“Kalau kau nak herba-herba asli dari hutan ini aku boleh bagi, dengan syarat setiap kali datang sini kau bawa tembakau untuk kami. Boleh? Dengan satu syarat juga, hanya kau dan Amri sahaja tahu tempat ini. Kau tahu bukan? Jika orang lain tahu, nyawa kami dalam bahaya. Kau nak tengok anak bini aku derita? Seperti kau, kami juga perlukan ahli keluarga.” Aku tak sangka rakan baik aku Amri tahu mengenai orang pensil ni. Patutlah aku pelik dia selalu bawa balik herba-herba, cendawan ubat, dan macam-macam lagi tiap kali pulang dari menaiki gunung hutan ini.
Tak lama kemudian, orang pensil itu menunjukkan aku dengan jalan keluar dari hutan itu. Yang peliknya, tak sampai sejam aku dah keluar ke hilir dan menemui semula motor yang aku parkir.
Orang pensil tu hilang semasa separuh dari perjalanan keluar hutan. Tak sempat aku nak ucapkan terima kasih pada dia waktu itu.
Aku balik saja ke rumah, aku terus mencari Amri. Masing-masing tercengang , menurut mereka aku tak balik rumah tiga malam dan hari ini hari Isnin sudah.
Amri beritahu, bukan dia seorang sahaja yang mengenali orang pensil itu malahan beberapa rakan mereka yang merupakan seorang yang arif tentang selok-belok hutan tu juga tahu. Lagi terkejut bila aku tunjukkan bungkusan gambir kepadanya. “Woi! Macam mana kau boleh dapat barang rare ni?” Kami tergelak-gelak.
“Mereka biasa nampak muka kau kawasan tu, dan kau pula hormat pada hutan sebab itu rezeki kau dapat kenal mereka. Tambahan pula dapat gambir! Kami yang dah kenal lama pun dia tak pernah bagi gambir. Boleh bagi aku? Hehehe…”
“Hish! Buat apa kau nak?” Tempelak aku.
“Dah kau nak buat apa pulak! Bini bukan ada!”
“Kau bagi apa sebagai trade in?” Soal Amri. Orang pensil ini masih mengamalkan system barter.
“Tembakau surya……,” meleret senyuman aku.
“Beruntung kau! Orang pensil tu sangat-sangat pemalu. Dia tak akan jumpa sebarangan orang."
Menurut kawan aku, orang pensil memang wujud, kita je yang tak pernah tahu tentang kewujudan dia sebab bukan semua boleh berjumpa dengan kelompok ini. Mereka manusia macam kita, rupa paras, cara hidup, dan nasihat aku kalau jumpa kau tak perlu la viral-viral ni. Kasihan mereka.
===========================
Nadey: Weh, boleh kau bawa aku jumpe orang pensil? Serius la weh! Rasa macam curious gila!
Nizam: Boleh! Tapi tak boleh la kita berdua je masuk hutan, haram! Melainkan kau jadi bini aku.
Nadey: Nak propose aku jadi bini cakap je la! Syaitan la punch line kau!
Nota kaki: Jangan percaya sepenuhnya dengan cerita dari mulut ke mulut. Rasakan sendiri dengan deria yang lain.
=================================================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment