Thursday, 8 March 2018

MAK LAMPIR 1 - DeeFen


MAK LAMPIR 1
Karya : DeeFen DF

================

Cerita ini terjadi sekitar awal tahun 2016.

Aku merupakan seorang peniaga makanan kecil-kecilan. Tempat meniaga ada dua cawangan, cawangan A dan cawangan B, tapi aku menumpang sewa tapak di restoran orang saja. Budak-budak kerja yang jaga kedua cawangan ini. Mula berniaga dari pukul 5:30 petang sampai 12 tengah malam.

Malam-malam aku akan meronda tengok budak-budak kerja. Kadang-kadang melepak dengan tokey restoran. Sambil-sambil tu boleh ‘usha’ awek. Aku saja yang asyik ‘usha’ awek, tapi awek tak penah pon ‘usha’ aku.

Sebenarnya aku pagi lagi dah start kerja. Ye la, kerja jual benda makan macam ini, pagi-pagi dah kena beli barang. Kemudian mula memasak untuk meniaga petang nanti.

Untuk tempat penyediaan makanan, aku menyewa sebuah rumah. Kiranya rumah sewa ini dijadikan seperti dapur. Rumah semi-D, aku rasa dibina sekitar awal 70-an kalau nak diikutkan daripada rekabentuk binaannya.

Sewa tak mahal dan juga tak murah, tapi agak berbaloi sebab rumah ini memang luas. ‘Porch’ saja boleh parking 3-4 biji kereta. Rumah lama-lama dulu memang luas. Aku memang minat rumah-rumah lama sebab luas. Tak macam rumah baru sekarang, semua sempit.

Rumah sewa ini masa aku mula-mula nak sewa memang berlalang dan agak menyeramkan. Mengikut kata tuan rumah, dah hampir satu tahun penyewa lama telah keluar.

Penyewa lama merupakan pekerja-pekerja kontrak warga asing Bangladesh & Indonesia. Masa nak masuk rumah, banyak juga yang aku baiki di sini sana. Kalau tidak, mesti orang ingat ini rumah hantu ‘fun fair’. Pacak pondok tiket, boleh buat duit sampingan jadinya.

Rumah sewa ini ada tiga bilik. Satu bilik aku buat jadi macam pejabat, satu bilik solat dan satu lagi bilik rehat untuk dua orang pekerja dapur. Rumah ini terletak betul-betul di tepi jalan utama kawasan perumahan.

Kalau siang hari memang sangat sibuk, tapi bila malam jam 11 ke atas suasana akan menjadi sunyi. Kedudukan rumah ini betul-betul di simpang tiga. Orang tua-tua cakap, kalau kedudukan rumah betul-betul di simpang tiga, memang selalu jadi laluan benda-benda mistik lagi angker. Aku buat tak tahu saja. Tak ambil serius.

Di sebelah kiri rumah merupakan jiran berbangsa India. Di sebelah kanan pula merupakan rumah kosong disebabkan tuan rumah tak tinggal di situ. Sepanjang 5 tahun menyewa, sangat jarang aku bertegur sapa dengan jiran.

Cerita bermula bila aku balik dari meniaga sekitar pukul 1 pagi. Selepas tutup gerai pukul 12 tengah malam, selesai mengemas, maka lebih kurang pukul 1 pagi aku sampai di rumah sewa.

Auk auk auk auk auk auk!

Kedengaran salakan anjing jiran aku. Geram betul aku dengan anjing itu.

“Hallo ‘dog’! Dah 5 tahun kot aku jadi jiran hang, takkan tak kenal jiran kot. Diamlah!” Bebel aku kepada anjing itu dengan harapan dia faham apa yang aku cakap. Tapi aku cakap perlahan sajalah, nanti tuan dia dengar. Tak pasal-pasal kena 'cepuk' kepala aku.

Wuk wuk wuk auk auk auk auk!

Okey harapan tinggal harapan. Memang sah anjing ni tak paham apa yang aku cakap.

Paaannnggg paaanngggggggg pom pom pom!

Dari kejauhan dah terdengar bunyi ekzos motosikal 125z 'roadtax' mati, lari kedai, milik budak kerja aku bernama Mat San. Malam ini giliran dia untuk tolong aku turunkan bekas barang-barang niaga daripada van.

Sreeettttttttt!

Bunyi tayar sotong moto Mat San membuat brek kecemasan di depan rumah.

Terkocoh-kocoh Mat San lari. Dengan helmet 'steng' dia dah tertanggal ke belakang, cuma harap ada tali keledar saja yang masih tersangkut di leher. Moto dia pun dah tak sempat nak ditongkat dah. Sandar di tiang pagar sahaja.

“Hang pasaipa Mat San? Pondan kejar ka? Kahkahkah”! Soal aku sambil gelak terbahak-bahak melihatkan rupa Mat San yang sangat menggelikan hati.

“Weiiiii hareyyyyyyyy #*#$&*%#)*%#(#*$#(*()#&#%”

Hanya carutan, kejian, hina dina dan nista yang terpacul keluar daripada mulut Mat San.

“Kena sergah tadi kat jirat Hindu. Tadi on the way mai sini nampak ada roadblock. Aku u-turn la balik ikut jalan belakang. Time lalu kat jirat Hindu tu. Bleh pulak dia lambai-lambai tahan aku tepi jalan. Lepas tu terbang follow dari belakang #*#&$&%*(#$&$#((*@##," kata Mat San dengan suara yang bergetar sambil lututnya masih bergoyang-goyang lagi.

Aku hanya mampu ketawa melihat gelagat Mat San. Sambil-sambil tu aku 'usha' moto dia, risau ada yang menumpang. Tak pasal-pasal nanti dengan aku pun lari lintang-pukang. Gelak, gelak juga, seram pun boleh tahan.

Jalan yang melalui jirat Hindu itu memang keras sikit. Dari dulu sampai sekarang macam-macam cerita angker orang kongsikan. Tapi sekarang 'dia' kacau tak sekerap 10-15 tahun dulu. Mungkin disebabkan dah banyak pembangunan.

“Haaa dah dah, mai tolong aku angkat barang. Sambil-sambil tu baca la apa-apa yang patut. Aku rasa hang tak mandi wajib petang tadi. Sebab tu dia berani tahan hang nak tumpang. Hahaha!” Sakat aku.

Mat San mencebik bibir sambil membuat muka bosan. Disebabkan muka bosan 'everytime all the time' dia itulah, aku panggil dia Mat San. Mat San terus menolong mengangkat barang sambil terus-menerus membosankan mukanya.

“Nah gaji hang. Potong lima hengget sebab mai masuk keja lewat hari ni.”

Mat San memasamkan mukanya pula kerana gaji dipotong. Sudahlah muka bosan, masam pula. Waktu ini kekacakan aku lebih terserlah berbanding dia.

“Sampai hati bos potong gaji. Dah la kena sergah tadi..wuwuwu. Dia mai kacau bos satgi baru bos tauuu!” Mat San cuba nak menyakat aku pula sambil membuat gaya hantu.

Lepas Mat San balik, aku terus masuk rumah nak kira 'collection' duit niaga malam ini. Selesai aku mengira duit dan menulis senarai barang yang hendak dibeli esok, aku terus mengambil tuala untuk mandi-manda di bilik air.

Malam ini entah mengapa aku rasa sangat malas nak balik rumah keluarga aku. Walaupun sudah 5 tahun aku menyewa rumah ini, mungkin 3-4 kali saja aku 'overnight' tidur di sini. Itu pun tidur beramai-ramai dengan kawan sebab layan 'movie' bila semua balik cuti raya. Dengan kata mudahnya, rumah ini akan kosong selepas habis niaga.

Aku lepak saja di sofa di ruang tamu sambil bermain telefon bimbit. Aku buka lampu 'porch' dengan lampu dapur saja. Maka suasana di ruang tamu memang kelam-kelam saja.

“Jam di dinding terus berdetak ahhhhhhhh!”

Kedengaran nyanyian menggeletis Ayda Jebat dari corong 'speaker' telefon aku. Tengah sedap mendengar lagu ala k-pop Ayda Jebat ini, tiba-tiba...

BANGGGGGG!!

Kuat dentuman bunyi pagar di luar rumah macam kena langgar. Serentak dengan itu, anjing jiran menyalak sakan menenggelamkan suara seksis Ayda Jebat. Terkejut beruk aku. Terus aku bingkas bangun untuk menyiasat.

Aku terfikir ini mesti ada mat motor yang terbabas di simpang tiga depan rumah. Tak sempat brek terus langgar pagar rumah aku. Naya!

Sebelum ini dah pernah kena langgar dengan budak kerja aku disebabkan brek moto dia tak 'makan'. Tapi kali ini kuat betul bunyinya.

"Mesti dah roboh pagar aku ni..huh jahanam jahanammm!"

Aku meluru keluar. Kelihatan pagar masih normal tegak berdiri lagi. 'Still standing strong'. Cuma berbunyi berkeriut dan bergoyang-goyang lagi tanda macam baru kena langgar. Aku pergi tengok dengan lebih dekat, tak ada apa-apa yang pelik. Aku meneka mungkin anjing yang melanggar tadi.

Aku menjenguk pagar rumah jiran di kiri kanan aku pun takda apa-apa. Sambil itu aku 'sShhhh SshhhHH' kepada anjing jiran supaya diam. Memekak tengah-tengah malam.

“Satu, dua, senyum manismu. Tiga, empat, lirik matamu. Dengan tawa tawa riangmu. Bikin hatiku jadi rapuh. Si pencuri hatiku. Kau pencuri hatikuuuu.”

Aku terus berehat di sofa sambil sambung melayan lagu hits terbaru si Ayda Jebat. Sedap pula lagu ala k-pop ni. Catchy! . Padahal selama ini aku memang tak minat habis k-pop.

Entah bila aku boleh terlelap tidur sambil bersandar di sofa…

* * *

Au Au AUUUUUuuuuu!!!
Aku terjaga kerana terdengar salakan anjing yang panjang. Bersahut-sahutan antara anjing jiran dengan anjing entah di mana dari kejauhan.

Dalam keadaan mamai, aku membuka mata. Rasa lenguh di leher sebab tidur dalam keadaan duduk. Badan berpeluh dan rasa panas semacam. Padahal kelajuan kipas sudah ditetapkan pada no 5, dan sofa ini betul-betul terletak di bawah kipas.

Dengan mata yang masih kelabu dan kabur-kabur, dalam cahaya yang kelam-kelam aku ternampak depan aku satu sosok tubuh berwarna putih dan sedikit bercahaya. Terus terbuntang mata sebab terkejut ada orang depan aku. Berjarak lebih kurang 8 kaki.

Jelas nyata di depan pandangan aku - berbaju putih, kaki sampai paras lutut saja, tangan kedut, kuku hitam panjang, rambut putih kusut masai tapi jarang-jarang, muka berkedut seribu, mata putih bulat terbeliak, hidung tak ada, bibir hitam tersenyum panjang hampir sampai ke telinga. Senang cakap, aku gelarkan dia Mak Lampir.

“YA ALLAH!!!” Aku hanya mampu berkata di dalam hati kerana tak terkeluar langsung suara daripada tekak aku. Kaki dan tangan sudah kaku. Langsung tak boleh nak digerakkan.

Terus aku pejamkan mata. Jantung rasa nak pecah. Berdegup kencang sehinggakan aku sendiri boleh rasa dan mungkin mendengar degupan jantung sendiri. Nafas aku dah tercungap-cungap, rasa seperti oksigen tak mencukupi untuk memenuhi permintaan paru-paru.

Kedengaran anjing terus menyalak panjang. Aku tak pasti sudah berapa lama aku pejamkan mata. Mungkin tak lama, tapi dalam situasi genting macam seperti ini, seminit pun dirasakan bagai sejam.

Kemudian, salakan anjing tiba-tiba terhenti. Sunyi. Sepi. Hanya bunyi nafas aku sendiri sahaja yang kedengaran. Tapi badan tetap kaku tak boleh bergerak. Aku fikir Mak Lampir itu dah menghilang.

Aku membuka mata semula.

Namun Mak Lampir itu tetap berada di depan aku. Kali ini perlahan-lahan dia mula membuka mulut sambil melayang menghampiri aku. Lampu di dapur berkelip-kelip sakan. Sekejap menyala, sekejap terpadam menambahkan keseraman. Anjing-anjing kembali galak menyalak.

Aku terperasan ada seekor lagi makhluk yang tak diundang. Bermata merah dan berbulu lebat hitam legam macam beruk. Mencangkung di belakang Mak Lampir. Air liur berwarna hitam meleleh-leleh daripada mulutnya.

“YA ALLAH! ALLAH! ALLAH! ALLAH!”

Aku cuba membaca ayat-ayat suci namun semuanya aku lupa kerana ketakutan yang teramat.

Mak Lampir semakin mendekat, mulutnya makin ternganga luas. Kelihatan jelas rongga mulut. Hitam. Namun samar-samar kelihatan lidah berbentuk tirus tajam berwarna hitam bergerak-gerak di dalam mulutnya.

Bau busuk mula menerobos ke dalam hidung aku. Bau seperti air longkang yang busuk. Aku mengesyaki yang bau busuk ini adalah daripada mulut Mak Lampir. Sebab semakin luas Mak Lampir menganga, semakin busuk bau longkang tersebut.

“Cisss dah la muka buruk, mulut pulak bau longkang! Macam nak pengsan bau busuk mulut dia!”

Mak Lampir sudah semakin hampir dengan aku. Rahang mulutnya dah terbuka hampir satu kaki luas. Bunyi-bunyian hilaian tawa kedengaran dari seluruh rumah sewa ini. Aku sudah pasrah. Sekejap lagi pasti aku hanya tinggal tulang dikendurikan oleh Mak Lampir. Tragis.

Air mata aku dah mula mengalir.

Tiba-tiba aku teringat sebuah cerita daripada Abang Jep. Abang Jep ni merupakan tauke restoran di gerai Cawangan A aku. Baru semalam bersembang dengan Abang Jep tentang ilmu-ilmu silat dan hal-hal keagamaan.

Abang Jep bercerita yang dengan kalimah Bismillah sahaja dah boleh tumbangkan lawan yang berniat buruk kepada kita. Setiap huruf dalam kalimah Bismillah jika dibaca dengan sepenuh hati dan yakin, pasti akan menghasilkan suatu aura yang tak dapat difikirkan oleh akal. Akan tetapi hati perlulah bersih, yakin dan banyak amalan-amalan yang perlu diamalkan.

Aku terus membulatkan tekad. Aku tawakal sepenuhnya . Jin dan syaitan juga makhluk yang tak perlu aku takut. Hanya Allah yang aku perlu takut.

Dalam antara keluar tak keluar suara aku. Dengan bibir terketar-ketar. Aku pandang tepat ke mata Mak Lampir. Dengan perlahan-lahan dan penuh kekusyukan aku membaca..

“A'uzubillah himinassyaitonirrajim”

Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

“Bismillahir rahmanir rahim”

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

“La haula wala quwwata illa billahil aliyyil adzim”

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Mulut aku melafazkan kalimah. Hati menafsirkan maksud. Fikiranku membayangkan setiap huruf yang dilafazkan.

Aku terperasan yang Mak Lampir telah terhenti bergerak daripada terus mara ke arah aku. Kedudukan muka aku dan mukanya hanya berjarak 2 kaki saja.

Aku terus berdoa di dalam hati.

“Ya Allah yang Maha Berkuasa. Dengan kekuasaanMu aku berlindung. Kuatkanlah hatiku. Turunkanlah pertolonganMu ya Allah. Hanya kepadaMu aku berserah”

Dikala ini air mata semakin laju mengalir membasahi pipi aku.

Bagaikan ada suatu kekuatan yang baru. Terus aku menjerit dengan kuat…

“ALLAHU AKBAR!!”

Serta-merta Mak Lampir yang berada di depan aku terus meruwap hilang seperti asap. Beruk yang berada di belakangnya terus melompat hilang di atas siling.

PANGGGGGGG!!

Kedengaran dari luar rumah bunyi yang sangat kuat. Umpama bunyi almari kayu besar yang terbalik.

PRAPPPPPPP!!

Seterusnya bunyi umpama ranting kayu besar yang patah.

Terus keadaan menjadi sunyi sepi. Lampu di dapur kembali menyala secara normal. Anjing pun telah berhenti menyalak. Hanya bunyi kipas ligat berpusing serta bunyi nafas aku yang termengah-mengah. Kaki dan tangan aku kembali dapat bergerak semula. Terus aku beristighfar berkali-kali.

Esakan tangis aku makin kuat. Pipiku semakin basah dengan air mata.

Aku menangis kerana sayu bercampur gembira. Perasaan bercampur baur. Tanpa aku sangka doa aku agar dihantar pertolongan dan diberi kekuatan dimakbulkan dengan segera.

Allah..Allah..Allah. Betapa Dia menyayangi hambaNya. Mendengar rintihan hambaNya. Terutama hambaNya yang hina macam aku ni. Selalu lalai dan melupakanNya.

Terus aku bangun mengambil wuduk dan menunaikan solat isyak serta solat sunat tahajjud. Sejadahku basah dengan air mata.

Akhir kata, sentiasa dekatkanlah diri kita kepada Allah. Sempurnakanlah kewajipan kita sebagai hambaNya.

-TAMAT-
=========================
Karya : DeeFen DF
Gambar (sumber dari internet) : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: