Thursday, 15 March 2018

MAK LAMPIR 2 – THE ORIGIN - DeeFen DF



MAK LAMPIR 2 – THE ORIGIN
Karya : DeeFen DF

================

Tahun 2015. Petang raya haji ketiga. Aku, Apit, Bob dan Pakli berkumpul di rumah sewa aku. Masa cuti beginilah semua boleh nak berkumpul. Maklumlah semua bekerja di luar kawasan. Aku saja yang masih terperuk di kampung halaman.

Dah berkumpul begini, bermacamlah rancangan yang keluar. Paling tak boleh ‘blah’ rancangan Bob ajak ke Dannok. Makan tomyam ka-ta-nyeeeeee! Banyaklah dia punya tomyam. Masa cuti ni jalan sangat sesak di ‘border’. Tadak pasal nak buang masa dan duit pi sana.

Akhirnya kami bersetuju nak buat aktiviti menyihatkan iaitu - memancing. Sihat la sangat kan? Masing-masing dah gian nak memancing walaupun sekor-sekor haremmm tak ada skil memancing. Joran yang beli raya haji tahun lepas pun baru sekali saja guna. Kami plan pukul 10pm gerak dari sini.

Macam biasalah, janji manismu umpama menanam tebu di pinggir bibir, pukul 11pm baru sekor-sekor nak sampai. Macam-macam alasan. Tokwan menikah lagi satu lah, adik demam kepialu lah, tolong tangkap lembu terlepas kandang lah.

Kami gerak dua biji moto. Aku dengan Pakli. Bob dengan Apit. Sebelum ke port nak mancing, Kami singgah di kolam udang dulu. Beli udang hidup, nak buat umpan. Kalau tak habis, kami la yang ngapp pulak udang tu.

Kolam udang ni milik bapak member sekolah Pakli. Bayar 10hengget, tapi dapat macam 50hengget. Haha terbaekkk. Siap pinjam mesin yang keluar buih-buih tu nak bagi oksigen kat udang. So riwayat hidup depa lebih panjang dan pastinya makin berliku-liku.

"Terpulanglah mahu jadi apa, mahu jadi hantu, mahu jadi buayaaaaa…"

Nyanyi Pakli sepanjang jalan. Lagu Nanasheme tu la dia dok ulang sepanjang jalan. Naik menyampah aku. Apa punya taste la budak sekor ni.

Kami tiba kat port mancing ni dah hampir kul 12 tengah malam. Port mancing ni merupakan jeti kecik untuk bot-bot nelayan dan bot sewa untuk kaki pancing. Kawasan ni terletak kat muara sungai. Air payau sebab kawasan paya bakau.

Kami tengok sapa pon takda. Memang sunyi. Pelik. Tahun lepas ramai ja kaki pancing bertenggek kat jeti dengan gigi air tu. Seram la pulak rasa sebab takda sapa. Suram je rasa.

"Weh mana orang? Takkan kita ja? Betoi ka tempat ni?" Soal aku bertalu-talu.

"Takdak orang lagi best. Bleh ambik port ikot suka kita. Semua ikan sini, kita yang punya.. Muahahaha!" Ujar Apit kegembiraan sambil buat gaya ‘punching the air’.

Tengah kami dok angkat barang-barang memancing. Tiba-tiba dengar orang tegur dari belakang.

"Hangpa nak mai mancing ka? Ayaq tak elok sekarang ni. Ikan tak banyak. Timing hangpa tak kena. Tunggu minggu depan baru ok kalau nak mancing. Aiiii banyak udang tu..mai sikit hehehe…" kata sorang brader ni tah dari mana tetiba dia muncul. Gaya macam nelayan kat sini.

Brader tu terus berjalan ke arah pondok kecik. Dia ambik something dalam pondok tu. Moto dia parking kat belakang pondok kecik tu. Start moto. Nyala rokok. Angkat tangan. Terus dia chow chin chow.

Kata-kata brader tu menjawab persoalan kami sebab apa orang takda memancing malam ni. Punya la haprak kami ni pasal ilmu memancing, boleh mai time ikan takda. Ikan semua balik kampung kot sebab raya haji.

Tapi kami buat keputusan nak teruskan memancing gak. Gian nak lempar joran punya pasal. Takda ikan pon takpa. Aku tengok udang pon dah terkodek-kodek macam mintak disembelih dengan segera. Anyway sungai ni memang lebar. Lebih kurang ++100meter gak lebarnya.

KECEBURRRRR!!!

Kedengaran bunyi macam ada benda terjun dalam air kat depan kami. Bunyi dekat sangat dengan kami. Kami pon dok tercari-cari apa benda yang terjun. Takkan brader tadi buat suicide stunt terjun dalam air kot? Tapi takda tanda air berkocak pon. Bunyi kuat, tapi air tak berkocak langsung. Masing-masing diam ja sebab sapa pon takda jawapan. Pakat angkat bahu, angkat kening.

Dah 3 jam kami memancing, sekor pon tak naik lagi ikan. Dah 3 kali tukar position dah ni. Pakli pon dah start menyanyi melalak lagu-lagu hits carta top 20 tanda protes. Memang confirm la ikan lari dengar kelalakan nyanyian Pakli.

Apit dengan Bob dok mancing kat atas jeti, dekat dengan moto. Moto kena ada orang tengok gak. Takut gak orang curi kalau tinggal moto gitu ja. Aku dengan Pakli amik port kat gigi air, jauh sikit dari jeti tu. Lebih kurang 30-40meter.

Nyamuk memang banyak tak terkata. Memang sangat bertabah dok mancing situ. Bekas telur pon dah habis kami bakar. Kang tak pasal-pasal hutan belakang ni pon aku bakor. Marahkan nyamuk, hutan dibakor. Tak larat nak garu dah oi. Berbintat rata-riti kat badan ni.

Tiba-tiba telinga aku dapat mendengar tangisan baby. Agak kuat macam ada kat sekitar aku ni ja. Tangisan tu selang seli antara lagu Bola-bola Api dendangan Pakli. Aku pusing keliling try cari arah tangisan tu. Tapi takleh agak daripada arah mana, sebab bunyi tu bergema macam dari semua arah.

Serta-merta segala bulu mak nenek kat badan ni semua meremang. Semakin lama suara tangisan baby tu makin jauh. Aku memang betul-betul rasa lain macam sekarang. Aku tengok Pakli dok terus melalak tanpa rasa bersalah.

"Kau yang baik, paling comelllll di hatikuuu.. Ku ta-hu kau di-lu-ka o-leh te..."

"Wei Pakli oi. Hang brenti nyanyi sat. Hang dengaq tak bunyi baby dok teriak?"

"Hah babi teriak? Mana mana? Aku tak dengaq pon. Jom blah. Kena sondol dengan daddy babi mau patah riuk."

"Hishhh mangkaq patsegi btoi la hang ni. Aku kata baby la. Bayi! bayi! "

"Owwh baby baby… (sambil nyanyi nada lagu Britney Spears). Speak loudly la next time brader. Aku tak dengaq bunyi apa pon. Hang isap gam ka dok dengaq bunyi pelik-pelik ni? Hang khayal niii. Hahahaha…"

Aku pon malas layan Pakli dah. Suara baby tu pon dah hilang. Pakli sambung melalak. Aku sambung layan scroll fesbuk sambil tunggu ikan yang tak kunjung tiba. Sekali sekala aku jelling-jeling sekeliling. Rasa tak sedap hati lagi.

"Fen.. Aku rasa nak terkencing la. Dah kat hujung-hujung dah ni. Hang teman aku sat."

"Tadak pasal aku nak kena teman hang. Hang pi ja melepas kat memana. Tapi pi sana jauh-jauh sikit. Hancing oi. Jangan dalam ayaq dah la. Mabok habeh ikan dalam sungai tu. "

"Yela yela. Hang jangan tinggai aku. Aku nak pi kencing kat depan tu sikit."

"Oit mintak izin dulu. Tak pasal-pasal bentan plak. Benda nak pakai lama oiiii.. Kehkehkeh."

Aku perati ja Pakli berlalu pi cari port nak melepas hajat. Terkepit-kepit dia berjalan. Dari jauh aku nampak dia tiba-tiba berhenti berjalan.

"HantuuuuuuuuuuuuuuuuuuUU!!" Jerit Pakli. Dia dah lari memecut laju. Ni bukan langkah seribu dah.. Dia punya laju, tahap langkah sejuta. Tersungkur-sungkur tersembam terpeleot semua complete la larian dia tu.

Aku ambik masa sikit nak proses apa yang berlaku. Macam blur terkejut taktau nak buat apa. Mungkin perkataan kamus dewan yang sesuai adalah kaget.

Zussssss!!! Haaa berdesup kauuu Pakli lari melintasi aku. Tak penah aku tengok manusia lari selaju tu. Aku rasa kalau dia lari crossing sungai ni pon boleh lepas seberang, punya laju sampai tak sempat tenggelam.

Bila sel-sel otak aku dah berhubung dan dapat proses dengan logik apa yang tengah berlaku, maka aku pon bingkas bangun nak join berdesup dengan Pakli.

Baru aku tiga empat langkah berlari. Tiba-tiba benda yang kacau Pakli tu muncul depan aku. Hampir terlentang aku buat emergency brake. Terkejut beruk aku. Jantung dupdapdupdap macam nak pecah.

Berdiri depan aku. Jarak dalam 6kaki. POCONG!!! Omaigod! Omaigoodness!

Muka hitam macam takda berperasaan. Sangat-sangat buruk. Menggerutu. Mata merah menyala. Badan dibaluti kain kapan lusuh. Kotor disalut tanah. Terapung 1kaki daripada bumi.

Lutut aku rasa sangat lembik. Dah tak mampu berdiri. Dengan kaki yang lemah aku paksa lari jugak.
Aku terpaksa membuat lencongan tukar arah sebab pocong ni buat roadblock depan aku. Berpecah dari laluan Pakli. Kalau aku lari jugak ikut Pakli, alamat terpaksa lalu sebelah pocong tu. Huiii takmau la aku lalu sebelah pocong. Buatnya dia kokak leher aku. Tragik.

Aku berlari melalui hutan yang tak berapa nak hutan sangat. Cahaya dari lampu jalan dan spotlight parking yang kat jeti tu membantu aku lari walaupon samar-samar. Bila aku toleh belakang, aku nampak pocong tu bergolek-golek kejar aku. Takotnya aku masa tu, Tuhan ja yang tau.

Tengah memecut tu, tiada ku sangka tiada ku menduga kaki jari kelingking aku tersadung tunggul kayu. Dia punya sakit tu, yaaa ampunnnnnn matilanakkk. Macam bom atom meletup.

Korang dapat bayangkan tak, melarikan diri dengan terjengket-jengket kaki sebelah. Dengan mata berair dan hingus pon dah meleleh, aku rasa time tu atlet olimpik acara lompat kijang pon give up terus bersara kalau tengok jarak lompatan jengket-an aku. Memang haaaa kauuuu nala punya jauh setiap kali aku lompat.

Sambil terjengket-jengket tu, entah camna aku tergelincir sebab tanah licin. Bedebuk jatuh tergolek 2-3kali gak la. Takut punya pasal, badan aku pon automatik sambung golek-golek nak jauhkan diri dari pocong tu.

Aku pon taktau apa kes aku golek camtu. Otak dah jem dah kot takleh nak pikir dengan waras. Aku rasa pocong tu pon konpius sekarang sapa yg lebih pocong sekarang.. aku ka dia.

Dalam dok golek tu aku perasan pocong dah takda. Maybe aku dah tinggal dia jauh dah sebab kelajuan golekan dia tak dapat mengejar kelajuan golekan aku. Kahkahkah. Ok sorry-sorry ni aku tipu. Sebenarnya ada la aku golek dalam 7 ke 8 round ja kot. Gila kau nak golek jauh-jauh.. Mau pitam pening. Aku usya keliling takot-takot pocong tu ada lagi. Ok confirm takda dah.

Hampeh punya pocong. Dalam samar-samar aku check jari kaki aku. Nampak bengkak biru jari kelingking. Dengan baju, seluar sampai ke rambut penuh selut+tanah+daun akibat acara sukaneka golekan berirama tadi. Memang ringan ja mulut aku maki pocong tu. Geram gila kot. Menyusahkan orang. Huh.

"Fen… Fen..."

Tiba-tiba aku dengar suara panggil nama aku. Berbisik-bisik ja suara tu. Terkejut lagi aku buat kesekian kalinya. Bleh koma kena heart attack dah dua kali aku terkejut berok macam ni. Ahhh sudah! Jibaok apa pulak yang mai kacau aku lagiii niiii.

"Woiii jangan kacau aku laa! Pi blah! Aku takmau kawan dengan hang!" Jerit aku kat hantu bisik tu.

Time tu memang aku marah betul. Aku dah tak kira dah hantu ka apa ka, aku marah selamba ja. Dengan kaki sakit, badan sakit, baju kotor, memang kepalabana dia lah nak kacau aku lagi.

"Sampai hati takmau kawan aku lagi. Aku takut ni," kata hantu bisik tu lagi.

Aikkk pandai berdrama pulak hantu bisik ni. Aku pon bangun dah ready nak sambung larian marathon aku.

"Wei hang nak pi mana? Ni aku la Pakli."

Suara hantu bisik tu makin kuat.

Aku pusing arah suara tu, nampak la kepala Pakli dok jengok celah pokok dengan tangan dok gamit-gamit kat aku. Aku dok tenung lama-lama nak pastikan yang tu betul Pakli. Kot-kot pocong tu menyamar pulak. Huhu. Agak dah confirm yang tu Pakli, aku pon pi la duduk mencangkung sebelah dia.

"Wei sat sat, hang duduk sana jauh sikit. Satgi kena basah ayaq kencing aku kat situ." Pakli memberi arahan kat aku.

Bau hancing menerobos hidung aku. Dari samar-samar cahaya lampu jalan aku nampak seluar Pakli basah kat kangkang.

"Woi hang kencing dalam seluaq ka?! Kurang asam betoi!" Gerutu aku.

"Aku punya takut tadi, aku duduk la sembunyi kat sini. Pastu aku dengar bunyi macam benda golek-golek dari jauh. Alih-alih benda tu berhenti golek kat depan sini. Aku takut punya pasal, terus terkencing wuwuwu. Rupa-rupanya hang ka yang dok golek tadi." long explaination from Pakli.

Aku pon berpuas hati dengan alasan kukuh daripada Pakli sebab apa dia terkencing dalam seluar. Time takut memang semua anggota badan sekali dengan organ-organ mengecut menggeletar. Pundi kencing pon ikot mengecut skali.

"Ni hang terkencing ja ka? Awat tak terberak skali? Pakej. Kehkehkeh." Sakat aku kat Pakli sambil aku dok try hidu kot ada bau jamban plak. Time ni dah hilang sikit rasa takut sebab ada geng kat sebelah.

"Ni aku nak tanya hang. Hang dok golek sakan tadi apahal? Buang tebiat nak mampos ka hapa? Hahaha," soal Pakli sambil tersengih-sengih.

"Diam lah. Balik nanti aku cerita kat hang. Dahla kencing dalam seluaq, ada hati nak gelakkan aku lak. Aku sekeh jugak pala hang."

Aku dengan Pakli terus ambik keputusan nak balik ja. Aku call Apit, dia kata dia dah atas moto dengan Bob on the way balik dah. Dorang kata dorang pon nampak pocong tu kejar kami dari jauh. Kami janji kumpul semula kat rumah sewa aku. Hampeh punya member, boleh blah balik tinggal kawan-kawan camtu ja. Siap pesan lagi suruh kami ambik semua barang memancing dorang tinggal tadi. Huh.

Aku dengan Pakli dalam berani-berani takut pi la kemas semua barang mancing. Umpan udang fresh tu pon bawak balik, nanti nak masak dengan megi. emmm sedap uhh.

"Ni hang takdak bawak seluaq extra ka, kain pelikat, towel ka? Hancing terok sangat dah hang ni."

"Takdak la oi. Kalau ada, aku dah tukaq siap-siap dah. Dah gatai-gatai dah bebird aku ni. Haduhhhh."

"Ni ada satu lagi masalah. Jijik aku nak bawak hang naik moto. Hang dok menumpang belakang moto alamat kencing hang kena kat aku la. Jadi satu hal nak kena samak plak balik nanti. Ni camna nak buat ni? Hang balik jalan kaki ja la.. Hahaha"

"Haram jadu betoi la hang ni.. Ada ka patut suruh aku balik jalan kaki. Takpa aku bukak seluaq. Aku telanjang ja.. Hahaha."

"Haha bongok! Takmau aku! Satgi ada objek tumpul menusuk-nusuk belakang aku. Tu lagi seram daripada kena kejar dengan errrrrrr makhluk tadi tu!"

"Habeh tu camna Fen? Aku nak bawak moto tapi lesen IC semua aku tak bawak lak. Polis tahan nanti, tak pasal tidoq lokap, semua kena sita."

"Ok camni. Hang duduk bonceng belakang jugak. Tapi badan hang menghadap ke belakang. Bleh hang chillex letak dagu atas box belakang tu. Makanyaaa, terselamat la sikit aku dari tersentuh najis hang yang basah kat kangkang tu."

"Huh bijok bijok. Makin tua makin bijak hang ni. Aku setuju dengan idea bernas hang tu. Marvellous! "

Arakian aku dengan Pakli pon mula gerak balik dari situ. Dengan moto modenas kriss 110cc 3tahun tak pernah servis. Memang kuasa pickup enjin agak sadis.

Baru beberapa saat kami gerak. Aku rasa Pakli cuit pinggang aku. Aku dah lah jenis geli extreme pantang kena cuit kat pinggang. Terus terkejung sekejap badan aku, sambil melatah, sambil ter-press throttle minyak, sambil automatik sumpah seranah. Haaa puas!

Nasib baik la moto ni pickup sadis. Kalau tak, memang dah ter-whillie tanpa sengaja. Mau tersembam muka Pakli kat jalan tu.

"Wei Fen! Bawak laju wei laju lagi." Pakli berkata dalam nada kelam-kabut.

Aku dah rasa lain macam. Aku bleh agak mesti pocong tu follow lagi. Naya kami camni. Takkan aku nak kena stop moto, sambung acara golek-golek lagi kat tanah kot. Kali ni duet berirama dengan Pakli lak. Dahla sengal badan sakit kaki tak hilang lagi.

"Wei moto hang takleh laju lagi ka??!! Dah makin dekat dah benda tu... Wuwuwuwu!" Jerit Pakli sambil kedengaran macam dia nak nangis dah.

Aku pandang side mirror, memang konpom ada benda dok mengikut. Tapi nampak macam bukan pocong. Benda putih rambut putih mengerbang. Maybe jugak pocong tu dah salin baju dia, siap freehair tayang rambut huhu. Aku terus pulas side mirror ke bawah, tobat aku takot takmau tengok dah apa ada kat belakang.

Kelam-kabut aku terus drop gear. Ketar takot punya pasal, kaki ketar ter-over drop dari gear empat terus ke gear satu. Mengaumm kau enjin moto aku. Sikit lagi nak terhantuk hidung aku kat panel meter moto ni.

Aku pon pecut moto selaju enjin moto ni boleh pi. Sambil tunduk cucuk angin ala motoGP. Cornering memang berapi la sebab sangkut besi tongkat double-stand. Aku dengar Pakli menjerit sayu ja kat belakang tiap kali aku corner baring cecah lutut.

Aku boleh dengar seperti kain berkibar-kibar atas kepala aku. Aku rasa hantu ni follow atas kepala ja. Sekali-sekala aku dapat dengar bunyi mengilai. Memang takot habes time ni. Sampai la kat kawasan yang ada rumah-rumah kampung, bunyi kain berkibar-kibar dan mengilai tu pun hilang.

"Wei Pakli. Ada lagi tak?" Soal aku kat Pakli bila dah sampai tempat yang ada rumah-rumah kampung tu.

"Aku taktau! Aku tutup mata dari tadi. Aku takmau tengok..wuwuwuwu."

"Hang bukak la mata tengok sat. Moto aku ni rasa nak jem dah ni. Kasar semacam ja bunyi enjin."

"Aku takut weh. Jangan dok paksa aku tengok. Aku rasa nak terkencing lagi ni."

Aku terpaksa tengok sendiri. Nak harap Pakli tolong tengok, silap hari bulan basah kuyup terus seluar dia. Pundi kencing dia besar guni beras kot asyik tak habis-habis nak terkencing. Aku toleh belakang tengok takda apa dah. Aku pon slow kan sikit moto.

Perjalanan balik tu memang rasa sangat sangat sangat panjang. Aku pon taktau kenapa. Maybe sebab takot belum hilang lagi. Bulu roma pon meremang ja sepanjang jalan. Bertambah pelik sebab aku takda selisih dengan sebijik kenderaan langsung kat jalan. Even dah masuk main road dan lalu kawasan perumahan. Sunyi.

Time macam ni bendera parti, banner, guni balut buah cempedak, baju kat ampaian rumah orang pon nampak seram. Otak dok pikir bukan-bukan. Aku mula baca ayatul kursi dan surah-surah lazim yang aku ingat. Tadi punya takot semua lupa habis. Aku pon suruh Pakli baca ayat-ayat suci apa yang patut. Tapi dia diam ja. Aku pikir dia takot sangat kot sampai terdiam ja. Takpon maybe dok struggle tahan pundi dia lagi.

Bila dah nak hampir sampai kat rumah sewa aku, tiba-tiba Pakli menjerit.

"Yeahhhh gollllll !!!" Jerit Pakli.

Tersentak aku siap dah drop gear nak pecut. Tapi aku terpikir apa kejadah tiba-tiba gol ni. Makhluk jenis apa pulak ni. Takkan hantu player bola pon wujud? Huhuhu. Takpon Pakli dah kena sampuk. Terus aku kasi siku tulang belikat Pakli.

"Adoi! Sakit belakang aku!"

"Hang awat tiba-tiba gol ni?"bisik aku kat Pakli dalam seram sejuk.

"Huh. Eh sorry sorry. Aku tertidoq tadi. Mimpi liverpool boh gol."

Bongok punya Pakli. Dalam keadaan gawat camni pon bleh selamba layan tidoq. Siap mimpi bola. Patut la diam ja dari tadi. Sungguh mendukacitakan. Apa punya malang lah dapat kawan macam ni. Huhu.

Sampai depan rumah sewa, nampak Apit dengan Bob dok tersengeh-sengeh kat kami. Lihatlah dunia. Inilah dia contoh kawan-kawan sejati. Takleh harap langsung. Rasa macam nak sekeh berapi ja kepala sekor-sekor. Anjing jiran India sebelah rumah ni menyalak memanjang ja kat kami. Dengki la tu kami boleh lepak kat luar, dia kena kurung ja.

Lepas ja kami mandi semua. Kami pon buat sesi meja bulat bersembang pasal kejadian angker tadi sambil pekena megi kari udang fresh. Pakli paling terok kena bahan kes terkencing dalam seluar. Rare. Kahkahkah. Aku pon tanya Pakli, macam mana rupa makhluk yang dok follow moto time balik tadi.

"Nampak gaya macam perempuan tua, baju putih, rambut putih mengerbang, kuku panjang, kaki nampak setengah ja, muka hitam tak berapa jelas, mata putih semua, takdak mata hitam langsung." terang Pakli memberi gambaran makhluk tu sambil tangan dia dok shaking lagi. Nampak takot benor Pakli ni.

Lepas ja Pakli cerita pasal makhluk tu, terus dengar bunyi pintu tertutup kuat macam dari pintu dapur luar. Masing-masing dah berpandangan sesama sendiri dengan muka cuak pucat. Aku cakap angin ja tu nak bagi sedap hati. Padahal pintu dapur dalam dan dapur luar aku dah tutup tadi.

Sejak daripada kejadian tu, lepas balik niaga malam-malam memang sekali-sekala akan dengar bunyi pelik. Bunyi ketukan dan cakaran. Tapi aku tak layan sangat sebab aku pikir bunyi tikus atau kucing ja.

Sampai la malam aku tidur sorang-sorang kat rumah sewa ni, barulah dia tunjuk rupa dia. Kisah aku kena kacau kat rumah sewa ni dah disiar sebelum ni di episod 1 - Mak Lampir. Rupa-rupanya makhluk yang ikut kami balik malam tu adalah Mak Lampir. Gambaran makhluk yang Pakli cakap, memang sama macam malam aku kena gangguan kat rumah sewa awal tahun 2016.

Pengajarannya kalau kita ke tempat asing, janganlah membuat bising dan terlalu berseronok. Kita tak tahu benda apa yang sedang memerhatikan kita

Nota penulis: Mohon maaf atas segala bahasa pasar yang digunakan. Ini merupakan catatan peribadi penulis yang dikongsi untuk bacaan seluruh rakyat jelata.

-TAMAT-
Link untuk Mak Lampir 1 =>
=========================
Karya : DeeFen DF
Suntingan Karya & Gambar (sumber dari internet) : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: