SIMPAN
==========================
-RUMAH NOMBOR 37.
-TAMAN PERUMAHAN SEDERHANA.
-SIMPANG MELAYU, SERDANG.
Nakihana sibuk di dapur, banyak pinggan, mangkuk, cawan yang sudah penuh di dalam sinki. Mulutnya membebel sendiri sambil tangannya ligat membasuh di sinki. Bunyi pinggan mangkuk tersentuh memang macam hendak pecah.
Bunyi ketung! ketang! ketung! ketang, di dapur mengganggu Satalinasha bercakap dengan tunangnya di telefon bimbit. Tambah lagi dengan suara Nakihana yang membebel...macam ada sepuluh orang dalam rumah. Berapa punya susah Satalinasha hendak bercakap, kadang-kadang rasa macam orang pekak. Hendak guna bahasa isyarat pun dalam telefon bimbit.
Eshanalita masih termenung di dalam bilik. Sudah hampir seminggu dia begitu. Makan, minum kurang. Kesedihannya memang tidak dapat dikawal. Lebih kurang lagi seminggu dia dengan tunangnya hendak melangsungkan perkahwinan, tahu-tahu tunangnya mengalami kemalangan maut. Kemalangan itu seperti telah dirancang oleh seseorang. Organ dalaman tunangnya telah hilang di tempat kemalangan.
Tiba-tiba terdengar suara Nakihana dari dapur, memekik suara pada kedua orang kawannya. Rasa macam hendak runtuh rumah mereka bila Nakihana bersuara.
“Weyyyy!!! Aku nak keluaq pi kedai sat. Aku beli nasi bungkuih ja no...malas nak masak.” Dengar suara Nakihana macam makcik petir.
“Haaaa...aku nak lauk sambal sotong dengan teloq dadar.” Pesan Satalinasha.
* * * * * * * * * * * * * *
-DUA MINGGU LEPAS-
-JALAN PUSARA LAMA-
Pukul 2.20 petang, satu kemalangan berlaku di Jalan Pusara Lama. Satu dentuman kuat terdengar, ramai orang yang berada di sekitar kawasan tersebut terkejut dan bergegas ke tempat kemalangan itu berlaku. Seorang lelaki terbaring di dalam longkang, perutnya berlumuran darah pekat. Tidak ada benda tajam yang tercucuk di perutnya, tetapi perutnya sudah berlubang. Organ dalaman hilang, kenderaan yang langgar lelaki itu pun hilang.
Macam hendak luruh jantung Eshanalita bila dengar berita lelaki yang menjadi mangsa langgar lari dan mangsa sindiket organ adalah tunangnya Fakar Garakala. Seminggu lagi majlis perkahwinan mereka akan berlangsung. Semenjak dari hari itu Eshanalita sudah hilang perasaan gembira dalam hidupnya. Siasatan pihak polis dari hari ke sehari semakin rumit, banyak bukti yang dapat tidak jelas.
Pihak polis cuma mendapat maklumat bahawa orang yang langgar lari itu dan geng sindiket organ adalah berhubung kait. Berkemungkinan mereka dari geng yang sama. Pada mulanya pihak polis hanya beranggapan kejadian empat tahun lepas sudah habis, sebab ketua kumpulan sindiket tersebut telah di tangkap. Tapi beberapa minggu yang lepas, terjadi lagi kes orang kemalangan dan organnya hilang. Baru-baru ini terjadi lagi pada arwah Fakar Garakala.
* * * * * * * * * * * * * *
-RUMAH NOMBOR 37-
-TAMAN PERUMAHAN SEDERHANA-
-SIMPANG MELAYU, SERDANG-
Satalinasha masih ralik bersembang dengan tunangnya melalui telefon bimbit. Tergolek ke kanan, tergolek ke kiri, menyangkung, bersila...semua posisi sudah pun dilakukan Satalinasha tanpa sedar. Perbualan dua pasangan romantik itu semakin rancak. Satalinasha malas hendak ambil tahu hal lain. Dia sedang dilambung ombak asmara.
Perlahan-lahan pintu bilik Satalinasha dibuka, Satalinasha masih seronok memujuk rayu di dalam telefon bimbit dengan tunangnya. Nakihana masih belum balik dari kedai. Eshanalita masih termenung lara di dalam biliknya. Pintu bilik Satalinasha sudah terbuka luas, ada benda sudah masuk ke dalam bilik Satalinasha.
“Jangan nak ngada-ngada bang. Family Asha dah buat persiapan untuk buat pelamin. Asha ni anak tunggal tau, depa nak kita bersanding jugak.” Kata Satalinasha pada tunangnya.
“Kita bersanding untuk bagi family tengok dah laa...simple-simple ja.” Kata Dafarmizal pada tunang tersayangnya.
“Asha tak kisah bang, tapi semua family Asha nak buat meriah bila bersanding.” Cerita Satalinasha lagi.
“Asha tau kan abang macam mana?” Pujuk Dafarmizal lagi.
“Memang Asha tau, bakal suami Asha ni macam mana. Asha dah bagitau kat depa. Tapi depa nak buat jugak.” Kata Satalinasha. Dari posisi duduk tadi dia dah terlentang atas katil.
Satalinasha tiba-tiba jadi kaku, matanya terbeliak memandang ke atas siling. Suara tunangnya dari dalam telefon bimbit terdengar bunyi sayup-sayup...Asha..Asha..Ash..Ash..ash ash...as..as..as..aaaaaa....terus hilang dari pendengaran Satalinasha. Dia tidak dapat bergerak macam satu badan sudah di kunci.
Sejenis mahkluk sudah melekat di siling, air liurnya meleleh ke muka Satalinasha. Satalinasha sudah menjerit sekuat hati, tapi suaranya hilang, Hanya mulutnya yang ternganga luas. Mahkluk yang berbadan pucat dan lebam-lebam itu menjelir lidahnya sepanjang- panjangnya. Mulutnya ternganga mengeluarkan bau yang amat busuk. Tiba-tiba wajah mahluk itu bertukar seperti wajah Dafarmizal.
* * * * * * * * * * * * * *
-WAKTU YANG SAMA-
-TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK-
-DI TAMAN PERUMAHAN SEDERHANA-
-SIMPANG MELAYU, SERDANG-
Dafarmizal resah, hatinya gelisah. Suara tunangnya, Satalinasha tiba-tiba terdiam. Puas dia memanggil melalui telefon bimbit, tapi tidak berjawab. Dafarmizal tidak puas hati, mesti berlaku sesuatu pada tunangnya. Dia terus bingkas bangun dari sebuah kerusi panjang di taman permainan tersebut, niatnya untuk pergi ke rumah bernombor 37, hendak tengok kenapa dengan tunangnya.
BUK! BUK! BUK!...berbelas kali kayu berukuran 4 inci hinggap di atas kepala Dafarmizal. Pecah darah kepala Dafarmizal, habis bajunya berlumuran dengan darah pekat. Dafarmizal tidak berdaya lagi, dia tersembam ke tanah.
Kemudian berbelas kali lagi kayu berukuran 14 inci itu hinggap di batang leher Dafarmizzal. Dia terkulai dengan badan terketar-ketar bila nafas tersekat-sekat. Baju Dafarmizal dikoyak, ada tangan sedang memegang pisau. Dengan segera pisau di benamkan ke dada Dafarmizal...dan ditarik pisau tersebut sampai ke pusat.
* * * * * * * * * * * * * * * * * *
-DI RUMAH BERNOMBOR 37-
-TAMAN PERUMAHAN SEDERHANA-
-SIMPANG MELAYU, SERDANG-
Nakihana membawa bungkusan pelastik di kedua-dua belah tangannya. Kedua-dua pelastik tersebut penuh dengan lauk-pauk dan nasi untuk makanan tengahari mereka bertiga. Nakihana masuk ke dalam rumah, senyap sunyi. Selalunya dengar suara Satalinasha yang manja itu sedang mengada-ngada dengan tunangnya. Nakihana masuk ke bilik Eshanalita, hairan dia sebab Eshanalita tidak ada di dalam bilik. Merungut dia sendirian.
“Mana pi dia ni? Selalu tercongok kat tepi tingkap. Aduhhh...nasi yang aku beli kelmarin langsung tak di sentuh. Parah budak Nalita ni. Kain baju berselerak, cadar tak dilipat. Teruk kawan aku sorang ni...punggahhhh. Ni tak tau pi mana pulak ni? Mampus aku lagu ni...semua aku nak buat. Yang sorang ni sedih melampau-lampau. Yang sorang lagi tu terlajak angau. Meluat aku...” suara Nakihana berleter tidak berhenti.
Nakihana terus ke bilik Satalinasha pula, kedua-dua belah tangannya masih memegang dua pelastik yang berisi lauk-pauk dan nasi. Bila pintu bilik dibuka, Nakihana terkejut dan hampir terlepas kedua-dua plastik di tangannya.
“Awat ni?...” tanya Nakihana kepada dua orang kawannya yang masih di atas katil.
“Asha ni..tiba-tiba aku dengaq dia menjerit.” Jawab Eshanalita sambil menenangkan Satalinasha.
“Habaq la wey...hang kena pa?” Tanya Nakihana. Tapi Satalinasha terus menangis.
“Kalau hang teruih macam ni..macam mana kami nak tolong hang?” Kata Nakihana lagi.
Tiba-tiba telefon bimbit Satalinasha berbunyi di bawah cadar. Puas Nakihana suruh Satalinasha jawab panggilan itu tapi dia cuma geleng-geleng kepala. Akhirnya Nakihana yang jawab panggilan itu.
“Hallooo...boleh bercakap dengan Cik Asha?...” lembut sahaja suara lelaki yang hubungi Satalinasha.
“Ya..ya..saya kawan cik Asha. Ada apa encik?" Tanya Nakihana.
“Saya Inspektor Zarullaziman, sekarang saya berada di taman permainan kanak-kanak taman perumahan Simpang Melayu. Boleh saya nak jumpa dengan Cik Asha?” Suaranya masih lembut, tapi masih tidak ada jawapan.
“Kenapa Tuan Inspektor? Nanti kami ke sana.” kata Nakihana.
“Pihak polis telah menjumpai mayat seorang lelaki yang bernama Dafarmizal.” Kata Inspektor Zarullaziman.
“HAHHHHH!!???” Nakihana tercengang. Macam mana hendak beritahu kepada Satalinasha.
* * * * * * * * * * * * * *
-BALAI POLIS SERDANG-
-KEDAH, DARULAMAN-
-Tiga Hari Kemudian-
Kelihatan pagi-pagi lagi tiga anggota polis bergegas masuk ke bilik Inspektor Zarullaziman. Ketiga-tiga orang mereka dari Unit Penyamaran. Mereka terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang wanita. Pagi itu mereka berbingcang untuk memerangkap sindiket mencuri organ.
“Mereka tu licik tuan..macam-macam cara dah kita buat, mereka tetap susah kita jejaki.” Kata Kolap.
“Saya tau, memang rumit sikit kes depa ni.” Kata Inspektor Zarullaziman
“Yang hairan tu, depa ni macam dah telatih, tak ada langsung kesan bukti yang depa tinggal.” Kata Fissa.
“Depa memang licik, depa memang dilatih sebelum buat kerja ni. Tapi ni tanggungjawab kita, kita kena cari pandai lebih dari depa.” Kata Inspektor Zarullaziman.
“Saya rasa la tuan, sindiket ni mesti ada guna ilmu hitam untuk mengaburkan mata pihak berkuasa.” Kata Zarrana.
* * * * * * * * * * * * *
-WAKTU YANG SAMA-
-TEMPAT LETAK KENDERAAN-
-PLUS MALL, J.B-
Dalam kesesakan orang datang mengunjungi Mall yang popular itu, kelihatan seorang perempuan yang cantik bentuk badannya, indah rupa parasnya, harum bak kasturi tubuhnya, lemah gemalai lenggang lenggok langkahnya...banyak mata tidak kira lelaki atau perempuan, terpesona padanya. Suhalainina, seorang pengurus bahagian pemasaran.
Suhalainina kelam-kabut sikit sampai tidak sedar banyak mata memandangnya. Macam mana dia boleh terlupa temujanji dengan usahawan terhebat Malaysia, Dato' Dahlan Maamor. Dia bergegas pergi ke arah lif. Nampak seorang makcik sedang menyapu sampah di depan lif.
“Nak kemana kelam kabut sangat ni?” Tanya makcik pencuci itu pada Suhalainina. Tapi muka makcik itu Suhalainina tidak nampak.
“Jangan sibuk hal orang la makcik. Sapu je sampah tu.” Jawab Suhalainina dengan suara yang agak sombong.
“Sombongnya kamu Nina.” Kata makcik itu.
“Ehh!? Mana makcik tau nama saya ni?” Tanya Suhalainina.
“Siapa la tak kenal kamu, rupa paras ada...berjawatan tinggi, tapi sombong.” Kata makcik itu dengan suara yang perlahan sambil menyapu sampah.
“Aikkk!!! Makcik jangan naikkan darah saya!!! Saya dah lambat ni!” Marah betul Suhalainina pada makcik pencuci itu.
“Kita ni Nina...jangan terlalu rasa diri dah hebat. Silap sikit...nak angin. Jangan rasa angin diri dah hebat, kena juga fikir angin orang macam mana.” Tersenyum makcik itu di sebalik tudung kepalanya yang lusuh.
“Sudah la makcik!!! Malas saya nak layan makcik!!! Saya ada kerja yang lebih penting ni!!” Suhalainina terus masuk lif kemudian tekan butang tingkat bawah tanah. Tempat letak kenderaan.
Pintu lif terbuka, Suhalainina terus bergegas lari ke arah keretanya. Tiba-tiba dia tersadung kakinya sendiri. Dia terus jatuh tergolek. Suhalainina terdengar suara orang ketawa. Dia toleh ke belakang, nampak makcik tadi sedang menyapu di tepi keretanya.
Hati Suhalainina mula rasa tidak tenteram. Terfikir Suhalainina macam mana lajunya makcik pencuci itu turun ke bawah? Lif cuma satu, muka dia mula terasa seram sejuk. Suhalainina nampak makcik tu tersenyum padanya, tapi muka tidak nampak. Bibirnya yang samar-samar nampak macam menyeringai kepadanya. Gigi makcik pencuci itu menyeramkan.
“Makcik tak siap menyapu lagi?” Tanya Suhalainina.
“Baik pulak kamu tiba-tiba ni, tadi sombong sangat.” Kata makcik pencuci itu.
“Ni...tadi saya ada beli kueh lebih, makcik nak??” Suhalainina bersuara agak terketar-ketar.
“Kenapa? Kamu takut? Tadi nampak garang sangat. Tegur sikit dah melenting...nak tengok jugak hebat mana garang kamu tu.” Kata makcik pencuci itu.
Suhalainina masih terduduk, perlahan-lahan makcik pencuci itu jalan ke arahnya. Suhalainina tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Hanya berserah pada Allah. Makcik pencuci itu berdiri di depan Suhalainina, dicabutnya kepala dia sendiri dan dilempar kepalanya ke atas riba Suhalainina. Kemudian makcik pencuci itu lompat melekat di dinding. Kepala yang di atas riba Suhalainina itu ketawa terkekek-kekek. Suhalainina cuba hendak bangun dari duduknya.
BUK! BUK! BUK! Berbelas kali sebatang besi konkrik hinggap di batang leher Suhalainina.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
-SEMINGGU, LEPAS SUHALAININA DI BUNUH-
-BILIK HOTEL KAMAR BIRU-
-AIR KEROH, MELAKA-
Fissa terbaring atas katil. Maklum sahaja la...letih mengemas baju tadi. Petang, dalam pukul 6.30 sampai di Air Keroh. Masing-masing letih tidak berdaya. Zarrana lagi la teruk, sampai-sampai terus baring. Barang-barangnya bersepah di tepi pintu masuk.
Bilik nombor 4432, Kolap ke hulu ke hilir, sedang mengemas bajunya ke dalam almari. Pihak polis telah mendapat maklumat, geng membunuh dan mencuri organ itu mula berada di Melaka. Ada juga maklumat yang dipercayai, sindiket ini memang menggunakan bomoh siam. Ini sebab untuk bagi pihak polis keliru. Pintu bilik Kolap di ketuk.
“Hahh!? Hang Fissa, mana Zarra?” Tanya Kolap sambil menjemput Fissa masuk.
“Zarra dah berdengkoq. Beg pakaian dia bersepah lagi..boring, tu aku mai sini.” Kata Fissa.
“Hang makan dah ka?” Tanya Kalop.
“Dak lagi. Ingat nak ajak Zarra tadi, di bantainya tidoq.” Kata Fissa.
“Sat nooo...aku bersiap, Sat lagi biaq aku yang gerak dia.” Kata Kalop.
“Cepat sikit...aku tunggu.” Kata Fissa.
Kalop masuk ke dalam bilik air, hendak tukar pakaian. Tiba-tiba dia dengar macam ada benda mencakar-cakar sofa. Kalop bersuara dari dalam bilik air.
“Apa tu Fissa?” Suara Kalop kuat dari bilik air. Tapi Fissa tidak bersuara. Bunyi pintu pula ditekan loceng.
“Sapa tu Fissa? Bukak pintu tu sat. Aku nak siap dah ni.” Kalop bersuara. Fissa masih tidak menjawab.
“Fissaaaaa...buka la pintu tu satttttt. Tengok sapa yang tekan loceng tu.” Kata Kalop lagi, tapi Fissa masih diam. Bunyi sofa dicakar-cakar makin kuat.
Kalop terus bergegas keluar dari bilik air. Dia tengok dekat ruang tamu Fissa sudah hilang. Loceng pintu masih berbunyi dan sesekali bunyi ketukan yang kuat di pintu. Kalop mencari Fissa di seluruh sudut dan ruang biliknya. Sahih...Fissa tidak ada.
Di sofa memang ada kesan kena cakar dengan sesuatu. Kalop terus ke pintu, pintu dibuka. Fissa dengan Zarra tercegat depan pintu. Tersengeh...
“Amboi...hang Alop, macam dah tau kami nak mai ajak pi makan.” kata Fissa.
“Aku bersiap-siap ni nak pi ajak hangpa makan la.” Kata Kalop cuba sembunyi apa yang berlaku pada dia sebentar tadi.
“Awat kami jenuh tekan loceng, ketuk pintu, hang tak bukak pintu?” Tanya Fissa lagi.
“Aku tengah bersiap-siap la tadi.” Jawab Kalop.
“Jom la...nanti kita sembang la. Lapaq ni...” Zarra bersuara.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
-DI SEBUAH PERKAMPUNGAN SIAM-
-KAMPUNG LUBOK NAMI-
-SIK, KEDAH-
Malam yang gelap gelita, sebentar lagi hujan lebat akan turun. Nun jauh di mana, nampak tanda-tanda hujan akan turun. Guruh sudah pun menyanyi. Petir pun seperti sudah menari. Cuma menanti hujan berpuisi.
Beberapa buah kereta sudah penuh di halaman rumah Tok Kateq. Beberapa orang lelaki dan perempuan tidak dikenali memenuhi ruang tamu rumah Tok Kateq. Mereka semua terdiri daripada ahli-ahli sindiket mencuri organ dan pembunuh upahan yang dikehendaki oleh pihak polis. Mereka aktif di beberapa buah negeri di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Tok Kateq juga salah seorang ahli sindiket yang dikehendaki. Dia banyak menghantar belaan-belaannya untuk mengganggu mangsa, sekaligus mengelirukan pihak polis. Tok Kateq amat licik, tiap kali pihak polis hendak menangkapnya, pasti dia hilang tanpa dapat dikesan.
Tok Kateq juga dapat mengesan perancangan pihak polis dan di mana pihak polis bersembunyi. Sebab itu Kalop sudah terkena gangguan dengan belaan Tok Kateq yang menyerupai Fissa. Tujuannya untuk menghalang pihak polis untuk menyiasat kegiatan yang sedang dan akan mereka lakukan.
* * * * * * * * * * * * *
-PANTAI MANGKABAR-
-SABAH-
Sekali lagi digemparkan dengan penemuan mayat seorang perempuan yang sudah kehilangan organ dalamannya. Kepalanya pecah dipukul dengan objek yang keras dan tumpul. Orang ramai nampak berkerumun di pantai tersebut untuk menyaksikan apa yang berlaku.
Ramai tidak perasan ada susuk tubuh sedang bersembunyi dibalik pokok tidak jauh dari tempat kejadian. Matanya menjeling sambil terbeliak memandang ke arah orang ramai yang berkerumun itu. Mulutnya perlahan-lahan mengukir senyum yang amat menakutkan. Di tangannya ada satu beg pelastik yang diikat kemas. Perlahan-lahan dimasukkan beg pelastik itu ke dalam satu kotak kayu.
* * * * * * * * * * * * * * *
-DI RUMAH TOK KATEQ-
-KAMPUNG LUBUK NAMI-
-SIK, KEDAH-
Satu pertengkaran berlaku di antara Tok Kateq dan sepasang suami isteri. Tok Kateq besila di tempatnya, tepi tiang seri rumahnya. Si isteri bersimpuh di depan Tok Kateq. Si suami pulak berdiri di tepi tingkap sambil memandang keluar tingkap. Malam itu cuaca sejuk, tapi keadaan di dalam rumah Tok Kateq begitu berbahang.
“Apa yang tok nak lagi? Saya dah bayaq yang patut-patut pada tok.” Kata si suami.
“Patut apa??? Berapa yang hangpa dapat, berapa ja hangpa bayaq kat aku?” Kata Tok Kateq macam perli pasangan suami isteri itu.
“Jangan macam ni tok. Kita buat kerja ni dah lama. Tok pun dah bersetuju dulu.” Kata si isteri.
“Tok pikiaq tengok, orang-orang tok cuma datang membunuh. Kami bayaq berlebih-lebih. Depa pun setuju. Belaan tok tu pun kami yang bagi makan. Tok tak payah nak pikiaq apa dah dengan belaan tok tu. Tok pun kami bayaq dah lebih dari janji kita dulu.” Kata si suami.
“Hangpa tau tak polis dok cari aku la ni? Bagi la lebih sikit lagi. Berbaloi la kalau aku kena tangkap nanti.” Kata Tok Kateq.
“Tok kan boleh lari, boleh hilang, apa yang tok nak takut?” Kata si isteri.
“Tok jangan tamak sangat tok...orang tamak-tamak ni selalu rugi.” Kata si suami pula.
“Hangpa nak ugut aku la ni. Hangpa ingat aku takut la dengan hangpa punya ugut. Aku cakap bayaq lebih ja kat aku. Hangpa bayaq ja yang aku minta...habis cerita.” Kata Tok Kateq.
SWIIIINNNGGGG...CAKK! CAK! CAKK! Ada kapak tiba-tiba di cincang atas kepala Tok Kateq. Kapak berkarat itu di tinggal terbenam dalam tempurung kepala Tok Kateq. Tok Kateq terguling dan mengelupur atas lantai rumahnya. Darah pekat kehitaman merecik di merata tempat, di tempat duduk Tok Kateq. Si isteri tersenyum puas, wajah dan badannya dibiarkan penuh berlumuran darah kepala Tok Kateq.
Suami isteri itu terus tinggalkan mayat Tok Kateq terguling di lantai sambil dikerumun mahkluk belaannya sendiri. Dagingnya terus diratah selahapnya. Kereta Persona berwarna hitam nampak keluar dari kawasan rumah Tok Kateq bersama organ dalaman Tok Kateq.
* * * * * * * * * * * * * * *
-TANAH PERKUBURAN ISLAM-
-KAMPUNG LUBUK MELAYU-
-SIMPANG TEMBAGA, KEDAH-
Sudah lama perasaan geram mereka suami isteri tersimpan dalam benak sanubari. Anak mereka yang selama berpuluh tahun menunggu untuk datang menemani mereka, akhirnya pergi meninggalkan mereka untuk selamanya.
Sepuluh tahun berlalu kisah menyayat hati suami isteri malang ini. Anak mereka dilahirkan dalam keadaan normal. Sulaiman nama indah yang diberikan penuh sepakat suami isteri ini kepada anak mereka. Sehingga umur Sulaiman meningkat 5 tahun. Benar, ketentuan dan kehendak Allah tiada daya kita manusia hendak berusaha untuk menghalangnya. Kita hamba.
Sulaiman diserang satu penyakit, EMFISEMA iaitu penyakit bengkak paru-paru. Menurut rawatan yang dibuat pada peringkat awal. Sulaiman tidak mengalami Emfisema dengan teruk. Janji pihak hospital Sulaiman akan selamat dengan pembedahan. Suami isteri ini amat rasa bersyukur. Untuk belanja pembedahan Sulaiman yang tercinta, Suami isteri ini bergadai harta benda.
Akhirnya Sulaiman siap menjalani pembedahan. Keadaan Sulaiman menjadi makin teruk bila masuk bulan kedua lepas pembedahan. Sulaiman sekali lagi dibawa ke hospital. Didapati paru-paru Sulaiman dijangkiti virus. Pihak hospital hanya dapat memberi ubat untuk memberi Sulaiman ketahanan sahaja. Mereka suami isteri terpaksa terima keperitan itu.
Beberapa bulan kemudian, tembelang pihak hospital pecah bila ada seorang jururawat yang memberitahu suami isteri ini bahawa doktor yang buat pembedahan Sulaiman, telah salah menukar paru-paru.
Yang menyedihkan pihak hospital macam tidak mahu bertanggungjawab. Suami isteri ini seperti orang minta sedekah masa itu. Turun naik pejabat itu, pejabat ini buat aduan untuk mendakwa pihak hospital. Tapi semua mahukan bayaran yang tinggi untuk mendakwa pihak hospital. Mereka sudah tidak ada apa-apa lagi.
Sebulan selepas Sulaiman meninggal. Mereka suami isteri mula pecahkan tabung simpanan dendam mereka. Mangsa pertama mereka ialah..doktor yang buat pembedahan terhadap Sulaiman. Mangsa-mangsa mereka seterusnya semua kena mengena dengan kesilapan pihak hospital dan layanan pihak perguam terhadap mereka.
Semua itu menjadi harta simpanan dalam hidup mereka suami isteri. Mereka di tanah perkuburan. Tiba-tiba kawasan tanah perkuburan itu cerah diterangi lampu kereta polis. Mereka suami isteri dikepong. Kalop, Fissa dan Zarra turun dari sebuah kereta polis. Mereka bertiga terkejut.
“Tuan???”
Inspektor Zaruliaziman dan isterinya Nakihana digari dan diiring ke kereta polis. Samar-samar kelihatan kelibat Sulaiman menangis.
-TAMAT-
Suntingan Karya & Gambar: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment