JALAN LAMA
Nukilan : Dikmang
===============================
Nama aku Fazli. Aku berumur 22 tahun. Aku berasal dari utara tanah air. Sekarang aku melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Selangor.
Namun di sini, bukannya aku ingin cerita pasal pelajaran, tetapi pasal pengalaman seram aku. Pengalaman seram di kampung aku sendiri.
Semuanya bermula ketika aku pulang ke kampung kerana cuti semester.
*****************
"Liii!! Hang keluaq mai depan sat!" Panggil mak aku dari ruang tamu. Pada masa itu aku sedang menonton filem melalui laptop di dalam bilik tidur.
"Awat mak?" Tanya aku dari dalam bilik. Masih teguh mengadap laptop.
"Mai la keluaq dulu!"
Mak aku membalas pendek. Malas bercakap banyak, aku menekan 'pause', lalu keluar mendapatkan mak aku yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
"Awat mak?" Tanya aku sekali lagi.
"Hang ni balik kampung pun duk berkurung dalam bilik. Cuba bawak-bawak duk luaq sama. Main dengan adik hang ni."
Sebut saja adik, aku terus memandang Faizal. Adik lelaki aku yang berumur 7 tahun. Faizal memandang aku semula sambil membuat mimik muka. Nak saja aku luku kepala dia. Tapi risau pulak mak aku kilas tangan aku nanti.
"Ni, hang tolong pi kedai Roni sat. Beli nasik goreng."
Arah mak aku sambil masuk ke dalam bilik. Tak lama kemudian, dia keluar semula bersama wang kertas RM20 di tangan kanan.
"Tapi dah lewat malam dah ni mak." Aku menggaru-garu siku.
"Lewat apanya. Baru pukul 10 malam. Dah jangan banyak cakap. Hang pi sudah la."
Mak aku membalas. Sedikit keras pada nada suaranya. Aku terus menghilangkan diri di dalam bilik. Menyalin pakaian.
"Kunci motor mana?" Tanyaku sejurus keluar dari bilik.
"Motor takda minyak. Tadi siang mak guna pi kenduri, lupa pulak nak isi. Hang guna basikal lama mak la. Boleh guna lagi tu."
"Basikal? Okay lah." Balasku pendek.
Aku selongkar laci meja di ruang tamu. Mencari lampu suluh. Jumpa! Aku nyalakan lampu suluh untuk memeriksa baterinya. Ternyata masih berfungsi.
"Li pi dulu mak." Kataku seraya keluar dari rumah.
Aku menuruni tangga kayu dengan berhati-hati sebelum menyarung selipar.
"GANG!"
Aku dikejutkan dengan bunyi yang menimpa atap zink buruk yang mak simpan di bawah rumah.
"Tak guna punya jebon. Buat terkejut aku." Bisik ku apabila ternampak kelibat seekor binatang bersaiz 2 kaki lari masuk ke dalam semak.
"Nak makan ayam la tu."
Aku menambah bebelan sambil mencapai basikal lama mak. Habuk pada tempat duduknya aku buang. Setelah memeriksa angin di dalam kedua tayar, aku terus menolak basikal keluar menuju halaman rumah.
"Lepas beli tu jangan bersidai pulak kat kedai. Balik lekas." Mak mengingatkan aku dari muka pintu.
"Yalah mak." Jawabku sambil mengayuh basikal perlahan-lahan.
Diulit kenangan. Teringat pula ketika mak mengambil aku pulang dari sekolah rendah dulu. Aku senyum. Cahaya dari lampu suluh menerangi jalan di hadapan. Dibantu pula dengan sinar sang rembulan.
*************
Aku tiba di destinasi.
"Ah tutup pulak kedai Roni ni."
Aku mengeluh di hadapan kedai makan yang gelap. Hendak saja aku pulang. Tapi bila teringatkan mak dan adik di rumah, aku meneruskan misi mencari nasi goreng. Kali ini aku ke kedai Pak Abbas pula.
"Ku harapkan Kau kan terima, walau dipandang hina. Namun hakikat cinta kita, kita yang rasaa.."
Aku menyanyi perlahan untuk menghiburkan diri sendiri. Suara aku diserakkan dengan menahan kahak di anak tekak supaya kedengaran seperti suara Saleem.
Belum sempat aku menghabiskan nyanyian, aku dikejutkan dengan dahan pokok yang bergoyang tidak jauh dari aku. Seekor burung besar terbang melintas. Mujur aku sempat memberhentikan basikal.
"Aduh kacau betul. Nak terbang tu terbang la jauh-jauh sikit. Ni depan muka aku jugak hang gigih nak terbang." Bebelku sambil kembali mengayuh.
Aku menyambung nyanyian yang terhenti tadi. Kali ini aku berharap agar aku berjaya menghabiskan nyanyian tanpa sebarang gangguan.
Sedang ralit aku mendendangkan lagu, tiba-tiba aku tersentak. Dadaku berdegup kencang. Aku memghentikan kayuhan.
Tidak jauh di hadapanku terlihat kelibat seorang wanita. Dia berjalan menuju ke arah aku.
Semakin lama semakin dekat. Dan...
"Lah. Kak Liza rupanya. Baru balik kerja ke kak?" Aku menyapa. Lega.
"Ha'ah baru balik kerja. Eh lama tak nampak hang Li. Pi mana?" Kak Liza.
Kak Liza berhenti di tepi jalan, di sebelah aku. Lawa lagi orangnya. Seingat aku umur kak Liza sudah menjangkau 27 tahun. Belum berkahwin. Ah biar lah. Lambat atau cepat, Tuhan yang tentukan jodoh. Buat apa aku nak membawang pasal jodoh orang kan?
"Saya sambung study kak. Kat Selangor. Balik ni pun sebab cuti semester." Jawabku sambil membetulkan rambut yang ditiup angin malam.
"Haa elok la tu. Belajaq elok-elok. Nanti boleh dapat kerja bagus." Kak Liza membalas. Senyuman manis terukir di bibir dia.
"Ala kak. Kerja kilang pun okay apa. Kerja halal kan. Janji duit masuk berkepok, sudah la. Hehe." Selorohku. Ambil hati.
"Yelah Li. Betullah tu."
"Eh, akak balik waktu-waktu macam ni, tak takut ke?" Aku mengalih topik.
"Takut? Nak takut apa? Hantu? Kalau ada hantu, akak la hantunya." Jawabku kak Liza sambil ketawa terkekeh-kekeh.
Gulpp! Seram pula aku dengar Kak Liza ni gelak. Tegak bulu roma.
"Emm takpa la kak. Saya nak pi kedai sat. Mak suruh beli nasik goreng. Kirim salam kat makcik Tipah."
Aku terus bergegas meninggalkan kak Liza. Dia masih lagi tidak henti-henti ketawa sambil berjalan. Apa yang dia geli hati sangat pun aku kurang pasti. Aihh, Seram!
****************
"Sudah sampai di kedai kopi.."
Aku meniru dialog Hamid Gurkha di dalam filem Senario The Movie. Aku menongkat basikal dengan cermat di hadapan kedai, lalu melangkah masuk ke dalam.
"Padeli! Oi Padeli! Sini hang!"
Gamit Mat Rose di meja yang paling hujung. Terdapat Rozaimi, Saiful dan Salleh melepak bersama Mat Rose. Mereka bertiga ni memang sahabat sejati dari dulu lagi. Aku menuju ke meja mereka.
Aku mengangkat tangan kepada mereka. Memberi isyarat 'sekejap'.
"Pak Abbas, saya nak order nasik goreng biasa 3 bungkus. 1 tu takmau sayoq. Teh O ais satu minum."
Pak Abbas memgangguk faham. Usai aku memesan makanan, aku menapak ke arah mereka, menarik kerusi seraya melabuhkan punggung.
"Lama tak nampak hang. Mana pi? Kerja kat KL ka?" Tanya Mat Rose.
"Bukan la bang. Saya sambung study. Kat Selangor." Aku membalas.
"Fuuhhh. Mantap ni sambung study. Macam mana duk kat sana? Best?" Celah Salleh.
"Boleh la. Tapi makanan sana mahal sikit la. Hahaha."
"Weh Li. Hang ada dengaq cerita dak?" Tanya Rozaimi kepadaku.
"Cerita pasal apa?" Tanya aku ingin tahu.
"Cerita pasal kampung kita ni la. Ada benda pelik terjadi." Ujar Rozaimi.
Dipandangnya kanan dan kiri sebelum menambah dengan nada perlahan.
"Ada pontianak sesat."
"Pontianak?" Aku separuh terkejut. Hampir saja aku menyiku Pak Abbas yang datang menghantar minuman aku.
"Macam mana dia boleh sesat kat kampung kita ni?" Tanyaku lagi.
"Kami pun taktau Li. Ramai dah yang kena kacau dengan dia. Baru-baru ni Pak Ali. Imam kampung kita." Mat Rose menjawab sambil memandang Pak Ali yang sedang duduk bersama beberapa jemaah masjid tidak jauh dari tempat mereka.
"Hangpa nak pekena aku ni. Saja buat-buat cerita." Aku menjawab sambil memandang muka mereka berempat.
"MasyaAllah. Li. Buat apa kami nak tipu hang. Kami cuma cerita apa yang jadi kat kampung kita ni masa hang duk kat Selangor sana. Kalau hang tak percaya, balik nanti hang tanya mak hang." Jawab Mat Rose bersungguh-sungguh sehingga timbul urat di dahi dan lehernya.
"Macam mana hangpa tau tu pontianak? Hangpa pernah tengok muka dia ka?" Tanyaku selepas menyedut teh o ais beberapa kali.
"Kami tak pernah tengok lagi la. Tapi..." Percakapan Saiful terhenti apabila dia menyedut minumannya. Geram pulak aku. Rasa macam nak ramas-ramas saja kepalanya yang berambut nombor 2 itu.
"Aaahhh. Lega tekak aku aih. Okay sambung balik. Tapi, Pak Ali pernah nampak muka pontianak tu." Sambung Saiful sambil mengelap bibir dengan menggunakan belakang tapak tangannya.
"Pak Ali?"
"Hang tak percaya? Hang tanya dia sendiri. Tu dia dah bangun nak bayaq makanan dah tu. Panggil dia mai sini." Ujar Mat Rose. Aku menoleh kebelakang, melihat Pak Ali. Setelah membayar, Pak Ali digamit Mat Rose.
"Haa, ada apa Mat? Nak suruh aku belanja ka? Aku bawak duit cukup-cukup ni. Lain kali la aku belanja." Pak Ali gelisah.
"Bukan la. Ni Pak Ali cerita sat kejadian hari tu." Jawab Mat Rose.
"Kejadian yang mana? Yang lembu Pak Kassim jilat mikrofon masjid tu ka?" Tanya Pak Ali sambil membetulkan kopiah di atas kepala.
"Aduh cerita tu nak buat apa. Buat cerita kat anak cucu boleh la. Ni cerita pasal pontianak. Yang Pak Ali nampak hari tu." Mat Rose menjawab sambil mengenyit sebelah mata. Pak Ali memandang aku.
"Oohhhhh yang tu. Haa baru aku ingat. Bagi aku duduk dulu la nohh?" Sambil Pak Ali menarik kerusi kosong di sebelah aku. Kopiahnya ditanggalkan, diletakkan di atas meja.
"Masa tu sebelum subuh. Aku nak ke masjid. Hangpa tau kan dekat lorong nak ke rumah aku tu ada satu rumah kosong? Aku nampak dia kat situ."
"Pak Ali nampak apa?" Tanya Aku.
"Aku nampak pontianak tu la. Dia berdiri depan rumah kosong tu. Pakai baju putih meleret ke tanah. Rambut hitam panjang. Sikit pun aku tak pikir pasal pontianak pada mulanya. Aku ingatkan perempuan mana. Orang luar ke apa ke. "
"Lepas tu Pak Ali?" Tanya aku lagi, ingin tahu.
"Aku letak motor aku kat tepi, aku jalan masuk ke halaman rumah tu. Bila aku sampai dekat, tiba-tiba dia melayang naik ke atas bumbung. Lepas tu dia pusing tengok aku. Aku pun apa lagi. Sambil pegang ikatan kain pelikat aku, sambil aku pecut lari balik ke rumah. Tengahari tu anak saudara aku yang tolong ambikkan motor."
Tergamam aku.
"Pak Ali takut punya pasal sampai tak berazanlah masjid kita subuh hari tu." Sampuk Mat Rose. Yang lain ikut senyum.
"Rupa dia tu macam mana Pak Ali?" Tanya Saiful.
"Rupa dia pucat lesi. Dia takda anak mata. Putih saja biji mata dia." Jawab Pak Ali.
"Macam mana Pak Ali tau tu pontianak?" Aku mencelah.
"Dia gini. Kalau langsuir, rambut dia tutup muka. Kalau pontianak nampak muka." Jelas Pak Ali.
"Aduhh. Apahal la depa pi cerita pasal pontianak malam-malam buta ni. Dah la aku nak balik sorang jap lagi." Monolog aku dalam hati.
"Hah siap. Nasik goreng biasa 3 bungkus."
Pak Abbas meletakan bungkusan plastik di tepi aku. Pak Ali meminta diri beransur pulang tanpa menunggu aku. Setelah mendapat duit baki, aku segera keluar dari kedai menuju ke tempat basikal ku diparkir.
"Elok-elok balik tu Padeli. Dah jauh malam dah ni. Nanti ada 'awek' tumpang balik sekali. Hahahahahahaha." Laung Mat Rose dari dalam kedai. Disambut dengan gelak tawa rakan-rakan yang lain. Aku hanya memekakkan telinga sahaja.
"Dah lewat dah ni. Kalau ikut jalan tadi, lambat pulak sampai rumah. Ahh, aku ikut jalan lama la. Cepat sikit. Bukan ada apa-apa pun." Aku menenangkan diri sendiri.
**************
Di rumah...
"Mana la abang hang ni. Dah pukul 12:15 dah ni. Ke mana saja la dia merayau tak balik-balik lagi."
Adikku si Faizal hanya mendiamkan diri.
**********
Aku mempercepatkan kayuhan. Kedua tanganku kental mengawal handle basikal. Melalui jalan tanah yang berlubang sana sini pada waktu gelap bukannya satu hal yang mudah. Hanya aku dan orang-orang yang tertentu sahaja yang boleh melakukannya.
Jalan lama. Jalan yang sangat-sangat jarang digunakan oleh penduduk kampung. Jalan ini tidak diturap tar, tidak seperti jalan-jalan lain yang ada dalam kampungku. Apatah lagi tiang lampu.
Di kiri dan kanan terdapat ladang kelapa sawit milik arwah pawang Jusoh yang kini diusahakan oleh anak lelakinya. Tetapi apa yang aku nampak, ladang ini seakan terbiar. Semak samun meninggi. Entah la. Aku malas nak fikir. Yang aku fikir sekarang adalah aku ingin lekas balik.
Sedang aku mengayuh basikal, secara tiba-tiba angin lembut menerpa kepada aku dari arah kanan. Hampir saja aku ingin menghentikan kayuhan. Rasanya lain macam.
Tapi aku masih boleh rileks dan mampu menahan rasa takut dari terus meresap. Aku memegang kukuh handle basikal. Dalam rilek-rilek aku, tiba-tiba kayuhanku terganggu. Tayar basikal aku termasuk ke dalam lopak kering. Mengakibatkan tayar belakang aku pecah!
"Ahh sudah. Macam mana ni. Aduh." Aku turun dari basikal. Memeriksa keadaan tayar.
"Tinggal sini dulu la. Esok mai ambik. Takkan ada orang nak curi kot."
Aku menolak basikal lama itu ke tepi jalan dan mengambil bungkusan nasi goreng yang tersangkut di handle basikal.
Aku menapak pantas. Bulu tengkuk sudah lama berdiri, sejak di 'sapa' oleh angin tadi. Sedang aku berjalan, telinga aku menangkap satu bunyi.
'TAP'
'TAP'
'TAP'
'TAP'
Aku memasang telinga. Bunyi tapak kaki! Gayanya sedang mengikut aku. Aku mempercepatkan langkah. Tak sanggup hendak menoleh ke belakang, melihat gerangan yang mengikut aku.
"Kampung kita ni, ada pontianak sesat."
"Ramai dah yang kena kacau."
"Balik elok-elok Padeli. Jangan sampai ada 'awek' tumpang balik sekali."
Arghhh! Terngiang-ngiang pula kata-kata mereka di kedai tadi.
"Aduhhhh. Waktu macam ni jugak la otak ni nak teringat macam-macam."
Aku menepuk kepalaku perlahan.
Bunyi tapak kaki tadi masih ada. Masih setia mengikut aku. Lampu suluh hanya disuluh ke hadapan. Begitu juga pandangan aku. Hanya memandang ke depan. Tidak ke belakang, tidak ke kiri tidak ke kanan. Bulu tengkuk aku masih tegak berdiri.
Semakin laju aku melangkah, semakin laju 'dia' mengikut. Daun-daun pokok kelapa sawit melambai ditiup angin. Menambahkan lagi keseraman aku.
Tidak jauh dari tempat aku berada, aku ternampak cahaya lampu jalan. Aku menghembuskan nafas tanda lega. Aku menambah kepantasan pada langkahku. Begitu jugak dengan bunyi tadi. Semakin laju mengikut aku.
Setibanya aku di bawah lampu jalan, aku berhenti mengambil nafas dan memberanikan diri menoleh ke belakang. Tiada apa. Tiada siapa. Aku kembali melangkah.
Tiba-tiba, bunyi itu muncul kembali. Serta merta aku teringat akan sesuatu. Langkah dihentikan. Bunyi itu hilang. Aku berjalan 2-3 langkah ke depan. Bunyi itu muncul kembali. Aku tunduk.
"Lahhhh!! Bunyi selipar aku sendiri pun nak takut? Apadiaaaaaa." Aku tertawa.
Tertawa kerana aku diperbodohkan oleh diri sendiri. Nasib baik Mat Rose tak nampak. Kalau tidak mahu 5 keturunan tak habis aku digelakkan dia.
Aku melangkah tenang sambil bersiul perlahan. Tetapi bila teringat akan basikal lama milik mak, aku jadi gelisah. Habis lah kena sembur dengan mak aku nanti. Aku berjalan sambil memikirkan apa yang patut aku beritahu pada mak sekejap lagi.
Sedar tak sedar, aku sudah pun sampai di halaman rumah aku.
"Haaa. Dah balik dah. Hang pi mana?" Tanya mak aku dari tingkap rumah.
"Li pi kedai la. Beli nasik goreng." Jawab aku sambil meletak bungkusan nasik goreng di atas tangga sebelum membasuh kaki.
"Buat apa hang beli banyak-banyak ni?" Soal mak aku seraya menjinjing bungkusan itu masuk ke dalam rumah.
"La. Kan mak yang suruh beli tadi." Aku menjawab.
"Hang merepek apa ni? Bila masa mak suruh hang beli? Mak dengan adik hang baru balik rumah ni. Habis kenduri siang tadi, kami pi rumah Pak Teh hang. Hang balik kenduri teruih tidoq. Mamai la tu."
Aku terdiam. Mak cakap apa ni?
"Hang pi jalan kaki saja?" Tanyanya lagi.
"Dak. Li pi guna basikal lama mak. Basikal tu..."
"Hah. Merepek lagi! Basikal tu duk elok ja kat bawah rumah. Lagipun tayar belakang dia dah lama pecah. Tak boleh guna." Mak aku memotong percakapan aku.
Aku terpinga-pinga. Betul ke apa mak cakap ni? Aku mimpi ke?
Segera aku berlari ke luar rumah. Aku turun melihat basikal lama mak di bawah rumah. Allah! Ada? Masih bersandar di tiang rumah. Berhabuk dan bersawang. Aku menelan air liur.
"Macam mana aku boleh pi kedai Pak Abbas tadi kalau bukan dengan basikal?"
"Sapa yang suruh aku beli nasik goreng tadi kalau bukan mak?"
Sumpah! Aku buntu.
-TAMAT-
================================
Suntingan : Dee Edot
Gambar: Dikmang
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment