SLOT KHAS JAM 8 MALAM
SYMBIOSIS - Part I
Karya : Suhana Azman @ Suhana Mat Lazim
==============
15 tahun kemudian, tahun 2032......
"MAYAT SEORANG WANITA DITEMUI TERTANAM DI TEPI TASIK BIRU. BADAN TANPA KEPALA ITU DITEMUI TERTANAM DI DALAM TANAH SEDALAM TIGA METER. MAYAT TANPA KEPALA ITU DITEMUI OLEH DUA ORANG PEMANCING YANG KEBETULAN BERADA DI KAWASAN BERKENAAN. MEREKA MENJUMPAI PAKAIAN WANITA ITU DARI TIMBUSAN TANAH APABILA ANJING MILIK SALAH SEORANG PEMANCING TERSEBUT TELAH MENEMUI CEBISAN KAIN SKIRT DARI MAYAT WANITA TERSEBUT YANG TELAH TERKELUAR DARI DALAM TANAH. MANAKALA KEPALA MAYAT WANITA BERKENAAN DITEMUI TERGANTUNG DI BAWAH JAMBATAN FELIX. DENGAN INI POLIS TELAH MENGESAHKAN MANGSA KEEMPAT TERSEBUT ADALAH MANGSA KEPADA PEMBUNUH BERSIRI YANG DIGELAR SEBAGAI 'THE IMMORTAL SERIAL KILLER'...."
Paul membaca petikan dari surat khabar yang baru dibelinya pagi tadi. Sempat matanya melirik kearah Wyatt. Namun lirikan mata Paul atau lebih kepada jelingan, langsung tidak menggugat jiwanya. Telinganya mendengar setiap baris-baris perkataan yang dibaca oleh Paul itu tetapi hanya dipandang sepi olehnya. Di matanya hanya tertumpu pada gambar wajah mangsa ke empat yang terletak bersebelahan fail yang terbuka luas di atas meja. Gambar seorang wanita muda yang ceria. Tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun dan putih.
"Cantik." ujar Paul ringkas. Dari tadi dia memerhati gelagat Wyatt yang hanya tertumpu pada gambar mangsa ke empat itu. Sungguh! Tidak dinafikan mangsa ke empat itu memang cantik orangnya.
"Siapa? Mangsa ni?" Wyatt menyoal Paul dengan pandangan pelik.
Lalu Wyatt mencampak beberapa helai gambar wanita terbabit tetapi hanya gambar mayat wanita itu sahaja di depan Paul.
"Aku kata cantik sebelum dia mati. Kenapa kau campak gambar post mortem dia pada aku! Kau perli aku?" Paul tidak berpuas hati dengan tindakan Wyatt yang dengan sengaja mencampak gambar bedah siasat mayat wanita itu. Padanya itu satu tindakan kurang ajar! Malah langsung tidak menghormati pada mayat mendiang wanita itu.
"Sebenarnya aku tak maksudkan dia, tapi kau! Kau tahu tak? Engkau! Aku benci bekerjasama dengan kau! Semua benda nak kena ikut cakap kau! Lepas semua benda ni terjadi, semua tunding ke arah aku, termasuk engkau! Orang atasan dah pandang serong pada aku, sebab dia orang ingat aku tak buat kerja!" Jerkah Wyatt dengan panjang lebar.
Paul hanya terdiam. Berdesing telinganya apabila mendengar kata-kata liar dari rakan setugasnya Wyatt. Paul terpempan dengan kata-kata itu. Namun tidak sedikit pun kata-kata dari Wyatt itu disanggahnya. Saat ini, berdiam adalah lebih baik dari bertelagah lidah, yang boleh menambahkan masalah. Sebolehnya dia tidak mahu menambahkan minyak pada bara api. Dia tahu, Wyatt sedang tertekan. Tekanan dari pihak media, malah dari pihak atasan sendiri.
"Kau tahu tak, ejen persekutuan nak masuk campur siasatan kali ni. Kau faham tak erti masuk campur pada mereka? Itu bererti mereka nak ambil alih siasatan kita. Kita akan ditolak ke tepi. Masyarakat dan media akan fikir kita tak buat kerja! Kau dan aku! Juga seluruh jabatan ni! Kau faham tak?"
Sesekali lagi Paul hanya terdiam. Tidak mahu terus mengungkit kisah kegagalan sendiri. Kegagalannya dan Wyatt dalam menangkap pembunuh bersiri di bandar kecil Immortal City menjadi bahan ketawa di media elektonik, media cetak, bahkan di media sosial. Apa yang lebih menyakitkan, mereka dituduh "polis yang makan gaji buta" dan "polis yang tak tahu buat kerja" tersebar di media sosial.
Paul mula teringat, baru sebentar tadi mereka dipanggil ketua jabatan, Tuan Sean Gibs. Tuan Gibs hanya memberi mereka kata dua, kerja dalam pejabat atau melepaskan jawatan.
"Aku nak kerja dalam pejabat je lah. Aku dah penat. Lagipun aku dah tak mampu lagi. Sudah tak kuat macam dulu. Kesihatan aku pun tidak mengizinkan untuk aku terus aktif. Kau mesti faham, aku ada anak bini nak kena sara...." ujar Paul lemah seakan mengalah.
Wyatt terkejut mendengar penjelasan dari Paul. Semudah itu. Terlalu mudah mengalah, fikirnya.
"Kenapa baru sekarang! Kenapa tidak dari awal lagi? Sekarang dah empat mangsa! Lepas tu kau nak aku hadap masalah ni sendirian pulak! Masalah Immortal serial killer, bukan masalah kita sahaja tapi masalah seluruh jabatan. Juga masalah masyarakat!"
Wyatt memandang Paul semula. Cuba menebak hati seniornya. Memaksa dirinya untuk memahami. Namun renungan tajamnya kembali kendur apabila melihat raut wajah Paul yang mulai muram. Terasa barangkali. Riak perasaan bersalah mula terbit dihati Wyatt. Bersalah kerana meninggikan suara pada seniornya itu. Matanya tersorot pada kedut-kedut tipis di wajah Paul. Betapa berdosa dirinya apabila menengking seniornya secara tidak sengaja. Secara total itu tanggapannya saat itu. Justeru dalam pada itu, Wyatt cuba memejam kembali matanya, cuba untuk berfikir cara yang bagaimana untuk memujuk kembali seniornya itu. Mohon maaf? Ya, buang segala ego. Mohon maaf adalah jalan terbaik, fikirnya.
"Yalah, aku minta maaf. Mungkin disebabkan aku tinggikan suara tadi yang membuatkan kau terguris. Aku minta maaf. Jangan buat aku tambah rasa bersalah pulak..."
"Tak apa. Aku dah biasa." Nada suara bersahaja yang cuba dilontarkan oleh Paul walaupun hakikatnya itu satu sindiran buat Wyatt.
Wyatt menyedari akan sindiran itu. Itu yang membuat dia terdiam. Namun dalam hati, sindiran Paul itu benar-benar membuat jiwanya tersentap.
"Teruk sangatkah aku?" Bisik Wyatt.
Kemudian masing-masing kembali terdiam. Wyatt berpura-pura meneliti fail-fail kes agar perasaan malu dengan keterlanjuran kata-katanya itu dapat ditutup dengan 'kesibukkan' di dalam meneliti fail-fail kes itu. Namun dalam keadaan dia 'berpura-pura' sedang meneliti ke empat-empat fail mangsa itu, sempat dia membacanya satu persatu. Cuba untuk memahami jiwa suspek tersebut agar dia dapat 'mengenal' mangsa suspek seterusnya. Siapa sasaran suspek sebenarnya? Kenapa dia sanggup melakukan pembunuhan tersebut? Apa yang mendorong dia melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu? Siapakah suspek?
Apa yang pasti, Wyatt merasakan suspek tidak terlalu memilih mangsa. Ini dapat dilihat pada latar belakang, umur dan pekerjaan mangsa-mangsa terbabit. Mangsa dipilih secara rawak. Kawasan pembunuhan juga dipilih secara rawak iaitu di kawasan yang berlainan. Tetapi hanya mangsa kedua dan keempat sahaja ditemui di kawasan berdekatan. Apa yang pasti, mangsa kedua dan keempat tidak langsung punyai hubungan persaudaraan ataupun persahabatan. Itu telah disahkan oleh waris dan juga kenalan pada si mangsa.
**Mangsa pertama- William Smith, umur 41 tahun. Mayat William dijumpai tertanam di pinggir hutan berhampiran kawasan rumahnya. Manakala kepalanya ditemui tergantung dihadapan pintu rumahnya.
**Mangsa kedua- Anastasia Bloom, umur 23 tahun. Dijumpai tertanam di kawasan kilang yang tidak lagi beroperasi. Kepalanya ditemui tergantung di pintu kilang tersebut.
**Mangsa ketiga- Mike Downey, umur 34 tahun. Mayat dijumpai tertanam di kawasan paya berhampiran gereja St. Lucas dan kepalanya ditemui tergantung dipintu gereja tersebut.
**Mangsa keempat- Suzanne Doyle, umur 29 tahun. Mayat dijumpai tertanam di pinggir hutan berhampiran kawasan kilang dimana mangsa kedua iaitu Anastasia Bloom ditemui. Manakala kepada Suzanne ditemui tergantung di atas pokok berhampiran tubuhnya ditanam.
Tiba-tiba Wyatt mendapat mesej daripada seseorang. Seseorang yang amat dikenalinya. Hampir 8 tahun Wyatt tidak menemui individu tersebut.
"Pelik? Tiba-tiba je...." bisik Wyatt.
*Wyatt! Habis tugas datang ke galeri seni di Immortal Park. Ada benda aku nak beritahu! Jangan tak datang pulak!*
From- Thomas Agiihara
Wyatt membaca mesej tersebut tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Thomas Agiihara adalah kenalan lamanya yang sudah lama terputus hubungan semenjak dari sekolah tinggi lagi. Kenapa baru sekarang ingin menemuinya? Apa yang membuatkan Wyatt bertambah pelik lagi, kenapa di galeri seni? Kalau hendak menemuinya, lebih baik jumpa dirumah atau dibalai, fikirnya.
"Kenapa harus di galeri? Galeri milik bekas teman wanita aku pulak tu!" Gumam Wyatt.
..................................................
"Hai!"
Wyatt berjabat tangan dengan Thomas Agiihara. Seorang rakan yang dikenali dari sekolah tinggi. Walaupun hakikatnya bukan rakan sebenar. Untuk memastikan agar dirinya tidak tersalah orang, Thomas Agiihara dipandang tanpa kerdipan. Ditenung dari atas hingga ke hujung kasut. Ya, memang benar Thomas Agiihara. Terpegun dirinya saat melihat Thomas yang kelihatan segak, tidak seperti zaman di sekolah tinggi dahulu. Gempal dan boroi.
"Kau Thomas?" Wyatt mohon kepastian lagi.
"Ya, akulah Thomas. Kenapa? Tak percaya?" Thomas tersenyum meleret. Membiarkan dirinya dipandang oleh Wyatt.
"Kenapa dengan kau? Apa yang jadi pada Thomas yang dulu!" Wyatt mengaju soalan kepada Thomas.
"Aku sekarang menjalani hidup yang sihat. Makan makanan yang berkhsiat. Lagi satu, aku dah bertunang! Percaya tak?" Terpamer riak kegembiraan di wajah Thomas.
Wyatt tersenyum kelat. Entah kenaoa perasaan cemburu mula mencengkam jiwanya saat mendengar perkhabaran itu. Dahulu ketika di sekolah tinggi, dia adalah idaman pada setiap para gadis. Dengan wajahnya yang kacak ditambah pula dengan aktif bermain ragbi pasti akan membuat dirinya menjadi dambaan para gadis di sekolahnya. Namun sebaik habis belajar dan menyambung pengajian di kolej tempatan dia berkenalan dengan gadis sekolej tetapi hanya bertahan tidak sampai dua tahun. Hubungan itu putus di tengah jalan. Akhirnya, sehingga sekarang Wyatt masih belum lagi menemui mana-mana gadis. Semuanya kerana tugasnya yang banyak dan kes jenayah yang sentiasa menghambat dirinya. Sehingga keadaannya kurang terurus berbanding dengan dirinya dahulu, segak dan kemas.
Namun sedaya upaya dia cuba menepis perasaan itu, agar riak cemburu itu tidak kelihatan pada rona wajahnya. Cuba diselindungkan dengan sebuah senyuman. Memaksa dirinya untuk sentiasa ikhlas.
"Siapa tunang kau?"
"Fiona Haiden. Pemilik galeri ni. Kau kenal dia tak?" Jelas Thomas.
"Apa? Fiona? Ok, aku tak kenal!" Wyatt terperanjat! Pura-pura tidak mengenali. Sungguh tidak dia sangka, bekas kekasihnya itu sedang berpacaran dengan Thomas. Budak gempal yang selalu dibulinya ketika belajar di sekolah tinggi dahulu. Sememangnya Fiona adalah pemilik pada galeri tersebut.
"Alamak! Rugilah, sebab Fiona tak ada di galeri hari ni, jadi tak dapatlah nak kenalkan kau kau dengan dia." Sambung Thomas lagi. Terlihat riak kesal di wajahnya.
"Kau mesej aku, semata-mata nak kenalkan aku dengan tunang kau. Itu aje!" Wyatt mula meninggikan suara walaupun cuba untuk selindungkan egonya.
"Tak, tak. Bukan sebab itu. Ada sebab lain lagi. Ini yang lebih penting! Ada kena-mengena dengan kes yang sedang kau siasat ni. Aku dah baca melalui akhbar dan tv. Polis Immortal City belum lagi dapat menangkap penjenayah, 'The Immortal serial killer'. Jadi automatik aku teringatkan kau. Jadi ejen persekutuan nak ambil alih, betul tak?" Jelas Thomas.
Terbeliak Wyatt mendengar penerangan dari Thomas.
"Mana kau dapat nombor handphone aku? Lagi satu macam mana kau tahu ejen persekutuan nak ambil alih?" Wyatt mula menunjuk reaksi pelik.
"Semalam aku pergi balai, ada polis perempuan tu kata kau tak ada. Jadi aku mintalah nombor handphone kau dan dia bagi. Masa tu aku ada tanya kat polis perempuan tu, kau ke yang sedang siasat kes pembunuh bersiri tu. Polis tu kata ya, buat masa ini! Sebab lepas ni ejen persekutuan akan masuk campur sebab pembunuh bersiri masih belum ditangkap." Thomas menyambung kembali penjelasannya.
Wyatt terdiam. Saat ini daya pemikirannya sungguh bercelaru. Terasa dirinya bagai di henyak dengan tukul besi atau paling drastik bagai dibaling dengan molotov cocktail sehingga meletup dan terus membakar tubuhnya. Itu yang dirasanya sekarang. Panas! Terasa diri dimalukan oleh lelaki yang pernah dibulinya dahulu.
"Kenapa kau diam." Sambung Thomas lagi.
"Maaflah kalau kehadiran aku ni membuatkan kau tak senang hati. Aku tak ada niat pun. Lagipun aku dah lama maafkan perbuatan kau pada aku dulu. Aku datang nak membantu. Apa yang aku nak beritahu pada kau ni pun, memang sangat penting. Aku nak kenalkan kau dengan seseorang...." ulang Thomas.
"Siapa?"
Wyatt mengerut dahi. Perasaan peliknya itu kini semakin berganda. Mata Thomas direnung, mengharapkan jawapan dengan segera.
"ISAAC DEAN MANSON....."
-BERSAMBUNG-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment