Tajuk: RIANA
Nukilan: @Firdaus Abdullah
==================================
FIRMAN
Malam di kawasan perumahan elit Southlake View masih dibungkam kesunyian. Rembulan terus memancarkan sinar pantulan cahayanya dari sang suria.
Sesekali mengintai di sebalik rimbunan awan. Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa malam ini menyapa kulit mulusku. Dari tadi, aku terbuai dengan keindahan malam yang mungkin hanya dapat dinikmati manusia spesies nokturnal dan ‘nyctophilia’ sepertiku.
Tingkap aku biarkan terbuka agar dapat memberikan ventilasi yang baik dalam bilik tidurku. Terbuai-buailah langsir di bilik ini. Aku cukup tahu orang tua melarang tingkap dibuka pada waktu malam. Tapi aku peduli apa? Dasar budak nokturnal!
Aku masih duduk termangu depan laptop biru berjenama Asus. Fikiranku menerawang dan turut terbuai-buai bersama langsir bilik. Pandanganku kosong diulit wajah tidak berekspresi.
Menunganku panjang seolah-olah mampu menembusi sempadan ruang dan waktu. Sinaran cahaya putih dari skrin laptop langsung tidak mengganggu konsentrasiku untuk terus termenung walau menyilaukan. Jari-jemari kaku di atas papan kekunci. Statik.
Menunganku pecah berderai dikejutkan dengan bunyi notifikasi dari laptop. Amaran bateri cuma tinggal 10 peratus muncul di skrin.
Bunyi detakan jarum jam kedengaran seiring dengan waktu yang tak pernah berhenti bergulir. Pandanganku terkalih ke arah jam di dinding. Pukul 1 pagi. Sedar tak sedar aku sudah duduk tercatuk depan laptop lebih 2 jam.
Aku pun berdiri melegakan urat leher yang tegang dek kerana terlalu lama berada dalam posisi duduk. Hembusan bayu malam dinikmati lagi dan udara segar dihirup, ingin meraih semula semangat yang semakin lama semakin sirna dalam diri.
Seakan-akan semangat itu mempunyai partikel yang terapung-apung di udara. Wujud tapi tidak ternampakkan. Tarik, hembus, tarik, hembus. Ritma ini aku cuba selaraskan agar mencapai kestabilan jasad tubuh badan.
Jasad yang menguliti jiwaku yang kian lesu hari demi hari. Lesu dengan permainan dunia yang penuh dengan pancaroba dan dusta nestapa. Aku tahu diriku tak kuat tapi aku takkan berhenti mengalah. Mungkin ini semua musibah buat manusia yang dinodai kenistaan dosa sepertiku. Insaf sejenak.
Setelah beroleh ketenangan, mataku tertancap ke arah laptop kembali. Wayar pengecas segera aku sambungkan ke soket dan lubang pengecas. Aku duduk semula di atas kerusi bulat bercirikan reka bentuk moden, berhadap dengan laptop.
Perlahan-lahan tulang jariku bergerak mengetik satu-persatu huruf pada papan kekunci berpandukan isyarat dalam bentuk impuls saraf yang diterima dari otak. Laman web penyimpanan awan atas talian Google Drive dituju. Akaun Gmail dilog masuk dan terpaparlah ratusan fail-fail gambar yang menyimpan 1001 kenangan dalam kamus hidupku.
Satu fail gambar ditekan. Wajah ayu seorang gadis bertudung hijau cair yang tersenyum manis melatari skrin laptop. Seolah-olah melihat bidadari syurga jelmaan dunia, tanpa aku sedari agak lama juga aku menatap gambar itu.
Ternyata diriku bagai sudah dijampi, lirik lagu Hael Husaini, Jampi terngiang-ngiang di halwa telinga. Senyuman tersungging di bibirku. Tawar dan hambar.
Punat tetikus ditekan, gambar seterusnya pula yang muncul. Wajah si gadis masih kelihatan. Cuma kali ini turut bersamanya seorang lelaki memakai t-shirt berkolar merah dan putih berlatarbelakangkan sebuah pusat membeli-belah terkenal.
Di wajah mereka berdua terpancar jelas senyuman. Senyuman yang cukup untuk memberi gambaran dua insan yang mengecapi kenikmatan syurga dunia yang dinamakan cinta. Dan ya, aku amat mengenali lelaki di dalam gambar itu. Lelaki itu adalah aku.
RIANA TRISHA – dia yang menghantui hidupku selama ini dan dialah tuan empunya badan si gadis ayu bertudung hijau cair itu. Dulu, dia menghiasi hari-hariku dengan gelak tawa dan gurau senda.
Sehingga aku merasakan dunia ini hanya milik kami berdua. Kini, dia menghiasi hari-hariku dengan duka lara dan tangisan sendu. Dialah punca menunganku sering berpanjangan, fokusku hilang kawalan, hatiku tidak keruan.
Jika dulu kumala jantung dan nur nilam sari menjadi penyeri nama memaniskan lagi nikmat percintaan. Namun kini aku mengenalinya hanya dengan nama RIANA.
Hidup sebagai khalifah di muka bumi sering disulami dengan kepalsuan. Hidupku juga tidak terlepas dari menerima libasan cemeti kebatilan dunia ini.
Senyuman yang sering meniti di bibir sekadar sandiwara, hanya untuk menutup beban yang menyesakkan dada, menghimpit fikiran.
Aku cuba menyibukkan diri dengan urusan dunia tapi semuanya sia-sia belaka. Nasihat dari keluarga dan rakan ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Didengar namun tidak dipandang dengan mata hati, diterima namun tidak dihadam. Beginilah sifat cucu Adam bila sudah hitam hatinya. Ego tinggi melangit.
Bermacam ikhtiar sudah dibuat, sampai mati akal aku dibuatnya. Aku pernah acah-acah ‘move on’. Tapi aku tak mampu untuk menipu diriku sendiri.
Tutur bicara lisan menuturkan sudah melupakan gadis itu, namun jauh di dasar lubuk hati pula mengatakan sebaliknya. Keadaan menjadi lebih sukar tatkala kerinduan menjengah semula.
Pernah sekali satu persoalan yang sukar ku jawab menyinggahi benak fikiran. Beginikah rasa rindu terhadap orang yang langsung tidak mengingati kita?
Bukankah aku juga lalai dari mengingati Allah selama ini sedangkan rasa rindu-Nya padaku tidak berkurang walau sedikitpun?
Benarlah bahawa setiap musibah itu pasti ada hikmah di sebaliknya, pasti akan ada pelangi setelah turunnya hujan. Aku mula belajar mengenal Tuhan dan kembali ke jalan yang diredhai-Nya.
Chirp, chirp! Bunyi kicauan burung dari nada dering telefon menyentakku dari lamunan. Dengan susah payah, aku menggapai telefon bimbit di hujung meja.
Keadaan meja berserabut penuh dengan fail-fail, kertas kerja, kotak pizza dan pinggan mangkuk yang belum dicuci.
Maklumlah, rumah orang bujang. 2, 3 hari terbiar tak tercuci belum jadi hal. Tunggu anak-anak lalat berkampung di situ baru terhegeh nak bersihkan.
Akhirnya, telefon bimbit sudah ada dalam tanganku. Habis jatuh berhamburan segala kertas-kertas kerja ke lantai. Aku mengomel sendirian.
Ada 2 mesej baru diterima dari aplikasi Whatsapp. Mesej itu tidak lain tidak bukan dari gadis pemilik gambar yang masih terpapar di skrin laptopku.
“Assalamualaikum Firman. Sorry ganggu.”
“Saya ada benda nak cakap dengan awak. Boleh kita jumpa esok?”
Aku menghempaskan keluhan. Apa lagi yang diinginkan gadis ini? Tak cukup lagikah air mata yang dah ku tumpahkan untuk dia selama ini? Tak cukup lagikah rasa pedih hatiku yang dia dah siat-siat ini?
Ini bukan kali pertama aku menerima mesej dari dia. Kali ini aku rasa tak mampu bertahan lagi. Cukuplah! Lepaskanlah aku, aku pun sudah rela melepaskan kau. Aku sudah redha dengan qada dan qadar-Nya.
Kudrat tenaga yang masih bersisa dalam diri ku cuba raih. Sepatah demi sepatah bait-bait mesej ditaip dan dihantar pada si dia. Rasa sebak di dada ku tahan. Kolam mataku sudah digenangi air, tinggal menunggu masa untuk tumpah membasahi pipi.
Kertas kerja di atas lantai ku kutip semula dan susun rapi di atas meja. Sekilas pandang, satu buku memo tertera nama RIANA mencuri perhatianku.
Aku membelek setiap muka surat satu-persatu, menelaah hasil coretan penulisanku. Buku memo itu aku simpan semula berasingan dengan buku dan fail yang lain.
Sudah tiba masanya semua ini harus ditamatkan. Simpulan ini mesti dileraikan. Tekad hatiku.
Aku menghenyakkan badan ke tilam empuk. Ah... selesanya. Dengan cuma berbekalkan cahaya dari skrin laptop, aku menggagau MP3 player di sisi katil dan menyumbat earphone ke dua belah telinga.
Butang shuffle ditekan. Lagu dipilih secara rawak dan dimainkan.
"Di dalam rindu ku menangis."
"Di dalam kalbu ku terasa."
"Teringatmu di kala derita."
"Yang memisahkan kita.."
Aku terpegun kaku buat seketika. MP3 playerku seperti dapat membaca isi hati tuannya. Lagu dendangan Siti Nurhaliza masih terus menyinggahi gegendang telinga.
"Kekasihku cukup engkau buat ku begini."
"Luka ini usah engkau berdarahkan kembali."
"Aku masih cinta padamu."
"Aku masih setia padamu..."
“Apahal pula MP3 player aku ni? Perli aku eh?” Butang next ditekan.
"Kalau tahu sakit begini,"
"Tidak aku bermain cinta."
"Kalau tahu seksa begini,"
"Tidak aku menyayangi mu."
"Pilu resah di hati ini,"
"Mengusung rindu."
"Ku tak berdaya..."
“AH! Sudahlah! Aku dengar lagu nak buang stres. Ni makin tambah stres. Naik fed up ku dibuatnya. Tadi lagu Siti, ni lagu Spin. Lepas ni lagu apa pulak?”
Aku bengang dengan lirik-lirik jiwang yang dimainkan. Rasa macam kena setepek atas batang hidung. MP3 player dicampak ke sudut katil dan aku pun tidur melayari bahtera mimpi.
*****
RIANA
Aku menjeling pada jam Vacheron Constantin yang terlilit kemas pada pergelangan tangan kiriku. 6.30 petang. Aku mendengus perlahan. Mesej yang diterima dari Firman dibaca semula.
“Boleh. Esok kita jumpa kat tempat biasa. 6 petang.”
“By the way saya pun ada benda nak cakap dengan awak.”
Perbualan berakhir di situ. Dah lambat setengah jam. Orang Malaysia ni tak sah kalau tak lambat. Apa boleh buat aku yang nak berjumpa dengan dia. Sabar jelah.
Aku ingin menelefon Firman menanyakan keberadaannya sekarang tapi di satu sudut hatiku menolak. Sudah tentu satu jawapan cliche yang akan didengari nanti. On the way.
Tiba-tiba, bahuku dicuit dari belakang.
“Aish! Buat orang terkejut je. Kenapa lambat sampai?” Aku menyatakan ketidakpuashatian.
“Hehe sorry. Traffic jam.” Firman tersengih macam kerang busuk.
“Hurm yelah tu.” Aku malas memanjangkan hal ini lagi.
“Tapi eh, awak masih ingat lagi tempat ni.” Aku meneruskan perbualan.
“Eh? Of course lah. Taman Bukit Batok ni banyak simpan memori kita berdua dulu.”
“Tu, bangku kayu kat tepi kolam tu. Di situlah kita selalu memadu asmara dulu. Saya main gitar, awak nyanyi. Sedap suara awak.” Firman tersenyum terkenangkan memori indah bersama kekasih pujaan hatinya.
“Kolam tu pula, tempat kita selalu bagi makan ikan koi tiap petang hujung minggu.”
“Tapi sekarang, ikan semua dah mati. Sebab ada mayat awak kat dalam kolam tu.” Senyuman Firman berubah menyeringai serupa watak Joker dalam filem Batman.
“Aaaa... aaaa... apa awak merepek ni Firman?” Percakapanku mula tergagap-gagap.
“Kan saya yang bunuh awak? Badan awak saya kerat 10, lepas tu saya buang dalam kolam tu. Takkan tak ingat lagi?” Firman sudah macam orang kesampukan. Entah gimbaran mana yang menyampuknya.
*******
5 tahun lepas...
“Baik kau cakap, SIAPA JANTAN YANG KAU JUMPA TU?!!” Firman dilanda amuk, wajahnya berubah merah menyala.
“Bawa mengucap Fir...”
Belum sempat Riana menghabiskan katanya, rambutnya direntap lagi dan pipinya ditampar-tampar. Tudungnya hilang entah ke mana, cecair merah pekat mengalir dari kedua belah hidungnya.
“Kau tak payah nak ajar aku! Kau tu yang patut mengucap. Dah berpunya masih lagi nak menggatal!” Syaitan menari kesukaan tatkala api kemarahan berjaya dimarakkan.
“Itu sepupu akulah, Firman...” Riana cuba menyanggah tuduhan yang dilemparkan.
“Oh... sepupu. Bukan main mesra lagi. Berbual, gelak tak ingat dunia. Siap tampar-tampar manja lagi. Macam tu sepupu?!” Cemburu buta betul-betul sudah membutakan mata dan hati Firman.
“YA! Memang tu bukan sepupu aku. Tu boyfriend baru aku. PUAS HATI KAU?! BODOH!”
Imej gadis muslimah bertudung sudah hilang dalam diri. Kata makian terhambur keluar dari mulut Riana, dia mengiyakan saja tuduhan Firman.
“Kau cakap aku bodoh? Ya, memang aku bodoh! Bodoh sebab termakan kata manis perempuan sundal macam KAU!”
“ARGHHHH!!” Lagak Firman sudah seperti binatang buas. Sepak terajang bertalu-talu tanpa ada rasa kasihan berbekas dalam diri.
Tatkala Riana sudah hampir nazak kehilangan daya, penumbuk dilayang menyinggahi perut si gadis bertubuh kecil itu. Terhumbanlah tubuhnya jauh ke belakang seperti patung boneka.
Melihat jasad Riana terbujur kaku, Firman mula menyedari kekhilafannya seakan baru tersedar dari tidur yang panjang. Setapak demi setapak kaki Firman melangkah mendekati tubuh kekasihnya.
Nadi diperiksa, tiada denyutan. Kegusaran melanda diri, bimbang dosa diketahui umum. Segalanya sudah terlambat. Air mata darah sekalipun tak mampu menghidupkan kekasihnya kembali.
Firman mundar mandir, kepala yang tidak gatal digaru. Sesekali dia menggigit kukunya bagi mengerah otak untuk terus bekerja keras mencari jalan.
Tubuh Riana yang sudah bergelar mayat harus dilupuskan dengan apa cara sekalipun. Mayat itu boleh menjadi alibi yang cukup kukuh untuk mendakwa dirinya.
Sudah pasti Sekyen 302 Kanun Keseksaan menjadi kata putus hakim di mahkamah nanti. Tali gantung berlegar-legar di kotak fikiran Firman.
“Jangan takut Firman. Pergi ambil pisau di dapur, kerat tubuh betina murahan ini 10 bahagian.” Iblis terlaknat terus menyampaikan seruan dari alam kejahatan saat Firman masih kebuntuan.
Tanpa berfikir panjang, Firman menyahut seruan itu. Bertempik soraklah para iblis dan yang seangkatan dengannya. Betapa tipisnya iman makhluk bergelar khalifah di muka bumi ini.
Arahan dituruti tanpa ada rasa ingkar. Pisau pemotong daging dan batu asahan dicapai dari rak perkakasan dapur. Pisau diasah setajam-tajamnya, biar lancar proses pemotongan daging nanti.
“Nasib baik aku bunuh betina sial tu kat rumah. Kalau tak, naya aku.” Sambil mengasah Firman bercakap sendirian.
Pisau sudah habis diasah. Firman tersenyum puas. Gayanya kalau dilihat saling tak tumpah macam pembunuh bersiri psikopatik. Tubuh gadis yang baru dibunuhnya tadi dihampiri, pisau tergenggam erat di tangan.
Firman melutut lalu mengusap lembut rambut Riana, dia berkata,
“Sayang jangan risau ya. Kita potong sikit je. Tak sakit pun.”
Tangan kanan Firman dijulang tinggi. Dengan sekali hentak, tercerailah kepala kekasihnya itu dari badan.
Suasana sepi dalam rumah agam sebentar tadi dipecahkan dengan bunyi hentakan pisau membelah daging diikuti dengan bunyi percikan darah.
Firman sudah gila, bola matanya hanya terpancar aura kebencian. Kaki, paha, tangan, lengan, badan, kepala. Selesai! Semuanya 10 bahagian.
“Dari hidup sampai ke mati tak habis-habis menyusahkan aku.” Sindir Firman sambil mencekak pinggang. Peluh yang mengecur di dahi ditepis dengan tangan yang sudah berlumuran darah.
Dengan tergesa-gesa, Firman memuatkan satu-persatu potongan daging ke dalam plastik hitam besar. Firman harus cepat. Tersilap langkah buruk padahnya.
Silap hari ketahuan pihak berkuasa, sudah pasti negara akan digemparkan sekali lagi dengan kes yang menyerupai kes Mona Fandey suatu ketika dahulu.
Plastik hitam berisi potongan tubuh Riana sudah dimasukkan ke dalam bonet. Otak Firman berputar ligat memikirkan tempat yang sesuai untuk membuang ‘sampah’ itu.
Sekali lagi, bisikan jahat memberi ilham kepada manusia yang sudah bobrok imannya. Pedal minyak ditekan, Firman sudah tahu lokasi tujuannya.
*****
Firman sudah berdiri tercegat atas jambatan kayu Taman Bukit Batok. Mujur tiada orang memandangkan jam sudah menginjak ke angka 10. Di tangan kirinya tergenggam erat sebungkus plastik hitam yang isinya hanya diketahui dia seorang.
“Selamat tinggal sayangku. Berehatlah dengan tenang di sana. Jangan lupa kirim salam sama iblis peneman kau dalam neraka nanti. Adios! HAHAHAHA!”
Plastik hitam itu pun dicampak tinggi ke udara sebelum mencebur masuk ke dalam air, tenggelam ke dasar kolam ikan koi. Hilang tanpa sebarang kesan. Perancangan Firman berjalan sempurna.
Syaitan bertepuk tangan, meraikan kemenangan kerana berjaya memesongkan seorang lagi manusia malam itu, menambah seorang lagi bakal penghuni neraka Jahannam.
*****
FIRMAN
“Macam mana? Dah ingat?” Aku menanyakan soalan kepada gadis di depanku seusai menceritakan segalanya dari A sampailah ke Z.
“Aaaa... aaaa... aku tak percaya. Kalau aku dah mati, macam mana kau boleh nampak aku?” Riana tergagap-gagap, kata-kata sukar terungkap keluar dari bibir mungilnya.
“AHA! Soalan yang cukup bijak di situ.” Aku menepuk tangan, kagum.
“Ya, memang aku seorang saja boleh nampak kau. Sebab kau cuma wujud dalam mindaku. Realitinya kau memang dah mati. Perjumpaan kita ini pun atas kehendak fikiranku sendiri.” Corak perbualan sudah berubah. Panggilan ‘saya-awak’ sudah digantikan dengan ‘aku-kau’.
“Aku tak faham, Firman.” Riana semakin bingung kekeliruan.
“Betullah orang cakap, rindu itu menyakitkan. Datang tak diundang, pergi tak berpulang.”
“Rasa rindu aku yang menghadirkan kau semula ke dunia ini. Kau wujud tapi tidak berjasad. Selagi rasa rindu ini masih bersarang dalam hati aku, selagi tu kau akan terus hidup. Rasa rindu ini ibarat nadi untuk kau terus bernyawa.” Panjang lebar aku bermadah bicara.
“Tapi kenapa kau bunuh aku?” Riana terus-menerus mengasakku dengan pertanyaan.
“Sebab aku sayang kau. Itu saja. Memang cemburu butaku dah buat aku kehilangan kau. Semua tu sebab aku sayang kau. Aku cuma nak kau tahu yang aku tetap sayang kau sampai bila-bila.” Aku tersenyum kelat.
“Tapi sekarang aku rasa rinduku padamu sudah tiada lagi. Cukuplah jerih payah yang aku dah tanggung selama ini.”
“Selamat tinggal nur nilam sariku. Riana Trisha.” Aku mengucap selamat tinggal seraya berpaling tanpa ada rasa sesal dalam diri.
*****
“Firman, berhenti! Jangan cuba buat benda bukan-bukan. Tarik nafas. Bawa bertenang.” Kedengaran jeritan bersahut-sahutan.
Pandangan kaburku beransur-ansur jelas seolah ada kabus berarak perlahan ditiup angin di hadapan mataku. Dua lelaki memakai gaun tunik putih muncul.
Tulisan Hospital Bahagia tercatit di dada kanan. Mereka teragak-agak mendekatiku, cuba terus berkomunikasi dengan kaedah pujukan.
Aku terasa seperti kepayahan bergerak, rupanya baju pasung bersarung pada badanku. Saat ku toleh belakang, bayangan Riana sudah hilang. Hanya kolam dipenuhi lumut hijau yang kelihatan.
Ah, mungkin mereka fikir aku nak bunuh diri. Getus hatiku. Tanpa banyak tanya, aku terus melutut serupa banduan yang menyerah diri dengan polis.
Kedua bahuku direntap dengan kasar ke belakang. Sesekali nama panggilan orang gila menyusahkan dilontarkan kepadaku.
Kepalaku ditonyoh-tonyoh tapi aku tetap tidak melawan. Orang gila memang selalu dianggap tidak bermaruah. Aku tersenyum sinis.
*****
“Kenapa dengan pesakit?” Dr. Azhar, seorang doktor pakar neurologi dan sakit jiwa menanyakan perihal Firman yang kini dikurung dalam bilik pengasingan.
“Pesakit bertindak di luar kawalan, doktor. Dia dilaporkan hilang pagi tadi. Kami berjaya jumpa dia berhampiran tasik Taman Bukit Batok atas bantuan laporan dari orang ramai.” Salah seorang petugas hospital yang menjumpai Firman memberi laporan.
“Taman Bukit Batok? Tempat tu lebih kurang 15 km dari sini. Jauh tu.” Dr. Azhar seakan terkejut.
“Dia melarikan diri dari ambulans yang menghantarnya ke sini, doktor.”
“Oh... patutlah. Boleh saya minta fail rekod kesihatan pesakit?” Sesekali mata Dr. Azhar melirik ke arah Firman yang tengah bernyanyi. Suaranya mendayu-dayu merayu sukma.
Fail bertukar tangan, Dr. Azhar meneliti rekod kesihatan Firman. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu.
“Saya tak pernah jumpa kes sebegini. Pesakit dikatakan mengalami penyakit ‘Othello Syndrome’, sejenis penyakit cemburu buta dan ‘Charles Bonnet Syndrome’, keadaan di mana pesakit mengalami gangguan visual dan delusi yang berpanjangan. Kedua-dua penyakit ini masih belum ada penyembuhnya. Saya nak pesakit ni diberikan penjagaan yang rapi. Jadual pemakanan ubat mesti dipatuhi. Ada apa-apa lagi?” Dr. Azhar menjelaskan penyakit yang dialami Firman secara terperinci.
“Ada, doktor. Ini buku memo yang kami jumpa bersama dengan pesakit.”
Satu buku memo biru tertera nama Riana ditatap lama oleh Dr. Azhar. Buku itu dibelek, penuh dengan tulisan Riana, Riana Trisha, nur nilam sariku, kumala jantungku.
Muka surat lain penuh dengan lukisan orang lidi lelaki dan perempuan saling berpegangan tangan dengan simbol hati di tengah-tengah.
Serupa lukisan budak tadika. Mungkin cuma imaginasi liar orang yang tidak siuman, Dr. Azhar membuat kesimpulan. Andaian semata-mata.
“Siapa Riana ni? Awak tahu ke?” Dr. Azhar mengajukan soalan kepada petugas hospital yang masih berdiri di depannya.
“Entahlah, doktor. Saya pun tak pasti. Tiada dalam rekod mana-mana waris pesakit bernama Riana.” Petugas hospital itu mengangkat bahunya.
Dr. Azhar terus membelek buku memo hasil coretan penulisan Firman. Sampai muka surat terakhir, tiada lagi tulisan dan lukisan pelik kelihatan. Hanya ada serangkap pantun yang berbunyi...
Cik Esah di pintu maling,
Buah padi ke Paya Ledang;
Cabut galah perahu berpaling,
Buah hati hanya seorang.
“Orang gila pun pandai bersastera.” Sindir Dr. Azhar. Mereka berdua pun tertawa keras.
---------- TAMAT ----------
===================================
Gambar: Dikmang
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment