STADIUM ANGKER
Nukilan : Dee Edot
==============================================
Bagi seorang peminat sepak bola, 90 minit masa permainan adalah titik tolak sebuah perjuangan. Sebagai pemain ke dua belas, satu-satunya cara untuk meraikan pasukan adalah dengan cara hadir ke stadium dan beri sokongan.
Menang itu dambaan. Andai kalah biar bermaruah. Kalau kau bayar tiket, datang pula jauh dari ceruk-ceruk daerah tetapi dihidangkan dengan tahap permainan budak sekolah serta taktikal caca marba, maka bantal dan tilam empuk di rumah lebih indah untuk digauli.
Aku bukan nak bercerita khusus pasal bola, tapi aku nak kongsikan beberapa kisah angker yang pernah aku lalui di stadium.
Kau tahukan mana letaknya stadium yang berkapasiti 80,000 jumlah penonton? Yang mana letak duduknya hampir dengan kawasan yang terkenal sebagai zon perindustrian.
Gelanggang yang pernah digunakan selama bertahun-tahun oleh sebuah pasukan raksasa.Tetapi kini, mereka terpaksa bermain lumpur di gelanggang baru di kota raya yang sudah dinaik taraf. Arghh, adatlah sebagai penyewa. Ironinya, kerana ego dua induk bangang, maka penyokong marhaen lah yang menjadi mangsa.
Berbalik kepada pangkal cerita. Di bawah, aku kongsikan beberapa kisah yang aku alami sendiri.
KISAH 1 - SI CANTIK MANIS
=======================
Sebermula dari detik aku menjejakkan kaki ke stadium keramat ini, pintu 10 adalah singgahsana yang paling empuk untuk aku dan sahabat-sahabatku berkampung. Paluan gendang dan nyanyian manusia di lekuk hijau tidak pernah mampu merogol cupingku dari terus fokus menyaksikan pejuang-pejuang raksasa di atas padang.
Pada hari itu...
Sedang rancak permainan berlangsung di minit ke-27, tiba-tiba sesuatu yang paling aku elakkan selama ini, terjadi. Puas aku menahan, berkerut-kerut dahiku hingga tercantum kening. Arghhh! Kacau betul. Aku bangkit dari duduk.
"Bro, mana lu nak pergi?" Tanya Mat.
"Aku nak menabur bakti kejap." Jawab aku.
"Woi apahal?"
Arghhh. Zul pula yang bertanya. Dahlah aku tak tahan ni.
"Usus aku berbelit syaiton. Nak membuang!"
"Patutlah bau lantun!" Saiful. Yang lain ikut gelak. Celaka.
"Woi Mat, teman aku!" Pinta aku sambil menahan. Dahi kembali berkerut, muka sudah merah udang.
"Taknak. Game tengah sedap ni!"
Yang lain buat-buat tak tahu. Oh, inilah dia semangat brotherhood ya? Jahanam.
Terus aku tinggalkan 4 sahabat malaun di sisiku seraya melulu ke tandas. Jujur, selama bertahun aku menghadirkan diri ke stadium ini, tidak pernah sekalipun aku sakit perut nak membuang. Ini pertama kali!
Kalau sebelum ni, aku sanggup menahan kencing sehingga tamat permainan. Kalau tak tahan, paling tidak pun, aku rela cari port untuk melampiaskan air pundiku di dalam botol. Kau terperanjat? Hei, percayalah. Bukan aku seorang sahaja yang buat tapi ramai der.
Kau tanya sebab apa aku tak ke tandas? Jawapannya. Sebab aku takutlah! Aku tahu, kejantananku tercalar teruk dengan pengakuan aku ini. Tapi, aku tak kisah. Takut aku bersebab. Bukan aku saja suka-suka.
Kalau kau nak tahu, tandas dekat stadium ni rupa keadaannya elok sedikit je dari rumah hantu dekat fun fair. Sudahlah banyak jambannya yang rosak. Berkerak pula tu. Air pula terbiar menjejeh sampai ke lantai. Banjir.
Warna dinding yang suram. Paip berkarat teruk. Lantai marmar berkeladak dah macam belang rimau. Suasana pula gelap dan sunyi. Pokoknya, tandas di stadium ini tidak diselenggara dengan baik. Aneh sungguh aku! Hilang standard.
Setibanya di tandas..
Satu demi satu pintu yang aku tolak. Ada yang tidak berselak kunci, ada yang mata kuncinya patah. Tanpa aku sedar, aku sudah menuju ke bilik tandas yang paling hujung.
Yes. Ada selak pintu yang elok berfungsi. Tetapi, lampunya sedikit malap. Arghh, bedallah. Aku dah tak tahan sangat dah ni. Tinggal nak berterabur je lagi. Semua ni mesti sebab penangan udang petai kedai Senah Janda tu. Damn! Aku boikot kedai kau. Jaga!
Aku meluru masuk dan menutup daun pintu. Jamban duduk? Arghh, bolehlah dari tak ada. Cepat-cepat aku tanggalkan seluar jeans bertali pinggangkan kepala tengkorak. Aku duduk dan fokus dengan misiku.
Sedang aku leka, tiba-tiba....
"Sebelum...kita berjaya. Jangan haaraappp kami pulangggg... inilah sumpahh....pendekar kita....hihihihihik"
Terdengar lagu keramat dari zaman stadium merdeka dinyanyikan. Mendayu-dayu suaranya kalah Tok Ti. Aku diam. Cuping telinga, aku kembangkan.
"Haaaa ..aaaaaa...aaaa..."
Sekali lagi. Lagu itu dinyanyikan tanpa lirik. Hanya nadanya sahaja dilenggokkan. Ehh, suara perempuan? Hanat. Aku dah silap masuk tandas ke? Arghhh, sudah! Aku diam tidak berkutik. Cepat-cepat aku mahu sudahkan pembuangan.
Tukk!
Tukk..Tukkk!!
Terangkat bahuku. Daun pintu diketuk 3 kali. Aku pegun. Dah kenapa ketuk-ketuk pula ni?
"Abang.... ohh abang!"
Gulpp. Aku diam.
"Abang lama lagi ke?"
Allah. Dia tahu ke aku ada kat dalam ni? Dia nampak aku masuk tadi kot. Aku membisu. Takkan aku nak jawab. Biar dia blah dulu, baru aku keluar.
"Abang....kenapa tak jawab saya?"
Memang taklah aku nak jawab oi. Sekarang ni kan zaman viral. Buatnya aku keluar, dia ambil video aku dan naikkan hantaran di facebook, tak ke naya. Maka, aku diamkan diri seketika hingga aku benar-benar yakin dia sudah keluar.
5 minit berlalu.
Sunyi. Itu yang aku rasakan. Mungkin perempuan itu sudah pergi. Lalu, aku cuci ehem-ehem seraya flush sisa buanganku. Tanpa berlengah, aku sarungkan seluar dan pantas menarik selak kunci untuk keluar.
Baru sahaja aku menapak beberapa langkah...
"Abang.. oh abang."
Aku tersentak. Langkahku terhenti. Suara perempuan tadi menyapa aku dari arah belakang. Aku berkira-kira untuk menoleh. Tetapi aku rasa aku memang patut buat. Niatku ingin memohon maaf kerana kesilapanku masuk ke tandas wanita. Paling koman, boleh minta no telefon. Abang kan peramah. Ehem.
Perlahan, aku memusingkan badan.
Ehhh. Tak ada pun. Menyorok ke?
"Abang....abang cari Manis ke?"
Sekali lagi aku terkujat. Suara perempuan itu menyapaku. Kali ini berserta dengan panggilan namanya sendiri. Hahaha, Manis? So sweet. Klasiknya. Aku senyum.
"Hihihihihi......hihihihihihi...."
"Hihihihihi..hihihihihihi...."
Allah. Senyumanku yang meleret tadi mati serta merta! Merinding terus bulu tengkuk. Tawa perempuan itu begitu nyaring hinggap di cuping. Seram. Aku menoleh ke kiri, kanan dan ke arah belakang. Namun kelibat si Manis tiada!
"Abang.... pandanglah Manis. Manis kat sini. Hihihihi..."
Aku sudah mula panik. Peluh jantan mula merenek di dahi luasku. Ini dah bukan main-main ni. Ni Manis lain ni. Lantas, aku membuka kuda-kuda untuk berlari. Tetapi.... Kakiku kaku! Bagaikan terpasak di lantai. Lagsung tidak boleh bergerak.
"Hihihihihi.. Abang nak pergi mana? Temanlah Manis kat sini. Manis sunyi. Hihihihihi..."
Kali ini, bukan sahaja peluh aku yang merenek membasah tubuh, malah pundi kencingku juga membuka laluan besar untuk air kumbahanku mengalir deras. Basah lencun seluarku hingga air kekuningan itu menitis ke lantai.
Dalam keadaan aku yang tidak tentu arah, aku cuba mengangkat kakiku yang terpasak kemas di lantai. Berkali - kali aku cuba. Sumpah, tak boleh! Tubuhku spontan menggigil. Tubir mataku mulai memberat. Tiba-tiba, aku merasakan ada sesuatu yang bergerak-gerak dan menjalar ke dahiku.
Semakin lama, semakin banyak juntaian itu menjalar hingga hampir menutup wajahku. Aku membuka mata seluas-luasnya. Mencapai juntaian yang mencuit-cuit kulit wajah. Aku melopong. Terkesima. Allah. Rambut?
Aku yakin bahawa Manis kini berada betul-betul di atasku! Pantas, aku menepis-nepis rambut itu bagai nak gila. Sambil aku meronta-ronta melepaskan diri. Airmata, tak payah cakap. Laju merembes hingga aku lupa, aku adalah jejaka kacak yang jarang sekali menangis! Kejam kau Manis!
"Ya Allah, tolong aku!!!"
Aku menjerit sambil meraung. Sumpah, bibir aku bagaikan terkelu untuk melafazkan apa jua surah lazim. Waima, hendak melaungkan azan juga aku lupa bacaannya. Aku hanya mampu ingat Allah dan menyebut kalimah itu.
"Hihihihi.... hihihihihihi...."
"Pergi!! Pergi kau syaitan!" Aku menjerit sambil menutup rapat kelopak mataku.
"Hihihihihihi... Abang nak tengok wajah Manis?"
Allah. Bala! Tidak semena-mena, rongga hidungku dijamu pula dengan bauan yang sungguh busuk seperti bangkai. Mungkin lebih teruk dari bangkai anjing yang pernah aku hidu. Aku menahan muntah!
"Ya Allah. Tolong aku ya Allah! Pengsankanlah aku ya Allah!!"
"Hihihihi... Abang, bukalah mata! Manis depan abang ni."
Saat ini, aku hanya mahukan agar aku jatuh pengsan, atau koma. Biarlah dunia mentertawakan aku. Aku tak kisah jika kejantanan aku tercalar. Aku tak sanggup. Sumpah aku tak sanggup untuk bertentang mata dengan Manis.
Dan....
Goalllll!!!!!!!!
Terdengar jeritan dan laungan dari suara penyokong yang bersorak keriangan dari atas. Kala itu, aku juga sedang menjerit. Tetapi nadaku berbeza;
"Tolonggg!!!"
Aku menangis teresak-esak. Mengharapkan jika aku dicabut nyawa pada malam tu biarlah aku mati dalam iman, bukan di tangan si Manis penghuni tandas.
"Tolong!!! Ya Allah tolong aku!!"
"Allah..Allah...Allah.."
Bibirku tidak henti melafazkan nama Penciptaku.
Papp!!
Pappp!!
Bahuku ditampar dua kali.
"Pergi kau syaitan! Iblis laknatullah! Pergiii!!"
Diam.
Papp!!
Sekali lagi aku ditampar. Kelopak mataku masih kekal terpejam.
"Bro. Apahal ni?"
Aku ditegur. Suara lelaki? Dalam hati, rasa takutku masih menggunung. Maka, aku tetap tidak mahu membuka kelopak mata. Entah-entah Manis menyerupai suara lelaki.
"Bro. Kenapa ni? Bukalah mata. Aku bukan hantu."
"Aku tak percaya! Kau hantu. Nama kau Manis."
"Hahahha. Adoii. Memang sah kau dah terkena ni. Kau dah jumpa dia ke?"
"Arghh. Kau Manis kan. Iblis! Syaitan!"
"Hahahh. Sudah-sudahlah tu. Aku bukan hantulah. Baik kau buka mata. Ikut aku naik atas."
"Aku taknak. Kau penipu!"
"Betul kau tak nak? Jangan memyesal bro. Aku nak naik ni. Aku tinggal kau sorang-sorang. Kau sambunglah dating dengan Manis."
Damn! Aku rasa ini bukan lagi cobaan. Berdesup datang keyakinan dalam hati aku bahawa bro di hadapan aku ni adalah manusia bukan Manis. Maka, aku buka kelopak mata cepat.
"Alhamdulillah. Terima kasih Allah."
Lantas, tubuh lelaki berpakaian seragam polis itu aku peluk erat. Tak mahu lepas. Airmata yang masih bersisa tadi, ditambah dengan rembesan air jernih yang baru.Hilang macho!
"Oitt. Dahlah tu. Aku pula yang meremang ni. Aku straight bro."
Erkk. Okay, aku sedar. Aku dah berlebih sangat. Pelukan pada tubuh pak polisi itu aku leraikan.
"Terima kasih Encik."
Dia mengangguk.
"Jom naik ke atas. Auranya masih kuat. Aku yakin dia ada lagi."
Tanpa berlengah, cepat-cepat aku melangkah mendahului pak polisi yang aku anggap sebagai penyelamat aku. Malam itu, tanpa banyak berfikir aku terus meninggalkan perkarangan stadium. Aku pulang ke rumah tanpa menghabiskan tontonan permainan bola sepak pasukan yang aku cinta.
Ini semua angkara si Manis Angker!
*******
KISAH 2 : BURGER BATU
========================
Kau ingat, sebab 'Manis' aku pencen dari tengok bola ke? Ehh, takkanlah. Aku ni pecinta bola. Demi raksasa merah, aku sanggup ketepikan rasa takut aku. Tapi, sejak kes aku bersama Manis dulu, aku terus jaga makan. Kalau boleh, hari ada perlawanan memang aku takkan makan sembarangan. Tandas di stadium, memang aku pangkah terus sampai 7 keturunan!
Burger batu? Lazimnya, bila sebut je pasal burger yang dijual di stadium, pasti peminat bola sepak sudah tahu kondisinya bagaimana. Rotinya kejung tak dibakar. Sos cili secoet. Sayur? Haram kau nak nampak. Sehiris timun pun kau takkan jumpa bro. Dagingnya pula, aku tak tahu brand apa yang dia pakai. Harga? Cekik darah! Aku syak, taukeh burger ni memang pergi umrah balik hari.
Malam itu....
Seperti biasa, aku bersama rakan seperjuangan masih berkampung di pintu keramat. Sebenarnya, hari tersebut mood aku kurang baik. Semuanya ada kaitan dengan kerja. Jadinya, malam itu aku hadir dalam mood yang sedikit ke laut.
Sedang rancak aku fokus melayan permainan, tiba-tiba aku disapa oleh seorang lelaki. Atau lebih tepat lagi, seorang remaja lelaki. Dengan wajah mukanya lencun berpeluh dan berminyak, dia tersenyum.
"Bang, burger bang."
Aku menggeleng. Tanda aku tidak mahu.
"Bang, beli burger saya bang."
Sekali lagi aku menggeleng.
"Bang. Belilah bang. Saya jual murah je. Satu 3 ringgit bang. Belilah bang."
Okay. Enough! Aku dah panas hati.
"Woi. Kau ni tak faham bahasa ke? Aku taknak! Faham tak, t.a.k. n.a.k!!"
Budak lelaki tadi menunduk. Tetapi dia tetap tercegat di situ tidak berganjak. Aku buat tidak tahu. Malas melayan. Aku fokus kembali pada permainan di atas padang.
"Bang, belilah burger saya bang." Dia merayu.
Arghhh, ni memang sajalah nak bagi aku mengamukkan? Aku pandang wajahnya. Mata aku jegilkan. Aku bangkit.
"Kau ni apahal? Main paksa-paksa aku ni? Baik kau blah sebelum meletup muka kau!"
"Wei bro, lu apahal?" tanya Saiful.
"Lagi lu mau tanya? Aku tengah panas ni." Jawab aku.
"Dahlah tu bro. Jangan ikutkan perasaan. Lu ni emosilah." Kata Mat pulak.
Dan.
Goalll!!!!!
Aku dan yang lain, terus melompat dan bersorak! Segala amarah aku pada budak burger tadi hilang secara total! Budak tu pun dah hilang dari pandangan.
****
Usai tamat perlawanan malam itu, seperti biasa kami melepak di restoran mamak sebelum balik. Pelbagai isu kami ketengahkan mengenai perlawanan termasuk perihal jurulatih dan taktikal yang digunakan. Tiba-tiba, Syah menukar topik perbualan.
"Bro, kau jarang marahkan. Tapi tadi aku tengok kau lain macam. Kau okay ke? Teruk sangat ke problem kerja kau?"
"Mau tak. Aku dahlah panas pasal kerja. Lepas tu budak burger tu pulak cari pasal. Macam haram perangai, main paksa-paksa aku beli. Kau pun tahu, kuaci pun aku tak makan kat stadium. Sampah! Inikan pula burger batu. Memang aku pangkahlah!"
Diam. Ya, masing-masing diam. Aku perasan, Mat pandang aku. Syah dan Ijal pula bagaikan terkesima sampai melopong mulut mereka berdua. Saiful pula sedut teh ais dia tak henti sambil tenung wajah aku yang kacak ni. Arghh, lantaklah korang nak kata aku kejam ke apa.
Aku tiba di rumah tepat jam 12.30 tengah malam. Usai mandi, aku melabuhkan tubuh di atas tilam empuk untuk beristirahat. Aku kena paksa mata aku untuk tidur. Esok ada 2 majlis kenduri kahwin yang perlu aku hadiri.
Baru sahaja aku mahu melelapkan mata, tiba-tiba aku terdengar pintu bilikku diketuk.
Tukk! Tukk! Tukk!
3 Kali ketukan di daun pintu.
"Sekejap!"
Aku bangkit dari pembaringan. Aku melangkah perlahan mendekati daun pintu. Tapi, langkahku terhenti tiba-tiba. Baru aku teringat. Aku sendirian di rumah! Zul dan Farid, rakan serumahku tiada. Mereka berdua sudah pulang ke Pahang malam semalam lagi. Jadi, siapa yang ketuk?
Tuk!! Tukkk! Tukk!!
Pintu bilikku diketuk lagi. Aku diam. Langkahku ke belakang menghampiri katil.
"Bang, bukalah bang."
Aku diam. Suara tu macam....
"Bang, belilah burger saya bang. Saya jual murah je. Satu tiga ringgit je bang. Belilah bang."
Tukk! Tukk! Tukk!
Damn! Ini suara budak jual burger tadi.
Lantas aku capai telefon bimbitku. Aplikasi Al-Quran MP3 aku buka. Aku memilih surah Al-Baqarah untuk dimainkan. Volume aku kuatkan hingga ke tahap maksima. Aku beristighfar, cuba menenangkan hati. Aku membaca ayatul kursi berulang kali hinggalah aku terlelap.
Sejak dari kes Manis, aku sudah lebih bersedia kepada sebarang kemungkinan. Maka aku lebih berjaga-jaga.
Keesokan hari.
Perihal aku diganggu oleh budak burger itu, aku kongsikan bersama Syah, Mat, Ijal dan Saiful. Emoji melopong yang aku terima dari mereka dalam group wassup.
"Bro, dari semalam lagi aku nganga bro. Sumpah, aku tak nampak langsung budak jual burger tu" - Syah.
"Aku tengok kau marah sorang-sorang je bro! Aku ingat kau kemurungan pasal kerja." - Saiful.
"Shit! Budak tu hantu ke oiii? Seram aku!" - Mat.
"Guys, aku rasa korang patut tengok ni." - Ijal.
Satu sisipan dihantar oleh Ijal. Aku download sisipan tersebut. Keratan konversasi dari group lain yang telah di screen shot oleh Ijal.
"Kau dah kenapa Ijal. Orang cerita pasal angker budak burger tu, kau nak suruh kami baca kau dengan geng kau punya menjemah pulak." kata aku.
"Baca dulu bro, nanti kau faham."
'Wei, budak ni kena langgar lori doh. Meninggal. Aku selalu nampak budak ni. Dia biasa jual burger kat stadium. Budak ni baik, sopan je doh. Selalu bagi diskaun kalau jual burger.'
Tingg!
Ijal hantar satu gambar. Aku buka. Sah! Memang sah. Inilah budak yang nak jual burger pada aku semalam. Aku terkesima.
KISAH 3 - BLIND DATE
======================
"Mira, awak kat mana?"
"Saya kat pintu 5."
"Ohh, saya kat pintu 10 dengan kawan-kawan saya. Datanglah sini lepak sekali."
"Ermm, takpelah wak. Saya segan dengan kawan-kawan awak. Lepas game nanti, kita jumpa ya."
"Okaylah kalau macam tu."
*****
Usai 90 minit berlalu.
Hati aku bukan main dup dap dup dap sejak dari awal permainan. Bukan sebab pasukan tercinta aku bertarung, tapi lebih kepada keterujaan aku untuk bertemu Mira. Yelah, selama ini hanya bermain wassup sahaja. Suara dia pun aku tak pernah dengar. Malu katanya nak bercakap dalam telefon.
Perkenalan kami melalui laman FB sebulan yang lalu membawa kepada persetujuan kami untuk bertemu. Maka, sebulat suara kami memilih malam ini untuk bersua muka. Aku harap, blind date ini berjaya. Dah lama aku idam nak makan nasi minyak majlis kahwin sendiri. Ecehh..
Mahu tidak aku teruja. Ini kali pertama aku akan melihatnya. Kalau ikutkan dari wajahnya yang dikongsi dalam album akaun FB, dia aku katagorikan sebagai kembar Mira Filzah. Cuma dia tidak berhijab. Arghh, itu semua tak ada hal. Boleh dibentuk, insyaallah.
"Awak kat mana?" Tanya Mira.
"Saya tunggu awaklah ni. Saya betul-betul depan tiang pintu keluar ni."
"Okay. Kejap ya, saya baru keluar tandas."
5 minit berlalu.
10 minit berlalu.
20 minit berlalu.
Arghhh! Aku ni dah kena game lah kan? Sugul.
"Sampai hati awak mira. Kalau awak tak sudi nak kawan dengan saya, awak cakap terus terang. Jangan buat saya macam ni."
Tingg!!
Bunyi nada notifikasi wassup.
"Saya tak kejam awak. Dah 20 minit saya berdiri belakang awak tau. Awak langsung tak toleh saya. Awak lagi kejam."
Ehhh! Aku pula dikejamkan dia? Belakang aku? Aku cepat-cepat toleh belakang. Zupp! Zappp!! Zuppp! Zapp! Aku toleh ke kiri kanan berulang kali. Takda pun!
"Argghh. Sudahlah awak! Kalau macam ni awak punya perangai, tak payah kawan dengan saya pun takpe! Kaki kencing punya perempuan!"
Tiada balasan. Aku tunggu. Tetap tiada balasan walaupun mesej aku sudah bertanda biru. Maknanya, mesej aku sudah dibacanya. Kejam kau Mira! Kuat kencing!
Malas untuk aku menunggu lagi. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk beredar. Memandangkan perkarangan stadium sudah mulai sunyi. Karang tak pasal-pasal bertemu kekasih lama si Manis tu pulak. Aduh, minta simpang oii!
Selang beberapa langkah aku menapak, tiba-tiba....
"Awakk...."
Gulpp!!
Langkahku terhenti.
"Awak... saya Mira awak."
Aku salah dengar ke? Aku gosok telingaku berulang kali. Lantas, aku membuang pandang ke sebelah kiriku. Kelihatan seseorang bertubuh langsing, berambut panjang, memakai baju jersey pasukan yang aku cintai. Dia melambaiku sambil tersenyum.
Aku diam. Ya, aku diam dan membisu seribu bahasa.
"Awak...awak marahkan saya ke?" Dia mendekat menghampiriku. Melembutkan suaranya supaya kedengaran manja.
Wajahnya aku pandang. Lama. Langsung aku tidak menjawab pertanyaannya. Aku terkesima. Ya, dia memang cantik. Wajahnya cerah bak bulan purnama. Hampir sahaja air liurku meleleh di celah bibir.
"Awak, kenapa awak diam? Awak tak suka jumpa saya ke?" Arghhh. Dia manjakan lagi suaranya. Kali ini dia tambah dengan lentoknya.
Aku? Arghh, malas mahu menjawab balas. Tanpa berlengah, aku membuka kuda-kuda dan lari! Ya, aku lari meninggalkan Mira aka Mira Filzah tanpa ucapan selamat tinggal. Biar! Lantak kau situ! Kaki kencing!
Dari kejauhan, aku terdengar Mira menjerit-jerit sambil memaki hamun aku!
"Jantan kurang ajar!"
"Jantan tak guna!"
Bla bla bla.....
Aku masuk ke dalam ke perut kereta. Aku mengeluh kepenatan. Mengah juga aku berlari tadi. Sekejapan, telefon bimbit yang tersimpan di kocek seluar aku keluarkan.
Nah, bertubi-tubi mesej dari Mira aku terima. Wahh, hilang terus sopan santun kau ya? Aku senyum sambil menggeleng-gelengkan kepala membaca kata-kata makian darinya.
Aku menaip satu mesej indah khas buat Mira. Ya, mesej terakhir dariku aku kira.
"Mira, saya minta maaf. Saya tak layak untuk awak. Awak terlalu cantik untuk saya Mira. Cuma satu je saya nak pesan, ikhlas dari lubuk hati saya yang paling dalam. Tak guna kalau muka cantik tapi halkum kau tersembul syaitonnn! Suara kau dah macam jamal abdillah bro! Nasib aku tak pekak! Rasa macam nak buasir aku dengar suara kau. Kahhh!"
Adios Amigos.
Arghh. Aku rasa cukuplah 3 kisah ini. Lain kali, akan aku perihalkan lagi kisah angker stadium yang pernah aku dan sahabat-sahabat aku alami. Aku orangnya macam mana? Kalau kau rasa Zul Arifin dan Remy Ishak itu handsome, aku jauh lebih kacak lagi. Ehemm, tolong jangan muntah hijau ya. Hahaha...
Tamat.
=================================================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment