Saturday, 17 March 2018

KARAK- Wan SC


KARAK
oleh Wan SC

=========================

MERAH
Aku ada kenduri nak kena attend esoknya dekat Karak. Kawan baik nak nikah, takkan aku tak datang kan. Makan sepinggan tidur sebantal masa zaman belajar dekat universiti dulu.

Disebabkan aku datang dari jauh, Penang, aku datang sehari awal ke sini. Aku check-in ke sebuah hotel murah dekat dalam pekan Karak tu.

Bukannya aku tak mampu nak cari hotel yang selesa sikit tapi hari pun dah jauh malam. Aku penat gila. Esok nak bangun awal pula. Hotel itu je yang ada depan mata. Maka, aku menapak masuk ke lobi lalu aku bagitahu dekat pekerja wanita cina dalam lingkungan 50-an dekat kaunter depan tu, aku nak satu bilik.

Mujurlah ada bilik kosong. Itupun, bilik terakhir. Yang lain semua dah berpenghuni - katanya. Dia bagitahu aku nombor bilik dan serahkan kuncinya kepada aku. No.14. Kunci bilik dia sangat old school. Jenis pintu yang berlubang besar, boleh intai ke dalam tu.

“Tapi, lu jangan cuba-cuba intai itu bilik nombor 13 lor.”

Dahi aku berkerut. Tak faham kenapa dia pesan kat aku macam tu. Muka aku ni ada nampak macam kaki intai orang ke? Aku sengih je sambil ambil kunci tu dari tangan dia.

Selesai sahaja mandi, aku labuhkan kepala ke bantal. TV aku biarkan terpasang. Ah, ada channel TV3 je pun yang elok. Yang lain-lain aku dapat dengar suara je. Gambar, jahanam!

Ketika mata aku dah mula nak lelap, telinga aku tiba-tiba tertangkap satu bunyi datang dari bilik depan. Bunyi perempuan tengah mengerang nikmat. Ah, ah, ah! Macam tu. Adoi, aku dah lah nak kena bangun pagi esok ni. Ada pula pasangan tengah buat projek. Nasiblah hotel bajet macam ni. Bunyi semua tembus masuk.

Aku pada asalnya nak biarkan je tapi makin lama makin menjadi-jadi pula. Perempuan tu je yang over, yang lelaki tak meraung pun. Lemah!

Disebabkan aku dah tak tahan, aku keluar dari bilik lalu aku ketuk pintu bilik depan tu. Bilik Nombor 13. Tak ada respon. Bunyi mengerang tak berhenti pun. Amboi, bukan main ligat lagi dia orang ni?

Aku intai dari lubang kunci. Aku tak nampak apa-apa pun melainkan warna merah. Bunyi mengerang masih lagi kedengaran.

“Hello! Nak main, main slow-slow sikit lah. Orang lain nak tidur ni!”

Aku bertempik di luar pintu itu sebelum aku menapak turun ke lobi.

“By the way Nyonya, siapa dekat dalam bilik nombor 13 tu? Banyak kuat lah dia orang main. I nak tidur. Esok mahu bangun awal.” Aku merungut.

Wanita cina yang sedang berselera menjamu mee segera Hot Cup sambil menonton filem Inggeris penuh berahi di televisyen, terus mengalih fokusnya pada aku.

“Dulu..itu bilik ada ini amoi mati. Husband dia bunuh. Masa polis datang, polis jumpa mayat dia dekat toilet. Kulit banyak putih maa. Mata bulat, merah! Sampai sikalang wa tak sewakan itu bilik. Banyak horror maa. Tapi you jangan risau, itu amoi tak kacau orang. Wa dah suruh bomoh siam jampi-jampi.”

Jadi yang aku intai dekat lubang pintu tadi..

=====
SECRET ADMIRER
Aku gadis hot. Wow, nampak macam masuk bakul dan angkat sendiri kan?

Bukan aku yang gelarkan diri aku macam tu. Orang-orang sekeliling aku yang suka cakap aku ni hot. Aku akui, aku memang ada rupa. Memang ramai lelaki di kampus yang nak jadikan aku teman wanita. Tak kurang juga yang sukakan aku dalam diam.

Secret admirer – terma yang selalu orang pakai untuk mereka-mereka yang sukakan seseorang dalam diam.

But, who care all of this?

Satu hari, aku pulang ke rumah sewa selepas seminggu bercuti di kampung halaman aku dekat Karak. Betapa hot nya aku ni, sampaikan aku bercuti dekat kampung pun masih ada secret admirer yang kacau. Hantar bunga lah, hantar kek lah, hantar coklat lah.

Macam selalu, sebelum aku masuk ke rumah sewa, aku akan geledah peti surat terlebih dahulu. Aku menemui sekeping kad - tak ada setem. Di depannya ada tertulis ‘Kepada Nabila’. Tak lain tak bukan ini mesti surat yang diberi oleh secret admirer aku.

Aku tersenyum. Secret admirer ni kadang-kala merimaskan, kadang-kala melucukan. Zaman dah serba canggih tapi nak juga hantar surat. So, old school!

Seusai aku melangkah masuk ke rumah dan duduk di sofa, aku buka kad di tangan. Senyuman aku serta-merta pudar. Dahi aku berkerut. Ternyata tu bukan surat cinta dari secret admirer.

Ianya tertulis sebuah pantun empat kerat:

Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Kawan-kawan kau semua dah mati
Turn kau bila agaknya?


p/s: Check master bedroom

Aku terus berlari menuju ke bilik utama di tingkat atas, macam orang gila. Bila aku buka pintu, aku nampak semua kawan-kawan serumah dengan aku sedang tergantung mati dekat dinding bilik. Aku menjerit semahu-mahunya.

Ada ruang kecil antara Aina dan Munirah dan ada tulisan terconteng pada dinding yang ditulis menggunakan darah - Reserved for Nabila.

=====
BERANI
Aku dulu seorang yang berani. Ya, aku seorang perempuan. Perempuan dan keberanian jarang bersatu tetapi berbeza dengan aku. Aku dan keberanian macam adik-beradik. Atau nak lebih rapat lagi aku boleh anggap macam kembar.

Aku tak faham kenapa perempuan harus jadi penakut. Sikit-sikit takut, sikit-sikit takut.

Disebabkan aku ini terlalu berani orangnya, aku suka lakukan aktiviti-aktiviti yang mencabar. Paling aku suka buat adalah berkhemah di dalam hutan seorang diri.

Ah, aku bukan pergi untuk suka-suka. Aku pergi untuk kerja. Aku seorang jurugambar untuk stesen TV National Geographic. Tugas aku adalah mencari footage burung-burung di hutan hujan tropika.

Yang terbaru, aku masuk ke hutan simpan di daerah Karak. Aku pergi seorang – seperti selalu. Takpe, aku dah biasa.

Dua minggu aku mengembara dalam hutan simpan tu. Hidup dan berjinak dengan alam. Kau orang tak rasa, kau orang tak tahu macam mana seronoknya dapat bersatu jiwa dengan tumbuh-tumbuhan. Lebih-lebih lagi hutan hujan tropika Malaysia ni yang kaya dengan hidupan.

Ya, memang terlalu kaya dengan hidupan. Bukan hanya flora, bukan hanya fauna. Tapi ada hidupan lain.

Aku pulang ke rumah. Aku cucuk memori card kamera aku ke dalam laptop. Aku perhatikan satu persatu gambar yang aku ambil sepanjang dua minggu di sana.

Siapa sangka, itulah kali terakhir aku masuk ke hutan seorang diri. Aku dan keberanian bukan lagi adik beradik, bukan lagi kembar. Aku jadi wanita normal.

“Siapa yang ambik gambar kau ni?” soal ketua editor apabila aku tunjukkan gambar-gambar aku di dalam hutan dekat Karak sana tu. Ada banyak gambar aku sedang tidur di dalam khemah, di ambil oleh ‘seseorang’, malam-malam.

=====
HARI PERTAMA
Semua orang suka dan teruja pada hari pertama persekolahan. Tahun baru, kelas baru, kawan-kawan baru – kalau ada.

Paling teruja bila kita nak tengok cikgu mana yang akan mengajar kita untuk subjek-subjek tertentu. Dapat cikgu garang kah, baik kah, cekap mengajar kah atau jenis malas masuk kelas? Hari pertama jugalah kau akan teruja untuk menjadi seorang pengundi yang demokrasi – melantik ketua kelas, penolong, bendahari dan beberapa lagi jawatan yang kau tak pernah nampak kepentingannya selain tiga yang utama tadi.

Waktu ini jugalah penting dalam kau menentukan masa depan kau di dalam kelas itu sepanjang satu tahun persekolahan. Siapa yang akan duduk sebelah kau, depan dan belakang. Adakah kau yang paling dekat dengan suis membuatkan semua orang akan mengarah-arah kau untuk buka dan tutup kipas. Atau adakah kau akan duduk betul-betul di depan meja guru sampaikan kau nak mengular pun susah?

Hari pertama yang penuh dengan harapan, azam dan konspirasi.

Aku sukakan hari pertama persekolahan pada tahun baru tetapi atas sebab yang berlainan.

Macam mana aku nak cakap ye..aku ni dilahirkan sedikit special. Aku boleh..tengok aura yang ada pada badan orang lain. Macam satu lapisan halus berwarna yang akan mengelilingi kulit. Setiap warna aura tu ada maksud yang tersendiri – menentukan bagaimana seseorang itu bakal mati.

Kalau auranya hijau, dia masih ada banyak masa. Kebiasaannya dia akan mati secara natural apabila tua nanti. Ataupun dia akan mati disebabkan oleh penyakit yang dihadapinya.

Kalau auranya kuning keperangan, dia perlu berjaga-jaga. Boleh jadi minggu depan dia akan terlibat dengan kemalangan jalan raya atau apa-apa sahajalah tragedi yang boleh meragut nyawanya. Dalam erti kata lain, malang tak berbau.

Apa yang menarik adalah apabila aura pada badan dia itu berwarna merah. Ini bermaksud dia bakal mati dibunuh ataupun bunuh diri. Bila? Aku sendiri pun tak tahu. Aura-aura itu hanya memberikan aku klu bagaimana cara dia akan mati. Bila? Itu bukan urusan aku. Itu urusan Allah.

Disebabkan aku teruja untuk menganalisis rakan-rakan sekelas aku di tahun baru ini, seperti tahun-tahun sudah, aku menjadi orang pertama yang tiba ke kelas. Lebih tepat – aku orang pertama yang sampai ke SMK Karak Setia ni.

Aku pilih tempat duduk di barisan tengah dan paling belakang. Mudah untuk aku memerhati keadaan kelas secara menyeluruh.

Hujan turun renyai di luar maknanya tak ada perhimpunan di dataran. Such a nice first day. Hahahahaha

Pelajar pertama yang melangkah masuk, Akmal, diselaputi dengan cahaya berwarna merah. Tak pasal-pasal aku tergelak kecil. Malang nasib kau,bro!

Tapi, semakin ramai yang tiba aku lihat hampir kesemua mereka diselaputi dengan aura berwarna merah. Aku yang tadinya teruja kini bertukar gusar. Dah kenapa dia orang ramai-ramai ni nak kena bunuh? Mustahil lah dia orang nak bunuh diri ramai-ramai kan?

Aku capai cermin muka kecil yang ada dekat dalam beg – aku guna untuk menggayakan rambut aku.
Serta-merta bulu roma aku merinding. Tubuh aku pun ada aura berwarna merah. Aku terlalu terkejut sampaikan aku kaku duduk di atas kerusi. Langsung tak menyahut sapaan rakan-rakan yang teruja di hari pertama.

Hujan pagi makin lebat. Cikgu Rusydi masuk ke kelas. Dia kunci semua pintu dan tingkap. Katanya taknak air menempias masuk. Dia kemudiannya tersengih menyeringai menuju ke mejanya di depan.

Aku nampak dia seorang sahaja beraura hijau dalam kelas ni.

Shit!

=====
MESIN BASUH
Aku Kartika. Aku baru sahaja tamat pengajian peringkat ijazah di USM. Pulang ke kampung halaman di Karak, dan menjadi penganggur terhormat. Tapi, aku ni memang jenis tak suka duduk bodoh sahaja macam tu. Mesti ada idea nak dibuat untuk habiskan masa. Maka, aku putuskan untuk menulis novel.

Satu hari, aku dipelawa oleh sepasang suami isteri yang duduk di rumah hadapan untuk menjaga anak mereka yang masih kecil di rumah ketika mereka keluar berkerja. Pada mulanya aku tolak, apalah yang aku tahu tentang menjaga budak kecil. Dalam masa yang sama, aku risau kalau-kalau kerja itu bakal membantutkan perjalanan penulisan aku.

Tapi, memandangkan kerja babysitting itu tidaklah berat mana, hanya menjaga anak pasangan itu, bukannya kena buat kerja rumah macam orang gaji pun, maka aku pun terima lah pelawaan itu. At least, aku masih ada masa untuk menulis ketika budak itu tidur.

Sedang aku sibuk menaip di ruang tamu, anak pasangan itu pula sedang tidur di biliknya setelah diberikan susu, aku tiba-tiba terdengar bunyi mesin basuh datang dari arah belakang rumah, tempat di mana pasangan itu meletakkan mesin basuh mereka.

Aku bangun nak pergi tutup tetapi baru sahaja aku nak capai kunci pintu yang terlepek dekat atas peti sejuk, bunyi mesin basuh di luar itu dah tak kedengaran lagi. Aku malas nak gigihkan diri menjenguk ke situ, aku kembali ke ruang tamu untuk sambung menaip.

Lima minit kemudian, mesin basuh itu berbunyi lagi. Aku mula cuak. Bulu roma serta-merta meremang. Cepat-cepat aku masuk ke bilik lalu aku angkut dua budak kecil kembar itu pulang ke rumah aku di seberang jalan sana. Selepas aku letakkan kedua-dua anak kecil itu ke atas toto yang dibentang di ruang tamu, aku capai telefon lalu aku dail 999.

Lima minit kemudian, polis tiba di perkarangan rumah pasangan itu. Aku menapak keluar. Menurut pegawai polis tu, mereka tak jumpa apa-apa yang ganjil di rumah pasangan itu melainkan seorang bayi yang menangis di dalam buaiannya di dalam bilik.

Dalam keadaan menggigil, aku berlari semula ke rumah dan melihat ke arah toto yang terbentang di ruang tamu. Dua bayi itu telah tiada melainkan tompok-tompok lumpur yang terpalit di atas toto itu.
Bunyi mesin basuh kedengaran dari belakang rumah aku pula.

***

“Eh, sekejap. Seorang? Tadi awak cakap baby tu kembar.” Wan Hanafi menyoalkan kemusykilannya.

“Ha’ah. Anak pasangan tu seorang je sebenarnya.” Jawab Kartika yang sedang duduk di depan Wan Hanafi, seorang editor majalah Mustika yang sedang menemubual lima respondannya tentang kisah-kisah seram yang pernah mereka alami di Pekan Karak ini.

Wan Hanafi datang jauh dari Kuala Lumpur. Selepas habis office hour, dia terus memecut laju ke Pekan Karak. Mereka berjumpa di Cafe Bintang seperti yang dijanjikan.

Jam di dinding baru menunjukkan pukul 9.45 malam. Jalan raya di luar masih lagi sibuk dengan kereta yang lalu-lalang. Masih hingar walaupun pekan Karak ini tidaklah besar mana.
“Jadi, yang awak gendong tu baby siapa?” soal Wan.

Kartika mengangkat bahu.

“Ok lah. Cerita awak berlima ni menarik. Lain daripada kisah-kisah Karak yang selalu kita dengar. Tapi terlalu ringkas untuk disiarkan dalam majalah kami. And mostly ceritanya tak ada ending. Pembaca majalah kami tak suka cerita tak ada ending macam ni. Awak semua faham lah kan. Meleis ni kan kena rajin disuap. Cerita tanpa ending kena berfikir macam ni mana dia orang suka.” Wan tergelak sinis. Dia capai rokok dari dalam pouch yang dibawanya bersama lalu dihidupkan sebatang.

“Habis tu, tak jadilah Encik Wan nak siarkan cerita kami ni? Sia-sia je lah saya datang ke sini malam ni.” Bentak salah seorang respondan yang masih lagi berpakaian sekolah.

“Tengoklah macam mana nanti. Boleh jadi saya akan edit cerita ni. Tambah garam, tambah kicap semua. Biar jadi lebih panjang. Kalau tak berjaya juga, semua cerita ni akan masuk tong sampah je lah.” Jelas Wan Hanafi lagi.

“Maaf encik, ganggu. Encik nak duduk lama lagi ke? Sebab kami dah nak tutup cafe pukul 10 ni.” Seorang pekerja cafe menegur Wan Hanafi dari belakang. Mukanya nampak serba salah sebab mengganggu.

“Alaa..awalnya tutup.” Rungut Wan Hanafi.

“Memang kami tutup pukul 10. Lagipun, saya pelik juga tengok encik dari maghrib tadi duduk sorang-sorang dekat sini. Encik tunggu siapa sebenarnya?” soal pekerja cafe itu lagi.

Dahi Wan Hanafi berkerut. Serta-merta dia berpaling ke depan. Ya, dia berseorangan. Mejanya lengang. Ke mana perginya respondan-respondan berlima tadi?

-Tamat-
=========================
Hantar cerpen seram anda ke aanrc2017@gmail.com ðŸ‘»ðŸ‘»

No comments: