SYMBIOSIS - Part IV
==============
Isaac cuba lagi menghubungi Thomas. Mengharapkan agar Thomas dengar dan menjawab panggilannya. Biarlah berpuluh kali dia mendail nombor Thomas tanpa rasa jemu, demi untuk menyelamatkan sahabat yang selalu membantunya di saat dia dalam kesusahan. Disaat dirinya dalam keadaan tertekan dan terumbang-ambing dan juga di saat dirinya sedang menanggung kesakitan luaran dan dalaman.
Sekali lagi dia cuba menghubungi Thomas. Walaupun dalam beberapa saat menanti panggilannya disambut Thomas, namun langsung tiada tanda-tanda panggilannya akan disambut.
"Hhmmm....." Isaac mengeluh berat.
Seberat tanggungjawab yang sedang dipikulnya. Memikul tanggungjawab yang sedang digalas. Demi untuk meyelamatkan satu lagi nyawa. Sungguh pun mangsa dalam mimpinya bukan Thomas sekali pun, Isaac tetap akan memikul tanggungjawab itu.
Isaac mula berasa risau. Fikirannya mula memikirkan yang bukan-bukan! Kenapa Thomas tidak menjawab panggilannya? Kenapa disaat genting begini, Thomas sukar untuk dihubungi?! Wyatt dipandangnya dengan ekor mata. Kelihatan Wyatt sedang sibuk berbual di telefon. Akhirnya Wyatt mengakhiri perbualannya, lalu ganggang telefon diletakkan.
"Bagaimana? Apa kata rakan setugas kau?" Soal Isaac.
"Dia akan datang. Tapi dia suruh aku tunggu sini! Tapi aku dah kata pada Paul, tak boleh tunggu! Kalau dia tak boleh, aku terpaksa buat sendiri!" Jelas Wyatt.
"Kenapa mesti tunggu? Tak kan tak ada rakan lain dibalai polis ni yang boleh membantu?" Isaac mempersoalkan kata-kata Wyatt tadi.
"Sebenarnya, semalam tuan Gibs dah keluarkan aku dari kes ni. Bermula semalam ejen persekutuan sudah ambil alih kes ni. Paul kata kalau aku masih lagi siasat juga kes ni, aku mungkin akan digantung bertugas. Paul juga sudah dikeluarkan dari kes ni. Tapi, aku rasa kalau bos nak gantung tugas aku, gantunglah! Tak ada masalah! Aku tetap akan teruskan! Jadi tunggu apa lagi, jomlah pergi!" Tegas Wyatt dengan penuh yakin.
"Kau dah dapat call Thomas?" sambung Wyatt lagi sambil memandang Isaac.
"Dia tak angkat call aku! Aku pelik? Kenapa dia tak angkat? Kalau kerja diluar daerah pun pasti dia akan angkat call aku?!" Nada kerisauan yang terlontar pada kata-kata Isaac.
"Kau dah call Fiona?" Soal Wyatt lagi.
"Belum! Alamak! Kenapa aku tak terfikir nak call dia tadi? Tunggu, aku call Fiona dulu!" Isaac menggaru kepala yang tidak gatal.
Wyatt hanya memerhati dari belakang. Sebolehnya dia tidak ingin mendengar suara wanita itu. Bukan membenci, tetapi hatinya terusik dan cemburu. Cemburukan hubungan bekas kekasihnya itu dengan Thomas.
Justeru itu Wyatt mengundur ke belakang lalu berdiri di sebelah mejanya. Dalam pada itu matanya terpandang pada sketch book Isaac yang terletak di atas mejanya. Lantas dengan perasaan ingin tahu, sketch book Isaac dibuka lagi. Lukisan terbaru itu ditatap semula. Memandangkan awal tadi dia hanya melihat lakaran lukisan itu hanya sekali lalu sahaja tetapi kali ini dia ingin melihat lakaran lukisan itu dengan lebih lagi.
Sebelum itu sempat dia melihat Isaac yang masih lagi berbual dengan Fiona. Mesra sungguh, fikirnya lantaran melihat Isaac yang sedang berbual dengan Fiona melalui handphone. Namun perasaan itu ditepis jauh-jauh!
"Apa ni Wyatt! Fiona milik Thomas!" Wyatt menjerit pada dirinya sendiri walaupun hanya sekadar didalam hati. Ya, dia masih diselubungi rasa cemburu walaupun dengan siapa Fiona berbual!
Lakaran mangsa lelaki itu ditatap dengan penuh teliti. Dia juga melihat jenis pisau yang digunakan pembunuh bersiri itu. Ya, benar sekali telahan dia. Pisau pemotong daging adalah senjata yang digunakan oleh pembunuh bersiri itu untuk menyembelih mangsa dan juga seperti yang telah disahkan oleh jabatan forensik. Bukan pisau rambo yang selalu ditulis di dada akhbar atau yang sering diperkatakan masyarakat Immortal City. Itu adalah salah satu masalah yang perlu dihadapi. Tekaan serta andaian yang membuta tuli. Pihak media di Immortal City sentiasa punyai spekulasi mereka sendiri sehingga mengganggu tugas polis memandangkan kes belum lagi selesai. Juga tekanan demi tekanan yang diberikan oleh pihak media terhadap tugas yang dilakukannya.
Lalu lakaran lukisan kawasan persekitaran dan tempat berlakunya kejadian yang dilukis Isaac direnung dengan lebih teliti lagi. Tiba-tiba Isaac tergamam! Tergamam tatkala melihat lukisan kawasan persekitaran yang dilukis Isaac itu! Ya, dia kenal tempat parkir kereta tu!
"Ini kawasan tempat letak kereta rumah aku ni!"
Wyatt memandang semula Isaac yang sedari tadi membelek handphone ditangannya selepas menghubungi Fiona Haiden.
"Isaac! Sini kejap!"
"Ya! Ada apa?!" Jawab Isaac segera.
"Betul ke tempat parkir ni dalam mimpi kau?" Wyatt bertanya sambil menunjukkan lakaran lukisan tempat kejadian itu.
"Ya, inilah kawasan parkir yang aku mimpi tu. Kenapa? Kau cam ke tempat ni?"
"Sudah tentulah! Ini kawasan parkir dekat apartment aku!" Jawab Wyatt dalam keadaan tidak percaya.
"Apa?!" Isaac terkejut mendengar ayat yang keluar dari mulut Wyatt.
"Macam mana dengan Fiona? Apa kata dia?" Wyatt bertanya lagi.
"Dia kata dah dua hari dia tak berhubung dengan Thomas. Fiona cakap ada sikit salah faham antara mereka. Mungkin disebabkan itu dia taknak jawab semua panggilan...." jelas Isaac.
"Tak apa! Mari kita pergi rumah Thomas. Harap dia adalah dekat situ." sambung Wyatt lagi.
........................................................
Sampai sahaja diperkarangan rumah Thomas, terus sahaja mereka menuju ke pintu. Pintu rumah Thomas di ketuk bertalu-talu. Namun, tiada langsung tanda-tanda pintu rumah itu akan dibuka. Senyap!
Wyatt mengintai disebalik tingkap yang tertutup dengan langsir di dalamnya. Sukar, kerana dihalang oleh langsir di dalam rumah itu tadi.
"Cuba call nombor telefon rumah dia!" Wyatt mengarahkan Isaac menghubungi telefon rumah Thomas.
Isaac cuba menghubungi Thomas dengan arahan yang disuruh Wyatt itu. Justeru itu Wyatt cuba memasang telinga. Kedengaran bunyi telefon di dalam rumah masih berdering dengan agak lama. Namun begitu, telefon itu langsung tidak di angkat. Ini bermakna tiada sesiapa di dalam rumah itu. Wyatt menggeleng. Dia berasa pelik!
"Kenapa hari ini dan saat genting begini, sukar nak hubungi dia? Kenapa?" Wyatt mula mempersoalkan perkara pelik yang berlaku. Datang dalam keadaan mendadak!
"Stress aku!!!" Bentak Wyatt dalam monolognya.
"Aku pun tak tahu! Lagipun dari tadi lagi aku dah cuba hantar mesej pada Thom, tapi sampai sekarang tak ada balasan. Jadi, apa kita nak buat sekarang?!" Soal Isaac.
"Sekarang dah pukul 8.00 pagi. Aku rasa, aku nak balik dulu! Sebelum tu aku nak lihat kawasan sekeliling parkir tu bila tiba disana nanti. Bila aku terfikir pasal lakaran tempat kejadian yang kau lukis tu, aku rasa sasaran dia adalah aku! Entahlah, cuma perasaan aku merasakan begitu. Sebab, kenapa mangsa seterusnya mesti Thomas? Aku kenal Thomas, begitu juga dengan kau. Memandang kes ni semakin rumit dan aku pun sudah dikeluarkan dari siasatan kes ni, jadi aku nak buat ikut kehendak aku sendiri! Tak mengapalah kalau mereka nak gantung terus tugas aku kali ni!" Terang Wyat dengan nada sedikit gelisah namun tidak sekali-kali mengalah.
...............................................
Sudah berkali-kali Thomas dihubungi, namun hasilnya tetap menghampakan. Gagal lagi. Wyatt yang berada disebelahnya dipandang. Pelik melihat reaksi Wyatt yang sedari tadi hanya termenung. Tiada sebutir perkataan pun yang terkeluar dari mulutnya sejak sampai ke kawasan parkir berhampiran apartment tempat tinggalnya.
Sudah hampir satu jam. Isaac memandang Wyatt sekali lagi. Dia sendiri tidak tahu apa yang Wyatt sedang fikirkan saat ini dan apa strateginya.
"Pembunuhan tidak akan berlaku hari ini dan juga malam ini. Ia akan berlaku esok. Tidak pasti waktu siang atau malam. Kalau kita masih juga duduk dalam kereta macam ni dengan suhu yang dingin ni, aku rasa kita boleh mati kesejukan tanpa sempat menangkap pembunuh tu. Kau tak lapar ke?"
Isaac menggeleng kepala. Sesekali dipandangnya Wyatt dengan ekor mata. Dia mula terfikir, tidak laparkah detective di sebelahnya ini? Bila masa detective muda ini tidur?
"Tak apalah kau pergi makan dulu. Sebelah apartment ni ada satu restoran makanan cina. Kau beli lepastu bawa sini." Wyatt menghulurkan duit kepada Isaac.
"Kau ingat pelukis macam aku ni, tak ada duit ke?" seloroh Isaac sambil tersenyum.
"Tak apa, lepas kau beli makan kita pergi rumah aku. Makan dekat sana. Aku tunggu kau dekat dalam kereta ni dulu." Jawab Wyatt.
Kemudian Isaac keluar dari perut kereta. Wyatt hanya mengikut dengan pandangan matanya sahaja. Hanya menunggu di dalam kereta. Difikirannya kali ini dia tidak mahu terleka lagi. Kali ini dia mahu menangkap The Immortal Serial Killer itu dengan tangannya sendiri. Kalau boleh biarlah berakhir secepat yang mungkin. Lagipun mengikut perkiraan Isaac, ia berlaku pada esok hari. Tetapi tidak pasti waktu bila ia akan berlaku! Namun ia mungkin berlaku pada waktu malam kerana begitulah lakaran lukisan Isaac. Ada bulan terang yang dilukis Isaac. Berhampiran dengan apartmentnya.
Suhu musim luruh mula mendinginkan suasana di dalam keretanya. Wyatt masih lagi menanti Isaac tiba dengan membawa makanan. Walaupun Isaac baru dikenalinya tetapi seakan sudah lama dia mengenali si pelukis itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berperasaan begitu.
"Dejavu, mungkin...." bisiknya.
Kemudian Wyatt memandang ke arah tempat duduk sebelah pemandu. Matanya tertumpu pada sketch book yang Isaac tinggalkan. Lalu sketch book itu diambil. Diselak semula sehelai demi sehelai. Menilai kembali lakaran lukisan mangsa-mangsa pembunuhan The Immortal Serial Killer itu buat beberapa kali. Matanya melihat lagi lakaran wajah Thomas yang sudah dikelar itu. Melihat kembali lakaran lukisan mata si pembunuh bersiri itu. Cuba untuk memahami maksud tersirat yang hendak disampaikan dalam mimpi tersebut. Malah, yang menjadi tanda tanya pada dirinya, kemana menghilangnya Thomas? Sedangkan Thomas kini berada dalam bahaya. Sasaran kepada pembunuh bersiri itu.
Satu lagi persoalannya, kenapa lakaran lukisan kawasan sekitar itu adalah di parkir berhampiran apartment tempat tinggalnya? Adakah Thomas sedang menuju ke rumahnya? Tetapi bila? Esok siang? Atau malam esok? Sungguh pun begitu Wyatt tetap akan mengambil risiko. Kali ini dia tidak akan sesekali lepaskan pembunuh bersiri itu walau apa cara sekali pun.
"Kenapa lama sangat beli makanan?" Getus Wyatt.
Dia melihat jam di tangan. Hampir menunjukkan ke angka 11.00 pagi. Namun bayangan Isaac masih tidak kelihatan. Perutnya mula menunjukkan tanda-tanda kelaparan namun dalam masa yang sama matanya mula terasa mengantuk. Akhirnya Wyatt mengambil keputusan untuk keluar dari kereta dan pergi mencari Isaac di restoran berkenaan. Tiba-tiba kedengaran handphonenya berbunyi.
"Hello...." Wyatt menjawab panggilan itu.
"Hello Wyatt! Aku ni Isaac! Maaf aku tak dapat beli makanam sebab dapat panggilan dari galeri. Tapi aku singgah balai polis dulu sebab nak ambil kereta aku. Maaflah ya!" Jawab Isaac.
"Kenapa? Apa yang mustahak?" Soal Wyatt lagi.
"Entahlah, Fiona call aku suruh datang segera. Berkenaan lukisan dalam galeri tu!"
"Ok, ok! Tak apalah, kalau macam tu aku balik apartment aku dululah! Sebab nanti aku nak pergi balai semula. Jaga diri!" Jawab Wyatt.
Panggilan ditamatkan. Nampaknya Wyatt terpaksa mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
..............................................
Wyatt menekan butang lif menuju ke tingkat bawah. Dia mengambil satu jam untuk mandi dan makan di dalam apartmentnya. Tidurnya banyak dihabiskan di dalam pejabat semenjak menggalas kes bersiri ini. Makannya juga tidak menentu. Kalau di pejabat hanya sempat memesan makanan dengan Paul manakala di apartmentnya lebih senang dengan menjamah sandwish dua keping hasil buatan tangannya sendiri. Semuanya harus dilakukan dengan segera. Ringkas, mudah dan cepat. Yang penting dapat mengenyangkan perutnya, fikirnya. Tiba-tiba lagi sekali handphonenya berbunyi.
"Hello!"
"Wyatt! Kau ke mana? Bos cari ni! Cepat sikit!" Rupanya panggilan dari Paul di balai polis. Seperti ada hal mustahak yang ingin di perkatakan oleh tuan Gibs.
"Ok,ok! Aku datang!" Jawab Wyatt ringkas dalam keadaan terkocoh-kocoh berlari keluar dari lif dan terus menuju ke kawasan parkir.
Wyatt lebih senang parkirkan keretanya di kawasan berkenaan dari memakirkan keretanya di bahagian bawah yang telah disediakan di dalam bangunan apartment tempat tinggalnya. Demi menjaga keselamatan orang-orang awam yang lalu lalang di kawasan itu. Kawasan parkir luar itu adalah untuk pengunjung yang datang ke taman bunga berhampiran serta berjalan-jalan di sekitar block-block bangunan atau untuk ke restoran di sekitar kawasan itu yang terletak bersebelahan dengan apartmentnya. Agak terlindung sedikit kerana terletak di bahagian belakang deretan di dua block bangunan berhampiran apartmentnya serta terdapat pokok-pokok tua yang merimbun di sekitarnya.
Sebenarnya Wyatt seperti penghuni yang lain di apartment itu. Sebelum ini dia pernah meletakkan kenderaannya di lot parkir bahagian bawah apartmentnya. Namun ada kes yang pernah terjadi di kawasan parkir bahagian luar itu, di mana ada seorang gadis kulit hitam hampir dirogol oleh lelaki seramai empat orang di kawasan parkir luar itu. Mujur gadis itu tidak sempat dijamah oleh lelaki-lelaki durjana itu, disebabkan Wyatt telah sampai di kawasan kejadian tepat pada masanya tatkala terdengar jeritan dari gadis itu usai memakirkan keretanya di lot parkir di dalam apartmentnya. Namun begitu Wyatt hanya sempat menangkap seorang sahaja pada waktu kejadian disebabkan tiga yang lain sempat melarikan diri. Tetapi sejurus selepas itu ketiga-tiga mereka berjaya diberkas pada malam itu sejurus mendapat maklumat dari kawan mereka yang telah ditangkap Wyatt pada siang itu.
Mujur juga lot parkir bahagian dalam apartment itu mempunyai dinding yang tidak tutup sepenuhnya, hanya mempunyai tembok separas dada orang dewasa dan masih boleh melihat bahagian luar dari lot parkir itu. Disebabkan itulah Wyatt terdengar jeritan gadis berkulit hitam itu.
Wyatt berjalan ke kawasan parkir menuju ke arah ke arah keretanya berada. Cuaca dingin di Immortal City tidak memghalang dirinya untuk terus menjalankan tugas sebagai anggota polis. Tiba-tiba sebaik sahaja dia sampai di keretanya....
"Apa?! Kenapa boleh jadi begini?! Siapa yang melakukannya?!!"
Wyatt terkejut apabila melihat cermin keretanya telah diconteng dengan cat berwarna merah! Sehingga cat merah itu meleleh-leleh dikeretanya. Tetapi ada perkataan yang tertulis pada cat itu!
NAMAKU BALTHAZAR,
THE IMMORTAL SERIAL KILLER!!
"Balthazar? Siapa Balthazar?""
Cat merah yang masih basah itu dipegang. Lalu di usap-usap dengan jari dan dicium. Hanyir! Puih!!
"Ini bukan cat! Tapi darah! Tetapi darah siapa?!"
Tiba-tiba kedengaran lagi handphonenya berbunyi. Tanpa berlengah panggilan itu terus dijawab.
"Ya, Isaac! Kenapa?"
"Wyatt! Habislah kali ni! Habis!" Kedengaran suara Isaac dihujung talian dalam keadaan cemas.
"Apa yang habis?!" Soal Wyatt.
"Lukisan aku habis diconteng dengan warna merah! Aku rasa darah!" Isaac bersuara cemas dan perasaan geram mula datang mencengkam. Geram apabila melihat hasil usahanya sendiri diconteng dengan darah!
"Dah call polis? Nanti mereka ambil darah tu untuk DNA!" Arah Wyatt.
"Sudah! Polis dan ejen FBI sudah ada. Kau nak tahu apa yang tertulis pada tulisan darah di lukisan aku tu?" Isaac tidak sabar untuk beritahu pada Wyatt apa yang sedang disaksikannya serta tulisan darah yang tertulis di setiap lukisannya yang tergantung di galeri Fiona itu.
"Apa dia?" Wyatt seakan dapat mengagak apa jawapan dari Isaac. Sungguh pun begitu, dia tetap berpura-pura untuk bertanya dan ingin mendengar sendiri jawapan dari mulut Isaac.
"Balthazar. Dia beritahu namanya Balthazar!" Jawab Isaac.
Wyatt terdiam. Memang tepat jangkaannya.
"BALTHAZAR....."
Lalu tulisan berdarah di cermin tingkap hadapan keretanya di pandang lagi.....
-BERSAMBUNG-
==============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment