====================
Bab 3:
"Marilah sama-sama kita membaca yassin memohon kesembuhan Haji Razman. Sudah seminggu dia tidak sedarkan diri. Kalau Tuhan mahu mengambil nyawanya semoga dia dipermudahkan, kalau mahu disembuhkan semoga disegarakan." Haji Zakaria memberi tazkirah ringkas sebelum mengetuai bacaan yassin di rumah Haji Razman. Haji Razman sudah dianggap seperti abangnya. Sejak dia tiba di kampung ini 30 tahun lalu. Razmanlah yang banyak membantunya selama ini. Daripada dia susah hinggalah dia senang lenang. Dari anak-anaknya masih kecil hinggalah sudah beranak pinak.
Nafasnya tersekat-sekat. Bunyi raungan kembali kedengaran. Matanya terpejam, tapi suaranya kedengaran nyaring. "Tolong! Sakit!" Haji razman melaung-laung. Mak Jah menangis di sisi anak-anaknya. Suhana menggengam tangan ibunya. "Mak sabar ye mak. Tabah mak. Kita redho. Kita lepaskan ayah pergi." Mak Jah kembali menangis. Dia sayangkan suaminya, masih banyak yang perlu dia lakukan untuk mengejar jannah.
Dia tersenyum melihat malapetaka yang menimpa Haji Razman. Jenglotnya sedang menghisap kaki Razman. beruk puakanya sedang mengigit tengkok manakala langsuir yang dipuja baru-baru ini sedang menghisap perut Razman yang semakin membusung.
Pihak hospital sudah menyerah kalah. Doktor meminta supaya dia dibawa pulang setelah gagal mengesan penyakit haji Razman.
Yaasiin. Bacaan dimulakan, dia tersenyum mengejek. Mak Jah turut tersenyum. Dia puas.
"Arghhh. Arghhh. Arghhh!!" Haji Razman mula meraung. Dia bangun dan mula meliar. Dia merenung Haji Zakaria. Mengejek dan menjelirkan lidahnya.
"Kau jangan pura-pura baik Zakaria. Aku tahu. Kau mahu aku mati. Kau pendendam. Kau manusia berhati hitam yang terlaknat." Haji Razman mula membuka langkah silatnya. Menjelir-jelir lidahnya yang panjang mencecah lantai. Dia tak ubah seperti beruk. Kadang-kadang berguling seperti jenglot.
Jemaah wanita mula ketakutan. Suhaila anak sulung Haji Razman rebah melihat perubahan tingkah ayahnya. Orang ramai mengusung Suhaila keluar dari rumah. Siak mengarahkan semua orang keluar. Tinggalkan pegawai masjid untuk menguruskan Haji Razman.
Lebai Ibrahim menyapa haji zakaria. "Kau tak buat pelik-pelik dekat dia kan? Takkan kau berdendam lagi?"
"Sumpah lebai, aku tak buat. Aku dah lama maafkan dia."
"Kalau aku tahu kau yang buat, aku patahkan balik sihir ni dekat engkau." Lebai ibrahim mengugut. Haji Zakaria berpeluh. Dia mula ketakutan. "Tak apa Ibrahim, kita rawat dia dulu."
"Serupo darah ku seru keluar,
kuseru nafas kuboang ke laut sunda,
ku posong dodamu,
ku bakar bajar jiwamu."
Dia mengulang jampi itu. Biji tasbih digunakan bagi membilang 77 kali jampi yang mesti diulang dengan tepat. Orang menyangka dia berzikir dalam kegawatan di rumah Haji Razman. Dia tersenyum. Ada mata yang memandang gerak gerinya. "Dia ni, tak pernah puas". Dia merengus kemarahan.
Lampu rumah Haji Razman kejap terpadam, kejap menyala. Suara jemaah yang meraung jelas kedengaran. Haji Zakaria berteleku di tengah rumah. Dia bertasbih dan mula berzikir.
"Kau manusia celaka, perasan suci. Kau ingat aku tak boleh hapuskan kau." Haji zakaria mengendahkan suara iblis terlaknat yang mengejeknya. Dia mengenggam tangan lalu membaca ayat kursi.
Haji Razman terus mengasaknya, kejap di depan kejap di belakang. Sambil menjelir lidahnya, dia memerli Haji Zakaria, "kau manusia derhaka. Manusia bermuka dua, engkau akan ditempatkan di neraka bersamaku." Tangannya yang digenggam dihembus lalu mencengkam wajah Haji Razman.
Razman menjerit kepanasan. "Lepaskan aku, lepaskab aku. Allah!" Tiba-tiba Haji Zakaria tertolak ke belakang, jenglot yang keluar dari kepala Razman cuba menerkamnya.
Tiba-tiba lampu rumah terpadam. Terdengar pekik suara Lebai Ibrahim, "Allah Allah, Allah." Razman mencakar mukanya, kakinya ditarik dihempas ke pintu, suara jeritan Lebai terhenti. Pengsan barangkali.
Haji Zakaria mengalunkan azan sekuat hatinya. Tawakkalnya dipusatkan hanya kepada Allah. Rumah itu kembali terang. Dia memandang sekeliling, AJK masjid banyak yang sudah tumbang. Ada yang mengaduh sakit akibat dihentak dan ditampar oleh Haji Razman.
Suasana di luar rumah bertukar menjadi semakin ribut. Haji Razman melompat keluar dari tingkap rumahnya lalu menerkam ke arah Mak Jah. Orang ramai mula meminggir dalam kekalutan yang berlaku.
Digigit tengkuk Mak Jah hingga putus karotid arterinya. Darah memancut keluar. Dia menghisap darah itu semahunya. Beberapa orang wanita pengsan melihat setuasi yang belum pernah berlaku di kampung tanah periuk ini.
Haji zakaria membaling pasir yang dibacakan ruqyah ke arah haji Razman. Dia menggelupur kepanasan lalu pengsan setelah menggeletik seperti dipanggang di atas pemanggang ajaib.
Innalillah, Mak Jah telah pulang kepada Pencipta Yang Maha Agung. Pulang setelah dibunuh suaminya. Syaitan mula ketawa terhibur. Iman manusia sudah semakin goyah. Mereka lebih takutkan dirinya berbanding Allah yang bakal menghakimi.
Suhana meraung kegalauan melihat keributan keluarganya. Dia menerpa ke arah ibunya. "Mak, mak, mak, kenapa mak tinggalkan Su." Abangnya Jali turut menagisi kematian ibu yang telah melahirkan mereka. Aiman turut mengalirkan air mata, dia merasa hiba. Mak Jah banyak membantu mereka sekeluarga selama ini. Haji Zakaria membaca air penawar, semua jemaah diberi minum bagi memulihkan semangat. Iman mereka perlu diperteguhkan kembali, jika tidak syaitan yang akan menghuni.
"Dah puas kau makan? pergi balik." Arahnya kepada jin peliharaanya. Angin sepoi-sepoi bahasa terasa mengalir ke dalam hutan. Beruk bermata satu itu melompat keriangan. Selain mendapat makanan, dia juga berjaya menyesatkan manusia.
Haji Razman mula sedar. Dia menangkap bunyi bacaan yassin dan tahlil yang saling bersahutan. Dia berasa kelelahan yang amat sangat. Seolah-olah dia telah menebas hutan yang sepelaung luasnya. Dia hairan melihat orang ramai sedang membaca yassin di rumahnya. Dia pelik melihat wajah sugul anak-anaknya. Semua anak-anaknya berada di rumahnya.
Haji Zakaria menghentikan bacaan dia risau jika Razman kembali mengamuk. Dia mula bersedia. Tasbih di bajunya mula dikeluarkan. "Zakaria, kenapa ni? Apa yang dah jadi. Kenapa ramai orang dirumah aku ni?"
Haji zakaria lega, Razman sudah pulih. "Man, banyakkan sabar ya. Jah dah tak ada. Dia meninggal semalam."
Haji Razman terpempan. Dia tidak percaya. Isteri yang berjanji sehidup semati dengannya sudah tiada. Dia berpaling ke kanan. Dia melihat wajah mulus isterinya dalam kain kapan yang berbungkus putih.
"Jah, Jah. Kenapa tinggalkan abang? Allahu, beratnya ujian ini." Suara razman terasa hiba. Jali anaknya tidak dapat menahan suasana syahdu yang berlaku di ruang tamu itu. Dia memegang muka Mak Jah, dicium dahinya. Dia redho. "Jah, abang maafkan semua dosa kamu. Kita jumpa di syurga nanti ya."
Semua jemaah tidak tahan melihat tingkah Haji Razman yang sungguh menyayat jiwa itu. Suhana, bangkit memeluk ayahnya. "Ayah sabar ayah. Kita redho ya." Suhana memegang bahu ayahnya, dia perlu kuat demi memastikan keluarganya terus bertahan.
Razman mengangkat wajahnya. Di menenung muka Mak Jah buat kali terakhir, tiba-tiba wajah isterinya bertukar hitam, gigi taring mula terbit persis jenglot yang dahagakan darah.
Lidahnya menjelir seolah-olah mahu menggigit Haji Razman. Haji Razman meraung terkejut. Lalu rebah semula. Rumahnya kembali kecoh.
Dia tersenyum mengejek. PADAN MUKA. Dia memandang Wak Kardi, dan menunjukkan tanda bagus. Sebelum pulang dari rumah Haji Razman dia menghulurkan RM 500 kepada Wak. "Wak saya puas, ni saya tambah lagi 200".
Wak tersenyum. "Macam inilah aku nak. Aku sapu masjid tu siang malam baru dapat 700. Ini tolong kau aku dapat seribu setengah. Esok jangan lupa. Kita selesaikan semuanya. Esok kau bayar penuh." Wak Kardi mengingatkan semula.
Bab 4:
Pagi itu Suhaila memasak nasi goreng kampung persis Mak Jah. Dia terkenangkan ibunya. Mereka sekeluarga masih berkabung memikirkan malapetaka yang terjadi pada keluarga mereka.
Suhana juga galau memikirkan nasib yang menimpa ibunya. Bapanya, sudah sembuh cuma dia terlalu sedih apabila terkenang yang dialah pembunuh isterinya.
Selepas subuh tadi, Haji Razman sempat mensedekahkan surah Yassin buat isteri yang tercinta. Dia berdoa semoga isterinya ditempatkan di syurga Firdausi. "Engkau dan isterimu akan ke jahannam. Jangan mimpi hai syaitan bertopengkan manusia." Suara itu kembali tergiang-giang.
Dia beristighfar. Membaca istighfar lalu mengalunkan azan yang cukup syahdu. Dia menangis semahunya. Mengenang kesilapannya selama ini. Suara itu hilang sebaik sahaja azan selesai berkumandang.
Dari balik jendela, Haji Razman melihat beruk dan jenglot duduk bertenggek di balik pokok kelapa. "Engkau rupanya." Lamunannya terhenti apabila suara Suhana kedengaran. "Ayah tak apa-apa?" Suhana mengetuk pintu bilik ayahnya. Dia terkejut apabila terdengar ayahnya mengalunkan azan. Dia risau jika apa-apa yang terjadi. Dia tidak mahu kehilangan bapanya lagi. Itu sahajalah syurganya yang masih tinggal.
"Su, ayah tak apa-apa." Laung ayah dari dalam bilik. Lega Suhana apabila mendengar suara ayahnya. "Ayah, kak Ila panggil makan. Cepat turun, ayah tak makan dari semalam. Kami semua risau."
"Baik Su, nanti ayah turun." Balas Haji Razman.
Haji Razman membuka baju melayu lalu mengenakan t-shirt kelabu kegemaran isterinya. Dia benar-benar terkenangkan isterinya. Dia melangkah keluar dari biliknya. Sebaik sahaja dia memegang tombol pintu dia meraung kesakitan. Dia kepanasan. Tombol itu seperti dibakar dengan timah. "Aku akan pasung kau di neraka yang engkau cipta. Hahhaha. Rasakan." Suara itu jelas kedengaran semula. Suara seorang lelaki, ada nada dan dialek seorang jawa juga.
Takkan bomoh jawa. ALLAH. Haji Razman membaca ayatul kursi lalu dihembuskan ke arah pintu. Pintu biliknya terbuka.
"SIAL." Wak Kardi membentak marah. "CELAKA punya orang tua. Kau tunggu."
Haji Razman turun ke dapur, air matanya menitik sebaik sahaja melihat nasi goreng kampung yang sering dimasak isterinya.
"Ila minta maaf ya ayah, kalau buat ayah sedih. Ila cuma harap ayah lebih selera makan." Suhaila berasa serba salah kerana membuatkan ayahnya terkenangkan ibunya.
"Tak mengapa Ila, ayah paham. Eh anak-anak kamu mana. Ajak mereka makan sekali. Hiburkan ayah di meja makan ni. Kita makan sekali."
"Ayah Su nak jumpa Am kejap boleh. Nak jumpa pagi ni." Pohon Suhana kepada ayahnya.
Selera ayahnya mati, dia merenung wajah anaknya. Risau jika anaknya juga menjadi korban dendam kesumat manusia.
"Ayah tak benarkan. Duduk rumah." Tingkah haji Razman.
"Ayah kali ini saja. Su nak jumpa kejap sahaja, Su nak ucap terima kasih sebab banyak tolong keluarga kita masa ayah sakit dan masa pengebumian emak." Suhana terus membujuk.
Haji Razman kematian hujah. "Ya lah, jumpa cepat dan terus balik. Jangan lama-lama ayah risau." Suhana keriangan, kehendaknya dipenuhi, dia mencium dahi ayahnya. "Terima kasih ayah"
"Engkau pendendam celaka." Suara bisikan itu berbunyi kembali. Astaghfirullah. Haji Razman beristighfar kembali, menghilangkan amarah dan kisah yang sudah lama dipendam.
Aiman menjemput Suhana di rumahnya, mereka ingin ke tempat biasa. Tempat di mana mereka memadu kasih seolah-olah dunia ini milik mereka.
Haji Razman membaca ayat kursi dan menghembus ke ubun-ubun Suhana semasa Suhana tunduk mencium tangannya. Dia risau anaknya menjadi mangsa sihir sepertinya. "Su jaga diri ya." Pesan ayahnya.
Haji Razman menutup jendela, dia menggeleng-geleng kepala apabila melihat jenazah Rustam begayut di pokok kelapa di sebelah rumahnya. "Aku minta maaf Rustam. Aku berdosa pada kau sekeluarga. Ganggu aku, jangan ganggu keluarga aku." Jerkah Haji Razman.
Jenazah Rustam mula menghilang. Kesan tikaman diperutnya mengeluarkan darah dan ulat yang membusuk. Allah. Haji Razman berzikir mengingati Allah lalu memohon ampun atas segala dosa lalunya. Dia perlu selesaikan segalanya hari ini. Jika tidak nyawanya dan keluarganya dalam bahaya.
"Kenapa kau biar perempuan tu mati. Aku nak perempuan tu menderita. Aku nak dia terseksa lihat keluaga dia porak peranda macam keluarga aku kena.
Anak kau nak dia mati," balas Wak Kardi.
"Hurmm. Buatlah apa yang patut. Tapi aku masih tak puas hati, perempuan tu mati cepat sangat. Aku belum puas."
==============
BERSAMBUNG pukul 10 malam. Sabarlah sayang semua... sabar tau!
===============
Suntingan & Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment