Wednesday, 28 March 2018

JIRAN SEBELAH - Xander Xavier


JIRAN SEBELAH

==========================

Aku tinggal di Blok 3, Felda Kayu Selatan (bukan nama tempat sebenar). Rumah aku ni taklah besar sangat dan taklah kecil sangat. Rumah Felda lama yang sudah dibesarkan sedikit peninggalan kedua ibu bapa yang telah lama pergi. Aku pun masih bujang, jadi rumah besar bukanlah satu keperluan.

Tapi, di sebelah rumah aku, ada lagi sebuah rumah yang agak mewah jugalah. Aku dengar dari orang blok, peneroka tuan punya rumah telah lama meninggal, jadi anak-anaknya telah mengubahsuai rumah berkenaan untuk disewakan.

Aku tak tahu-menahu pasal jiran-jiran di sini sebab baru saja berpindah. Aku sekolah berasrama penuh sejak berumur 12 tahun, masuk ke universiti, dan terus bekerja sebagai pegawai Felda yang memerlukan aku untuk berpindah randah setiap beberapa tahun. Dan akhirnya sampailah ke kampung sendiri. Memang tak pernah lekat di suatu tempat sahaja.

Selama beberapa bulan aku duduk di sini memang sangat menyeronokkan dengan suasana kampung yang damai. Pagi ke tempat kerja dan pada waktu petang pula berbudi pada tanah yang sekangkang kera di tepi rumah. Semuanya normal.

Pada suatu hari sewaktu aku sedang melakukan eksperimen menanam pokok jagung di tepi rumah, aku ternampak ada seorang wanita bersama dua orang anaknya dalam lingkungan usia 8 hingga 10 tahun masuk ke dalam rumah jiran aku yang tak berpenghuni itu. Aku tidak mempunyai prasangka buruk. Nak tegur, segan. Aku terus memerhati sampai kelibat mereka memasuki rumah terbabit.

“Mungkin penyewa baru kot,” aku bercakap sendiri.

Aku melihat jam tangan yang melekat di tangan kiri dan hanya ditanggalkan sewaktu ingin mengambil wudhuk. Terperanjat beruk aku. Dah pukul 6.55 petang. Ini semua jagung punya pasal. Aku pun masuk ke dalam rumah, membersihkan diri dan terus ke masjid berdekatan dengan rumah. Aku pulang ke rumah sekitar pukul 9.30 malam. Ada tazkirah. Jadi, kalau dah malam-malam ni, memang mata pun berat. Aku duduk di sofa dan menghidupkan televisyen. Suaranya aku pasang perlahan.

Tiba-tiba, aku terdengar suara kanak-kanak ketawa. Sungguh riang dan turut diselangi oleh suara wanita dewasa ketawa. Aku tidak merasa janggal, mungkin itu suara jiran sebelah yang baru berpindah. Namun, apabila malam semakin larut, suara tersebut mula bertukar kepada sesuatu yang membuatkan bulu roma aku menegak.

Daripada ketawa bertukar menjadi jeritan, jeritan kepada tangisan, dan tangisan kepada suara mengilai. Aku semakin tidak senang duduk tapi aku yakin Allah sentiasa bersama dengan hambaNya yang memerlukan. Aku pun mulalah mencurigai sesuatu.

Situasi yang sama berulang hampir setiap hari. Perasaan ingin tahu dalam diri aku semakin membuak-buak.Tapi aku masih tahu batas. Aku tidak akan buat benda-benda yang tak sepatutnya seperti mengskodeng rumah jiran atau lain-lain. Mereka tidak pernah keluar dari rumah sejak hari pertama aku melihat mereka. Nak kata dah pindah… Kenapa bunyi-bunyi daripada rumah ini masih kedengaran?

Dan segala rahsia terbongkar pada hari itu…

“Hafiz, boleh tolong akak tak?” Kak Sal datang ke meja aku dengan perutnya yang besar mengandung 8 bulan.

“Tolong apa Mak Bunting?” Kami semua memang mesra di pejabat. Selain aku dan Kak Sal, ada Farid dan Firdaus.

“Tolong buat bancian dekat setiap blok. Kerja ni sebenarnya tugas akak dengan Daus, takkan kau sanggup tengok ibu-ibu mengandung menapak dari rumah ke rumah semata-mata nak tanya berapa orang dalam rumah tu. Harus terberanak akak kau ni dik,” Kak Sal masih memujuk.

“Apa yang saya dapat kalau saya tolong akak ?” Aku cuba berbasah-basi.

“Dapat pahala… Hahaha! Takdelah. Nanti akak bagi upah. Boleh?” Tawaran yang baik. Rezeki jangan ditolak.

“Ok. Boleh,” dengan lajunya aku bersetuju.

Maka selepas makan tengah hari itu aku dan Daus pun bertolak menapak dari satu rumah ke satu rumah yang lain. Kami berjaya menyelesaikan dua blok dalam masa 2 jam. Jam menunjukkan sudah sampai waktu untuk pulang namun aku dan Daus telah sepakat untuk menyelesaikan bancian di blok masing-masing sebelum pulang ke rumah. Kami pun berpisah, aku akan menyambung bancian di blok tiga dan Daus akan melakukan bancian untuk blok kediamannya di blok 14.

1 jam berlalu dan aku masih terus melakukan bancian. Aku tiba di rumah aku. Aku tanda ‘right’ di nombor 1 menandakan hanya seorang yang tinggal di situ dan lalu menempelkan nota bancian pada dinding rumah. Aku bergerak ke rumah jiran aku. Setelah beberapa kali mengetuk pintu dan memberi salam akhirnya pintu dibuka.

“Ye… Boleh saya bantu…,” ibu berserta kedua anaknya membuka pintu rumah.

“Saya Hafiz daripada Pejabat Felda. Saya nak buat bancian. Kalau boleh saya tahu berapa orang tinggal di sini dan adakah Puan ni penyewa?” Aku keluarkan ayat yang paling professional. Dua anaknya masih disamping si ibu.

“Encik Hafiz ni tinggal di sebelah kan? Silakan lah masuk,” si ibu berkata lalu berpusing dan berjalan masuk ke dalam rumah.

Aku tak sempat jawab apa-apa lagi. Nak masuk, nanti orang blok fikir apa pula. Nak ditolak, akak tu dah masuk rumah. Daripada pening kepala fikir nak masuk ke tak nak aku pun masuk jugalah. Aku dibawa duduk di sebuah meja makan di bahagian dapur. Ada 4 buah kerusi, si ibu duduk di hadapan aku, manakala kedua-dua anaknya duduk di kiri dan kanan aku.

“Puan dah lama duduk sini?” Sengaja aku berbasah basi dah alang-alang jumpa jiran ni.

“Dah nak masuk lima tahun. Kamu datang sini nak tahu berapa orang yang duduk kan?” Kakak tadi mengulangi pertanyaan aku.

“Ye kak. Dan akak menyewa ke?” Sekali lagi aku mengulangi pertanyaan di hadapan rumah mereka tadi.

“Tak ada orang yang duduk di sini Encik Hafiz...” akak tadi tersenyum sinis anak-anaknya juga.

“Eh, akak jangan buat lawak kak. Habis tu akak dengan anak-anak akak ni bukan orang ke?” Aku cuba berlawak.

Namun, ketiga-tiga beranak tadi hanya tersenyum sinis. Perlahan-lahan senyuman sinis mereka berubah menjadi ketawa. Bukan ketawa tapi hilaian lebih tepat lagi. Mereka berdiri serentak dan pemandangan yang aku lihat amat mengerikan.

PERUT KETIGA BERANAK ITU PECAH ATAU LEBIH JELASNYA BERLUBANG!

Aku pun membuka langkah seribu mendapatkan pintu terhampir untuk menenangkan diri. Aku beristighfar dan cuba bernafas secara normal namun, ada bau tidak menyenangkan yang tertangkap oleh hidung. Dan aku menoleh untuk melihat sekeliling ruang kecil terbabit. Aku dapati aku berada di bilik stor bersama tiga mayat yang mula membusuk.

“Ya Allah!” Aku sekali lagi mengerah tenaga mendapatkan pintu utama dan menghidupkan motorsikal lalu memecut ke masjid meminta bantuan. Hari pada ketika itu sudah pun mendekati maghrib.

Setelah aku beritahu dengan orang kampung berkenaan peristiwa yang berlaku, laporan polis segera dilakukan dan anak pemilik rumah juga tiba pada malam itu juga. Tiga mangsa terbabit dipercayai membunuh diri. Siasatan awal menunjukkan bahawa perut ketiga-tiga mangsa dikoyak menggunakan pisau. Mungkin si ibu membunuh kedua anaknya terlebih dahulu sebelum melakukan hal yang serupa dengan dirinya sendiri.

“Macam mana kamu boleh masuk ke dalam rumah ni?” Tuan rumah ditemani pihak polis bertanyakan soalan itu kepada aku yang masih terpinga-pinga.

“Saya dipelawa masuk oleh perempuan dan dua anaknya. Saya datang nak buat bancian, dan diajak masuk oleh mereka,” aku menjawab jujur. Tuan rumah dan pegawai polis terbabit saling berpandangan.

“Takpelah. Saya faham. Sebenarnya perempuan tu penyewa saya dari lima tahun yang lalu, tapi dan banyak bulan dia tak bayar sewa. Saya ingatkan dia tak mampu nak bayar. Saya diamkan saja sebab dia memang ibu tunggal dan mungkin memerlukan duit. Saya tak sangka pula jadinya macam ni,” tuan rumah terbabit berkata.

Sebelum pergi, dia berkali-kali mengucapkan terima kasih dan memeluk aku dengan erat. Lelaki berusia 40-an itu memberikan aku sejumlah wang sebelum berlalu pergi dengan kereta mewah miliknya. Buat apa dia bagi aku duit? Aku pun tak tahu.

Beberapa tahun berlalu, dan sekali lagi aku harus berpindah ke tempat lain kerana dinaikkan pangkat sebagai pembantu pengurus. Rumah disebelah masih kosong, dan kini rumah aku juga akan kosong. Setelah kes itu diselesaikan tiada lagi gangguan. Tapi apa aku nak buat dekat rumah arwah mak pak aku yang kosong bila aku pergi nanti?

Nak sewakan ke ?

P/S : Cerita inihanya fiksyen semata-mata. Kita perlu ambil tahu tentang jiran kita. Ambil tahu saja tau, jangan menyibuk pula. Apa-apa pun, jangan kita mudah terpengaruh dengan cerita ini. Ambil yang jernih dan buang yang keruh.

=================================================
Suntingan & Gambar: nadey
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: