Sunday, 11 March 2018

ANDANG API - Maria Rose


ANDANG API
Nukilan: Maria Rose
====================

Dulu, ketika awal 1960-an, di mana waktu itu aku masih belasan tahun, tinggal di kampung bersama ummi dan nenek. Ummi bekerja sebagai cikgu sekolah rendah di kampung Tangga Batu. Ummi menjadi cikgu semenjak sebelum Jepun memerintah Tanah Melayu lagi (sekarang Malaysia).

Bersawah padi dan berkebun adalah pekerjaan utama orang-orang kampung aku. Paling aku seronok, bila musim menuai dan membanting padi selesai. Ketika ini, musim belalang ketik (belalang padi) membiak dengan banyaknya.

Belalang ketik ini bersaiz kecil dari belalang kunyit, berwarna coklat dan hijau muda. Belalang ketik ini juga merupakan salah satu sumber makanan yang kaya dengan nutrisi dengan cara digoreng, digulai atau pun dibuat rendang.

Orang-orang kampung dan sanak saudara beramai-ramai turun ke sawah untuk menangkap belalang padi. Penangkapannya hanya dilakukan pada waktu malam, yakni waktu belalang kurang aktif.

Kami memasuki petak sawah yang telah dituai padinya, bergerak mara perlahan-lahan sebarisan ala-ala tentera sambil menangkap belalang yang hinggap pada batang-batang padi. Belalang kami masukkan dalam pundi kain yang tergantung di leher masing-masing.

Di tangan pula memegang andang api. Andang ini diperbuat daripada pelepah daun kelapa yang sudah kering. Satu batang pelepah kelapa dipunjut dan diikat-ikat dan dinyalakan api dihujungnya.

Suasana amat meriah dengan gelak ketawa dan usik-mengusik sesama sendiri. Inilah saat paling digemari oleh muda mudi, peluang baik untuk memikat gadis yang berkenan di hati.

Macam-macam perkara lucu berlaku. Kadang-kadang belalang terbang melantun ke muka orang sebelah. Maka, makin meriah suasana dengan gelagat makcik-makcik yang melatah dek belalang hinggap pada muka mereka.

Nun jauh di hadapan kumpulan kami, dari arah bertentangan, lebih kurang jarak lima petak sawah yang dah bertuai padinya, jelas kami nampak seseorang bersendirian.

Kelihatan sebatang andang api, gayanya pula seolah-olah mengutip belalang ketik juga. Kami semua tertanya-tanya siapalah gerangan orang itu. Kenapalah sorang-sorang menangkap belalang ketik tanpa kawan.

Kami berteriak memanggilnya untuk menyertai kami. Peliknya, apabila kami berteriak, api andang orang tu tiba-tiba terpadam. Kami memutuskan untuk menyambung aktiviti kami tadi.

Namun, tatkala kami sibuk menangkap belalang, andang api menyala semula dan orang itu terbongkok-bongkok sama mengutip belalang. Ah!!! mungkin orang tu tak mahu diganggu.

“Agaknya orang dari sebelah 'baruh', pedulikanlah.” Pesan makcik yang melatah tadi.

Sebenarnya dalam hati makcik tu dah punya rasa tak enak tetapi dia masih mengunci mulut. Pesannya kepada kami anak-anak dara sunti ni, jangan tegur lagi, biarkan. Jangan sesekali tegur orang tu semula. Kami akur.

Belalang yang banyak menyebabkan kami melupakan hal tadi. Semakin leka kami menangkapnya. Dalam pada itu, kami nampak orang itu dah dekat dengan kumpulan kami. Jaraknya cuma selang satu petak sawah sahaja!

Memang jelas, orang itu berpakaian putih. Terdapat kain lilit putih atas kepala. Wajah dia kelam, tak jelas kelihatan sebab andang api yang dia pegang terlalu tinggi atas kepala. Tetapi matanya kelihatan seperti cahaya kunang-kunang. Badannya lebih kurang dua kaki lebih tinggi dari kami.

Masing-masing terkaku, senyap tak bersuara. Secara tiba-tiba, dengan tidak semena-mena angin bertiup. Terasa sejuk sangat sampai boleh menggigil dibuatnya. Suasana sepi. Hanya bunyi padi yang belum disabit bergesel satu sama lain.

Kami sudah berfikir bukan-bukan. Kelibat orang itu agak meragukan. Jari jemari mulai kaku, kedua kaki aku rasa berat, seolah-olah terpasak pada tanah. Tidak mampu untuk berganjak walau sedikit.

Muka masing-masing dah pucat lesi. Andai ditoreh sekalipun, pasti tak keluar darah agaknya. Bulu tengkuk mula meremang. Peluh pula memercik di muka masing-masing walaupun suasana ketika itu dingin.

Maklong tiba-tiba meloncat dua langkah ke depan. Andang di tangan dicampaknya. Dia bertepuk tangan tiga kali.

"Abang aji.. Kalau betul jasad macam kami, mari lah sama-sama. Tapi kalau bukan, jangan kacau anak cucu, kami tumpang lalu sahaja!” Jerit Maklong.

Jeritan Mak Long hanya dipandang sepi. Dalam suasana malam itu, kelihatan lelaki itu terbongkok-bongkok mengutip belalang. Sepertinya dia tidak menghiraukan sapaan Mak Long tadi.

Kira-kira lima depa dari Mak Long berdiri, andang api lelaki itu tiba-tiba terpadam. Kelibatnya seperti angin, melayang jauh ke tempat mula-mula kami nampak dia tadi.

“Hihihihihihi…….”

Hilaian yang menggerunkan bergema di kawasan sawah itu. Dengan serta-merta andang apinya menyala semula, nun jauh di tempat tadi. Apalagi, masing-masing tak cukup tanah lari lintang pukang balik rumah.

Putih tapak kaki bagai tak jejak bumi sebab ketakutan. Sesampai di rumah, kulihat nenek duduk bertenggek atas tangga batu di depan rumah. Menunggu aku pulang agaknya.

Nenek hairan melihat aku termengah-mengah. Dengan keadaan terketar-ketar, aku ceritakan satu-persatu.

"Kan dah pesan jangan suka keluar malam Jumaat!” Tegas nenek bersuara.

“Ya Allah, kenapalah aku terlupa malam ni malam Jumaat.” Aku mengomel sendiri. Geram dengan kelalaian sendiri yang lupa tentang hari.

Aku berlari naik atas rumah dan ke tempayan air di dapur. Air dicedok dan kujirus ke kaki. Selesai membasuh kaki dan mengambil wuduk, aku terus masuk bilik. Berharap aku dapat melelapkan mata cepat-cepat dan melupakan peristiwa tadi.

Keesokannya harinya,aku berjumpa semula dengan kawan-kawan yang sama-sama mengutip belalang malam tadi. Sudah semestinya peristiwa malam tadi menjadi topik perbualan kami.

Rupa-rupanya, ada yang sampai terbarai kain batik masa lari pulang, ada juga yang terkencing, yang tersungkur sebab tersadung tunggul pokok pun ada. Mujurlah tak ada sesiapa yang cedera.

Malam esoknya, kami pergi lagi. Bertambah besar kumpulan orang kampung kami ajak pergi tangkap belalang. Kali ini, setiap orang wajib bawa tin kosong dengan kayu sebesar lengan.

Tin kosong tu akan kami ketuk kuat-kuat berkali-kali sekiranya peristiwa sama berlaku lagi. Itulah peristiwa yang tak pernah aku lupakan. Seronok ada, takut juga tak terkata.

Masih segar dalam ingatan perasaan takut itu namun aku tak pernah serik untuk mengutip belalang ketik.

Perihal tentang andang api pada malam itu, aku sendiri tidak pasti tentangnya. Mungkin teguran buat kami si gadis yang keluar malam.

-TAMAT-
===================================
Suntinga: Ratika
Gambar: Dikmang
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: