BA & NGANG.
=============================
Tersenyum puas Ba keseorangan. Kini semua orang sudah membuka mata. Tak sia-sia dia bekerjasama selama ini. Halal haram tolak tepi. Namanya kini semakin terkenal, produknya laku keras.
Matanya tak lepas memandang ke bilik kecil. Tertera plak R&D di pintunya. Dibina khas di dalam pejabatnya, kedap bau dan bunyi. Ramai juga yang sering bertanya; "Kenapa R&D Division di dalam pejabat CEO?“
Itulah bilik istimewa untuk rakan kongsinya. Rakan Ba yang paling utama. Pintunya masih tertutup rapat. Mungkin waktu menyantap barangkali. Atau sedang fokus menghasilkan formula nutrisi.
Ramai yang memandang sinisnya selama ini. Itu adalah lumrah, Ba tak kisah. Ramai yang memerli kehidupannya sebelum ini. Juga Ba tak ambil peduli. Kutuk lah apa pun, keji lah apa pun. Ba buat tak tahu, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Nama Ba kini tular di media sosial, bahkan lebih popular dari nama Ayah. Produknya menghiasi semua iklan di televisyen, menaja hampir semua program hiburan. Kekayaannya kian bertambah, seiring dengan kebencian netizen.
Ba sedar... kebencian itu datang dari mereka yang gagal, dari mereka yang cemburu, juga dari mereka yang tidak berpuas hati dengan Ayah. Sedikit sebanyak dia sebagai anak turut serta menerima tempias ejekan dan kutukan.
Sejujurnya dia juga tidak menyetujui cara Ayah berniaga. Perwatakan lembut bagaikan pondan. Tergedik-gedik menjual produk di hadapan kamera. Malu Ba di kolej dengan sikap Ayah, ramai yang mencemuh memerlinya. Bahkan ada pensyarah yang menyindirnya ketika kuliah, "Duta produk yang jelek adalah sebahagian teknik pemasaran yang bagus."
Ada yang melampau menyarannya membuat ujian DNA, manalah tahu ada sel sotong dalam darahnya. Ba hanya diam tak membalas, dia hanya fokus pada pengajiannya. Cuma kadang terlintas juga di hati; bagaimana Ayah yang seorang lelaki boleh menjadi jutawan dengan menjual produk feminin.
Ramai pula yang membeli tu, sampai kaya raya orang tua tu. Sesudah kaya datang pula penyakit baru, Ayah suka menayangkan harta benda di media sosial. Bagaikan ingin mencanang kepada dunia bahawa kekayaannya adalah dari titik peluhnya sendiri, bukan dari warisan atau keturunan.
Itulah yang cuba diterapkan Ayah pada Ba. Berdiri di atas kaki sendiri. Tidak mengharapkan bantuan atau ehsan orang lain. Tiada istilah subsidi, tiada hikmat magis tongkat sakti. Tiada yang boleh mengubah nasib melainkan diri sendiri. Usaha dan terus usaha, jangan berputus asa.
Masih terngiang-ngiang lagi herdikan Ayah sewaktu Ba mengadu dirinya malu, "Pedulikan cakap orang lain! Bukannya mereka yang membelikan kamu beras di dapur!"
Ba rasa sedikit tertekan, hanya dialah anak tunggal dalam keluarga yang ada. Adik lelakinya Qof mati dalam kecelakaan, lemas ketika bermain di tali air. Beban yang digalasnya cukup tinggi. Dialah bakal pewaris utama empayar perniagaan Ayah. Tetapi bukan semudah itu, Ayah mahu mengujinya terlebih dahulu. Walhal sekelumit harta peninggalan pun Ba tak pernah mahu.
Ba diarah membuka syarikat sendiri sejurus menamatkan pengajian. Termenung jauh dia memikirkan arahan Ayah. Membuka syarikat sendiri? Apa yang nak dijualnya? Kenapalah tidak disuruh sahaja membuka anak syarikat, bukankah itu lebih mudah?
"Ba, janganlah kamu risau. Ibu akan membantumu dari belakang," Datin Fa datang cuba memujuk. Kasihan dia melihat Ba, muda lagi sudah dipertanggungjawabkan sedemikian. Tapi apa boleh buat, ini adalah arahan Dato' A. Sebagai isteri, Datin Fa atau nama panjangnya Ain GhinFa hanya perlu mengiya sahaja tanpa membantah.
"Ibu akan menolongmu diam-diam, biar Ibu yang uruskan hal kewangan dan pemasaran syarikat baru kamu," Ibu memujuk lagi. Ba buntu, jiwanya bukan menghala ke situ. Ini bukan masalah kewangan, ini soal minat. Ba suka bersukan, bukannya perniagaan. Ibu juga tahu, cuma Ayah yang tidak pernah ambil tahu. Namun apakan daya, minat mereka tidak sama. Hala tuju mereka berbeza.
Ba sebenarnya sunyi. Tak punya rakan dan kawan. Jikalau ada pun hanya menyakitkan hati. Ba dijadikan bahan dan modal melepaskan kebencian di dalam kelas. Kemewahan dan kesenangan yang dilimpahkan Ibu dan Ayah tidak mampu untuk menghalang Ba daripada dipulaukan.
Keadaan yang berbeza jika Ba di dewan sukan. Mengangkat beban membina badan. Di situlah Ba mendapat ketenangan dan di gymnasiumlah Ba membina keyakinan. Ba mahu dikenali sebagai atlit bina badan, bukannya sebagai tokoh usahawan. Ba mahu dilihat sebagai simbol ketegapan, bukannya dibayangi ikon kelembutan.
***
Mengetap bibir Ba menahan marah, turun naik dadanya mengambil nafas. Ketenangan yang dicari, provokasi yang diperolehi. Sakit hatinya melihat batang tajurnya dicampak ke tebing. Bukan satu bukan dua. Hampir kesemuanya bertaburan. Sukar untuk Ba menduga angkara siapa.
Dari marah beransur hairan. Di mata kailnya hanya tinggal kepala sahaja. Cukup untuk membuktikan umpannya memang sudah mengena. Tapi mana badannya? Hilang bagai dimamah sesuatu. Dari kesan gigitan, ini bukan kerja biawak. Memerang...? Kawasan bendang ni kak, boleh ke mereka berkembang membiak? Maling...? Kenapa digigit badan ikan begitu sahaja? .
Banyak persoalan yang berada di minda. Cakap banyak tak guna, tikam nombor pun tak kena. Tak ada cara lain, Ba perlu menghendap. Kalau seekor sahaja yang dicukai badannya pasti Ba boleh terima lagi.
Ini kesemua tujuh batangnya diperlaku begitu. Badan kau bedal, kepala kau tinggal. Melampau. Siap campak lagi kesemua batang tajurnya. Sudah mencuri, kurang ajar pula.
"Apa kau ingat aku ini kucing kurap yang menanti kepala sahaja?!" Kemarahan Ba datang menyinggah sesudah kehairanan berlalu pergi.
Kesemua tajurnya diambil dan dipacak lagi. Cengkerik dicangkuk dilontar ke air. Matahari kian terbenam. Laungan azan mula kedengaran. Puyu dan haruan kian rancak memakan umpan. Ba menyorok bersiap sedia, membuka mata memasang telinga. Golok di pinggang dicabut sarungnya, sedia melibas pembuat angkara.
***
Sudah tiga hari Ba di kampung. Mencari petunjuk memikirkan arahan Ayah. Atuk dan Opah sudah lama meninggal dunia. Dahulu Qof yang jadi rakan peneman. Kini hanya Ba seorang sahaja di rumah warisan. Termenung jauh Ba di jendela kayu. Menitis air mata mengenangkan apa yang menimpa Qof si adiknya dahulu.
Mereka berdua suka berada di kampung. Ayah dan Ibu sibuk di bandar. Atuk dan Opah yang menjaga dan memelihara mereka dua beradik sewaktu cuti sekolah. Atuk lah yang mengajar mereka teknik menajur baung. Opah pula akan menyalai hasil tangkapan. Baung salai lemak kuning...kecur air liur memikirkannya.
Tak disangka kegembiraan berakhir dengan kecelakaan. Qof menemui ajal di hadapan matanya. Kesedihan bertambah berat, Ba dituduh as-sebab kejadian. Adiknya tergelincir jatuh ketika cuba mengambil sampan. Ba yang melipat kertas mengajak Qof berlumba. Tenggelam timbul Qof melaung meminta pertolongan.
Apakan daya Ba anak bandar tidak tahu berenang. Fizikalnya kecil ototnya lemah. Mungkin mengikut genetik ayahnya yang berangka lembut. Mayat Qof bagaikan tersangkut, puas Ba tarik langsung tak berganjak.
Ayah bagai tidak dapat menerima kenyataan. Berminggu berkurung meratap pemergian. Sayang benar Ayah pada Qof. Murungnya berpanjangan hingga disahkan menghidap aquaphobia. Ayah bagaikan pantang pada air, lemah gemalai jika tersiram basah.
"Andai aku pandai berenang... Jika aku berbadan sasa." Ba mula terdetik mempersoalkan takdir. Namun Ba tidak terhenti di situ. Ba tidak mahu mengalah, Ba tidak mahu menyalahkan Ayah. Dirinyalah yang perlu berubah, bukannya mengecam baka Ayah yang lembut dan lemah.
Ba mula bersenam membina badan. Masa terluangnya di hujung minggu dihabiskan di kolam renang. Pisang tidak akan berbuah dua kali. Sekali terhantuk, Ba tidak mahu tergadah lagi. Bertitik tolak dari situlah Ba mula menceburi bidang sukan; renang dan bina badan.
***
"Siapa kau?!" Garang Ba menjerkah. Tangan kanannya siap untuk melibas golok. Genggaman tangan kirinya dikemaskan, risau-risau mahluk itu terlepas.
Ba tak perlu risau sebenarnya, genggamannya memang sudah cukup kuat. Lengannya sahaja sebesar peha budak sekolah. Urat hijaunya timbul berselirat. Ototnya pejal berkat latihan berat. Urat dawai tulang besi.
Makhluk itu cuba meronta melepaskan diri. Ikan yang dikunyahnya tadi meleleh keluar dari celahan gigi. Ba mengangkat golok lebih tinggi, sebagai amaran agar soalannya dijawab segera.
Mahluk itu tetap meronta. Terkapai-kapai dia menghayun tangan minta dilepaskan. Mencuba dia bertutur dalam kepayahan. Diulang-ulang ayatnya setiap kali Ba memperkemaskan genggaman.
"Hehaskan hihi haku... huhah haku hak herhakap."
"Aku tanya siapa kau?! Kenapa kau kacau tajurku?!" Ba semakin hilang pertimbangan. Gigi mahluk itu ditarik lagi ke atas.
"Hehaskan hihi haku... huhah haku hak herhakap."
( Lepaskan gigi aku... susah aku nak bercakap ).
Gigi mahluk itu Ba lepaskan, golok di tangan masih lagi diangkat tinggi. Tercungap-cungap mahluk itu mengambil nafas. Sempat lagi tangannya mengutip sisa ikan yang jatuh tadi. Menyuap kembali ke mulut. Laju dia menguyah.
Bercahayakan sinaran bulan, Ba dapat mengenal mahluk di hadapannya bukanlah manusia. Gigi kapaknya panjang terjulur ke bawah. Kulitnya bersisik dan berlendir. Licin dan berbau hanyir. Mujur Ba sempat mengenggam giginya tadi.
"Aku lapar. Kasihanilah aku," rayu mahluk meminta simpati. Jarinya menunding ke kaki kanan yang senget terherot bagaikan tempang.
"Mahu makan, makan sahajalah. Kenapa perlu dicampak dijahanamkan tajurku?!" Suara Ba semakin keras. Baginya mahluk itu cuba berdalih memberi alasan.
"Aku benci tali tangsi dan mata kail. Itulah punca kakiku begini, urat kakiku putus tersiat tersangkut. Banjingan mana yang membuang mata bersulam tali ke dalam tali air." Panjang lebar makhluk itu memberi penerangan.
Kukunya yang panjang masih lagi mengais dan mengutip sisa ikan yang bertaburan. Tiba-tiba dia berhenti dan menambah, "Dan inilah juga punca seorang budak mati kelemasan sepuluh tahun dahulu. Kakinya juga tersangkut mata bersulam tali ketika jatuh mengutip sampan kertas."
Terduduk Ba di atas tebing mendengar kata-kata mahluk itu.
"Qof...budak itu ialah adik aku, Qof KafLam." Ba menjawab tanpa disoal. Golok di tangan di sarung semula. Matanya yang mula berkaca merenung sayu pada mahluk yang mengunyah laju.
"Aku Ba TaSa, dari kaum manusia. Panggil sahaja aku Ba."
Ba menghulur tangan sebagai salam perkenalan. Mahluk tadi menghentikan kunyahan.
"Aku Jim HaHo, dari kaum jin. Panggil sahaja aku Jim."
"Tidak... aku tidak akan memanggilmu Jim."
"Kenapa?"
"Kau akan ku panggil Ngang... kerna gigi kau jongang."
Bulan dan pungguk sebagai saksi, sumpah dilafaz janji dipateri. Berikrar di hati sehidup semati, susah dan senang sahabat sejati.
***
"Tahniah Ba, tak sabar Ibu nak tunggu perlancaran esok." Datin Fa tersenyum bangga melihat usaha anaknya. Memang berbeza anak dan ayah. Tak disangka anaknya tiba-tiba sahaja bermotivasi membina syarikat sendiri. Berjaya pula tu. Pra-tempahan sahaja melebihi sejuta unit. Tak sampai suku pertama tahunan.
"Terima kasih Ibu atas sokongan, kalaulah ada Qof bersama kita sekarang..." Ba diam tidak meneruskan. Hatinya tiba-tiba hiba. Kerna Qof lah Ba dapat bekerjasama dengan Ngang. Tak disangka Ngang bukannya sebarang jin puaka.
Memang hebat formula yang Ngang hasilkan. Terbukti magis semuanya menjadi. Banyak testimoni yang positif dan kesemuanya memuji. Walaupun ada maklumbalas mengatakan ada sedikit bau hanyir, Ba tenang menjawab mudah, "Ini normal kerna produk saya berasaskan ikan darat dan pastinya organik tanpa bahan kimia."
Berebut orang ramai berminat untuk membeli. Berderet e-mail di peti masuk bertanyakan hal menjadi ejen. Bertalu panggilan telefon memohon merayu menjadi stokis. Ramai yang tertarik dengan produk maskulinnya.
Langsung berbeza dengan produk si Ayah. Pun begitu strategi jualannya tetap sama. Ba melantik diri sendiri menjadi duta kepada produknya. Menayang badan di hadapan lensa, mengepam otot bertubuh sasa.
Menjadi kegilaan setiap wanita. Badan yang sado dan paras muka yang tampan. Kaya pula tu. Ba mula menjadi perhatian. Pakej yang cukup lengkap untuk menggetarkan ovari, apatah lagi modal untuk berfantasi.
Tiada masa ke gym? Cubalah produk ini. Cukup seuncang, otot tegang dijamin kencang. Tak perlu berpeluh, tak usah mengeluh. Untuk hasil yang pantas, amalkan minum tanpa was-was. Ayuh... bersama kita tegap dan sasa, sesuai untuk mereka yang mengejar masa.
***
Ngang selesa di bilik barunya. Ngang juga seronok bekerjasama dengan Ba. Makannya terjamin, tak perlu merayau mencuri di tali air lagi. Setiap hari berbakul-bakul ikan disediakan buat santapan.
Puyu, sepat, haruan, keli dan selat... memang kesemuanya ikan darat. Kehanyirannya memancing selera Ngang. Dimakan mentah hidup-hidup, dikunyah perlahan satu per satu. Mujurlah itu bilik khas baginya. Tiada siapa yang tahu selain Ba, tiada yang masuk melainkan rakan kongsinya.
Sebagai imbalan, Ngang juga harus membantu Ba. Kadang terlintas juga dihatinya; Ba bersahabat hanya untuk mempergunakannya. Cepat-cepat dia menepis bisikan malaikat yang cuba mempengaruhinya. Ngang yakin, Ba hanya ingin mengkomersilkan formula rahsianya sahaja.
Tak susah pertolongan yang dipinta Ba; Ngang hanya perlu menjolok tekak sahaja. Separuh dari ikan yang ditelan perlu diluahkan semula selepas separuh hari terhadam. Warna dan baunya tak perlulah dicerita. Hijau itu pasti, hanyir sudah tentu. Kaya dengan nutrisi, itulah formula makanan kesihatan yang asli.
Hasil luahan akan disalurkan ke dalam corong biliknya yang bersambung ke mesin bancuhan di bahagian produksi. Dikacau pekat hingga likat, diproses menjadi serbuk, dibungkus dan dijual di pasaran. Ramai lelaki muda yang membeli, mereka juga mahu sado sebagaimana Ba.
Ba menyediakan jalan pintas bagi mereka yang mahukan ketegapan badan segera. Tak perlu bersenam, tak perlu berdiet. Tanpa modal yang besar, cukup hanya secawan bancuhan.
***
"Congratulations Ba, I'm proud of your success." Ucap Dato' A @ Eby Sidi di dalam telefon.
"Terima kasih Ayah, jangan lupa datang esok untuk perlancaran rasmi." Tak lupa Ba mengingatkan Ayah kembali.
"Sorry Ba, I'm still in English Land. The filming still not finished yet."
Ba diam tak membalas. Dia sudah biasa terasing sejak kecil. Cuma dia hairan tiba-tiba sahaja Ayah terlibat dengan aktiviti pemfileman.
"Owh yeah Ba, what is your product name which do you want to launch tomorrow?“ Ayah bertanya menyambung perbualan.
"Maaf Ayah, Ba hanya gabungkan nama Ibu dan Arwah Adik sahaja. Ba rasa itu yang sesuai." Perlahan sahaja suara Ba menjawab.
"It's okay Ba, I'm pretty sure Ibu and Arwah Adik will be proud. So... what's the name of your product?"
"FaQof Ayah."
=========================================
TAMAT
Suntingan Karya & Gambar: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment