Monday, 5 March 2018

MALAM PURNAMA - FateStay Nite


MALAM PURNAMA

===============
1/3/2018 Di Setia Tropika Kempas Johor, Jam 11.30pm

Kelihatan seorang lelaki memakai sweater berhoodie menutup kepalanya sedang duduk di tingkat 8 sebuah banggunan, biarlah bangunan itu dirahsiakan namanya. Dari tempat yang tinggi itu kelihatan dia sedang termenung jauh kepermukaan bumi. Gelap. Hanya lampu-lampu rumah serta jalan menghiasi permukaan bumi. Indah!.

Lalu dia mendongak kelangit, "Bulan Penuh!" bisik hatinya. Kemudian direnung kembali permukaan bumi, bagai menunggu sesuatu yang tidak pasti.

Zaaaaaasss! tiba-tiba satu kelibat hitam melintasi dihadapan matanya. Jaraknya lebih kurang 500 meter. Mata si lelaki pantas menjadi awas, matanya dipejam rapat dan tenang. Ia hadir tidak diundang, dan ia bertuan!.

Si lelaki masih menunggu penuh debar, perkara tadi tidak diendahkan. Kerana itu bukan urusannya dan yang ditunggu adalah sesuatu yang sekian lama sudah terhenti.

"Hei manusia!" suatu bisikan dihatinya memangil. Pantas dia melihat dengan ekormata. Sekujur tubuh hitam berrambut panjang disebelah belakang kanannya.

"Apa urusan kau datang kesini?" Si lelaki berbicara melalui hatinya.

"Tampaknya kau boleh mengetahui kehadiranku!"

"Iya, kerana aura tenaga kalian berbeza, tetapi aku tiada urusan dengan kalian" kata Si lelaki tenang sambil matanya masih memandang permukaan langit yang terbentang luas.

"Apa yang kau cari?,"

"Sebuah kisah! usah kau ganggu aku atau kita bakal bermusuhan keras"

"HAHAHAHAHA.. Maksudmu, kau mahu berperang denganku?"

"Jika itu kau mahu, akan aku turutkan!"

"Sudahkah kau puas menakluki dunia ini? sudahkah kau merasai keindahan dunia ini?" Si makhluk hitam itu memanipulasikan minda Si lelaki.

Terkumat kamit bibir Si lelaki membaca sesuatu, hati dan lafaz harus seiringan. Maka roh dan jasad bersama. Kalimah suci Al-Quran dilafaskan, makhluk hitam tadi mula tidak keruan. Ke kiri dan ke kanan dia mengelibas.

"Celaka kau manusia!" tengking si makhluk itu lalu berlalu pergi.

Si lelaki hanya tersenyum sinis, sedikit pun diwajahnya tidak menampakkan dia terkesan dengan herdikan Si makhluk durjana itu. Baginya itu hanyalah ujian Allah kepadanya.

Mata hitam Si lelaki perlahan-lahan mengecil, dia cuba fokus pada suatu tempat yang jaraknya lebih kurang 1km dari tempatnya. Kelihatan kelibat-kelibat hitam berterbangan bersimpang siur, namun lelaki itu tidak mengetahui makhluk apakah itu dan yang peliknya dalam satu tempat mempunyai lebih kurang 4 ekor.

Matanya dipejam rapat kembali, jiwanya tenang sambil dia menghayati angin malam itu. Makhluk-makhluk itu bukan urusannya, lalu nafasnya terhembus kuat seakan mengeluh. Dia sudah tidak sekuat dahulu, jika dia mencampuri urusan-urusan lain nescaya tubuhnya juga bakal binasa. Dan waktu ini ada satu tubuh baru sahaja di ikat dengan sebuah hasad dengki manusia.

"Manusia.! manusia !"

Si lelaki mengeluh, dapat dirasakan mangsa bakal tersiksa atas perbuatan seseorang. Cahaya itu sangat dikenalinya dan ia menuju laju kearah sasarannya. Siapa sangka esok harinya hidup mangsa bakal berubah. Dari gembira dia bakal sedih, dari sihat dia bakal sakit.

"Hurmm!, Tuju, tetuju salah tuju, terjatuhlah disitu!" si lelaki menyebut sambil jari telunjuknya mengarah ke arah cahaya.

Pantas cahaya itu hilang, gelap kembali. Semoga Allah melindungimu dari segala penyakit zahir mahupun batin.

Jam 1.50am
"Kamu menunggu kehadiran aku?" satu suara mengetuk pintu hati si lelaki.

"Tidak!" balas si lelaki tegas.

"Jadi? Siapa yang kamu tunggu?"

"Itu bukan urusan mu!"

"Tetapi kamu juga telah mencampuri urusan kami!"

"Maksud kamu?" Tanya Si lelaki tenang.

"Aku melihat setiap pergerakanmu dari awal," kata Si makhluk itu, tanda dia nampak akan Si lelaki mencampuri urusan mereka tadi
.
"Tapi tiada urusan dengan dengan mu!" Si lelaki masih melihat jauh kedalam kegelapan.

"Ada!"
"Apa?" tegas Si lelaki.
"Kisah 8 tahun lalu!"
"Heee, kau masih cuba menuntut hak yang bukannya milik kau!"
"Ia milik Aku!" Tengking makhluk tadi.

*****

"Wei Saiful, bangunnn!.. bangunnn!" suara Pak Samad iaitu rakan sekerja Saiful pada shif malam.

Mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di Maktab Teknik PDRM Muar Johor. Iaitu menjaga pintu tapak projek perumahan Maktab. Satu pos yang digelar Pos 3 adalah tempat dimana pengawal lain tidak berani menjaganya.

Saiful membuka matanya sambil melihat kearah Pak Samad yang berdiri agak jauh dari tempat baringnya. Ditangan pak samad ada sebatang kayu panjang.

"Eh napa Pak Samad?" tanya saiful pelik, kerana waktu itu adalah waktu Pak Samad bertugas ronda dan saiful tidur sebentar.

"Tu...tu...tu!" tunjuk Pak Samad kearah tepi kepala Saiful

Pantas Saiful menoleh,kelihatan seekor ular berwarna hijau pekat berkilat, besarnya sama dengan pergelangan tangan Saiful. Saiful tenang melihat dan ular itu juga melihatnya.

"Keluarlah, nanti kau dibunuh. Lain kali kita akan bertemu lagi" ujar Saiful tenang.

Seakan faham dengan tutur kata Saiful, ular itu menyusur keluar melalui tingkap dan terus hilang. Pak Samad yang melihat peristiwa itu tergamam. Tidak disangka bahawa Saiful mampu berbicara dengan ular.

"Eh Saiful!, macam mana kau boleh cakap dengan ular?" Tanya Pak Samad pelik, dan masih takut untuk duduk mendekati Saiful.

"Itu bukan Ular biasa la Pak Samad, nama dia Balqis" kata Saiful tenang, lalu diangkat bantalnya dan menunjukkan sebilah keris pendek bersarung ular dan berkepala kuda laut.

"Allahhhh! apa benda tu Saiful" tanya Pak Samad pelik.

"Nah ambillah tengok, tak ada apa-apa la" hulur Saiful

Pak Samad ambil lalu membukanya, tiba-tiba angin kuat kencang menerpa kearah pos mereka. Pak samad melihat keris itu berwarna keemasan dan terdapat beberapa tulisan jawi.

"Apa benda ni Saiful? tulisan apa ni?" Pak Samad sibuk bertanya sambil membelek-belek keris kecil itu.

"Wafak, salah satu cara mereka mengunci sesuatu. Abaikan je tu." kata saiful sedikit menerangkan.

Pak Samad memulangkan kembali keris kepada Saiful, dan saiful menyimpannya. "Ada seseorang yang boleh pegang barang keramat ini. Jika tidak nescaya aku juga bakal binasa." bisik hati Saiful sambil menyimpan keris itu didalam beg galasnya. Esok dia perlu jumpa dengan Pak Ahat seorang lelaki tua yang turut mempunyai ilmu-ilmu ghaib. Dan dia adalah incas mereka semua.

*****

"Owhhh, kau mahukan barang itu? tapi sayangnya tiada pada aku!" balas Si lelaki tenang, dia teringat kembali akan barang yang di inginkan oleh simakhluk.

"Manusia DURJANA!"herdik simakhluk tadi, marah dengan jawapan yang diberikan oleh Si lelaki.

"Aku Durjana atau kau yang Derhaka?" balas Si lelaki cuba bermain kata dengan makhluk misteri itu. Yang tidak pernah mengalah untuk mendapatkan barang yang telah diberikan kepada Pak Ahat pada 8 tahun yang lalu.

"Aku tahu, hari dan waktu bulan penuh ini. Kau mempunyai aura yang kuat, aura atau tenaga kamu berpandukan pada perubahan alam. Selama ini aku juga mengkaji tentang kamu!" Si lelaki memberitahu kepada makhluk itu bahawa dia mengetahui waktu itu adalah waktu makhluk-makhluk itu mempunyai tenaga yang lebih sedikit. Namun Si lelaki Mempunyai Allah yang dia berlindung dengan sepenuh hatinya.

"HAA...HAAAA..HAAA, lebih baik kau berikan sahaja barang itu pada aku, atau kita bakal bermusuhan selamanya." ugut Si makhluk dengan bongkak.

"Tapi kau lupa! 4 tahun lalu. Aku juga sudah terkunci!" Herdik Si lelaki sambil menyeringai membeliakkan matanya. Menunjukkan ada makhluk ganas didalam tubuhnya yang turut terikat.

"Argggghhh!" Si makhluk tadi berang, dia tahu akan perihal itu. Dan dia tahu jika dia berkelahi dengan Si lelaki itu, bermakna dia juga bakal berkelahi dengan makhluk didalam tubuh lelaki itu.

"Sudahlahh!, lupakan sahaja perihal kisah lama. Barang itu sudah tiada pada aku." Si lelaki cuba berdamai secara baik.

"Pada siapa?!" Tanya Si makhluk.

"Seorang lelaki tua, tapi aku yakin kau tidak akan dapat rampas darinya" kata Si lelaki sambil berpaling untuk masuk kedalam rumahnya.

"Aku tak akan berhenti disini, suatu hari nanti saat kau sendiri! aku akan hancurkan kau" ugut simakhluk, seakan mengetahui bahawa Si lelaki bakal terlepas dari ikatan.

"Heeee, tapi aku ada ALLAH!" kata Si lelaki tenang, dia tahu bahawa makhluk itu mahu menakutkannya. Dan perasaan takut itu sebenarnya sudah lama mati dari dalam dirinya, sejak kejadian 4 tahun lalu.

Si lelaki melangkah perlahan masuk kekamarnya, lalu dia berbaring. Sebelum terlelap hatinya sempat berdoa "Semoga suatu hari nanti Allah akan pertemukan kita kembali!" Si lelaki masih tidak menemui apa yang dinanti, dan ditunggu. Perlahan-lahan matanya dipejam.

-TAMAT-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: