HIKAYAT SI PENJUAL TEMPE
=========================
Nota kaki - Cerita ini 70% benar. Tempat, nama adalah rekaan. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa baik yang hidup atau mati.
=========================
RESEPI MAK ANDAM SALEHA
ADUH SI SALEHA
DUGAAN SI TUKANG URUT
==========================
Petang ini, hujan lebat di kawasan kampung. Aku dah bosan. Sudah sebulan Roslan aku biarkan mati mereput di bawah. Yang seronoknya, bau busuk langsung tiada. Syaitan suruhan aku dah jalankan tugas. Jangan-jangan dah dilahap. Aku ketawa keseorangan. Mak mertua aku, Habibah dah pulang ke rumahnya. Entah dengan jantan mana kali ini yang jadi mangsanya.
Aku bercadang untuk pulang ke kampung berjumpa ibu kandung aku, di Batak Rabit, Teluk Intan. Aku dapat tahu, ibu ada di rumah makcik aku di situ. Lagipun perjalanan rumah aku ke sana hanya memakan masa satu jam.
Esoknya, kampung aku masih hujan. Aku menyarung kebaya merah dan kain batik lepas. Kemudian aku pasangkan dengan tali pinggang ke badanku. Aku duduk mengadap wajahku di cermin. Sayang, lawa begini pun menjanda!
Aku oleskan wajahku dengan Dior Skin Airflash Spray Foundation, kod Cameo. Walau wajah aku di tanam susuk emas sekalipun, aku harus bersolek dan berhias. Barulah gah! Sesudah itu mata aku di hias dengan Tom Ford Eye Color Quad. Kata orang, dari mata turun ke hati, jadinya solekan mata haruslah menonjol. Kemudian bulu mata aku dicalit dengan maskara dari Kevyn Aucoin The Expert Mascara In Bloodroses. Sebagai pelengkap tata rias, aku oleskan lipstik Lip Maestro Intense Velvet Color by Giorgio Armani. Aku teramat sukakan pemerah bibir berwarna merah. Terasa berahi dan ghairah. Juga aku dapat rasakan sang pria juga geram melihat aku.
Aku tiba di bandar (naik prebet sapu), dan niat aku hendak menaiki teksi untuk ke rumah makcik. Aku bertemu dengan Rashid, pemandu teksi yang akan menjadi mangsa aku kali ini. Sudah lama dia cuba hendak memikat aku dan kali ini aku benarkan.
Sejurus masuk dalam teksinya, segera aku hembuskan mantera pukau pada cuping telinganya. Sepantas kilat, Rashid mengangguk dan melihat aku. Mujarab betul ilmu pukau aku ajaran Pawang Sidik. Rashid pun satu, jenis malas solat, kaki judi, kaki todi! Memang cepat lah ilmu aku menjadi.
Sepanjang perjalanan aku tidur. Malas aku nak melayan Rashid. Lagipun dia semacam bodoh tak bersuara. Kadang-kadang aku dengar dia ketawa seorang diri. Menjadi sungguh ilmu Ganti Bayang aku. Yang dia nampak, yang dia berbual bukan aku, tapi pendamping aku. Boraklah korang sepuas hati. Bodoh punya manusia. Senang tertipu.
Tiba di perkarangan rumah, aku arahkan Rashid bawa turun segala beg pakaian aku.
"Aik. Tadi bukan main layan kita elok. Ini marah marah pula. Hehehe..." ujar Rashid.
Ah kau ni Rashid. Benda khayalan pun tak boleh beza. Sesudah itu aku terus menyuruh dia membawanya ke dalam rumah. Rashid berlalu pergi. Sekupang duit pun dia tak minta. Simpanlah kau duit daun kering tu yang aku beri awal-awal lagi. Ada duit kau pergi berjudi, pergi night club!
Emak dan makcik aku menyambut aku. Terasa lama tak berjumpa keluarga aku. Aku bercadang untuk habiskan masa sebulan dua di rumah emak. Memandangkan aku dan Roslan dah berpisah. Eh.Berpisah ke? Dia dah mampus! Aku yang buat dia jadi macam tu.
Hampir 3 minggu aku di Batak Rabit. Satu hari aku memutuskan untuk ke pasar Teluk Intan. Niat aku nak beli kemenyan putih dan hitam, bunga bunga untuk dibuat pemujaan bajang peliharaan aku. Tiba di sana, Emak memberitahu aku, nanti jumpa di depan kedai menjual santan.
Sewaktu aku berjalan sekitar pasar, mata aku tertancap pada gerai menjual sayuran ulam. Tiba-tiba aku disapa seseorang. Aku berpaling,
"Ini anak si Kamisah? Saleha kan?" Aku angguk, perlahan aku mendekati gerai tersebut.
"Kamu siapa?" Aku soal.
"Aku Hamdan, anak Pak Hamid Sungai Sumun. Bapak aku berkawan dengan arwah bapak kau, belajar silat sama sama," ujarnya. Aku senyum.
Sejak hari itu, kami berdua selalu berhubung. Hamdan selalu juga datang ke rumah menghantar sayur ulam dan tempe. Ya, aku sangat gemarkan tempe. Sudah hampir 10 hari berturut dia datang ke rumah aku. Aku tak lakukan apa apa pun. Entah kenapa dia menurut kata aku. Emak aku sebenarnya tahu apa yang aku buat pada Roslan, tapi Emak tak pernah melarang.
Hendak dipendekkan cerita, aku terima Hamdan sebagai kekasih aku. Aku langsung tak kisah. Aku selidik latar belakang Hamdan, rupanya dia mewarisi harta peninggalan bapaknya. Tanah sawah miliknya hampir 10 hektar, kebun kelapa, rumah sewa ada dua tiga buah. Aku mula mengatur starategi. Ada peluang begini jangan disiakan.
Malam itu, aku ramukan sihir penunduk. Aku pindahkan ramuan itu ke dalam lepat pisang. Hamdan memang tersangat suka kuih yang satu ini. Esoknya aku jamu padanya. Selang beberapa hari, Hamdan seperti orang bodoh. Mengikut sepenuhnya cakap aku. Bayangkan, sebelum aku meramu sihir pun dia dah dengar cakap aku.
Perlahan-lahan aku mengorek rahsia tentang harta pusakanya. Aku dah mula gelap mata. Langkah pertama, aku menyuruh Hamdan menjual tanah kebun kelapanya kepada aku. Aku langsung tak keluar satu sen, Hamdan yang ke pejabat tanah untuk uruskan segala dokumen. Mudah betul. Semudah A B C. Tanah kebun kelapanya menjadi milik aku.
Kemudian, terdengar cakap cakap orang kampung tentang hubungan aku dan Hamdan. Kata Hamdan, heboh di pasar berbual hal kami. Hal yang buruk buruk katanya.
Aku mengetap bibir. Aku arahkan Hamdan, beritahu siapa yang bermulut lancang! Hamdan mengadu pada aku banyak perkara. Tentang dia selalu dibuli oleh kawannya di pasar.
Untuk pengetahuan, Hamdan bila bercakap dia gagap! Hal ini memang menjadi bahan ketawa kawan-kawannya. Mereka mengelarnya Hamdan Gagap.
Sebagai 'balasan', dek kerana dia beri aku tanah, aku hapuskan satu persatu kawan si Hamdan. Bermula dengan Dahlan, aku datang ke rumahnya malam hari. Aku bacakan mantera, dan aku tiupkan ibu santau busung pada Dahlan dan isterinya. Malam ini saja, hampir 10 buah rumah aku kirimkan santau. Semuanya ' kawan ' si Hamdan.
Kelakar sungguh. Malam itu aku umpama mendengar orkestra. Sana sini suara orang menjerit. Padan muka. Masing-masing perutnya pecah terburai. Mulut kurang ajar memang itu 'ubatnya'.
Kampung Sungai Sumun ketika itu gempar dengan peristiwa orang mati perut pecah terburai. Hamdan menanyakan aku tentang hal ini tapi aku menidakkannya. Kata Hamdan, dia ngeri melihat mayat Dahlan. Mata putih kelihatan, perut terbelah dua dan isi perut ditarik keluar.
Sejak hari itu, kehidupan Hamdan bertambah ceria. Perniagaannya laris. Tempe masyhur serata Perak. Saingan perniagaannya semua aku cantas. Aku santau, aku hantar pelesit dan aku hantar bajang peliharaan aku untuk buat kacau bilau. Hamdan ada bertanyakan aku, tentang beberapa ilmu iblis kepada aku, jadi aku wariskan Ilmu Gerun Rimau.
Si pengamal akan digeruni musuh, kawan dan selagi makhluk bergelar manusia. Oleh itu, aku perturunkan taring harimau jantan mati beragan kepada Hamdan. Tetapi, dia perlu mengikut beberapa pantang larang.
Pertama, tak boleh ambil wuduk. Kedua, tidak boleh jejak kaki ke masjid atau surau. Ketiga tidak boleh makan pulut. Keempat tidak boleh berkawan dengan keturunan Laksamana Bentan (manusia bernama dengan pangkal Megat) dan terakhir, perlu mandi sebelum Subuh.
Aku dah takutkan Hamdan supaya jangan dilanggar pantang ini. Selama sebulan aku lihat dia mengamal amalan Gerun Rimau. Memang semua orang tunduk dengannya, cuma satu yang aku tak boleh perbaiki, gagapnya! Aduh, malu benar kalau keluar berdua dengan Hamdan, aku rela dia diam dari berbicara.
Sebagai balasan, aku meminta 5 buah rumah sewanya yang terletak di Kampung Gajah. Aku mohon supaya nama aku di dalam geran. Semuanya diturutkan oleh Hamdan. Aku tak mahu wang tunai, kerana nanti mudah habis. Aku mahu aset. Aset boleh di 'biak' menjadi pelaburan yang menguntungkan.
Bila dikira, hampir 3 bulan aku di Batak Rabit. Rumah Roslan entah apa cerita. Ah biarlah, rumah itu gerannya nama aku. Kalau aku nak jual bila bila masa pun tak kisah.
Emak ada memberitahu kepada aku supaya berguru dengan beberapa Guru Santau. Aku angguk tanda setuju. Disebabkan itu, aku berkelana ke Pantai Remis dan Gopeng. Emak yang beritahu, tempat yang dua ini ada orang yang hebat meramu santau. Aku masih muda dan aku masih tidak ampuh meramu santau, kadang kala santau yang aku ramu, tidak jitu dan padu. Sekadar perut meletup, perut terburai. Aku hendak yang lagi dahsyat dari itu. Mungkin lintah keluar, lipan bara yang merangkak keluar.
Aku berkelana di dua tempat itu hampir seminggu. Selepas berguru, hendak saja aku bunuh kedua dua guru santau ini, tapi syaratnya aku kena 'masak ilmu santau tu, bermaksud aku kena mahirkan cara meramu dan ilmu aku itu semakin lama akan semakin 'matang'. Agak tidak berbaloi kalau aku bunuh mereka berdua. Nanti-nantilah akan kubunuh kedua keparat ini
Sedar tak sedar, lengkaplah 5 bulan aku di Batak Rabit. Emak aku sibuk berniaga dengan makcik aku di bandar Teluk Intan. Aku bercadang untuk segera pulang ke Klang, rumahnya Roslan, tapi hajat aku terbantut.
Hamdan meminta tolong aku supaya mengandam anak saudaranya. Hamdan ini duda anak 5, tetapi semua anaknya sudah berumah tangga. Isterinya mati bersalin. Aku pada mulanya malas, tapi bila aku lihat lambaian sawah padi, membuatkan aku tertarik. Teringin rasanya hendak mempunyai relong sawah!
Aku setuju. Walaupun anak saudaranya sudah mempunyai pelamin dari butik yang lain, tugas mengandam dan menyolek urusan aku. Dari pada tepak sirih, hiasan hantaran serta solekan ada bidang kerja aku ketika itu.
Aku sebenarnya tertarik dengan bakal suami anak saudara Hamdan. Segaknya orangnya, berkerja di Pejabat Menteri Besar. Aku mainkan peranan, aku sihirkan pandangannya. Satu malam, aku mengoda bakal suami anak saudara Hamdan di rumahnya, natijahnya kami berdua terlanjur.
Perkara itu disembunyikan. Malu besar nanti kalau bakal pengantin buat hal. Sehari selepas mereka bernikah, aku menghasut anak saudara Hamdan.
"Adik, orang lelaki zaman sekarang, kena 'diikat'. Takkan nak harap cinta dan sayang je. Suami awak tu ada rupa, kerjanya baik. Awak tu suri rumah, duduk rumah sahaja. Nanti dah beranak pinak, silap-silap dia tak tengok kau..." hasut aku. Tapi macam biasa, dia takkan terus termakan umpan. Selang beberapa hari, anak saudara Hamdan datang kepadaku. Dia mohon supaya diberi tunjuk ajar untuk mengawal 'laki'.
Aku senyum. Pelanduk sudah terkena jerat. Mudah sahaja, aku ajarkan anak saudara Hamdan itu ilmu Nasi Tangas. Ilmu yang sangat mudah dah ampuh untuk menundukkan sang pria! Cumanya, salah satu syaratnya agak berat, dapatkan aku kepala orang lelaki yang meninggal .Tak kisahlah cara matinya itu macam mana. Apa agama sekalipun aku tak kisah.Yang penting kau sendiri kena gali dan penggal kepala mayat itu. Seperti yang aku jangkakan, dia setuju.
Setelah aku ajar, dan diberi makan nasi tangas hingga cukup kitaran 10 kali, ternyata, suaminya hanya melihat isterinya sahaja.
Oh ya, Hamdan. Aku dah puas mengikis harta pusakanya, jadinya untuk mengelakkan perkara tak diingini berlaku, perlahan-lahan aku menghembus sihir pembenci kepadanya. Biar dia benci dan lupa akan aku. (Hamdan mati kemalangan, keretanya terbabas masuk tali air beberapa bulan selepas ini).
Sudah tiba waktunya aku ke tempat lain. Aku kurang berbual dengan Emak dan Makcik. Sudah puas kami berborak sewaktu awal aku datang. Emak dan makcik sibuk mencari duit. Cumanya, emak ada berkata pada aku, carilah ilmu yang lain pula. Aku tersenyum. Makcik memberitahu, supaya aku menghala ke Johor.
Aku sedikit terkejut. Jauh. Tapi macam ada hasil yang lumayan. Ibu santau ini aku kena lepaskan juga, tak boleh aku kemam lama-lama. Nanti badan aku juga yang naik bisa. Mungkin aku boleh lepaskan di sana?
Sebelum berangkat, sempat juga aku mengambil kereta Proton Saga berwarna biru kepunyaan Hamdan. Hamdan oh Hamdan, aku takkan lupakan kau. Riwayat kau sebagai penjual tempe pun tak lama dah lagi. Aku akan pastikan. Aku akan pastikan kau juga akan menderita.
Makcik memberikan aku secebis kertas, tertulis alamat tempat yang perlu aku tuju.
"Laki bini tukang urut, kau takda ilmu urut kan. Takkan la mengandam je? Ilmu Bidan dan Penanggal kau tak kuasai lagi. Lagipun aku dah telefon mereka, mereka tahu kau nak datang," senda Makcik. Aku tersenyum
Di kertas itu tertulis alamatnya, di kawasan Benut, Pontian.
Perjalanan selama 8 Jam amat memenatkan. Sepanjang itu sempat juga aku melepaskan beberapa santau angin di beberapa buah gerai.
Akhirnya aku tiba di perkarangan rumah Ali dan Ani. Setelah aku bertanyakan beberapa orang kampung lokasi rumah mereka berdua ini. Aku ada berhubung dengan telefon sebelum ketibaan aku, tetapi ketika itu aku bercakap dengan Erni, katanya ipar si Ali.
Aku turun dari kereta. Kebaya ketat disarung pada badan aku perkemaskan. Dari atas beranda, ada dua susuk tubuh, seorang lelaki dan seorang wanita. Dan aku dapat rasakan, yang itu Erni.
Aku dipelawa naik dan disambut mesra. Aku hanya tersenyum dan diam. Aku perkenalkan diri aku. Aku sempat mengerling ke arah lelaki itu. Dia semacam membeliakkan matanya pada aku. Belakang tengkuk aku juga terasa panas. Ah, ini bukan sebarang orang!
Aku dijemput masuk. Benar telahan aku, ini Erni. Di dalam aku diperkenalkan kepada Ani, isteri kepada tuan rumah iaitu Ali.
"Yang di luar tu suami saya, Ali..." ujar Ani.
"Dia datang nak berurut kak, kemudian nak belajar sikit-sikit..." terang Erni pada Ani
Aku senyum. Sejurus itu dari luar daun pintu, aku lihat Ali berdiri memandang aku dengan mata yang buntang.
Tangannya digenggam. Melihat aku tak berkelip. Marah mungkin.
Marilah Ali! Kau tunggu, selepas mereka berdua ini aku habiskan riwayat, giliran kau!
Kau silap orang Ali, kau ingat aku ini siapa?! Siapa kau nak tenung dan tengok sedemikian rupa?!
Aku Mak Andam Saleha !!!
---TAMAT Prolog 1 ---
Suntingan Karya & Gambar: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment