Saturday, 10 March 2018

SUHANA 1 - Cikgu Tun Perak


Tajuk : SUHANA
Karya Cikgu Tun Perak

============================
Bab 1:
Air direnjis pada bekas kemenyan. Beras kunyit ditabur keluar pintu. Bau wangi semerbak memenuhi ruang tamu rumah Wak Kardi.
Wak, tolong saya wak. Berapa pun saya sanggup bayar. Gambar Haji Razman bertukar tangan. Dendam kesumatnya pada imam Kampung Tanah Periuk itu mesti dilunaskan segera. Malu yang ditanggung selama ini mesti disudahi dengan kematian Haji Razman.

Dia meludah pada gambar Haji Razman. Wak Kardi memulakan upacara. Jampi serapah mula dibaca. Air kencing dicampur dengan mani gajah digaul dengan tanah kubur yang dibawa pelanggannya. 
pintu rumahnya terbuka dan tertutup. Wak masih meneruskan pujaannya. Dia tenggelam dalam serapah yang menggagungkan syaitan terlaknat.

Tiba-tiba bau busuk mula memenuhi rumah Wak kardi. Bunyi tawa syaitan dan tapak kaki menghangatkan suasana rumah Wak Kardi. Perutnya terasa memulas. Dia meraung di tengah mayat yang diusungnya. Wak mula berdiri. Menari dan meliang lentok. Serapah dan jampinya dikuatkan lagi.
"Asalmu pulang membawa diri,
Kuseru dari penjuru hutan untuk melunasi,
Janji lama kuingat semula. Wewengan koporo satupo alunasi.
Kupujo-pujo daromu kuhittung nyaomu."

Keris Sunda yang disapu limau nipis dikeluarkan dari sarungnya. Tapak tangannya dikelar. Darah yang menitis disapu pada mayat yang mati kemalangan.
Pelanggannya yang berguling-guling meraung ditengah rumah tidak dihiraukan. Jampi terus dibaca. Keris ditusuk berkali-kali pada perut mayat itu. Bunyi hingar-bingar semakin galak mengisi ruang rumahnya. Bauan tengik semakin kuat. Wak kardi mencabut keris sundanya dan menghiris tapak kaki pelanggannya. Kaki yang berdarah-darah diletak di atas kesan tusukan mayat.
Lidah jenazah mula memanjang dan menghisap darah yang mengalir. Dia masih meraung. Perutnya yang terasa perit semakin sakit ditambah dengan tusukan Wak Kardi. Dia semakin takut. Terasa menyesal kerana memperhambakan diri kepada dendamnya yang tak sudah-sudah. Hilai tawa semakin jelas kedengaran.
"Kau kusumpah," Wak Kardi menjerit lalu menepuk lantai rumahnya dan tiba-tiba semuanya menjadi sepi. Seolah-olah semua perkara terkutuk tadi tidak pernah berlaku.
Kesakitannya menghilang. Luka dikaki kembali bertaut seolah-seolah tiada apa yang berlaku. Perut jenazah mula membusung. Wajahnya kelihatan buruk sekali. Lidahnya terjelir panjang hingga ke pusat. Bau busuk yang memenuhi seisi rumab beransur hilang.
Sudah siap semuanya. "Sekarang kau kelar kaki jenazah ini dan tadah darahnya. Kau minum dan tinggal sebahagian. Bakinya akan kuguna untuk memusnahkan si Razman tu." Wak Kardi mengarah sambil mengelap peluhnya yang berjujuran.
"Wak tak boleh buat?" Soalnya ketakutan. Sudahlah menggali jenazah ini sudah cukup mengerikan. Ini pula disuruh mengelar dan meminum darah dari mayat ini.
"Kau nak Razman mati atau tidak? Kalau kau tak mahu, kau yang akan mati. Jampi sudah dibaca. Janji pun aku dah ikat. Kau jangan degil."
Wak menghulur keris sundanya. Dia menyambut keris tersebut dan menyelak kain kapan. Tangannya bertukar sejuk. Digenggam kaki dan ditoreh. Dia hairan. Bagaimana jenazah ini masih boleh mengalirkan darah. Dia menadah darah tersebut. Bau hanyir darah dihidunya.
"Jampi jangan kau lupa baca," suara wak meningatkan. Tempurung didekatkan ke bibirnya. Darah dihirup sikit demi sedikit. Terasa payau ditekaknya. Uhuk huk huk. Dia terbatuk-batuk. Tempurung dihulur kepada Wak Kardi bagi menyudahkan upacara. Gambar Haji Razman dicucuk dengan keris dan direndamkan ke dalam tempurung berisi darah.
"Sudah, kau boleh balik. Esok kita jumpa di rumah Razman."
Dia bingkas bangun, terasa seribu penyesalan. Wang seribu ringgit dihulur kepada Wak Kardi. Dicium tangan bomoh jawa tersebut sebelum mula melangkah keluar.

"Ingat, kalau kau bagi kurang, aku bunuh kau."
Dia mengganguk dan mula melangkah. Syaitan terus ketawa, seorang lagi manusia menjadi terlaknat kerana syirik kepada tuhan yang maha esa. Wak kardi membilang duit yang diterimanya sebentar tadi. Nasib baik cukup. Jari kakinya dihulur. Jenglot yang dibelanya mula menghisap ibu jari kaki nya.

Bab 2:
"Suhana sihat?" Aiman memulakan bicara. Kakinya menguis permukaan sungai yang tenang. Petang itu mereka bertemu di jeti yang berada di kampung mereka. Aiman benar-benar rindu dengan Suhana. Sudah lebih 3 tahun suhana berada di Dublin. Suhana pulang selama sebulan sempena cuti semesternya.

Suhana turut menguis air sungai itu. Kelihatan ikan-ikan kecil turut berenang-berenang di kaki mereka. "Su sihat. Am macam mana? Sekarang buat apa?"
"Am macam inilah, pemuda desa. Berbakti pada tanah. Berbakti pada mak yang tinggal seorang. Su masih sayangkan Am?"

Su terdiam dengan soalan kekasih lamanya. Pipinya kemerahan. Malu dan rindu mula bersatu. Mereka diam sambil melayan perasaan yang dipendam sejak dulu. "Am, sampai sekarang Su tak faham. Su tak faham, kenapa Am tak ikut Su pergi Dublin dulu? Kita kan dah janji." Suara suhana mula bertukar serak. Kenangan 3 tahun lalu seolah-olah menari di depan mata. Usaha mereka untuk belajar dan berjaya bukannya sedikit. Bila dapat peluang, Am Tolak begitu sahaja.
Am terdiam lagi. "Su, kita lupakan hal 3 tahun lalu boleh? Am janji, walau tak ke Dublin. Am akan berjaya, Am akan buktikan pada ayah Su."
Aku pulang, tanpa dendam. 
Ku terima seadanya.

Deringan lagu Sheila on 7 kedengaran. Ibunya menelefon. Su menjawab panggilan ibunya.
"Suruh Am hantar kamu balik. Dah lewat ni. Ayah kamu dah risau tu." Arah Mak Jah kepada puteri bongsunya. "Baik mak, Su balik sekarang. Kejap ye mak."
Su meletakkan telefon. Merenung wajah Aiman mengharapkan Aiman faham dengan situasinya.
"Am faham. Dah, jom kita balik." Mereka mengibas-ngibas baju mereka sebelum bergerak pulang. Ada mata yang memerhati disebalik rimbun pokok di tepi tasik.
"Aku puja semangatmu, ku alir jiwamu agar sebati denganku." Jampi masih dibaca sambil tangannya memerah limau nipis pada keris sunda Wak Kardi.
Am tersenyum sepanjang perjalanan mereka pulang. Sudah 3 tahun dia tidak bertemu dengan kekasih hatinya. Nak whatsapp, dia tak tahu nombor Su. Rasanya Su masih merajuk lagi dengannya. Itupun nasib baik dia jumpa Suhana semasa sarapan pagi di kedai Pak Hashim.
Haji Razman menggengam kejap jemarinya. ditumbuk-tumbuk perlahan bagi menghilangkan kegalauan hatinya. "Haish, mana la Su ni, tak balik-balik lagi?" Dia mundar-mandir di beranda rumahnya.
Hati tuanya mula keriangan sebaik sahaja melihat kereta kancil Aiman masuk ke perkarangan rumahnya. Haji Razman mula menapak menuruni tangga rumahnya. Menanti anaknya keluar dari kereta. Disalam puterinya.

"Su minta maaf ayah. Lambat pula balik yah." Su ikhlas memohon maaf kerana khuatir ayahnya marah dan risau.
"Tidak apa Su, kamu pun dah 3 tahun tak jumpa Am. Dah pergi naik, masuk dan mandi. Nak maghrib dah ni. Ayah nak bebual dengan Am kejap. Pergilah."
Su berlalu menaiki tangga rumah. "Terima kasih Am," laung Su lalu masuk ke dalam rumah. Belum sempat Am bergerak pulang, Haji Razman memegang tingkap kereta kancil 650 cc milik Razman. Kereta peninggalan ayahnya yang kemalangan semasa pulang dari masjid 2 tahun lalu.
"AM, dengar sini. Aku tak mahu kau jumpa Su lagi. Kau akan merosakkan masa depan dia. Sudah! Lupakan dia. Mulakan hidup baru kau. Lagi bagus, kalau kau dan mak kau yang miskin tu keluar dari kampung ni. Aku tak nak orang kampung mengata kau anak beranak cuba nak rampas harta aku. Paham!" Kuat suara Haji Razman menusuk ke hatinya.
Dia mengangguk lemah. "Saya balik dulu Haji." Dia menghidupkan injin keretanya, lalu bergerak meninggalkan rumah Haji Razman. Hatinya membara. Salahkah aku miskin? Salahkah kami saling mengasihani. Dendamnya mula membara. Rengsa yang berputik menjadi kediaman baru buat iblis. Syaitan betepuk tangan gembira. Dendam mula berputik. Jika tidak dipasung nescaya menjadi amarah yang mencelakan.
"Ku seru, ku puja namamu,
Berbelasungkawa matamu,hatimu, darahmu. 
Rengse diamat-diamat kopulo mamudo mudo amat, 
kupujo darahmu nyawomu. 
Ku duno cinta nafsumu."

Jampi itu dibaca dan diulang-ulang semula. Dia duduk menyembah matahari yang hampir terbenam. Tunduk melupakan Allah yang menciptakan. Jarinya dihiris. Dupa kemenyan dibakar. Gambar haji Razman diasap dan dijampi lalu ditikam dengan keris.
Haji Razman mula berasa kepanasan. Dadanya rasa terbakar. Jantungnya seolah-dibakar dari dalam. Dia memegang dadanya. Tangan kirinya memegang hujung sofa. Menampung jasadnya yang kelelahan. Dia beristighfar. ALLAH sebut haji razman sebelum rebah menyembah lantai rumahnya.
Allahuakbar Allahhuakbar.
Beruk yang menggigit tengkok Haji Razman melompat keluar dari rumahnya sebaik azan kedengaran. Beruk itu kepanasan lalu hilang dibalik hutan.
"Sial. Panjang pula nyawa orang tuan ni."
===============
BERSAMBUNG pukul 9 malam. Sabar tau!
===============
Suntingan & Gambar: Nadey
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: