Friday, 23 March 2018

HALLOWEEN SPARKS - Nur Afrah Radzi


TAJUK: HALLOWEEN SPARKS

==========
HALLOWEEN SPARKS

Halloween 2016 - Little Alne Henley, UK.
(8.24 p.m)


Gadis itu menghentak kaki geram. Mulutnya mengomel sebal dengan insiden malang yang berlaku padanya hari ini. Entah bagaimana dia boleh terdampar di jalanraya sejauh lima batu dari kampung datuknya sebelum dia memutuskan untuk berjalan sahaja ke sini.

Bunyi salakan anjing dan sahutan burung hantu mengiringi perjalanan gadis itu menyusuri beberapa buah deretan kedai lama yang menjual barangan keperluan harian penduduk kampung. Gadis berambut ekor kuda itu menarik mafla bulu kambing rona merah yang melilit lehernya, menutupi bahagian bawah mukanya pula yang mulai menggeletar kesejukan. Kalaulah ada kopi panas atau bir yang boleh menghangatkan sedikit suhu badannya sekarang.

Bunyi letusan ketawa dan seretan kaki di belakangnya membuatkan dia berpaling. Seorang lelaki dan perempuan berpakaian compang camping dengan titisan darah menitis mengotori baju mereka menyapa pandangan matanya. Dia mengerenyet sedikit melihat kostum Halloween yang dipakai pasangan itu. Lelaki itu menyeringai menunjukkan gigi taringnya sebelum menarik tangan pasangannya melalui sebuah denai kecil yang mengunjur ke sebuah rumah kayu dua tingkat sehitam arang. Beberapa ketul ukiran labu bercahaya di letakkan di atas kekisi koridor depannya.

Gadis itu mengecilkan mata melihat pasangan lelaki dan perempuan tadi yang berjalan perlahan-lahan ke arah rumah kayu di hujung laluan itu.

Papan tanda bertulis 'Le Cafe Para Murio' yang terpacak di laluan masuk itu dikerling sepintas lalu. Dia tidak pernah sedar kewujudan kafe ini sebelum ini.

Gadis itu mengangkat bahu, tidak kisah sebelum langkah kakinya di atur melalui denai yang dipayungi pepohon willow di kiri kanan, membawanya terus ke rumah kayu di hujung jalan itu.

Dia menolak daun pintu itu dengan berhati-hati sebelum matanya menjamah pemandangan sebuah kafe lama yang diterangi labu-labu keemasan yang tergantung aneh di syiling. Kedai itu bersawang dan berbau hapak, mungkin mngikut tema Halloween memandangkan mereka sedang menyambutnya sekarang. Kafe itu meriah dengan pengunjung yang berpakaian mengikut tema. Seorang lelaki dengan mata yang terjuntai keluar, kanak-kanak dengan kaki yang putus dan darah yang menitis laju mengotori lantai yang berdebu, atau seorang perempuan tua dengan sebilah pedang tertusuk di dadanya. Gadis itu mengumam kagum. Dia mengatur langkah ke depan bar sebelum melabuhkan duduknya di situ.

"Aku tak pernah tengok kostum sehebat ini di tempat lain! Hebat betul!" Jeritnya teruja pada pelayan bar di depannya.

"Dan aku tak pernah nampak kau sebelum ni..orang baru?"

Pelayan bar itu pula menegurnya.

"Ahh..ya..aku dah lama tak balik ke sini sejak nenek meninggal."

"Begitu..nama kau?"

"Evelyn..panggil aku Eve."

"Kau boleh panggil aku Ben."

Dia mengambil sebiji balang berisi sesuatu seperti cacing sebelum meletakkannya ke dalam gelas koktail di hadapannya.

"Woo..Nampak macam betul!"

Evelyn mengaum kagum melihat cacing itu mengeliut di dasar gelas. Ben sekadar tersengih, menampakkan gigi taringnya.

"Jadi...kau vampire ya?" Evelyn bertanya spontan. Matanya merenung mantel hitam yang dipakai lelaki itu.

"Lebih kurang. Macam mana kau boleh sampai ke sini? Maksud aku..ke kawasan ni..tak banyak yang perasan kewujudan kafe ni."

Giliran Ben pula bertanya. Evelyn mengeluh. Dia mengerling sepintas lalu pada seorang lelaki yang mundar mandir sambil memegang kepalanya dengan pandangan kagum sebelum berpaling semula ke arah pelayan bar itu yang masih merenungnya, meminta jawapan.

"Ahh..aku ikut mereka."

Evelyn menuding pasangan lelaki dan perempuan dengan pakaian compang camping di hujung kafe itu. Ben mengangguk sambil menghulurkan segelas minuman berbusa ungu ke arahnya.

"Minuman ni akan buat kau lupa masalah kau."

Lelaki itu menyambung sambil tersenyum. Evelyn menarik gelas itu dekat padanya, lalu mula meneguk minuman yang berdesir itu. Apa yang dia tahu selepas itu, pandangannya kabur dengan rasa kantuk yang menjengah mata, lantas dia tertidur.


***********


Dia membuka mata sebelum menyedari adik kembarnya Ava sedang menghadap cermin membelakanginya sambil menyikat rambutnya yang ikal. Evelyn tersengih.

"Ava!!"

Dia separuh menjerit, sengaja mengejutkan adiknya itu. Ava berpaling sebelum terkaku melihatnya. Gadis bergaun tidur itu kelam kabut bangun dari duduknya.

"Kau pergi mana??"

Ava terus menyerangnya dengan soalan. Evelyn sekadar mengenyit mata sebelum berjalan ke arah katil adiknya. Duduknya dilabuhkan di situ.

"Aku jumpa satu tempat yang hebat di kampung. Esok kita pergi! Kau takkan percaya dengan perhiasan dia Ava..nampak macam hidup, kau tahu.."

Evelyn menjelaskan. Fikirannya menerawang mengingatkan kostum yang dipakai pengunjung kafe lama itu.

"Jadi kau balik ke Winston?"

Ava bertanya, jelas tidak mengendahkan cerita tentang kafe lama yang dilawatinya.

"Err..ya. Lebih kurang. Sebenarnya, aku tak betul-betul balik ke rumah datuk."

"Maksud kau?"

Ava merenungnya meminta penjelasan.

"Ava? Kamu tak tidur lagi ke?"

Satu ketukan di muka pintu mematikan perbualan dua beradik itu. Evelyn menarik tangan adiknya ke atas katil lalu mereka berdua menyelubungkan badan di sebalik gebar tebal.

"Im going to mom! Goodnight."

Ava menjerit. Dia berpandangan dengan Evelyn sebelum tawa keduanya meletus.

**********
Evelyn menarik tangan Ava ke arah denai yang mengarah ke laluan yang mengunjur ke arah rumah kayu berona sehitam arang itu semula. Tapak tangannya yang melekap kemas di mata Ava di bukanya perlahan-lahan.

"Tadaaaa!!"

Ava membuka matanya dengan riak teruja sebelum perlahan-lahan kegirangannya mengendur dengan mendadak. Dia mengosok matanya berkali-kali sebelum berpaling ke arah Evelyn di belakangnya.

"Eve..tak ada apa-apa kat sini!"

Ava menjerit geram. Evelyn mengerutkan dahi sebelum berpaling ke hujung laluan denai itu semula.

"Tengok betul-betul Ava, di hujung laluan denai ni..ada sebuah rumah kayu!"

Evelyn meyakinkan. Ava memeluk tubuh sambil menjelingnya tajam, terasa dipermainkan.

"Tak ada apa di hujung denai ni Eve, dan secara logiknya, tak ada siapa yang nak datang ke kafe di pinggir hutan macam ni!"

Ava mempertahankan pendiriannya sebelum berjalan meninggalkan Evelyn yang terpinga-pinga merenung ke hujung denai itu.

***********

Cafe Le Para Murio
Evelyn merenung minuman berbusa biru yang dihulurkan Ben dengan wajah sugul.

"Kenapa Ava tak nampak rumah ni..."

Evelyn membebel sendirian sebelum keluhannya dilepaskan lagi. Ben yang sedang menuang jus semerah delima di dalam sebuah balang kaca menjelingnya sekilas.

"Kau ponteng kelas bahasa sepanyol ya Eve?"

"Err..ya...tapi apa kena mengena? Aku tengah bercakap soal Ava sekarang. Kenapa aku boleh nampak rumah ni, kafe ni, tapi dia tak boleh??"

Evelyn mendongak sedikit sebelum membalas pertanyaan Ben. Lelaki itu merenungnya tak percaya sebelum mula membuka mulut...

*******

Perempuan bergaun bunga mawar itu mengelus rambut ikal anak perempuannya yang tertidur culas sebelum dia bangun dari duduknya di birai katil itu. Dia berjalan menghampiri suaminya dan seorang lelaki tua di sisi suaminya.

"Dia masih bercakap seorang diri, ayah. Semalam, saya dengar dengan jelas dia berbual dengan seseorang dalam bilik ini. Pagi tadi dia hilang entah ke mana..kami betul-betul risau!"

Perempuan bergaun bunga itu menzahirkan kerisauannya. Lelaki tua itu mengeluh dalam sebelum perlahan-lahan bersuara.

"Dia masih dihantui kenangan dengan Eve, Lily. Dia masih tak boleh terima hakikat yang kakaknya, Eve sudah meninggal dunia.."

Lelaki tua itu merenung cucu kesayangannya dengan pandangan pilu. Kemalangan yang menimpa kedua orang cucunya itu menyebabkan Ava terlantar koma selama seminggu manakala kembarnya Evelyn maut di tempat kejadian.

**********

"Jadi, aku..."

Wajah lelaki di hadapanya itu direnungnya memohon kepastian. Ben mengangguk perlahan, mengiyakan.

"Ya..kau dalam perjalanan pulang ke kampung dengan kembar kau..sebelum kamu berdua terlibat dalam satu kemalangan. Dia terselamat, tapi kau..."

"Mati.."

Evelyn memotong. Dia mengenggam kuat gelas dihadapannya.

"Cafe Le Para Murio- kafe untuk orang yang dah mati. Kau, aku, semua orang dalam ni dah mati, Eve! Sebab tu adik kau tak nampak kafe ni."

Evelyn mengeluh sebak mendengarkan penjelasan tenang lelaki itu.

"Minumlah. Air tu akan buat kau lupa semuanya..."

Ben mengumam perlahan,mengunjuk air kebiruan di dalam gelas yang dipegang Evelyn.

"Jadi kau memang betul-betul vampire?"

Lelaki itu tergelak kecil.

"Ya..sudah tentu!"

"Mereka semua ni...hantu?"

Dia bertanya sambil merenung seorang perempuan berwajah pucat yang terkatung-katung di udara.

"Ya.."

"Aku boleh jadi hantu jugak ke?"

Evelyn bertanya lagi dengan mimik muka serius. Sekali lagi tawa lelaki itu meletus.

"Terpulang pada kau.."

Evelyn mengangguk. Bunyi deheman seorang wanita tua yang baru duduk di sebelahnya membuatkan dia berpaling sebelum sekali lagi dia melopong terkejut.

"Nenek!??"

"Eve!!? Nenek tak jangkakan akan bertemu kamu disini..kamu baik-baik sahaja kan?"

Wanita tua itu menegur lembut. Evelyn menghumbankan tubuhnya ke dalam pelukan wanita itu.

"Nenek tak minum air tu kan..?"

Evelyn melonggarkan rangkulannya sebelum merenung air kebiruan di hadapannya.

"Nenek tak mahu padamkan sebarang kenangan dengan datuk kamu.."

Wanita tua itu tersenyum mesra. Evelyn turut tersenyum sebelum menolak gelas kaca itu menjauh.

*********

Setahun kemudian.

Ava tersenyum girang sambil mengangkat gulungan ijazahnya ke udara. Gadis itu kemudiannya berlari mendapatkan ibu dan ayahnya.

"We are so proud of you Ava!"

Ayahnya menjerit riang sambil merangkul tubuhnya. Ava ketawa kecil. Pipi ayahnya dicium bertalu-talu menzahirkan sayangnya.

"Eve pun akan bangga dengan kamu kalau dia masih.."

Ibunya terdiam. Tidak jadi menyambung ayat yang dituturkannya.

"Eve tak pernah tinggalkan kita ibu..dia kekal bersama kita, di sini."

Ava menyentuh dada ibunya lembut. Mata hazel cair yang mula berkaca itu ditentangnya penuh kasih. Perempuan separuh abad itu tersenyum lirih sebelum merangkulnya erat.

"Jum..kita ke taman sana. Datuk kamu dah tunggu untuk kita bergambar."

Ayahnya bersuara sambil mengenggam tangan isterinya lalu mereka berpimpinan tangan ke taman. Ava sempat berpaling ke belakang, tersenyum pada hamparan bunga hydragea di atas tanah gambut di belakangnya sebelum melangkah riang di sisi ibu dan ayahnya.

"Dia nampak kita ke?"

Evelyn berbisik apabila terlihat Ava berpaling ke arahnya

"Kamu sukakan bunga ni kan Eve..jadi dia senyum pada kenangan tentang kamu."

Neneknya menerangkan. Evelyn mengangguk faham.

"Nenek rasa dahaga tak?"

"Sangat dahaga."

"Para Murio?"

"Semestinya!"

Mereka berdua bertentangan mata sambil mengukir senyuman sinis yang sama sebelum keduanya ghaib dari situ.


TAMAT
==============
Gambar: NIL

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: