SLOT KHAS JAM 8 MALAM
SYMBIOSIS - Prolog
==============
Tahun 2018......
Tersenyum John Dean Manson tatkala melihat kedua-dua anaknya, Isaac 12 tahun dan Issabelle 8 tahun, berlari-lari di persekitaran taman permainan di kawasan kediaman mereka. Sesekali melambai-lambai ke arah mereka. Lantas lambaiannya itu disambut segera oleh Issabelle. Apa yang difikirnya saat ini hanyalah kebahagian anak-anak dan isterinya sahaja. Walaupun pelbagai masalah yang sedang menimpanya saat ini sebagai perunding hartanah. Masalah ditempat kerja, rakan kongsi, mahupun pembeli. Kesemuanya di tolak ketepi.
Manakala isterinya Laura hanya berdiri di sebelahnya sambil ketawa riang melihat gelagat anak-anak mereka bermain dan berkejar-kejaran sesama mereka. Terdapat juga beberapa ibubapa di kawasan taman itu sedang melihat anak-anak mereka bermain, sama seperti dilakukan John dan Laura. Ada kanak-kanak yang sedang bermain buai, papan jongkang jongkit dan ada juga yang hanya duduk di atas padang sambil ditemani si ibu yang sedang ralit melihat gelagat kanak-kanak lain bermain.
Dengan cuaca yang sangat baik menjadikan aktiviti beriadah pada petang itu sangat manis dan lancar bagi keluarga keluarga Manson.
Namun sedang leka Isaac bermain bersama adiknya Issabelle di tepi sebatang pokok tua sebesar tiga pemeluk orang dewasa. Tiba-tiba matanya tersorot pada satu dahan yang berketinggian 170 cm pada pokok berkenaan. Di atas dahan itu terlihat ada seekor burung raven yang hanya bertenggek di atas dahan itu sambil memandangnya. Ya, burung raven itu sedang statik merenungnya. Apa yang pelik, langsung tiada tindak balas terkejut dari burung raven itu saat Isaac cuba menghampirinya dengan lebih dekat. Namun begitu Isaac bagai dipukau! Malah dirinya bagai ditarik-tarik saat matanya bertembung dengan mata hitam raven itu.
Isaac cuba mengenyeh- ngenyeh matanya, untuk memastikan pandangannya tidak tersilap. Cuba merenung tajam ke arah raven itu.
"Memang betul raven. Tapi kenapa raven tu langsung tak bergerak? Patung ke?" monolog Isaac.
Namun dalam keterujaan Isaac cuba merapatkan dirinya pada burung raven itu, tiba-tiba....
"Arrgggg....!!!!!"
Burung raven itu terus terbang ke arah Isaac! Lantas tanpa dapat Isaac mengelak serta merta raven itu menerkam ke arahnya sambil mengelupur serta mengepak-ngepakkan kedua-dua belah sayapnya beberapa kali! Isaac bagaikan histeria apabila diserang burung raven itu. Setelah puas bertindak menyerang Isaac, burung raven itu terus terbang menghala ke hutan berhampiran taman permainan itu lalu menghilang! Ghaib entah kemana!
Issabelle yang sedari tadi berada berhampiran abangnya hanya berdiri disatu sudut dan memerhati. Takut kalau-kalau burung raven itu bertindak menyerangnya juga. Issabelle terkedu apabila melihat abangnya terjerit-jerit seperti diserang sesuatu. Sebagai kanak-kanak dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Apa yang pasti Issabelle sendiri tidak pasti apa sedang berlaku pada abangnya saat itu dan kenapa burung raven itu bertindak menyerang abangnya.
Isaac yang terduduk di atas tanah selepas terkejut apabila burung raven itu dengan secara tiba-tiba terbang dan mengelupur ke arahnya itu mula mengaduh kesakitan. Isaac berasa pelik. Dia mula terfikir saat dirinya begitu asyik melihat dan merenung tingkah laku burung raven itu yang tiada seinci pergerakkan pun yang terlihat, tetap statik! Kaku! Namun kenapa secara tiba-tiba boleh terbang ke arahnya dan menyerangnya? Sungguh! Dia benar-benar dalam keadaan terkejut!
"Aduh!" Isaac mengaduh sakit.
Kelihatan ada sedikit calar berserta darah pada kelopak mata kirinya yang memanjang hingga ke kening. Mujur tidak terkena pada kornea matanya yang boleh mengakibatkan keadaan menjadi lebih teruk. Issabelle cuba menghampiri abangnya dengan lebih dekat, namun perasaannya masih lagi tidak berani apabila melihat kelopak mata abangnya yang luka dan berdarah itu.
Laura yang dari jauh menyedari keadaan anaknya itu mula bergegas mendapatkan Isaac. Lalu tubuh Isaac dirangkul dan terus menilik disetiap epidermis wajah Isaac jika terlihat luka atau calar di wajah anak lelaki kesayangannya.
"Isaac, kelopak mata kamu berdarah!" Laura cemas apabila melihat luka beserta sedikit darah yang mula menitik di alis Isaac.
"Sakit mommy. Mata Isaac sakit! Mommy nampak tak burung raven yang terkam Isaac tadi? Burung hitam! Mommy nampak tak?" Isaac menekup matanya. Risau kalau darah yang masih menitik itu termasuk dalam kornea matanya. Ada sedikit kegelisahan di wajahnya.
"Raven? Burung hitam? Mana ada burung. Dari tadi mommy nampak Isaac seorang kat sini. Mommy nampak Isaac hanya meronta-ronta seperti diserang sesuatu! Mommy fikir mungkin Isaac disengat lebah! Risau mommy tau tak!" Terlihat riak kerisauan di wajah Laura sambil mengusap-ngusap kelopak mata Isaac. Namun begitu hatinya sedikit lega kerana tiada tanda-tanda Isaac di sengat lebah. Hanya calar di kelopak matanya sahaja yang kelihatan. Sungguh pun begitu Laura tetap gelisah apabila melihat ada darah menitik dari alis dan kelopak mata anaknya.
"Bukan lebah tapi raven mommy!" Perasaan tidak puas hati mula terbit dihati Isaac kerana mommynya langsung tidak mempercayai akan kata-katanya.
Laura menggeleng memandang Isaac. Kemudian matanya meliar memandang sekeliling. Memerhati di setiap rimbunan pokok itu. Ingin memastikan kebenaran kata-kata Isaac. Benarkah ada burung raven seperti yang diperkatakan Isaac itu. Sesaat selepas Laura memandang suasana sekeliling, angin mula datang menderu secara tiba-tiba sehingga meliuk lentuk daun-daun disetiap dahan pada pokok itu. Suasana sejuk dan dingin mula mencengkam disetiap liang roma kulitnya. Menambahkan lagi kedinginan musim luruh di Grimsdale. Laura dapat merasakan ada aura ghaib sedang berlegar-legar disekelilingnya. Ya, dia dapat merasakan. Justeru itu untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku, lalu dengan tidak membuang masa Laura terus sahaja mengajak Isaac dan Issabelle pulang.
..................................................
Usai makan malam, Laura menemani anak-anaknya mengulangkaji pelajaran di satu sudut tepi ruang tamu dimana John sedang menonton televisyen kegemarannya iaitu berhampiran dengan mereka. Sesekali terdengar Isaac dan Issabelle ketawa seperti ada perkara yang melucukan. Manakala John yang ralit menonton siaran televisyen mula hilang konsentrasi dan fokus dengan rancangan televisyen tersebut kerana terganggu dek gelak tawa anak-anaknya.
"Isaac! Belle! Diam! Daddy tak dengar siaran ni! Belajar sajalah, jangan main-main!" Jerit John pada anak-anaknya.
Mendengarkan suara tegas dari daddynya, terus mereka terdiam dan mula fokus pada buku dihadapan. Begitulah rutin mereka setiap malam. Seperti keluarga-keluarga yang lain. Bising, namun tetap bahagia. Jerit pekik satu perkara biasa pada John, ia kedengaran seperti satu irama harmoni dicuping telinganya walaupun kadangkala irama harmoni itu boleh bertukar menjadi irama trash yang membingitkan!
Namun dalam ralit Laura membantu Isaac dan Issabelle mengulangkaji pelajaran yang telah ditetapkan pada malam itu, tiba-tiba dia melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena pada Isaac. Isaac kelihatan terlalu mengantuk. Beberapa kali dia melihat Isaac menguap. Seolah-olah cuba menahan rasa mengantuknya. Laura memandang Isaac dengan pandangan sedikit pelik. Tidak pernah Isaac berkelakuan begitu. Bukan sahaja kelihatan mengantuk malah Isaac seperti dalam keadaan lemah. Sedangkan semasa makan malam tadi Isaac begitu ceria. Hanya luka dikelopak mata Isaac sahaja yang tidak menyenangkan pandangan mata Laura. Dia benar-benar tidak suka ada luka ditubuh anaknya, apatah lagi dibahagian mata!
"Kenapa dengan kamu Isaac? Mommy tengok kamu macam terlalu letih. Kamu sakit ke?" Laura memandang Isaac dengan perasaan kasihan. Lalu memegang dahi Isaac dengan tangannya.
"Panas!" Terbeliak Laura memandang Isaac. Tidak sangka anaknya akan mengalami demam pada malam itu.
Namun begitu Isaac hanya diam. Tiada sekelumit perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Dia seakan tidak bermaya. Badannya terlalu lemah untuk kekal duduk di sofa. Dalam pada itu matanya seakan berpinar-pinar apabila cuba untuk dibuka. Bahkan kelopak mata kirinya mula terasa sakit.
"Kamu demam Isaac. Pergilah masuk bilik. Berehat." Suruh Laura. Tidak sampai hati pula untuk melihat Isaac terus belajar dalam keadaan lemah.
Dalam keadaan lemah Isaac bangun tanpa membantah dan terus menaiki tangga menuju ke biliknya di tingkat atas. Langkahannya nampak lemah, namun tetap digagahkan diri berjalan menuju ke bilik. Sememangnya itu yang diinginkan. Baring dan tidur.
"Nanti mommy beri kamu ubat! Mommy nak susun buku kamu dan Issabelle dulu. Tunggu dalam bilik!" Jerit Laura sambil memerhati Isaac menaiki tangga.
"Saya tak nak makan ubat! Saya nak tidur!" Balas Isaac dengan nada sedikit tinggi apabila mendengar perkataan "ubat". Begitulah dirinya, lebih sanggup bertahan dari makan ubat.
Pintu bilik terus dikuak. Lalu menutup kembali pintu biliknya dan dikunci. Lampu biliknya dibiar terpadam. Isaac lebih selesa bergelap sambil baring di tilam. Pasti akan lebih nyenyak tidurnya nanti, fikirnya. Namun sedang matanya tertumpu pada siling saat sedang terbaring, dia mula terfikirkan hal di taman permainan siang tadi. Gerun saat terbayangkan burung raven itu menerkamnya. Entah kenapa bayangan raven itu semakin ligat berlegar-legar di mindanya. Semakin matanya cuba untuk dipejam, semakin menjadi-jadi bayangan raven itu muncul. Sebagai kanak-kanak sudah tentu dia punyai jiwa takut.
Namun sebagai lelaki, dia perlu kuat dan tidak tunduk pada bayangan burung raven pada petang tadi. Malah diselang seli pula dengan kesakitan calar di kelopak mata kirinya, serta demam yang mula datang menyerangnya. Dalam pada itu Isaac cuba bertahan! Bertahan dengan memaksa dirinya untuk tidur. Mengharapkan agar kesakitan itu akan hilang sendiri apabila matanya terlelap nanti.
TOK! TOK! TOK!
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk seseorang. Isaac hanya menjeling dengan ekor mata. Malas untuk bangun. Yang pasti dia tahu siapa yang mengetuk pintu biliknya.
"Isaac buka pintu! Mommy bawa ubat ni!" Jerit Laura dari luar bilik.
"Saya tak nak makan ubat! Tak nak!" Balas Isaac. Isaac merengus geram. Marah benar dirinya saat disuruh makan ubat oleh mommynya.
"Sikit je. Bagi mommy masuk sayang...." Pujuk Laura lagi.
"Tak nak! Saya nak tidur!" Jerit Isaac.
Dalam pada itu Isaac tersenyum lega. Nasibnya sungguh baik apabila sempat mengunci pintu biliknya ketika masuk bilik tadi. Apa yang pasti dia sudah dapat mengagak, sudah tentu mommy akan ke biliknya untuk memberikannya ubat. Untuk itu dia tidak akan sesekali mengalah dengan pujuk rayu mommynya. Itu sudah pasti.
"Baiklah. Tak nak makan ubat tak apa. Isaac tidurlah...." kedengaran suara Laura disebalik pintu. Suara seakan gagal memujuk anak lelakinya dari makan ubat. Kemudian dia berlalu pergi dari bilik anaknya, membiarkan Isaac menenangkan dirinya terlebih dahulu. Fikirnya kemungkinan tidur boleh melegakan sedikit kesakitan yang dialami Isaac itu.
Isaac memicing telinga. Tiada sahutan suara mommynya dari luar bilik. Terdengar derapan kaki mommynya berlalu pergi dari pintu biliknya. Lalu Isaac cuba untuk memejam semula matanya. Telinganya terasa aman dari mendengar teriakkan suara mommynya. Dia mula menarik nafas lega.
Dalam berkira-kira dia cuba untuk mengikut rentak matanya itu, Isaac dapat merasakan sesuatu. Sesuatu seperti ada satu hembusan angin di cuping telinganya. Sejuk. Dinginnya hembusan itu sehingga menaikkan bulu roma di tengkuknya. Namun Isaac seakan terkaku. Isaac cuba membuka matanya, melihat siapakah yang sedang menghembus di telinganya. Namun semakin matanya cuba untuk dibuka, semakin payah matanya untuk terbuka. Malah dirinya seakan khayal, bagaikan terbuai-buai untuk terus tidur. Tetapi mindanya tetap berusaha keras berfikir. Kenapa matanya yang sedari tadi sukar untuk terlelap, tiba-tiba menjadi terlalu mengantuk pula? Akhirnya Isaac mengalah. Mengalah untuk menjawab persoalan yang difikirannya tadi dan mengalah dengan pujuk rayu si mata meminta untuk ditidurkan.....
.............................................
Isaac berlari. Berlari selaju mungkin. Cuba mengejar mommy, daddy dan Issabelle. Namun semakin laju dia mengejar, semakin jauh dia di tinggalkan. Sehingga dia lelah hampir rebah ke tanah. Tewas di tinggalkan. Isaac menangis. Mencari-cari kelibat keluarganya. Tiada. Suasana disekitar pencariannya sepi. Sunyi. Hanya suara unggas bersahut-sahutan memecah kesunyian malam itu.
Tiba-tiba dada Isaac berdegup kencang apabila melihat satu sosok seseorang dalam anggaran empat meter dihadapannya sedang memegang shortgun ditangan kanannya.
Lalu secara perlahan Isaac mengundur ke belakang. Peluh mula menitik di dahi. Saat ini langsung tidak terfikir dibenaknya melainkan lari. Namun dalam berkira-kira Isaac berfikir mahu lari ataupun tidak, tiba-tiba dia terdengar suara perempuan dari belakangnya.
"Isaac! Isaac! Lari! Lari cepat! Selamatkan diri kamu!"
"Mommy!"
Ya, suara mommynya yang sedang memanggil namanya. Teriak mommynya semakin kuat dan jelas! Isaac menoleh. Terlihat daddy dan adiknya Issabelle juga turut berlari kearahnya. Tiba-tiba....
PANG! PANG!
PANG! PANG!
PANG! PANG! PANG!
Lelaki yang memegang shortgun itu telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mommy, daddy dan Issabelle. Isaac tergamam! Tergamam apabila melihat darah terpercik dimerata tempat sehingga jalan basah dipenuhi dengan darah mereka. Wajah dan mukanya juga turut terkena percikan darah mommynya yang betul-betul hampir dihadapannya. Lalu rebah dihujung kakinya.
Tidak sempat Laura hendak menarik tangan anaknya, kerana dia terlebih dahulu telah ditembak oleh lelaki itu. Tepat dibahagian kepala. Sama seperti suaminya dan Issabelle.
Isaac berdiri kaku dihadapan mayat keluarganya yang berlumuran darah. Kemudian dia berpaling semula memandang lelaki yang memegang shortgun itu. Kelihatan lelaki itu masih lagi berdiri di situ. Tidak berganjak sedari tadi. Hanya tangannya yang sedang memegang shortgun sahaja lurus menghala ke arahnya.
Melihatkan tindakan lelaki itu yang cuba menarik picu senjatanya, serta merta itu juga Isaac mengundur kebelakang dalam beberapa langkah. Mengundur sedikit dimana mayat keluarganya yang bergelimpangan diatas jalan. Kali ini degup dadanya semakin kencang apabila melihat lelaki yang memegang shortgun itu mula menapak kehadapan, seakan mengikut langkahnya tadi.
Dalam keadaan suasana gelap itu tidak membolehkan untuk Isaac melihat siapa gerangan lelaki itu. Tetapi saat Isaac cuba untuk memastikan penglihatannya terhadap lelaki itu, tiba-tiba pandangannya tersorot pada sesuatu yang sedang terbang kearahnya yang tiba-tiba muncul dalam gelap dari arah belakang lelaki itu. Isaac cuba menajamkan pandangannya. Fokus pandangannya teralih kepada benda yang sedang terbang itu.
"Raven......." bisik Isaac.
Ya, raven yang menerkamnya pada petang itu ditaman permainan sedang terbang ke arahnya. Burung raven itu seakan cuba untuk menerkam kearahnya lagi. Makin lama semakin hampir burung itu terbang ke arahnya, kemudian.....
Isaac terjaga! Dia menggosok-gosok matanya. Gelap suasana dalam biliknya.
"Mimpi?"
Dadanya berdegup semakin kencang. Kencangnya degupan jantung sama seperti dalam mimpinya tadi. Tiba-tiba dalam kegelapan dalam biliknya itu dia terdengar bunyi seperti picu senjata ditarik oleh seseorang. Betul-betul ditepi katilnya. Isaac menoleh ke arah tepi katilnya. Isaac tergamam! Terbeliak matanya, apabila melihat ada seseorang berdiri berhampiran katilnya sambil memegang senjata sama seperti dalam mimpinya tadi. Benar-benar sama! Tetapi ini adalah realiti bukan dalam mimpi seperti tadi!
Oh! Tidak!
PANG! PANG!
Isaac terkulai di atas katil. Darah dirusuk kirinya mula membasahkan tilam yang dibaringnya.
Matanya semakin layu dan pandangannya semakin berbalam-balam......
- BERSAMBUNG -
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan
No comments:
Post a Comment