DENDAM
Teha membuka matanya. Bunyi pintu dicakar menganggu tidurnya. Mulanya dia buat tak kisah, tapi bila bunyi itu makin kuat disusuli dengusan kuat di balik pintu, dia mengalah. Pintu biliknya direnung, tiada lagi bunyi cakaran. Prakkk...prakkk..prakkk! Bunyi atap dipijak-pijak pula kedengaran. Sedang Teha ralit merenung syiling biliknya, jeritan membingit dari bilik sebelah mengejutkan Teha. Dia bergegas bangun ke bilik sebelah, bilik adiknya Suri. Pintu bilik direntap sehingga terbuka. Suri sedang mencangkung di atas tilam. Kepalanya teleng ke tepi, melihat tubuh kaku Teha yang tergamam. Suri mula ketawa mengilai sebelum bersenandung irama lagu siam. Teha menelan liur. Suri memakai sepersalinan busana tradisional penari Thailand rona merah darah. Wajahnya disolek cantik. Nafas Teha menderam cemas. Suri mula merangkak turun, mengengsot ke lantai. Bibirnya masih mengalunkan lagu tradisional siam. Rambutnya yang mengerbang dibiarkan terurai tak terurus.
Loi loi gratong..loi loi gratong
loi gratong gan laew kor chern nong gaew...
rim won wai loiii....
Suri menari pula. Tubuhnya dibongkokkan dan dia menari asyik mengikut nyanyiannya sendiri. Bau kemenyan menusuk tajam melumpuhkan deria bau. Suri melentukkan badannya ke belakang dan Teha melopong melihat badan adiknya melentur sehingga ke belakang seperti ahli gimnastik sedangkan dia tahu, Suri bukan begitu sebelum ini.
"Aaaa...aaaa...aaaaa..." Suri berbunyi kuat. Tubuhnya masih dalam posisi tadi, meliuk lentik. Teha menutup pintu bilik Suri. Dia berlari ke biliknya. Telefon bimbitnya dicapai. Nombor kekasih Suri yang masih dalam simpananya didail cemas.
"Pan, kau datang sini cepat! Suri meracau lagi!" Teha separuh menjerit.
*******
"Mana dia???" Pan terkocoh-kosoh masuk ke dalam. Wajah takut Teha dipandang sekilas.
"Dalam bilik!" Teha mengunjuk bilik tidur Suri. Pan membuka pintu bilik itu. Kosong. Suri tiada di situ!
"Tak ada pun!" Pan separuh menengking.
"Tadi dia ada! Suri!"
Teha melaung adiknya walaupun dia yakin benar Suri tidak akan membalas sahutannya. Pan mula bergerak ke dapur, Suri tiada juga di situ. Langkahnya di bawa ke bilik air. Suri dilihat sedang mencangkung sambil menyumbat segumpalan besar rambut dari dalam tong sampah ke mulutnya. Suri mengerling Pan yang pucat tak berdarah. Dia menyeringai ke arah lelaki itu. Gumpalan rambut yang disumbat ke mulutnya dikunyah asyik lalu ditelan. Pan menarik Suri keluar. Dia membaca beberapa potong ayat lalu dihembus ke ubun-ubun Suri. Suri menjeluak, sebelum muntah. Gumpalan rambut yang dimakannya tadi keluar bersama beberapa ekor bangkai lipas dan darah merah pekat kehitaman. Pan tutup hidung. Bau busuk menyerbu hidung. Suri pengsan setelah muntah teruk. Teha menyebak rambut Suri yang kusut ke belakang. Wajah pucat Suri direnung simpati.
"Kita tak boleh biar Suri terus macam ni..."
Pan berkata sayu melihat wajah kekasih kesayangannya. Tubuh longlai Suri dicempungnya lalu dibawa keluar menuju ke keretanya. Suri dah jauh berubah. Dua bulan kekasihnya itu diganggu makhluk halus sehingga badannya yang dulu berisi sudah tinggal tulang.
"Pak Kaha....Bawa Suri jumpa Pak Kaha!"
Teha kelam kabut mengikut dari belakang sbil mencadangkan satu nama. Pan menoleh.
"Siapa dia??"
"Perawat di Kampung Gegak..katanya dia mampu rawat sakit-sakit buatan makhluk halus begini." Teha menjelaskan. Pan mengangguk.
"Mari!"
Pan terus bersetuju. Dia akan buat apa sahaja asalkan Suri kembali pulih seperti sedia kala. Setelah memasukkan tubuh Suri ke dalam keretanya, Pan memandu ke rumah Pak Kaha mengikut arah yang ditunjukkan Teha. Jalan tanah merah yang mengunjur jauh ke dalam hutan Kampung Gegak itu diselusuri mereka. Jam di dashboard kereta menunjukkan pukul 11.45 malam.
"Sini..sini!"
Teha menepuk bahu Pan. Dia mengunjuk ke arah sebuah rumah kayu usang di hujung jalan. Pan memandu terus ke situ. Kereta diparkir di hadapan tangga lalu mereka berdua keluar.
"Masuk!"
Seorang lelaki tua dengan misai melenting garang terpacul di muka pintu. Pak Kaha melaung dari atas rumah apabila mereka keluar dari kereta seperti sudah dapat mengagak tujuan kedatangan mereka ke situ. Pan mencempung tubuh kaku Suri lalu diletakkan secara berbaring di ruang tamu utama rumah Pak Kaha.
Pak Kaha melakukan tugasnya. Membaca beberapa potong mantera yang tidak difahami butirnya. Pan resah. Beberapa kelibat putih dan hitam melintas di belakang Pak Kaha. Kain kuning yang dibunjut Pak Kaha mengeluarkan asap sebelum bau kemenyan mencabul udara.
Pak Kaha melalukan keris berlok sembilan di atas badan Suri, mulutnya masih kekal terkumat kamit. Angin menderu kencang di dalam rumah sedangkan tiada tanda hari akan hujan malah pintu dan tingkap rumah semuanya sudah tertutup rapat. Nun di belakang Pak Kaha, Pan terlihat kepulan kabus hitam sebelum kelibat seorang wanita lengkap berpakaian tradisional thailand rona kuning menari-nari asyik sambil tersenyum lebar, melirik padanya. Loceng kaki yang dihentak jelmaan perempuan itu bergemerincing di lantai kayu rumah Pak Kaha. Pan telan liur. Dia menoleh melihat Teha yang ralit melihat Pak Kaha mengasap kerisnya. Teha tak nampak ke??
Tiba-tiba Pak Kaha menepuk lantai rumah sebanyak tiga kali. Matanya fokus pada tubuh kaku Suri di pembaringan sebelum kerisnya ditikam kuat di lantai rumah berdekatan ibu jari kaki kiri Suri. Suri tersentak bangun, mengelupur kesakitan sebelum muntah lagi. Kali ini muntah Suri mengandungi kaca dan paku berkarat.
"Suri!" Teha menerpa adiknya. Wajah pucat Suri diusap penuh kasih.
"Buatan khianat!" Pak Kaha meredam.
"Siapa punya angkara tok?" Pan bertanya geram. Nahas lah kalau dia tahu siapa orangnya!
"Aku tak boleh beritahu..mengundang fitnah dan dendam itu tak baik. Balik lah. Bawa dia berehat. Kemenyan ni, asapkan di sekeliling biliknya."
Pak Kaha menghulur bunjut kemenyan yang berasap tadi pada Pan. Pan menyambutnya.
"Bayaran?" Pan menyoal.
"Pan, aku bayarkan. Kau bawa Suri turun dulu.."
Teha mencelah. Pan mengangguk. Tubuh Suri sekali lagi dicempung ke bawah. Setelah kelibat Pan hilang dari ruang tamu rumah Pak Kaha, Teha bersuara...
"Kenapa dia tak mati lagi?" Teha mendesak.
"Sabar..kita seksa dia dulu. Busana merah ni satu bentuk ikatan janji antara dia dan Dakbaw. Dakbaw dah mula sukakan dia...."
Pak Kaha meyakinkan sambil mengunjuk busnaa tradisional siam yang tersarung di tubuh Suri. Teha meletakkan persalinan itu di dalam almari Suri atas arahannya. Pak Kaha berdehem halus lalu merenung kelibat wanita berpakaian Thailand di hadapannya. Wanita bernama Dakbaw itu tersenyum lebar. Kedua tapak tangannya ditekap sebelum dia ghaib bersama kepulan kabus nipis. Teha tersenyum puas. Sampul berisi duit ringgit itu dihulur pada lelaki kacukan siam pattani itu.
"Aku nak dia mati!"
Teha menyemat pesan. Pak Kaha mengangguk.
Pan, akan menjadi miliknya tak lama lagi!
p/s : Dan janganlah kita menyekutukan Allah..sesungguhnya azab api neraka itu amatlah pedih..
Penulis: Nur Afrah Radzi
Suntingan gambar : Gongpal Topek
Jika anda ada karya ingin dikongsikan (bertemakan seram, thriller, senggama minda dan lain-lain), sila hantarkan karya anda dalam bentuk Microsoft Word di:
aanrc2017@gmail.com
Kami akan sunting untuk siaran di Arkib Angker Negara. Sila nyatakan link pautan Facebook, Twitter, atau blog anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment