Sunday, 4 March 2018

BUSANA GAMELAN - Atikah Che Yasin


BUSANA GAMELAN
Nukilan : Ratika
=================
Alunan bunyi-bunyian mendayu, memukau sang penonton. Masing-masing asyik dengan keunikan irama tradisi itu. Terpukau masing-masing dengan lenggok iramanya yang berulang-ulang tetapi penuh bunga-bunga yang indah.

Sang penari tampil ke pentas, berbusana sutera menari mengikut alunan serunai, gambang, saron dan bonang. Lemah gemalai tangan mengikut rentak gerak tari seiring dengan alunan itu.

Sanggul sang penari, dihiasi cucuk sanggul berona emas. Bertatahkan sedikit permata indah. Menambahkan seri sang penari. Lirik mata penari-penari yang galak dan senyuman yang memukau mengasyikkan.

Irama gamelan mengiringi tarian, sedikit sebanyak menghidupkan aura malam itu. Penonton tidak berkutik. Malah, sanggup bertahan untuk tidak ke mana-mana demi menyaksikan persembahan itu dari mula hingga ke akhirnya.

Usai persembahan, suasana dewan gamat dengan tepukan penonton. Masing-masing memuji para penari dan pengurusan yang mengendalikan mereka. Tidak lekang dari mulut masing-masing bercerita perihal itu.

“Good job! Esok saya belanja makan satey.” Suara Puan Erna yang ceria menyapa penari-penarinya.

“Yeay! Sayang puan!”

Kedengaran penari-penari itu bersorak. Masing-masing sedang membersihkan kesan solekan serta menukar pakaian. Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Agak lewat persembahan itu habis. Luar dari jangkaan memandangkan terdapat sedikit masalah teknikal sebentar tadi.

“Haiza, nanti kamu tolong bawa balik barang-barang ni kat bilik kamu ya. Bilik kamu kan dekat sikit dengan dewan ini.”Perintah Puan Erna. Haiza mengangguk dan akur. Dia sudah biasa, biliknya menjadi tumpangan sementara. Nasiblah, bloknya dekat dengan dewan itu.

Kesemua penari sudah menukar pakaian di bilik persalinan belakang dewan itu. Mereka mengumpulkan busana dalam sebuah beg dan diberikan kepada Haiza. Pakaian tarian itu akan diserahkan kepada pengurusan nanti untuk dicuci dan disimpan bagi kegunaan akan datang.

Haiza mengangkat beg itu. Tidaklah berat sangat. Cuma berisi pakaian sahaja. Setelah dipastikan tiada apa yang tertinggal, dia mula meminta diri untuk pulang ke bilik.

Sesampai di biliknya, Haiza terus mencampakkan beg pakaian ke lantai sebelum menghempaskan tubuhnya di atas katil. Penat menguasai dirinya. Dia berkira-kira untuk mandi sekejap lagi.

Dalam keadaan yang agak penat, matanya mula layu. Sedikit demi sedikit matanya terkatup dan mindanya terasa di awang-awangan. Saat itu, dia ternampak pintu biliknya dikuak.

Sesusuk tubuh masuk ke biliknya dan menyelongkar beg itu. Dia kurang jelas tapi kata hatinya meyakinkan bahawa itu rakan sebiliknya, Tania. Tania membelek-belek pakaian di dalam beg itu. Senyuman jelas terukir di bibir Tania.

“Wah, cantik!” Galak Tania bersuara.

Haiza cuba memanggil Tania supaya Tania tidak mengusik barang-barang itu. Namun, mulutnya terkunci. Matanya dapat melihat tetapi mulut tak mampu bersuara. Tersekat.

Jelas kelihatan Tania menuju ke cermin bilik mereka dan mengenakan pakaian itu. Pakaian dari sutera berlengan pendek dan dikenakan dengan sarung itu digayakan di hadapan cermin.

Haiza mulai rasa hairan tatkala melihat Tania bergerak ke ruangan tengah bilik mereka dan mula membuka langkah tari. Lenggoknya mengasyikkan. Ke kiri, ke kanan, langkahnya tiada cela.

Sesekali matanya dilirikkan ke arah Haiza yang sedang memerhatikannya. Tangannya membawa kipas, sesekali kipas itu dihalakan ke arah Haiza. Haiza tidak betah dengan kelakuan Tania.

“Taniaaaaaaaaaaaaa...”

Terpacul panggilan itu dari mulut Haiza. Dia mula menggerak-gerakkan badannya. Berhasil! Tetapi Tania tiada di ruangan tengah bilik. Juga tidak kelihatan kesan beg pakaian diselongkar.

Peluh Haiza mula memercik tatkala melihatkan Tania tiada dalam bilik itu. Hatinya berdebar-debar. Pantas dia bangkit dari tempat tidur dan memeriksa Tania. Tiada!

‘Klap! Klap!’

Kedengaran tombol pintu dipulas. Haiza terkedu sebaik sahaja terlihat kelibat Tania di muka pintu. Tania sedikit kebingungan dan mengantuk.

“Weh, lambatnya kau balik. Aku terlelap di bilik sebelah.” Tania bersuara malas. Dia menutup pintu dan menapak ke katilnya.

‘Buk!’

“Aduh!” Tania merungut. Dia terjatuh akibat tersepak beg pakaian yang diletakkan di lantai.

“Kau ni, letaklah barang elok-elok.”

Tania membebel sambil tangannya mengalihkan beg itu. Sedikit zip terbuka memperlihatkan kandungan beg itu. Tangannya pantas membuka beg itu. Dicapainya pakaian penari-penari.

“Weh, jangan kacaulah. Rosak nanti!” Haiza bertindak merampas beg itu daripada Tania.

“Eh, kejaplah. Aku nak tengok je.” Tania menjuihkan bibir sambil merampas kembali beg Haiza. Haiza hanya membiarkan sahaja. Dia memang maklum dengan perangai degil Tania.

“Lawanya baju ni.”

Tania membelek-belek sepasang baju sutera serta sarung corak petak-petak. Haiza membuntangkan mata. Itu persis yang dilihatnya sebentar tadi.

“Jangan pakai Tania!” Tegas Haiza.

Tania tidak peduli. Dibawanya pakaian itu ke hadapan cermin besar. Di situ dia menyarungkannya.

“Lawakan.” Ujar Tania girang.

Dia berpusing di hadapan cermin dan membelek dirinya di cermin itu. Rambutnya separas pinggang disanggulkan.

“Nah, ada gaya penari tak?” Tania menggayakan di depan Haiza.

Dia kemudiannya menyelongkar beg Haiza lagi. Diambil cucuk sanggul beserta kipas sebagai pelengkap aksesori busana penari gamelan. Tania tiba-tiba terbungkam.

Haiza terkedu menyaksikan perubahan pelik Tania. Lirikan mata Tania cukup tajam memandang Haiza. Senyumannya penuh helah. Kaki Tania berundur ke belakang sambil pandangannya tidak lepas dari memandang Haiza yang sedang terkedu.

Tangan Tania diangkat, mula membuka gerak tari. Liuk lentok badannya seiring dengan gerakan kaki, seolah-olah ada irama yang mengiringi gerak tari itu.

“Hmmm…hmmmm..hmmmm..hmmmm….”

Tania menggumam sambil menari-nari di ruangan tengah bilik itu. Haiza mula meremang melihat kelakuan Tania. Tania yang dia kenal bukanlah lemah gemalai sebegitu. Dia seorang yang berperwatakan kasar. Tarian, bukan bidang Tania!

Tania kelihatan lebih agresif. Dia menundukkan kepala dan mendengus kasar.

“Habiskan persembahan tadii!!!!!!!!”

“Apa kau cakap ni? Persembahan tadi dah habis lah.” Haiza bersuara takut-takut.

“Belum habis.. Aku belum masuk.” Tania bersuara sambil memegang cucuk sanggulnya.

“Kau mana masuk tarian!”

“Bukan kawan kau lah bodoh! Aku, Zawani. Penari utama. Persembahan belum habis kalau aku tidak buat persembahan.”

Haiza merasakan Tania sedang dikuasai iblis. Dia terus menuju ke pintu dan berlari ke bilik sebelah.

“Weh, korang. Tolong. Panggil warden weh!” Jerit Haiza sebaik sahaja sampai di bilik sebelah.

Dia tidak pernah bertegur sapa dengan penghuni bilik sebelah. Namun, nasibnya sedikit baik kerana penghuni bilik sebelah bertindak menghubungi warden.

Sementara menunggu warden datang, mereka membaca ayat-ayat suci al-Quran. Mata mereka masih tidak mengantuk walaupun jam menunjukkan angka 1 pagi.

Sesekali mereka mendengar bilik sebelah bising dengan barangan dihempas. Terkadang bunyi kaca pecah.

Hati Haiza agak risau dengan keadaan Tania. Dia turut tertanya-tanya, siapakah gerangan Zawani? Masa menunggu warden untuk sampai dirasakan begitu lama.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara warden memberi salam. Haiza lega.

“Puan, Taniaaa..” Belum sempat Haiza bersuara, warden mengangguk.

“Tak apa, tak perlu jelaskan. Kamu tunggu di sini, ustaz ada ni. Saya takut kamu lemah semangat je nanti.” Ujar warden lembut.

Ustaz dan warden ke bilik Haiza. Sesampainya mereka di sana, mereka melihat Tania sedang terduduk di atas lantai sambil bermain-main dengan selendang.

Keadaan bilik agak berselerak. Kaca pecah terhambur di lantai. Mulut ustaz terkumat kamit mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Itu sahajalah senjata untuk melawan iblis durjana.

Tania berguling-guling atas lantai sambil tergelak-gelak. Ustaz itu tidak berputus asa. Dia meneruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Warden juga tidak terkecuali.

Lafaz zikir tetap di mulutnya. Tania membaling cucuk sanggul ke arah ustaz. Matanya merah dan mengalirkan air mata,

“Biarkan aku habiskan persembahan aku..’ Lirih Tania bersuara.

Rintihannya langsung tidak dipedulikan. Ustaz mengarahkan warden untuk memegang Tania. Kudratnya agak kuat, namun warden dapat mengatasinya.

“Lepaskan akulah bodoh!” Tempik Tania.

Mereka tidak mempedulikan. Lafaz kalimat kepada Yang Maha Satu tetap di bibir. Akhirnya, setelah berhempas pulas, Tania terkulai di riba warden.

“Macam mana ustaz?” Soal warden. Agak bergetar nada suaranya akibat risaukan Tania.

“Alhamdulillah. Dia dah okey. Cuma, saya tak faham bagaimana barang lama ini boleh ada dengannya.”

“Barang lama?”

“Ni, pakaian ini! Miliknya penari yang dah lama meninggal tu kan?” Soal ustaz.

Warden terkedu. Baru dia perasan, pakaian yang dipakai Tania itu milik penari kolej yang meninggal dalam tragedi dahulu.

Dia cam kerana kombinasi warnanya sedikit berbeza dengan pakaian penari kini. Kira-kira lebih kurang 20 tahun dahulu, Zawani meninggal ketika persembahan tariannya.

******

- Imbas kembali; 20 tahun dahulu -


Sang penari sedang mengenakan pakaian masing-masing. Semuanya bakal mempersembahkan tarian gamelan pada malam itu.

Suasana agak riuh rendah bila mana masing-masing teruja untuk melakukan persembahan yang dinantikan. Perhatian sudah semestinya tertumpu kepada Zawani, penari utama yang menjadi sandaran untuk persembahan mereka.

Kelibat Zawani masih belum kelihatan. Erna, selaku kawan baik Zawani mulai risau dengan ketiadaan Zawani. Lantas, dia mencari-cari Zawani di kawasan dewan itu.

Sudah seluruh tempat diperiksa, namun tiada. Sehinggalah, dia menemui Zawani dalam keadaan lemah di tandas.

“Weh, kau kenapa?” Soal Erna.

“Aku rasa lemah. Lepas minum air yang Yati beri tadi.”

“Air apa?”

“Entah, aku rasa lemah. Tapi, aku kena teruskan persembahan ini. Kau tahu kan, penting untuk aku.”

“Ya, tapi kau lemah sangat ni. Muka pun pucat.”

“Tak apa. Mekap aku boleh tutup pucat ni.”

Erna agak risau tapi Zawani meyakinkan Erna untuk percayakannya. Untuk tidak menghampakan kawan baiknya, Erna membantu sedikit sebanyak persiapan kawan baiknya itu.

Saat persembahan, alunan irama tarian yang memukau mengasyikkan menarik perhatian penonton. Irama tercipta dek keseragaman sang pemuzik memainkannya.

Penuh teliti dan tenang sekumpulan lelaki berbaju teluk belanga dan bersongkok memainkan irama itu. Semuanya berjalan lancar. Namun, saat minit-minit terakhir persembahan, Zawani rebah. Semua penonton terkejut dengan keadaan itu.

Dia dikejarkan ke hospital. Tetapi, tidak lama kemudian dia disahkan meninggal dunia akibat penat. Jantungnya mengalami masalah secara tiba-tiba dek campuran minuman bersama bahan terlarang. Erna cukup terkesan dengan kematian Zawani. Dia menuntut kematian Zawani habis-habisan namun gagal disebabkan Yati punya kedudukan. Bapanya berpengaruh.

Maka, Erna bertindak menggunakan jalan hitam. Didampingi segala jin dan dipuja iblis untuk membalas dendam. Irama dan tarian itu dijadikan suatu wacana untuknya ‘berhubung’ dengan Zawani. Walhal, Zawani sudah lama mati.

Erna mensasarkan keturunan Yati. Dia sungguh gembira tatkala mengetahui bahawa Tania, anak Yati belajar di kolej itu. Dia bertindak sebagai tenaga pengajar tarian memainkan peranan untuk mengganggu Tania.

Malangnya, Tania langsung tidak berminat dengan tarian. Nasibnya sedikit baik bila Haiza, rakan sebilik Tania menyertai tarian. Jadi, dia menggunakan Haiza untuk ‘menyimpan’ pakaian Zawani. Dengan cara itu, dia boleh mengganggu Tania.

******

“Jadi, macam mana sekarang, ustaz?”

“Tak apa, tolong tukarkan pakaian dia. Nanti saya buang barang-barang lama.”

“Baik ustaz.”

Selesai melaksanakan tugasnya, ustaz memberikan sedikit air untuk diminum Tania dan Haiza.

“Erna macam mana ustaz?” Warden itu menyoal lagi.

“Dia, sudah tiada berhampiran.”

“Maksudnya?”

“Tadi dia ada berdekatan. Sekarang dia sudah tiada. Harapnya dia segera bertaubat daripada melakukan perbuatan terkutuk ini.”

“Saya pun harap macam tu. Setahu saya Yati pun sudah mati terkena penyakit misteri.”

“Begitulah hendaknya. Sesungguhnya menyekutukan Allah itu perbuatan dilaknat.”

Ustaz berlalu pergi. Di tangannya terdapat barangan arwah Zawani yang digunakan untuk tujuan salah. Barangan itu akan dihapuskan nanti demi keselamatan bersama pada masa akan datang.

Mudah-mudahan tiada lagi yang menjadi mangsa angkara ketaksuban Erna dalam melunaskan dendam.


-TAMAT-
==================================

Gambar: Dikmang
Suntingan: Dee Edot
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan

No comments: