SERAM DI UiTM PERAK
==========================
Salam Angkerian sekalian. Anda pernah kena usik semasa 'study'? Setiap asrama/kolej pasti ada kisah mistiknya yang tersendiri bukan?
Kali ini aku ingin menceritakan tentang kisah mistik di UiTM Perak (kampus Seri Manjung dan Seri Iskandar).
Aku bahagikan kepada 3 kisah pendek. Cerita yang ketiga pastinya membuatkan anda berfikir, "Aku pun ada 'BENDA' tu... Patut ke aku BUANG???"
Sambil-sambil anda mengunyah jajan dan masih lagi dok berfikir-fikir akan kesahihan jenis makhluk awek berkebaya merah di Taman Melawati tu, jom kita bersantai-santai baca cerita ini...
* * *
-Bahagian 1 (diceritakan oleh Kak Wan. 1997)-
Bagi yang tak tahu, mari aku ceritakan sedikit tentang sejarah UiTM Perak.
UiTM Perak kampus Manjung merupakan kampus UiTM terawal bagi negeri Perak. Terletak di daerah Manjung. Kampus pun hanyalah sekadar deretan rumah kedai. Ianya mula beroperasi pada tahun 1985.
Kemudian UiTM Perak kampus Manjung berpindah secara berperingkat ke bandar Seri Iskandar (SI) pada tahun 1997. UiTM SI menjadi kampus tetap yang mempunyai segala kemudahan yang lengkap sebagai sebuah universiti.
Baiklah, begitulah serba-sedikit tentang sejarah UiTM Perak kampus Manjung dan kampus Seri Iskandar (maaf jika ada info yang kurang tepat tentang sejarah ini).
Kak Wan merupakan seorang staf di pejabat aku membuat latihan praktikal/'internship' semasa aku diploma. Dia merupakan lulusan daripada UiTM Perak. Kak Wan sempat merasa duduk di kampus Manjung dan merupakan 'batch' terawal yang berpindah ke kampus baru Seri Iskandar (SI).
Di kampus Manjung, bilik kelas terletak di tingkat bawah rumah kedai. Manakala di tingkat atas pula merupakan asrama pelajar. Memang banyak kejadian mistik yang terjadi.
Contohnya bila di hujung semester sebelum pelajar balik bercuti, mereka akan mengemas dan mencuci kelas dahulu. Menyusun semua meja dan kerusi di kelas supaya tampak kemas dan bersih.
Bila waktu menjelang tengah malam, akan kedengaran bising-bising di tingkat bawah. Bunyi bising tarik, tolak meja dan kerusi. Bunyinya sama serupa seperti mereka mengemas semasa waktu siang tadi.
Padahal bukannya ada sesiapa pun di dalam kelas pada waktu tengah-tengah malam. Mungkin mambang tengah mengemas nak balik kampung bercuti semester juga.
OK tamat cerita seram ringkas di kampus Manjung. Kita teruskan ke kampus baru Seri Iskandar (SI) pula.
Menurut Kak Wan, masa awal-awal masuk di SI, pelajar memang tak berapa ramai. Kalau tak salah, pelajar pun daripada satu fakulti saja. Pelajar fakulti-fakulti yang lain belum berpindah masuk lagi.
Kejadian histeria memang sering berlaku di asrama perempuan. Jenuh warden dan ustaz kena selalu datang berubat. Menurut cerita daripada kalangan pelajar, penampakan kelibat atau entiti juga sering terjadi.
Akhirnya dikhabarkan pihak pengurusan universiti telah memanggil seorang ustaz yang terkenal semasa pelajar sedang balik cuti semester untuk membuang segala jenis penghuni ghaib di kampus ini.
Jin dibawa keluar dengan menaiki dua buah bas dan dibuang di hutan yang terpencil. Dikhabarkan di daerah Gerik. Di dalam bas hanya ada ustaz pengiring dan juga pemandu. Ironinya, bas terasa sangat berat. Pastinya disebabkan penuh dengan segala jenis keturunan jin yang tak nampak dengan mata kasar.
Agak klise kan cerita tentang jin dibawa keluar dengan bas? Kesahihan pasal bahagian ini agak tak dapat dipastikan sangat sebab di universiti lain pun ada cerita yang sama juga. Macam dah jadi ‘urban legend’.
Akan tetapi dikhabarkan selepas semester baru dibuka, kekerapan kes histeria atau penampakan memang telah banyak berkurang. Tapi tetap ada sekali sekala terjadi. Mana tidaknya, kampus SI ini memang didirikan di atas tanah yang betul-betul hutan belantara. Kita manusia yang menceroboh penempatan asal jin, memang mengamuklah mereka.
Menurut Kak Wan, dia sendiri pernah diganggu. Dia baru pulang dari bilik kawannya pada waktu tengah malam. Sebelum masuk bilik, dia masuk tandas dulu untuk membasuh tangan di sinki. Terlihat ‘roommate’ dia tengah membasuh baju. Mereka saling berbalas senyuman.
Bila Kak Wan masuk bilik, tengok ‘roommate’ dia yang dalam tandas tadi elok sahaja tengah melepak dengan kawannya yang lain. Apalagi, istighfar panjang sajalah. Patutlah senyuman 'kawan' dia tadi nampak sangat lain macam. Senyuman yang agak menyeramkan.
Pernah juga terjadi, Kak Wan terjaga tengah malam. Dalam samar-samar bilik, nampak ‘roommate’ dia berdiri betul-betul di sebelah katil. Berdiri diam dan memandang dia. Bila difikirkan semula, ‘roommate’ dia dah balik kampung siang tadi.
Kak Wan diam-diam mengintai. Kaki ‘roomate’ sampai di bahagian betis sahaja. Dari betis ke bawah memang tak nampak. Mudah kata sebahagian kaki sahaja yang ada dan terapung-apung. Kak Wan terus memusingkan badan ke arah bertentangan, tarik selimut, baca doa dan sambung tidur.
Lupa aku nak cerita pula, sepanjang aku kenal Kak Wan semasa aku menjalani latihan praktikal/’internship’ selama 6 bulan, dia memang seorang yang agak berani. Nampak alim daripada cara pemakaian, perbuatan dan pertuturan.
Sebab tu semua apa yang dia ceritakan, aku percaya. Disebabkan perwatakan Kak Wan-lah, aku mempercayai akan cerita mistik terhebat yang aku pernah dengar sepanjang hidup aku. Aku akan ceritakan di bahagian akhir sekali nanti.
* * *
-Bahagian 2 (cerita aku dan rakan rakan. 2002)-
Bahagian 2 ini aku nak ceritakan pasal pengalaman aku dan pengalaman kawan-kawan aku.
Sepanjang aku di SI, aku pernah juga diganggu. Mula-mula sekali semasa semester 1. Aku dapat bilik di tingkat atas sekali di blok A. Bilik 4 orang. (nama blok mungkin dah berubah sekarang, dulu nama blok sekadar menggunakan abjad ABCD).
Di sebelah kanan bilik aku merupakan tandas serta bilik mandi, dan katil aku pun betul-betul terletak di sebelah dinding yang berkongsi dengan bilik mandi. Kiranya dinding itu selalunya akan berasa sejuk. Katil aku memang selalu jadi ‘port’ bersandar ‘roommates’ aku.
Pada suatu malam hujung minggu, aku melepak seorang diri di dalam bilik sambil bermain ‘game’ Pinball di komputer. 2 orang ‘roommates’ aku sudah balik kampung. Manakala seorang lagi entah ke mana meronda. Aku macam biasa, anti-sosial, sekadar memerap dalam bilik.
Jam sudah lebih kurang pukul 2 pagi. Aku menutup lampu bilik dan biarkan pintu bilik terbuka. Kiranya cahaya samar-samar saja masuk daripada lampu kalimantang koridor.
Sebab utama aku menutup lampu adalah disebabkan kalau malam-malam di dalam hutan belantara hulu banat ni, selalunya ada kumbang yang busuk suka menghurung lampu. Yang paling parah kadang-kadang serangga Charlie pun ada. Luka pedih kalau terkena bisa serangga Charlie.
Lagipun bilik ini terletak di tingkat atas sekali. Memang panas membahang. Terpaksa selalu membuka pintu.
Sedang aku syok ‘tungtangtungtang’ main Pinball, tiba-tiba aku terperasan ada sesuatu bergerak melintas di luar tingkap. Komputer ‘desktop’ aku memang dipasang di atas meja ‘study’, dan aku duduk menghadap tingkap.
Mula-mula aku cuba tak menghiraukan walaupun bulu roma dah tegak berdiri. Kononnya nak buat berani. Namun sekali lagi ‘benda’ itu melintas. Sangat jelas susuk tubuh seperti manusia, warna hitam semuanya. Terbang melayang melintas lalu di luar tingkap.
Aku dah terpaku keras di atas kerusi.
Nasib baik ‘roommate’ aku dah balik dari meronda dan terus membuka lampu tanpa rasa bersalah diiringi lagu Mentera Semerah Padi yang sumbang terbit dari mulutnya.
‘Roomate’ aku terkejut bila terlihat muka aku yang dah pucat. Lepas aku ceritakan apa yang terjadi, kemudian kami sama-sama ‘berhuhuhuhu’ lantas mengangkut bantal dan tidur berjemaah di bilik rakan yang lain.
‘Classmate’ aku juga pernah bercerita, dia pernah ditindih pada waktu tidur malam. Semasa kena tindih, dia membuka matanya. Apa yang dia nampak ialah seekor binatang seiras beruk berbulu hitam sangat lebat dan panjang sedang melompat-lompat di dalam bilik. Sekejap melompat atas katil, sekejap atas meja.
Mata dia saja yang depat bergerak melihat aksi beruk itu, manakala tubuh badannya semua kaku tak boleh bergerak. Sedaya-upaya dia cuba melawan untuk bergerak tapi tetap tak berjaya.
Kebetulan juga ‘roommate’ dia masuk bilik dan ternampak muka dia tengah kejang dan herot. ‘Roommate’ ingatkan dia tengah bergurau. Apalagi ‘roommate’ dia ambik bantal terus hempuk di muka ‘classmate’ aku itu. Terus dia berjaya lepas daripada kena tindih.
Menurut petua yang agak diragui kesahihannya, kalau kita ternampak orang seperti keras kaku atau kejang semasa dia sedang tidur, maknanya orang itu tengah kena tindih dengan jin. Caranya ialah kita ambil bantal atau kain, dan dihempuk pada orang itu sambil dibaca ayat suci. Nanti jin yang menindih itu akan lari.
Ada satu lagi kes, ‘coursemate’ aku kena kacau semasa kami di minggu orientasi. Semasa orientasi, kami kena duduk di blok asrama lelaki blok D. Blok D ini belum pernah diduduki oleh pelajar sebelum ini.
Seperti biasa semasa minggu orientasi, pelajar kena bangun awal-awal pagi. Sebelum subuh dah kena terpacak di dewan. Maka ‘coursemate’ aku yang sedikit ‘nerd’ ini dia bangun paling awal nak mandi.
Masuk saja dalam bilik mandi, dia ternampak di atas siling seekor cicak berkepala manusia sedang merenung dia. Dia pun tak jadi mandi awal dan tunggu orang lain bangun baru mandi beramai-ramai.
* * *
-Bahagian 3 (diceritakan oleh Kak Wan. 1997)-
OK ini merupakan bahagian akhir untuk cerita kali ini. Tahap mistik aku bagi ‘score 10 out of 10’.
Seperti yang diceritakan di bahagian 1, Kak Wan merupakan ‘batch’ pertama di tempat jin bertendang kampus SI ini. Maka banyaklah kejadian mistik yang terjadi. Dan mistik itu bukan sembarangan mistik.
Pada suatu malam yang sudah larut, Kak Wan dan 3 orang lagi ‘roommates’ iaitu Anna, Shila dan Fika semuanya berada di dalam bilik. Ada yang sedang ‘study’, ada yang tengah membaca novel. Semuanya tengah duduk dan meniarap di tengah bilik iaitu betul-betul di bawah kipas siling.
Sedang masing-masing tengah membuat hal masing-masing, tiba-tiba angin kencang bertiup masuk melalui tingkap. Langsir terangkat tinggi. Kertas yang berada di atas meja semua berterbangan.
Kipas siling turut bergoyang-goyang tanda kencangnya angin yang masuk. Kemudian lampu bilik berkelip-kelip tak berhenti. Masing-masing terkejut dengan suasana bilik yang tiba-tiba sahaja berubah secara mendadak. Mereka sudah berpandangan sesama sendiri.
Tiba-tiba Kak Wan terperasan ‘teddy bear’ milik Anna yang berada di sudut katil bergerak-gerak. Saiz ‘teddy bear’ itu biasa sahaja. Tak besar. Bila didirikan, tingginya tak sampai 1 kaki.
Perlahan-lahan ‘teddy bear’ itu bangun dan menari-nari di sudut katil. Matanya sekali-sekala bersinar merah disinari cahaya lampu yang tengah rancak berkelip. Padahal mata asalnya kalau kena cahaya lampu, silauannya bukan berwarna merah.
Meraka masing-masing sudah ketakutan dan berpelukan di tengah bilik. Anna dan Fika sudah mula menangis. Hanya tinggal Kak Wan dan Shila yang masih lagi dapat mengawal perasaan.
Shila pantas bangun dan cuba membuka pintu bilik. Tapi tombol tak dapat dipulas. Terkunci. ‘Teddy bear’ pula makin galak menari dan melompat-lompat di atas katil.
Kak Wan terus mengalunkan azan sambil memejamkan mata. Sebaik sahaja habis azan dialunkan, Shila mencuba lagi untuk membuka pintu namun masih tak berjaya. Angin semakin kuat menderu-deru masuk melalui tingkap. Bunyi kuat siulan angin yang masuk menambahkan huru-hara bilik.
Tiba-tiba ‘teddy bear’ itu terbang melayang berpusing-pusing di atas kepala mereka. Tangisan Anna dan Fika semakin menjadi-jadi sebaik terlihat ‘teddy bear’ sedang berterbangan.
Kali ini Kak Wan bingkas berdiri dan sekali lagi mengalunkan azan. Sepanjang azan, lampu terpadam beberapa saat, kemudian menyala kembali untuk beberapa saat, berulang berkali-kali. Habis sahaja azan, Kak Wan terus memulas tombol pintu. Dapat buka!
Terus mereka semua meluru keluar walaupun dengan langkah kaki yang longlai. Bilik jiran sebelah diserbu masuk oleh mereka semua.
Rakan-rakan di bilik sebelah langsung tak terdengar apa-apa yang pelik. Azan yang agak kuat oleh Kak Wan tadi pun mereka langsung tak dengar.
Selepas sudah agak tenang, mereka pun beramai-ramai pergi menyiasat di bilik Kak Wan. ‘Teddy bear’ tadi masih terletak elok sahaja di tempat asalnya di sudut bilik. Cuma helaian kertas masih bersepah tanda memang betul ada angin kencang yang bertiup tadi.
Selepas peristiwa tu, sesiapa sahaja yang mengetahui akan kejadian itu dan memiliki ‘teddy bear’ terus membuangnya ke dalam tong sampah. Siapa pun dah tak berani nak menyimpan ‘teddy bear’.
Sekian sahaja untuk bahagian 3. Kedengaran seperti sangat dahsyat bukan? Kalau orang lain yang bercerita, mungkin aku susah nak percaya. Tapi sebab aku kenal siapa diri Kak Wan, maka aku percaya akan ceritanya.
Anda bekas pelajar UiTM tersebut? Atau sedang belajar di situ sekarang? Atau anda daripada institusi yang lain dan ingin berkongsi pengalaman seram angker anda. Mari kongsikan kisah mistik anda di ruangan komen.
Oh ya! Anda ada menyimpan ‘teddy bear’? Pernah cuba tenung matanya lama-lama di waktu kelam malam?
Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah seram terbaru. Sila tekan 'link' berikut :-
Kredit kepada Kak Wan dan rakan-rakanku sebagai penyumbang cerita ini.
-TAMAT-
=======================
Karya: DeeFen DF
Suntingan Gambar (sumber internet. Kredit kepada pemilik asal gambar): DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment