Thursday 2 November 2017

URBAN LEGEND (JAMBATAN PULAU PINANG) - Iskandar Zulfaqar


URBAN LEGEND : JAMBATAN PULAU PINANG
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF



“Aku bosan lah. Jom cerita hantu!”
Kata-kata Iza itu memecah sunyi malam di dalam bilik bernombor 302 di Kolej Kediaman Siswi sebuah universiti awam yang terletak di bahagian utara semenanjung tanah air. Kata-kata Iza itu juga memeranjatkan Aishah dan Nisa, dua orang rakan baik Iza yang selalu bersamanya.
Iza, Aishah dan Nisa merupakan penghuni bilik 302. Selain menjadi rakan sebilik, mereka bertiga turut berhubungan akrab antara satu sama lain. Setiap perkara akan mereka lakukan bersama termasuklah pergi ke Dewan Kuliah pada waktu pagi. Mereka bertiga juga turut berada dalam bidang yang sama. Hal itu menyebabkan mereka bertiga lebih rapat.
“Kau ni gila ke? Takutlah cerita hantu malam-malam macam ni.” Nisa mempertikai cadangan Iza untuk bercerita tentang kisah-kisah seram.
Sudah menjadi kebiasaan buat mereka bertiga untuk duduk di katil masing-masing pada waktu ini dan berbual mengenai pelbagai topik tetapi tidak berkaitan topik seram. Jadi, idea Iza untuk bercerita topik begitu adalah untuk memecahkan kebosanan mereka mencari topik untuk dibualkan.
“Cadangan kau tu okey juga, Iza. Lagipun kita tak pernah cerita hantu lagi kan. Sabarlah Nisa. Kita bercerita je. Takkan datang hantu tu kat kita.” Aishah tertarik dengan cadangan Iza dan bersetuju dengan cadangan itu.
“Yelah! Dah kau orang berdua setuju aku on lah.”
Aishah dan Nisa turun dari katil mereka dan duduk di atas katil Iza. Lampu bilik yang asyik memuntahkan cahaya telah mereka padam sebagai menambahkan lagi suasana seram bertepatan dengan cerita hantu yang bakal mereka dengarkan. Sebatang lilin dinyalakan oleh Iza sebagai satu-satunya sumber cahaya buat mereka. Suasana mulai sepi. Mereka berpandangan sesama sendiri, tergamam tidak tahu siapa yang akan mula bercerita terlebih dahulu.
“Kita nak bercerita je kan? Dah macam nak panggil hantu pula tutup lampu, pasang lilin semua ni. Ha ha ha!” Nisa sedikit pelik dengan tindakan rakan-rakannya itu.
“Kita buat macam ni baru lah seram. Baiklah! Aku akan mulakan cerita,” kata Iza.
Suasana sekali lagi sepi apabila Aishah dan Nisa terdiam kerana terlalu ingin mendengar cerita yang bakal Iza perdengarkan.
“Kau berdua pernah dengar tak urban legend?” tanya Iza.
“Aku tahu. Urban Legend tu adalah kisah-kisah hantu yang popular dan menjadi sebutan zaman-berzaman kan?” jawab Aishah
“Macam di sekolah asrama ada urban legend hantu bungkus dalam bilik study, hantu tanpa kepala dalam tandas cari kepala mereka, seriel killer bunuh budak-budak dalam asrama. Semua tu aku dah dengar. Bosanlah.” Nisa mula merungut.
“Ya! Betul jawapan kau berdua tu tapi urban legend yang aku akan cerita ni tiada kaitan dengan asrama. Ia berkaitan dengan sebuah jambatan yang menjadi mercu tanda negeri kita ini.”
“Maksud kau, Jambatan Pulau Pinang?” tanya Nisa.
“Ya. Jambatan Pulau Pinang,” jawab Iza.
Reaksi kaget jelas kelihatan pada wajah Nisa. Selama lebih 20 tahun dia hidup di negeri Pulau Pinang, ini merupakan kali pertama dia pernah mendengar bahawa jambatan yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar itu berhantu.
Nisa tinggal di kawasan tanah besar dan bersekolah di sebuah sekolah convent di bahagian pulau. Jadi, setiap hari dia akan melalui jambatan itu untuk pergi dan balik ke sekolah. Tidak pernah langsung dia mengalami perkara aneh atau misteri di atas jambatan itu.
“Kau biar betul, Iza? Aku dah bertahun lalu jambatan tu. Takda apa pun.” Aishah turut mempersoalkan perkara yang sama.
“Aku dengar cerita ni daripada arwah nenek aku sendiri. Aku tak pasti lah sama ada betul atau tak. Kau tahu tak bila jambatan tu dibina?”
“Aku tak pasti tahun dengan tepat tapi yang aku tahu jambatan tu dibina pada era 80-an. Kenapa?” Aishah semakin bersemangat ingin mendengar cerita tentang jambatan Pulau Pinang itu dengan lebih lanjut.
“Semasa proses pembinaan jambatan ni, memang banyak masalah berlaku, maksud aku masalah yang tak masuk akal. Semua orang dah buntu tak tahu nak buat apa sampailah suatu hari, pihak pemaju memanggil seorang pawang untuk menyelesaikan masalah ini.
Setelah berhubung dengan alam mereka, barulah tahu bahawa di lautan itu ada penunggu dan diperintah oleh ketua jin yang memerintah selat Melaka.”
“Okay kejap! Maksud kau jin pun ada ketua?” Aishah sekali lagi menyampuk.
“Ya. Jin juga mempunyai kerajaan sama seperti manusia. Di perut laut itu juga ada jin yang menyerupai seekor buaya berwarna putih. Buaya tu inginkan korban manusia untuk dijadikan santapannya setiap malam purnama, barulah dia benarkan proses pembinaan jambatan itu dijalankan.”
“Kau jangan main-main. Malam ni bulan purnama, Iza.” Sekali lagi penceritaan Iza diganggu Aishah.
“Kau boleh tak jangan kacau. Aku nak cerita ni. Okay aku sambung. Ada juga aku dengar bahawa setiap tiang konkrit yang dibina ini disumbatkan kepala manusia sebagai ritual menjamu jin tersebut. Semasa proses pembinaan dijalankan, ramai pekerja yang mati akibat kemalangan. Tapi yang sebenarnya mereka sengaja ditolak ke dalam laut untuk dijadikan santapan jin buaya putih tersebut.
Tiang konkrit paling misteri pada jambatan itu ialah tiang yang ke 56. Ramai dah nelayan termasuk bapa saudara aku sendiri yang lihat pusaran air berlaku di situ. Di dalam pusaran air itu akan kelihatan kelibat buaya putih tersebut. Bapa saudara aku pernah kena semasa dia turun ke laut untuk menangkap ikan dan kebetulan melalui tiang nombor 56 ini. Dia terpaksa laungkan azan untuk hentikan pusaran tersebut,” jelas Iza secara panjang lebar.
Aishah dan Nisa tergamam mendengar kisah urban legend di sebalik jambatan Pulau Pinang yang menjadi mercu tanda negeri Pulau Mutiara itu. Walaupun ceritanya agak tidak masuk akal tetapi seramnya mampu mendirikan bulu roma mereka.
“Betul ke ni? Maksudnya setiap hari aku lalu di atas timbunan mayat orang yang menjadi mangsa ritual. Begitu?” Nisa mula bersuara.
“Lebih kurang begitulah, Nisa kalau cerita ni betul. Ada satu lagi cerita yang aku dengar. Ada seorang pelancong negara luar telah dirasuk semasa menaiki bot melintasi jambatan Pulau Pinang. Setelah diubati dan sedar, dia menceritakan perkara yang dia lihat. Dia nampak kelibat jin setinggi langit di hadapannya. Laut itu hanya paras buku lali makhluk itu sahaja. Dia terus pengsan sebaik terlihat makhluk gergasi itu. Menurut ustaz yang merawatnya itu, jin gergasi itulah yang memerintah Selat Melaka. Untuk pengetahuan kau berdua juga, arwah nenek aku ada ajarkan mantera kepada aku untuk aku panggil buaya putih itu.”
“Cerita kau ni menarik tapi aku kurang percayalah. Takkanlah projek besar macam ni pun orang nak gunakan jin sebagai perantara.” Aishah mempertikaikan kebenaran cerita itu.
“Aku pun dengar dari mulut orang. Kalau orang tipu, aku pun tipulah,” kata Iza.
“Baik. Satu cara je nak tahu kebenaran cerita ini. Kebetulan malam ni bulan purnama, malam buaya putih tu berkeliaran mencari korban. Jom kita pergi ke jambatan dan berhenti kereta betul-betul atas tiang 56 tu. Aku nak tengok betul ke buaya putih tu wujud.” Aishah tiba-tiba membuka cadangan yang begitu memeranjatkan Iza dan Nisa.
“Kau dah gila ke? Jangan buat kerja bodoh. Bahayalah. Lagipun jambatan sunyi waktu sekarang. Takde orang nak lalu dah.” Nisa membantah keras cadangan itu.
Dalam riuh-rendah Nisa dan Aishah bertengkar, Iza hanya terdiam memikirkan cadangan yang disuarakan oleh Aishah itu. Mungkin juga benar cadangan Aishah itu. Jika cerita itu benar, maka dia akan melihat kelibat buaya putih yang diperkatakan itu, jika tidak benar, dia tidak akan melihat apa-apa.
“Aku setuju. Jom pergi sekarang!” Iza tiba-tiba bersuara sekaligus memaklumkan jawapannya kepada cadangan Aishah.
Nisa terpaksa bersetuju dengan suara majoriti dua orang rakan karibnya. Dia terpaksa juga mengikut mereka untuk pergi ke jambatan untuk melihat sendiri kewujudan buaya putih.
Jam telah melepasi pukul 3 pagi. Waktu inilah waktu kemuncak bagi jin-jin berkeliaran kerana manusia sedang nyenyak dibuai mimpi. Kereta Myvi milik Iza memecut laju meredah bayu pagi yang tiada henti-henti bertiup. Kebetulan juga universiti mereka terletak kurang 10 km daripada jambatan Pulau Pinang.
Setiap tiang konkrit jambatan itu mereka kira sehinggalah sampai ke tiang yang ke 56 yang terletak sudah mengunjur ke tanah besar. Jalan yang lengang memudahkan mereka untuk berhenti di bahu jambatan dan berdiri betul-betul di tepi laut.
“Kau tengoklah, Iza. Takde apa pun. Cerita kau tu tak betul lah. Ha ha ha! Bagi aku mantera tu. Biar aku baca untuk panggil dia.” Aishah menyakat Iza.
Walaupun pada awalnya hati Iza berat namun setelah dipaksa, dia terpaksa memberika juga mantera yang diajar oleh arwah neneknya untuk memanggil buaya putih itu. Iza menaip mantera itu di dalam telefon bimbitnya dan setelah selesai, dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Aishah.
“Kalam sakti aro bangsawa
Niang merilik sawo metera
Ayo sekalian alam tunduk
Tuanmu bitok jelma
Serahlah jiwo, serahlah segalanya
Salam meliling tuan aro”

Sebaik mantera itu selesai dibaca, angin bertiup semakin kencang sehingga hampir menerbangkan mereka. Iza dan Nisa terjatuh kerana tiupan angin yang terlalu kencang. Ombak di bawah juga semakin deras arusnya sehingga membentuk pusaran sebesar padang bola.
Di tengah-tengah pusaran itulah mereka terlihat seekor buaya putih berenang. Di hadapan mereka juga kelihatan lembaga hitam pekat yang tidak ternilai besarnya. Tingginya mencecah langit hingga menyebabkan mereka tidak terlihat wajahnya.
Pusaran ombak semakin laju dan tiupan angin semakin kencang. Aishah masih berdiri. Wajahnya tepat memerhati pusaran ombak tersebut tanpa memperdulikan Iza dan Nisa yang tidak henti-henti memanggilnya. Dia seolah-oleh dipukau dan tidak lagi sedarkan diri.
Ketika itulah Aishah berjalan ke hadapan dan terus terjun ke dalam pusaran air yang galak memutar. Tubuh kecil Aishah diratah rakus buaya putih yang sedia menantinya. Hanya tangisan dan jeritan Aishah didengar. Pusaran itu juga bertukar merah hasil daripada darah Aishah yang mencurah-curah akibat dibaham buaya putih itu.
Selang beberapa minit, pusaran itu hilang. Buaya putih serta lembaga bersaiz gergasi itu turut lenyap dari pandangan. Iza dan Nisa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas jambatan itu oleh seorang pemandu yang melalui kawasan itu. Kes kematian Aishah dikategorikan sebagai kemalangan dan misteri buaya putih itu kekal misteri sehingga ke hari ini.
-TAMAT-
Karya : Iskandar Zulfaqar
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

1 comment:

Unknown said...

Macam mana depa bleh kira tiang tu kat mana sedangkan tiang tu dok bawah.kot ataih tiang lampu ada la.tp utk kira column bawah tu kena turun kot bawah naik boat.pasai cita kes denih,ada ka bukti media yg cakap pasai benda ni kes kemalanan????