Saturday, 18 November 2017

PEN - Perpustakaan Awam


Tajuk : PEN

=======================

"Tamin! Kau dah siapkan cerita baru kau ke? Kata nak submit ke Arkib Angker Negara. Asyik berangan je, aku tengok." Tegur Faiz, sahabat serumahku.
"Ermm. Belum lagi. Aku berangan bukan kosong Iz. Aku tengah cari ilham lah. "
"Ilham apa benda? Dari tadi aku tengok, kau bukan main syok duk tenung gambar si Sajati tu. Angau ke bro?"
Erkkk. Kantoi!
"Angau? Jadahnya. Aku tengah kaji selok belok dia jadi ahli perniagaan lah. Mana tahu, kalau satu hari nanti aku boleh jadi macam dia!"
"Hahah.. Jadi ahli perniagaan takpa. Aku setuju. Tapi, jangan kau jadi macam dia sudahlah. Patah wei. Tak original. Kunyit!"
"Damn! Mulut kau. Longkang, bro!"
"Hahahah!"
Faiz meninggalkan aku bersama tawanya yang masih bersisa. Sengal punya kawan!
Ya. Dia sahabat baikku. Dia aku anggap, seperti seorang abang. Kunyit? Minta simpanglah. Belum ada lagi keturunan aku yang patah. Tapi, aku tak ada hak untuk menilai dosa pahala orang lain. Aku bukan baik macam malaikat. Aku tak buat kerja Tuhan.
Mengeluh.
Mataku kembali menyorot skrin di telefon bimbit. Hebahan terbaru oleh Sajati di laman Instagramnya.
'Menonton wayang bersama Sajati!'
Nah. Kepada yang berhajat!
***************
"Tamin Bodoh!"

"Tamin hitam!"
"Tamin gemuk!"
"Tamin Sotong!"

Ya, aku lah Tamin itu. Budak hitam, gemuk dan jelek. Arghh, tapi itu gelaran puaka yang mereka tujukan pada aku masa di bangku sekolah. Kini aku sudah berubah secara total.
Budak hingusan yang sering dibuli kerana kekurangannya itu, kini sudah mati. Lupus. Hanya bayangan sejarah hitam. Tetapi, aku tak mudah lupa. Dendam itu masih membara!
Aku, kini. Yussof Tamin. Berumur 27 tahun. Bujang. Kacak. Bergaya. Berkerja. Seorang tenaga pengajar di sebuah Kolej Kemahiran di sektor swasta. Aku menetap di sebuah apartment di Kelana Jaya. Menyewa berdua dengan Faiz.
Waktu berkerja yang fleksibel, memberi aku ruang untuk menulis cerita pendek. Genre yang menjadi pilihan adalah kisah seram. Kisah benar? Tidak secara total. Aku gabungkan ia dengan imaginasi.
Aku tertarik dengan genre ini, saat aku mengenali beberapa laman page kisah seram. Arkib Angker Negara adalah salah satu darinya. Dr. Kamarul dan beberapa orang lagi penulis hebat yang lain menjadi barisan idolaku secara peribadi.
Aku bukanlah seorang penulis hebat. Aku seorang amatur hingusan. Karya aku hanya picisan doang. Pernah, aku hantar karya sulongku ke sebuah laman kisah seram lain.
Nah. Komentar positif dan membina hanya sepotong dua. Yang lainnya? Kecaman penuh kebencian. Hampir sahaja membunuh minatku terhadap penulisan.
Tapi, aku bangkit. Tak mudah aku mengaku kalah. Aku bukan Tamin yang dulu!
*********************

Khamis. Okt, 2017
Bilik tidur.

Meja kerjaku bersebelahan dengan tingkap. Khusyuk, menyemak kertas kuiz pelajarku sambil ditemani dendangan lagu "Bar Bar Bar". Nyanyian kumpulan Crayon Pop dari perkongsian video klip di rangkaian Youtube. Jam didinding, aku lirik. Tepat 10.45 minit malam. Faiz masih lagi belum pulang.
"Hehhhhhhssss"
Desahan kuat menerpa gegendang. Pap! Aku pempan. Pantas, cuping telinga kiri aku pegang. Ya. Aku yakin. Aku dengar desahan itu. Kasar merengus. Cukup untuk menenggelamkan bunyi dendangan lagu yang sedang aku dengar. Lantas, aku hentikan mainan video klip.
Sunyi.
Aku toleh ke kiri dan kanan. Tingkap yang berlangsir, aku kuak kasar. Bertutup rapat. Masakan bunyi angin? Mustahil!
"Plap! Plap!"
Spontan, lampu kalimantang berkelip-kelip. Dan... terpadam! Arghhh.Gelap!
Aku terkedu.
"Yusof Taminnnn... Yusof Taminnn..."
Bisikan lembut, memanggil namaku! Begitu dekat. Menari-nari di cuping kiri. Aku tak takut. Aku berani!
"Siapa?"
"Aku sahabatmu Yusof!"
"Sahabat kepala otak kau! Siapa kau setan?!"
Panggg!!!
Kan dah mendapat! Terasa tapak tangan kasar dan berbulu hinggap di pipi kananku. Damn! Sakit sial. Wah, bukan main kasar salam perkenalan kau ya?
"Leluhurku dari iblis. Tapi, apa bezanya dengan kau? Kau manusia tapi kau lebih hina dari syaitan, setan! Hahahahah!"
"Apahal pulak kau nak setankan aku balik!"
Bungkam.
"Sudah lama aku memerhati. Kau tak pernah sujud dengan Tuhanmu. Kalau ada pun, hanya lakonan. Munafik. Hati kau punya titik hitam yang semakin merebak. Dendam kau tidak luput. Kini, kau memilih untuk mendekatkan diri dengan leluhurku. Kau terlalu asyik dengan pesona, menulis tentang kami. Hahahah"
Aku diam. Aibku dirobek mentah-mentah.
"Arghh. Itu urusan aku. Apa kaitannya dengan kau?"
"Aku datang, dekat. Dengan niat untuk membantu kau. Melunas dendam. Dan memberi ilham. Kau tidak mahu? Rugi!"
"Maksud kau?"
"Dalam laci mejamu. Aku tinggalkan sebatang pen. Guna dan lakarkanlah apa jua kisah yang kau mahukan. Dan, aku akan membantumu untuk menjadikannya sebuah kenyataan. Mahu?"
"Arghhh, kau penipu!"
"Jangan menolak tuah, manusia sombong! Kau tulis, aku tunaikan."
"Kalau aku taknak?"
"Kau rugi!"
Aku diam.
"Aku akan datang lagi esok!"
Plapp!
Lampu kalimantang bernyala secara total. Suasana yang gelap tadi bertukar cerah. Aku menyorot pandangan. Mencari-cari kelibat si empunya suara yang aku bawa bicara sebentar tadi. Puaka apa tu ya?
*********************

Jumaat.

Aku masih diselubungi dengan perihal yang berlaku malam tadi. Benar ke apa yang si puaka tu katakan?
Aku ambil pendekatan untuk pulang ke rumah. Hati aku tidak betah. Perihal itu bermain-main di minda. Hati aku tak tenang. Aku perlu balik. Aku nak tengok, wujudkah pen yang dikatakannya.
Berdesup aku tinggalkan Kolej, menuju ke Klinik. Ambil MC.
Tiba di rumah. Aku meluru masuk ke dalam bilik. Pantas, laci meja aku tarik. Nah. Sebatang pen berwarna keemasan. Kilauannya memukau. Di sebelahnya, ada sebuah bekas dakwat. Bertutup kemas.
Haha. Klasik betul. Pen berdakwat asing bagai. Senyum mengejek. Aku capai pen berkenaan. Aku capai sehelai kertas bersaiz A4. Bekas dakwat aku buka. Nah. Dakwatnya berwarna merah. Merah darah!
Lantas, aku celup mata pena kemudian aku tenyeh mata pen diatas kertas.
Senyum. Argh, hatiku kegirangan. Seolah-olah ada satu perasaan enak yamg mula menjalar di urat beluratku.
Pen aku angkat di udara. Aku amati setiap inci permukaan pen. Di batangnya terukir tulisan rumi berlingkar, bertulis "Parker-Sonnet". Model Athenes, keluaran Perancis. Tahun 1993. Buatannya kemas. Kilauannya terus memukau aku.
Kaku.
" Hiris jarimu. Titikkan darahmu ke dalam bekas dakwat. Dan kau tulislah apa mahumu..... Tulis!"
Aku terbuai. Bisikan itu begitu lembut. Tidak menggerunkan, tetapi mendamaikan. Lantas, bilah pisau pencukur aku ambil.
Zapp!
Satu torehan terukir di jari manis. Tidak terlalu dalam, tapi cukup untuk menerbitkan darah. Likat. Jari, aku tekan. Kuat.
Tikk. Tikk.
Titisan demi titisan, jatuh ke dalam bekas dakwat. Cukup 7 titis. Darahku tenggelam dan berpuing-puing dalam pekatnya merah dakwat.
"Seru aku wahai manusia...."
Dia, si puaka. Datang berbisik lagi.
'Wahai si Pemakan Roh, Askarnya Dajjal! Bersatulah kau dalam jasad dan rohku. Zahirkan, dendam yang terlakar dengan penamu.'
Ya, Engkau aku seru. Maka, penyatuan dalam akad.
Dia senyum. Aku juga senyum.
Aku merenung sehelai kertas kosong yang terhampar di atas meja. Dadaku debar. Bukan takut. Tetapi aku ghairah!
Muncung pen Parker Sonnet, aku celupkan ke dalam bekas dakwat merah pekat.
Mata pen mula menari-nari riang diatas kertas. Seriang hatiku yang melakar sebaris nama, bersama asbab kematian yang aku inginkan!
***********
Sabtu

Group Alumni SMTNS.

Din : "Salam. Dukacita dimaklumkan, bahawa sahabat kita Mohd Hafiz Zainal atau Black sudah kembali ke rahmatullah malam tadi. Sesiapa yang berhajat untuk menziarah, bolehlah hadir tengahari ini."
Mie : Innalillah. Maaf tanya. Dia pergi kenapa?"
Din : " Ermmm. Berat aku nak cerita tapi yang aku dengar dia mati dalam keadaan ngeri."
Herry : "Ngeri? Maksud kau?"
Din : " Dia tengah karaoke dengan awek dia. Tiba - tiba, dia menggelupur. Perut arwah naik merening - rening macam busung. Lepas tu, meletup. Pecah. Kau tahu apa isi perut dia?"
Mie : "Apa dia bro?"
Herry : " Apa woii?"
Din : " Jarum dan paku! Beratus- ratus wei! Darah tak payah cakap lah!"
Mie : "Perghhhh. Ngeri wei. Orang khianat tak?"
Herry : "Ermm.. Tak mustahil bro. Black ramai musuh. Dahlah, dia pun dah takda."
Aku?
Baca setiap butiran mesej bersama senyuman yang tersungging di bibir. Puas!
Nahh, who's next?
Halim Tiger.

Bob Bonzer.
Ijam Keding.
Sajati Kunyit?

Atau
Boleh jadi saja salah seorang dari kalian yang sedang membaca kisah aku. Ketika ini, di Arkib Angker Negara?
I'm watching you guys... heheh.
*****************

Suntingan: Dee Edot
Gambar Oleh : @azman zainordin

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: