Thursday, 30 November 2017

JAM 3 PAGI DI PONTIAN - TheFlash


Jam 3 Pagi Di Pontian.
Karya Khas AANRC TheFlash 555

=========================
Ini adalah cerita dari kawan saya yang merupakan anak jati Pontian. Sedikit intro tentang kes ini, kawan saya, Mamat terpaksa menghantar motorsikal milik adiknya dari Bandar Pontian ke rumah adik dia. Kisahnya motorsikal adik dia ini rosak dekat bandar dan bila siap dibaik pulih, adik dia letak motosikal dekat salah sebuah kedai mamak di Pontian ini.
Kebetulan, malam tu Mamat memang nak melepak tengok Bola Sepak Inggeris di kedai mamak tempat adik dia letakkan motorsikal itu. Berikut adalah kisah beliau, dan saya nak maklumkan, semua nama tempat di bawah adalah benar.
Oh ye. Pt. di dalam cerita ni membawa maksud Parit.
Johor banyak parit.
100% kisah benar.
-------------------------------------------

“Rahim, mana kunci Nouvo adik aku eh?” Tanya Mat pada Rahim, juruwang merangkap pelayan Restoran Aliff Pontian.
Hubungan Mamat dengan Rahim ini kira agak rapat juga. Lepas SPM, Mamat selalu melepak tepi tambak laut, memancing sampai 3 ke 4 pagi dan selalunya berakhir minum teh waktu subuh di Restoran Aliff ni. Rahim menganggukkan kepalanya dan hulur anak kunci pada Mamat.
“Aney, itu skuter parking belakang tempat cuci pinggan tau...” ujar Rahim dan Mamat membalas dengan senyuman.
Jam 12 tengah malam, game bola Liga Inggeris dah mula. Mamat merupakan penyokong tegar Manchester United. Jam 2.30 pagi 
baru game selesai.Ternyata puas hati Mamat malam itu,mana tidaknya, pasukan bola kegemarannya menang besar malam ni. Sambil melepak makan dan menghisap rokok, Mamat teringat perihal motorsikal Nouvo adiknya.

Dia mengajak rakannya, Azli menemaninya mengambil motor adiknya. Mengikut perancangan Mamat, dia akan bawa balik motorsikal adik dia ke Kampung Melayu Raya, rumah adik dan merangkap rumah Mak mereka. Mamat duduk di Pekan Nenas kalau korang nak tahu.
"Mengapa skuter adik kau Mat?” Tanya Azli semasa Mamat nak ke belakang kedai untuk mengambil motorsikal.
“Skuter apa lagi masalahnya, belting putus, adik aku tu tahu isi minyak je.” Ujar Mamat.
Jam menghampiri jam 3 pagi, mereka berdua masih lagi berbual. Selepas habis sebatang rokok, Mat dan Azli berjanji akan balik. Azli rumahnya di kawasan Hospital Pontian sahaja.
Ikut hati, malas Mamat nak ikut kehendak adik dia nak bawak balik motorsikal ke rumah Mak, padahal boleh je tunggu esok pagi. Tapi bila teringat baiknya adik dia melayan kerenah semasa Mamat mintak tolong buat resume untuk kerja kerajaan ( sampai dapat pun ) terus Mamat rasa terhutang budi. Lagipun apa lah sangat, bawa balik motorsikal, dapat jumpa Mak juga lagipun esok Sabtu,cuti.
Mamat menghidupkan motor skuter Nouvo. Azli dah lama berlalu pergi. Cantik.Tangki minyak penuh! Getus Mamat dalam hati apabila melihat meter minyak mencecah F. Bukan apa, senang, pulas sahaja hingga sampai destinasi!
Bismillahirahmanirohim, ujar Mamat dalam hati. Dia memulakan perjalanan. Jam di tangan menunjukkan sudah 3.13 pagi.
Dari simpang 4 lampu isyarat di restoran makanan segera McDonalds Pontian, Mamat teruskan perjalanan, melalui Pasaraya Econsave dan juga KFC 24jam Pontian.
Teringat dalam hati beliau nak singgah di Restoran Bulan, terletak sebelum simpang masuk ke kiri (menghala Balai Polis Baru). Tapi hampa, dah tutup! Dalam hati kempunan nak menjamah Chicken Chop RM5.
Menyusuri Jalan Sekolah Arab, Mamat tiba di lampu isyarat Pejabat Kadi dan Mahkamah Syariah Pontian dan di kanannya SMK Penggawa Barat.
Beliau membelok ke kanan melalui Pt Mesjid.
Vrooommm! Throttle di pulas semaksimum.100km/j.Jalan sememangnya lengang dan sunyi.

Dalam hati Mamat,dia bermonolog.
“Pt Selangor ke atau Pt Patah eh nak lalu ni?"
(ini adalah pilihan jalan nak ke Kampung Mamat. Kedua-duanya jalan kampung).

Mamat jalan terus, tak jadi ikut Pt Patah. Mamat ikut jalan Pt Selangor/Pt Kasim. Jalan ke Pt Selangor via Pt Kassim, ada satu tapak perkuburan dan ianya urban legend di kalangan orang Pontian.
Mamat ni hati kering, tapi malam tu hatinya jadi tak sedap. Sedang asyik Mamat memecut,tiba-tiba cahaya lampu motornya menyuluh suatu objek atas jalan!
"Allahuakbar!"Mamat menjerit. Sempat Mamat mengelak! Ular sawa sebesar peha elok saja berlingkar di atas jalan!
Mamat berhentikan motosikalnya di tepi jalan.Terkejut! Dalam hatinya,kalau dia langgar, mahu terbabas ke kebun pisang sebelah jalan ni.
Hati Mamat tiba tiba jadi tak sedap. Dia menekan butang lampu di jam tangannya. 3:12am.
Tiba tiba dia berasa merinding, baru perasan dia betul-betul di depan pintu masuk kubur.
“Ah, u-turn la!” Getusnya di dalam hati.
Masa Mamat u-turn, Mamat perasan yang ular sawa tadi dah takda! Dalam hati, dah ke dalam semak la tu.
Cepat cepat dia pulas minyak! Vrooommmm!!
Sempat Mamat periksa cermin pandang sisi dan kelihatan ada objek putih sedang melayang-layang di tengah jalan tempat ular sawa tadi kelihatan!

Cepat-cepat Mamat menoleh! Mengucap panjang Mamat tatkala melihat ada lembaga sedang melayang-layang sambil kelihatan ular sawa di lehernya (kawasan tu gelap, tapi imbasan lampu jalan samar-samar menyuluh ruang).
Tanpa membuang masa, Mamat memulas sekuat hati pendikit minyak. 120km/jin. Bergegar skuter adiknya tika itu.
Sampai di simpang Pt Patah, terus Mamat belok ke kanan! Vrommmm! Jalan yang kecik tu Mamat bawak 100km/j (jalan Pt Patah ini secara harfiahnya jalan kecil, kalau kereta bertembung dua hala, memang sebuah kena ke tepi).
Kebetulan separuh jalan Pt Patah tu sesang diturap, jadinya jalan nak keluar dari Pt Patah itu agak berbatu. Mamat memperlahankan motornya.
Di Pt Patah ada selekoh kecil. Masa Mamat tiba di selekoh tu, agak gelap, walau ada lampu sebelum selekoh (biasa la, transisi mata kita dari cerah ke gelap, dia akan ambil masa nak laras, tambahan lagi Mamat ni memakai cermin mata).
Sreettt!!
Mamat memberhentikan motor nya.Di hadapan mamat ada lembaga tadi. Duduk bersila di atas jalan dan cahaya lampu motorsikal Mamat tepat ke wajah lembaga itu.
‘Seperti tengkorak di pakaikan rambut yang panjang’ (ini ulasan Mat pada saya tentang rupa makhluk tersebut).
Badan Mamat berasa panas dan seakan di serang strok! Rasa macam nak pengsan, rasa macam nak kejang pun ada.
Wooooosssshhhhhh!
Tiba-tiba ada lintasan angin dari atas kepala Mamat! Mulut Mamat dah terkumat-kamit membaca ayat Kursi.
Dari satu, menjadi tiga! Ya. Makhluk tu ada tiga ekor. Lagi dua ekor terbang dan betul-betul duduk di sebelah yang pertama. Elok bersila di depan Mamat (berjarak 20 meter).
“Allahuakbar, Ya Allah, Ya Rahim!” Mamat tak putus-putus bertempik. Nak menghilangkan takut!
Sepantas kilat, bila Mamat tengok makhluk tu seakan terapung dari silanya. Melihat situasi itu, terus Mamat pulas pendikit minyak!
Mata Mamat dipejamkan! Sedar-sedar je dah tiba di simpang keluar. Mamat terus membelok keras ke kanan.
Sekarang dia menghala ke Pt Kudus.Di simpang tadi ada masjid. Dalam hati Mamat nak tidur je dalam masjid tu, tapi macam takda penyudahnya nanti.
Dengan keadaan yang hampir nak pengsan,Mamat gagahkan diri memulas pendikit menuju ke persimpangan Pt Kudus/Pt Selangor. Hatinya tak tenteram. Mulutnya kejap-kejap baca ayat Qursi, sesekali dia azan.
Mamat berhati-hati menyelusuri jalan Pt Basilam. Keadaan sekeliling gelap.Kereta langsung tiada!
Jam sudah 3.30 pagi.Dia meneruskan perjalanan dengan hati yang risau.
Bammmm!
Dia terlanggar sesuatu! Natijahnya, dia terbabas di kiri jalan. Motosikalnya terperosok di tepi. Mujur dia sempat melompat dari skuternya.
Mamat bingkas bangun dan mendapatkan motosikalnya. Dia kini perasan, di hadapannya ada ladang jagung yang sedang tinggi menaik.Timbul rasa seram.
Dia belari mendapatkan skuternya. Lega hatinya bila skuter adiknya itu dapat di hidupkan.
Tiba-tiba dia merasakan belakang badannya panas membahang.Dia memperlahankan motorsikalnya dan menoleh belakang.Makhluk tadi betul betul di belakangnya!
'Huuurghhhh' Makhluk syaitan itu mendengus!
Automatik, tindakan luar kawalan, tangan Mamat memulas pendikit! Melompat skuter adiknya keluar dari bahu jalan! Kedengaran bunyi ketawa dari arah belakang.
Mamat azan sekuat hati!
Untuk pengetahuan, kawasan Pt Basilam ada 2 selekoh tajam. Selekoh pertama ok. Selekoh kedua jembalang tu dah ada di bahu jalan!Melambai lambai ke arah Mamat!!
(kata Mamat, ketika ni dia betul-betul dah kaget dan takut, sampai terkencing dalam seluar!)

Motosikal dipulas sekuat hati!
Woooosshhh!
Makhluk itu mengekori Mamat dari arah tepi. (Bayangkan, korang bawak motor. Ada hantu duk terbang kat sebelah!)
“Allah, Allah!” Tak putus-putus mulut Mamat menyebut nama Tuhan Yang Esa.
'HAHAHAHAHAHAHAAH' Di selang-seli dengan ketawa makhluk tu! Seakan memperlekehkan tindakan Mamat.
Tiba di hujung simpang Pt Basilam, kalau belok ke kiri menuju Pt Sikom. Kanan ke Seri Menanti/Melayu Raya!
“Ah..lagi 5 minit je ni!” Getus Mamat dalam hati!
Dia membelok ke kanan dan terus memecut laju.
Kedengaran bunyi telefon dari dalam beg silangnya. Itu adalah bunyi deringan khas untuk keluarganya. Mamat syak itu mesti adik dia!
Mamat kerling jam, rupanya sudah 4.28am! Patutlah adiknya telefon.
Tiba di pintu masuk Kampung Melayu Raya, ada jalan mendaki bukit selepas Pasaraya Family Store.
Sebaik sampai di atas bukit, ada objek terbang dari arah depan meluru ke arah Mamat !!
Sempat Mamat menunduk. Mamat tengok belakang. Takda apa! Yang ada hanya ketawa!
Mamat memacu laju skuternya. Lepas pintu gerbang, Mamat membelok kanan.
Masa nak masuk ke simpang rumah, memang dia nampak benda tu bertenggek di tepi bahu jalan.
3 ekor. Elok saja bercangkung tepi parit tu!

Sampai di hadapan rumah, tanpa membuang masa terus Mamat tarik kunci dan belum sempat dia bagi salam adiknya dah membuka pintu!
“Arghhh!” Terkejut Mamat disapa adiknya macam tu!
“Uishh,lambatnya! Lencong ke mana tu?” Soal adiknya.
Mamat tak cakap banyak, terus meluru masuk menuju bilik air. Usai mandi, Mamat tak boleh tidur sampai ke subuh.
Esoknya Mamat bercerita hal ni kepada adiknya. Itupun sebab adik dia bertanya kenapa skuternya berlumpur.
Bagi Mamat, ini adalah pengalaman seram pertama yang dia hadapi. Entah kenapa sudah bertahun dia guna jalan yang sama, malam tadi dia terkena gangguan sebegitu. Selepas kejadian itu, dia tak melepak kedai mamak nak tengok bola dah!
TAMAT
Editor Karya: Kamenrider & DeeFen DF

No comments: