MISTERI 'FLOR DE LA MAR'
Karya : Tuan Muhammad Faiz
Pernah diperihalkan kepada aku, bahawa.......
Kapal Flor De La Mar telah karam di perairan selat melaka, pada tanggal 20 November 1511. Dikatakan, Kapal tersebut membawa harta rampasan bernilai 6.8 billion ringgit. Jurumudi kapal ketika itu ialah Estavao de Gama. Beliau merupakan abang kepada Vasco de Gama.
Dikatakan juga, bahawa beliau terkorban tatkala kapal itu di badai ribut yang kuat hingga ia musnah teruk. Persoalannya, adakah ia sekadar mitos? Adakah kisah kapal Flor De La Mar hanya satu penipuan?
Namun, sejarah mengiyakan tentang kewujudan Alfonso de Albuquerque. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dalam memulakan pelayaran pertama melalui selat melaka. Maka, secara rasminya Portugis berjaya menjajah Melaka.
Negeri yang masih kekal dan kaya dengan nilai sejarah hingga ke hari ini.
******************************************* Pantai, Melaka.
Aku meniti persisiran pantai. Situasi yang sangat mendamaikan jiwa dan minda. Ketenangan. Bauan air laut terasa begitu menyegarkan. Senja berlabuh tirai. Aku ralit menyaksikan saat matahari terbenam. Indah!
Tetapi, aku teringat akan pesanan Datukku. Katanya, senja adalah sebagai petanda waktu dua alam. Mungkin malam di dimensi kita, namun ia adalah waktu pagi bagi mereka. Siapa? Mereka adalah entiti yang tidak terhijab di mata kasar manusia. Makhluk halus!
Arghhh.. Aku disini bukan untuk mengganggu sesiapa. Aku ingin menikmati saat terbenamnya matahari. Arakian, suasana yang tenang bertukar dingin. Ditamu angin lembut sepoi-sepoi bahasa yang datang dari arah laut. Aku diam. Bebola mata semakin tekun menikmati kaki langit jingga.
Dan, aku terkesima.
Mataku terpaku di kaki langit. Ada bayangan berupa objek sebuah kapal terukir. Jelas. Cukup jelas hingga aku teruja. Laju, aku mencari kapal yang memantulkan bayangan tadi di permukaan laut.
Ehh, tiada? Aku kembali menatap langit jingga. Bayangan objek kapal tadi, hilang serta merta! Keliru aku. Lantas, aku larikan pandangan ke permukaan laut semula. Mata ku jegil luas. Dari kejauhan, hanya kapal kargo dan kapal muatan minyak yang terlihat.
Aku, mula merasa tidak betah. Ya. Aku harus pulang. Suasana yang dingin mula terasa kelainannya. Dingin yang menjalar, menggigit batang tubuh. Bulu romaku, spontan merinding. Aku menyusun langkah, meninggalkan persisir pantai. Laju. Dan kemudian...
Langkahku terhenti. Bunyi percikan air menangkap cuping telinga. Bunyi yang terhasil, seolah-olah ada berbondong -bondong manusia yang sedang melompat-lompat diatas air. Terdengar kuat dan berterusan. Ingin sahaja aku menoleh. Namun, pesanan datuk ku, Haji Yahya berlegar di minda.
'Andai sahaja kau terdengar atau merasa sesuatu yang janggal di belakang waktu senja, sebolehnya tinggalkan tempat itu dan jangan sekali-kali menoleh'
Datukku, Haji Yahya merupakan orang lama di kampung ini. Beliau cukup tahu mengenai sejarah kampung dan beliau juga mengenali Imam Hafiz yang merupakan Imam di kampung ini.
Tiba di rumah...
"Tok, tadi orang nampak kapal. Tapi tak berapa jelas kapal apa."
"Kapal? Ohh, kapal kargo agaknya." Senyum.
"Eh, bukan kapal kargo Tok. Kapal ni lain. Rupanya sebiji macam dalam buku yang Atok selalu baca tu." Balasku bersungguh.
Wajah Datukku mula berubah. Dia bangkit dari kerusi malas, menuju ke dalam biliknya. Selepas seketika, dia keluar semula. Di tangannya, ada sebuah buku. Ya, buku yang sering dibacanya. Di belek helaian satu persatu.
"Hah, yang ini lah Tok. Sama!" Kata ku sambil menunjuk gambar kapal di helaian buku.
Datukku kelihatan terkejut. Dia melihat aku dari atas ke bawah. Datukku bangkit, menuju ke dapur. Barangkali mencari Opah. Sekejapan, kelibat Opah terlihat. Opah mendekatiku.
"Betul ke Naim nampak kapal ni?" Soal Opah.
"Ya, Opah. Naim nampak tadi. Betul tak tipu. Tapi, lepas Naim tengok kapal tu hilang tiba-tiba, Naim terus balik rumah."
Mereka kehairanan. Tetapi, demi melayan kerenah aku, maka Opah dan Datuk ku memperihalkan kisah Kapal Flor De La Mar.
"Naim, mungkin apa yang Naim nampak tadi hanyalah ilusi atau Naim salah nampak barangkali. Mustahil, kalau itu Kapal Portugis. Mustahil cu."
"Tapi.....ermm, tak apalah Tok, Opah. Mungkin Naim salah nampak."
Dalam hati, aku tetap yakin tentang apa yang aku nampak.
*******************************************
Bosan. Aku tidak berminat untuk ikut serta kawan-kawanku bermain sepak raga. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk ke persisir pantai sahaja. Ambil angin sambil mencari cengkerang.
Tiba-tiba...
"Adik buat apa tu? Berani sorang-sorang main disini."
Aku terkujat. Suara itu datang menyapa dari arah belakang. Aku menoleh. Mencari empunya diri.
Aku teragak agak untuk menjawab. Wajahnya aku renung. Tidak pernah aku melihat dia. Sah, Dia bukan orang sini. Malah, dia juga bukan orang melayu. Anak matanya saja berwarna biru. Kulitnya putih melepak. Orang putih?
"Jangan risau. Abang saja tanya." Dia aku hampiri.
"Nama abang siapa? Tak pernah nampak pun? Tinggal kat mana?"
"Abang bukan orang sini. Tapi, abang tinggal di pulau ni." Senyum.
Aku tercengang. Pulau?
"Hahaha. Kenapa tercengang? Maksud abang, abang bukan orang kampung ni. Abang ke sini melawat saudara mara. Bapa abang orang portugis, mak abang pula orang melaka. Panggil abang, Ves je. Nama adik?"
"Ohh, maca tu. Saya Naim."
Entah kenapa, aku jadi begitu teruja. Melihatkan pakaian yang tersarung ditubuhnya, aku jadi pelik. Formal sungguh. Nampak segak. Jarang aku melihat, orang mahu berpakaian begini. Macam tentera pun ada.
Tiba-tiba aku teringat akan perihal kapal Flor De La Mar. Mungkin Abang Ves adapah orang yang paling layak untuk aku tanyakan. Pasti dia lebih tahu akan sejarah kapal tersebut. Dia kan berdarah Portugis.
"Abang Ves tahu pasal kapal Flor De La Mar tak?"
Dia senyum.
"Adik tahu tentang kapal Flor De La Mar?
Ermmm, tahu apa maksudnya Flor De La Mar?"
"Atok pernah tunjuk gambar kapal tu dari buku. Maksudnya, adik tak tahu la pula. Tapi yang adik tahu, ada banyak harta dalam kapal tu masa ia karam."
"Ohhh. Baiklah. Flor De La Mar maksud nya adalah Si Kuntum Laut. Ia dibina di Lisbon, Portugal pada tahun 1501. Mula berlayar sekitar tahun 1510. Tapi…" tiba tiba dia berhenti.
"Tapi apa abang?" Aku pelik dan tertanya.
"Pada tahun, 1511 Portugis menyerang dan berjaya menjajah Melaka. Kemudian, misi untuk membawa pulang segala harta rampasan ke Portugal. Ketika itu kapal Flor De La Mar dipenuhi dengan muatan emas dan artifak milik kerajaan Melaka. Tapi sayang, Kapal itu di landa ribut, dan karam di tengah lautan."
Wah. Aku teruja lagi. Kemudian, aku mula bertanyakan pelbagai lagi soalan. Kata Abang Ves, dia merupakan ahli keluarga dari keturunan salah seorang askar portugis yang menjajah Melaka satu ketika dahulu. Ayahnya memeluk islam dan berkahwin dengan emaknya.
Kusyuk aku mendengar sehingga tidak sedar hari hampir senja. Kemudian, aku meminta izin untuk pulang.
"Adik, kirimkan salam abang pada Atok ya. Sampaikan ini padanya." Pesan Abang Ves sambil menyerahkan sekeping kertas yang berlipat kemas. Lusuh dan kekuningan.
Tiba dirumah...
Aku bertemu Atok lantas menyerahkan helaian kertas pemberian Abang Ves. Atok menyambutnya. Helaian kertas itu dibuka. Ada sebaris ayat yang tertulis di permukaan.
"Obrigado por seus descendentes. Dou algum conhecimento aos seus netos"
Yang membawa maksud;
"Terima kasih pada keturunan mu. Aku memberi sedikit ilmu untuk anak dan cucu cicit mu."
Aku lihat, Datukku bagaikan terpempan. Kemudian, beliau memelukku. Erat. Ada rasa hiba yang menjalar ditubuhnya. Sedih.
Kata Atok, itu adalah pemberian dari sahabat lamanya yang berbangsa Portugis. Aku dah tercengang. Sahabat lama? Mustahil. Abang Ves muda, tapi Atok pula dah tua. Pelik lah.
Entah-entah, Abang Ves tu hantu kot?
Ia kekal menjadi misteri. Atok tidak pernah sekalipun menyebut tentang hal ini sejak hari itu. Dan aku juga, tidak pernah sekalipun terserempak dengan Abang Ves.
==================================
Tahun berganti tahun, aku juga sudah menginjak dewasa. Sehingga ke saat ini, aku masih lagi mencari tahu tentang Flor De La Mar. Sepertimana keterujaan ayahku dahulu. Bagi aku, ia masih kekal misteri.
Sains mengatakan...
"Pantulan Cahaya matahari kadang kala mampu mewujudkan biasan di air. Dan ada juga kajian mengatakan, memori berabad lama kemungkinan boleh terhasil dari biasan cahaya matahari."
Bagi aku, itulah rahsia alam yang ada kalanya tidak dapat di rungkaikan.
Aku, anak Arwah Haji Naim.
*****************************************
Gambar : azman zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment