PENUNGGU SUNGAI KARANGAN
“Kau jangan lupa bawa umpan tu sekali, Din!”
Itu merupakan peringatan aku yang ketiga kepada Din, seorang rakan baik aku yang memang pelupa. Perlu dipesan berulang kali untuk memastikan dia ingat akan sesuatu perkara. Pernah sekali Din terlupa membawa assignment untuk dihantar kepada pensyarah sedangkan malam tersebut dia bertungkus-lumus menyiapkan assignment tersebut. Setelah puas dimaki-hamun oleh pensyarah barulah dia dibenarkan pulang ke rumah sewa untuk mengambilnya.
Din telah tugaskan untuk membawa umpan keramat bagi melayan nafsu ikan baung iaitu perut ayam. Hafiz dan Shamsuri, dua orang lagi rakan serumahku ditugaskan untuk menyediakan peralatan memancing dan kelengkapan lain yang diperlukan.
Cerita tentang sambutan hangat yang diberikan oleh ikan baung kepada setiap pemancing di Sungai Karangan bukanlah benda baru didengari. Aku telah mendengar perkara ini semenjak umurku 17 tahun iaitu ketika aku di bangku sekolah menengah. Tetapi aku tidak berkesempatan untuk mencuba nasib di Sungai Karangan ini kerana aku tinggal di Selangor manakala Sungai Karangan ini terletak di Kedah.
Namun, sudah tertulis rezekiku untuk mencuba nasib di sini apabila aku mendapat tawaran belajar di sebuah IPTA yang kebetulan jaraknya dengan Sungai Karangan hanyalah beberapa kilometer. Malam ini merupakan kali pertama kami akan memancing di sungai lagenda yang penuh dengan ikan baung itu.
Di sebalik berita tentang sambutan hangat ikan baung itu, ada juga cerita yang kurang enak didengar. Urban Legend di sungai itu ialah setiap pemancing yang mencuba nasib di situ dan membawa organ dalaman haiwan akan dikacau oleh ‘penunggu’ di situ. Ramai yang pernah diganggu oleh penunggu tersebut dan mereka selalu menasihati pemancing lain agar tidak menggunakan umpan daripada organ dalaman haiwan.
Pensyarah aku sendiri menceritakan pengalaman beliau ketika diganggu ‘benda’ itu. Sama seperti kami, dia turut membawa umpan perut ayam. Untuk pengetahuan anda yang bukan kaki pancing, ikan baung sangat tertarik dengan perut ayam kerana aroma bau hanyirnya yang menyelerakan mereka. Namun, pada malam itu, pensyarah aku ini tunggu punya tunggu, tiada seekor pun baung yang mengena.
“Kenapa tiada ikan ni, ada hantu makan ikan eh? Ha ha.”
Pensyarah aku sengaja mengatakan begitu kerana dia menyangka lawaknya itu tiada membawa kesan apa-apa tetapi nasib malang terus menimpanya. Sebaik kata-katanya itu terpacul keluar daripada mulutnya, dia terus terbau sesuatu yang sangat busuk dan memualkan. Dia menyangka bau itu datang daripada umpan perut ayam yang dibawa. Oleh sebab itulah dia hanya membiarkan saja. Namun, semakin lama bau itu semakin menusuk ke dalam rongganya sehingga dia tidak mampu bertahan lagi.
Pensyarah aku terus meluahkan segala isi perutnya. Kemudian dia menoleh ke belakang. Ketika itulah dia terlihat seorang perempuan berambut panjang menutupi muka dengan keadaan yang amat mengerikan. Cuba anda bayangkan seorang perempuan di tengah-tengah perutnya ada lubang besar dan dari lubang itu terjuntai keluar ususnya yang dipenuhi ulat mengerumuni usus tersebut.
Kaku terus kedua-dua belah kaki pensyarah aku dan dia tidak terdaya membuat apa-apa. Dia hanya mampu membaca beberapa surah daripada Al-Quran dan dengan itulah dia dapat bergerak dan seterusnya lari meninggalkan tempat itu. Sejak itu, dia tidak berani menjejakkan kaki ke Sungai Karangan lagi.
Begitulah mengikut cerita pensyarahku. Sejak itu jugalah ramai yang tidak lagi berani untuk memancing di situ termasuklah ketiga-tiga orang rakan serumahku ini. Akan tetapi setelah dipaksa oleh aku, mereka terpaksa juga ikut.
Untuk pengetahuan, rumah sewa yang kami diami itu merupakan rumah milik arwah nenek saudara aku yang kini dijaga oleh anaknya. Oleh sebab itulah aku dapat harga murah dan semua rakan serumahku menghormati aku dan menurut saja keputusanku kerana disebabkan akulah mereka dapat rumah sewa yang harga murah. Jahat juga aku!
Setelah semua selesai menyediakan kelengkapan memancing, kami pun segera bertolak ke Sungai Karangan. Sepanjang dalam perjalanan, kami semua hanya mendiamkan diri. Aku tahu rakan-rakan aku semua tak sedap hati termasuklah aku. Entah kenapa aku rasa macam tak seronok untuk memancing pada malam ini. Sebelum ini jika diajak memancing, semua benda akan aku ketepikan.
“Aku takutlah! Kau serius ke ni? Aku tak sedap hatilah.” Shamsuri bersuara.
“Betul tu. Kau dah dengar kan pensyarah kita cerita pengalaman dia. Takkan kau nak teruskan jugak.” Hafiz pula menyokong.
“Aku pun takut ni. Kenapa kau berani sangat eh?” Din turut bersuara menzahirkan perasaannya.
Aku hanya terdiam dan tersenyum. Kelakar aku melihat gelagat mereka yang penakut belaka. Aku tak salahkan mereka. Perasaan takut itu ada pada setiap diri manusia yang waras.
“Jangan risau. Aku ada. Ha ha! Hey come on lah! Korang semua dah tua lah. Kita dah berumur 20 lebih. Takkan nak takut hantu lagi. Kalau budak-budak aku percayalah takut hantu. Kau takut perempuan perut berlubang tu kan? Aku nak jumpa dia jap lagi. Aku nak jahit perut dia,” kataku dengan angkuh.
“Kurang ajarlah mulut kau.” Din terus memarahiku.
Tiba-tiba sahaja aku merasakan kereta yang aku pandu semakin perlahan dan terus perlahan sehingga akhirnya terberhenti.
“Kenapa pulak ni? Tadi elok je aku check. Sham! Pergi check jap depan jap.” Aku mengarahkan Sham untuk turun.
“Aku taknak. aku takut. Kau pergilah!” Sham mendesak untuk membantah arahan aku.
“Korang semua ni penakut lah. Biar aku sendiri turun tengok”
Aku terus keluar daripada kereta dan memeriksa keadaan kereta tersebut. Air enjin, bateri, temperature semua dalam keadaan baik. Hairan betul aku mengapa tiba-tiba sahaja kereta jadi terlalu berat dan perlahan. Aku pun terus masuk semula ke dalam kereta.
“Aku tahu kau ada kat sini kan. Jangan kacau kami. Kami cuma nak pergi memancing,” kataku
Aku seterusnya melaungkan azan sekuat hati dan setelah dilaungkan azan, barulah kereta dapat bergerak seperti biasa. Belum sampai ke destinasi pun, kami sudah diganggu. Mungkin ‘benda’ itu tak nak aku pergi sana kot. Takut kat akulah tu!
Kami akhirnya tiba di Sungai Karangan itu. Rupa-rupanya untuk sampai ke gigi sungai, kami perlu menyelusuri pohon lalang yang sangat tinggi. Setelah berjaya meredah akhirnya kami berjaya tiba. Patutlah ada benda pelik-pelik. Memang semak betul tempat ni.
Kami memancing seperti biasa. Kami turut menerima nasib yang sama seperti yang diceritakan oleh pensyarah. Tiada seekor pun ikan yang sudi mendekati umpan kami walaupun kedengaran banyak ikan naik ke permukaan air untuk mengambil oksigen.
“Ha sudah! Mesti benda ni tak bagi kita pancing kat sini,” kataku dalam keadaan ingin melawak.
“Aku cili mulut kau baru tahu. Boleh tak jangan nak merapu sangat?” Kata Hafiz resah.
Tiba-tiba kami terbau sesuatu yang sangat busuk. Bau hanyir yang teramat. Korang cuba bayangkan bau uri orang bersalin yang dah lama terbiar. Lebih kurang macam itulah baunya.
Aku pun terus menoleh ke belakang kerana menurut cerita pensyarahku, ‘benda’ itu akan berada di belakang tetapi malangnya tiada. Kurang ajar betul! Nak main sorok-sorok dengan aku ke apa.
Secara tiba-tiba Din menjerit. Jeritannya sangat kuat sehingga menyebabkan aku menutup telinga. Dia juga menunjukkan ke arah sungai. Kami pun terus mengalihkan pandangan ke arah sungai itu.
Di situlah kami nampak lembaga mirip seperti yang dijelaskan oleh pensyarah kami dalam ceritanya. Tidak kelihatan muka kerana ditutupi rambut yang panjang, perut berlubang dan usus terburai dipenuhi ulat. Memang memualkan. Geli sungguh aku tengok.
Din sudah terduduk kerana terlalu takut. Sham dan Hafiz pula berpelukan kerana ketakutan yang teramat. Aku tergelak seketika melihat telatah mereka. Tidak ubah seperti geng kunyit yang tular di media sosial belakangan ini.
Lembaga itu pula semakin lama semakin mendekati kami. Lembaga itu mampu berjalan di atas permukaan air dengan kadar kelajuan yang amat tinggi. Hanya dalam beberapa saat dia sudah hampir dengan kami.
Semakin dekat, hilai tawanya semakin kuat. Masa itu, berdiri seluruh bulu roma aku. Terasa kakiku menggeletar. Bunyi hilai tawa itu sangat menyeramkan. Sham dan Hafiz pula makin rapat pelukan mereka, manakala Din sudah pun pengsan. Din punya tahap penakut tu sama level dengan perempuan. Sekurang-kurangnya perempuan jerit je bila nampak hantu tapi Din sampai pengsan.
“Jangan risau semua. Biar aku uruskan dia.” Aku cuba menenangkan keadaan walaupun jauh di dalam hatiku, aku cuak sebenarnya.
Aku terus bertenang seperti yang selalu diajarkan oleh Tok Cha, guruku yang berbangsa Siam dalam bidang paranormal. Aku mengangkat tangan kanan sambil membaca beberapa patah mentera seperti yang diajarkan oleh Tok Cha.
Ketika itulah aku menyeru Vadaram, jin yang menyerupai buaya putih yang menjadi temanku sejak sekian lama. Pergerakan lembaga hodoh dan busuk yang semakin mendekati kami itu tiba-tiba terhenti. Dia seterusnya menjerit kesakitan menahan azab digigit oleh Vadaram. Kakinya sudah digigit erat Vadaram.
Bibirku terus terkumat-kamit membacakan mantera yang diajar. Vadaram pula melibaskan ekornya ke arah makhluk itu sehinggalah dia terjatuh. Tanpa belas kasihan, Vadaram terus membaham leher makhluk itu dengan kuat.
Darah merah menghiasi sungai tersebut. Suasana malam terus meriah dengan jeritan kesakitan makhluk itu. Akhirnya makhluk itu mati dan kepalanya telah terpenggal daripada badan hasil gigitan kuat Vadaram.
Aku mengucapkan terima kasih kepada Vadaram sebelum ia berlalu pergi. Keadaan selepas itu berubah seratus peratus. Ikan tidak henti-henti memakan umpan kami. Malam itu kami membawa pulang berkilo-kilo ikan baung.
Malam itu juga penunggu Sungai Karangan tumpas di tangan Vadaram. Jadi, selepas ini pemancing tidak perlu takut lagi untuk memancing di sini kerana urban legend tentang perempuan perut berlubang di sungai ini sudah berakhir.
Tapi tunggu dulu. Bukankah jika sesuatu pihak membunuh pihak lain bermaksud tempat itu menjadi milik pihak yang membunuh tersebut. Ya! Hantu perempuan perut berlubang sudah tiada tetapi jin merupa buaya putih menjadi penghuni baru sungai itu!
-TAMAT-
Karya: Iskandar Zulfaqar
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment