Catatan Hati Nadia
Nama aku Nadia. Bila dengar nama aku, mesti ramai ingat aku ni lawa, persis peragawati semua tu kan. Maaf. Tanggapan itu salah. Aku dilahirkan dengan fizikal yang serba tak kena di mata manusia. Berfizikal rendah dan gempal. Wajahku pula ditumbuhi jerawat menyebabkan rupa parasku kelihatan jelek di mata masyarakat. Ke mana-mana sahaja aku pergi, mesti ada mulut-mulut yang mengata.
“Pemalas!”
“Tak reti jaga penampilan!”
Semua cacian itu sudah sebati dalam hidup aku.Peneman setia halwa telinga aku sejak dari kecil lagi.
Aku selalu dibuli. Bukan setakat masyarakat sekeliling, bahkan keluarga yang aku bergantung harap pun seolah-olah memulaukan aku di dalam rumah itu. Aku dipaksa membuat kerja-kerja rumah sedangkan kakak aku hanya bergoyang kaki sahaja. Alasannya,sebab aku gemuk. Aku kena banyak buat kerja rumah. Pernah sekali, aku terlupa untuk mengemas bilik kakak aku disebabkan aku terlewat untuk ke sekolah. Bila pulang dari sekolah, teruk aku dikerjakan oleh ayah.
“Ajar dia ni ayah. Dahlah gemuk, pemalas pula!”
Hasutan kakak makin menambahkan amarah ayah. Aku hanya mampu menangis saat libasan tali pinggang ayah bertubi-tubi singgah di belakang aku. Tetapi tangisan aku langsung tidak dipedulikan.
Walaupun aku diuji dengan pelbagai dugaan, namun itu tidak mematahkan semangat aku untuk menggapai kejayaan. Semua yang aku tempuhi menjadi perangsang semangat kepada aku untuk membuka mata mereka bahawa fizikal aku langsung tidak menghalang untuk aku berjaya. Berkat usaha aku yang tidak mengenal erti lelah dan putus asa, akhirnya aku dapat melanjutkan pelajaran ke utara tanah air.
Fikirku, bila sudah bergelar mahasiswa, maka aku akan terbebas daripada belenggu stigma masyarakat terhadap rupa paras aku. Ternyata di menara gading, tempat golongan bijak pandai menuntut ilmu sekalipun, persepsi mereka terhadap aku sama sahaja. Aku sedih, keputusan cemerlang aku langsung tidak dipandang. Kekurangan aku dijadikan wadah untuk mengeji dan mencaci. Aku cukup terkesan. Ragging? Umpama makanan ruji aku saat di universiti. Kawan satu batch? Sama sahaja perangainya. Masing-masing sekadar menjadi penonton terhormat sahaja saat aku dibuli. Di simbah air, laporan tugasan disabotaj, malah saat aku dikunci seorang diri dalam tandas sekalipun, tiada yang peduli.
Semasa dalam pengajian, aku sebilik dengan dua orang yang cantik paras rupanya. Liza dan Anis. Wajah mereka persis model. Umpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan aku. Tapi aku langsung tidak cemburu. Malah, aku senang dengan layanan mereka. Mereka tidak pernah mengabaikan aku ketika dalam bilik itu. Tetapi, kadang-kala aku hairan juga. Tatkala di luar, mereka seolah-olah mengelakkan diri daripada aku. Pernah aku bertanyakan kepada mereka. Katanya mereka mengejar waktu untuk ke kelas. Walaupun agak meragukan tapi aku percayakan mereka.
10 Julai 2017
Hatiku berbunga-bunga riang. Jika hendak digambarkan, seolah-olah kembang mekarnya setaman bunga. Perkhabaran daripada Liza menyebabkan aku dibuai perasaan. Pada petang itu, Liza memberitahu aku bahawa ada seorang lelaki yang ingin berkenalan dengan aku. Namanya Kamal. Kamal merupakan senior kami. Menurut Liza, Kamal dah lama sukakan aku dan tidak kisah akan paras rupa aku. Aku dibuai perasaan bahagia. Bahagia kerana sinar cahaya yang telah lama hilang dalam hidup aku selama ini bakal dihadirkan bersama lelaki itu.
17 Julai 2017
Buat pertama kalinya dalam hidup aku, aku cuba menghias wajah. Kekok dan agak janggal tetapi aku sedaya-upaya untuk mengubah sedikit penampilan aku kerana hari itu aku akan keluar dengan Kamal. Liza dan Anis bersungguh-sungguh menginginkan aku keluar dengan Kamal. Malah, mereka sanggup untuk membantu aku bersolek. Katanya, aku mesti kelihatan menarik kerana ini pertemuan kali pertama aku dengan Kamal.
Tapi…
Peristiwa hari itu menyingkap topeng-topeng manusia bernama Kamal, Anis dan Liza. Aku menyalahkan diri aku kerana terlalu bodoh. Patutnya aku sedar bahawa Liza dan Anis hanya musuh dalam selimut. Setiap tutur dan perbuatan baik mereka terhadap aku selama ini hanya dusta. Helah mereka semata untuk mengaburi mata aku.
Pertemuan aku dengan Kamal pada petang itu hanyalah menambahkan lagi sisi kegelapan dalam hidup aku. Peristiwa petang itu tidak memungkinkan aku mengharapkan walau secebis cahaya pun dalam hidup aku.
Kamal, manusia bertopengkan iblis. Dia telah berpakat dengan Liza dan Anis untuk merosakkan aku. Sebab? Mereka sakit hati melihat aku di kampus itu. Kata mereka aku hanya mencacatkan pemandangan. Liza dan Anis disogokkan sejumlah wang supaya melaksanakan rancangan terkutuk itu. Aku patut sedar daripada awal. Aku menyalahkan diri aku yang terlampau percayakan manusia yang bermuka-muka seperti mereka.
Hari-hari aku semakin suram. Aku tertekan dengan keadaan itu. Aku rasa diri aku kotor, jijik. Hatiku semakin sedih melihatkan Liza dan Anis tidak pedulikan aku. Mereka mampu bersenang-lenang menikmati wang hasil kerja terkutuk mereka memerangkap aku bersama Kamal. Seolah-olah maruah aku yang tergadai itu terlalu kecil di mata mereka. Aku bukannya tidak mahu menceritakan kepada pihak atasan, tetapi Kamal telah mengugut aku. Katanya, dia tidak teragak-agak akan menyebarkan gambar aku ketika khayal kepada ibu bapa aku. Aku takut. Sebab itulah aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja. Cukuplah mereka membenci aku selama ini. Aku tidak mahu menambahkan kebencian keluarga aku terhadapku lagi.
20 September 2017
Aku berkurung seorang diri di dalam bilik. Mengenang nasib aku yang tak pernah bertuah. Pagi tadi, aku telah pengsan dalam dewan kuliah. Aku di bawa ke klinik. Tatkala aku sedar, aku melihat doktor cuba menenangkan pensyarah yang membawa aku ke klinik. Prof Alia menafikan sekerasnya apa yang diperkatakan doktor.
“Mungkin ada kesilapan ni doktor. Pelajar ini tidak pernah bermasalah,”
Doktor cuba memberi penjelasan. Aku terpempam tatkala telingaku menangkap kenyataan doktor bahawa aku mengandung. Air mata mulai keluar dari kelopak mata aku. Kekecewaan aku tidak dapat dibendung. Harapan aku berkecai. Musnah. Tidak mungkin aku akan mampu meneruskan pengajian aku dengan keadaan begini.
Prof Alia cuba memujuk aku supaya menceritakan segalanya. Dengan tangisan teresak-esak, aku menceritakan kepada Prof Alia bahawa aku telah diperkosa. Tetapi aku tidak memberitahu pelakunya. Aku takut sekiranya Kamal melaksanakan ugutannya tempoh hari. Prof Alia berjanji akan menolong aku mencari jalan keluar daripada permasalahan aku.
21 September 2017
Perihal aku mengandung tersebar luas di kampus aku. Bukan sebab Prof Alia tetapi salah aku sendiri. Aku tidak berpuas hati dengan kenyataan doktor. Aku membeli alat penguji kehamilan. Bayangkan aku buat 3 kali ujian. Ketiga-tiganya menunjukkan keputusan positif. Aku tidak mampu menafikan lagi. Aku terpaksa menerima hakikat bahawa aku sudah mengandungkan anak Kamal.
Malangnya, Anis menjumpai alat penguji kehamilan itu di tandas. Aku terlupa nak lupuskan sebab fikiran aku bercelaru. Maka, dengan lantangnya Anis menyebarkan fitnah. Kononnya aku hamil sebab aku bertukar-tukar pasangan. Dia memomokkan kepada semua orang bahawa aku selalu pulang lewat. Ramai yang percaya kata-katanya. Aku dipulaukan. Malah, apabila Prof Alia cuba menegakkan kebenaran tentang aku, dia juga turut dipandang serong. Maafkan aku Prof.
26 September 2017
Minda aku yang sedia terbeban menjadi semakin buntu. Beban yang aku pikul seorang diri umpama batu yang menghempap dan meruntuhkan semangat aku. Hari itu, aku mendapat surat daripada pihak universiti bahawa aku dibuang universiti. Berkuat kuasa serta-merta. Entah apa racun fitnah yang disebarkan oleh Liza dan Anis sehinggakan aku diambil tindakan sedemikian rupa. Menangis? Sudah puas aku menangis. Kini aku sudah memasang tekad dan membatukan hati.
Tali sudah tergantung di kipas. Aku kini di kerusi. Pandangan aku kosong. Membayangkan wajah-wajah mereka yang menghancurkan hidup aku. Aku bersumpah, senangnya mereka tidak akan kekal. Ketawa mereka bakal dilenyapkan. Terkulainya aku di situ, bukanlah pengakhiran sebab itu hanya permulaan bagi pembalasan manusia-manusia durjana.
29 Oktober 2017
Wah, aku lihat Kamal dan Anis sedang berpeleseran di tempat hiburan. Kematian aku langsung tidak meninggalkan kesan di hati mereka. Agaknya mereka lagi suka. Ya lah, kematian aku akan menyebabkan segala perbuatan terkutuk mereka akan terkubur. Tetapi mereka lupa, dendam aku terhadap mereka tidak akan sama sekali terkubur.
Aku melihat Anis menuju ke tandas. Kelihatan tersenyum dia melihat wajahnya di cermin. Dia mengenakan lipstik ke bibirnya. Bibir yang menyebarkan fitnah terhadap aku. Alangkah bagusnya kalau dapat ditutup buat selama-lamanya. Saat dia sedang mencuci tangan, muka dia kelihatan pucat. Kalau ditoreh tidak berdarah agaknya. Aku menangkap mimik bibirnya menyebut nama aku. Aku senyum terhadapnya tetapi dia menjerit. Jeritan nyaringnya langsung tidak menggentarkan aku. Aku cuba kuasai jasadnya. Ternyata senang sekali untuk menguasai jasad manusia yang lalai itu.
Hahahaha..
Aku dapat menyaksikan kepanikan wajah manusia-manusia di situ tatkala Anis berlari dan menjerit terlolong di dalam pusat hiburan. Semuanya mampu memerhati sahaja saat Anis meraung dan memecahkan botol minuman keras. Serpihan kaca yang pecah digunakan untuk menikam tapak tangannya bertubi-tubi. Hancur jari-jemarinya akibat tusukan serpihan botol kaca.
Anis menjerit meminta tolong tetapi tiada seorang pun yang tampil membantu.
“Tolong, jangan seksa aku lagi. Tolong hentikan,”
Rayuan Anis ku pandang sepi. Deritanya aku dulu dia tak peduli. Jadi, buat apa aku nak bersimpati dengan manusia sepertinya?
‘Krrekkkk…krrekkk…..’
Bunyi geseran kaca yang rakus merentap dan meneroka segenap isi bibir Anis itu pasti mengilukan sesiapa sahaja. Lidahnya sudah hancur tetapi tangannya masih ligat mengikis lidahnya mengunakan serpihan kaca tadi. Lagaknya seperti meraut buluh. Tidak cukup dengan itu, wajah kebanggaannya turut ditoreh. Pekat dan likat darahnya membasahi wajah.
Dia tidak boleh berbuat apa-apa sebab jasadnya sudah aku kuasai. Dia berlari lagi merayu kepada orang sekeliling untuk menolongnya tetapi masing-masing menjauhkan diri termasuklah Kamal.
Pukk!!! Pukk!!! Pukk!!!
Anis menghentakkan kepalanya ke dinding berkali-kali. Kuat hentakannya sehinggakan dahinya hancur. Bukan setakat dahi hancur malah tempurung kepalanya mengalami keretakan.
Darah tidak dapat dibendung. Terus-menerus keluar daripada segenap tubuh yang tercedera. Yang paling mengerikan bendalir merah keluar dari pelupuk matanya.
Anis semakin lemah. Suaranya makin hilang. Kini nyawanya terpisah dari badan. Dapat ku saksikan Kamal terkedu. Menyaksikan rakan subahatnya menemui ajal dengan cara begitu.
Sebaik sahaja pihak berkuasa datang mengambil keterangan semua yang ada di situ, kesemua dibenarkan pulang. Kamal tidak terus pulang ke rumah. Aku lihat dia berjumpa Liza malam itu juga.
Peluang buat aku!!
Aku melihat Kamal serabut. Meramas-ramas rambutnya. Liza menenangkan Kamal dan ke dapur untuk mendapatkan minuman. Aku menguasai jasad Liza saat dia ke dapur. Liza seolah-olah seperti patung saat jasadnya aku kuasai. Dia keluar menatang dulang minuman dengan sebilah pisau di atas dulang itu. Sudah semestinya Kamal hairan dengan kewujudan pisau itu. Namun, tidak pula dia mempersoalkannya. Mungkin fikirnya Liza tidak sengaja meletakkan pisau di situ.
Kamal menceritakan tentang tragedi yang menimpa Anis tadi. Satu-persatu dia ceritakan. Tak kurang juga dia mengaitkan peristiwa yang menimpa Anis itu dengan kematian aku. Aku hanya tersenyum. Kelihatan dia minum air Coke yang dihidangkan Liza. Habis segelas. Haus agaknya.
Dan..3, 2, 1…
Kamal terjelepuk. Khayal dan lemah akibat campuran air itu dengan ubat batuk. Liza menyeret kasar tubuh Kamal dan mengikatnya di kerusi. Ketat ikatannya. Tidak memungkinkan langsung untuk Kamal melepaskan diri.
Liza menggenggam pisau tadi dengan erat. Jelas kelihatan wajah ketakutan Kamal saat pisau itu dihalakan ke arahnya. Namun, dia longlai. Tidak mampu untuk melawan langsung. Liza mencengkam rahang Kamal bagi memaksa Kamal membuka mulut. Pisau disua ke dalam mulut Kamal. Disorong dan ditarik secara melintang.
Zrapp.. zrapp.. zrappp....!!!
Rakus mata pisau itu membaham lidah Kamal menyebabkan lidahnya hancur. Bendalir merah yang pekat membasahi bibirnya. Hilanglah lidah dan mulut yang pernah menitipkan janji manis terhadap aku dulu. Aku puas tapi aku tidak berpuas hati selagi manusia durjana itu belum meninggal.
Dan.. di bawah pengaruh aku, Liza menjulang tinggi pisau itu. Kamal menggeleng-geleng kepala dengan harapan Liza akan menghentikannya.
Namun, sia-sia. Dia berhadapan dengan aku, bukannya Liza.
Zapp!!
Mata pisau dibenamkan tepat ke dada Kamal. Berkali-kali Liza menikam Kamal.Terbeliak mata Kamal menahan tikaman bertubi-tubi yang merobek dan memusnahkan organ dalamannya.
"Krrrohhh... krrrohh.. krrohhh.."
Rengusan kasar nafas Kamal jelas kedengaran. Membuak-buak darahnya keluar. Terpercik ke muka Liza serta pakaiannya. Saat berakhirnya hayat Kamal, barulah Liza tersedar akan perbuatannya.
Dia termangu-mangu sendiri. Otaknya tidak dapat mencernakan dengan betul. Di hadapannya jasad Kamal yang tidak bernyawa dan di tangannya ada pisau. Bajunya penuh dengan darah. Dia mula menafikan bahawa dia membunuh Kamal. Berhari-hari dia tidak keluar rumah.
Namun, semuanya terbongkar saat rakan yang lain datang ke rumahnya. Mereka terjumpa mayat Kamal terikat di kerusi, dengan keadaan mata terbeliak. Darah Kamal masih ada di lantai dan sudah kering. Mereka melaporkan kepada pihak berkuasa tentang penemuan mayat itu. Liza ditangkap.
Liza semakin tertekan, menafikan sepenuhnya perbuatannya itu. Akan tetapi bukti cap jari di senjata itu tidak dapat menafikan perbuatannya. Aku menemani Liza ketika dia dalam tahanan polis. Dia meracau-racau sebaik sahaja terlihat aku. Sehinggakan anggota yang bertugas menggelarnya orang gila.
Pemeriksaan mental dijalankan ke atas Liza. Pengakhirannya di wad psikiatri. Walaupun dia tidak mati, tetapi aku puas hati. Sekurang-kurangnya dia merasai bagaimana pedihnya saat tiada yang mempercayai. Hilang sekelip mata kemahsyuran yang dibangga-banggakannya selama ini. Dan aku, menoktahkan catatan hati aku setakat ini. Kerana semua dendam terhadap mereka sudah aku lunasi.
-Tamat-
Suntingan dan gambar: Gongpal Topek
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment