Saturday, 16 December 2017

SAHABAT HINGGA HUJUNG NYAWA - Fakhri Zainuddin


SAHABAT HINGGA HUJUNG NYAWA
Follow Page : The Ngaji

=========================
“Izzu, kau ke tu? Tolonglah Izzu. Aku rindukan persahabatan kita. Tolonglah jangan bersembunyi lagi. Aku minta maaf kerana aku menghilang terlalu lama” Taufiq merintih dan merayu.
“Aku ingin sangat bercakap dengan kau. Aku datang ke sini nak bertemu dengan kau. Aku tak tahu sebegini teruk nasib kau selama ini” Taufiq merintih hiba. Ritihan demi rintihan,pujukan demi pujukan diungkapkan pada sahabatnya itu, tetapi tiada tindakbalas!
Izzu pula hanya membisu di sebalik tiang rumahnya yang usang. Membatu di situ. Kepalanya tertunduk ke bawah, wajahnya terselindung di sebalik rambutnya yang kusut masai berjuntai ke bawah. Kesuraman menyelubungi di dalam rumah tersebut. Kemudian, wajahnya perlahan-lahan di naikkan…..
***
20 tahun yang lepas di Kampung Kepayang, Ipoh, Perak.
“ Haaa! Degil! Kan dah mendapat!” Fazril melibas-libaskan tali pinggangnya kearah Izzu. Izzu mengerang kesakitan. Setiap hinggapan tali pinggang oleh ayahnya bagaikan sebiji peluru merobek-robek kulit belakang Izzu. Izzu menahan air mata jantannya daripada keluar. Ibu Izzu hanya mampu melihat,dan mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak mampu untuk seorang ibu melihat anaknya dipukul. Ibunya tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana dia tahu, setiap hukuman oleh ayahnya adalah untuk mendidik, meskipun dia sendiri meronta-ronta untuk menahan suaminya dari memukul anak kesayangannya itu.
Sebenarnya, Izzu seorang budak yang baik. Hormat orang tua dan tidak sesekali dia mengingkari perintah ayahnya. Pada petang hari kejadian, Izzu hanya berada di tebing sungai, memerhatikan kawan-kawannya mandi-manda. Izzu patuh pada arahan ayahnya, jangan sesekali mandi di situ! Izzu seorang perenang yang handal, mewarisi bakat ayahnya. Jika dahulu, seringkali juga dia berenang di sungai tersebut sehinggalah ayahnya dapat menghidu kegiatannya. Amaran diberikan kepada Izzu. Patuh dan taat Izzu pada ayahnya, menyebabkan Izzu terpaksa akur.
Izzu hanya memerhatikan sahaja gelagat kawan-kawannya. Di satu sudut sungai, Izzu memerhatikan kelibat seorang lagi kawannya, Taufiq, yang berenang semakin jauh dari mereka. Taufiq, seorang anak yang manja, tapi berkawan baik dengan Izzu. Bentuk fizikalnya kecil, dan sentiasa ceria membuatkan Izzu senang berkawan dengannya. Walaupun jarak umur mereka berbeza setahun sahaja, namun tidak pernah Izzu dan Taufiq bergaduh. Mereka bagaikan adik beradik!
Mata Izzu hanya terpaku pada Taufiq. Tiba-tiba, Taufiq kelihatan terkapai-kapai. Tangannya seolah-olah melambai ke arah Izzu, sekejap timbul, sekejap tenggelam. Kurang dari 5 saat, Taufiq hilang dari pandangannya. Izzu tidak menunggu lama untuk terjun ke dalam sungai tersebut. Dengan kecekapan Izzu berenang, dia berjaya memaut badan Taufiq yang nampak keletihan, terkapai-kapai timbul tenggelam. Kurang dari seminit, Taufiq berjaya diselamatkan.
Namun, perkara ini sampai ke pengetahuan ayahnya. Izzu dituduh sengaja bermandi-manda di situ. Menyelamatkan Taufiq dari lemas bukan alasan kukuh untuk Izzu berenang dan mandi sungai. Ayahnya tegas dan tiada kompromi! Sepuluh sebatan hinggap ke belakang badannya secara berterusan, kesannya merah dan berbirat. Pedih! Izzu menerimanya dengan redha dan sesekali dia tidak melawan.
“ Maafkan aku Izzu, aku cuai. Kau pulak yang kena.” Taufiq kelihatan begitu gusar apabila memerhatikan riak muka Izzu yang kelihatan sakit apabila Taufiq menyapu minyak gamat pada lukanya.
Belakang badannya masih berbirat, biarpun sudah hampir tiga hari kejadian tersebut berlaku.
“Hahaha. Aku laki sejati. Setakat rotan ni, hanya mainan aku saja.” Izzu cuba menahan egonya dari tercalar. Kesakitannya hanya ditelan begitu sahaja. Ego seorang lelaki barangkali. Dia mahu dilihat gagah dan bukan seorang lelaki yang manja.
“Izzu, kita kawan selama-lamanya kan?” Taufiq melihat Izzu dengan rasa belas kasihan.
“Hahahaha. Hingga hujung nyawa!” kemudian diikuti oleh derai ketawa oleh mereka berdua.
Sejak dari kejadian tersebut, Izzu dan Taufiq semakin rapat. Segala aktiviti selepas sekolah dilakukan bersama. Melastik burung, bermain guli, menunggang basikal dan bermain bola. Hubungan mereka terlalu erat sehinggalah mereka menginjak dewasa. Memasuki alam persekolahan menengah sangat mencabar buat mereka berdua. Mereka berada di sekolah yang sama, walaupun berlainan kelas dan berlainan tingkatan. Taufiq sering dibuli oleh kerana badannya yang kecil dan tubuh badannya yang sedikit kurus. Mujur Izzu sentiasa ada, bertindak sebagai abang besar di sekolah tersebut.
Disebabkan Taufiq sentiasa berada dengan Izzu, maka, pelajar lain tidak berani membuat kacau. Jika ada yang bertindak ingin membuli Taufiq, Izzu akan segera masuk campur. Nahas kepada sesiapa yang cuba buli Taufiq!
“Kita kawan selama-lamanya kan?” Taufiq bertanya pada Izzu, sewaktu mereka belajar bersama-sama di sekolah setelah selesai sesi persekolahan.
Izzu hanya diam, dan senyuman nipis dilemparkan pada kawan baiknya.
“ Kita bersahabat sehingga hujung nyawa!”
Taufiq hanya tersenyum, manakala Izzu pula seperti biasa, ketawa berdekah-dekah memecahkan kesunyian bilik darjah.
***
Beberapa tahun kemudian, Izzu ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang kejuruteraan di salah satu universiti di Kuala Lumpur manakala Taufiq pula cemerlang dalam pelajaran serta menerima biasiswa dari kerajaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, iaitu di United Kingdom. Tatkala mereka berdua menerima perkhabaran itu, perasaan gembira dan takut silih berganti. Mereka agak gusar jika mereka tidak dapat berjumpa lagi.
Namun, dengan pengggunaan teknologi semakin canggih, seiring dengan zaman dunia tanpa sempadan, hubungan mereka masih seperti dulu. Penggunaan email dan mesej SMS menjadi pilihan mereka. Masing- masing sibuk menghabiskan pengajian. Kadang-kadang Taufiq akan menghubungi Izzu jika berkelapangan. Maklumlah waktu yang berbeza di UK dan Malaysia sedikit sebanyak membataskan masa untuk mereka berbual di telefon.
Selepas beberapa tahun kemudian, keluarga Taufiq berpindah ke Selangor berikutan ayahnya telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke tempat kerja yang baru. Taufiq masih lagi berada di UK dan Izzu masih lagi menghabiskan sisa-sisa pengajiannya yang hanya tinggal beberapa semester sahaja.
***
Kehidupan Taufiq di UK betul-betul sibuk. Pengajiannya belum habis. Tinggal setahun sahaja lagi sebelum biasiswanya tamat. Sudah jarang dia menghubungi sahabatnya Izzu berikutan selalu mengejar masa untuk kuliah dan masa untuk study. Lama-kelamaan, Taufiq sudah tidak lagi menghubungi Izzu. Begitu juga dengan Izzu. Sejak keluarga Taufiq berpindah, Izzu sudah tidak lagi menghubunginya. Nombor telefon Taufiq juga telah berubah. Lantas menyukarkan lagi untuk mereka saling menghubungi.
***
Daaaam! - bunyi fail diletakkan kasar di atas meja. Lamunan Taufiq tersentak. 
“Maafkan saya tuan Taufiq. Terlepas dari genggaman pula fail saya ni.” Syahira tersengih.

Syahira merupakan penolong peribadi kepada Taufiq. Maklumlah Taufiq kini sudah menjawat jawatan yang besar di dalam sebuah syarikat di Cyberjaya.
“Oh, tak mengapa.” Taufiq cuba membetulkan posisi kedudukannya, dan tidak semena-mena sekeping gambar jatuh dari genggaman Taufiq.
“Errr, tuan ok ke? Tu gambar apa tu tuan? Nampak macam gambar lama je. Kawan ke tu?” Syahira cekap memerhati.
“Owh. Gambar kawan lama. Masa belek dokumen lama tadi, terjumpa pulak gambar ni. Eh, mana dokumen baru yang saya pesan pagi tadi. Dah siap di cop oleh bos ke?” Taufiq cuba mengubah topik.
“Errr, dah tuan. Ada dalam fail biru tu. Ok lah tuan, saya keluar dulu ya. Apa-apa nanti, tuan call je lah ya.” Syahira seakan-akan mengerti bahawa Taufiq tidak suka ditanya perihal gambar tersebut. Cepat-cepat dia keluar dari bilik pejabat Taufiq.
Taufiq dari tadi lagi menggelamun. Sambil memegang gambarnya yang jatuh tadi. Foto yang memaparkan keakraban Taufiq dan Izzu sewaktu masa muda dahulu di pegang erat. Dalam foto tersebut, Izzu kelihatan berdiri di sebelah Taufiq sambil tersenyum.
“Apa khabar kawan, di mana kamu sekarang.” Suara hati Taufiq bergema di sanubari. Ingin sahaja dia mengambil cuti dan memecut keretanya balik ke Perak, namun apakan daya, kerjanya yang menimbun menyukarkan dirinya untuk bergerak.
***
“Aaaaaaaaaaargghhh!”
Taufiq menjerit. Izzu seakan-akan mengejarnya. Di sisi Izzu kelihatan mayat seorang perempuan, tertiarap. Izzu dalam keadaan berdarah, cuba mendekati Taufiq.

Taufiq terkejut, dan cuba melarikan diri.
“Tolonggg jangaaaannnn bunuh akuuu….” Taufiq merayu. Langkahnya sungguh longlai, seolah-olah dirantai di sebatang tiang di dalam sebuah rumah kayu yang usang.
Izzu semakin mendekati Taufiq, memegang kolar baju Taufiq. Taufiq melihat dengan jelas, badan dan muka Izzu berlumuran darah.
Tiba-tiba, azan subuh kedengaran di Masjid sekitar tempat tinggalnya. Taufiq tersedar. Ianya hanyalah sebuah mimpi!
Nafas Taufiq tercungap-cungap. Seluruh badannya berpeluh. Taufiq menggeletar. Sudah berkali-kali dia bermimpi benda yang sama. Sejak 5 bulan lepas, mimpi ini acap kali menghantuinya. Cuma kali ini seolah-olah mimpi itu sangat benar dan bukan sekadar mainan tidur.
“Astaghfirullah…apa aku bermimpi ni…”
Cepat-cepat Taufiq beristighfar. Dadanya masih berombak laju, berdegup kencang.
***
“Kreeek!”
Kedengaran bunyi handbrake kereta Peugeot model 5008, tahun 2011 buatan Perancis di tarik.

Taufiq memakir keretanya betul-betul di hadapan sebuah rumah berwarna kelabu pudar yang agak usang. Kelihatan tiang yang menyokong rumah tersebut tinggi, dan ruang di bawah rumah yang agak luas. Tambahan pula, ruang di bawah rumah kelihatan disimen pada ruang tengahnya. Ini menambahkan kehairanan Taufiq.
“Mungkin kawasan ini mudah banjir agaknya.” Getus Taufiq dalam hati.
Rumah tersebut agak terpencil, jauh di pedalaman di Grik, Perak. Taufiq terpaksa merentas kawasan di pinggir hutan sebelum sampai ke kawasan ladang pokok getah. Dari ladang tersebut,kira-kira 20 minit masa yang diambil sebelum Taufiq sampai. Agak kepenatan kerana memandu secara terus dari Selangor, tapi demi kawannya, Taufiq gagahi jua.
Setelah meninjau keadaan kawasan rumah tersebut, Taufiq memberanikan diri mendekati pintu rumah tersebut. Seusai memijak lantai papan di hadapan pintu masuk, bunyi lantai papan berdecit memecahkan suasana yang sunyi di kawasan tersebut.
“Krett..krett..krett”
Bunyi yang agak seram bagi mereka yang tidak biasa memijak lantai papan.

“Assalamualaikumm….”
Taufiq memberi salam beberapa kali sambil mengetuk pintu. Taufiq meninggikan lagi suaranya dan dengan ketukan yang bertalu-talu. Namun masih tiada jawapan.Tiada yang menyahut. Keadaan kembali sunyi sepi.

“Aissh, betul ke ni Kak Ti bagi alamat ni. Entah-entah tersilap rumah” Taufiq mengeluhh.
***
2 hari sebelum kejadian, Taufiq bertekad untuk mencari sahabatnya, Izzu. Setelah meminta cuti daripada bos nya dengan alasan untuk menjenguk saudaranya yang tidak sihat, terus Taufiq betolak dari Selangor ke Ipoh, Perak.
Setibanya di sana, Taufiq terus memecut ke rumah Izzu. Sampai sahaja di Kampung Kepayang, Taufiq tergamam. Rumah Izzu yang dulunya tersergam indah, kini telah tiada! Yang ada adalah sedikit sisa runtuhan dan semak samun yang melingkari kawasan tersebut. Mati akal Taufiq dibuatnya. Apa yang sudah berlaku sebenarnya? Ke mana harus aku pergi ?
***
“Nasib baik saya teringatkan rumah kak Ti dulu. Tak sangka saya tak banyak yang berubah rumah ni. Masih sama sewaktu saya dengan Izzu dulu….” Dialog Taufiq terhenti di situ. Tak sanggup dia menghabiskan ayatnya.
“Takpelah fiq. Ambil masa kamu. Alamat pun dah ada tu. Nasib baik sewaktu dia nk berpindah, akak sempat ambil alamat rumah yang bakal mereka duduki tu. Cuma nombor telefon sahaja yang akak tak ada.” Sedikit bunyi nada kekesalan oleh Kak Ti disitu.
“Erm, ok akak, saya minta diri dulu. Saya nak cepat ni. Mungkin saya terus ke rumah Izzu ni. Esok saya nak balik Selangor pulak. Terima kasih ya akak sudi berkongsi bagitahu semua ni.”
“Hati-hati ya nak” Ujar Kak Ti dengan lembut. Kak Ti merupakan salah satu saudara terdekat Izzu. Sewaktu kecil dahulu, Izzu dan Taufiq selalu singgah di rumah Kak Ti untuk makan. Maklumlah Kak Ti tidak punyai keluarga sendiri sementelah dia tidak berkahwin. Maka, dianggapnya Taufiq dan Izzu ibarat anaknya sendiri.
“Baik kak. Doakan saya dapat jumpa Izzu..” Taufiq cuba menahan sebak di dadanya. Terasa begitu kesal. Kesal kerana tidak dapat membantu sahabatnya di masa sahabatnya itu dilanda kesusahan.
Sahabatnya Izzu telah lama berpindah. Ayah Izzu, Pak Cik Fazril telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam skandal rasuah. Tak lama kemudian, Pak Cik Fazril meninggal di dalam penjara akibat sakit jantung. Menambahkan pilu di hati, emaknya pula di diagnos menghidapi kanser hati. Habis harta peninggalan ayahnya dijual bagi mengubati maknya yang sakit. Tambahan pula, Izzu baru sahaja tamat pengajian, dan tidak sempat untuk bekerja, masalah datang bertimpa-timpa. Tidak tahan cemuhan orang kampung dek kerana penglibatan ayahnya dalam kes rasuah, Izzu dan emaknya berpindah jauh dari situ.
Kemudian, selepas mereka sekeluarga berpindah, makciknya iaitu Kak Ti sudah tidak lagi mendengar sebarang khabar berita dari mereka. Menurut Kak Ti lagi, dia ada terdengar khabar berita mengenai Izzu berniaga, tetapi berniaga apa tidak pula diketahui olehnya.
Taufiq terasa beban yang amat berat. Rasa kasihan pada sahabatnya itu membuak-buak. Tanpa membuang masa lagi, langkahnya dipercepatkan. Sementelah enjin kereta dihidupkan, Taufiq memecut pula ke Grik, semata-mata untuk bertemu sahabatnya.
***
Dari jauh, rumah usang berwarna kelabu itu sungguh menyeramkan. Tambahan pula, rumah itu berdekatan dengan ladang pokok getah, dan jauh dari jalan utama. Ini menambahkan lagi kesunyian di kawasan rumah tersebut.
Taufiq cuba mengintai dari renggangan pintu utamanya. Dari sudut pandangan Taufiq, rumah itu kelihatan kosong dan tidak berpenghuni. Terdapat sebuah sofa yang kelihatan usang dan sebuah meja kopi yang kecil diletakkan di ruang tengah.
Mata Taufiq terarah pada sebuah kerusi. Tiba-tiba kelihatan kerusi bergerak-gerak. Seolah-olah ada penghuni yang beristirehat di atasnya. Taufiq yakin, itu adalah Izzu. Mungkin sedang tidur, nyenyak dibuai mimpi, sehingga tidak menyedari kehadiran Taufiq.
Taufiq mengetuk-ngetuk pintu dengan penumbuknya dengan kuat agar Izzu tersedar . Namun, tidak berhasil. Taufiq semakin tidak sabar, dia cuba memutar tombol pintu itu sambil menolaknya dengan kuat sekali.
“Baaaam!”
Pintu terbuka, dan Taufiq hampir terjatuh masuk ke dalam rumah.

“Izzu! Aku datang! Aku ni, kawan lama kau ” 
Taufiq memekik.

Mata Taufiq melilau dalam rumah tersebut. Senyap dan sunyi. Kerusi yang tadi bergerak, telah menjadi kaku.
Di satu sudut,kelihatan gambar Izzu dan Taufiq di dalam bingkai kaca, diletakkan secara menegak di atas meja. Taufiq tersenyum kerana sahabatnya itu masih lagi mengingatinya.
“Taufiqqqq….”
Suara halus kedengaran di satu sudut di ruang menuju ke dapur rumahnya.

“Izzu..kau ke tu ? “ bulu roma Taufiq berdiri tegak….
***
Taufiq tergumam. Kakinya seolah-olah di ikat. Kaku di situ. Terasa bagaikan apa yang berlaku di mimpi hari itu adalah benar.
Wajah Izzu dipenuhi darah. Dahi dan dadanya tidak berhenti-henti mengalirkan darah yang pekat. Taufiq cemas. Izzu mengangkat tangannya dan jari telunjuknya menunjukkan kearah Taufiq. Taufiq kelu. Wajahnya pucat, jelas ketakutan melanda dirinya. Perlahan-lahan Taufiq mengundur diri ke belakang.
“Kreeetttt….kreeettt” 
Lantai yang dipijak Taufiq merekah. Lantai papan itu telah mereput akibat dimamah oleh anai-anai.

“Kedebooom!”
Tiba-tiba lantai papan tempat Taufiq berpijak itu pecah, dan Taufiq terperosok masuk ke dalam, terus jatuh ke bawah.

“Paap!” 
Taufiq jatuh terlentang. Kepalanya terhantuk di simen di bawah rumah tersebut. Bahagian belakang kepalanya pecah. Mata Taufiq terbeliak dan nafasnya semakin memendek. Darah membuak-buak keluar dari belakang kepalanya. Pandangannya menjadi kabur. Matanya tertutup rapat. Akhirnya, Taufiq menyusul menemani kawan baiknya, Izzu. Maka, termeterailah kata-kata mereka berdua, SAHABAT HINGGA HUJUNG NYAWA.

***
EPILOG
“Jangan kacau mak aku! “
Izzu mendepakan kedua-dua belah tangannya. Dia cuba melindungi ibunya dari sang lintah darat, empat orang konco-konco Ah Long mengepung Izzu dan ibunya di dalam rumah.
“Woi, berani pinjam, berani bayarlah! “ Jerkah Kamal, salah seorang tali barut Ah Long.
“Harini jugak wa kasi lunyai ini sama budak!” Wong menggenggam penumbuknya. Dia begitu geram kerana sudah hampir 3 bulan Izzu tidak menjelaskan hutangnya.
Izzu sebenarnya telah ditipu. Dia dijanjikan pulangan wang yang lumayan jika melabur dalam bentuk pelaburan wang emas. Dia dijanjikan keuntungan 3 kali ganda jika melabur melebihi RM10,000. Melihat peluang keemasan ini, Izzu terus mengajak tiga orang kawannya untuk turut serta dalam skim pelaburan tersebut. Izzu terlalu naïf, mudah ditipu biarpun berbadan besar, tapi dia tidak mampu untuk berfikir jauh. Izzu melihat ini adalah peluang untuk membuat duit sementelah harta peninggalan ayahnya sudah habis digunakan untuk merawat ibunya tersayang.
Setelah wang sebanyak RM 50,000 dilaburkan, khabar berita mengenai syarikat pelaburan itu menipu tersebar luas. Ejen yang menjadi orang tengah pula melarikan diri dan tidak dapat dikesan sehingga sekarang. Izzu begitu kesal, menangis darah pun sudah tidak berguna lagi. Kawan-kawan Izzu sudah mula mempersoalkan ke mana duit mereka dan menuntut janji-janji Izzu terhadap mereka. Maka. terpaksa Izzu melunaskan hutang kawan-kawannya dengan meminjam dari Ah Long. Tapi apakan daya, bunga dan faedah yang melampau tinggi, menjerut leher si peminjam seperti Izzu menyebabkan Izzu tidak lagi mampu membayarnya.
“ Kamal, Wong, Raj, Chong, tolongla la akuuu..aku nak makan pun tak ada duit, masakan nak bayar hutang” Rayu Izzu dalam keadaan melutut, sambil matanya memandang ke arah mereka berempat.
“Baik, tapi, gua nak benda ni….” Wong pantas menarik dengan laju rantai emas milik Mak Jah, ibu Izzu. Rentapan yang begitu kuat menyebabkan Mak Jah hampir tertiarap. Mujur pantas Izzu menahan ibunya dari jatuh.
Mak Jah menangis sayu. Itu adalah salah satu rantai emas pemberian arwah suaminya. Satu-satunya rantai yang tidak dijual waima jika terdesak duit sekalipun. Tapi apakan daya, Izzu tidak mampu menahan kudrat untuk melawan mereka berempat.
“Wong! Bagi balik rantai tu!” jerkah Izzu. Entah dari mana kekuatan diperoleh untuk Izzu menggertak Wong.
“Oooo..sudah pandai menyalak ini anjing!” Chong menjerit. Tidak semena-mena satu tumbukan padu dilepaskan oleh Izzu, tepat pada mata kiri Wong. Wong menjerit dalam keadaan marah. Melihat keadaan itu, Raj, Chong dan Kamal menyerang Izzu secara serentak.
“Izzzuuuu!” jerit Mak Jah sayu melihat anak kesayangannya dikepung dan dikerjakan.
Wong yang tadi ditumbuk, bangun kemudian dia melepaskan amarahnya pada Mak Jah. Mak Jah ditumbuk diperut, disusuli hilai ketawa dari Wong.
“Hahahaha. Lu nak sangat kan Izzu? Wa bagi balik pukulan yang lu bagi tadi pada mak lu” Wong sudah hilang akal. Ditolaknya Mak Jah, Mak Jah jatuh terguling-guling.
“Hahahaha. Ambik lu! Lu dengan anak lu dua kali lima!” Wong mengilai, dan seolah-olah hampir hilang akal.
Izzu yang melihat kejadian tersebut terkaku, terkejut, rasa marah yang teramat. Lantas dia bangun dan mengambil parang yang telah diletakkan di bawah sofa.
“Syaitan kau semua! Jangan kacau mak akuuuu!” Izzu menjerit sambil melibaskan parangnya kearah Wong. Wong kini tergamam.
“Baaaaaammm!”
Satu das tembakan dilepaskan. Izzu rebah. Dadanya berombak kencang. Matanya melihat pada ibunya yang tertiarap. Matanya kian tertutup rapat. Nafasnya semakin memendek. Darah membuak-buak keluar di bahagian dadanya.

“Baaaammm!” satu das lagi tembakan dilepaskan oleh Wong, tepat pada dahi Izzu.
“Wong! Chong! Jum blah!” jerit Kamal yang melihat situasi sudah tidak terkawal. Dua orang rakannya sudah terlibat dalam pembunuhan.
“Bodoh! Kita datang untuk gertak, bukan untuk membunuh!” Raj mula bersuara . Wong dan Chong masih terkejut. Wong terpaksa menembak kali kedua untuk memastikan Izzu mati. Kalau tidak, bukti mereka yang terlibat akan mengheret mereka semua ke penjara, sekaligus ke tali gantung akibat membunuh.
Mak Jah meraung. Mengengsot mendekati anaknya yang sudah tiada.
“Tolonnnggg..Ya Allah ..anak akuuu!” Mak Jah menjerit dalam tangisan yang syahdu.
“Kamal, sekarang tugas lu. Hapuskan bukti. Sekarang!” Wong memberi arahan pada Kamal. Sambil jarinya menunjukkan kearah Mak Jah. Kamal teragak-agak untuk bertindak.
“Ahhhh. Biar aku saja yang buat. Bukti perlu dihapuskan!” Chong meluru kearah Mak Jah, dan terus mencekik leher Mak Jah dengan kedua-dua belah tangannya . Mak Jah menggelupur dan meronta-ronta sehingga menghembuskan nafas terakhir. Maka, satu pembunuhan ngeri telah dilakukan oleh konco-konco Ah Long.
***
Bukti pembunuhan perlu dihapuskan. Darah yang bersembur di segenap ruang rumah dibersihkan dengan cermat sekali. Mayat Izzu dan ibunya, dibungkus, ditanam dan di simen di bawah rumahnya.
T.A.M.A.T
Nota Kaki: Bilakah kali terakhir anda menghubungi sahabat baik anda?
=========================
SAHABAT HINGGA HUJUNG NYAWA
© Fakhri Zanuddin

Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: