SAMPAN KERTAS
==================
Mariam termenung di tingkap rumahnya mengenangkan kembali peristiwa yang terjadi suatu masa dulu. Dia masih ingat masa kecil dulu dia, Jannah, Faiz, Haikal dan Fiza sering kali bermain sampan kertas di tali air di kampungnya. Kenangan yang menyeronokkan itu membuatkan Mariam sekali sekala tersenyum sendiri. Namun dalam keseronokan itu, di tali air itu jugalah berlakunya peristiwa yang tidak dapat dia lupakan. Peristiwa yang menyebabkan sahabat baiknya itu pergi buat selama-lamanya. Serta merta air matanya mengalir membasahi pipi.
"Sayang... buat apa termenung dekat tingkap tu. Dah nak Maghrib ni. Tutup tingkap tu. Tak elok biar tingkap terbuka waktu senja macam ni." Sapaan Haikal yang telahpun menjadi suami Mariam mengejutkannya dari lamunan. Lantas jari jemari Mariam menyapu sisa air mata yang masih berbekas di pipinya itu.
"Eh... Abang. Tak ada apalah. Saja nak ambik angin luar sekejap." Ina menyembunyikan tangisannya sebentar tadi.
Daun tingkap yang terbuka luas itu dicapai. Saat Mariam menarik daun tingkap tersebut, matanya terpandang satu sosok tubuh berdiri memandangnya dari jauh. Walaupun jauh, Mariam mampu melihat dengan jelas wajah orang itu. Lantas dia kaku dan nafasnya seakan terhenti seketika. Terkejut dengan apa yang dia baru sahaja lihat. Nyata sekali sosok tubuh itu cukup dikenalinya. Ya... itu adalah Jannah. Sahabat baiknya dahulu.
"Macam mana Jannah boleh ada kat sini?" Gumam Mariam sendirian.
"Tapi... Jannah kan dah…"
"Yang! buat apa lagi tu? Tutup tingkap tu." Teguran Haikal membuatkan Mariam tersedar.
"Ya bang... Sekejap." Tanpa berfikir Panjang Mariam terus menutup tingkap itu.
Tingkap rumah Mariam adalah jenis tingkap cermin gelap. Jadi dia masih boleh melihat jika ada sesuatu di sebalik tingkap. Mariam mengecilkan anak matanya untuk melihat kembali adakah betul apa yang dilihatnya tadi namun kelibat Jannah sudah tidak kelihatan lagi.
********************************
Jannah memiliki sifat lemah lembut dan mudah merajuk. Namun rupa paras yang cantik dan berkulit putih membuatkan Haikal sudah menaruh minat padanya. Mariam dan Fiza juga tidak kurang comelnya, tapi Jannah jauh mendahului mereka. Bila menganjak dewasa, hubungan mereka masih lagi rapat. Perubahan dari segi fizikal menjadikan Faiz seorang yang berbadan tegap dan segak. Manakala Haikal pula sedikit gempal. Namun dari segi wajah Haikal kelihatan lagi kacak. Mungkin disebabkan fizikalnya lebih besar membuatkan 3 dara ini lebih memilih Faiz.
Mengimbau kembali kenangan zaman kecil dulu, 5 sekawan ini sangat rapat. Selalu bermain bersama. Masak-masak, teng-teng, baling selipar, konda kondi dan juga laga biji getah sudah menjadi mainan harian mereka. Jika hari hujan dan arus tali air mengalir laju, mereka akan membuat sampan kertas sebanyak mungkin dan lepaskan di tali air. Berlumba siapa yang lebih laju.
Hari tragedi iaitu pada cuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri, 5 sekawan ini merancang untuk mandi di tali air yang sama tempat mereka selalu bermain sampan kertas dulu ketika mereka berkumpul dirumah Fiza.
“Korang, esok apa kata kita mandi sungai nak?” Haikal melontarkan idea.
“Sungai? Tali air je la. Dekat sikit” Balas Fiza
“Tali air sekarang dah tak macam dulu la. Air dah nampak kotor. Tapi kat sungai depan sana tu ok. Tak jauh pun dari tali air tu.” Haikal mempertahankan ideanya. Benar, tali air yang dulu airnya jernih sekarang sudahpun berkeladak dan berlumpur.
“Boleh jugak. Nanti bawak kertas banyak-banyak, kita lumba sampan kertas. Macam dulu-dulu tu.” Balas Mariam di ikuti gelak tawa antara mereka.
“Iz, kau macam mana? On ke tak on?” Faiz yang sedang asyik menatap wajah Jannah dihadapannya tidak menyedari apa yang disuarakan oleh Haikal.
“Woi Iz… Apa yang kau termenung tu?” Nada suara Haikal yang tinggi itu mengejutkan Faiz yang sedang mengelamun menatap wajah Jannah.
“Ha… Ye… ok ok…” kelam kabut Faiz menjawab.
“Apa yang ok?” Tanya Haikal kembali.
“Apa apalah yang kau cakap tu aku ok je.”
“Kalau kau ok lusa kita kumpul sini lepas tu gerak sekali. Boleh?” Soal Haikal lagi.
“Nak gerak pergi mana?” Faiz bertanya inginkan kepastian.
“Hish kau ni… Tadi cakap ok. Kita nak pergi sungai. Mandi macam dulu-dulu.” Jawab Haikal ringkas.
“Aku ok je. Jannah ikut sekali kan?”
“Ikut.” Jawab Jannah ringkas.
Mariam, Haikal dan Fiza sudah pun tahu yang Faiz dan Jannah masing-masing menaruh perasaan. Cuma mereka tidak tahu sejauh manakah hubungan antara Faiz dan Jannah. Saat mereka ingin meninggalkan rumah Fiza, sepasang mata memerhatikan gelagat Faiz yang meminta nombor telefon peribadi Jannah. Hanya Mariam dan Fiza je yang memiliki nombor telefon Jannah. Tangan dan pen di hulurkan oleh Faiz pada Jannah lalu disambutnya dan kemudian menulis sesuatu ditangan Faiz. Ada yang tidak senang dengan gelagat mereka berdua.
“Woi Iz! Cepat la. Aku nak ke tempat lain lagi ni.” Haikal memanggil Faiz kerana Faiz menumpang motosikal Yamaha RXZ warna merah putih milik Haikal.
“Ok ok… Jap.”
“Awak, saya balik dulu ye… nanti saya mesej awak.” Kata kata Faiz membuatkan Jannah senyum dengan pipi kemerah-merahan.
Rumah Jannah tidaklah jauh dari rumah Fiza. Cuma selang tujuh buah rumah sahaja. Jannah hanya perlu berjalan kaki jika nak ke rumah Fiza.
“Fiza… aku balik dulu ye. Jumpa lagi nanti.” Jannah meminta izin untuk beransur dahulu.
“Ok… Hati hati…” Jawab Fiza ringkas.
************************
Di dalam bilik sebuah rumah.
Seseorang sedang memerhatikan dirinya sendiri disebalik cermin. Sekeping gambar dipegang dan diramas kuat.
“Tak guna kau! Aku depan mata kau, kau boleh menggatal dengan dia ye! Aku yang simpan perasaan kat dia selama ni boleh kau nak rampas macam tu je. Kau jangan ingat aku nak diamkan saja.”
“KAU NAK AKU TOLONG KAU KE? HA HA HA” Satu suara garau kedengaran memenuhi ruang bilik disusuli dengan gelak tawa.
“Hah!!! Kau siapa??” Hatinya resah dan jiwanya gentar mendengar suara itu.
“AKU ADALAH KAU… DAN KAU ADALAH AKU…HA HA HA HA”
“Apa yang kau nak dari aku?”
“AKU TAK NAK APA APA PUN DARI KAU… AKU CUMA NAK TOLONG KAU… HA HA HA HA.”
“Kau nak tolong apa?”
“AKU BOLEH TOLONG KAU DAPATKAN DIA ATAU AKU BOLEH TOLONG KAU BUNUH DIA. HA HA HA. APA JUA PILIHAN KAU… SALAH SEORANG DARI MEREKA AKAN JADI MILIK AKU… HA HA HA. DAN KAU AKAN JADI TUAN AKU.”
“Baiklah… Aku dah buat pilihan. Kau kena ikut cakap aku.”
“HA HA HA HA. BAGUS. HA HA HA HA”
Suara yang tadinya kedengaran garau hilang perlahan-lahan.
*******************************
Di rumah Mariam.
“Sayang… Termenung apa tu. Dari tadi lagi abang tengok sayang asyik termenung je. Ada sesuatu yang sayang fikirkan ke?” Haikal yang gusar melihat keadaan Mariam cuba mengambil tahu apa yang difikirkan Mariam.
“Tak ada apalah abang. Sayang cuma teringatkan persahabatan kita dulu. Seronokkan. Apalah yang jadi dengan Faiz sekarang. Fiza pulak senyap je. Jannah...”
“Dah la tu sayang. Semua tu jadi tu bukan kita yang rancang.” Haikal cuba memujuk.
“Entahlah abang. Sayang cuma rindukan saat dulu tu. Rindukan Jannah.”
“Sayang, dah la tu. Sayang tidur ye. Esok nak kerja kan. Abang nk ke dapur minum air sekejap. Sayang nak air tak?”
“Tak apalah bang saya tak dahaga.”
Pagi keesokannya.
Saat Mariam membuka pintu hendak ke tempat kerja, kakinya tersepak sesuatu. Mariam tunduk dan melihat objek apakah yang telah disepaknya itu.
“Abang… Abang…”
“Ye sayang… ada apa?” Haikal dari atas menyahut dan bergegas turun setelah dipanggil Mariam seakan-akan ada sesuatu yang berlaku.
“Abang cuba tengok ni.” Mariam menunjukkan sesuatu pada Haikal
“Sampan kertas? Kenapa dengan sampan kertas ni? Dulukan kita selalu main sampan kertas ni kan kat tali air kat kampung. Bila sayang buat?”
“Mana ada sayang buat. Sayang jumpa kat depan pintu ni. Bukan abang ke yang letakkan?” Soal Mariam.
“Bila masa pulak abang nak letak. Abang kan dari atas tadi.” Balas Haikal.
“Habis tu siapa yang letak kat sini?” Mariam musykil.
“Abaikan jelah sayang. Kita dah lambat nak gi kerja ni. Jomlah” Jawab Haikal.
Dalam perjalanan ke tempat kerja, otak Mariam ligat memikirkan kejadian pelik yang berlaku bermula dengan kemunculan Jannah berhampiran rumahnya dan juga sampan kertas di depan pintu rumahnya tadi. Curiga dengan perubahan tingkah laku Mariam yang dari awal tadi hanya diam membisu, Haikal memulakan perbualan.
“Yang… Awak ok tak ni? Diam je dari tadi. Apa yang awak fikirkan tu?” Soalan daripada Haikal mengejutkan Mariam yang leka dengan mainan mindanya.
“Tak ada apa apa bang. Sayang cuma terfikir pasal Jannah.” Jawab Mariam ringkas.
“Jannah dah lama meninggal sayang. Buat apa lg nak fikir pasal dia?”
“Macam ni bang. Abang ingat tak semalam masa sayang kat tingkap?” Mariam cuba ceritakan apa yang berlaku semalam pada suaminya.
“Ha…Ingat. Kenapa?”
“Sebenarnya…”
~ I have a pen… I have an apple… uhhh. Apple pen… I have a pen… I have pineapple… ~
Lagu nada dering telefon bimbit milik Haikal menghentikan perbualan antara mereka berdua.
“Sekejap ye sayang.”
Haikal menjawab panggilan penting dari rakan sekerjanya. Entah apa yang dibualkan antara mereka. Sedikitpun tidak dipedulikan oleh Mariam. Dalam fikiran Mariam hanyalah kejadian yang baru berlaku padanya. Dia pelik, kenapa baru sekarang semua ini terjadi. Kenapa tidak enam tahun yang lalu.
“Ha sayang, sampai mana kita tadi?”
“Tak apalah abang… Nantilah saya cerita. Lagipun dah sampai dah kat pejabat sayang ni.”
“Iyalah. Nanti petang abang datang ambik ye. Kalau ada apa apa yang penting nanti abang tempah uber untuk sayang kalau abang tak sempat ambil.”
“Ok abang. Apa apa bagitahu. Hati hati memandu.”
Mariam bersalaman dengan Haikal dan keluar dari Honda Accord putih milik Haikal. Gelagat pasangan ini sebenarnya diperhatikan.
Haikal memecut laju ke pejabatnya kerana pada jam 9.30 pagi dia kena menghadiri satu mesyuarat penting yang menentukan hala tuju kerjaya dan syarikat dia bekerja. Kesibukan kerjanya membuatkan dia lupa untuk tempah uber buat Mariam dan dia telahpun terlambat untuk mengambil isterinya itu. Haikal cuma sedar bilamana telefon bimbitnya bergetar menandakan ada panggilan masuk dari Mariam.
“Alamak… Aku lupa.” Haikal cemas. Risau jika Mariam menunggunya lama.
Beg kerja yang disandar tepi meja dicapai kunci keretanya disambar laju dari atas meja. Pantas kakinya berjalan ke pintu lif untuk ke parking lot bawah tanah. Sampai di tempat keretanya di parkir, pintu kereta terus dibuka dan tanpa memeriksa sekitar luar dan dalam kereta, enjin terus dihidupkan. Deruman kuat enjin kereta Haikal menunjukkan betapa dia kelam kabut untuk menjemput Mariam. Tanpa Haikal sedari, di tempat duduk penumpang terdapat sampan kertas yang telahpun dibuang oleh Mariam pagi tadi.
~He’s there in the dark, He’s there in my heart, He waits in the winds, He’s gotta play a part, trouble is a friend, Yeah trouble is a friend of mine.~
Nada dering lagu nyanyian Lenka berbunyi. Satu panggilan masuk diterima Mariam. Nama Fiza terpampang pada skrin saat dia melihat skrin telefonnya. Skrin telefon di gelongsorkan ke kanan menggunakan jarinya untuk menjawab panggilan.
“Hello… Yam, kau apa khabar? Lama tak dengar berita.”
“Hello Fiza… Aku macam ni la. Sihat seperti biasa. Kau apa cerita sekarang. Lepas aku kahwin kau terus senyap je.”
“Aku banyak urusan sedikit. Ni ada masa lapang aku teringat kat kau. Tu yang aku telefon kau. Kau kat mana ni? Macam bunyi kereta je kat belakang tu?”
“Aku kat tepi jalan ni. Dekat pejabat aku. Tengah tunggu Haikal datang ambil. Lambat pulak dia hari ni.”
Lama Mariam berbual dengan Fiza hinggakan dia tidak pedulikan tiga panggilan masuk dalam taliannya. Sehingga selesai dia bercakap dengan Fiza barulah dia sedar panggilan masuk dari nombor milik suaminya, Haikal. Lantas dia terus mendail semula nombor telefon suaminya itu. Panggilan pertama tidak dijawab. Sekali lagi dia cuba menelefon suaminya dan kali ini berjawab.
“Hello abang… abang kat mana ni? Lambatnya. Dah lama sayang tunggu ni.”
“Hello puan. Maaf, saya Inspektor Ridhuan bercakap. Saya harap puan bersabar dengan apa yang saya nak beritahu puan ni. Suami puan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori simen dan suami puan telahpun meninggal. Boleh saya tahu kat mana puan berada sekarang? Saya akan arahkan anggota saya untuk jemput puan ke sini.”
Jantung Mariam berdegup laju. Kakinya terasa longlai. Nafasnya tersekat-sekat dan airmatanya mula bergenang dan kemudiannya mengalir deras.
“Sa..ya.. de..kat.. pejabat saya ni.. tu…tuan. Di Kelana Jaya”
“Ok, puan tunggu di sana. Saya akan hantar anggota saya jemput puan sekarang.”
“Terima kasih tuan.”
Panggilan ditamatkan. Hanya tangisan yang kedengaran sementara tibanya mpv untuk menjemputnya. Mariam terduduk. Dunia dia terasa kosong. Bunyi kenderaan lalu lalang tidak lagi kedengaran baginya. Kehilangan suami tercinta secara tiba tiba tidak dapat diterima olehnya. Apatah lagi mereka berdua belum dikurniakan cahaya mata.
******************************
Mariam, Fiza dan Jannah menunggu tibanya dua jejaka di rumah Fiza. Janji yang dimeterai dua hari lepas untuk mandi sungai telahpun dibuat. Kini harinya telahpun tiba. Dari kejauhan kelihatan kereta milik Haikal bergerak laju ke rumah Fiza. Haikal meminjam kereta Nissan Grand Livina milik bapanya untuk memudahkan mereka bergerak.
Semua barang telah disediakan. Kononnya mereka nak berkelah terus kat sana nanti. Faiz dah pun ada dalam kereta bersama Haikal saat sampai di rumah Fiza. Turun saja Faiz dari kereta, nama Jannah yang mula disebut. Ada yang iri hati memerhatikan mereka berdua. Tanpa berlengah, mereka semua terus bergerak ke sungai.
Dalam perjalanan nak ke sungai tersebut, mereka perlu melalui tepi tali air yang selalu mereka bermain ketika dulu. Sedang asyik memandu, Haikal bersuara.
“Aikkk, jernih pulak air kat tali air ni hari ni. Dua hari lepas macam keruh je.”
“Ye kan… Jernih tu. Macam best je.” Fiza menyahut.
“Apa kata kita berhenti dulu kat sini. Lepak lepak, kalau nak mandi kita mandi la kat sini dulu. Lepas tu baru ke sungai. Lagipun masih awal lagi ni. Tengah hari kita gerak ke sungai? Macam mana?” Sambung Fiza
“Aku ok je Fiza. Tapi diorang ni pulak macam mana?” Haikal menjawab.
“Korang…boleh la kita lepak kat sini dulu.” Rayu Fiza.
“Kalau Jannah ok aku ok. Hehehe…” Balas Faiz
“Yelah, yelah… Kau ni mengada la Fiza.” Mariam terpaksa bersetuju. Bukannya apa, dia cuma tak suka ke sana dan ke sini untuk tujuan yang sama. Namun kerana ikutkan kehendak Fiza, dia beralah.
“Yes…” Ungkapan yang keluar dari mulut Fiza
Jannah tidak banyak bercakap dari awal tadi sehinggalah sampai di tali air tersebut. Haikal parking di tepi jalan kerana kawasan sekitas tali air itu tidak banyak tanah lapang untuk meletakkan kenderaan. Keluar je daripada kereta, Haikal terus berlari sambil menanggalkan seliparnya dan terjun ke tali air. Sememangnya Haikal telahpun mengenakan pakaian mandi ketika bersiap dari rumahnya lagi.
“Iz… Cepat la turun. Terhegeh hegeh apa lagi tu. Nak bercinta pun agak agak la.” Haikal menjerit memanggil Faiz terjun sekali.
“Jap… Kejap lagi aku turun.” Jawap Faiz ringkas.
Faiz jalan mengiringi Jannah. Surat khabar dan majalah lama dibawa oleh Fiza dan Jannah bertujuan untuk membuat sampan kertas. Mengimbau kenangan katanya.
Gedebush!!
Mariam terjun ke dalam tali air. Memang Mariam berperwatakkan kasar sedikit diantara ketiga-tiga gadis ini. Suaranya pun agak garau. Jadi tidak mustahil jika perangainya lebih kelakian. Tak lama kemudian Faiz menyusul. Mereka bertiga berseronok mandi mandi di tali air tersebut. Fiza dan Jannah sedang asyik membuat origami sampan. Setelah jumlah sampan kertas tu banyak, sedikit demi sedikit dilepaskan oleh mereka ke dalam tali air. Sedang asyik Jannah melepaskan sampan kertas, kakinya tergelincir dan jatuh ke dalam tali air. Jannah tidak pandai berenang. Fiza menjerit setelah melihat Janna terkapai-kapai di dalam tali air. Kedalaman tali air itu cukup untuk menenggelamkan sebuah lori.
“Faiz!!! Jannah!!! Jannah lemas!!!” Jerit Fiza.
Faiz yang terkejut terus berenang ke arah Jannah. Namun saat dia sudahpun hampir dengan Jannah, sempat dia melihat Jannah seolah-olah ditarik ke dasar tali air. Faiz menyelam untuk mendapatkan Jannah. Namun serta merta air tali air tersebut menjadi keruh. Faiz kemudian timbul semula untuk mengambil nafas semula. Berkali-kali dia dan Haikal menyelam dan timbul. Jannah tidak kelihatan. Saat Faiz hendak menyelam sekali lagi, Haikal menahannya kerana Haikal menyedari yang Faiz telah keletihan. Mereka kemudiannya naik ke tebing.
“Korang semua tunggu sini. Aku dapatkan bantuan. Iz kau jangan terjun lagi. Aku tak nak kau pulak hilang.”
Faiz hanya mampu menangis. Haikal berlari ke arah kereta dan terus memecut laju untuk mendapatkan bantuan. Fiza memeluk Mariam. Mereka bertiga menangis memanggil nama Jannah. Namun dalam tangisan tersebut, ada seseorang yang senyum sinis, gembira dengan apa yang berlaku.
Orang kampung mula memenuhi kawasan tali air tersebut. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan Bomba dan juga orang kampung namun jasad Jannah masih gagal ditemui. Sehinggalah datangnya seorang Ustaz membacakan sesuatu ketika jam sudahpun menghampiri 11 malam.
Selesai bacaan, Ustaz tersebut mengazankan sekitar kawasan tali air. Tidak lama kemudian kelihatan buih-buih udara keluar dari dalam tali air tersebut dan diikuti dengan mayat Jannah. Kesemua yang berada di situ terkejut kerana tempat timbulnya mayat Jannah adalah lingkungan kawasan pencarian akan tetapi mereka tidak menemui jasad Jannah ketika itu.
Faiz meraung saat mayat Jannah dinaikkan. Wajah Jannah bersih ketika itu. Faiz tidak dapat menerima kenyataan. Dia menangis dan meratapi kematian Jannah sehingga dia pengsan keletihan.
Urusan pengkebumian jenazah Jannah berjalan lancar. Tiada sebarang gangguan. Faiz tidak hadir saat jenazah Jannah dikebumikan. Hanya Haikal, Mariam dan Fiza yang mengadiri upacara tersebut.
Tiga bulan selepas kejadian, Faiz mula mengalami gangguan mental. Keluarganya seringkali melihat Faiz bercakap seorang diri dan dalam percakapannya itu, nama Jannah seringkali disebutnya. Sudah bermacam cara dibuat untuk merawat Faiz. Namun keadaanya tidak berubah. Bahkan semakin teruk. Faiz diisytiharkan gila. Tiga tahun kemudian, Faiz ditemui mati di tepi jalan raya. Dia dilanggar lari ketika dia merayau-rayau seorang diri.
**********************************
Tiga tahun berikutnya di lokasi Haikal kemalangan.
“Abang…...kenapa tinggalkan sayang abang…” Mariam menangis meratapi kematian suaminya, Haikal. Dia kemudiannya pengsan.
Keadaan Haikal ketika itu sungguh tragis. Kepala Haikal terbelah dua seakan ada sesuatu benda tajam yang membelahnya. Mayat Haikal kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk bedah siasat. Mariam yang pengsan turut sama dibawa ke hospital. Di sana keluarga Haikal dan Mariam telahpun berkumpul di hadapan perkarangan bilik mayat. Mariam yang sedar dari pengsan sekali lagi pengsan ketika melihat keluarga terdekatnya. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang suaminya telah tiada.
Pihak polis kemudian datang pada Mariam dan menyerahkan bungkusan berisi kesemua barang peribadi milik Haikal yang terdapat dalam kereta honda accord tersebut. Salah satu barang yang terdapat dalam bungkusan tersebut adalah sampan kertas.
Tiga tahun kemudian.
Setelah tiga tahun kematian suaminya. Mariam kembali kuat semula. Dia memandu sendiri kenderaan ke kedai buku dan keluar dengan membawa dua majalah di tangannya. Dia kemudian memandu kembali kerumahnya. Sampai sahaja di rumahnya, helaian majalah dileraikan satu persatu dan kemudian dilipat-lipat membentuk sebuah sampan. Malam menjelma, Mariam menghidupkan keretanya dan terus keluar meninggalkan rumahnya. Telefon bimbit dicapai. Applikasi Waze dibuka dan alamat rumah Fiza dimasukkan. Sesampainya di kondominium yang dituju Mariam terus masuk ke lobi dan menekan lif untuk ke tingkat 18.
Keesokan harinya, Fiza menerima satu mesej yang dihantar melalui applikasi Whatsapp daripada Mariam.
“FIZA, ESOK AKU NAK DATANG RUMAH KAU BOLEH?”
Fiza membalas
“Boleh… datang la. Aku dah lama tak jumpa kau.”
“OK.” Jawapan ringkas dari Mariam.
Keesokan harinya Fiza ditemui mati jatuh dari tingkat 18. Siasatan polis melalui CCTV menjumpai sesuatu yang ganjil. Pada jam 10 malam kelihatan Fiza membuka pintu rumahnya dan seolah-olah bercakap dengan seseorang dan memimpin seseorang masuk. Namun tidak kelihatan dengan siapa dia bercakap. Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.
Tiga tahun seterusnya.
SHAH ALAM: Mayat seorang wanita ditemui mati tergantung di dalam bilik rumahnya. Aduan daripada jiran berdekatan berkenaan bau busuk yang datangnya daripada mangsa membawa kepada penemuan mayat seorang perempuan yang dikenali sebagai Mariam Bt Samsudin tergantung di kipas bilik tidurnya. Polis mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia tiga hari yang lalu. Pihak polis mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai mati bunuh diri.
Pihak polis menemui satu nota ringkas yang ditinggalkan di atas meja solek bilik dimana mayat Mariam dijumpai namun nota tersebut dirahsiakan pada umum. Isi nota tersebut berbunyi.
‘Perjanjian ini sudah tidak mampu aku tanggung lagi. Biarlah aku menjadi cagaran.’
*****************************
Hari kematian Jannah.
Disaat Fiza memeluk Mariam, Mariam tersenyus sinis memerhatikan Faiz yang meraung seperti orang gila. 'Teman' Mariam yang menarik Jannah ke dasar tali air.
Hari kematian Faiz.
Mariam telahpun mengkaji gerak geri Faiz seminggu lebih awal. Di hari kejadian, Mariam memecut laju kereta milik Haikal dan melanggar Faiz lalu meninggalkan tempat kejadian. Mariam kemudian memaklumkan pada Haikal bahawa dia terlanggar kambing.
Hari kematian Haikal.
Mariam terlebih dahulu membuat ‘misscall’ pada Fiza dua jam sebelum dia habis bekerja. Panggilan dari Fiza tepat pada masa yang dia perlukan. Mariam mengarahkan ‘teman’nya untuk menguruskan Haikal hanya kerana dia melihat Haikal bersungguh-sungguh menyelam mencari Jannah dulu dan kerana ‘teman’nya memberitahu yang Haikal berhubung dengan Fiza dibelakangnya.
Sampan kertas yang dijumpai itu adalah dari tangannya sendiri dan dia berpura pura membuang sampan kertas tersebut dan meletakkan di tempat duduk penumpang. Lakonannya di lokasi kemalangan dan hospital sangat professional.
Hari kematian Fiza.
Mariam meletakkan sampan kertas dihadapan rumah Fiza sehari sebelum kejadian Fiza mati jatuh dari rumahnya. Malam kejadian ‘teman’ Mariam yang menguruskan segalanya.
Hari kematian Mariam.
Mariam sememangnya menyimpan perasaan pada Faiz dan dia cemburu melihat Faiz dan Jannah. Disaat jiwanya penuh dengan kebencian dan dengki, jin dan iblis memainkan peranannya dengan membuat perjanjian palsu pada Mariam. Mula-mula perjanjian hanya satu nyawa. Namun perjanjian ditukar dengan setiap tiga tahun satu nyawa perlu dikorbankan.
Mariam diperbodohkan syaitan hanya kerana keinginannya dirampas orang lain. Dia terpaksa bunuh Faiz kerana tidak mungkin Faiz akan jadi suaminya kerana Faiz disahkan gila. Maka Faiz menjadi mangsanya yang kedua. Perjanjian sekali lagi diubah selepas dia mendirikan rumah tangga bersama Haikal. Tubuhnya perlu diserahkan pada jin tersebut setiap kali dia datang bulan dan perjanjian asal tidak berubah. Haikal menjadi mangsanya yang seterusnya setelah difitnah oleh jin tersebut dan sasarannya untuk tiga tahun kemudian adalah Fiza.
Apa yang berlaku setelah tiga tahun kematian Fiza, perjanjian sekali lagi diubah. Mariam dikehendaki menyerahkan tubuhnya untuk kesemua kawan jin perjanjiannya dan dia dikehendaki menjamu jin-jin tersebut dengan darahnya. Akibat terlalu tertekan dan tidak mampu meneruskan perjanjian itu, Mariam membunuh diri.
-TAMAT-
Pengajaran Kisah:
"Wahai anak anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memeperlihatkan kepada mereka aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.
[Al A'raf : 27]
=====================
Suntingan dan Gambar: Kucing Kelabu
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
1 comment:
karya kucing kelabu tak pernah x best.
Post a Comment