Thursday, 7 December 2017

PANTANG LARANG - Iskandar Zulfaqar


PANTANG LARANG
Karya: Iskandar Zulfaqar
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Kisah yang akan aku ceritakan ini merupakan sebuah kisah benar yang terjadi kepada aku sendiri. Ketika itu, aku masih belajar di sebuah universiti awam. Semoga apa yang aku ceritakan ini menjadi iktibar dan pengajaran buat anda semua yang membacanya.
Aku dipilih oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewakili universiti dalam program sukarelawan siswa. Program berkenaan adalah bertujuan untuk memberikan bantuan kepada golongan Orang Asli di sebuah negeri. Ketika itu, negeri berkenaan dilanda banjir yang sangat teruk sehingga diisytihar darurat. Korang teka sendiri lah negeri mana.
Pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan keaktifan mahasiswa dalam kokurikulum dan juga pencapaian dalam akademik. Kebetulan pula aku memang seorang yang aktif dalam Kesatria dan memegang jawatan tertinggi dalam pertubuhan itu. Pencapaian akademik aku juga tidak kurang hebatnya. Boleh dikatakan setiap semester juga aku naik pentas menerima anugerah dekan.
Oleh sebab itulah aku dipilih. Selain aku, ada seorang lagi rakan aku dalam jurusan yang berlainan iaitu Amin turut dipilih. Aku hanya memanggilnya Meng. Meng memang beria-ia untuk menyertai misi bantuan tersebut sedangkan aku ada sedikit rasa resah di dalam hati.
Entah kenapa hati aku berat sangat untuk menyertai misi bantuan itu. Jika sebelum ini sebut sahaja misi bantuan, aku akan menjadi orang pertama mendaftar diri tetapi tidak kali ini.
Pada peringkat awal aku berfikir untuk menolak sahaja tawaran itu tetapi setelah difikirkan kembali, rugi juga kalau aku tidak pergi. Peluang sebegitu bukannya datang selalu. Lagipun banyak markah merit akan aku peroleh kerana mewakili universiti. Tanpa berfikir banyak lagi aku terus menerima tawaran itu.
Kami dibawa ke perkampungan orang asli dengan menaiki sebuah van. Selain aku dan Meng, terdapat ramai lagi mahasiswa lain daripada universiti yang berbeza. Aku dan Meng pun cuba-cubalah berkenalan dan bersahabat dengan mereka. Mereka semua juga sangat gembira kerana terpilih.
Semua orang gembira kecuali aku. Secebis rasa risau turut berkumandang di dalam hati aku kerana bak kata orang tua-tua, jika hati rasa tidak sedap, itu merupakan petanda sesuatu yang buruk akan berlaku. Aku membiarkan sahaja perasaan itu dan berpura-pura menidakkannya.
Kami tiba di perkampungan orang asli itu pada jam 3 petang. Memang teruk kampung itu dibadai bah besar. Banyak pokok-pokok besar yang tumbang menimpa rumah mereka. Jalan juga turut dihalang oleh pokok yang tumbang.
Ada juga beberapa buah rumah mereka yang tidak berbumbung kerana bumbung yang hanya beratapkan nipah telah diterbangkan ribut. Terdapat juga rumah mereka yang hanya diperbuat daripada batang-batang pokok musnah sepenuhnya.
Sayu juga hati melihat anak-anak kecil yang menangis kerana ketiadaan rumah. Mujurlah NGO yang membawa kami itu kebetulan merupakan sebuah NGO yang memang cekap dalam menguruskan bencana. Dua buah khemah bencana telah kami dirikan dan itu cukup untuk menampung mangsa yang kehilangan rumah.
Setelah selesai mendirikan khemah bencana, kami melakukan kerja-kerja yang lain seperti memotong pokok yang tumbang menghalang laluan, membersihkan sungai yang dipenuhi sampah akibat banjir serta mengedarkan makanan kepada semua mangsa yang terlibat. Mereka semua menerima kedatangan kami dengan baik dan berterima kasih kepada kami. Semua aktiviti membantu mangsa berjalan dengan lancar hari itu.
Namun, satu masalah telah datang. Kami dimaklum bahawa dewan orang-ramai yang sepatutnya kami gunakan untuk tidur malam itu tidak berada dalam keadaan yang baik. Bekalan elektrik telah terputus, tingkapnya juga pecah dan bumbungnya juga sudah berlubang akibat ditimpa pokok besar yang tumbang di atasnya.
Tok Batin menawarkan rumahnya untuk kami bermalam tetapi rumahnya kecil. Hanya cukup untuk menampung bilangan anggota NGO itu sahaja. Tok batin seterusnya menawarkan mahasiswa yang hadir untuk bermalam di sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Menurut Tok Batin, rumah itu merupakan milik seorang perempuan tua yang meninggal bulan lepas. Rumah itu kosong sejak kematiannya. Kami semua terdiam seketika.
“Kamu semua berani ke?” Tanya salah seorang anggota NGO.
“Kamu jangan risau. Saya akan baca jampi untuk halau segala semangat jahat yang ada. Kamu akan selamat.” Tok Batin cuba meyakinkan kami.
Kami meminta masa untuk berbincang. Pelbagai pendangan telah keluar daripada mulut kami dan setelah memikirkan tiada lagi tempat untuk bermalam, kami terpaksa bersetuju dengan keputusan itu.
Ketika waktu senja, Tok Batin telah dibantu oleh beberapa orang pengikutnya yang lain membuat ritual di rumah yang bakal kami bermalam itu. Beberapa tepak kemenyan telah diasapkan. Kemudian mentera yang tidak kami fahami dibaca oleh Tok Batin.
Pengikutnya pula berjalan mengelilingi rumah tersebut dengan membawa tempak kemenyan yang dipenuhi dengan asap. Mungkin itu cara mereka memagarkan rumah itu. Kami hanya memerhati sahaja ritual tersebut.
Seusai ritual dijalankan, Tok Batin mendekati kami untuk menerangkan beberapa pantang larang yang harus kami jaga sepanjang bermalam di situ. Tok Batin memaklumkan kepada kami bahawa ‘pagar’ yang dibuatnya itu akan runtuh sekiranya salah seorang daripada kami melanggar pantang larang tersebut.
Pantang larang yang pertama ialah kami tidak boleh meletakkan kasut di atas atas tangga rumah itu. Rumah itu ada tiang dan bertangga. Kami tidak dibenarkan sesekali meletakkan kasut di atas tangga itu.
Pantang kedua ialah kami tidak dibenarkan berkata-kata kesat kerana menurut Tok Batin ‘benda’ itu sangat tidak suka orang yang berkata kesat. Di dinding rumah itu juga terdapat patung berbentuk seekor burung kenyalang yang diukir daripada kayu.
Pantang kami yang terakhir ialah jangan sesekali menegur patung burung itu. Kami bersetuju untuk mengikut segala pantang-larang itu dan seterusnya kami dibenarkan masuk untuk berehat di dalam rumah.
Malam itu selepas solat Isyak, kami diarahkan untuk tidur. Kami perlu tidur awal kerana keesokannya banyak lagi kerja yang perlu kami lakukan. Oleh kerana keletihan, mudah sahaja kami melelapkan mata.
Namun ketika kami semua sedang beradu indah diulik lena, tiba-tiba sahaja kami terdengar bunyi dentuman kuat di atas bumbung seperti sesuatu yang besar jatuh ke atas bumbung itu. Semua terjaga.
“Biarlah. Takde apa-apa pun.” Zainal mahasiswa daripada universiti lain bersuara dan kembali baring untuk melelapkan mata.
Kami semua kembali merebahkan badan untuk meneruskan lena. Tiba-tiba, dentuman yang lebih kuat berbunyi. Kali ini bunyinya seperti petir yang menyambar bumbung.
“Kurang ajar! Aku nak tidur pun susah. Bodoh!” Zainal bangun dan menengking.
“Zainal! Kan Tok Batin dah cakap jangan cakap kesat.” Aku memarahi Zainal.
“Ya Allah! Maafkan aku kawan-kawan.”
Serentak dengan itu jugalah kami semua terdengar bunyi sesuatu mengetuk dinding.
Tok! Tok! Tok!
Bunyinya tidak ubah seperti orang sedang memaku dinding. Meng memberanikan diri membuka pintu untuk melihat dari mana datangnya bunyi itu. Setelah pintu dibuka, dia terperasan yang patung burung kenyalang sedang mematuk dinding kayu rumah itu.
“Burung tu yang mematuk dinding,” ujar Meng spontan.
“Meng, jangan tegur burung tu!” Aku memarahi Meng.
“Sorry woi! Aku lupa. Ya Allah!”
Tiba-tiba bunyi ketukan semakin kuat dan laju. Bunyi dentuman turut berkumandang di bumbung rumah itu. Seperti ‘benda’ itu seronok memainkan kami. Pada waktu itu jugalah kelibat seorang wanita tua muncul di hadapan pintu yang ternganga luas akibat tidak ditutup oleh Meng. Perempuan tua itu mengilai dengan kuat seperti pontianak.
Menggigil kami semua ketakutan. Sepotong ayat al-Quran pun tidak dapat dibaca kerana terlalu takut. Hilai tawa makhluk itu semakin lama semakin kuat dan nyaring. Itu sungguh melemahkan kami semua. Wajahnya juga sangat menyeramkan. Wajahnya seperti orang tua biasa tetapi rambutnya sangat panjang dan putih. Matanya pula semuanya putih, tiada biji mata.
Asri, seorang mahasiswa jurusan Al-Quran dan Sunnah dari sebuah universiti di utara tanah air terus bangun dan memberanikan diri melaungkan azan. Azan yang dilaungkan oleh Asri turut tersekat-sekat seolah-olah ada yang menutup mulutnya.
Sebaik azan selesai dilaungkan, makhluk itu terdiam. Asri membaca segala ayat ruqyah yang dipelajarinya dan meniup ke arah makhluk itu. Makhluk itu rebah dan menggelupur kesakitan.
Pada masa itu juga Tok Batin tiba dengan membawa sebatang kayu buluh tebal yang diikat dengan tiga tangkai bulu burung di hujungnya. Sambil membaca beberapa patah mentera dia menghunuskan buluh itu ke arah makhluk tersebut. Makhluk itu menjerit kesakitan dan akhirnya lesap dari pandangan.
Kami memohon maaf kerana melanggar pantang larang tersebut. Keesokan harinya, kami membaiki dewan orang-ramai dan menetap di situ. Kami juga memaklumkan kepada Tok batin bahawa kami tidak lagi berani tinggal di rumah itu. Sejak itu, kami tidak lagi menerima sebarang gangguan sepanjang misi itu berlangsung.
-TAMAT-
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: