ANAK MAMA ARI
=========================
RIHANNA
Aku mengenakan sikatan terakhir ke rambut. Secangkir senyuman aku berikan ke arah rupa aku sendiri di dalam cermin. Gigi aku yang rongak nampak jelas apabila aku tersengih sebegitu, baru tercabut semalam. Ah, aku tak kisah pun. Kata mama, itu perkara biasa untuk anak-anak gadis seusia aku. Apabila sudah besar, pasti akan menjadi seorang wanita yang cantik. Pandai betul mama memujuk aku semalam.
Aku menutup pintu bilik aku perlahan. Ketika aku hendak turun ke bawah, aku bertembung dengan Mak Long Maria. Dia memandang aku yang tercegat di muka pintu bilik aku itu, dengan mukanya garangnya. Cepat-cepat aku melangkah turun.
“Cantiknya anak mama!” puji mama lagi pagi ini sambil mencium pipi aku. Aku tersengih sahaja. Aku memang suka apabila dipuji mama. Pujian yang ikhlas, tulus dari hati.
Aku lantas melabuhkan punggung ke kerusi.
“Anak mama sekarang dah pandai bersiap sendiri. Dah besar.” Mama memuji lagi sambil menuang segelas susu ke dalam cawan.
“Mama masak apa hari ni?” aku menyoal.
“Bihun goreng je sayang.” Jawab mama lalu menuang sesenduk bihun ke dalam pinggan.
Aku santap penuh selera. Naluri seorang ibu barangkali, mama tersenyum melihat gelagat aku, anak gadisnya yang seorang ini. Ah, aku memang suka masakan mama. Walaupun sekadar bihun goreng bodoh – cuma ada sedikit hirisan kobis dan lobak, ayam yang dipotong dadu dan hirisan telur dadar - rasanya macam kau makan bihun goreng di hotel lima bintang. Air tangan ibu memang ajaib.
Kan best kalau papa ada waktu-waktu macam ni..
“Kau buat sarapan apa hari ini Ari?” Mak Long Maria turun ke dapur dalam keadaan yang sudah lengkap dengan pakaian pejabat. Ya, Mak Long tinggal bersama-sama kami. Dia belum berkahwin. Sebab itulah dia tinggal bersama-sama kami. Ada boyfriend tetapi entah kenapa masih belum berkahwin sampai sekarang.
Sejak arwah papa pergi tinggalkan kami..
Aku pandang ke arah potret perkahwinan mama dengan arwah papa yang melekat di dinding. Mereka lengkap berbusana ungu. Mama cantik sekali, papa pula kacak sangat. Sama cantik sama padan. Bagai pinang dibelah dua. Mereka berdua tampak mesra dan pandang mata mereka nampak ikhlas menyintai antara satu sama lain.
“Bihun goreng je, Long. Duduk lah sarapan dengan kami sekali.” Jemput Mama.
Mak Long yang ketika itu sedang mencicip air kosong ke mulutnya di depan peti sejuk, menjeling sekilas ke arah aku dan mama. Mukanya tampak sebal. Aku dapat lihat dia menggeleng kecil.
“Takpe lah. Aku ada hal, nak pergi bank pagi ni. Rushing. Hari ni aku kerja half day je. Tengahari nanti aku ingat nak masak-masak sikit. Ada orang nak datang.”
Laju sahaja Mak Long mengucup pipi mama sebagai ucapan ‘bye’. Aku hulurkan tangan untuk bersalam tetapi Mak Long langsung tak peduli. Mama Nampak. Dia sekadar membuat mimik muka minta aku bersabar dengan kerenah Mak Long. Mama tahu Mak Long memang tak suka aku.
“Siapa yang nak datang?” soal Mama ketika MakLong sudahpun memakai kasutnya di muka pintu.
“Adalah. Nanti kau tengok je lah siapa datang.” Jawab Mak Long lalu dia hilang dari pandangan.
Kereta yang dipandu mama meluru laju menuju ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Rhu. Untuk ke SK Tanjung Rhu, dua buah sekolah perlu kami tempuh. Acap kali itu juga kepala aku terintai-intai melihat gelagat kanak-kanak lain yang dihantar oleh ibu bapa mereka.
“Mama jangan lupa hari ni kena ambil report card ye.” Aku memesan.
“Iya, sayang. Mama ingat.”
Setelah bersalam dengan mama, dan satu kucupan sayang diberikan oleh mama ke pipi, aku turun dari kereta.
“Dalam pukul 11 nanti mama datang ye sayang.” ujar mama dari dalam kereta yang terbuka tingkapnya.
“Okay.” Jawabku lalu tersengeh lagi. Mama tergelak kecil melihat wajah aku yang tidak mempunyai sebatang gigi depan.
“Bye!” ujar mama.
“Bye, mama!” balasku sambil melambai tangan, lalu aku pandang sahaja kereta mama bergerak pergi.
Aku berjalan masuk ke perkarangan sekolah. Senyuman tak lekang dari bibir. Biasanya orang pertama yang akan aku sapa sudah tentulah Pakcik Zamri, tukang kebun sekolah yang pastinya sibuk menyiram pokok bunga berhampiran pintu masuk sekolah, di pagi-pagi begini.
Pakcik Zamri tidaklah terlalu tua. Mungkin usianya baru mencecah 30 tahun. Cuma jarak umur yang terlalu jauh antara aku dan Pakcik Zamri membuatkan aku senang memanggilnya ‘pakcik’.
Senyuman di bibir aku ni terus lekang apabila melihat wajah-wajah rakan sebaya yang ceria di pagi hari, bersalam dan mendapat kucupan kasih sayang dari lelaki yang bergelar bapa. Munirah dan bapanya. Siti dan bapanya. Kamarul juga dihantar oleh bapanya. Amira lagi seronok, dihantar oleh kedua-dua ibu bapanya.
“Rihanna!” rakan baik aku, Uqasha, menegur aku dengan riang.
Uqasha berlari-lari terkedek-kedek mendekati aku. Rambutnya diikat tocang dua menggunakan reben merah jambu. Beg sandang berwarna ungu, ada gambar Elsa pada poket besar di belakang, kelihatan berat tetapi masih kuat ditampung tulang empat keratnya.
“Sha! Awalnya sampai. Biasanya awak mesti sampai lambat.” tegur aku.
Kami kemudiannya berjalan menuju ke Blok B, kelas kami di tingkat 1.
“Mama tak ada kat rumah tiga hari. So, papa yang hantarkan. Kalau nak dengan papa, memang saya kena datang awal. Seronok jugak datang awal ni kan?” ujar Uqasha.
Senyuman aku sekali lagi memudar. Sedih lah bila dengar perkataan tu. Sebab, dari kecil aku tak pernah ungkapkan pada mana-mana lelaki. Lelaki bergelar bapa yang aku kenal hanya sekadar melekat pada dinding rumah. Pada potret.
Selalu jugalah aku berimaginasi bagaimanalah kalau aku mempunyai seorang lelaki yang bergelar bapa dalam hidup. Apa panggilan yang mungkin dia panggil.
Ayah? Seperti mana Kamarul memanggil bapanya.
Papa? seperti mana Uqasha memanggil bapanya.
Walid? Seperti mana Nur Amina memanggil bapanya.
Abi? Seperti mana Jannah memanggil bapanya.
Abah? Seperti Epi memanggil bapanya.
Atau mungkin Bapak, seperti mana Darus memanggil bapanya.
Bermacam-macam gelaran yang pernah aku dengar. Satu persatu aku simpan semat dalam kamus memori. Bagi aku, suatu hari nanti pasti akan ada seorang lelaki yang boleh aku panggil dengan gelaran-gelaran itu.
“Daddy!” Kelvin, budak Cina kacukan India memanggil seorang lelaki yang baru muncul di muka pintu. Lelaki tersebut kemas berkemeja dan kot, kasutnya berkilat dan tali lehernya kemas terikat. Kelvin terus bangun mendapatkan bapanya yang sedikit gendut.
Jam 11 pagi. Mama masih belum sampai. Rakan-rakan aku pula satu persatu sudah pulang.
“Uncle?” Hanif menegur seorang lelaki muncul selepas itu.
Hari ini hari kedatangan ibu bapa dan penjaga ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Dan dalam masa yang sama bersua muka dengan guru kelas, membincangkan mengenai prestasi setiap pelajar.
“Kenapa uncle yang datang? Ibu mana?” soal Hanif. Nadanya jelas menunjukkan dia tidak suka akan kehadiran lelaki itu.
Lelaki itu langsung tidak menjawab malah terus berjalan menuju ke arah Cikgu Ridwan yang baru sahaja tamat sesi pertemuannya dengan bapa Kelvin.
“Hanif, mari ke sini. Duduk sebelah bapa kamu.” Cikgu Ridwan memanggil Hanif.
“Uncle? Tak paham la. Kenapa pakcik dia yang datang?” soal aku kepada Uqasha.
“Tu bukan pakcik dia la. Mama saya cakap, tu suami baru Antie Melisa. Kan Antie Melisa dengan Uncle Hasnol dah bercerai.” Jawab Uqasha. Walaupun baru berusia 8 tahun, sudah pandai bergosip.
Uncle. Satu lagi gelaran yang aku temui hari ini. Tapi kenapa Hanif tak menggelar lelaki itu ayah? Sedangkan lelaki itu adalah suami kepada ibunya.
Satu persatu rakan-rakan aku dibawa pulang oleh ibu bapa masing-masing. Yang berbaki hanya beberapa orang sahaja. Sekejap-sekejap aku menjeling ke luar tingkap, melihat kalau-kalau mama ada. Namun, bayangnya pun tidak nampak. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Mama janji nak datang pukul 11.
“Assalamualaikum.” Seorang lelaki muncul lalu duduk di kerusi yang disediakan khas untuk bertemu dengan guru kelas 2 Amanah.
“Ye, encik ni bapa pelajar mana ye.” Soal Cikgu Ridwan.
“Saya bapa Rihanna.” Ujar lelaki tersebut.
Aku tersentap kebingungan.
“Rihanna. Mari sini, duduk sebelah bapa kamu.” Cikgu Ridwan memanggil.
“Cikgu, dia bukan ayah saya lah. Saya tak ada ayah. Mama cakap ayah saya dah tak ada.” Jelas aku.
Cikgu Ridwan pula kebingungan lalu dia menyemak senarai nama yang berada dihadapannya.
“Bapak! Bapak buat apa dekat sini? Kelas Ana kat sebelah. Kan Ana dah cakap malam tadi. 2 Bijak. Bukan 2 Amanah.” Gadis tembam yang juga mempunyai nama yang sama tapi berlainan kelas, memanggil bapanya.
Mama nampaknya tidak datang juga. Aku kesal dengan sikap mama hari itu. Apabila aku melangkah keluar dari pintu pagar sekolah, mama menyambut aku dengan muka ‘sorry’ nya itu. Mama rasuah aku dengan semangkuk ais krim dari McDonald. Terus hilang mood marah aku. Mudah betul aku dipujuk.
“Kenapa mama tak datang?” soal aku. Mama hanya diam dan fokus pada pemanduannya.
“Siapa ada kat rumah mama?” soal aku apabila melihat pintu rumah terbuka dan ada beberapa buah kereta di perkarangan.
“Mak Long nak buat makan-makan. Kawan-kawan dia lah tu agaknya.” Jawab Mama.
“Betul ke ma? Yeay!!” jerit aku lalu berlari menuju ke pintu.
***
ARIYANA
Pagi itu, aku siapkan bihun goreng. Arwah Malik memang suka makan bihun yang aku buat. Bihun goreng bodoh-bodoh je pun. Aku letak ayam dadu sikit, kobis sikit, lobak sikit dan hirisan telur dadar. Tapi, bodoh-bodoh pun, arwah Malik memang suka sangat-sangat. Diperturunkan genetiknya itu kepada Rihanna. Budak itu berselera makan bihun yang aku masak. Tergelak aku dibuatnya apabila melihat dia makan cukup lahap. Comel betul lah.
“Kau buat sarapan apa hari ini Ari?” Maria, kakak aku satu-satunya, turun ke dapur dalam keadaan yang sudah lengkap dengan pakaian pejabat. Dia tinggal bersama-sama kami. Dia belum berkahwin.
“Bihun goreng je, Long. Duduk lah sarapan dengan kami sekali.” Jemputku.
“Takpe lah. Aku ada hal, nak pergi bank pagi ni. Rushing. Hari ni aku half day je. Tengahari nanti aku ingat nak masak-masak sikit. Ada orang nak datang.”
Laju sahaja Maria mengucup pipi aku sebagai ucapan ‘bye’. Rihanna hulurkan tangannya untuk bersalam tetapi Maria langsung tak peduli. Aku nampak Rihanna macam sedih dengan sikap dingin Maria tu. Aku sekadar membuat mimik muka minta anak kecil kesayanganku itu bersabar. Sampai sekarang aku tak faham kenapa Maria tak suka pada Rihanna.
Sebab Rihanna ini anak Malik?
Aku tahu dulu Malik pernah bercinta dengan Maria tetapi jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Malik jatuh hati pada aku dan kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Mak dan Abah pun restu.
Maria awalnya memang menentang dan membenci aku dan Malik. Raya puasa, raya haji, ulangtahun perkahwinan Mak dan Abah, Maria langsung tak pernah balik menjenguk. Frust lah kekasih hati kahwin dengan adik sendiri.
Tetapi selepas kejadian yang meragut nyawa Malik, Maria nampaknya sudah boleh menerima aku. Cuma..Rihanna masih belum berjaya menempah tempat di hatinya.
“Siapa yang nak datang?” soal aku ketika Maria sudahpun memakai kasutnya di muka pintu.
“Adalah. Nanti kau tengok je lah siapa datang.” Jawab Maria lalu dia hilang dari pandangan.
Kereta yang aku pandu meluru laju menuju ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Rhu, tempat Rihanna bersekolah. Anak kecilku ini baru berada di tahun satu.
“Mama jangan lupa hari ni kena ambil report card ye.” Rihanna memesan.
“Iya, sayang. Mama ingat.” Balasku.
Setelah bersalam, satu kucupan sayang aku berikan ke pipi montelnya itu, sebelum dia turun dari kereta.
“Dalam pukul 11 nanti mama datang ye sayang.” ujarku dari dalam kereta yang terbuka tingkapnya.
“Okay.” Jawab Rihanna lalu tersengeh lagi. Aku tergelak kecil melihat wajah Rihanna yang tidak mempunyai sebatang gigi depan.
“Bye!” ujarku.
“Bye, mama!” balasnya sambil melambai tangan. Aku terus menekan pedal minyak dan meninggalkan Rihanna berjalan masuk ke pintu pagar sekolah.
Telefon bimbit aku berbunyi. Nama Along Maria terpapar pada skrin. Aku angkat.
Maria: Ari, kau kat mana?
Aku: Baru lepas hantar Rihanna pergi sekolah.
Maria: (Diam seketika). Balik rumah ye lepas ni. Tolong kemas apa yang patut. Tengahari ni kita ada tetamu.
Aku: Ya, aku tahu. Kau nak aku belikan apa-apa tak? Aku ingat aku nak ke pasar ni.
Maria: Tak apa lah. Aku dah beli semua semalam. Kalau kau nak pergi juga, beli untuk barang rumah harian biasa je lah.
Aku: Ye lah..
Maria: Jangan membazir beli barang banyak sangat. Kita tinggal berdua je.
Aku: (Terdiam seketika)
Maria: Ok lah. Aku dah nak masuk kerja ni.
Talian dimatikan. Aku masih lagi terkedu.
“Sampai macam tu sekali Maria tak sukakan Rihanna?” gumamku.
Aku terus memandu menuju ke pasar. Memang ini rutin harian aku sejak arwah Malik pergi. Aku akan ke pasar, Rihanna akan ke sekolah dan Maria akan ke tempat kerja. Arwah Malik banyak tinggalkan harta untuk kami dua beranak. Jadi, tak ada isu kalau aku tak berkerja. Maria, Abah dan Mak pun memang tak galakkan aku berkerja.
Mereka risau kalau aku buat perkara yang bukan-bukan.
Pernah satu hari, aku naik ke bumbung bangunan pejabat aku yang ada 14 tingkat itu. Rooftop itu sunyi. Ye lah, siapa yang nak naik ke atas itu.
Aku duduk di birai. Kaki aku, aku lunjurkan ke bawah. Dari situ aku dapat lihat pemandangan kota yang sibuk. Masing-masing terkejar-kejar dengan masa. Angin petang bertiup sepoi. Rasa nyaman. Di tangan aku terkepitnya sebatang rokok antara jari telunjuk dan jari hantu.
Asap yang aku sedut dalam-dalam, aku lepaskan ke udara. Nikmat. Aku rasa macam bebanan hidup aku hilang seketika.
Tidak lama selepas itu, aku nampak orang ramai riuh menjerit-jerit di bawah. Aku pandang sahaja mereka. Mereka umpama semut. Berkumpul beramai-ramai di bawah sana. Pandangan mata aku kabur sedikit ketika itu. Mungkin sebab baru lepas menangis dan kepala aku tengah terbang tinggi.
Beberapa orang lelaki lengkap memakai uniform celoreng oren datang mendekati aku dari belakang. Mereka berkata-kata sesuatu pada aku tetapi aku langsung tak faham. Dengar macam dengung-dengung sahaja.
Aku ketawa. Aku gelak. Aku rasa mereka semua ini kelakar. Aku rasa macam nak terbang. Aku bangun dari duduk. Aku melompat-lompat di birai rooftop tu. Seronok. Rasa macam nak terbang.
Sehinggalah ada seorang lelaki datang menyambar aku dengan laju. Dia memeluk aku erat. Aku meronta-ronta minta dilepaskan tetapi dia memegang aku lebih kuat. Mata aku makin kabur. Namun, dalam kabur-kabur itulah aku nampak Malik sedang berdiri di satu sudut sana. Memandang aku sayu. Dia sedang memimpin tangan anak gadis kami.
“Banyak beli daging hari ni?” Pakcu Nusi, tokey daging fresh dekat pasar, menegur aku, menghentikan ingatan aku terhadap kisah lama. Aku memang kerap datang ke pasar ini. Hampir semua peniaga aku kenal.
Lagipun, lepas kes dekat rooftop tu, siapa tak kenal aku? Hahahaha
“Ada orang nak datang rumah tengahari ni. Nak masak lebih sikit.” Jawabku.
“Ikan bawal ada tak tokey?” soal aku kepada tokey gerai ikan di sebelah.
“Ada. Tinggal semangkuk ini sahaja.”
“Boleh lah. Kasi la semua tu. Anak saya Rihanna suka betul makan ikan bawal goreng kicap.” Jelasku.
Tokey gerai ikan itu memandang aku pelik. “Sepuluh ringgit dah la.” Ujarnya sedikit gagap.
Aku hentikan kereta di tepi jalan, betul-betul di depan bangunan 14 tingkat yang pernah aku bekerjaya di dalamnya dahulu. Ah, rindu pula rasanya nak bekerja semula.
Dekat situlah aku kenal Malik. Aku freshie lagi ketika itu manakala Malik adalah senior aku. Malik memang suka kacau aku dekat tempat kerja. Buli aku suruh fotostat macam-macam. Tapi, senakal-nakal Malik, kadang-kala dia tu sweet juga. Suka belanja aku makan tengahari.
Dari sekadar kawan, kami akhirnya menjalinkan hubungan cinta. Berkahwin dan ada anak. Kami namakannya Rihanna.
Tapi..
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Azan berkumandang dari corong speaker masjid berdekatan. Aku lihat jam di tangan. Dah pukul 1.05 tengahari.
“Alamak! Rihanna!” rungutku lalu segera aku menekan pedal minyak menuju ke SK Tanjung Rhu.
***
MARIA
Ketika aku keluar dari bilik mandi, aku terdengar pintu bilik, yang dulunya pernah didiami oleh anak Ariyana, berbunyi. “Kletup!” bunyi pintu terkatup tutup. Aku pandang ke arah pintu bilik itu. Ya, memang ia bergerak dan terkatup tutup. Bulu roma aku mula naik remang tapi aku gagahkan juga melangkah ke situ. Tombol pintu aku pulas lalu aku jenguk kepala ke dalam. Kosong. Dan kemas seperti selalu. Cuma mungkin sedikit berhabuk sebab sudah lama tidak diguna oleh sesiapa.
Selesai bersiap untuk ke pejabat, aku menapak turun ke bawah. Ketika aku melangkah anak tangga itu satu demi satu, aku dapat dengar Ariyana sedang berbual dengan seseorang. Apabila aku sudah sampai ke bawah, aku lihat Ariyana sedang duduk menjamu sarapan yang dimasaknya. Sendirian.
“Kau buat sarapan apa hari ini Ari?” soal aku lalu menuju ke peti ais. Air kosong aku tuang ke dalam cawan.
“Bihun goreng je, Long. Duduk lah sarapan dengan kami sekali.” Ariyana menjemput.
Aku pandang sekilas ke arah Ariyana ketika mulut aku sedang sibuk mencicip air kosong. Kami? Apa yang dimaksudkannya dengan kami? Aku geleng kecil. Ariyana masih sebegitu. Tak pernah move on.
Aku pandang sahaja pinggan yang dipenuhi dengan bihun goreng di kerusi sebelah Ariyana. Entah untuk siapalah tu. Untuk ‘Rihanna’ barangkali.
“Takpe lah. Aku ada hal, nak pergi bank pagi ni. Rushing. Hari ni aku kerja half day je. Tengahari nanti aku ingat nak masak-masak sikit. Ada orang nak datang.” Jelasku.
Laju sahaja aku mengucup pipi Ariyana sebagai ucapan ‘bye’. Ketika itulah bulu roma sebelah kanan tangan aku tiba-tiba meremang. Cepat-cepat aku terus menapak menuju ke pintu depan. Laju sahaja aku menyarung kasut.
“Siapa yang nak datang?” soal Ariyana.
“Adalah. Nanti kau tengok je lah siapa datang.” Jawabku tergesa-gesa.
Aku yakin dengan keputusan aku kali ini. Kalau sebelum ini, aku rasa takut-takut. Tapi, kali ini aku pasti aku tak buat keputusan yang salah.
Doktor sahkan Ariyana sudah sihat seratus peratus. Tetapi, aku yang tinggal bersama-sama dia selama ini, aku tahu lah yang Ariyana itu masih belum sihat.
Dia suka berbual sendirian, masak makanan lebih-lebih kononnya untuk anak dia Rihanna.
Aku risau kalau hal ini jadi makin parah. Aku risau benda yang tak ada, tiba-tiba jadi ada, sebab Ariyana asyik menyeru dan menganggap mereka ada. Lihat sahaja pagi tadi. Siapa yang tutup pintu bilik arwah Rihanna tu?
Sebelum aku ke pejabat, aku singgah di gerai di seberang jalan bertentangan dengan pintu pagar SK Tanjung Rhu. Aku nak beli nasi lemak. Lapar pula tak makan sarapan bihun Ariyana tadi.
Ketika itulah mata aku terlihat kereta Ariyana berhenti di depan pintu pagar sekolah. Dia bercakap sendirian. Melambai-lambai dan tersenyum ke arah SK Tanjung Rhu.
Apabila keretanya sudah memecut pergi, aku capai telefon bimbit lalu terus menelefonnya.
Aku: Ari, kau kat mana?
Ariyana: Baru lepas hantar Rihanna pergi sekolah.
Aku: (Diam seketika). Balik rumah ye lepas ni. Tolong kemas apa yang patut. Tengahari ni kita ada tetamu.
Ariyana: Ya, aku tahu. Kau nak aku belikan apa-apa tak? Aku ingat aku nak ke pasar ni.
Aku: Tak apa lah. Aku dah beli semua semalam. Kalau kau nak pergi juga, beli untuk barang rumah harian biasa je lah.
Ariyana: Ye lah..
Aku: Jangan membazir beli barang banyak sangat. Kita tinggal berdua je.
Ariyana: (Terdiam seketika)
Aku: Ok lah. Aku dah nak masuk kerja ni.
12.00 tengahari.
Pintu pagar tertutup rapat. Grill dan pintu rumah terkunci. Ariyana tak ada di rumah. Ish, budak ni pergi mana pula.
Tapi, aku tak perlu risau. Ariyana tu nampak je macam tak sihat tapi aku yakin dia masih waras untuk jaga diri.
Aku terus menuju ke dapur. Hidupkan api dan mulakan aktiviti memasak. Baju kerja pun aku tak tukar. Aku lipat je lengan kemeja itu sehingga ke paras siku.
“Assalamualaikum!” suara Mak kedengaran dari luar setelah sejam aku bertungkus-lumus di dapur.
“Waalaikumsalam. Masuk lah Mak, Abah!” Sahutku. Aku perlahankan api lalu menapak ke ruang tamu. Mak dan Abah tersengih di muka pintu. Laju sahaja aku menghulurkan salam.
Ketika itulah aku nampak seorang lelaki di belakang mereka.
“Ni abah nak kenalkan..Doktor Syakir. Doktor Psikiatri yang abah cakap tu.” Jelas Abah. Jadi, inilah doktor pakar sakit otak yang abah cakap nak tolong ubatkan Ariyana tu. Handsome.
“Hai doktor. Maria.” Aku memperkenalkan diri lalu menghulurkan salam. Aku tersengih-sengih malu.
“Hai, Maria. Nice to meet you.” Dia membalas salam aku.
“Abah, Mak, Doktor duduk lah dulu. Maria siapkan lauk sekejap. Ariyana entah keluar ke mana tak balik-balik lagi. Maria dah suruh dia duduk rumah je tapi dia nak jugak keluar. Pergi hantar Rihanna sekolah lah, nak pergi pasar beli ikan lah. Teruk sangat dah budak tu.” Aku membebel sambil menutup api di dapur.
Abah, Mak dan Doktor Syakir saling berpandangan. Muka mak macam nak menangis tetapi dia tahan.
“Teruk sangat dah ni doktor. Adik dia, si Ariyana tu, dah setahun meninggal. Ariyana tu tak pernah berkahwin pun. Tengok sekarang, dia dah cipta watak Rihanna dengan Malik pula.” Jelas Abah kepada Doktor Syakir.
Aku dengar apa yang abah cakap pada Doktor Syakir itu. Sampai hati abah memburuk-burukkan aku depan doktor handsome tu.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Dada aku rasa sakit. Sakit yang sama seperti setahun dahulu. Sakit yang sama ketika aku dapat berita Ariyana jatuh dari Tingkat 14 bangunan pejabatnya. Kakak mana tak sayang adik?
Tak! Ariyana tak mati. Dia ada bersama aku selama ni. Tinggal dengan aku. Buatkan sarapan, berbual-bual ketika sunyi, tengok movie sama-sama. Bukan aku yang gila. Ariyana yang gila. Dia selalu cakap pasal Rihanna. Anak dia yang dah mati bersama-sama Malik tu.
“Pada pemerhatian saya secara kasar ni, memang nampak lah simptom-simptom skizo tu pada dia.” Ujar Doktor Syakir pula kepada abah.
Aku rasa air mata macam nak mengalir keluar tapi aku tabahkan hati. Cuba untuk kawal. Mungkin aku salah dengar. Mungkin yang keluar dari mulut abah dan Doktor Syakir tu adalah Ariyana, bukan Maria.
Sabar Maria, sabar. Kau sihat! Kau sihat!
Aku capai pisau. Aku tersengih memandang ke arah lauk yang baru masak.
“Rasa nak cuba resepi baru.” gumamku.
-Tamat-
=========================
ANAK MAMA ARI
© Wan SC
Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
1 comment:
OMG.. dgn aku sekali psiko bace cite ni.. thumbs up.
Post a Comment