Wednesday 20 December 2017

BUAYA - Xander Xavier


BUAYA
Karya Oleh Xander Xavier

===========================
Awal 1900, Sarawak
Tersebutlah kisah yang datangnya dari bumi kenyalang. Seorang pahlawan gagah tiada tandingan. Suku Iban asal usulnya. Segala lawan gerun mendengar nama. Peperangan dan pergaduhan bagaikan hanya satu permainan. Kata orang, kekebalan itu miliknya. Kekebalan yang didapati secara rahsia. Namun…
Kekebalan hanya sementara. Kasih dan cinta yang melumpuhkannya. 
Simalungun adalah lagenda di dalam dunia mengayau (tradisi penggal kepala). Banyak kepala yang sudah dipenggal. Musuh menjadi gundah-gulana. Entah bila dia akan dapat ditewaskan. Datang seorang pemuda dengan akal jahat memberikan fikiran buat musuh. Isteri tercinta ditangkap bagi mengumpan sang pahlawan. Perkhabaran diutuskan untuk Simalungun.

Mendengar berita itu maka bergegarlah jiwanya, maraklah api kemarahannya. Takkan ada yang akan terlepas daripada Simalungun. Dia akan menangkap orang yang cuba bermain-main dengan dirinya. Isteri tercinta bukanlah satu permainan. Hutan belantara bukan lagi cabaran. Nyawa kesayangan menjadi taruhan.
Ketibaan sang pahlawan sudah ditunggu oleh musuh. Kesepakatan dicapai bagi membebaskan isteri Simalungun. Sang pahlawan terpaksa menyembunyikan kepahlawanannya. Tapi, hati manusia memang busuk. Sang isteri ditombak mati saat berlari ke dakapan Simalungun. Berderailah hati pahlawan. Gugurlah air mati kasih sang pencinta.
Jiwa perkasanya kembali lagi. Dia harus menghapuskan semua keparat ini. Sabit dikeluarkan perlawanan bermula. Libasan demi libasan hampir sahaja mengenai musuh. Tendangannya beberapa kali menemui dada lawan. Namun, mereka bangkit tidak melawan… Hanya menggelak… Kenapa ?
Tanpa disedari perlawanan dan pergelutan ini semakin menghampiri sungai. Kaki Simalungun telah berada di dalam air. Di saat inilah musuh secara beramai-ramai menghabisi nyawa sang pahlawan. Saktinya hilang apabila terkena air sungai. Kasihnya dikhianati isteri sendiri. Isteri Simalungun telah memberitahu musuh kelemahan sang suami. Dia tewas. Tewas kerana cinta.
Dalam hembusan nafas yang semakin menyempit, Simalungun merangkak ke arah isterinya. Tangan mereka bersatu seperti bersatunya jiwa mereka. Simalungun terlalu sayang akan sang isteri. Lebih menyeksakan apabila jasad sang pahlawan disula terbalik dan dicampakkan ke dalam sungai bersama mayat isterinya. Kelihatan anak muda pengecut pemberi akal bersembunyi di balik pohon dengan senyuman…
Tapi, senyuman itu tidak lama. Sebaik sahaja kumpulan musuh meninggalkan kawasan sungai, sesuatu yang menakjubkan berlaku. Pemuda pengecut yang masih bersembunyi itu menyaksikan semuanya. Dia berundur beberapa tapak dan berlari ke arah kampung. Dia takut. Sangat takut.
--------------------------------------------------------
Tahun 1992, Kuala Lumpur.
Azhar terjaga dari tidurnya. Sudah tiga kali dia memimpikan perkara yang sama. Adakah ini satu petanda. Ah… Karut semua itu! Dia bangkit daripada tempat tidur dan mencapai jam tangan yang diletakkan di atas meja. Pukul 6.30 pagi. Dia harus segera ke tempat kerja. Bekerja sebagai seorang wartawan mesti sentiasa awal. Awal yang sebenar-sebenarnya awal.
Usai solat subuh tadi Azhar terus bertolak ke pejabat kerana tadi malam dia ada menerima pesanan ringkas daripada editor untuk datang awal pagi ini bagi menemuinya. Baru sahaja dia ingin melabuhkan punggung ke kerusi, dia ditarik oleh editor masuk ke dalam bilik mesyuarat. Nasib baik tak tersungkur dek kelajuan langkah En Sulaiman yang memang terkenal sebagai ‘The Flash’ syarikat akhbar itu.
“Saya nak awak pergi Sarawak. Hari ni juga!” En. Sulaiman memang erat bahu Azhar.
“Ha?! Apa ni Encik? Biasa encik bagitahu awal, kalau nak kena ‘fly’..,” Azhar sedikit terpinga-pinga.
“Tak, tak… Awak dengar sini. Firasat saya menyatakan bahawa Bujang Senang tu akan mati kali ni. Jadi saya nak ‘cover’ cerita ni,” lelaki berusia lebih separuh abad itu kelihatan sangat bersungguh-sungguh. Dia seperti terlalu banyak berfikir dan mahukan jawapan malah, rambut dan janggutnya juga kelihatan lebih putih daripada kebiasaan.
“Tapi, kitakan ada wartawan dekat sana. Kenapa mesti saya?” Azhar masih ragu-ragu dengan keputusan En. Sulaiman.
“Itu dia masalahnya… Ini rahsia, jangan diceritakan pada sesiapa,” lelaki tua dengan tali leher berwarna biru itu melepaskan genggaman tangannya pada bahu Azhar dan duduk di kerusi.
“Dulu saya ada pergi ke Batang Lupar untuk buat laporan berkenaan Bujang Senang ni tapi, saya tak dapat teruskan atas sebab-sebab tertentu. Saya dah hampir dapat kunci tentang Bujang Senang ni, tapi saya rasa bukan saya orang yang layak untuk ‘bertemu’ dengannya. Saya betul-betul yakin dengan firasat saya kali ni. Saya tak tahu kenapa… Saya rasa awak yang paling layak. Boleh ya? Mesti cerita ni akan menjadi perhatian. Zakaria akan menyusul kamu kemudian. Isteri dia bersalin tadi.” En. Sulaiman berdiri dan menepuk bahu Azhar beberapa kali sebelum berlalu pergi.
“Memanglah atuk aku orang Sarawak tapi cakap bahasa Iban pun aku tak reti,” Azhar menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Keesokan harinya Azhar mendarat di Lapangan Terbang Miri pada pukul 5 petang. Untuk sampai ke perkampungan berdekatan Batang Lupar memerlukan masa lebih daripada 12 jam. Tanpa melengahkan masa lagi, perjalanan Azhar diteruskan bagi mencari kereta sewa.
Perjalanan yang sangat memakan masa itu berjaya diteruskan. Azhar menginap di rumah panjang seorang kenalan En Sulaiman. Tuai rumah panjang itu memberikan bilik yang paling selesa buat Azhar. Mereka menyambutnya mesra. 
Sehari suntuk Azhar tidur kerana kepenatan yang teramat sangat. Dia hanya sedar setelah dikejutkan oleh tuai rumah bila tiba waktu makan.

Usai menjamu selera, Azhar duduk-duduk di bangsal rumah panjang tersebut. Dia dikejutkan dengan sentuhan di bahu kanannya. Segera dia berpaling. Seorang lelaki tua memakai baju tanpa lengan berwarna putih memandang tepat ke arah anak matanya. Mukanya yang cengkung jelas memaparkan riak terkejut.
“Palo! Palo!” Lelaki lebih separuh abad itu menggenggam bahu Azhar sambil mengeluarkan suara serak.
Azhar kaget. Dia kejung tidak bergerak. Teriakan orang tua itu semakin kuat. Beberapa lelaki cuba menenangkan orang tua berkenaan. Mereka membicarakan sesuatu dalam bahasa Iban. Orang tua itu dibawa masuk ke dalam rumah panjang. Seorang lelaki menghampiri Azhar dan berdiri di sampingnya.
“Maafkan datuk itu. Dia fikir kamu salah seorang sahabatnya dahulu. Katanya mukamu sama dengan sahabatnya yang dibaham buaya. Dia menasihatimu agar jangan berada dekat dengan sungai,” jelas seorang remaja yang kelihatan seperti baru belasan tahun.
“Adik, boleh tolong abang tak?” Azhar ingin mencuba nasib.
“Besok bawa abang jalan-jalan dekat sekitar sungai ni, boleh?” Anak muda itu tersenyum dan mengangguk.
Seperti yang dijanjikan, pukul 9 pagi selepas bersarapan mereka terus bergerak menaiki sampan yang dikayuh oleh remaja yang mahu dipanggil Gary itu. Gary tidak pernah ke sekolah, jadi waktu sehari-harinya hanya dipenuhi dengan bekerja dan bermain. Kehidupan masyarakat di sini sangat ringkas. Sumber makanan boleh didapati di mana-mana sahaja. Suasananya juga tenang dan damai. Jauh sekali dengan yang di bandar. Udara bersih, pepohon hijau dan haiwan-haiwan masih hidup dengan rukun. Azhar menarik nafasnya panjang. Membiarkan udara bersih mengisi ruang peparunya.
“Abang nak cari apa dekat kampung kami ni?” Gary bingung sebenarnya dia tidak tahu mahu dibawa ke mana tetamunya ini.
“Abang nak cari Bujang Senang. Gary tahu dekat mana?” Azhar berkata jujur. Terus berubah pucat muka Gary.
“Husy, abang! Jangan minta yang bukan-bukan dekat sungai ini. Mulut kena jaga, bang. Takut saya ni,” Gary memandang sekeliling.
“Gary tahu tak macam mana nak cari Bujang Senang?” Azhar bertanya lagi.
“Saya tak tahu, bang. Tapi kata datuk saya yang semalam itu, bujang senang ada garisan putih di belakang badan. Dulu nampak itu manusia berubah jadi buaya. Datuk sembunyi dekat balik pohon. Sejak itu datuk saya tak turun sungai,” susah payah anak muda itu bertutur dalam bahasa melayu.
“Ooo… Tak apalah. Gary bawa abang pusing-pusing sini je dulu. Abang nak jumpa dengan nelayan-nelayan dekat sini. Abang nak cari maklumat. Nanti malam abang jalan sorang-sorang.” Azhar yang bertubuh kekar itu cuba memberikan pandangan walaupun dia tahu sebenarnya untuk keluar sendirian pada malam hari bukanlah satu idea yang bijak.
Gary hanya mengangguk walaupun mukanya agak kelat. Senyumannya juga sedikit pahit. Mungkin pelik dengan Azhar yang lain macam. Dayungan diteruskan. Azhar sekali-sekala membantu mendayung. Namun seringkali ditegah kerana Gary sangat menghormati tetamu. Atau… mungkin juga kerana sampan yang hanya berpusing di satu tempat setiap kali Azhar cuba membantu.
Lima orang nelayan ditemubual oleh Azhar sebelum pulang semula ke rumah panjang. Namun, kecewa. Tiada info yang dia inginkan. Malam itu setelah makan malam dan memberitahu tuai rumah, Azhar berlalu dan menyusuri tebing sungai Batang Lupar. Pada mulanya tuai rumah agak keberatan untuk membenarkan Azhar melaksanakan rancangannya tetapi setelah diberikan alasan pekerjaan oleh Azhar, dia akhirnya terpaksa akur.
Dingin malam menyelimuti tubuh Azhar. Embun malam yang menyelubungi dirinya kini memberikan satu sensasi yang aneh. Azhar merasakan dirinya seperti… berada di rumah. Berbekalkan cahaya daripada lampu picit dia menyelami malam. Setiap langkahnya bagai dipanggil. Dia tidak tahu ke mana kaki ini bergerak dan melangkah. Hatinya mengatakan di sinilah jawapan manakala minda mengatakan dia di tempat yang… salah.
Hatinya tidak enak. Dari kejauhan kelihatan seseorang di atas sampan. Azhar memerhatikan setiap pergerakannya. Orang itu berdiri dan mengangkat lampu gas ke paras muka dan memindahkan kedudukan lampu itu ke tengah sampan. Itu datuk yang mencengkam bahunya kelmarin! Azhar tertarik. Dia terus memerhati.
Datuk itu memakai baju yang kelmarin dan menangis teresak-esak. Dia berkali-kali mengulangi kata maaf dalam bahasa Iban. Dia juga berkali-kali mengulangi kata ‘aku salah’. Seharian bersama Gary membuatkannya mahir memahami bahasa Iban. Mungkin juga kerana darah yang mengalir di dalam badannya.
Tiba-tiba, seekor buaya gergasi melompat keluar daripada air dan membaham datuk tua yang berada di atas sampan! Azhar melihat segalanya kerana malam itu bulan agak terang. Dia tergamam. Beberapa saat selepas itu, Azhar terjun cuba menyelamatkan pak tua tadi. Walaupun dia tahu dia tidak akan menang tapi dia tidak sanggup melihat jasad pak tua itu hancur dimamah sang bedal.
Tidak lama kemudian, kocakan air kelihatan bergerak pantas ke arahnya. Dia cuba berenang kembali ke daratan. Segala kekuatan dikerah. Kakinya seakan-akan beku. Libasan ekor buaya gergasi itu mengenai Azhar dan dia tenggelam ke dalam air. Gelap… Pandangannya gelap.
Azhar membuka matanya perlahan. Pedih. Dia di dalam air ! Tapi… dia boleh bernafas. Badannya seakan-akan terapung. Dia tidak sejuk. Rasa hangat menyelubungi suasana di sekitarnya. Sedang dia tertoleh-toleh seekor buaya gergasi muncul di hadapan matanya. Azhar mahu mengundur tetapi tidak boleh.
Buaya itu mengitarinya beberapa kali. Badan yang berkilau itu memberikan rasa gerun kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Bola matanya bersinar. Kuku dan giginya lebih tajam daripada pisau yang mampu membunuh. Matanya tertancap pada sesuatu! Ada garisan putih di belakang badan makhluk gergasi itu. Dalam ketakutan Azhar tiba-tiba…
“Kau berbeza dengan Palo walaupun rupamu kelihatannya sama. Kau berani dan baik hati. Orang tua itu milikku. Dia bayaran dendamku! Kau tidak sepatutnya berada di sini. Keturunanmu itu kembarnya Palo tetapi sikapmu jauh berbeza. Baumu sama seperti musuhku itu. Sayang sekali aku tidak akan membunuh orang yang tidak mencari masalah denganku. Pulanglah engkau” suara itu kedengaran saat sang gergasi masih mengitari Azhar. Entah dari mana datangnya suara itu. Dan suara itu menghilang sebaik sahaja sang gergasi berlalu pergi.
Azhar tersedar. Pipinya terasa ditampar-tampar. Azhar terbatuk beberapa kali. Ramai orang memandang tepat ke arahnya. Azhar duduk. Gary memeluknya erat.
“Abang tak mati. Abang tak mati,” remaja itu menangis dipelukkannya.
“Kami jumpa kamu tersangkut di belukar. Ramai yang fikir kau sudah meninggal seperti datuknya Gary. Kau sembunyi-sembunyi keluar rumah tadi malam dan turun ke sungai ini kenapa? Nasib kau masih bernafas, lalu kami bawa ke sini,” seorang nelayan yang ditemubualnya semalam berkata.
Azhar memandang sekeliling. Dia kini berada di tengah-tengah rumah panjang. Tuai rumah berada di sampingnya. Dengan lembut lelaki berusia 50-an itu memegang bahu Azhar lalu berkata,
“Kamu merasakan tempat ini seperti rumahmu bukan? Tetapi ada yang tidak suka di sini. Pulanglah ke tempatmu, nak...”
Beberapa hari kemudian Azhar pulang semula ke Kuala Lumpur. Usai mendarat dia menelefon ayahnya. Dia hanya inginkan kepastian.
“Hello, Assalamualaikum. Ayah. Har nak tanya sesuatu, boleh?” Azhar duduk di sebuah kafe.
“Waalaikumusalam. Orang Sarawak baru balik. Tak reti-reti nak bagitahu mak bapak sebelum ‘fly’ tu? Nak tanya apa?” Sempat lagi ayah Azhar memerlinya.
“Ayah, dulu arwah atok ada kembar nama Palo tak?” Azhar berterus-terang.
“Ada rasanya. Dulu Palo tu kena baham buaya. Lepastu ‘family’ atok kamu semua pindah semenanjung. Tak nak kenang peristiwa pahit tu. Lepastu dapat ayah. Ayah dapat kamu yang tak reti nak dengar kata ni. Orang tua suruh telefon bagitahu dekat mana je pun susah,” sinis jawapan ayah Azhar.
“Sorry yah, Azhar macam terlalu menghayati sangat sejarah keluarga kita ni. Yah, nanti malam Har balik rumah ayah dengan mak tau. Assalamualaikum Yah,” Azhar menamatkan panggilan tetapi masih terdengar di corong telefon ayahnya bertanyakan ‘sejarah apa?’ dengan nada terkejut.
Azhar sudah seminggu tidak ke tempat kerja. Dia bercuti. En. Sulaiman juga terkejut menerima perkhabaran dirinya yang dilibas ekor buaya itu. Masih terdapat beberapa kesan calar di pipi kanannya. Hari ini 22 Mei tepat 8 malam, dia menerima panggilan daripada Zakaria yang tiba di Sarawak beberapa jam setelah Azhar pulang dari sana.
“Yo, penat aku cari ‘line’ telefon semata-mata nak bagitahu kau benda ni je. Hahaha!” Zakaria yang tidak pernah serius walaupun sudah bergelar bapa itu memulakan bicara.
“Berita apa? Mesti meletup,” Azhar tertarik dengan apa yang cuba disampaikan Zakaria. Kalau Zakaria punya cerita, jaranglah tak laku surat khabar.
“Bujang Senang dah kena tembak. Dua hari lepas, buaya tu ‘ngap’ sorang gadis ni. Lepastu hari ni, abang dia ‘and the geng’ sudah tembak itu buaya dalam pukul 4 petang tadi. Bila bawa balik darat, ada garisan putih dekat belakang dia. Betullah tu Bujang Senang!” Zakaria separa menjerit. Nasib baik tak pecah gegendang telinga Azhar.
Dia hanya mendiamkan diri dan menukar topik perbualan kerana baginya dia tak percaya selagi tidak melihatnya sendiri. Makhluk yang dilihatnya kelmarin seperti tidak mudah dikalahkan. Zakaria sempat berpesan untuk membaca nukilannya esok hari.
Yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Azhar mencari artikel yang diperkatakan oleh Zakaria. Jumpa! Tapi… Itu bukan Bujang Senang! Jauh sekali perbezaannya. Memang buaya itu ada garisan putih di belakang badan namun, saiznya terlalu kecil dengan apa yang dilihatnya sebelum ini. Atau… mungkin dia hanya bermimpi ketika pengsan. Kalau mimpi, bagaimana dia boleh hidup lagi? Elok pula badannya tersadai di celah-celah belukar.
-----------------------------------------------------
Awal 1900, Sarawak
Pemuda pengecut bersembunyi di balik pohon. Setelah semua yang lain pulang, dia masih di situ memerhati jasad Simalungun. Entah mengapa dia merasa puas melihat jasad itu terapung di atas air. Mungkin kerana dendam terhadap Simalungun yang memenggal kepala abangnya dahulu.
Dalam keasyikkan, tiba-tiba jasad Simalungun bergerak-gerak dengan kasar. Seolah-oleh ada sesuatu yang menariknya. Pergerakan itu bagaikan seekor buaya dan perlahan-lahan jasad Simalungun bertukar menjadi buaya yang sangat besar. Pemuda pengecut menjadi takut. Buaya itu sangat besar dan memerhatikannya dengan mata yang bersinar. Dia segera berlari menyelamatkan diri. Dari hari itu, sang pemuda tidak lari turun ke sungai…
-Tamat-
P/S : Hai semua ! I’m back ! Cerita ini adalah karya fiksyen yang saya gabungkan sedikit sebanyak dengan legenda daripada bumi kenyalang, Sarawak. Kebanyakkan fakta saya ambil daripada Wikipedia dan blog-blog.
Sekiranya terdapat sebarang kesalahan fakta, maafkan saya kerana saya menulis berdasarkan pembacaan yang saya lakukan di laman sesawang. Maafkanlah diri yang kerdil ini. Kita pun tak tahu sebenarnya Bujang Senang ni hidup lagi ke tidak. Pengajaran yang saya ingin sampaikan ialah dendam tidak membawa diri kita ke mana pun. Kalau kita dendam dengan orang dan membalasnya ingatlah, bahawa suatu hari nanti ‘the wheel may turn’ dan kita juga mungkin akan mengalami perkara yang sama. Dendam ni penyakit hati tau. Jadi, jaga-jaga. Belajarlah memaafkan dan melupakan… Akhir kata daripada saya bahaya-bahaya Bujang Senang, bahaya lagi buaya darat. Hahaha ! Sekian…-XX
====================================
Suntingan Karya: KamenRIder
Gambar: XX
Editor, Arkib Angker Negara.

====================================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...


mula2 baca rasa mcm cerita ape ni...tp terus baca juga..wau..nice writer...cuma mcm tergantung je...nak tau sape datuk azhar..