Friday, 29 December 2017

TERPILIH - Atikah Che Yasin


TERPILIH 
Penulis: Atikah Che Yasin


- Tahun 1984 -

Melati mencedok air dari tali air itu dengan penuh berhati-hati. Tebing tali air itu agak licin. Risau juga andai terjatuh ke dalam. Air yang dicedok menggunakan timba dimasukkan ke dalam tempayan.

‘ Bhufff!!!’

Timba dicampakkan lagi ke dalam air. Dia perlu mencedok air berulang kali bagi mengisi tempayan itu dengan air. Sendirian dia melakukan kerja itu. Adiknya, Laila yang berusia 8 tahun hanya memerhatikan sahaja kelakuannya. Sekadar menemani Melati.

Melati sedikitpun tidak mengeluh dengan kerja itu. Dia kasihan dengan ibunya yang membanting tulang menoreh getah bagi menyara mereka sekeluarga. Berapalah sangat pendapatan ibunya. Hendak menyara mereka 7 beradik. Ayahnya sudah lama meninggal. Suami baharu ibunya pula membuat onar. Berkahwin lain secara senyap-senyap dan mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Kawasan kampung itu hanya mengharapkan bekalan air perigi semata-mata. Akan tetapi di rumahnya tiada perigi. Maka tali air atau sungailah menjadi sumber untuknya mendapatkan air. Jarak sungai agak jauh dari rumahnya berbanding tali air.

Sedang Melati mencedok air, matanya terlihat objek di permukaan air. Terapung-apung menghampiri kawasan dia sedang mengambil air.

‘Bangkai ayam !’
‘ Najis !’

“ Hahahahaha…” 

Suara gelak tawa dan hilaian kedengaran di bahagian hujung tali air. Tidak jauh dari tempat Melati berada. Melati berpaling ke arah itu. Kelihatan dua orang pemuda sedang ketawa. Melati mengamati wajah mereka berdua.


Seman dan Awang! Sepupunya sendiri yang selalu menganggu Melati dan adik-beradik yang lain.

Melati mencampakkan timba itu ke tepi. Tidak sanggup untuk mengambil air yang kotor itu bagi keperluan minum adik-adiknya.

“ Jom Laila, kita balik,” ujar Melati sambil menarik tangan adiknya.
Laila hanya terkulat-kulat.


“ Tapi kak, baru separuh tempayan ni,” ujar Laila polos.

“ Dah cukup. Air dah kotor tu.” Melati menahan sebak saat menuturkan kata-kata itu kepada adiknya. Suara ketawa Seman dan Awang yang semakin kuat mengguriskan perasaan gadis berusia 13 tahun itu.

“ Woii.. nak balik dah ke?” Laung Awang dengan nada mengejek. Melati tidak peduli. Dia ingin segera pulang. Jika berlama-lama nanti pasti tumpah air matanya di situ. Tempayan yang baru separuh terisi air itu dicapai dan dibawa pulang.

Rumahnya tidaklah jauh dari tali air. Sesampainya di rumah, dia melihat Mak Esah sedang mengibas-ngibas badan menggunakan kain batik yang selalu digunakan sebagai pengalas kepala. Maknya baru balik menoreh. Sudah menjadi kebiasaannya untuk duduk sebentar di tangga kayu rumahnya bagi menghilangkan penat. Laila berlari-lari mendapatkan Mak Esah.

“ Awal mak balik.” Melati memaniskan muka. Cuba menutup kegalauan hatinya.

“ Hari ni awal sikit sebab tadi mak turun awal,” ujar Mak Esah. Matanya tertancap kepada tempayan yang dibawa Melati.

“ Cuma separuh air tu Melati?” soal Mak Esah kehairanan.

“ Melati rasa tak sihat lah hari ni mak. Tak larat nak angkat penuh,” bohong Melati.

“Oh. Jangan dipaksa sangat diri kamu tu Melati. Kalau tak larat ajak adik kamu, Ahmad. Boleh dah diharap sikit-sikit.” Mak Esah menyambung.

“ Ahmad kena jaga adik-adik lain kat rumah, mak.”

“ Tak apa lah. Untuk masak hari ini, mak cuba minta air dengan Mak Su kamu. Kat rumah dia ada perigi.”

“ Mak, nanti cakap kat Mak Su. Abang Seman dengan abang Awang jahat. Tadi kan mereka buang bangkai ayam dengan najis kat dalam tali air,” adu Laila. Melati hanya mendiamkan diri.

Mak Esah memandang wajah Melati.

“ Mereka usik kamu lagi?” Mak Esah menyoal anak gadisnya. Melati tunduk. Tidak sanggup bertentangan mata dengan wajah tua itu. Matanya mulai bergenang dengan air mata. Dia mengangguk perlahan.

Mak Esah mengeluh kecil. Apalah salah anaknya sehinggakan anak saudaranya memperlakukannya sebegitu.

*******

“Odah, akak datang nak mintak air dari perigi kau.”

Mak Esah menebalkan muka. Saodah yang sedang duduk di pangkin di laman rumah hanya membatukan diri. Sedikitpun tidak mempedulikan Mak Esah. Dia amat bencikan kakak iparnya itu. Kadang-kala dia cuma berpura-pura baik dengan Mak Esah jika suaminya ada.


“Odah, akak bercakap dengan kau ni,” ujar Mak Esah lagi. Malu. Tapi terpaksa mengemis begitu. Kalau tidak, tiadalah bekalan air di rumahnya.

“Kak Esah, rumah saya ni bukan rumah kebajikan. Akak ni asyik meminta sahaja. Usahalah sikit.” Suara Saodah agak kasar. Mak Esah terkesima dengan kata-kata adik iparnya.

“Kalau boleh akak pun tak mahu menyusahkan Odah. Tapi terpaksa. Melati dah ambil air di tali air. Tetapi anak Odah, Seman dan Awang tu buang benda kotor dalam air masa Melati nak ambik air.” Lembut Mak Esah melontarkan buah bicaranya. Cuba menyantuni adik iparnya yang agak keras hati.

“Amboi akak. Sedapnya mengata anak Odah. Akak nak cakap Odah tak reti jaga anak ke? Dah, akak pergi balik lah. Odah tak nak ambil tahu masalah akak. Akak carilah orang lain yang boleh tolong. Kak Yam tu kan adik kesayangan akak. Pergilah minta tolong dia!” Saodah berlalu pergi meninggalkan Mak Esah.

Dia terus masuk ke dalam rumah.

‘Dummm!!’

Pintu kayu dihempas kasar. Mak Esah terkejut. Tangannya mengurut dada. Terkedu dengan tindakan Saodah. Agak keterlaluan. Akan tetapi dia reda. Dengan perasaan terguris, dia menapak pergi dari situ.


Di rumah, dia merenung wajah anak-anaknya. Sayunya hati. Bagaimanalah hendak mengenyangkan perut anak-anaknya dengan sumber air yang tidak mencukupi.

“ Melati, jom kita ke rumah Mak Ngah.” Usul Mak Esah.

“Buat apa mak?”

“Kita cuba minta dengan Mak Ngah kamu. Mak Su tak ada kat rumah tadi,” bohong Mak Esah.

“Baik mak. Adik-adik tak ikut?”

“Kita berdua sahaja. Lagipun depan ni saja rumah Mak Ngah kamu. Memadai kalau cuma kita yang pergi.”

Mak Esah mengambil dua tempayan bersaiz kecil. Dihulurkan satu kepada Melati.

Maka berjalanlah dua beranak itu ke rumah Yam. Yam menyambut kehadiran mereka dengan sapaan mesra. Tidak seperti Saodah.

“Akak, makanlah sekali dengan kami hari ni.”

“ Tak apa lah Yam. Anak-anak lain kat rumah tak ada orang nak tengokkan. Ahmad tu pun budak lagi nak tengok-tengokkan adik-adik.”

“Eh, tak apa lah kak. Nanti saya suruh anak saya pergi panggilkan anak akak yang lain. Sekali-sekala makan sekali apa salahnya.”

Mak Esah terharu. Yam, berbeza sungguh dengan Saodah.

Tengah hari itu mereka makan bersama-sama. Bersila di atas tikar mengkuang. Di ruang rumah kayu itu, mereka dijamu nasi, lauk ikan puyu goreng beserta ulam-ulaman. Turut ada, gulai lemak pisang muda. Makanan biasa bagi orang kampung. Namun amat luar biasa bagi anak beranak Mak Esah untuk makan hidangan sebegitu.

“Melati, seekor ikan tu kongsi kita anak-beranak. Cubit sikit-sikit dahla ya. Kita kat rumah orang,” bisik Mak Esah kepada Melati. Melati mengangguk faham. Adik-adik yang lain seakan faham. Mereka tidak meragam. Makan penuh tertib.

Selesai makan, Yam ke dapur membawa pinggan-pinggan kotor. Melati membantu. Dalam pada itu, Mamat, anak Yam, curi-curi makan ikan di dalam pinggan. Seekor demi seekor diratahnya. Mak Esah hanya memerhatikan sahaja gelagat anak saudaranya.

“ Kenapa ikan tinggal cuma seekor sahaja?” soal Yam hairan. Dia baharu sahaja kembali dari dapur.

“Mereka makan mak!” laung Mamat bersahaja. Mak Esah terkejut dituduh sebegitu.

“ Akak, Yam tak kisah akak nak makan kat sini. Tapi lauk jangan diratah sebegitu kak. Akak tahu kan, susah nak cari lauk?”

“Bukan kami yang makan Yam. Tadi kami cuma makan seekor ikan bahagi lapan beranak.”

“ Jadi, akak nak cakap Mamat menipulah? Yam tak sangka akak sanggup tuduh anak Yam begitu. Patutlah abang Daud tinggalkan akak.”

Mak Esah terkedu dengan kata-kata yang terpacul dari mulut Yam. Tidak disangka Yam mengungkit hal masa silamnya.

“Yam, akak tak sangka orang yang akak sayang sanggup tuduh akak. Ungkit masa silam akak. Terima kasih untuk hari ini. Akak takkan susahkan sesiapa lagi lepas ni. Jom balik, anak-anak.” Sayu Mak Esah menuturkan kata-kata itu. Sungguh, hatinya terguris.

Yam merengus kasar. Meluat terhadap Mak Esah. Selama ini dia berseteru dengan Saodah, kali ini dia merasakan Saodah itu benar. Bisik syaitan pula menambahkan api kebencian terhadap Mak Esah. Mamat yang menyaksikan kejadian itu tersengih-sengih. Memerhati sahaja sepupu serta ibu saudaranya dengan pandangan sinis.

********

Hujan turun renyai-renyai. Mak Esah masih terguris dengan perkara yang terjadi tengah hari tadi. Dia termenung di tepi jendela kayu rumahnya. Melati pula tidak mampu melihat ibunya sedih. Lalu dia turun pergi ke belakang rumah. Terdapat beberapa pokok getah di belakang rumahnya. Di situlah tempat dia bermain.

Melati duduk di atas pokok getah yang telah tumbang. Tempat itu agak tersembunyi, tetapi masih berhampiran rumahnya.

Melati tidak mempedulikan hujan renyai-renyai yang semakin lebat. Tangannya mencapai ranting kayu. Dia mula mencucuk-cucuk tanah di hadapannya. Berulang kali. Tidak pasti tujuannya. Mungkin ingin menghilangkan kesedihan.

“ Kenapa nasib kami begini?” Rintih Melati. Air mata mulai dirembeskan. Titisannya mulai mengalir di pipi dan sebati dengan air hujan yang membasahi dirinya.

“Kak Ti buat apa?” sapa Laila tiba-tiba. Mengejutkan lamunan Melati. Pantas diseka air matanya. Anak kecil itu pantang berpisah dengan kakaknya. Walaupun mereka tidak sebapa.

“Tak ada apa lah.”

“Kak, kalau cucuk macam ni air boleh keluar dari tanah? Laila nak tolong akak lah.” Ujar Laila polos lalu mencapai ranting kayu. Dari tadi dia memerhatikan kakaknya mencucuk-cucuk tanah itu.Fikirnya Melati sedang berusaha untuk mencari sumber air.

“ Mengarutlah adik ni. Dah. Jom naik atas rumah. Hujan lebat ni.” Melati bangkit dan memimpin tangan adiknya.

“Aduhhhh!!!!”

Melati terjerit. Kakinya terjerlus ke dalam tanah. Tanah tempat dia cucuk guna ranting tadi menenggelamkan sedikit kakinya hingga ke paras buku lali.

“Kenapa kak?”

Melati tidak menjawab pertanyaan Laila. Dia menarik kakinya perlahan-lahan. Tempat kakinya terjerlus menampakkan lubang yang agak becak. Hairan. Rasanya tadi tiada lubang itu. Dia pasti!

“Mak! Mak!!” Jerit Laila.

“Ya,kenapa Melati?” Sayup-sayup kedengaran suara Mak Esah dari atas rumah.

“Datang sini cepat mak!”

Dia merasakan sesuatu yang ganjil dengan lubang itu.

Melati membongkokkan badannya. Diamati lubang itu. Hanya lubang biasa. Cuma kehadirannya di situ menimbulkan persoalan.

Sarang ularkah?

Melati menggelengkan kepalanya berulang kali. Menepis sangkaan itu. Mustahil! 

Dia mengambil kayu yang agak panjang dan membenamkannya ke dalam lubang itu.


Setiap kali dibenamkan, kedalamannya makin bertambah. Mak Esah yang baru sampai hairan melihat kelakuan Melati.

“Kenapa Melati?”

“Mak, peliklah. Lubang apa ni? Tadi kecil. Makin lama makin besar dan dalam. Melati ukur guna kayu ni.”

Mak Esah memerhatikan lubang itu. Lebih kurang sebesar kepala orang dewasa. Dia mencangkung dan cuba menyeluk menggunakan tangan.

“Apa yang mak cuba buat ni?” soal Melati. Terkejut dia dengan tindakan Mak Esah. Mak Esah tidak menjawab pertanyaan Melati. Dia kemudian menarik keluar tangannya. Habis diselaputi lumpur.

“Mak rasa dalam sangat ni. Dah sampai paras lengan pun masih tak sampai pangkalnya.”

“Tadi Melati terjerlus. Cuma paras buku lali sahaja.”

Hujan makin lebat. Mereka mengambil keputusan untuk naik ke rumah.

“Buushhhh!!!!”

Bunyi itu mengejutkan mereka yang baru hendak melangkah pergi dari situ. Kali ini mereka menyaksikan sesuatu timbul dari lubang itu.

Kelihatan air membuak-buak keluar dari lubang itu. Lubang itu semakin lama semakin luas. Tanah-tanah di sekeliling runtuh dimakan lubang itu. Malah pokok tumbang yang diduduki Melati tadi sudah tenggelam ke dalamnya.

Air makin membuak-buak keluar tetapi tenggelam kembali ke dalam lubang itu. Mungkin kerana lubang itu semakin lama semakin dalam. Mak Esah segera menarik tangan Melati dan Laila untuk berlalu pergi dari situ. Gegaran tanah di kawasan itu membimbangkan hatinya.

Dalam kekalutan itu, mereka tidak menyedari seseorang sedang memerhatikan mereka. Seman, menyaksikan kejadian itu dari tadi. Tujuan asalnya adalah hendak mengintai Melati. Akan tetapi lain pula yang disaksikannya. Dia terus berlari ke rumah. Tidak lain tidak bukan ingin memberitahu kejadian itu kepada ibunya.

Mak Esah berteduh di bawah atap rumahnya. Memeluk erat Melati dan Laila. Anak-anak lain menjenguk ke luar sebaik sahaja mendengarkan bunyi gegaran yang kuat. Lubang tadi pula semakin rakus menelan segala yang ada di sekeliling.

“Mak, betulkan Seman cakap.” Ujar Seman. Saodah hanya memerhatikan sahaja kewujudan lubang aneh di kawasan rumah kakak iparnya. Seman berlari-lari ke arah rumah Mak Esah untuk melihat dengan lebih dekat.

“Seman, jangan pergi dekat dengan mereka. Itu lubang jin. Nanti tak pasal-pasal kau pun kena telan!” Laung Saodah. Mak Esah yang baru menyedari kehadiran adik iparnya berpaling ke arah mereka.

“Odah, kalau datang sekadar ingin menyakitkan hati, lebih baik kau balik!”

“Haa, memang nak balik pun. Tak hadap nak datang sini!” Jerit Saodah lalu dia pun berlalu pergi.

“Seman pun pergilah balik. Biarlah kami anak-beranak yang mati kalau betul itu lubang jin.”

Mak Esah menuturkan kata-kata itu kepada Seman. Air matanya berjuraian. Pilu. Sedih. Takut. Semuanya bercampur baur.

Seman akur. Bukan akur dengan Mak Esah tetapi akur dengan ibunya.


Gegaran semakin kuat. Mak Esah hanya berserah di situ. Bukan dia tidak ingin lari tetapi dia tidak tahu ke mana dia hendak lari.

Saodah dan Yam tidak sukakannya. Maka dengan linangan air mata dia memeluk anak-anaknya.

Mata Melati menangkap sesuatu yang aneh berdekatan lubang itu. Seorang lelaki tua,berpakaian serba putih dan bertongkat. Di sampingnya ada dua orang gadis. Berbaju kurung putih serta berselendang. Melati memisatkan mata. Hilang. Mungkinkah cuma khayalan? Dia tidak pasti.

Keadaan kini menjadi senyap sunyi. Tiada lagi bunyi gegaran ataupun tanah runtuh. Berhampiran pokok getah, kini terdapat sebuah lubang yang besar. Melati cuba ke sana. Ingin memastikan kelibat yang dia nampak tadi.


Kakinya berhati-hati memijak tanah. Takut terjerlus. Mak Esah membontoti Melati. Sebaik tiba di situ, masing-masing berpandangan sesama sendiri.

“Mak, sumber air, mak.” Tutur Melati. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihat di hadapannya kini.

Mak Esah tidak mampu berkata apa-apa. Mindanya menerawang cuba mentafsirkan peristiwa yang sedang berlaku.

‘Blupp..blupp..blupp..blupp..’

Kelihatan sesuatu timbul di permukaan air. Melati mengamati. Sebuah tempayan bersaiz sederhana. Bukan miliknya kerana di rumah mereka cuma ada tempayan bersaiz kecil. Tidak pernah dia lihat tempayan itu. Warnanya agak aneh.

“Mak nampak tak tempayan tu ?” soal Melati.

“Tempayan apa?”

Mak Esah kehairanan. Dia tidak nampak apa-apa di situ melainkan air yang jernih dan mendamaikan.
Melati cuma diam. Dia memerhatikan sahaja tempayan berwarna emas itu tenggelam balik ke dalam air.


“Mak Esah tak nampak sebab hanya Melati yang terpilih.” 

Suara itu menyapa telinga Melati. Melati terus berpaling ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki tua yang bertongkat tersenyum ke arahnya. Berada berhampiran pokok getah, tidak jauh dari tempatnya berdiri. Air mukanya bersih. Dua orang gadis di sebelahnya hanya tunduk. Tidak kelihatan wajah mereka . Cuma yang jelas kulit mereka tampak bersih.

“ Tapi kenapa?” Terpacul soalan itu dari mulut Melati.


“Kamu bercakap dengan siapa Melati?” Soal Mak Esah. Pelik dia melihat Melati sedang berkata-kata tapi bukan bercakap dengannya. Melati memandang wajah ibunya yang sedang kehairanan.

“Itu.”

Melati berpaling ke arah pokok getah. Tiada lagi kelibat mereka bertiga. Cuma ada haruman luar biasa yang menyapa hidungnya. Melati termangu-mangu. Diulit perasaan hairan.

"Tak ada apalah mak. Perasaan Melati sahaja.” 

Sengaja Melati berkata begitu untuk mengurangkan perasaan hairan Mak Esah.


Terpilih? Aneh. Walaupun agak aneh, tapi dia bersyukur. Kini ada sumber air untuk dia sekeluarga. Tidak perlu lagi mereka bergantung harap lagi terhadap keluarga yang sering menganggap mereka sebagai pengemis.

-TAMAT-
Suntingan Gambar: Gongpal Topek
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: