Friday, 8 December 2017

ADA APA DALAM ALMARI - Suhana Azman


ADA APA DALAM ALMARI
Kiriman : Suhana Azman

Azman baru sahaja berpindah ke rumah sewa yang baru itu dua minggu lalu. Rumah dua tingkat milik seorang janda beranak satu bernama Hasnah, berumur lewat 50an.
Rumah yang baru disewa itu sepatutnya disewa bersama seorang lagi rakannya, Rizal. Tetapi Rizal terpaksa menangguhkan hasrat untuk tinggal bersamanya buat sementara waktu. Tanpa sebab yang tidak diketahui. Rizal berjanji akan menyusulinya kemudian. Mahu tidak mahu, terpaksalah Azman menyewa sendirian dahulu. Ini kali pertama dia tinggal berasingan dengan keluarga. Membuatkan Azman sedikit janggal untuk tinggal bersendirian. Semuanya harus dilakukan sendiri. Mujurlah tidak banyak barang yang perlu di bawa melainkan pakaian dan barang keperluan yang lain.
Tidak banyak barang perabot yang berada di dalam rumah sewa yang baru didudukinya. Hanya terdapat sofa, meja kopi, rak televisyen serta kabinet dapur. Dalam bilik tidur utama yang menjadi bilik tidurnya ada sebuah almari lama. Almari biasa cuma nampak agak berusia. Semasa baru melangkah ke rumah sewanya itu sempat tuan rumah berpesan....
"Almari di dalam bilik tu sengaja saya kunci. Jangan sesekali buka almari itu. Jangan nak letak baju kamu pula di dalam tu." Ayat pesanan yang berbaur amaran keluar dari mulut Mak Cik Hasnah, tuan rumah itu.
"Kalau terdengar sesuatu di dalam almari itu, buat tak tahu saja. Jangan pandai-pandai nak buka." Mak Cik Hasnah memberi amaran lagi.
"Macam mana saya nak buka kalau almari itu berkunci. Kalau takut sangat saya buka almari, Mak Cik Hasnah ambillah almari tu. Bawa balik dekat rumah cik Hasnah." Sempat Azman mengutarakan cadangan berbaur sindiran.
"Tak boleh! Almari itu sudah lama berada di situ. Ia tidak boleh dialihkan sesuka hati. Biarkan sahaja almari itu dalam bilik tu. Lagi sekali saya pohon, biarkan! Buat tidak tahu sahaja kalau kamu terdengar bunyi pelik dalam almari tu." Mak Cik Hasnah bersuara sedikit keras.
"Macam itu pulak. Baiklah makcik, saya berjanji tidak akan buka almari tu. " Azman tersenyum meleret.
Namun Azman tidak kisah dan langsung tidak mahu ambil tahu mengenai almari itu. Biarlah bunyi apa pun yang akan didengari di dalam almari itu, sedikit pun tidak akan menggugat perasaan beraninya. Angkuh!
"Aku peduli apa! Aku boleh beli almari lain!" Gumamnya dalam hati.
...................................................
Minggu pertama...
Tidak ada apa yang kelihatan pelik, malah langsung tidak menakutkan dirinya tatkala tidur bersendirian bila malam menjelma. Hanya almari di hadapan katilnya sahaja nampak sedikit menggerunkan. Bukan tidak ada bilik yang lain. Ada dua lagi bilik di dalam rumah tersebut. Tetapi bilik tidur utama tetap menjadi pilihan kerana ia luas. Walaubagaimanapun, Azman hanya membiarkan perasan gerun itu terbuai dibawa dalam tidurnya.
Minggu pertama berlalu begitu sahaja. Azman semakin dapat menyesuaikan diri. Dia terasa tenang dan seronok apabila tinggal bersendirian di rumah sewanya. Apatah lagi tinggal di negeri asing, yang jauh dari negeri asalnya.
................................................
Minggu kedua....
Seperti biasa, sebelum tidur dia akan memastikan lampu di bahagian dapur akan terpasang. Satu kebiasaan buatnya. Dia berasa tidak selesa membiarkan keseluruhan rumahnya bergelap ketika dia sedang terlena. Namun, lampu di bilik tidurnya akan sentiasa dipadam. Sambil menarik selimut ke paras dada sempat Azman mencapai telefonnya. Melihat mesej whatsApp dari keluarganya yang masih tidak berbalas. Namun sedang Azman ralit membaca dan membalas mesej whatsApp tersebut, tiba-tiba matanya terpandang pada almari baju itu. Matanya menyorot pada almari itu. Walaupun suasana biliknya kelihatan gelap tetapi ia masih lagi dapat dilihat dek limpahan cahaya lampu jalan dari luar. Sungguh pun begitu ia masih lagi tidak dapat membantunya untuk melihat dengan lebih jelas lagi. Lalu telefon di tangan yang masih menyala segera di suluh ke arah almari. Saat ini dia berasa malas untuk bangun membuka lampu bilik. Dia sanggup duduk di atas katil sambil menyuluh dengan skrin telefon yang masih menyala. Mungkin perasaan takut itu belum timbul lagi dalam dirinya.
Azman melihat almari tiga pintu itu. Lama dia merenung ke arahnya. Tajam renungannya. Kelihatan ada helaian kain putih terkeluar sedikit dari pintu ketiga almari. Terlihat helaian kain putih itu berkibar-kibar apabila ditiup angin kipas siling. Kalau diamati betul-betul kain putih itu terkeluar seperti digantung dengan penyangkut baju atau kelihatan seperti ia sedang berdiri! Tersentak Azman apabila melihatkan kain putih itu terkeluar dari almari sedangkan sebelum dia menutup lampu bilik tidurnya, tidak ada kain putih terkeluar dari almari itu. Dia pasti! Sudah berkali-kali dia keluar masuk bilik tidurnya dan melihat almari itu. Tiada langsung kelihatan helaian kain putih yang terkeluar dari almari itu. Azman diselubungi rasa pelik.
"Bukankah almari tu berkunci? Masuk bilik tadi tak nampak pun kain putih tu terkeluar. Pelik!!" Gumam Azman sendirian.
Namun, sedang Azman masih lagi setia menyuluh almari itu dengan telefon di tangannya tiba-tiba....
ZZAAPPPP.....!!!
"Allah..!!" Azman terkejut!
Terkejut apabila kain putih itu seperti di rentap masuk ke dalam almari. Buntang matanya melihat kain putih itu tidak kelihatan lagi. Namun, timbul persoalan dihatinya....
Siapa yang menarik kain putih itu dari dalam almari?
Tanpa berlengah, Azman membuang jauh perasaan malas. Lampu bilik segera dibuka. Bilik tidurnya kembali terang. Lalu dia berjalan perlahan menuju ke arah almari. Tangannya cuba untuk menarik pintu almari tersebut. Langsung tidak terbuka. Berkunci seperti biasa. Bukan sahaja pintu ketiga almari sudah cuba dibuka, malah ke semua pintu almari sudah puas di tarik. Langsung tidak terbuka. Akhirnya Azman mengalah, membiarkan persoalan di mindanya tidak berjawab.
Kain putih siapakah itu? Siapakah yang telah menarik kain putih itu dari dalam almari?
...................................................
8.30 pagi.
Azman menghirup Nescafe panas dengan perlahan. Otaknya masih ligat memikirkan perihal malam tadi. Entah bila dia tertidur, dia sendiri tidak menyedarinya kerana ketakutan. Masuk minggu kedua inilah baru timbul perasaan tidak enak tatkala tidur di dalam bilik itu. Mujur hari ini dia tidak bekerja, kalau tidak sudah tentu dia akan menguap sepanjang bekerja.
Malam ini Azman bercadang mahu tidur di ruang tamu sahaja. Dia berharap agar tiada lagi gangguan yang akan mengganggu tidurnya. Lagipun dia tidak pasti, siapalah yang akan dapat membantunya nanti dikala dirinya dalam kesusahan. Keluarga? Sudah tentu mustahil kerana jauh. Tuan rumah? Langsung tidak datang menjenguknya. Jiran tetangga? Dia belum lagi bersuai kenal dengan jiran-jiran berdekatan.
....................................................

9.30 malam.

Azman sedang lagut menonton movie yang sudah di muat turun di laptopnya. Hendak menonton televisyen, televisyen pula tidak ada. Jadi, buat masa ini laptop adalah peneman setianya. Biskut lemak di piring diambil dan di kunyah dengan penuh nikmat bertemankan satu cawan besar milo panas. Itulah makan malamnya. Terasa malas pula dirinya untuk keluar pada malam ini. Saat ini kebosanan sedang melanda dirinya. Bersendirian bukan jiwanya tetapi demi mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga, dia harus kuat.
Sedang ralit menonton movie di laptopnya, tiba-tiba telinga Azman menangkap satu bunyi dari bilik tidurnya. Bunyi seperti pintu terbuka dari dalam. Lalu dia segera bangun dan berjalan perlahan mengintai di sebalik dinding ruang tamu. Pintu biliknya masih tertutup. Kemudian dia menapak perlahan ke arah pintu biliknya. Lalu pintu bilik dibuka....
KRREKKK......
Gelap. Lantas suis lampu bilik ditekan.
"ALLAH....!!!!"
Azman terperanjat apabila melihat hampir separuh rambut panjang sehingga ke lantai terkeluar dari pintu almari yang ketiga itu. Ibarat rambut seseorang tersepit dari dalam almari. Tetapi, almari masih berkunci!
Azman panik!
Saat dia sedang bersendirian tiada apa yang boleh dilakukannya melainkan mengingati Allah. Namun, lidahnya kelu! Satu surah pun tidak mampu dibaca. Kakinya ibarat dipaku ke lantai. Hendak melangkah setapak ke belakang pun tidak berdaya.Apatah lagi melarikan diri. Mujur dia masih mampu membaca segala surah di dalam hati sebagai pelindung diri. Kala ini segala sifat berani sudah mula pergi meninggalkannya, hanya perasaan takut yang kian menebal.
Tiba-tiba.....
ZZAAPPP........!!!
Juntaian rambut panjang itu bagai direntap dari dalam. Seperti ditarik sekuat hati oleh seseorang dari dalam almari. Sekali lagi? Walaupun bukan kain putih yang dilihatnya kini, tetapi ia tetap menimbulkan tanda tanya. Rambut siapa tu? Rambut itu sudah tidak kelihatan lagi dari luar almari. Hanya beberapa helai rambut sahaja di atas lantai kerana terputus dek rentapan kuat tadi. Rambut yang terputus itu diambil dan dibelek.
"Kasarnya rambut. Ini rambut ke, dawai ni?" Bisik hati Azman sambil menggosok-gosok rambut itu dengan jari.
Kali ini kakinya sudah mampu bergerak. Tanpa berlengah lagi, dia berlari keluar dari bilik dan terus terduduk di atas sofa. Melepaskan lelah ketakutan. Dengan perlahan dia meraup wajahnya. Merembes segala peluh yang terkeluar di wajah. Kemudian dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Termenung sebentar. Sambil berfikir. Realiti atau sekadar mimpi? Lalu kulit lengannya di cubit sekuat hati.
"Adoiiii! Sakit!" 
Azman terjerit sambil melurut-lurut lengannya yang kemerahan itu.

"Bodoh betul aku! Sanggup cubit diri sendiri!" Azman bermonolog sendirian. Sesekali dia tersenyum sendiri, geli hati dengan kebodohan sendiri.
Kemudian baru dia teringat. Nombor telefon Mak Cik Hasnah ada tersimpan dalam senarai kenalan. Lalu nombor telefon didail.
Tutt tutt, tutt tutt, tutt tuttt......
Panggilan tidak berjawab.
Tutt tutt, tutt tutt, tutt tutttt.......
Sekali lagi tidak berjawab.
"Hmmm...." Azman mengeluh berat.
Sempat dia melirik jam loceng di atas meja kopi sebelah sofa. Hampir ke pukul 2.00 pagi. Dapatkah dia berjaga sehingga ke pagi? Mampukah dia bertahan?
..................................................
2.30 pagi....
Sesekali matanya meliar memandang sekeliling. Takut-takut kalau si berambut panjang dan berbaju putih itu keluar dari almari kemudian bergayutan di atas kipas siling. Mungkinkah....?
"Mustahillah...!" Azman tersenyum sendiri.
Tiba-tiba.....
TOK TOK TOK TOK TOK...
Azman terkejut! Sekali lagi? Bunyi ketukan datang dari dalam bilik tidurnya. Dia yakin, bunyi itu datangnya dari dalam almari itu.
"AZMANNN....."
"AZMANNN....."
Dia terdengar namanya di sahut lembut oleh seseorang dari dalam bilik tidurnya. Dia teragak-agak untuk bangun. Apatah lagi untuk melihat. Siapakah atau apakah?
"Peduli apa aku! Aku tak nak tahu! Biarlah! Aku tidak akan berganjak dari sofa ni! Lagipun tuan rumah sudah pesan, abaikan sahaja apabila terdengar bunyi pelik dari dalam almari!" Azman menjerit-jerit di dalam hati dengan mata terpejam sambil menekup kedua-dua telinganya.
"AZMANNN......."
"AZMANNNNN.........."
"MARILAH KESINI, KAU TAK NAK TAHU KE SIAPA AKU...KALAU KAU TAK NAK DATANG, BIAR AKU SAHAJA YANG KELUAR....."
Mendengarkan suara itu Azman terus terbangun lalu berundur ke belakang. Peluh di dahi yang mulai kering kini merembes kembali. Degupan jantungnya semakin laju dek kerana ketakutan. Dia mula berkira-kira.
"Nak pergi, tak pergi. Nak pergi, tak pergi!"
"AKU KELUAR AZMAN!" Suara itu semakin keras intonasinya.
Azman semakin gelisah. Namun, dengan sedikit keberanian yang masih bersisa dia cuba memberanikan diri menghampiri bilik tidurnya dan mengintai di sebalik lubang kunci pintu biliknya. Gelap.
"Gelap? Aku rasa, aku tak tutup pun lampu bilik masa aku lari keluar tadi." Azman bermonolog.
"Lantaklah! Apa nak jadi, jadilah. Aku nak tengok jugak!!!" Desis Azman kegeraman. Segala kata-kata larangan dan amaran dari Mak Cik Hasnah ditolak ke tepi. Apa yang penting dia perlu tahu apakah benda yang sedang mengganggunya saat ini. Dia perlu tahu!
Lalu pintu bilik di buka dan suis lampu ditekan. Bilik kembali terang. Namun, tiada lagi kedengaran suara memanggil namanya waima bunyi ketukan sekalipun. Sunyi. Anehnya pintu ketiga almari terbuka sedikit. Tetapi masih lagi tidak menampakkan bahagian dalam almari. Hanya kelihatan gelap sahaja. Namun Azman masih lagi berkira-kira mahu melihat isi di dalam almari tersebut.
Peluang sudah terhidang di depan mata. Apa tunggu lagi? Namun, Azman masih lagi termanggu- manggu di hadapan almari. Seperti sedang berfikir sesuatu.
"Betul ke tindakan aku ni? Seperti dia tahu-tahu pula, apa yang aku sedang fikirkan tadi. Pintu almari terbuka? Bukankah pintunya berkunci?" Desis Azman mula menyoal sendirian.
Akhirnya, dalam gementar Azman terpaksa akur dengan kehendaknya. Dia perlu tahu! Lalu pintu ketiga almari dibuka perlahan....
KRREEEKKK........
Alangkah terperanjatnya Azman apabila melihat satu mahkluk berbaju putih bertinggung di dalam almari sambil menarik-narik rambut panjangnya sehingga putus dan menampakkan sebahagian kulit kepala yang kemerah-merahan. Kulit kepala yang terkoyak itu dimakan dengan penuh lahap.
Azman terkaku di hadapan mahkluk itu. Buntang matanya apabila bertentangan mata dengan mahkluk tersebut.
"AZMANNN..., SINI! KAU HIDANGAN KU SETERUSNYA, HI HI HI HI..."
Mahkluk itu menyeringai kepada Azman sehingga menampakkan gusinya yang berdarah.Meleleh darah itu keluar dari mulutnya. Azman tidak mampu berbuat apa-apa. Pasrah dengan nasib yang bakal menimpa dirinya.
..............................................

10.00 pagi.

Mak Cik Hasnah membuka pintu rumah sewanya. Perlahan pintu rumah itu dibuka. Dia datang ke rumah itu pun selepas melihat panggilan tidak dijawab yang diterimanya dalam senarai log di telefonnya. Ada dua panggilan dari Azman. Masuk sahaja ke dalam rumah sewanya, terlihat suasana suram dan gelap di dalam rumah itu walau pun matahari sudah meninggi. Sesekali Mak Cik Hasnah memicit-micit hidungnya. Dia seperti terbau sesuatu. Hanyir! Bau seperti darah! Semakin kuat bau hanyir darah menerpa di rongga hidungnya.
"Busuknya!" Kembang kempis hidung Mak cik Hasnah menahan bau hanyir darah itu.
Kemudian dengan perlahan Mak Cik Hasnah membuka pintu bilik Azman. Suram. Malah bau hanyir semakin kuat di dalam bilik itu.
Lalu dia mengambil segugus kunci yang berada di dalam poket seluarnya. Dia memilih salah satu kunci lalu di buka pintu ketiga almari itu.
Sebaik sahaja pintu dibuka, Mak Cik Hasnah ternampak satu mayat di dalam almari itu. Mayat seorang lelaki yang sudah dilapah oleh sesuatu! Jantung, hati dan usus perut sudah dirobek keluar dari tubuhnya. Ya, itulah mayat Azman!
"Kau makanlah sampai kenyang! Nanti aku bawa habuan yang lain. Kalau boleh, makan sampai licin! Aku malas nak bersihkan!"
Mak cik Hasnah bercakap dengan mahkluk itu dengan reaksi wajah seperti geli dengan rupa mayat Azman yang sudah tidak sempurna lagi.

Kemudian almari itu segera di kunci kembali. Lalu dia mencapai telefon di dalam beg tangan kecilnya dan cuba menghubungi seseorang.
"Nak, Azman dah mati. Cari orang lain pula."
Ujar Mak Cik Hasnah kepada anaknya yang berada di hujung talian.
"Baik mak. Nanti Rizal cari sasaran baru. Jangan risau......"
Tuuuuttttt............
Rizal mematikan talian sebaik sahaja mendengar perkhabaran daripada ibunya. Dia tersenyum. Kini dia masih memburu. Untuk mencari sasaran baru.

-Tamat-

..........................
Suntingan: Atikah Che Yasin
Suntingan gambar: Gongpal Topek

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel:

aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: