Thursday, 28 December 2017

ANGKUH - TheFlash 555


ANGKUH
Karya Oleh: TheFlash 555

Nota Kaki- Ini cerita masa aku dekat Putrajaya. Cerita ini adalah kisah benar, 2012.
===============================
Aku ada seorang kawan, namanya Azlan. Orang Perak macam aku, tapi duduk di Kampar. Orangnya dah berkahwin sebanyak dua kali dan umur masih 35. Aku malas nak tanya kenapa cerai-berai sampai dua kali, padahal cerai hidup. Aku tengok isterinya lawa bukan main. Ah,lantaklah dia.

Satu pagi, bos aku bagi tugasan, kami satu tim kena pergi ke Pendang, kena pergi ke sebuah perkampungan. Ah ya, sebelum itu aku nak bagitahu Azlan ini memang syok berkawan dengan dia. Baik, tak kedekut dan kuat solat cuma satu saje, panas baran melampau. Pantang dia rasa dia betul, memang dia akan melenting.

Dia tak peduli siapa pun, kalau dia rasa nak marah, dia maki!! Ada cerita dari mulut ke mulut, Azlan ni punyalah baran sampaikan dia pernah maki Timbalan Menteri, semasa zaman kepimpinan Pak Lah! Bos aku pun mengiyakan cerita ini.

Berbalik hal tadi, kami tiba di Pendang, kawasan FELDA. Kami duduk di homestay berdekatan yang telah ditempah seminggu awal dan tuntutan kerja ini menyebabkan kami terpaksa tinggalkan anak bini selama 2 minggu.

Hari Jumaat. Malam itu kami dihidangkan (oleh orang kampung situ) dengan durian dengan pulut. Memang sedap, durian kampung dengan pulut dari Siam.

Aku ada bersembang dengan beberapa penduduk Siam/Thai di situ, ada yang Islam. Macam biasa aku memang dari dulu suka tanya, hal-hal cerita mistik, seram di tempat itu. Aku berkenalan dengan seorang lelaki Muslim Thai, Abang Nam namanya.

Esok pagi Sabtu, aku korek lagi dari Nam, yang seronoknya Nam ni baru 4 bulan masuk Islam.
Nam ada cakap kat aku yang dia kurang selesa dengan Azlan sebab masa itu ada kes berbangkit masa kami mula sampai, masa itu aku pergi jumpa staf kementerian cawangan Kedah, Azlan memaki hamun sebab beg baju dia bawa terjatuh dari van. Kawan aku cakap Azlan pun bodoh, letak pun hujung bonet, jatuh dan beberapa barang Azlan rosak, salah satunya iPad dia, skrin retak sikit.

"Bangsat betullah! Tempat jin bertendang macam ni juga lah aku kena pergi! Tempat orang makan biawak!" Carutan Azlan buatkan pemandu van terpinga-pinga.

Minggu ke 2, hari Isnin, kami balik lewat ke homestay dan aku antara 3 yang terawal sampai. Masa tu aku dengan Bohari, Jamal dan aku. Jamal selaku pemandu kami dan Bohari, staf bawah aku dan lebih dikenali sebagai Ustaz Don sebab muka lebih kurang dan pandai bab bab agama.

"Assalamualaikum!"Jamal ucap salam.

"AKUMSALAM!!!" Garau dan serak. Ada yang menyahut! Kami bertiga terpempan. Masing-masing saling berpandangan. Aku meneguk air liur.Siapa yang jawab?! Aku terus rapat pada Bohari dan Jamal terhenti langkah, undur dan pandang kami berdua dan angkat kening dan bisik bertanya, "Apa tu woi?"

Aku geleng. Keadaan dalam rumah terasa bahang, sebelum ini takdalah panas sebegini. Aku lihat mulut Bohari dah terkumat kamit. Aku tengok Jamal dan Bohari masuk ke dalam rumah dan aku cepat cepat mengekori dari belakang.

Bohari panggil kami berdua.

“Lengahkan mereka, jangan bagi diaorang balik,” ujar Bohari dan aku cuba Whatsapp kawan aku, tapi capaian internetnya kurang, mesej tidak terhantar. Aku cuba telefon, tiada liputan.

Perlahan Bohari buka pintu belakang dapur dan ketika itu pandangan kami disajikan dengan berdirinya makhluk putih sebesar pemeluk pokok sawit. Berdiri terapung tak jejak lantai! Jamal serta merta terjelepuk di lantai, mukanya pucat lesi. Matanya terbeliak. Bohari ketika itu sudah mula membaca ayat suci Al Quran. Sesekali tangannya didepa ke depan. Aku dan Jamal terketar ketar membaca ayat Qursi.

Telinga aku menangkap bunyi van di hadapan rumah. Ah sudah, staf aku yang lain dah pulang! Ada lagi 4 orang staf aku yang lain, termasuk Azlan. Kebetulan tiba di rumah, dia terus ke dapur. Dia menjerit takkala melihat makhluk berbadan putih dan berambut panjang itu! Jeritan Azlan membuatkan staf yang lain meluru ke dapur dan yang peliknya, ketiga-tiga mereka yang lain diserang histeria!! Mereka lelaki ok. Aduh.

Aku dah kaget, Jamal terus cuba nak pulihkan semangat kawan kami yang kena rasuk tu, dia azan, dia baca ayat Qursi. Aku tengok Azlan perlahan-lahan jalan ke arah pintu dapur dan sepantas kilat, benda makhluk yang sedang terapung itu menerpa ke arah Azlan!

Makhluk tu hilang dan Azlan berlari terus ke belakang dapur! Belakang dapur rumah kami ada hutan kecil.

Bohari terus bertempik nama aku! Aku semacam tersedar dan terus ke luar. Bahu aku ditarik Bohari. Dia minta aku tolong dia pulihkan kawan kami yang lain.

Hampir 20 minit juga baru semuanya pulih. Masing-masing kepenatan. Aku bersama Bohari, Jamal dan Sham ( Staf Kedah) bersepakat untuk mencari Azlan di dalam hutan kecil. Mujur ada staf dari sini yang datang untuk tengok kan kawan aku yang tiga orang tadi tu.

Tiba di tengah hutan, Bohari arahkan kami azan 4 penjuru. Katanya, Azlan ada berdekatan, cuma kita sahaja tak nampak.

Usai azan, mata kami berempat teralih pada sebatang pokok besar. Di bawahnya pokok itu ,Azlan bersimpuh duduk menunduk! Dalam keadaan gelap malam, kami nampak dengan jelas ada lembaga putih, terapung betul-betul atas kepala Azlan! Bohari mula baca Ruqyah dan suruh kami tengok dan tunggu arahan!

Lama kelamaan benda tu macam hanyut ke atas bila Bohari kuatkan bacaan dan Azlan macam kepenatan bersandar di pangkal pokok besar itu.

Jamal terus mendapatkan Azlan. Dipendekkan cerita, Bohari pulihkan Azlan dan malam itu sebelum tidur, kami serumah buat bacaan Yassin.

Esok paginya, kami macam biasa buat kerja dengan komuniti. Nam datang berjumpa aku waktu tengahari. Dia kata ada hal nak cerita.

Banyak juga cerita seram dan mistik si Nam ni kongsikan pada aku. Tiba tiba raut wajahnya berubah apabila melihat Azlan yang singgah ke gerai untuk membeli air.

“Abang, maaflah, semalam saya geram dekat kawan abang tu, sebab itu dia hantar ‘kawan’, saja nak cuba ilmu baru bang,” sambil Nam tersengih. Aku ketawa kecil, dalam hati menyumpah seranah. Celaka betul, aku hampir nak pengsan malam tadi! Nam cakap, Azlan ada cakap lepas pada penduduk situ.

Masa perjalanan balik, aku duduk sebelah Azlan dalam van. Mukanya dia pucat lesi. Tapi masih boleh bergurau.

"Bulan depan kita kena datang lagi. Nak tengok progress."Ujar Jamal. Aku angguk.

"Kau nak datang lagi tak?" Tanya aku pada Azlan sambil menepuk pehanya. Azlan paling pada aku, dia senyum.

"Nak. Aku nak datang lagi. Lagipun, aku ada jumpa janda aku malam tadi. Dah 2-3 malam aku jumpa mereka dua dekat sini." ujar Azlan.

Aku terkedu. Jamal dan Bohari pandang tepat ke arah aku.
Setahu kami, kedua-dua janda Azlan duduk di Lembah Klang. Yang seorang itu dah berkahwin semula.


Perempuan mana si Azlan ni jumpa?!!

TAMAT.
**********************
Suntingan: KamenRider
Gambar : Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: