DEPRESSI
Karya: Ariff Budiman Zainal Abidin
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF
Aku masih ingat selapas tamat sekolah menengah, aku dan kawan-kawan mencari kerja kosong. Kami mendapat tawaran kerja di sebuah kelab golf. Ia merupakan projek untuk membuat padang golf.
Masing-masing mempunyai tujuan bila memperolehi gaji pertama nanti. Tujuan aku ialah untuk membeli sebuah raket badminton yang berjenama Yonex. Biar badanku hitam di panah mentari asalkan impianku tercapai.
Dalam kumpulan aku, terdapat seorang lelaki. Pian namanya (bukan nama sebenar). Selalunya dia tidak banyak berbual. Dia lebih suka termenung dan kadang-kadang aku melihat dia berbual entah dengan siapa sambil tangannya mencangkul rumput.
Lama-kelamaan aku menjadi semakin rapat dengan Pian. Dia bercerita yang dia kerap mendengar bisikan yang menyuruh dia terjun di dalam kolam akan tetapi dia lawan perasaan itu.
“Ni pun bila aku sedang cakap dengan hang, aku dengar suara suruh tumbuk hang.”
Terkejut juga aku mendengarnya. Nanti tak pasal-pasal kena sebiji penumbuk.
“Man, aku suka hang sebab hang tak kutuk bila aku cerita. Yang lain suka kutuk aku. Depa anggap aku tak betoi. Hang anggap aku macam mana?” Pian cuba menduga aku.
Aku terkejut dengan soalan Pian.
“Bagi aku hang sorang yang normal. Aku pun kadang-kadang bila tension kerja aku akan cakap sorang-sorang,” kataku dan nampaknya dia pun bersetuju.
“Bila aku jumpa tok imam, depa kata aku jadi macam ni sebab jauh dari Allah. Depa ingat aku tak solat ka? Cuma aku jarang ke masjid. Kadang-kadang bila aku duduk dalam masjid aku bertarung dengan diri aku sendiri. Aku dengar suara yang kata buat apa solat sampai bengkak dahi-dahi. Hang masuk kristian saja. Itu lebih baik. Aku kata islam lebih baik dari kristian tapi suara tu terus desak aku agar menjadi murtad. Kadang-kadang sampai aku tepuk lantai masjid. Ramai jemaah tengok aku dan buat aku malu. Terus aku balik rumah.” Cerita Pian panjang lebar. Aku hanya diam mendengar sebab itu lebih baik baik bak kata seorang ustaz kita kena be a good listener.
“Bila balik rumah, isteri aku pula bising-bising. Dia kata kenapa aku suka termenung. Aku sendiri pun tak dapat kawal. Kadang aku rasa sedih, rasa frust dengan hidup aku. Ada ketikanya aku rasa macam nak bunuh diri tapi cepat-cepat aku lawan sebab aku sayang isteri aku. Aku pura-pura ketawa, aku pura-pura bergurau. Orang nampak aku normal tapi dalam aku Man, hanya Allah saja yang tau.”
“Hang tak pernah pi berubat secara tradisional ka?” Tanya aku.
“ Aku dah cuba berubat secara tradisonal dan depa kata ini bukan berkaitan dengan gangguan. Ini mental. Aku gila Man,” ujar Pian perlahan.
“Hang bukan gila Pian. Cuma gangguan di fikiran saja. Insyaallah hang boleh berubat. Cuba hang pi check di hospital dulu.” Aku memberi cadangan. Syukur dia setuju dengan pendapat aku.
“Ehhh Man, aku nak solat zohor dulu.”
Terus diambilnya wuduk dengan air kolam lalu dihamparnya sejadah di atas rumput di bawah panahan mentari yang begitu membakar. Aku melihat dia solat dengan begitu tertib. Selepas tu diberinya salam dan berdoa. Sungguh tertib malahan lebih tertib dari solat aku.
“Apala hang. Ada tempat teduh dok sembahyang tempat panas,” kata salah seorang dari rakan aku dan akhirnya dia mendapat penyepak dari Pian.
“Hang tau ka solat di tempat panas ni lebih khusyuk dari tempat teduh? Sekurang-kurangnya hang dapat rasa bahang dia. Macam tulah api neraka. Macam ni pun dah tak tahan. Macam mana pulak dengan api neraka?” Marah Pian. Aku mengenyitkan mata kepada rakan aku itu sebagai tanda agar jangan melawan cakap Pian.
Selepas solat, dibiarkan saja sejadah di situ dan Pian menyuruh aku solat pula. Aku turuti kehendak Pian lalu solat di tengah panas. Pian hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya bila melihat aku sepertinya.
Sebelum pulang bekerja, Pian bersalaman dengan aku. Katanya manalah tahu tak dapat berjumpa lagi. Itulah kata-kata yang sering Pian ucapkan bila kami bersalaman sebelum pulang ke rumah.
***
Esoknya seperti biasa aku pasti melalui jalan yang bertentangan dengan rumah Pian. Dari jauh aku sudah dapat melihat orang begitu ramai di rumah Pian. Cepat-cepat aku singgah untuk melihat.
Allahu akbar. Pian telah membunuh diri dengan cara menggantungkan dirinya di pokok ciku.
Masa aku sampai, jenazah Pian masih lagi tergantung di pokok ciku. Akhirnya pihak polis menurunkannya. Aku ke tempat kerja lalu beritahu kepada yang lain dan pergi semula ke rumah Pian.
Datang pihak masjid lalu berbincang dengan keluarga Pian. Mereka berkata apa yang Pian lakukan bertentangan dengan syariat maka jenazah Pian harus di kebumikan di luar kawasan perkuburan Islam.
“Pian bukan Islam lagi sebab sudah bunuh diri. Ini hukum,” kata salah seorang dari pihak masjid.
Teresak-esak isteri Pian menangis bila ada yang berkata Pian bukan lagi Islam sebab sudah membunuh diri. Masa itu ilmu agamaku terlalu cetek tapi batin aku berkata Pian membunuh diri bukan atas sebab dia sendiri yang berkehendakkan begitu.
“Tuan haji, apa yang saya tau dan bersembang dengan Pian. Dia sering cakap ada gangguan yang minta dia bunuh diri.” Aku menerangkan kepada pihak masjid.
“Hukum adalah hukum dik. Kita tak boleh ubah. Dia dah bunuh diri,” kata-kata orang masjid ketika itu merupakan lesen besar untuk menjatuhkan hukum. Orang tak berani pertikai bila pihak masjid telah membuat keputusan.
Akhirnya Pian dikebumikan di luar pagar perkuburan Islam. Kaum keluarga Pian terpaksa akur dengan hukuman yang telah diberikan bahawa Pian bukan lagi seorang Islam sebab telah membunuh diri.
Aku sangat kasihan dengan nasib Pian dan aku tidak tahu dia menjadi mangsa siapa sebenarnya. Masyarakat terlalu cepat menjatuhkan hukum ketika itu tanpa menyiasat latarbelakangnya terlebih dahulu.
Jadi kepada anda semua yang mempunyai ahli keluarga yang ada masalah kemurungan, jangan di pandang enteng akan masalah ini. Orang yang menghadapinya amat terseksa batinnya. Keluarga mereka juga turut terkesan.
Aku pernah mendengar kata-kata ustaz semasa berada di dalam kuliah agama. Banyak ayat al-Quran telah diturunkan sebagai penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin.
“(Iaitu ) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” Ar-Ra’d ayat 28.
-TAMAT-
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment