UKM BERHANTU WOI! - Kisah 2
Oleh: KamenRider
================================
UKM BERHANTU WOI - Kisah 1
Kalau kita baca kisah seram kan, pengalaman masing-masing lebih kurang sama je semua. Yang bezanya cerita kita adalah reaksi, dalam kisah ini terang-terang aku beritahu aku seorang yang penakut. Penakut yang amat. Kalau datang berani tu, aku masuk hutan sorang-sorang je pergi mengail. Tapi kalau datang masa penakut tu, aku boleh suruh mak aku teman tunggu depan tandas dan tak tutup pintu pun. Sila bayangkan dulu kat kolej aku pernah sakit perut pukul 3 pagi dan aku tak tutup pintu pun. Bersih tak bersih jangan tanya, tapi alhamdulillah aku tak ada kurap lagi. Fuh!
Sebenarnya melalui pengalaman misteri di UKM inilah aku baru tahu ada yang tak kena dengan diri aku sendiri. Salah satunya aku tahu tentang perihal Panglima Hitam, walaupun sampai sekarang aku masih tak tahu dengan secara terperinci mengenai selok-belok dari famili aku. Ada kawan beri aku tips untuk ‘approach’ Panglima Hitam tapi aku tahu aku seorang penakut yang amat.
Aku tahu aku hanya akan mencari masalah dari menyelesaikan masalah. Kalau dapat tengok nanti, ada juga yang berkurap punggung, habis saham aku maka adalah lebih baik jadi tanda tanya sahaja. Ada perkara tak perlu tahu, bukan urusan kita.
Ada orang kata, tengok makhluk halus ini macam penyakit berjangkit. Sekali tertengok, mata/hijab mudah la nak tertengok berkali-kali. Aku ni bukanlah ada kelebihan tengok hantu pun, nak rasa seram-sejuk pun payah sebab lemak badan ini tebal. Tapi kebiasaan yang pernah aku tengok adalah kelibat hitam, macam-macam bentuk, berwajah dan tak berwajah. Ada yang rupa haiwan, yang macam selimut terbang pun ada. Ya Allah sampai sekarang aku berdoa agar aku tak dibuka hijab untuk tengok benda yang bukan-bukan.
Kisah kedua ini, adalah tahun kedua aku di UKM, tahun 2008. Aku tidak berpindah blok, masih di blok 11 hanya berpindah aras bawah tapi masih lot corner yang bertentangan dari bilik dulu. Bilik 406 dengan permandangan yang sama seperti bilik tahun pertama iaitu menghadap court bola tampar. Separuh sem, blok 11 buat pembaikian tangki air maka kami berpindah ke blok 10. (Kolej aku dengan isu air tiada pisahnya, bagai aur dan tebing. Biasa je pergi kelas pagi tak mandi, aduh kantoi.)
Aku dan Jihan kononnya pelajar aktif kolej maka kami dipilih untuk menjadi fasilitator untuk Minggu Mesra Mahasiswa tahun 08/09. Kami stay di kolej untuk program menyambut pelajar baru. Waktu itu blok 11 tak ramai penghuni sudah, yang tinggal dua tiga bilik termasuk akak-akak felo, fasilitator dan hehehe. Dikesempatan inilah aku dan Jihan buat projek wajib iaitu curi tilam. Tilam idaman kami dua lapis, kalau tidur tenggelam macam tilam air. Empuk dan sebab itu jugalah aku banyak ponteng kelas (salahkan tilam).
Kejadian sebelum curi tilam.
Kami sangat seronok dapat bilik baru, kami kemas baju-baju dan susun perabot agar bilik kami lebih luas. Waktu tu masih siang, bunyi bising orang sibuk nak balik kampung habis sem. Bising alih-alih perabot macam nak bawa balik sekali almari ke kampung. Kitorang plan curi tilam bila semua dah kosongkan blok. Tapi bunyi bising tu berlanjutan sehingga malam. Bukan bunyi non-stop tapi kerap, sangat kerap.
Malam tu macam biasa, lepas maghrib aku dan Jihan keluar makan kat mapley (GLAM tutup) dan jalan-jalan kat area Kajang naik EX5 Jihan sebab motor aku rosak melambung depan Kolej Kajai sebab bumper baru yang 'invisible'.
EX5 tu motornya kecil, aku ni dua kali besar badan Jihan makanya lebihan lemak punggung aku melebihi seat motor itu. Malam tu kami galak sangat gelak ketawa. Yelah bayangkan punggung aku half terapung paksa, penat kot tahan sampai terketar-ketar otot dan lemah urat-urat.
Jihan pula masa tu jugalah nak jalan-jalan kat Kajang. Berapa kali kami berhenti sebab punggung aku kejang. Sabar je la aku. Kami tukar, aku bawa moto dan dia rasakan melambung-lambung kat belakang. Tapi motor orang kan maka aku bawa agak berhemah malam itu.
Dah puas berjalan, kami pulang. Kalau dari Kajang, kami akan masuk pintu kedua/belakang yang berdekatan dengan kolej kami. Kami akan lalu Puri Pujangga dan Danau. Tiada pilihan. Untuk ke kolej kami ada beberapa laluan. Pertama laluan Danau, kedua laluan stadium dan masuk shortcut belakang bangunan terbengkalai tak siap dan ketiga laluan Eimas (hutan). Ketiga-tiga laluan ni memang seram.
Sekarang aku pergi UKM, banyak perubahan. Tak seseram dahulu. Jalan-jalan angker sudah menjadi laluan cahaya nur kasih. Masya Allah..
Kasihan dengan EX5 Jihan semput bawa kami, namun detik cemas kami melalui laluan di hadapan Danau yang angker itu membuatkan aku pulas throttle minyak selaju mungkin sehinggalah sampai di simpang tiga, kami belok ke kiri dan naik bukit ke kolej. Biasanya naluri rempit aku memang tak kenal erti apa itu 'break'. Aku akan memecut laju, langgar semua bumper berdesup 120km/j naik bukit sampailah ke depan blok. Jarang sungguh aku bawa perlahan kecuali siang, ramai pengguna jalanraya.
Untuk pengetahuan semua di simpang tiga itu ada satu kolam kecil semak-semun kiri bahu jalan sebelum naik ke bukit, ada macam rumah batu kecil TNB. Aku kan suka memancing, pantang tengok kolam. Setiap kali lalu situ, aku memang akan kalih usha kolam terbiar tu. Usha je, tak pernah kejadah aku berhenti tengok betul-betul tempat itu. Tapi malam itu, bukan seperti malam-malam yang biasa sebabnya aku ternampak seorang lelaki baju kelabu dan bertopi sedang memancing. Aku ni peramah, suka menegur, gear EX5 diturunkan perlahan mendekati abang tu.
“Bang, ade ikan ke?”
Diam…………
Mungkin aku tak berapa cantik dan Jihan pula seperti koala melekat peluk badan aku takut tercicir kan, maka pertanyaan aku menjadi krik krik…
Abang itu langsung tak beri respon. "Ek eleh, sombong lak dia ni..."
Aku masuk gear dan teruskan perjalanan. Masa ini aku dah menyesal pula sebab berhenti tadi. EX5 yang terlebih muatan, kena pulas throttle minyak laju-laju dari bawah bukit barulah enjin tak semput naik atas. Sekarang ni motor semput walaupun dah turun gear 1. Rasa nak meletup enjin aku paksa juga naik bukit.
Akhirnya, kami terpaksa turun separuh jalan dan tolak motor sambil tergelak-gelak. Kami kini melalui depan bangunan-bangunan kosong yang terbengkalai. Lampu jalan pula segan-segan menyuluh jalan kami. Sebab kelakar sangat motor semput, kami non-stop gelak sambil saling memaki. "Bodoh la kau gumuk, yang kau pergi stop tadi nape. Kan dah kena tolak motor. Samdol la kau...."
Masa ni aku pegang handle motor, tolak motor naik bukit memang siksa. Jihan pula menyakat tarik-tarik motor ke belakang supaya aku penat menolak.
“Jihan janganlah aku ni semput nak naik bukit ni ha…"
“Haha mana ada (sambung gelak) anggap je la kita exercise malam ni. Tu la kau rajin sangat berhenti tadi kenapa. Aku dah kata kau jangan suka-suka tegur orang, malam pulak. Tah sape-sape kau tegur tadi”
Kami berdua toleh ke belakang tengok abang tadi kat bawah, dia masih berdiri kaku kat situ dengan joran tak gerak-gerak. “Kuang ajar abang tu buat bodoh je bila aku tanya? Macam hensem sangat?”
Tiba-tiba aku rasa motor laju ditolak, Jihan tolak dari belakang. Kenapa Jihan tiba-tiba diam ni. Ada yang tak kena la tu.
“Weh sabarlah. Kita naik bukit ni kang aku tergolek.” Jihan diam lagi.
Sampai depan pejabat kolej, kami lepak kat cafe sekejap ada taklimat dengan fasilitator yang lain. Diumumkan esok kami ada acara ice-breaking di Hutan Pendidikan UKM. Selepas itu kami pulang ke bilik dan rutin kami adalah ke tandas bersama-sama. Masuk tandas memang sunyi, bangunan dah kosong! Masa tu sudah lewat mungkin semua baki penghuni sudah tidur. Selesai solat kami tutup lampu dan tidur. Baru nak lelap mata, bunyi orang alih perabot macam siang tadi tapi kali ni kuat sangat dan non-stop. Bunyi seretan itu membingitkan telinga. Jelas bunyi dari bilik atas kami. Banyak kali kami jerit dari tingkap “Woiiii orang nak tidur esok lah mengemas”.
Tapi tak jalan, bunyi seretan masih kuat. Bengang tapi sebab mengantuk, kami paksa tidur. Esoknya mata bengkak. Sebelum pergi tandas mandi, kami naik tangga tengok bilik atas kami, sebab bengang kan.
Naik je, kami nampak pintu bilik semalam terbuka luas, tak ada orang, maka kami fahamlah kitorang kena kacau lagi malam tadi. Redha sangat muka sebab dah biasa kena. Aku dan Jihan buat-buat muka tak berperasaan, kami usha line kiri kanan untuk sambung plan curi tilam. Sebabnya untuk sambut pelajar baru, banyak stok tilam baru sampai. Tilam baru tilam keras kan, kami pergi kat bilik yang ada tilam double, kami ambil tilam lama yang empuk.
Sudah bersiap semua pagi tu, kami ke lobi nak naik bas ramai-ramai. Masa ni Jihan buka cerita.
“Kau kan lepas ni jangan tegur, jangan tegur apa pun. Ni kita nak masuk hutan ni. Jaga mulut kau. Semalam kau tegur siapa kat kolam tu?” Jihan sebenarnya bengang dengan perangai aku.
“Mana aku kenal abang tu? Aku tanya je mana tau ada ikan aku boleh test gak tempat tu”
“Abang mana kau ni? Aku tak nampak abang langsung semalam. Kosong, ko bebel sorang-sorang berhenti tepi longkang tu. Seram gila weh. Sah-sah lah dia ikut kita semalam. Kau ni aku dah cakap banyak kali, nanti dia kacau bilik kita yang baru ni macam mana?” Jihan menekan nada tapi masih cool.
“Siapa ikut kita? Dia ikut kita ke? Weh kau tak nampak ke?? Ikut sampai mana? Last aku tengok dia memancing berdiri keras je kat situ. Mungkin tak nak kita bising takut ikan lari,” aku bebal dan masih bebal.
“Kau tegur orang ke? Sebab semalam aku tak nampak pun abang khayalan kau tu. Suka-suka berhenti pastu kena tolak motor. Bila kau asyik ulang, abang abang tu. Aku terus rasa seram gila semalam,” sebab tu Jihan tetiba diam, terus tolong tolak motor laju-laju.
Aku terdiam. Adui kenapalah aku tegur? Serius aku risaukan akan ada gangguan lagi kat bilik kami sekarang.
“Sorry, tapi kau kena kacau ke semalam?”
“Macam biasa aku kena hempap. Tapi aku rilek je, baca ayat-ayat sikit lama-lama ok,” ya Allah selambernya kau Jihan. Kalau aku, kecoh satu kolej aku canang.
Sepanjang Minggu Mesra Mahasiswa, kami hanya naik bilik untuk salin pakaian. Tidur kami tidur ramai-ramai kat bilik gerakan. Sehari selepas pelajar baru masuk, motor aku siap. Rindu nak pulas dan merempit. Bila test power, memang dasyat selepas repair macam apek tu install NOS kat moto kriss aku. Syukur sebab lepas ni kalau lalu depan DANAU aku boleh bawa 180km/j.
Kenapa aku takut sangat dengan Danau ni? Danau ini Danau Golf Club UKM Bangi. Curlas kau, UKM ada kelab golf tapi aku tak pernah main golf la, cuma pergi swimming pool je mandi-manda sambil cuci mata. Sebabnya kolam tu campur laki perempuan haha (syukur nikmat cuci mata di situ). Apapun megahnya Danau dengan keindahan rumput karpet menghijau tersembunyi 1001 kisah misterinya juga. Kisahnya begini. Watak terbaru dalam cerita kisah kedua ini adalah Kak Mah. Masa menulis ni aku telefon Kak Mah untuk double confirm kesahihan cerita yang aku karang ini sebelum keluar secara publik.
Maaf kepada saksi-saksi kejadian kalau versi penceritaan aku lari sedikit dari cerita asal atau banyak lobang moment penting tertinggal, maklumlah kejadian sudah bertahun lamanya. Kisah ini diceritakan beramai-ramai oleh saksi-saksi berserta gambar bukti sewaktu latihan teater Sanggar Mas. Kak Mah ini adalah senior Zoology dan senior hebat dalam kelab teater Sanggar Mas. Kami rapat sampai jadi geng kera dengan gelaran Kak Mah the Boxer Batik. Kak Mah bercerita, masa mereka tahun pertama ada makan malam di Danau. Lupa dinner Kelab SM atau dinner kolej. Geng-geng SM ni sangat-sangat rapat, ke mana pun mesti bersama.
Dinner kan semua pakai cantik-cantik dan makeup macam rombongan Cik Kiah. Lapan orang berjalan kaki ramai-ramai ke Danau. Dah nama perempuan, gila bergambar pantang nampak port cantik kat dalam Danau tu. Tapi malam-malam begini memang payah nak bergambar, kalau ikutkan teknologi kamera dulu sangat sadis berbanding dengan sekarang.
Maka mereka ambil gambar kat lokasi-lokasi bercahaya sahaja. Last bergambar depan pintu masuk Danau di signboard tulisan DANAU itu la. Si Kak Mah inilah tukang ambil gambar. Masa kat depan Danau ni dengan tiba-tiba Kak Mah rasa tak sedap hati, rupanya bukan dia seorang saja, malah semua rasa tak sedap hati malam tu meremang lain macam, tanpa sebab. Tapi permpuan kan, buat-buat kepoh galak je macam biasa.
Malam dah lewat, tak sedar galak sangat bergambar. Bila terasa insaf sikit tu baru mereka sedar nak pulang. Sekali lagi ramai-ramailah berjalan kaki pulang ke kolej. Dalam perjalanan balik, tetiba ada seorang kenalan lelaki berhentikan kereta bertanya pada mereka. Dari riaknya seperti nampak sesuatu yang aneh. Kereta itu memecut laju meninggalkan mereka.
Sesampainya mereka ke bilik masing-masing, Kak Ninie dan Kak Wanie tengok semula gambar-gambar tadi dari telefon. Tiba-tiba mereka macam tak sedap hati tengok satu gambar ni, tak puas hati transfer terus ke laptop. Dalam masa yang sama, mereka hubungi Kak Gee datang bilik tengok gambar itu. Reaksi Kak Gee terus delete sebaik sahaja melihat gambar mereka depan Danau tadi. Masing-masing terkedu, meremang, takut kalau-kalau entiti dalam gambar tersebut mengikut mereka balik.
Rombongan Cik Kiah tadi ada 8 orang. Tukang ambil gambar masa tu Kak Mah. Maka, hanya tujuh orang sahaja dalam gambar tersebut. Bila dikira, ADA SEMBILAN jasad. DUA entiti tak dikenali menumpang. Satu entiti berupa budak kecil ketinggian paras pinggang rambut panjang sangat-sangat jelas dan satu lagi ada entiti tangan panjang jelas jari-jemari runcing yang tajam di atas bahu Kak Nik, kiranya jelas tangan tu tepi bajunya. Dan-dan masa ni bunyi burung hantu “Kruuuuh….kruhhhh” kuat sangat rupanya haiwan tu betul-betul tepi tingkap bilik dorang. Akibat terkejut yang amat, terus dorang off laptop dan tidur.
Malam itu masing-masing kecoh hal yang sama, lagi mengejutkan Kak Wan ada gambar yang sama. Semua pelik. Mustahil dapat gambar tu. Transaksi gambar perlu guna infrared kot. Aku yang menulis cerita ni rasa macam makhluk tu berteknologi advance sangat, kalau bluetooth pon kena 'on' dulu kot. Susah nak fikir logik masa ni.
Dulu tahun 2006-2008 telefon bimbit dah mampu milik oleh pelajar lagi-lagi jenis flip legend. Tapi masa tu mana boleh whatsapp, bluetooth pun tak ada lagi. Yang ada infrared. Haaa, budak sekarang tahu ke infrared ni? Macam Bluetooth, tapi nak transfer gambar atau file lagu ke kena ada sentuhan pada lampu infrared kedua-dua telefon ala fungsi macam NFC sekarang. Tapi tak boleh lepas tau telefon tu masa transfer, wakaka kenangan betul.
Malam itu semua berkumpul satu bilik, buat bacaan yaasin dan mereka tidur beramai-ramai dalam bilik tu. Esoknya masing-masing berkumpul di bilik latihan teater, gambar yang ada pada Kak Wan ditunjukkan pada senior mereka Abang Atta dan Ketua Jaksa, Abang Nuar. Hari itu, Kak Ninie mengadu sakit bahu, mereka syak memang entiti itu sudah mengikut mereka balik. Cuba kau bayang, kat atas bahu Kak Ninie masa tu ada makhluk hodoh duduk renung je muka orang sekeliling dia.
Gambar itu viral, aku sempat copy dalam pendrive tapi habis rosak pendrive tu tanpa sebab. Paling bijak aku sempat hantar gambar tu kat Uncle Seekers melalui email. Gila kau masa tu popular dengan rancangan The Seekers.
Untuk makluman, group Seekers pernah datang dan buat test kt blok-blok terbengkalai kolej kami tu. Tapi aku tunggu juga masuk TV, tiada. Mungkin masa mereka datang, hantu-hantu semua segan, pemalu. Tiada sebarang rekod berjaya dirakam haha.
Sebenarnya ada satu kisah lagi pengalaman aku sendiri berlaku di hadapan DANAU, untuk kronologi teratur aku akan sambungkan cerita itu pada kisah ketiga untuk post akan datang. Salam henshin!
**********************
Gambar : KamenRider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment